Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

1.

0 Pengenalan

Esei ini akan membincangkan mengenai pembentukan Kata Adjektif (KA) dalam bahasa

Melayu. Kata Adjektif atau lebih dikenali sebagai kata sifat menurut Tatabahasa Dewan Edisi

Ketiga ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Menurut Arbak

Othman (1981), kata sifat adalah perkataan yang menjadi inti dalam predikat sifat. Inti ini

boleh berlaku sebagai gatra atau kata tunggal yang membentuk predikat ayat. Kata sifat yang

berupa gatra tunggal adalah seperti besar, bagus, sakit, sibuk, jauh, gemuk dan sebagainya.

Oleh itu, satu data yang dikenali sebagai DATA A yang terdiri daripada beberapa contoh ayat

yang melibatkan kata adjektif telah dibekalkan sebagai asas menyediakan sebuah esei pendek

yang berkaitan kategori kata ini. Dalam istilah linguistik, pembentukan kata ialah yang mana

proses perkataan baharu dibentuk. Proses pembentukan kata juga merujuk kepada cara kata-

kata dibentuk atau proses yang dialami oleh sesuatu kata dalam penghasilannya. Kata boleh

dibentuk melalui empat cara utama iaitu pengimbuhan, pemajmukan, penggandaan, dan

pengakroniman. Namun begitu, esei ini hanya akan memfokuskan kepada perbincangan

mengenai proses pengimbuhan dan penggandaan sahaja. Tambahan lagi, dalam huraian

tersebut akan disentuh juga berkaitan imbuhan pinjaman mahupun asli dalam, jenis dan

bentuk imbuhan, jenis dan bentuk penggandaan berserta makna-makna imbuhan dan gandaan

yang ada pada penelitian yang telah dibuat. Akhir sekali, perbincangan akan diteruskan

dengan mengemukakan fungsi imbuhan dan gandaan serta menentukan jenis morfologi yang

terlibat sama ada derivasi mahupun infleksi dengan disenaraikan juga contoh-contoh yang

sesuai bagi mengukuhkan dan membuktikan tahap ketepatan huraian tajuk esei pendek ini.

2.0 Proses Pengimbuhan

Pengimbuhan ialah satu proses menerbitkan kata dengan mencantumkan satu atau lebih

imbuhan kepada sesuatu bentuk dasar. Imbuhan tersebut bolehlah diletakkan di depan bentuk
dasar, di belakang bentuk dasar, di depan dan di belakang bentuk dasar sekaligus atau

disisipkan ke dalam bentuk dasar. Imbuhan yang dicantumkan di depan kata dasar ialah

awalan. Imbuhan yang dicantumkan di belakang kata dasar ialah akhiran. Imbuhan yang

dicantumkan sekaligus di depan dan di belakang kata dasar ialah apitan. Imbuhan yang

dimasukkan ke dalam kata dasar ialah sisipan (Abdullah Hassan, 2006). Imbuhan-imbuhan

bahasa Melayu dapat digolongkan ke dalam empat golongan berdasarkan kepada fungsinya.

Keempat-empat golongan itu ialah imbuhan kata nama, kata kerja, kata sifat dan kata

keterangan.

Di samping itu, menyentuh mengenai imbuhan, sebenarnya imbuhan-imbuhan dalam

bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada dua bahagian yang besar, iaitu imbuhan-imbuhan

yang asli dalam bahasa Melayu dan imbuhan yang dipinjam dari bahasa asing. Jelas dapat

dikatakan bahawa bahasa Melayu mempunyai sistem imbuhan yang lengkap bagi memenuhi

keperluan kebahasaan selama ini. Walau bagaimanapun, imbuhan pinjaman juga tidak kurang

pentingnya apabila semakin bertambahnya bidang ilmu. Ada dua cara imbuhan asing

dipinjam, iaitu dengan cara diterima sepenuhnya atau dengan diubah suai mengikut sistem

tatabahasa bahasa Melayu. Ada tiga golongan imbuhan asing dalam bahasa Melayu, iaitu

imbuhan Sanskrit, imbuhan Arab-Parsi dan imbuhan Inggeris. Dalam Data A, terdapat contoh

ayat yang melibatkan imbuhan pinjaman pada kata adjektif iaitu pinjaman daripada bahasa

Inggeris misalnya Kumpulan prokerajaan dan antikekerasan berkumpul di sana.(awalan)

dan Amalan kronisme dan nepotisme oleh pemimpin negara itu perlu segera dibendung.

