Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

KEUNIKAN MALAYSIA

Malaysia merupakan sebuah negara yang kian membangun sejak mengecapi kemerdekaan negara pada 31
Ogos 1957. Kita amat beruntung kerana telah mencapai perkembangan pesat dalam pelbagai bidang seperti
pendidikan, kesihatan dan perindustrian. Kemajuan sains dan teknologi telah mendorong Malaysia ke alaf
baharu yang serba canggih dan moden agar dapat merealisasikan wawasan 2020 yang menjadikan Malaysia
dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Untuk membangun negara supaya
setaraf dengan negara-negara lain, sektor-sektor ekonomi yang menyumbangkan kepada pendapatan negara
kita amat penting. Sektor pelancongan terutamanya yang mempromosikan negara Malaysia yang unik ini
menyumbangkan pendapatan yang amat besar nilainya. Menurut kajian yang telah dilakukan, negara Malaysia
merupakan antara 10 negara paling banyak dilawati oleh pelancong asing di dunia dan telah menyumbangkan
sebanyak RM22 bilion pada tahun 2012. Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Seri Nazri Aziz sering
memperkatakan betapa pentingnya sektor pelancongan kepada negara kita. Oleh hal yang demikian,
lapangkan jiwa dan minda untuk mengetahui faktor yang relevan yang menyebabkan Malaysia dijadikan
pilihan pelancong asing untuk datang melawatnya.

Umum mengetahui bahawa faktor perdana Malaysia dijadikan destinasi pelancong asing adalah
disebabkan oleh kedudukan Malaysia di atas bumi ini Malaysia terletak berhampiran dengan garisan
Khatulistiwa yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun. Hujan yang turun degan lebat sepanjang
tahun juga menyebabkan kadar kelembapan yang tinggi. Purata suhu yang sekata disebabkan oleh kedudukan
negara kita yang dikelilingi oleh lautan. Oleh sebab iklim negara kita yang sentiasa panas dan lembap
sepanjang tahun, pelancong asing suka melancong ke tanah air kita disebabkan oleh negara kita yang tidak
mengalami perubahan cuaca dan musim yang terlampau. Malah, pelancong asing suka berjemur di bawah
matahari di tepi pantai kerana negara mereka mempunyai musim sejuk yang agak ekstrem. Selain itu,
Malaysia tidak mengalami bencana alam seperti taufan, letupan gunung berapi, gempa bumi dan kemarau.
Hal ini demikian kerana kedudukan Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dan kawasan tiupan angin
siklon. Hujan perolakan pada musim peralihan angin monsun pula membebaskan Malaysia daripada
mengalami kemarau panjang. Kenyataan yang terpapar ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat
dan bebas dilawati sepanjang tahun. Dengan ini, pelancong asing boleh datang melawat negara kita pada bila-
bila masa sahaja dengan keadaan cuaca dan iklim yang bersesuaian.

Seterusnya, memang tidak dinafikan bahawa kedatangan pelancong asing ke Malaysia juga disebabkan
oleh keindahan flora dan fauna yang terdapat di negara kita. Hutan hujan tropika yang meliputi 70 peratus
daripada jumlah keluasan hutan di seluruh Malaysia merupakan hutan yang paling luas di negara kita. Dalam
hutan hujan tropika juga terdapat pelbagai spesies haiwan yang mendiaminya seperti rusa, landak, orang utan,
kera dan burung enggang. Jenis haiwan yang berbeza mendiami mengikut lapisan hutan. Hutan ini bersifat
malar hijau kerana pokok-pokok meghijau sepanjang tahun. Alam semula jadi yang merupakan aset penting
negara kita telah menyebabkan kerajaan mewartakan hutan-hutan yang berharga ini sebagai taman negara
seperti Taman Negara Pahang, Taman Negara Endau-Rompin, Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara
Bako. Inisiatif ini diambil agar flora dan fauna terpelihara daripada sebarang kemusnahan dan menjadi tarikan
pelancong. Menurut kajian, Taman Negara Pahang merupakan hutan yang tertua di dunia yang telah wujud
dua juta tahun dahulu dan telah pun melepasi usia hutan Amazon di Amerika Syarikat. Taman-taman negara
ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti merentasi hutan dan berkhemah untuk pelancong serta aktiviti
penyelidikan untuk para saintis.

