PGA101

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 13

STRATEGI PENGURUSAN BILIK DARJAH:

ASPEK MASA DAN ORGANISASI

Oleh

Abd.Rahman Hj.Abd.Aziz

Pengenalan

Pengurusan bilik darjah yang bermutu dan berjaya melibatkan bukan sahaja
tindak balas yang berkesan apabila timbulnya sesuatu masalah tetapi lebih
utama ialah tindakan menyedia suasana yang kondusif agar sesuatu masalah
tidak timbul. Dalam kata-kata yang lebih mudah, mencegah adalah lebih baik
daripada mengubat. Walaupun kata-kata tersebut sudah menjadi ‘cliché’, tetapi
kebenarannya sudah terserlah. Dalam konteks yang sama, keputusan yang
paling berkesan dalam pengurusan bilik darjah terletak atas konsep yang jelas
terhadap kehendak dan wawasan serta hasil yang mahu dicapai. Justru, tidak
salah kalau diandaikan bahawa bilik darjah merupakan tempat pertemuan yang
paling penting antara guru dan pelajar. Di dalam bilik darjah guru mengenali
pelajar-pelajarnya. Di dalam bilik darjah segala macam ilmu diteroka dan
dipelajari. Dan, di dalam bilk darjah guru yang bijaksana mampu mengilap intan
dan permata daripada kaca-kaca.

Dalam konteks yang sama, pengurusan bilik darjah yang efektif juga seharusnya
mengambil kira kepentingan masa dalam pembelajaran di samping kemampuan
guru menangani masalah disiplin pelajar. Pengurusan masa yang cekap dalam
bilik darjah mampu menyediakan peluang maksimum kepada guru dan pelajar
untuk mencapai keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Bab ini akan membincangkan beberapa langkah dan tatacara yang boleh
membantu guru menguruskan masa dengan berkesan dalam bilik darjah dan
menguruskan bilik darjah sebagai sebuah organisasi.

Pengurusan Bilik Darjah

Menurut Jones, F.V. (1990) dan Florida Departmental of Education, pengurusan


bilik darjah meliputi peraturan , tatacara dan prosedur yang perlu dibangunkan
bersama dengan strategi pengajaran yang boleh membantu para pelajar
mencapai keperluan peribadi dan akademik mereka. Ia meliputi aspek organisasi
bilik darjah dan masa, komunikasi, pemantauan, penerangan dan aspek-aspek
menangani permasalahan jika timbul .
Slavin (1988) menegaskan pengurusan bilik darjah meliputi kaedah dan tatacara
mengendalikan aktiviti bilik darjah, pengajaran, peralatan fizikal, penggunaan
masa yang berkesan, mencipta suasana ceria dalam pengajaran dan
pembelajaran dan mengurangkan masalah disiplin serta lain-lain gangguan.
Dalam hubungan yang sama,Carol Weinstein ( 2003) menekankan dalam
pengurusan bilik darjah, kebijaksanaan guru mentadbir masa pengajaran
dengan berkesan akan membatu meningkatkan peluang pembelajaran dan
dalam masa yang sama membantu mengurangkan peluang untuk gangguan.

Pengurusan Masa Dalam Bilik Darjah

Hari pertama persekolahan amat penting dalam perancangan kelender akademik


bagi para guru. Terutamanya dari aspek pengagihan ,penggunaan dan
permanafaatan masa. Seseorang guru perlu memikirkan bagaimana dapat
memenuhkan seluruh masa persekolahan sepanjang tahun dengan berkesan.
Justru, seseorang guru perlu merancang kerana setiap hari berlalu ia akan mula
merasakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan segala
yang telah dirancangkan. Kekangan-kekangan seperti perhimpunan, latihan
pencegahan api, pengumuman melalui interkom, ujian selaras, cuti umum dan
tugas-tugas perkeranian , akan menyebabkan guru-guru ‘ kehilangan masa’ dan
sekaligus masa yang tinggal untuk sesi pengajaran dan pembelajaran semakin
berkurangan berbanding dengan masa awal yang telah dibekalkan.