(akhiran). Selain itu, terdapat juga contoh ayat yang melibatkan pinjaman daripada imbuhan

bahasa Arab pada kata adjektif sebagai contoh Negara ini berada pada kemuncak kemajuan

duniawi. serta Proses pembangunan sumber daya insan menuntut corak sistem yang tidak

sahaja memberikan penekanan kepada faktor diniah atau agama tetapi juga faktor insaniah

dan amaliah yang tinggi.


Selain itu, dinyatakan juga di sini imbuhan pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang terdri

daripada bentuk awalan maha-, tata-, pra-, swa-, tuna-, eka-, dwi-, tri-, pasca- dan panca- dan

bentuk akhiran seperti –wan,-man, -wati dan –nita. Contoh perkataan adalah seperti berikut:

1.Mahasiswa USM sentiasa di hadapan dalam membantu masyarakat.

2. Ahmad dikenakan hukuman tatatertib kerana ponteng kelas.

3. Prasyarat untuk lulus bekerja di kedai tersebut adalah harus pandai bermadah kata.

4. Swafoto menjadi kegilaan anak muda masa kini.

5. Dato’ Najib merupakan seorang yang hartawan

6. Dato’ Sharifah Aini merupakan biduanita negara.

2.1 Jenis, Fungsi, Bentuk dan Makna Imbuhan

Seterusnya, berbalik kepada perbincangan mengenai kata adjektif, imbuhan kata adjektif

terdiri daripada imbuhan awalan, apitan dan sisipan. Walau bagaimanapun, tidak ada

imbuhan akhiran untuk kata adjektif. Terdapat tiga bentuk awalan yang membentuk kata

adjektif terbitan. Awalan-awalan yang dimaksudkan itu ialah teR-, se-, dan ke- manakala

apitan pula terdiri daripada imbuhan apitan ke-…-an serta bagi sisipan terdapat empat bentuk

sisipan iaitu -em- , - el-, -er- , -in- .

2.1.1 Awalan Kata Adjektif teR-

Awalan teR- ini mempunyai dua alomorf, iaitu ter- dan te-. Alomorf te- lazimnya akan

bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf atau fonem r. Contohnya seperti

terisau, teramai, terapi, teringan dan sebagainya. Selain itu, awalan ini sangat produktif dan

umumnya bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata adjektif itu sendiri. Namun

demikian, awalan ini juga dapat digandingkan dengan kata dasar daripada golongan kata

nama dan kata kerja untuk menghasilkan kata adjektif terbitan misalnya:
1. Nama (kata nama) – ternama (kata adjektif)
2. Kenal (kata nama) – terkenal (kata adjektif)

Dengan demikian, awalan teR- boleh berfungsi sebagai penetap golongan dan pengubah

golongan. Selain itu juga, awalan teR- mendukung makna tertentu, bergantung pada kata

dasar yang berganding dengannya. Awalan teR- yang digandingkan dengan kata dasar

daripada kata nama menerbitkan makna sifat mempunyai, contohnya: ternama = sifat

mempunyai nama, iaitu terkenal manakala yang digandingkan dengan kata dasar daripada

kata kerja pula akan menghasilkan makna sifat menjadi, contohnya: terbilang = sifat menjadi

dibilang. Akan tetapi, awalan teR- kebanyakannya digandingkan dengan kata dasar daripada

kata adjektif dan digunakan untuk menyatakan perbandingan, khususnya dalam darjah

penghabisan, iaitu darjah yang paling tinggi. Contohnya: teranggun = paling anggun,

terbesar = paling besar, terkaya = paling kaya. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti

yang berikut ini:

1. Dialah pelakon yang teranggun di negara ini


2. Itulah kompleks beli-belah yang terbesar di rantau ini
3. Bill Gates ialah antara manusia yang terkaya di dunia.

2.1.2 Awalan Kata Adjektif se-

Awalan se- mempunyai satu bentuk sahaja dan lazimnya bergabung dengan kata dasar

daripada kata adjektif sendiri. Oleh itu, fungsi se- adalah sebagai penetap golongan sahaja.

Selain itu, makna yang didukung oleh awalan se- ialah sama dengan, misalnya:

1. Secerdik = sama cerdik dengan


2. Sejelita = sama jelita dengan
3. Sekukuh = sama dengan kukuh
Ayat contoh yang menunjukkan peggunaan kata-kata tersebut adalah seperti yang berikut ini:

1. Ahmad tidak secerdik Ali tetapi dia rajin

2. Tidak ada pelakon Bollywood yang sejelita Karina Kapoor

3. Akan Kubina cinta yang sekukuh Gunung Himalaya

2.1.3 Awalan Kata Adjektif ke-

Seperti awalan se-. awalan ke- juga mempunyai satu bentuk sahaja. Awalan ini tidak begitu

produktif dan hanya bergabung dengan kata dasar daripada kata adjektif hormat iaitu

membentuk kata kehormat. Awlan ke- ini bermakna dimuliakan. Kata kehormat membawa

pengertian ‘dimuliakan dan dihormati’. Antara penggunaannya termasuklah rujukan

kehormat, ahli kehormat, tetamu kehormat dan doktor kehormat.

2.1.4 Apitan Kata Adjektif ke-…-an

Apitan yang dapat membentuk kata adjektif terbitan ialah ke-…-an yang mana hanya kata

dasar daripada golongan kata nama sahaja yang dapat bergabung dengan apitan ke-…-an

untuk membentuk kata adjektif terbitan. Oleh itu, apitan ke-…-an berfungsi sebagai

pengubah golongan. Kata adjektif yang terbentuk daripada apitan ke-…-an membawa makna

bersifat seperti yang tersebut pada kata dasar, misalnya:

1. Melayu = kemelayuan ( bersifat seperti orang Melayu )


2. Barat = kebaratan ( bersifat seperti orang Barat )
3. Budak = kebudakan ( bersifat seperti budak )

2.1.5 Sisipan Kata Adjektif


Keempat-empat bentuk sisipan bahasa Melayu iaitu -em- , -el- , -er- , dan -in- dapat

membentuk kata adjektif terbitan. Kata dasar yang boleh bergabung dengan sisipan ini untuk

membentuk kata adjektif terbitan terdiri daripada kata dasar yang memasuki golongan kata

adjektif sendiri, kata nama, dan kata kerja sebagai contoh:

1. Sendeng (kata adjektif) = serendeng


2. Guruh (kata nama) = gemuruh
3. Sambung ( kata kerja) = sinambung
Oleh hal yang demikian, sisipan boleh berfungsi sebagai penetap dan pengubah golongan.

Adapun dari segi makna, sisipan kata adjektif membawa maksud sifat yang mempunyai ciri

yang terkandung dalam kata dasar. Contoh lain kata adjektif yang bersisipan termasuklah

kemilau, gemuruh, selirat, selerak, serendeng, gerodak, dan sinambung.

2.2 Proses Penggandaan

Penggandaan ialah proses menggandakan kata dasar untuk membentuk kata ganda.

Menurut Abdullah Hassan (2006), Proses penggandaan berlaku apabila bentuk dasar itu

diulang, iaitu sama ada sebahagaian atau seluruhnya diulang dan ulangan juga boleh

diistilahkan sebagai ganda. Selain itu, menurut Asmah Hj. Omar (2014), penggandaan

didefinisikan sebagai proses mengulangi sesuatu perkataan, seluruhnya atau pada bahagian-

bahagian tertentu.

