Saster A

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

1.

0 PENGENALAN

Karya sastera merupakan salah satu cara bagi manusia menyampaikan


fikiran dan melahirkan perasaan melalui bahasa yang indah. Ia dapat dianggap
sebagai medium mengekspresikan jiwa pengarang iaitu kesan daripada
pandangannya terhadap alam dan kehidupan. Rangsangan luaran yang terkesan
pada fikiran dan perasaan diri pengarang menjadi inspirasi bagi tercetusnya
ilham dan imaginasi sehingga membawa kepada lahimya sebuah karya sastera
sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi.

Puisi ialah bidang yang meneroka keindahan bahasa dan pada masa yang
sama menerapkan pemikiran tertentu di dalam rangkapnya. Sajak merupakan
salah satu genre kesusasteraan moden yang tergolong dalam kategori hasil
penulisan kreatif. Terdapat beberapa pengertian sajak. Za’ba mendefinisikan
puisi atau karangan berangkap sebagai kata-kata khas dipakai untuk melafazkan
fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan
kecantikan bahasa. Seterusnya Za’ba mengatakan bahawa karangan berangkap
itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat, dan
antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau
isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu (Abdul
Halim Ali, 2004).

Menurut Rahman Shaari (1987), sajak ialah puisi Melayu moden yang
muncul di Malaysia pada tahun 1930-an, manakala di Indonesia ianya muncul
sekitar tahun 1920-an. Sajak muncul hasil daripada perubahan sikap, pemikiran,
pandangan hidup dan beberapa aspek kehidupan hasil daripada pengaruh Barat.
Ia dikatakan sebagai puisi bebas atau baharu kerana penyimpangan-
penyimpangan yang membezakan bentuknya daripada puisi Melayu tradisional.

Sehubungan dengan itu, puisi berkaitan langsung dengan segala proses


memaparkan pemikiran yang membangkitkan perasaan, merangsang imaginasi
pancaindera dalam susunan bahasa yang indah dan berirama. Selain itu,
faktor-faktor yang berupaya membantu dalam penghasilan puisi moden ialah
daya kreativiti, daya sensitiviti, daya renung, daya usaha dan pengalaman
penyair-penyair dalam menghasilkan karya-karya puisi yang lebih bermutu dan
kreatif.

1
Dalam kajian ini, sajak Usman Awang telah dipilih. Nama Usman Awang
bukan asing dalam dunia kesusasteraan tempatan. Dalam dunia sastera tanah
air, Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang adalah nama tersohor bagai bintang
yang gemerlapan sepanjang zaman. Karya seni beliau begitu indah, cukup
bersemangat dan benar-benar bermakna sehingga diterima oleh pelbagai kaum
di seluruh tanah air. Hasil kerja beliau berkisar tentang realiti kehidupan, prihatin
terhadap golongan tertindas serta menentang kuat kolonialisme selain bersifat
universal dan patriotik.
Sesungguhnya Usman Awang adalah ikon patriotik yang menerusi karya
seni menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia serta wajar dikenang dan
dimartabatkan. Beliau telah memenangi banyak anugerah kesusasteraan seperti
Gelaran Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1982), Gelaran Sasterawan
Negara (1983), Zamalah Sastera untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran)
(1985) dan Anugerah Penyair Johor (1995).

2.0 OBJEKTIF

Puisi moden kaya dengan khazanah keindahan bahasa, penuh dengan


simbol, baris dan kata-kata puitis yang indah. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji
sajak Sasterawan Negara, Usman Awang yang bertajuk “Balada Terbunuhnya
Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya” dengan menggunakan perspektif
semiotik. Objektif kajian ini untuk mengurangkan kesukaran untuk membuat
interpretasi terhadap sesuatu lambang atau unsur yang terdapat dalam sesuatu
perkataan dan seterusnya memahami apa yang hendak disampaikan melalui
tafsiran lambang-lambang berkenaan di samping dapat memberikan
pemahaman yang tepat berdasarkan makna sajak sebenar.