Sesungguhnya, pada penghujung tahun ramai guru yang merasai bahawa


mereka tidak mempunyai cukup masa. Pada ketika itu, masa akan menjadi
sumber yang amat bernilai. Keadaan ini lebih terasa bagi para guru yang
mengajar di kelas-kelas peperiksaan. Situasi ini akan memerangkap guru-guru
dalam keadaan bimbang kerana masa yang tinggal semakin sedikit, manakala
silibus masih ada yang belum dapat diselesaikan. Justru, guru yang bijak akan
sentiasa merancang masa dengan baik. Menurut Weistein (2003) Falsafahya
ialah masa bukan sahaja perlu diberi perhatian tetapi juga perlu ditadbir dengan
bijaksana dan berkesan. Keprihatinan menggunakan masa dengan terancang
akan memaksimumkan peluang pembelajaran dan meminimumkan gangguan
dan masalah disiplin pelajar.

Pandangan Weinstein berkaitan dengan pentadbiran masa berkesan dalam


pengurusan bilik darjah bertepatan dengan pandangan Doyle (1986) dan Karweit
(1989) . Menurut Doyle, pengurusan bilik darjah adalah satu kesatuan
menyeluruh dari pelbagai sudut untuk membentuk tingkah laku dalam diri
individu pelajar. Dalam konteks ini, pengurusan masa perlu diuruskan dengan
baik untuk tujuan:

1. mengendalikan bilik darjah dengan baik dan mengelak gangguan yang


boleh membuang masa pengajaran.

2. memastikan masa mencukupi supaya guru dapat mengendalikan waktu


pengajaran dengan berkesan.

3. guru dapat menangani masalah disiplin pelajar ( jika perlu )

Korweit pula menyatakan jika terlalu sedikit masa digunakan dalam pengajaran,
subjek tersebut sukar dipelajari. Justru, lebih banyak masa digunakan dalam
pengajaran/penerangan/ aktiviti pembelajaran, lebih banyak kesan positif dalam
pencapaian pelajar. Menurut Karweit terdapat tiga jenis masa pembelajaran
iaitu:

 Allocated time : masa seluruh kelas berpeluang belajar dalam aktiviti


Pengajaran dan pembelajaran
 Time-on-task : masa yang digunakan secara aktif dalam melaksana-
kan tugasan
 Engaged time : masa sebenar yang digunakan oleh individu pelajar
untuk belajar bersungguh-sungguh.

Sesungguhnya masa adalah sumber yang terhad. Pada umumnya terdapat 200
hari persekolahan dalam setahun dengan lima hari persekolahan dalam
seminggu dan enam jam waktu belajar setiap hari..Daripada kajian yang
dijalankan hanya 60% daripada masa sebenar berlangsungnya pengajaran dan
pembelajaran dan 40% masa terbuang begitu sahaja ( Korweit & Slavin, 1981)
Jadi ke mananakah masa kita ?

Korweit menyenaraikannya seperti berikut:

 6 jam sehari - pembelajaran pelbagai subjek


- pendidikan jasmani
- pertukaran kelas
- pertukaran guru
- perhimpunan
- masa rehat
- pengumuman

40 minit pengajaran - menunggu guru


- menyusun meja
- penerangan guru
- latihan murid
- menangani disiplin ringan

Hanya 60 % daripada masa sebenar berlangsungnya pengajaran dan


pembelajaran dan 40% lagi terbuang begitu sahaja ( Korweit & Slavin,l981)

40 % - guru lambat masuk


- acara sekolah
- ujian selaras
- lawatan
- guru bercuti

60 % pun – lambat bermula


- perbincangan hal lain
- pengumuman
- pengedaran bahan
- disiplin pelajar

Manakala Weinstein pula menggariskan pembahagian masa di sekolah seperti


berikut:

1. Mandated time : Jumlah masa yang telah ditentu dan diperuntukkan


untuk mengajar sesuatu subjek oleh kementerian.

