Esei

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019

Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)


Semester 3, Ambilan Jun 2018

PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


SEJARAH YANG PELBAGAI DAN KESANNYA TERHADAP
TINGKAH LAKU DISRUPTIF MURID

Nor Ain Nadia binti Mat Nasir


Jabatan Sejarah,
IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

A. PENDAHULUAN

Pada 4 Ogos sehingga 8 Ogos 2019, saya telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS)
di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan. Semasa PBS, saya telah melakukan
pemerhatian terhadap masalah tingkah laku yang berlaku di dalam bilik darjah. Saya dapati
dengan wujudnya kepelbagaian murid di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, masalah tingkah laku
di bilik darjah yang dihadapi oleh para guru juga adalah pelbagai seperti distruptif, pergantungan
berlebihan, kebimbangan serta pengunduran dan pengasingan diri. Masalah tingkah laku yang
paling menarik minat saya ialah tingkah laku disruptif. Hal ini kerana tingkah laku ini sering kali
berlaku di dalam bilik darjah yang mempunyai kepelbagaian murid dan membimbangkan para
guru.

B. ISU TINGKAH LAKU DISRUPTIF & KAITANNYA DENGAN SUMBER PDP


SEJARAH YANG DIGUNAKAN

Tingkah laku disruptif merupakan salah satu tingkah laku negatif yang mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran (PdP) (Nurul Bahirah & Mohd Jasmy, 2018). Sesi pembelajaran
akan terganggu sekiranya terdapat kekangan atau permasalahan yang ditimbulkan oleh murid.
Ridzuan Kamis (2016) menjelaskan bahawa individu yang mempunyai tingkah laku disruptif
akan sentiasa mengganggu dan menjejaskan perjalanan PdP di dalam bilik darjah, malah turut
melakukannya di luar bilik darjah. Dengan wujudnya kepelbagaian murid, tingkah laku ini juga
akan mengganggu tumpuan rakan sebaya yang ingin belajar. Contoh tingkah laku disruptif ialah
hiperaktif, perubahan yang melampau, kebisingan, perbuatan murid yang tidak perlu,
mengganggu rakan, gelak ketawa yang amat kuat dan kelakuan agresif fizikal seperti tolak-
menolak atau tumbuk-menumbuk di dalam kelas.
Individu yang mengalami masalah tingkah laku disruptif ini lazimnya mempunyai
masalah dalam memberikan tumpuan di dalam kelas (Nurul Bahirah & Mohd Jasmy, 2018).
Menurut Che Mohd Noor & Ahmad (2015), antara faktor murid hilang tumpuan di dalam kelas
adalah kerana didapati bahawa sebahagian besar guru Sejarah masih menggunakan kaedah “chalk
and talk” serta penggunaan buku teks semata-mata. Dengan wujudnya kepelbagaian murid,
pastinya terdapat murid yang sukar untuk memahami penerangan guru secara lisan atau melalui
pembacaan sehingga menyebabkan mereka hilang tumpuan. Oleh itu, guru perlu memainkan
peranan untuk memastikan murid sentiasa memberi tumpuan di dalam bilik darjah dengan
mempelbagaikan kaedah dan sumber PdP. Melalui temu bual bersama Pn. Zaleha dan Pn.
Mastura, guru-guru Sejarah di Sekolah Kebangsaan Bunut Susu, saya dimaklumkan bahawa salah
satu cara yang digunakan untuk menarik minat murid bagi menumpukan perhatian semasa PdP
ialah penggunaan sumber PdP yang pelbagai. Mereka telah menggunakan pelbagai sumber dalam
PdP Sejarah seperti bahan bercetak, sumber elektronik dan internet untuk memastikan murid
sentiasa memberi tumpuan semasa PdP dan seterusnya mengelakkan berlakunya tingkah laku

1
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

disruptif. Antara bahan bercetak yang digunakan adalah seperti buku teks, gambar tokoh dan peta.
Sumber elektronik yang digunakan pula adalah seperti video dan filem manakala sumber internet
yang digunakan adalah seperti laman web.

