Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 30

DILEMA WANITA

BERKERJAYA
DILEMA WANITA
BERKERJAYA

SUZANA GHAZALI

PANEL ISU-ISU SEMASA WANITA ISLAM (PISWI)

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)


Cetakan Pertama 2014

Hak Cipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian


artikel, ilustrasi dan isi kandungan buku ini dalam apa jua bentuk dan dengan cara
apa jua sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman, atau cara lain
sebelum mendapat izin bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62519 Putrajaya.

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan

Suzana Ghazali, 1974-


DILEMA WANITA BEKERJAYA / SUZANA GHAZALI.
ISBN 978-683-042-538-2
1. Women employees. 2. Women in Islam. 3. Muslim women--Conduct of life.
I. Malaysia. Jabatan Kemajuan Islam.
I. Judul.
331.44

Diterbitkan oleh:
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
Blok D7 & D9, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62519 Putrajaya.
Tel: 03-8886 4000 Faks: 03-8889 1997
Laman web: www.islam.gov.my
Kandungan

Kata Alu-aluan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam


Malaysia (JAKIM) ... V

Pengenalan ... 1

Perlukah Wanita Punya Pendapatan Sendiri ... 2

Nafkah Isteri Bekerja ... 4

Membantu Suami Dalam Membiayai Keperluan Rumahtangga ... 7

Wujudkan Keseimbangan Antara Kerjaya ... 10

Batasan Berkawan Bagi Seorang Isteri ... 13

Penutup ... 17
Kata Alu-Aluan
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan
limpah perkenan-Nya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat
merealisasikan penerbitan Siri Risalah Wanita dan Isu dengan kerjasama padu
daripada para Ahli Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI).

Sesungguhnya, kemunculan pelbagai aliran pemikiran daripada pihak-
pihak yang berusaha melakukan rekonstruksi, purifikasi, dan inovasi terhadap
ajaran-ajaran dan normatif dalam sesebuah agama perlu dibendung dengan
bijaksana. Menyedari hakikat ini, sebagai usaha menangani polemik dalam
perkembangan aliran pemikiran yang wujud, Jakim mengambil pendekatan
secara berhikmah dengan memberi kefahaman yang benar kepada umat.

Islam sebagai agama yang diredhai Allah SWT merupakan satu cara
hidup yang lengkap. Sepertimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 19;
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam…” Ia adalah
suatu sistem yang mencakupi peraturan-peraturan secara menyeluruh, serta
undang-undang yang lengkap dalam semua urusan hidup manusia untuk kita
terima dan mengamalkannya secara total.

Oleh yang demikian, sebagai sebuah sistem kehidupan yang diredhai


Allah, Islam meletakkan wanita pada tempat yang tinggi dan mulia iaitu sesuai
dengan fitrahnya. Penegasan yang dijelaskan dalam al-Quran dan as-Sunnah
sudah cukup untuk menolak beberapa gambaran negatif terhadap wanita dalam
apa jua bentuk eksploitasi mahupun penganiayaan.

Sehubungan itu, Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI) ditubuhkan


bagi memperbetulkan salah faham yang berlaku, berdasarkan isu yang
ditimbulkan daripada semua aspek yang berkaitan wanita daripada perspektif
Islam. Selain itu, ahli PISWI juga bertanggungjawab memperjelaskan kepada
masyarakat berkaitan norma-norma agama yang tinggi dengan gambaran yang
benar dan jelas supaya ia dapat dihayati sepenuhnya.

Bertepatan dengan objektif itu, penerbitan siri risalah ini adalah bagi
memberi pemahaman kepada masyarakat berhubung pelbagai isu berkaitan
wanita Islam. Secara tidak langsung ia dapat menangkis salah faham yang
ditimbulkan dan meningkatkan kesedaran wanita Islam dari semua sudut bagi
menjawab segala persoalan.

Semoga Allah SWT meredhai penerbitan siri risalah ini dan dapat
dimanfaatkan oleh umat Islam, khususnya dalam memahami isu-isu berkaitan
supaya dapat dijadikan panduan dalam mendepani segala polemik dengan betul
seterusnya melaksanakan segala perintah Allah SWT.
Dilema Wanita Berkerjaya

Pengenalan
Mengikut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki dan sekali
gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah SWT. Malah Rasulullah SAW
memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia
yang paling indah dan unik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita
yang solehah.” – hadis riwayat Muslim.

Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan


wanita dalam kehidupan global.

Di dalam al-Quran pula, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting:

Pertama : wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak
dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

Kedua : wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera
kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Ketiga : wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang
mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Namun, tika meneruskan hidup dalam era penuh ketamadunan, wanita


Islam kini terpaksa berdepan dengan kemelut utama – sama ada perlu bekerja
atau menjadi suri rumah sepenuh masa? Andai tak bekerja, terjaminkah
kehidupan ketika suami sendiri tidak boleh diharapkan untuk menampung
keperluan keluarga? Jika bekerja, terlucutkah hak sebagai isteri untuk
dibiayai segala keperluan harian oleh suami? Risalah ini bakal menjawab segala
persoalan tersebut insyaAllah!

1
Suzana Ghazali

Perlukah Wanita Punya Pendapatan


Sendiri?
Persoalan ini bukan sahaja satu soalan yang sering berlegar-legar di dalam
pemikiran kaum wanita sebaliknya juga menjadi isu hangat terutama ketika
pelbagai tragedi menimpa anak-anak ketika si anak terpaksa ditinggalkan
bersama pengasuh.

Wanita kini, kebanyakannya sudah sinonim dengan status dwi kerjaya.


Namun ada juga yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa
dengan alasan-alasan yang boleh dikira kukuh dan masuk akal. Cuma, saya
masih ingat pesanan seorang pensyarah saya ketika di Universiti Malaya
dahulu, sebolah-bolehnya jika telah bekerja, cubalah usahakan agar dapat
bertahan dan jangan berfikir dua kali sahaja untuk meletakkan jawatan.
Sebabnya? Kita tidak tahu apa yang akan terjadi di belakang hari. Apa salahnya
kita bersedia lebih awal. Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Saya tahu, ada wanita yang ditakdirkan bersuamikan seorang lelaki


berharta. Mungkin tidak perlu risau jika tiba-tiba ditinggalkan suami yang
pergi mengadap Ilahi. Namun, apakah jaminannya anda akan mewarisi harta
peninggalan tersebut? Jangan salah faham ya! Saya bukan mengajar
anda menjadi materialistik. Saya cuma ingin mengingatkan anda agar tidak
mengadah setelah terhantuk. Paling penting, apa yang saya cadangkan bukan
semata-mata untuk kepentingan anda seorang wanita tetapi adalah demi
kepentingan dan kebajikan anak-anak.

Sebagai seorang wanita, anda perlu lebih bersedia menghadapi apa jua
kemungkinan yang bakal berlaku di dalam rumah tangga anda. Kematian dan
kehilangan kasih sayang. Jangan anda sangka, anda telah menjaga suami anda
secukupnya, tidak mungkin suami berpaling kasih. Bayangkan bila tiba satu
detik anda diduga, suami menduakan anda malah paling malang, anda

2
Dilema Wanita Berkerjaya

dipinggirkan terus kerana suami punya teman yang baru.

Bagaimana anda dan anak-anak? Ya, nafkah anak-anak tanggungan


suami tetapi masih ada kes bapa yang tidak tunaikan tanggungjawab. Sekurang-
kurangnya jika wanita bekerja, kebergantungan kepada suami bukan lagi 100%.
Bukan bermaksud suami tidak diperlukan tetapi wanita akan lebih mudah
berdikari dan tidak cepat melatah jika ditimpa apa juga ujian dan dugaan.
Sebabnya wanita sudah punya pendapatan sendiri. Tidak perlu menunggu
proses pengurusan harta peninggalan suami untuk meneruskan kehidupan
sendiri dan anak-anak. Tidak perlu menagih simpati suami untuk menyuap
makan anak-anak. Jangan terkejut ya, ada bapa yang sanggup menafikan anak
kandung sendiri apabila beristeri baru, nauzubillah.