2.Available time / : tempoh masa sebenar yang digunakan oleh pelajar


instructional time dalam sesi p&p .

3. engaged time : masa sebenar yang digunakan secara maksimum oleh


pelajar untuk menjalankan tugasan mereka.

4. Actual Learning time: tempoh masa yang paling tepat digunakan oleh pelajar
untuk melaksanakan tugas mereka secara bersungguh-
sungguh dan bermakna, selepas menolak kehilangan
masa oleh gangguan-gangguan lain.

Di samping halangan-halangan masa yang membuatkan ‘ pengurangan masa


belajar’ kadangkala guru-guru juga menjadi terkeliru antara ‘baki masa yang
bermakna’ dengan ‘aktiviti yang sesuai dengan tugasan yang diberi’. Masa yang
bermakna merujuk kepada kesesuaian pelaksanaan kerja/aktiviti bagi tugasan
yang dibuat. Sebagai contoh, dalam waktu pengajaran subjek matematik di
tingkatan lima, seorang pelajar tekun dan komited dengan tugas yang diberi.
Beliau menggunakan hampir 20 minit untuk mewarnakan rajah yang dilukis
daripada buku teks. Jadi adakah kerja ini bermakna?, walaupun pelajar tersebut
tekun dan bersungguh-sungguh. Apakah kewajaran pelajar tingkatan lima
mewarnakan rajahnya?. Apatah lagi bagi subjek matematik?. Bagi Weistein,
aktiviti mewarna tersebut amat sesuai bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah bagi
tujuan kemahiran psikomotor mereka, tetapi mungkin tidak bagi pelajar tingkatan
lima. Di sinilah, sebagai contoh, berlakunya kehilangan masa pembelajaran
yang bermakna dan berkesan dalam aktiviti-aktiviti di bilik-bilik darjah. Aspek ini
perlu mendapat perhatian khusus oleh guru-guru. guru. Hal ini kerana ;

“ The hours available for learning are far more limited than they initially appear”
( Weinstein, h.147 )

Prinsip Penggunaan Masa Dalam Bilik Darjah

Slavin (1994) memetik sebuah kata-kata yang cukup menarik untuk renungan
berkaitan dengan pengurusan masa dalam bilik darjah seperti berikut: “ Jika
anda tidak mempunyai rancangan pelajaran untuk pelajar-pelajar anda, mereka
ada rancangan untuk anda”. Kata-kata ini mempunyai implikasi;

1. Jika guru tidak bersedia, beliau akan kehilangan kawalan dalam bilik darjah.
Akan banyak terbuang.

2.Jika guru tidak mempunyai rangka kerja rutin, pelajar tidak akan bersedia.
Masa akan terbuang.

3. Semasa guru sedangn memberi penerangan kepada satu kumpulan,


kumpulan lain tidak menjalankan tugas dengan baik. Masa akan terbuang.

4. Penerangan guru mesti jelas agar masa tidak terbuang. Pengajaran


dapat berjalan dengan lancar.

Mengelak Masa Terbuang

Terdapat beberapa keadaan dan tatacara bagi mengelakkan masa terbuang


dalam bilik darjah antaranya ialah;

1. Mengelakkan lambat bermula, cepat selesai. Keadaan ini berlaku kerana


guru lambat bermula sama ada guru lambat sampai atau tidak memulakan
sesi pengajaran pada waktu yang sepatutnya. Hal yang sama juga terjadi
kerana pelajar lewat hadir ataupun mereka belum bersedia. Bermula
tepat pada waktunya amat penting untuk memberi ‘ton’ pembelajaran.
Guru perlu awal bagi memberi impresi kepada pelajar bahawa ‘ waktu
belajar itu penting’. Hal ini boleh mempengaruhi kehadiran serta
kesediaan pelajar dalam ‘period’ akan datang. Guru juga perlu
menyelesaikan pengajaran sehingga minit yang terakhir. Caranya ialah
dengan membanyakkan aktiviti dalam masa kualiti belajar.