3.0 BAHAN KAJIAN

Tajuk : Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya


Penulis : Usman Awang

Beringin tua di pinggir jalan raya


di sebuah ibu kota yang setengah muda
ratusan tahun usianya berdiri

2
menadah matahari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang


gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi

Sampai sekarang, tiap senjakala lembayung petang


dengarlah suara Beringin mengucapkan pesan:

Selamat tinggal,
selamat tinggal awan
Selamat tinggal matahari selamat tinggal bulan
Selamat tinggal kupu-kupu sayang
Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang
Selamat tinggal anak-anak bermain riang

Namaku Beringin pohon tua yang terbuang


dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan

(Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang, 1988)

Puisi yang dipilih ialah hasil karya sasterawan Negara, Usman Awang yang
bertajuk “Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya”. Puisi
ini dipilih kerana pengarang seorang yang prihatin kepada permasalahan yang
berhubung langsung dengan manusia dan kemanusiaan. Pelbagai sisi
kemanusiaan diteroka dan diungkap dengan gaya bahasa yang indah dan
berkesan. Pengarang menjadikan kehidupan manusia di sekelilingnya sebagai
sumber kreatifnya yang utama dalam menghasilkan puisi-puisinya. Bagi bahan
kajian ini, pengarang memaparkan permasalahan alam akibat kerakusan
manusia. Oleh yang demikian, pengkaji ingin meneliti makna dan perlambangan

3
yang terdapat dalam sajak untuk mengetahui mesej yang ingin disampaikan oleh
pengarang dengan menggunakan teori semiotik.

4.0 KERANGKA TEORITIS

Teori semiotik adalah salah satu teori kritikan pascamoden yang penting
dan banyak digunakan kini. Semiotik adalah kajian ilmu mengenai tanda yang
ada dalam kehidupan manusia serta makna di balik tanda tersebut. Semiotik
berasal dari bahasa Yunani, iaitu semeion yang bererti “tanda” atau sign yang
membawa maksud sains umum yang mengkaji sistem perlambangan. Mana
Sikana (2001) menjelaskan sejarah teori semiotik bermula daripada pemikiran
Ferdinand de Saussure dan kemudiannya digemblengkan oleh Charles Sanders
Peirce dalam memahami bahasa dan teks-teks sastera.

Berdasarkan penulisan Eagleton (1988) yang bertajuk “Teori


Kesusasteraan Satu Pengenalan” dan telah diterjemahkan oleh Muhammad Haji
Salleh, menyatakan bahawa semiotik atau semiologi merupakan satu kajian bagi
lambang yang sistematik dan dikaji oleh strukturalis sastera. Semiotik yang
dimaksudkan ini lebih kepada bidang kajian iaitu tentang sistem yang terdapat
pada pandangan biasa dan dianggap sebagai lambang seperti puisi, kicauan
burung, lampu isyarat lalulintas, sifat fizikal seseorang dan banyak lagi.

Selain itu, Eagleton (1988) juga turut menyatakan bahawa perintis semiotik
iaitu ahli falsafah Amerika Charles Sanders Peirce telah membezakan tiga jenis
lambang. Pertamanya adalah iconic iaitu lambang yang menyerupai benda yang
diwakilinya. Lambang iconic ini adalah seperti gambar foto seseorang. Lambang
kedua adalah indexical iaitu lambang yang melalui kaedah tertentu untuk
dihubungkaitkan dengan benda yang diwakilinya. Lambang indexical ini boleh
disifatkan seperti asap dengan api, pen dengan kertas. Seterusnya adalah
lambang yang simbolik. Lambang yang simbolik ini adalah suatu tanda yang
memperlihatkan hubungan yang berhubungkait dengan yang dirujuk. Tanda
simbolik ini biasanya seperti penggunaan pelbagai kata dalam bahasa.
Oleh yang demikian, pengkaji menggunakan teori ini untuk menjelaskan
bahawa dalam sesebuah karya itu terdapat banyak tanda dan pembaca atau
harus memahami apa yang dimaksudkan dengan tanda-tanda tersebut. Pengkaji
menganalisis karya dengan mencari dan menilai tanda-tanda yang digunakan

4
melalui ikon, indeks dan simbol. Ikon ialah tanda-tanda yang menjadi pembayang
kepada sesuatu perkara. Indeks pula merujuk kepada tanda-tanda yang terhasil
daripada sesuatu fenomena atau sebab kepada sesuatu perkara. Manakala,
simbol pula merujuk kepada perlambangan yang sedia difahami dan membawa
makna.