Saya masih ingat lagi semasa saya merancang untuk mendirikan rumah
tangga, perkara pertama yang saya usulkan pada bakal suami ialah: “Jangan
minta saya berhenti kerja”. Mungkin ada yang tidak setuju tetapi bagi saya
kehidupan wanita akan lebih terjamin jika mempunyai pendapatan sendiri. Tidak
kisah lah apa kerja anda - kerja pejabat, memasak, menjahit, menjaga anak
jiran - yang penting anda punya pendapatan sendiri. Paling tidak pun, pujuklah
suami supaya memberikan anda sejumlah wang untuk simpanan khas anda
dan pastikan jumlah tersebut disimpan dan bukan untuk dibelanjakan walau apa
juga kecemasan mendatang.

3
Suzana Ghazali

Nafkah Isteri Bekerja


Isu yang tidak pernah kering liur membincangkannya ialah mengenai nafkah
isteri yang bekerja. Yang kerap dikemukakan, benarkah tanggungjawab suami
memberi nafkah kepada isteri akan gugur sekiranya si suami telah memberi izin
kepada isterinya untuk bekerja?

Sebenarnya, satu perkara yang memang telah diketahui umum malah oleh
segenap lapisan masyarakat termasuklah mereka yang bertanyakan soalan
ini ialah sesungguhnya seorang suami adalah wajib menanggung segala
perbelanjaan isterinya walaupun isterinya bekerja.

Islam malah agama lain juga menetapkan bahawa suami adalah sebagai
ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas sudah bahawa
seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian,
tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan
bagi isteri dan juga satu perkara sampingan tetapi menjadi perkara utama
apabila dilakukan demi suami tercinta seperti rawatan kecantikan dan solekan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan
orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga
kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari
harta mereka.” – surah an-Nisa’ ayat 34.

Melihat kepada definisi nafkah iaitu KEPERLUAN ISTERI DAN ANAK-ANAK,


maka terkeluarlah segala bentuk kemewahan. Sebagai contoh, seorang suami
mampu menyediakan makan minum yang mengenyangkan untuk isteri dan
anak-anak berupa nasi dan lauk yang sesuai, itu dikira telah menyediakan
nafkah yang cukup walaupun hari-hari makan ikan dan sayur dan hanya sekali
dalam sebulan makan daging atau ayam. Apabila suami telah menyediakan

4
Dilema Wanita Berkerjaya

rumah yang sesuai dan munasabah, menyediakan pakaian yang sesuai


dan menutup aurat, memberikan pendidikan kepada anak-anak atau secara
mudahnya, segala keperluan harian telah disediakan dan tidak mengganggu
perkembangan hidup isteri serta pembesaran anak-anak, bererti si suami telah
menjalankan kewajipan nafkah yang patut dan munasabah dari hukum syarak.

Wang poket walaupun tidak termasuk dalam kewajipan nafkah tetapi tetap
perlu diberikan kepada isteri dalam kadar yang sesuai dan munasabah untuk
tabungan dan simpanan bagi menghadapi kes-kes kecemasan. Seorang suami
yang tidak memberikan duit poket yang sesuai dan munasabah adalah dikira
telah melakukan keganasan kewangan kepada si isteri sekiranya si isteri adalah
seorang suri rumah yang tidak mempunyai apa-apa hasil pendapatan selain
daripada wang yang diberikan oleh si suami.

Sekiranya si isteri bekerja atau pun suri rumah yang mempunyai


pendapatan dari hasil kerja sampingan seperti menjahit, menjaga anak orang
atau apa sahaja, suami boleh tidak berikan wang poket kepada isteri dengan
syarat segala keperluan isteri dan anak-anak telah disediakan sepenuhnya oleh
si suami.

Hukum juga menetapkan, kadar pemberian nafkah adalah mengikut


kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya
melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini
ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami.
Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan
kehendak isteri yang melampau.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang mampu memberi nafkah
hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya,
maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya
(sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar
kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam
kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan
sesudah berlakunya kesusahan.” – surah al-Talaq ayat 7.