2. Ada masa pengajaran dan pembelajaran terbuang begitu sahaja kerana


Guru tidak berada dalam “ mood” yang baik pada hari tersebut.
Penerangan guru akan menjadi hambar atau kekurangan fakta. Dalam
keadaan yang sama guru menangguh pelajaran pada hari lain walaupun
boleh diselesaikan pada hari tersebut. Justru, guru-guru perlu mengawal
‘mood’ masing-masing . Sedapat mungkin tinggalkan masalah di luar bilik
darjah dan jangan biarkan ia menghantui guru di dalam bilik darjah. Guru
perlu menngingati bahawa mereka mempunyai amanah yang besar
terhadap anak murid di hadapan mereka.

3. Mengelakkan gangguan. Gangguan seperti ketukan pada pintu, pelajar


datang lewat dan panggilan oleh ketua pasukan/rumah boleh
mengganggu masa pembelajaran. Hal ini akan merosakkan tempo
( momentum) pengajaran dan megurangkan perhatian pelajar kepada
guru dan tugas yang dihadapi. Justru, guru perlu cuba menangani
masalah tersebut sebijak mungkin umpamanya meminta ketua rumah
berjumpa ahli-ahli rumahnya pada waktu rihat / selepas waktu sekolah.

4. Menangani masalah rutin secara pantas. Guru perlu selalu mengingat


dan menegaskan kepada kelasnya tentang tatacara/rutin kelas secara
teratur. Umpamanya, guru menegaskan kelas perlulah dibersihkan
sebelum loceng pagi dan loceng balik berbunyi, sampah dikutip serta
lantai disapu sebelum guru masuk, mengedarkan bahan lebih awal
kepada murid untuk menjimatkan masa belajar. Cara yang terbaik ialah
guru / murid menyediakan rutin tugas harian/mingguan murid-murid di
dalam kelas tersebut. Adalah lebih baik andainya pelajar-pelajar diberi
peluang menentu , memilih dan menyedia senarai rutin tugas tersebut.
Dalam kata lain, beri peluang kepada pelajar-pelajar menguruskan kelas
mereka sendiri , di samping pemantauan guru dari semasa ke semasa.

5. Meminimumkan masa bagi menangani masalah disiplin pelajar. Dalam


Konteks ini, guru perlu mengelakkan keadaan tindakan disiplin sampai
mengganggu masa sebenar pembelajaran. Dalam keadaan tertentu, guru
boleh menggunakan bahasa isyarat atau ‘body language’ untuk
menangani masalah disiplin ringan dalam bilik darjah seperti mengusik
rakan, bising dalam kelas atau bercakap-cakap. Jika keadaan
memerlukan sehingga ke tahap perbincangan, elok ditangguhkan
sehingga selepas waktu belajar berkenaan.
Mempertingkat Kualiti Masa Dalam Bilik Darjah

Anderson (1984), Harris (1992) menyatakan bahawa di dalam bilik darjah


pengamatan atau perhatian pelajar lebih tinggi semasa guru sedang
mengajar berbanding semasa melakukan tugasan. Finn dan Cox (1992)
pula berpendapat memberi peluang kepada pelajar bertindak
menyebabkan pelajar terlibat secara aktif dalam pelajaran juga
menyumbang kepada pembelajaran yang cukup berkesan. Manakala
Slavin ( 1994) pula menegaskan tahap pembelajaran dan penyertaan
pelajar lebih tinggi dalam sesi pembelajaran koperatif terancang
berbanding sesi pembelajaran atau kerja bersendirian.