C. BANDING BEZA SUMBER PDP SEJARAH & KESANNYA KEPADA ISU TINGKAH
LAKU DISRUPTIF

Ketiga-tiga sumber PdP Sejarah yang dinyatakan iaitu bahan bercetak, sumber elektronik dan
sumber internet mempunyai persamaan dan perbezaan di antara satu sama lain. Persamaan di
antara ketiga-tiga sumber ini dapat dilihat dari aspek;

i. Nilai sejarah

Ketiga-tiga sumber ini mempunyai nilai sejarah. Sebagai contoh, Pn. Zaleha menggunakan
gambar Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan tajuk Sejarah Kemerdekaan 1957. Gambar
yang digunakan mempunyai nilai sejarah seperti penghargaan terhadap tokoh yang telah berjasa
kepada negara. Beliau turut memaparkan filem ‘Hati Malaya’ yang mempunyai nilai sejarah
seperti pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu dalam menuntut kemerdekaan. Beliau juga meminta
murid mengakses arkib digital yang diusahakan oleh Arkib Negara untuk mencari maklumat
berkenaan Kesultanan Melayu Melaka. Antara nilai sejarah yang diperoleh daripada sumber ini
seperti warisan negara dan keagungan Melaka pada suatu masa dahulu.
Penggunaan sumber yang mempunyai nilai sejarah sebegini akan mendorong murid
memahami pengorbanan dan jasa tokoh terdahulu untuk keamanan negara serta mewujudkan rasa
bangga terhadap warisan dan sejarah negara. Penerapan nilai-nilai sejarah yang disemai akan
mendorong murid untuk berakhlak mulia dan tanggungjawab ke atas perlakuan diri sendiri
(Mohamad Khairi Othman, 2014). Hal ini seterusnya akan menghalang murid daripada
mengganggu proses pembelajaran dengan tingkah laku disruptif dengan wujudnya rasa
tanggungjawab dan penerapan akhlak yang mulia.

ii. Penglibatan aktif murid

Ketiga-tiga sumber ini mendorong kepada penglibatan aktif murid semasa proses PdP. Hal ini
kerana, melalui penggunaan ketiga-tiga sumber ini, guru dapat menyediakan pembelajaran yang
berasaskan bahan, berpusatkan murid dan pembelajaran kendiri yang bersifat dua hala dan
seterusnya mendorong murid terlibat secara aktif semasa PdP (Hafiza Md Nasir, 2012). Sebagai
contoh, guru menggunakan gambar-gambar masjid untuk diteroka oleh murid bagi mendapatkan
maklumat berkaitan ciri-ciri kesenian Islam di Malaysia. Guru juga boleh menggunakan audio
yang menceritakan tentang peristiwa penentangan tokoh-tokoh tempatan dan meminta murid
mencatatkan serta membuat rumusan tentang tajuk tersebut. Untuk sumber internet pula, guru
boleh mendorong murid ke arah pembelajaran kendiri dengan meminta murid mencari maklumat
dan bahan yang berkaitan tajuk misalnya meminta murid menjelaskan sejarah penciptaan Jalur
Gemilang. Berdasarkan contoh yang diberikan, jelas menunjukkan bahawa penggunaan ketiga-
tiga sumber tersebut memerlukan murid untuk sentiasa menumpukan perhatian, mencari
maklumat, meneroka bahan dan terlibat secara aktif.
Contoh yang diberikan juga turut menunjukkan bahawa apabila fizikal murid terlibat
secara aktif semasa proses PdP untuk meneroka bahan dan sumber yang berkaitan, secara tidak
langsung mental murid juga akan bekerja dengan aktif untuk menumpukan perhatian dan mencari
maklumat yang bersesuaian dengan isi pembelajaran. Hal ini bersesuaian dengan kajian Hafiza
Md. Nasir (2012) yang menyatakan pembelajaran aktif juga melibatkan penglibatan mental murid