5
Suzana Ghazali

Kemampuan juga bererti atas segala daya dan usaha suami, bukannya
sekadar usaha setapak mengharapkan rezeki sebukit. Paling penting,
tanggungjawab ditunaikan secara sedaya upaya sebab setiap suami akan
disoal di akhirat nanti atas kegagalannya menyediakan segala keperluan
tersebut.

6
Dilema Wanita Berkerjaya

Membantu Suami Dalam Membiayai


Keperluan Rumahtangga
Saya tidak ada statistik yang tepat tentang sejauh mana penglibatan kaum
isteri dalam membiayai keperluan rumahtangga. Namun, berdasarkan kes-kes
yang saya kendalikan; saya boleh putuskan; daripada 10 rumahtangga, hanya
dua dibiayai sepenuhnya oleh suami; tiga dibiayai sebahagiannya oleh suami
dan sebahagiannya oleh isteri; dua dibiayai kebanyakannya oleh isteri dengan
bantuan suami dan tiga kes pula dibiayai sepenuhnya oleh isteri; sama ada
si suami tidak bekerja atau suami bekerja tetapi tidak membantu dalam
perbelanjaan keperluan rumahtangga.

Realitinya, saya yakin sangat ramai yang telah maklum; tanggungjawab


membiayai keperluan rumahtangga menjadi tanggungjawab wajib seorang
suami, tanpa sebarang pengecualian kecuali kes-kes dharurat yang munasabah
menurut syarak. Biarpun begitu, tidak salah jika si isteri membantu.

Malah, dalam arus kehidupan moden sekarang ini, dalam keadaan


selangkah gerak berharga hampir seringgit atau mungkin lebih; ketika kaum
wanita rata-ratanya berpendidikan tinggi dan berpangkat besar, ada kalanya
melebihi suami sendiri; membantu suami membiayai keperluan rumahtangga
bukanlah sesuatu yang tidak wajar malah juga tidak berdosa.

Perkahwinan dan rumahtangga adalah satu perkongsian. Bukan saja


perkongsian kasih dan sayang; bukan juga hanya perkongsian hak sebaliknya
juga perkongsian tanggungjawab. Jika tanggungjawab yang perlu dilakukan
secara bersama-sama, beban yang dipikul akan terasa lebih ringan dan mudah.
Malah membantu menyemarakkan lagi kasih sayang yang ada.

TETAPI ada syarat dan ketetapannya! Kedua-dua pihak perlu ikhlas dalam
berkongsi menjalankan tanggungjawab ini. Jangan pula ada yang mengambil

7
Suzana Ghazali

kesempatan. Sebagai contoh; si suami mempunyai pendapatan yang lebih kecil


berbanding si isteri maka si isteri berusaha membantu suami dalam membiayai
segala keperluan rumahtangga. Hanya dengan satu hasrat; rumahtangga yang
dibina akan kekal bahagia. Sekiranya si suami terus ikhlas menerima bantuan
si isteri; dia akan tetap berusaha menjalankan bahagian tanggungjawabnya
sekadar yang terdaya dan bukan mengambil peluang. “Haaa!! Isteri dah tolong..
apa lagi, biar dia saja lah yang buat semuanya....”

Syarat kedua; Para isteri perlu benarkan si suami menjadi tunggak utama
keluarga. Biarkan si suami usahakan dulu tanggungjawabnya sedaya upaya.
Apabila suami telah berusaha tetapi masih belum mencukupi, hulurkanlah
bantuan. Jangan senang-senang saja anda pula hendak mendahului
tanggungjawab suami, beri muka yang berlebihan sangat; sampaikan suami
boleh terasa dirinya tidak diperlukan untuk menjalankan tanggungjawab
tersebut. Akhir nanti anda yang akan merasa siksanya, nauzubillah!

Suami dan isteri ibarat matahari dan bulan. Suami adalah matahari. Isteri
pula adalah bulan. Matahari memberi cahaya dan haba pada siang hari. Bila
malam, matahari tiada dan bulan pula yang muncul memberi cahaya tetapi
masih menggunakan khidmat daripada matahari, tak gitu?

Syarat ketiga; catatkan segala perbelanjaan, duit keluar masuk, deposit


atau kredit daripada bank dan macam-macam lagi. Pentingnya catatan ini ialah
jika berlalu perkara yang tidak diingini di belakang hari, anda boleh menuntut
hak anda kembali.