Dalam hubungan yang sama, Good & Brophy (2000) menggariskan


beberapa cara bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanan masa dalam
pengajaran seperti berikut;

1. Mengekalkan kelicinan aliran aktiviti


2. Meminimumkan masa transisi
3. Mengekalkan pertanggungjawaban pelajar

Mengekalkan kelicinan aliran aktiviti

Perkara utama ialah pelajar-pelajar perlu mempunyai aktiviti yang berkesan dan
menarik. Jika pelajar –pelajar tidak disediakan aktiviti yang mencukupi dalam
sesi pengajaran dan pembelajaran ( dan perlu menunggu tanpa berbuat apa-
apa) mereka akan menjadi jemu dan letih, hilang minat dan mengurangkan
kebolehan konsentrasi. Mereka juga akan mula mengelamun dan akhirnya akan
menimbulkan masalah tingkah laku. Justru , adalah penting bagi guru-guru
memahami para pelajarnya dan keperluan mereka dalam pembelajaran dengan
memastikan aliran dan kesinambungan aktiviti pengajaran serta pembelajaran
berjalan dengan lancar.

Dalam hubungan ini, terdapat perbezaan dan kebolehan guru dalam mengenal
pasti dan mengekalkan ‘momentum’ serta kesinambungan aliran aktiviti dalam
bilik darjah. Kounin ( 1970) menyatakan beberapa keadaan yang boleh
mengganggu kelicinan aliran dalam pengajaran dan pembelajaran . Antaranya;
Cara yang berbeza dalam kalangan guru memimpin pelajar-pelajar dalam bilik
darjah. Dalam sesetengah bilik darjah, aktiviti pengajaran dan pembelajaran
berjalan lancar dan menarik, manakala dalam sesetengah bilik darjah yang lain,
aktiviti pengajaran dan pembelajaran tersekat-sekat, melompat-lompat dan
lambat. Sebagai contoh, ada guru yang melaksanakan sesuatu aktiviti, tiba-tiba
berhenti, memulakan aktiviti lain, kemudian kembali semula kepada aktiviti awal.
Hal ini akan mengganggu kelancaran aliran pengajaran dan pembelajaran.
Dalam hal yang sama, terdapat keadaan yang menyebabkan guru hilang
tumpuan dalam pengajaran yang sedang berlangsung oleh satu tarikan luar yang
sepatutnya tidak perlu diberi perhatian. Umpamanya seorang guru sedang
mengajar murid mendeklamasi sajak. Tiba-tiba, terdapat satu pengumuman
melalui interkom sekolah. Berikutan itu, guru memberi ulasan berkenaan butiran
yang baru diumumkan kemudian baru menyambung semula kepada aktiviti
sebelumnya ( mendeklamasi sajak). Situasi ini akan mengganggu momentum
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran sajak tersebut.

Berkaitan dengan momentum atau tempo ini, Kounin mendapati bahawa


mengekalkan momentum semasa pembelajaran adalah kunci kepada ketekalan
kelancaran dalam pembelajaran . Ia juga mendapati bahawa momentum berkait
rapat dengan keberkesanan dalam pembelajaran. Brophy dan Evetson ( 1979)
dalam Slavin (1994) ,pula mendapati bahawa momentum sangat berkaitan
dengan pencapaian pelajar dalam pembelajaran. Justru, guru-guru perlulah
mengekalkan momentum atau tempo pengajaran mereka sepanjang sesi
pengajaran di bilik darjah bagi menjamin kelancaran dan keberkesan yang tinggi.

Terdapat juga kalangan guru yang menyebabkan berlakunya kelambapan dalam


pengajaran dengan sentiasa mengulang-ulang perkara yang pada dasarnya
telah difahami oleh pelajar. Seperkara lagi yang boleh memperlahankan proses
pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah ialah membahagikan aktiviti
kepada fragmensi yang banyak walaupun boleh dilaksanakan dalam satu aktiviti
sahaja.