2.2.1 Jenis, Fungsi, Bentuk dan Makna Penggandaan

Bentuk penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar.

Dalam proses yang demikian, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh atau

penggandaan separa. Penggandaan juga boleh berlaku secara berentak, iaitu berdasarkan

rentak bunyi tertentu.


Bagi penggandaan penuh, proses yang berlaku adalah menggandakan seluruh kata dasar

dan kata ganda tersebut disertakan dengan tanda semapang (-). Kata dasar yang digandakan

seluruhnya itu boleh terdiri daripada golongan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata

tugas selain daripada kata terbitan dan kata majmuk contohnya:

1. Bapa (kata nama) = bapa-bapa


2. Hidup (kata kerja) = hidup-hidup
3. Manis (kata adjektif) = manis-manis
4. Bukan (kata tugas ) = tugas-tugas
5. pekerja (kata terbitan) = pekerja-pekerja
6. kakitangan (kata majmuk) = kakitangan-kakitangan

Seterusnya, penggandaan penuh mempunyai fungsi-fungsi seperti berikut. Pertama,

menetapkan golongan kata dasar seperti wangi (KA) = wangi-wangi (KA). Yang kedua

adalah berfungsi mengubah golongan kata dasar contohnya erat (KA) = erat-erat (Kata

Adverba). Yang ketiga adalah berfungsi mengubah makna kata dasar tanpa mengubah

golongan kata dasar contohnya baik (KA) = baik-baik (KA). Akhir sekali adalah berfungsi

membentuk kata ganda semu iaitu kata yang mesti dalam gandaan dan kata dasarnya

merupakan morfem terikat seperti oleh-oleh.

Kata ganda yang terhasil daripada proses penggandaan penuh menyatakan makna

tertentu, berdasarkan golongan kata dasar yang digandakan yang mana sekiranya kata

dasarnya kata adjektif, maka kata ganda penuh tersebut bermakna bersifat menyeluruh atau

banyak seperti yang tersebut pada kata dasar, misalnya baik-baik = bersifat baik secara

menyeluruh atau banyak yang baik. Yang kedua pula untuk menguatkan atau menekankan

keterangan yang tersebut pada kata dasar contohnya terang-terang = dengan terangnya dan

seterusnya membawa makna bersifat seperti sesuatu yang menjadi bandingannya, misalnya
hangat-hangat tahi ayam = hangat seperti hangatnya tahi ayam yakni menyifatkan

kemahuan yang tidak bersungguh-sungguh secara berterusan.

Bagi penggandaan separa pula, proses yang berlaku adalah menggandakan sebahagian

kata dasar sahaja. Penggandaan separa mempunyai fungsi dan makna tersendiri iaitu yang

pertamanya berfungsi mengubah golongan kata dasar, contohnya layang (KK) = lelayang

(KN). Yang kedua adalah berfungsi mengubah makna kata dasar tanpa mengubah golongan

kata misalnya kuda = kekuda dan langit = lelangit. Di samping itu, penggandaan separa

dapat menyatakan makna seperti jamak atau banyak contohnya dedaun = daun yang banyak

kemudian boleh juga membawa makna tunggal seperti tetamu = seorang tetamu . Akhir

sekali, penggandaan separa membawa makna menyerupai sesuatu yang tersebut pada kata

dasar iaitu menarik-narik = menarik berulang-ulang, perbuatan berulang-ulang iaitu

berangan-angan = mengangan berpanjangan dan perbuatan saling berbalas misalnya tolak-

menolak = saling menolak.