Mungkin ada yang menghadapi situasi seperti yang dibincangkan ini malah
lebih teruk lagi apabila si isteri yang perlu menanggung semuanya disebabkan
keengganan suami; bukan tidak mampu tetapi sengaja enggan! Jika anda
berada dalam situasi ini; saya mohon, berunding secara baik dengan suami;
‘paksa’ dengan lembut agar suami menjalankan tanggungjawabnya dan jika
masih gagal juga, segeralah ke Mahkamah Syariah yang berdekatan untuk
mendapatkan perintah menjalankan tanggungjawab nafkah.

Kalau anda tidak kisah sangat sebab memang anda berkemampuan, saya
mohon pengertian dan pemahaman, jangan benarkan suami anda menjadi

8
Dilema Wanita Berkerjaya

seorang yang gagal menunaikan amanah Allah. Perlu diingat! Suami yang
biasa bersenang dengan harta isteri, akan mudah untuk melupakan
pengorbanan si isteri tersebut disebabkan tiada bebanan tanggungjawab di
dalam diri yang perlu difikirkan.

Mereka ini akan cenderung untuk mencari keseronokan lain dan tika ini,
apabila si isteri tahu diri telah dikhianati; mengungkit kesilapan suami seakan
tiada harganya lagi. Beringatlah sebelum terlambat!

9
Suzana Ghazali

Wujudkan Keseimbangan Antara Kerjaya


Keseimbangan antara kerjaya dan rumahtangga adalah penting dalam misi dan
usaha seorang wanita berstatus isteri mengekalkan keharmonian rumahtangganya.
Maksud keseimbangan bukanlah sama rata atau sama banyak masa diperuntukan
untuk kedua-duanya tetapi keseimbangan yang diperlukan ialah memberikan
seluruh perhatian dan penumpuan kepada kerjaya ketika waktu anda bekerja dan
ketika anda di rumah pula, berikan seluruh perhatian dan penumpuan kepada
kehendak pasangan dan anak-anak. Cuma, waktu luang masa ketika rehat bekerja,
peruntukan sedikit untuk pasangan dan anak-anak.

Kenapa perlu ada luang masa untuk pasangan dan anak-anak ketika
bekerja? Mohon dijawab dulu persoalan di bawah ini:

v Tahukah anda, berapa jam sehari anda luangkan masa bersama anak-anak
anda? Berapa jam dalam seminggu? Dalam sebulan? Setahun? Pernahkah
anda melakukan kiraan masa- masa tersebut?

v Dalam tempoh masa tersebut pula, apakah yang anda lakukan bersama
pasangan dan anak-anak?

v Cuba perhatikan senarai dan jumlah masa yang anda luangkan bersama
pasangan dan anak-anak, mana yang lebih? Kuantiti masa anda atau
kualitinya?

Ada yang berpendapat; tak perlu masa yang lama tetapi memadai masa yang
sedikit tetapi digunakan sepenuhnya. Ada yang mencadangkan, cukuplah
digunakan masa satu hari siang di hari minggu untuk bersama isteri atau
suami dan anak-anak. Kalau sebelum ini, ketika zaman belum berteknologi
sepenuhnya, mungkin pendapat ini boleh diterima. Tetapi zaman kebelakangan
ini, tika anak yang baru pandai mengagah sebutan Mama sudah pandai
bercakap menggunakan telefon bimbit, saya tidak rasa pendapat tersebut masih

10
Dilema Wanita Berkerjaya

relevan.

Sebabnya? Pertama: Anda masih boleh meluangkan masa bersama anak-


anak walaupun anak-anak tiada di depan mata. Kedua: Anak-anak mampu
mencari ‘pengganti anda’ andai anda terlupakan mereka sesaat pun walau tanpa
sengaja. Ketahuilah, kesan dan natijah sebab kedua adalah amat besar dan
terlalu payah untuk anda berpatah balik jika ianya berlaku. Bagi mengelakkan
masalah besar inilah, anda perlu selarikan antara kuantiti dan kualiti masa anda
bersama pasangan anda dan anak-anak anda khasnya.