Berdasarkan hakikat dan gangguan-gangguan tersebut, guru-guru perlu sedar


bahawa apabila aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan licin
dan lincah , pelajar-pelajar akan lebih terlibat dalam tugas mereka. Faktor ini
akan menyumbang kepada berkurangnya masalah salah laku dalam bilik darjah.
Jelasnya, perkara ini telah disimpulkan oleh Kounin, tiga puluh tahun yang lalu
“ kesinambungan dan kelancaran aktiviti pengajaran dan pembelajaran
memainkan peranan yang penting dalam urusan bilik darjah, berbanding dengan
teknik-teknik yang spesifik yang guru gunakan untuk menangani tingkah laku “.

Mengurangkan Masa Transisi

Dari sudut pengurusan masa, peralihan dari satu kelas ke kelas yang lain, dari
satu subjek ke subjek yang lain dan dari satu aktiviti ke satu aktiviti yang lain
adalah bermasalah. Analisis oleh Paul Gump ( 1987) boleh membantu kita
memahami masalah tersebut. Antara lain kesukaran akan timbul apabila guru
cuba menukar sesuatu aktivi kepada aktiviti lain apabila para pelajar sudah mula
memberi tumpuan kepada aktiviti yang awal. Ini akan melibatkan faktor masa.
Begitu juga, perubahan masa antara satu subjek dengan subjek yang lain. Masa
akan terus hilang kerana pelajar akan bangun, berjalan-jalan dan mewujudkan
gangguan sesama sendiri. Kehilangan masa akan menjadi lebih ketara apabila
berlakunya transisi bilik darjah ,sama ada ke makmal , bilik lukisan atau begkel
seni perusahaan. Sehubungan itu, analisis Gump menyarankan beberapa
langkah supaya para guru dapat mengurangkan tendensi ‘hiruk-pikuk’ dan
kehilangan masa secara minimum. Antara lain, pelajar-pelajar sentiasa
disediakan ( dalam diri mereka ) untuk pertukaran waktu atau kelas, pelajar-
pelajar juga dilatih memantapkan diri dengan rutin berpindah kelas secara efisien
( ertinya 5 minit sebelum tamat masa sebenar,mereka telah bersedia ). Guru juga
perlu faham sempadan atau tempoh masanya dalam pengajaran supaya tidak
melampaui atau terlajak. Beri peluang kepada pelajar-pelajar tamat 5 minit lebih
awal supaya mereka boleh bersedia untuk ‘period’ berikutnya.

Mengekalkan Pertanggungjawaban Pelajar

Dalam banyak keadaan, ramai pelajar tidak mampu menggunakan masa mereka
dengan baik jika mereka keliru tentang tujuan dan apa yang perlu mereka
lakukan. Hasilnya apabila guru meminta pelajar ‘membuat kerja’, bermacam-
macam persoalan yang timbul. Pelajar akan mula bertanya sama ada kerja itu
perlu disalin soalannya atau hanya jawapannya sahaja atau bolehkah dijawab
dalam kumpulan atau bersendirian. Semuanya ini memerlukan penerangan yang
jelas oleh guru, jika tidak masa akan terbuang begitu sahaja .

Dalam konteks ini, Walter Doyle (1983) menjelaskan bahawa pelajar akan
melaksanakan tugasan mereka secara serius hanya terdapat perasaan
tanggungjawab dalam diri mereka. Umpamanya, mereka sedar perlu belajar
bersungguh-sungguh dan melakukan tugasan dengan baik adalah salah satu
cara untuk mendapat keputusan yang baik. Pada ketika itu, masa akan menjadi
perkara yang penting dan bermakna kepada mereka. Guru mempunyai peranan
untuk memberi keyakinan akan kemampuan pelajar dan kepentingan masa
dalam sesuatu keperluan pembelajaran.