Sesungguhnya, kita sedia maklum bahawa keistimewaan lain negara kita yang agak jelas ialah masyarakat
majmuk yang terdapat di negara Malaysia yang tercinta ini. Negara Malaysia terkenal di mata dunia sebagai
sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Kaum utama rakyat Malaysia ialah Melayu, Cina
dan India. Terdapat juaga kaum yang bilangannya tidak begitu ramai seperti Bidayuh, Kadazandusun, Melanau,
Dayak dan Iban atau lebih dikenali sebagai orang asli yang kebanyakannya berada di negeri Sabah dan
Sarawak. Kaum yang pelbagai ini telah mewujudkan budaya, agama, dan amalan hidup yang berbeza. Namun
rakyat negara kita masih hidup dengan aman dan sentosa disebabkan sikap keterbukaan dan amalan hortmat-
menghormati antara satu sama lain. Perayaan setiap kaum juga diraikan bersama-sama tidak kira bangsa dan
agama pada setiap tahun. Malahan amalan rumah terbuka untuk setiap perayaan telah dilaksanakan oleh
Perdana Menteri negara kita, Datuk Seri Mohd Najib agar rakyat dan pelancong dapat menikmati makanan-
makanan tradisi di samping mengetahui budaya dan adat resam setiap kaum. Makanan setiap kaum juga
dapat didapati di seluruh negara Malaysia di kedai kopi, restoran, kedai mamak, gerai-gerai di pasar malam
dan medan selera di kompleks beli-belah. Rata-rata tempat terdapat makanan tempatan yang dijual dan
mempamerkan keenakan makanan tradisi setiap kaum yang amat menyelerakan seperti nasi lemak, char kue
tiau, roti canai, nasi ayam, mihun goreng dan kuih-muih.

Pada hemat saya, kedatangan pelancong asing ke negara kita dapat juga dikaitkan dengan faktor
seterusnya, iaitu pusat beli-belah di bandar-bandar besar. Malaysia terkenal di mata dunia sebagai syurga
membeli-belah. Nilai mata wang negara kita yang rendah menggalakkan pelancong datang membeli-belah.
Pusat beli-belah yang tersohor adalah seperti Mega Mall dan Mid Valley di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di
Melaka dan The Summit. Barang-barang yang dijual di sini setanding dengan luar negara malah mempunyai
tawaran harga yang murah. Promosi dan diskaun harga barangan serta jualan mega sering diadakan oleh
pusat beli-belah untuk menarik perhatian pelancong agar datang membeli barang yang berkualiti lagi murah
seperti promosi jualan hujung tahun. Pusat beli-belah yang sering penuh dengan pembeli juga menarik minat
pelancong asing datang ke negara kita. Selain itu, barang-barang berjenama seperti baju, beg tangan, jam
tangan, dan kasut juga dijual pada harga yang berpatutan. Kraftangan yang selalu dibeli sebagai cenderamata
seperti barang-barang yang dibuat daripada rotan, magnet peti sejuk dan rantai kunci sering meminati para
pelancong untuk membelinya di kedai-kedai kecil yang menjual cenderamata. Kraftangan ini juga
mempamerkan sedikit budaya masyarakat di negara kita untuk dibawa pulang oleh pelancong asing ke negara
asal mereka. Dengan bertunjangkan kesahihan fakta, sememangnya diakui bahawa Malaysia istimewa dengan
pusat beli-belah di bandar-bandar besar.

Suatu hakikat yang wajar diterima ialah faktor infrastruktur yang serba moden di bandar-bandar Malaysia.
Terdapat pelbagai pengangkutan seperti kereta, teksi, bas, LRT, monorel dan MRT untuk memudahkan
pelancong asing menuju ke destinasi berbeza. Lebuh raya yang lebar dan berturap juga menjadikan perjalanan
lancar. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak tempat penginapan yang boleh dipilih seperti hotel bertaraf
tinggi atau sederhana, calet, motel, rumah dan rumah pangsa sewaan. Tempat penginapan ini dipilih mengikut
bajet pelancong-pelancong yang datang ke negara kita. Selain daripada itu, pusat beli-belah, pawagam, gim,
padang bola sepak, dan kolam renang mempu menyempurnakan penginapan pelancong-pelancong dengan
adanya infrastruktur sebegini yang menjadi hiburan mereka. Hal ini dapat menjamin keselesaan pelancong-
pelancong asing di tempat-tempat ini di samping melancong di negara kita. Malaysia yang merupakan tempat
bersejarah juga menawarkan bangunan-bangunan nostalgia untuk penghargaan masyarakat. Muzium Bank di
Kota Bharu, Kelantan; Kota A' Famosa, Melaka; Istana Negara, Kuala Lumpur dan Lembah Bujang di Kedah
mampu dijadikan destinasi pelancong asing untuk melihat infrastruktur bangunan-bangunan ini dan
mempelajari sejarah di tempat berkenaan. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah
bahawa infrastruktur mampu menjadi alasan pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan
mereka.

Sebagai menggulung segala yang dibicarakan, memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia mempunyai
banyak keunikan yang menjadi penyebab pelancong-pelancong asing datang mengunjungi negara kita
sepanjang tahun. Kedatangan pelancong ke negara kita dapat menjana pendapatan ekonomi negara di
samping membuka mata pelancong asing. Sememangnya pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak
yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai
wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju ke arah negara maju dalam abad ini. Oleh sebab itu,
semua pihak haruslah memainkan peranan dan berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam
merealisasikan modus operandi untuk memajukan industri pelancongan negara. Diharapkan peningkatan
kunjungan pelancong asing ke negara kita dapat memakmurkan dan menaikkan nama Malaysia di mata dunia
kendatipun negara kita merupakan satu kawasan kecil di atas peta. Rakyat wajarlah mencintai negara ini
dengan memelihara kecantikan dan keunikan khazanah negara demi merealisasikan wawasan 2020 yang
berada tidak jauh dari sekarang.

You might also like