Fikirkan! Anda meninggalkan rumah sekitar jam 8.00 am, menghantar anak
ke taska atau tadika. Ada yang perlu keluar lebih awal dari rumah jika tempat
kerja agak jauh atau waktu kerja lebih awal. Balik kerja dan sampai ke rumah
lingkungan jam 7.00 pm. Kalut itu ini, paling cepat jam 8.00 pm barulah boleh
bersama anak-anak. Sekitar jam 10.00 pm, dah nak suruh anak-anak masuk
tidur. Kiralah sendiri berapa masanya anda dapat luangkan bersama anak-anak?

Dengan masa yang ada tersebut, jika anda tidak menggunakan sepenuhnya,
tidak mustahil anda akan mengabaikan anak-anak anda tanpa sedar.Bila terasa
mereka diabaikan, anak-anak akan mencari pengganti anda. Mungkin pembantu
anda. Mungkin pengasuh atau mungkin juga kawan-kawan mereka. Pasangan
yang terabai juga mudah dirampas kasih sayangnya daripada anda!

Sebab itulah saya katakan, anda perlu gunakan ruang masa rehat anda
untuk pasangan anak-anak anda. Segala kemudahan ada di hujung jari. Rata-
rata ahli masyarakat hari ini mempunyai kemudahan telefon bimbit hatta anak-
anak juga telah diberikan hak menggunakan telefon bimbit. Bererti, tiada alasan
untuk anda rasa sukar untuk meluangkan masa dengan anak-anak anda.

Saya tak suruh anda gunakan telefon bimbit yang ada kemudahan 3G
atau yang seumpamanya. Meluangkan masa bersama anak-anak mempunyai
pelbagai cara. Antaranya cukuplah dengan anda menefon bertanyakan apakah
aktivitinya tika itu? Paling penting, anak-anak dapat merasakan keakraban
hubungan antara anda dan mereka. Sekurang-kurangnya mereka tahu segala
tindakan mereka diambil peduli dan anda mengambil berat mengenai
kehidupan mereka.

11
Suzana Ghazali

Ingatlah! Setiap daripada kita mempunyai jumlah masa yang sama iaitu
24 jam. Rutin harian ialah 8 jam untuk bekerja tetapi kita selalunya mengambil
masa hingga 10 jam, mengambil kira waktu pergi dan balik. Ditolak daripada
24, masih berbaki 14 jam. 14 jam adalah waktu yang agak bebas untuk anda
gunakan, bezanya waktu tersebut bukanlah keseluruhannya waktu yang sesuai
untuk anda meluangkan masa dengan anak- anak selain daripada dua hingga
tiga jam yang pertama. Tahu kenapa saya membuat kiraan ini? Saya yakin,
ramai yang bekerja lebih masa bagi menampung nafkah keluarga.

Cadangan saya, gunakan waktu selepas jam 10 pm untuk anda


melakukan kerja tambahan tersebut. Jangan gunakan waktu sebelumnya
kerana waktu tersebut adalah milik anak-anak anda. Hidup ini tidak dapat lari
daripada melakukan pengorbanan. Sebaiknya, korbankanlah sedikit masa rehat
anda tetapi jangan sesekali korbankan masa penting anda bersama pasangan
dan anak-anak.

Seandainya dalam kesibukan bekerja, anda masih mampu mengambil berat


dan memberikan perhatian kepada pasangan dan anak-anak, yakinlah anda
takkan menghadapi masalah dalam kerjaya anda kerana pasangan dan anak-
anak akan memahami tika anda terlalu sibuk hingga tidak dapat meluangkan
masa seperti biasa buat sementara. Namun, seandainya anda memang jenis
kurang peduli daripada awal, mana mungkin pasangan dan anak-anak akan
memahaminya?

Praktikkan juga untuk meminggirkan emosi secara professional.