Dalam kaitan penggunaan masa secara berkesan, Slavin juga menyatakan


bahawa mengekalkan fokus kumpulan semasa belajar dapat memberi
sumbangan yang baik. Maksudnya, dalam pengajaran, seluruh ahli di dalam
kelas perlu memberi tumpuan. Walaupun ada kalanya seseorang pelajar yang
bertanya atau memberi komen, pelajar-pelajar lain tetap dan perlu memberi
perhatian. Hal ini akan membuatkan penggunaan masa pembelajaran dlam bilik
darjah akan menjadi lebih bernilai serta berkesan.

Guru juga perlu mengekalkan fokus kumpulan semasa latihan dijalankan oleh
pelajar. Dalam hubungan ini sangat penting guru memantau hasil kerja pelajar
dengan berjalan dari satu kumpulan ke kumpulan lain. Ertinya, dalam masa yang
dibekalkan guru dapat mengajar, menunjuk cara, membaiki dan memantau
seluruh kelasnya mengikut kumpulan kebolehan.

Penggunaan masa secara terancang, berhemah dan berkesan boleh


menyumbang kepada berkurangannya masalah disiplin dalam bilik
darjah.Walaupun begitu, adalah penting untuk guru memerhatikan tingkah laku
pelajar dari semasa ke semasa. Kelekaan guru dari aspek ini boleh ‘merampas’
masa guru yang berharga di dalam bilik darjah.

Prinsip Pengurusan Bilik Darjah Sebagai Satu Organisasi

Slavin ( 1994) menggariskan beberapa prinsip berkaitan seperti berikut;

a) Jika pada hari pertama kelas dapat diuruskan dengan baik dan kondusif,
ia mungkin memberi kesan kepada pembelajaran sepanjang tahun.Dalam
konteks ini, Emmer et.al (1980) meletakkan enam garis panduan yang
perlu diberi perhatian bagi melaksanakan prosedur tersebut:

i) Guru perlu mempunyai pelan yang jelas dan spesifik untuk


memperkenalkan peraturan bilik darjah kepada para pelajar. Guru
perlu memperuntukkan beberapa hari untuk latihan pemantapan
terhadap pelan kerja kepada para pelajarnya.
ii) Guru perlu memulakan kelasnya dengan bekerja sebagai satu
kumpulan yang menyeluruh dan bersepadu ( walaupun pelajar-
pelajar ini akan diasingkan dalam kumpulan kecil kemudiannya ).
Hal ini penting kerana ia akan memupuk semangat kekitaan. Ia
juga perlu kerana penglibatan semua pelajar akan memberi rasa
keyakinan diri dan mesra sesama sendiri. Tindakan ini juga akan
membuatkan pelajar akan sentiasa bekerja sebagai satu kumpulan
tanpa meninggalkan mana-mana pelajar dengan tidak melakukan
apa-apa. Ertinya, tindakan ini penting untuk menyediakan pelajar
ke arah bekerja dalam kumpulan kecil selepas mengenali sesama
mereka.
iii) Guru perlu menyediakan banyak masa ( pada hari-hari awal
persekolahan) bagi membincangkan prosedur bilik darjah mereka.
Galakkan para pelajar memberi pendapat dan pandangan
mereka.Selepas itu, guru perlu selalu mengingatkan mereka
mengenai peraturan yang telah dipersutujui bersama itu.
iv) Guru perlu mengajar dan menekankankan perkara –perkara utama
dalam peraturan bilik darjah. Umpamanya mengajar pelajar cara-
cara berbaris dengan pantas, lurus dan senyap, menutup lampu
dan suis kipas sebelum meninggalkan kelas dan sebagainya.
v) Sebagai langkah permulaan, perbanyakkan aktiviti-aktiviti yang
menyeronokkan. Di samping itu mula cuba melatih para pelajar
akan cara-cara bekerja yang betul dan melaksanakan tugas
dengan prosedur yang baik, sedikit demi sedikit.
vi) Guru perlu memberi respons segera untuk menyekat tindakan
salah laku dalam bilik darjahnya.