5.0 ANALISIS DAN PERBINCANGAN

5.1 Ikon
Sajak “Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya”
karya Usman Awang mengisahkan bagaimana pembangunan di bandar
telah mengorbankan pokok-pokok yang sangat penting kepada ekosistem
akibat kerakusan manusia. Ikon sebagai tanda yang berhubungan dengan
penanda dan petandanya bersifat subjektif. Ikon dapat menjadi suatu identiti
pengenalan bagi objeknya. Ini dapat dilihat pada rangkap puisi berikut:

Beringin tua di pinggir jalan raya


di sebuah ibu kota yang setengah muda
ratusan tahun usianya berdiri
menadah matahari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya.

Usman Awang menyatakan “beringin tua” bermaksud pohon yang telah


lama hidup atau veteran. Pohon “beringin tua” menjadi identiti yang sangat
penting kepada kesejahteraan kehidupan manusia, binatang dan serangga.
Sebagai contoh, pohon beringin itu berperanan “menadah matahari
memayungi bumi”. Ungkapan ini bermaksud pohon beringin itu melindungi
burung-burung, kupu-kupu dan anak-anak dari panas terik matahari serta
menjadi kawasan tadahan hujan untuk mengelakkan bumi dari hakisan.
“Matahari” dalam konteks pula bermaksud memberi cahaya kepada
kehidupan di bumi. Sebagai contoh, pohon beringin itu berperanan
“menadah matahari memayungi bumi”. Ungkapan ini bermaksud pohon
beringin itu melindungi burung-burung, kupu-kupu dan anak-anak dari panas

5
terik matahari serta menjadi kawasan tadahan hujan untuk mengelakkan
bumi dari hakisan.

Di samping itu, Usman Awang menggunakan “burung-burung” dalam


konteks bermaksud simbol kebebasan. Ini kerana penyajak menggunakan
ikon burung-burung yang berterbangan bebas menikmati keindahan alam
sekitar. Manakala “kupu-kupu” dalam konteks pula bermaksud sejenis
serangga yang menghisap madu. Penyajak boleh sahaja menggunakan
ungkapan seperti “serangga berkejaran dalam senda guraunya” tetapi
penyajak tidak berbuat demikian. Malahan penyajak telah mengkhususkan
pula serangga tersebuat “kupu-kupu”.
Ikon yang terakhir yang boleh didapati dalam sajak ini ialah “anak-anak”
yang merujuk kepada “budak-budak”. Penyajak menggunakan kata nama
“anak-anak” bagi menggantikan budak-budak untuk memperlihatkan
kepuitisan gaya bahasa sajak, di samping untuk menghidupkan penggunaan
bahasa figuratif metafora. Ia lebih mendatangkan kesan yang mendalam
kepada pembaca yang turut merasai kegembiraan anak-anak tersebut.

5.2 Indeks
Menurut Mana Sikana (2001), indeks ialah tanda yang merujuk kepada
sesuatu tanda yang mengumpulkan satu atau beberapa fenomena,
sebab-musabab, simptom, isyarat, ikatan dan sebagainya. Tanda yang
menunjukkan ia digunakan disebabkan wujudnya peristiwa atau kaitan
dengan yang lain. Dalam puisi yang dikaji, ungkapan ‘tiba-tiba pagi yang
hitam itu datang’ dalam sajak merupakan indeks yang membawa maksud
suatu hari yang malang telah menjelang. Walaupun begitu, penyajak lebih
senang menggunakan frasa “pagi yang hitam itu datang’. “Hitam” biasanya
dikaitkan dengan “peristiwa buruk atau kematian”. Maka bersesuaianlah
“pagi yang hitam itu” diberi sifat manusia iaitu “datang”.
Manakala ungkapan “sehingga terdengarlah jeritan ngeri” dalam sajak
membawa maksud pohon beringin seolah-olah merintih kesakitan akibat
terkena gigi-gigi besi gergasi teknologi itu. “Ngeri” dalam konteks ini
bermaksud ketakutan yang menyeramkan. Ini dapat dilihat pada rangkap
puisi berikut:

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang


gergasi teknologi menyerangnya

6
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi
5.3 Simbol
Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali (2008) dalam jurnalnya
menjelaskan bahawa simbol menurut Peirce (1965: 249) ialah tanda yang
merujuk kepada objek yang menunjuk kepada peraturan (law) dan biasanya
merupakan gabungan idea-idea umum (general ideas). Simbol sebagai
salah satu jenis tanda mempunyai ciri yang menunjukkan hubungan antara
tanda dengan denotatumnya ditentukan oleh suatu peraturan yang berlaku
secara umum. Simbol juga merujuk kepada sebuah tanda yang dibawa oleh
penanda dengan memberi petanda itu erti, konsep atau makna yang
mewakili sesuatu.
Dalam puisi yang dikaji, Usman Awang telah menggunakan simbol untuk
menggambarkan betapa kejamnya manusia demi untuk mengaut
keuntungan daripada pembangunan yang tidak terancang. Kekejaman itu
disimbolkan dengan “gergasi teknologi”:

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang


gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi

Gergasi teknologi merujuk kepada simbol yang cukup berkesan bagi


menjelaskan kuasa besar di mana berlakunya penindasan oleh manusia
yang menggunakan jentera berat untuk memusnahkan alam semula jadi.
Simbol ini kemudiannya menimbulkan kesan yang mendalam di hati
pembaca dengan frasa “dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi”. Frasa
ini dapat membayangkan kekejaman yang dilakukan oleh gergasi teknologi
terhadap pohon beringin.
Seterusnya dalam frasa “sehingga terdengarlah jeritan ngeri” yang
membawa maksud pohon beringin seolah-olah merintih kesakitan akibat
terkena gigi-gi besi gergasi teknologi itu. Frasa “suara beringin rebah ke
bumi” juga dapat dilihat betapa menderitanya pohon beringin akibat kesan
gergasi teknologi ini. Ia menjerit dan merintih sehinggakan suaranya sudah
tidak kedengaran lagi kerana tumbang menyembah bumi.

7
Sikap manusia yang sangat kejam sangat dikesali oleh Usman Awang.
Melalui frasa “dengarlah suara Beringin mengucapkan pesan”, pengarang
telah cuba untuk menyampaikan mesej kepada pembaca tentang
penderitaan yang dialami oleh pohon beringin. Ia juga telah mengundang
rasa simpati pembaca untuk bersama-sama menyelami situasi itu.
Tidak ketinggalan juga frasa “namaku Beringin tua yang terbuang”.
Frasa ini juga telah memberikan kesan kepada pembaca yang turut
merasakan pohon tua itu dianggap tidak berguna lagi, lantaran manusia
yang terlalu mementingkan pemodenan sehingga sanggup menebang pohon
beringin itu.

6.0 RUMUSAN

Secara kesimpulannya, puisi yang dianalisis nyata sesuai dengan teori


semiotik. Puisi tersebut nyata menepati tanda-tanda yang digunakan melalui ikon,
indeks dan simbol yang telah dikemukakan oleh ahli falsafah Amerika Charles
Sanders Peirce. Pengkaji mendapati pokok Beringin tua merupakan mangsa
akibat permodenan di mana manusia sanggup memusnahkan alam sekitar. Bagi
menggambarkan situasi tersebut, maka pengarang telah mencipta unsur
personifikasi iaitu “dimusuhi oleh rancangan bernama pembangunan”.
Penggunaan unsur ini juga telah menimbulkan kesan yang mendalam di jiwa
pembaca. Mereka merasakan wujud ketidakadilan terhadap alam sekitar yang
terpaksa dikorbankan demi sebuah pembangunan yang belum tentu menjanjikan
kesejahteraan hidup kepada masyarakat.
Pengarang berpendapat bahawa pokok merupakan satu unsur penting
dalam mewujudkan alam sekitar yang sihat. Oleh yang demikian, pembangunan
yang mesra alam sangat dituntut oleh Usman Awang. Manusia hendaklah
merancang pembangunan dengan baik agar alam sekitar tidak terjejas dengan
aktiviti manusia. Manusia juga hendaklah mengambil berat tentang kepentingan
alam semula jadi agar boleh dinikmati generasi pada masa hadapan.

8
7.0 RUJUKAN

Abdul Halim Ali (2004). Di Sekitar Puisi Melayu Moden. Perak: Penerbit Universiti
Pendidikan Sultan Idris

Eagleton, T. (1988). Teori Kesusasteraan: Satu Pengenalan (terjemahan). Kuala


Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana (2001). Teori Semiotik: Tanda Bahasa dan Wacana Sastera. Jurnal
Bahasa 1(2), 193 - 212

Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang (1988). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Rahman Shaari (1987). Persediaan Menulis Sajak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali (2008). Teori Semiotik Peirce Dan Morris:
Satu Pengenalan Kaedah Analisis Sastera. Jurnal Pengajian Melayu 3, 141-153.

9
10

You might also like