Maksudnya, ketika penumpuan perlu kepada kerjaya sedangkan anda
bermasalah dalam rumahtangga, usahakan agar emosi anda tidak mengganggu
rutin pekerjaan anda. Jika anda gagal, kerja anda mungkin tertangguh dan
boleh menyebabkan kerjaya anda bermasalah. Jangan mudah mengharapkan
simpati orang lain kerana sekali mungkin boleh diterima tapi jika selalu? Untuk
menguasai emosi, banyakkan zikir mengingati Allah dan berdoa mohon
diberikan kekuatan minda dan kelapangan fikiran. Urusan anda akan
dipermudahkan jika anda sendiri berusaha ke arah tersebut.

12
Dilema Wanita Berkerjaya

Batasan Berkawan Bagi Seorang Isteri


Berkawan biar beribu, bercinta biarlah satu. Saya yakin, ramai yang maklum
dan arif dengan falsafah ini. Malah ramai juga yang menukar falsafah tersebut
menjadi pelbagai falsafah lain menurut citarasa dan kehendak sendiri. Tak
kisahlah walau apa pun falsafah yang anda cipta, yang penting setiap perkara
ada limit dan batasannya termasuklah istilah berkawan bagi seorang isteri.

Ingat ya! Ada bezanya bila seorang gadis atau wanita menjadi isteri
kepada seseorang berbanding dirinya sewaktu bergelar bujang, dara atau
janda. Walau secanggih mana pun ketamadunan dunia kini, status dan martabat
seorang isteri tetap sama, tidak pernah berubah daripada dulu, kini dan
selamanya. Tak kiralah isteri tersebut bekerja ataupun menjadi suri rumah
sepenuh masa. Semuanya tertakluk kepada satu prinsip pergaulan yang
sama iaitu setiap isteri mempunyai batasan yang tersendiri di dalam berkawan
dengan seorang lelaki.

Ya, batasan yang saya maksudkan ialah apabila anda berkawan dengan
seorang lelaki.

Kalau dengan perempuan, masih ada batasannya tetapi tidaklah seperti


batasan yang perlu ada apabila anda berkawan atau bersahabat dengan
seorang lelaki. Kebelakangan ini, terlalu banyak aduan yang saya terima
daripada para suami yang berasa tidak sedap hati melihat cara dan corak
isteri masing-masing berkawan dan bersahabat. Malahan, ada isteri yang
mempersoalkan hak asasi mereka apabila persahabatan mereka dengan lelaki
lain dipersoalkan oleh suami masing-masing?

Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, ada perbezaan yang jelas dan
ketara apabila seorang gadis atau wanita sah menjadi isteri kepada seorang
lelaki. Jika tahap ketaatan boleh berubah daripada seorang ibu dan bapa
kepada seorang suami, ini kan pula tahap dan batas pergaulan sehari-hari.

13
Suzana Ghazali

Bukan bererti seorang isteri tidak boleh berkawan dengan mana-mana


lelaki tetapi cara dan corak anda berkawan dan bergaul, itu yang diambil kira.
Jika sebelum ini anda bebas menerima atau membuat panggilan, menghantar
atau menerima sms ataupun berbual bersemuka atau berjumpa, semua itu
mempunyai batasan yang tersendiri setelah anda sah menjadi milik sepenuhnya
kepada seorang lelaki bernama suami. Anda masih boleh berkawan dengan
syarat sebagai seorang kawan yang biasa-biasa sahaja.

Anda tidak boleh berkongsi rahsia apatah lagi berkongsi rasa dengan
kawan-kawan lelaki anda walau sekadar rasa simpati. Bukan bermaksud anda
tidak boleh dipercayai tetapi satu perkara yang jelas ialah ’wanita adalah
fitnah’. Kata-kata ini bermaksud apa sahaja perlakuan kita sebagai wanita
mampu menimbulkan buruk sangka yang kesannya adalah perkara yang
tidak diingini. Jika tidak, tidak timbullah pendapat ulama yang mengharamkan
kaum wanita yang mempunyai suami yang mampu membiayai perbelanjaan
rumahtangga sepenuhnya, keluar bekerja.

Pendapat ini timbul adalah sebagai satu tindakan bagi menyekat pergaulan
seorang wanita terutamanya seorang isteri. Bukan bererti menyekat kebebasan
seorang wanita tetapi membantu wanita menjadi seorang wanita dan isteri yang
solehah, yang diredhai suami dan Ilahi.