b) Memperkenal dan memperjelaskan peraturan bilik darjah kepada pelajar-


pelajar sehingga mereka faham dan dapat dilaksanakan secara praktikal.
Antara perkara asas dalam pembentukan peraturan ini ialah: Sentiasa
menghargai orang lain (ertinya tidak mentertawakan rakan, bercakap kuat
pada telinga kawan atau bergaduh ), Menghormati hak kepunyaan orang
lain, Setiasa bersedia dan tahu melaksanakan tugas, mengangkat tangan
jikamahu menjawab )

c) Sentiasa menggalakkan para pelajar mematuhi peraturan secara


kendiri/sentiasa mengingatkan mereka.

d) Sentiasa mengegaskan kepada para pelajar untuk melaksanakan


peraturan khusus secara pantas dan berkesan.

e) Pengetahuan mengenai perbezaan/ kepelbagaian pelajar dalam bilik


darjah penting kerana dapat membantu menyusun strategi pengurusan
bilik darjah.

f) Guru perlu memberi perhatian segera bagi mengatasi masalah disiplin


dalam bilik darjah ( jika timbul )

Susunan Bilik Darjah

Emmer ( 1984) menggariskan empat prinsip penyusunan bilik darjah yang


berkesan dan mampu mengurangkan gangguan;

a. Susunan perabut dan kerusi meja dalam bilik darjah tanpa banyak
halangan pada laluan pelajar.
b. Susunan dalam kelas – guru dapat memerhatikan semua pelajar dengan
baik dari mejanya.
c. Barang keperluan murid mudah diuruskan.
d. Memastikan pelajar mudah dapat melihat/ terlibat dalam pengajaran guru,
menonton OHP, lakonan dan bahan rangsangan dengan selesa.

Kesimpulan

Bilik darjah merupakan medan pertemuan guru dan pelajar yang paling utama.
Melalui bilik darjah ilmu disampai dan dipelajari. Melalui bilik darjah juga tingkah
laku pelajar dididik dan diasuh. Dalam hubungan ini, guru-guru memainkan
peranan yang sangat penting bagi mentadbirkan dengan baik dan berkesan.
Guru perlu bijak menguruskan masa dalam pengajaran dan pembelajaran agar
setiap minit yang berlalu dapat menyumbang kepada kemanafaatan para pelajar.
Guru juga menjadi pengurus kepada sebuah organisasi kecil , yang terdapat di
dalamnya sekelompok manusia yang mempunyai kepelbagaian latar belakang
serta kebolehan. Justru,sebagai pengurus yang baik, seseorang guru perlulah
memahami keperluan para pelajarnya kerana melaluinya hubungan guru-murid
secara intim dapat dilaksanakan. Hasilnya akan membawa kepada sesi
pengajaran –pembelajaran yang lancar dan bermakna.

RUJUKAN

Carol Simon Weinstein (2003). Secondary Classroom Management. Lesson


From Research and Practice. 2nd Edition. New York: Mc Graw Hill.

Doyle, W. (l983) Academic Work, Review of Educational Reseach, 53(2),


159-200

Emmer,E.T.Evertson, C.M.,& Worsham,M.E. (2000), Classroom management


For secondary teachers, Boston: Allyn and Bacon

Florida Department of Education.”Strategies For Classroom Management”.


http://osi.fsu.edu/waveseries/htmlversions.wave3.html
Good,T.L.,& Brophy,J.E. (2000) ,Looking in Classroom. 8th.ed. New York:
Addison Wesley Longman

Gump.P.V. (1987) School and Classroom environments. In D. Stokols & I.


Altman (edts.) Handbook of Environment Psychology. New York:
John Wiley & Sons.

Karweit, N. (1989) Time and Learning: A review. In R.E. Slavin ( Ed.).


School and Classroom Organization. Hillsdale, NJ: Lawrence Erlbaum

Kounin, J. ( 1970 ).Discipline and group management in classrooms. New


York: Holt, Rhinehart and Winston

Slavin, Robert,E. (1994). Educational Psychology. Massachusset: Allyn & Bacon:

You might also like