Seterusnya, bagi penggandaan berentak, proses yang berlaku adalah menggandakan kata

dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar yang mana penggandaan ini terbahagi

kepada pengulangan pada vokal contohnya calar-balar (vokal a), pengulangan konsonan

misalnya terang-benderang (konsonan r dan ng) serta pengulangan berentak bebas seperti

porak-peranda, compang-camping, gundah-gulana dan sebagainya. Secara umumnya,

pengandaan berentak dapat berfungsi sebagai penetap golongan contohnya ramah (KA) =

ramah-tamah (KA) dan sebagai pengubah golongan misalnya lambat (KA) = lambat-laun

(Kata Adverba). Kemudian, dari segi makna, penggandaan berentak dengan kata dasar yang

terdiri daripada golongan kata adjektif akan menyatakan makna sangat atau paling sebagai

contoh gelap-gelita = sangat gelap, hina-dina = paling rendah martabat dan sebaginya.
2.3 Jenis Morfologi

Terdapat dua jenis morfologi dalam bahasa Melayu yang terdiri daripada Derivasi dan

Infleksi. Apa yang dapat difahami, proses derivasi melibatkan berlakunya perubahan kelas

kata walaupun tidak semestinya wajib dan jika kelas kata tidak berubah, perubahan berlaku

pada sub kelas kata iaitu daripada konkrit kepada abstrak manakala infleksi pula adalah

proses yang tidak melibatkan berlaku perubahan makna asas pada kata akar atau kata dasar.

Akan tetapi hanya berlaku penambahan maklumat kategori bahasa. Oleh sebab kebanyakan

perkataan bahasa Melayu diterbitkan melalui pengimbuhan yang menghasilkan derivasi,

daripada satu kata dasar, maka bahasa Melayu terkategori sebagai bahasa yang bersifat

derivasi.

3.0 Kesimpulan

Morfologi merupakan aspek penting dalam tatabahasa bahasa Melayu.. Morfologi

memfokuskan kajian terhadap perkataan dalam bahasa Melayu yang telah mengalami

perkembangan yang pesat, terutamanya dalam bidang kosa kata atau pembendaharaan kata

yang melibatkan perubahan bentuk-bentuk kata. Perbincangan yang dilakukan di atas

diharapkan mampu memberi kefahaman yang lebih mendalam mengenai pembentukan kata

terutamanya kata adjektif dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya bahasa Melayu itu sesuatu

yang unik bayangkan perkataan kata dasar bersih yang pada asalnya merupakan kata adjektif

boleh berubah kategori katanya apabila diimbuhkan seperti bersihkan (KK) dan kebersihan

(KN). Hal ini bermakna sifat sesuatu perkataan itu sebenarnya bersifat dinamik dan amat

berguna dalam mengembangkan bahasa tersebut.


Bibliografi

Asmah Haji Omar. 2014 Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Arbak Othman. 1981 Tatabahasa Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise

Liaw Yock Fang. 1985 Nahu Melayu Moden. Singapura: Pustaka Nasional Pte Limited

Nik Safiah Karim et al. 2013 Tatabahasa DewaN Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka


Morfologi merupakan aspek penting dalam tatabahasa bahasa Melayu. Tatabahasa

pula ialah perkara asas bagi sesuatu bahasa. Morfologi memfokuskan kajian terhadap

perkataan dalam bahasa Melayu yang telah mengalami perkembangan yang pesat,

terutamanya dalam bidang kosa kata atau pembendaharaan kata yang melibatkan perubahan

bentuk-bentuk kata.

Dari segi pembentukan kata pula, kemunculan bunyi-bunyi baharu serta bentuk

imbuhan baharu dalam bahasa melayu menyebabkan berlakunya pembentukan kata baharu

dalam bahasa Melayu. Hasil daripada perkembangan ilmu dan ikhtisas tertentu, imbuhan

yang berstatus imbuhan pada asalnya tidak dianggap imbuhan kerana keperluan mengayakan

perbendaharaan perkataan bahasa Melayu bagi mendukung istilah-istilah tertentu.

Melalui proses perancangan dan pembinaan bahasa yang dilaksanakan oleh Dewan

Bahasa dan Pustaka proses pembentukan kata menjadi tersusun dan terarah. Oleh hal inilah,

begitu banyak perkataan baharu terbentuk semasa dari semasa.

You might also like