Dalam kebanyakan kes melibatkan hubungan kawan yang melampau


antara seorang lelaki dan wanita hatta isteri orang ini, mengundang masalah
yang berat termasuklah menjejaskan hubungan suami isteri. Ada juga isteri
yang membandingkan suaminya dengan kenalan barunya hingga sanggup
menduakan suami, nauzubillah.

Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua isteri yang mempunyai


kawan lelaki gagal memainkan peranan sebagai seorang kawan seperti yang
ditetapkan oleh syarak. Inilah yang termasuk di dalam kategori wanita yang
mengetahui batasan untuk berkawan dengan seorang lelaki.

Perkara yang peling penting ialah setiap daripada lelaki yang menjadi
kawan, sahabat atau kenalan anda perlu diketahui oleh suami anda.
Bermaksud, seorang isteri diharamkan berkawan dengan mana-mana lelaki

14
Dilema Wanita Berkerjaya

yang tidak disukai atau dilarang oleh suaminya. Kecualilah rakan sekerja di
pejabat kerana mereka adalah orang yang memang akan berurusan sepanjang
masa dengan anda termasuklah klien atau pelanggan syarikat tempat anda
bekerja. Terkecuali juga di dalam kes-kes suami yang bertindak cemburu buta.

Walaupun mereka tidak perlu dikenali oleh suami anda, anda tetap
mempunyai tahap pergaulan yang tersendiri. Anda tidak boleh sewenangnya
keluar makan berdua-duaan sahaja ataupun keluar ke mana-mana atas urusan
persendirian dan bukannya urusan kerja. Jika anda bertindak di luar batasan
tersebut, anda boleh dikategorikan sebagai isteri yang curang walaupun anda
tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggar batasan syariat.

Kenapa? Seorang isteri adalah hak mutlak seorang suami. Suami


mempunyai hak mutlak ke atas anda kerana suami adalah insan yang
bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kebajikan anda, makan minum anda,
tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan
kehidupan anda termasuklah segala dosa yang anda lakukan, suami akan turut
sama mendapat habuannya. Lantas, jagalah maruah anda sebagai isteri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah


kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan
membinasakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi
hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita
yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi
beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” – hadis riwayat Abdullah ibn Humaid.

Hadis ini menjelaskan, aspek keagamaan dalam diri seorang isteri adalah
penentu hala tuju sesebuah rumahtangga yang dibina dan dibentuk. Agamanya
yang bertapak kukuh dalam jiwa akan mendorong ketaatan kepada suaminya
pada semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak
mendatangkan mudarat kepadanya.

Isteri yang solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda
suaminya, di samping menjaga maruahnya. Sewaktu ketiadaan suaminya,
seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh
keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali

15
Suzana Ghazali

dan sebagainya.

Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak


dipengaruhi oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “...perempuan yang
solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan
suaminya dengan perlindungan Allah...” – surah an-Nisa, ayat 34.

16
Dilema Wanita Berkerjaya

Penutup
Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ramai personaliti wanita terbilang yang
mampu menjadi teladan kepada wanita-wanita dewasa ini. Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu
segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun;
Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW
dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda.” – hadis riwayat
Bukhari.

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap


mempertahankan keimanannya kepada Allah SWT, meskipun hidup sebumbung
bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah SWT. Maryam pula
adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya
kepada Allah SWT serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya
ketika mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Khadijah adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat
lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam,
berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung
pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang
diamanahkan kepada Rasulullah SAW.

Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak
yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di
hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya.
Dialah ketua segala wanita dan juga seorang wanita mithali. Setiap detik
kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan wanita hari ini.

Paling penting: pahatkan dalam minda anda, wanita adalah insan istimewa.
Wanita adalah bak sebutir berlian yang makin tinggi harganya jika makin keras
tekanan yang dihadapi. Menepati ayat 5-6 surah al-Insyirah/as-Syarh:

17
Suzana Ghazali

“Kerana sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada


kemudahan. Sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada
kemudahan.”

Dua ayat diulang sebagai janji pasti dari Allah buat hamba yg redha!
Percayalah!!

18
Risalah

19
Nota

20

You might also like