2
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

dalam mendapatkan maklumat pembelajaran. Apabila kedua-dua fizikal dan mental murid
tertumpu kepada proses PdP, masalah murid hilang fokus sehingga menyebabkan masalah
tingkah laku disruptif seperti berkhayal dan mengganggu rakan yang lain dapat dihalang.
Selain itu, ketiga-tiga sumber ini juga mempunyai perbezaan antara satu sama lain dari
aspek;

i. LIPUTAN KANDUNGAN

Bahan bercetak dan elektronik mempunyai maklumat yang terhad pada kandungannya sahaja
manakala sumber internet lebih luas untuk diteroka. Dengan liputan kandungan yang terhad,
murid akan kehabisan sumber untuk dibaca dan menyebabkan mereka hilang fokus (Syed Ismail
Syed Mustafa, Pushpavalli A. Rengasamey, Meor Aris Meor Hamzah & Rosly Mohd. Sani,
2017). Sebagai contoh, Pn. Mastura telah menggunakan buku teks sepenuhnya di dalam proses
PdP beliau. Dengan wujudnya kepelbagaian murid, liputan dan isi pembelajaran yang terhad di
dalam buku teks menyebabkan murid yang cemerlang menghabiskan masa yang singkat untuk
memahami isi yang ada dan seterusnya mendorong mereka mengganggu rakan lain.
Hal ini berbeza dengan liputan sumber internet yang lebih luas untuk diteroka. Murid
boleh berpindah dari satu bahagian ke bahagian lain dan dari satu media kepada media yang lain
melalui hiperlink dan hipermedia (Sajap Maswan, t.t.). Format hiperlink dan hipermedia
memudahkan pendekatan berpusatkan murid. Pembelajaran seperti ini akan mewujudkan suasana
pembelajaran yang bermotivasi (Becker & Dwyer, 1994). Sebagai contoh, Google Earth boleh
digunakan untuk mencari dan mengakses kedudukan tempat-tempat bersejarah di Malaysia dan
di dunia seperti Lembah Bujang.
Suasana pembelajaran yang bermotivasi akan bertindak mendorong murid yang pelbagai
kecerdasan menaruh minat untuk belajar dan berubah. Mereka akan mendengar dan memberi
sepenuh perhatian kepada pelajaran serta aktif di dalam dan di luar kelas selain bersedia menerima
arahan daripada guru. Daripada keadaan inilah akan lahirnya murid yang berkualiti (Baharom
Mohammad & Iliyas Hashim, 2011). Situasi ini secara tidak langsung dapat membendung
tingkah laku disruptif yang akan wujud apabila murid tidak bermotivasi untuk belajar dan
seterusnya cepat hilang tumpuan semasa proses PdP.

ii. KAWALAN GURU

Bahan bercetak dan elektronik memudahkan guru untuk mengawal PdP kerana sumber yang
digunakan kekal tidak berubah dan boleh dikawal sejauh mana penggunaan sumber dengan
mudah (Faizah Ja’apar, 2017). Manakala sumber internet memerlukan guru sentiasa memantau
murid kerana kandungannya yang pelbagai dan boleh diubahsuai (Siti Zubaidah Ahmad, 2011).
Contohnya, melalui laman web, murid boleh meneroka pelbagai laman web tanpa sempadan.
Pada pemerhatian saya semasa PBS, dengan wujudnya kepelbagaian murid, terdapat pelbagai
laman web yang tidak berfaedah telah dilayari semasa PdP bersesuaian dengan minat masing-
masing disebabkan kawalan guru yang longgar. Situasi ini seterusnya mendorong murid
bertingkah laku disruptif apabila murid ketawa dengan kuat semasa PdP.
Oleh itu, guru perlu sentiasa memantau situasi di dalam bilik darjah dengan ketat bagi
memastikan murid tidak leka melayari laman web yang tidak berfaedah. Bagi memantau situasi
di dalam bilik darjah dengan berkesan, guru perlu mempunyai withitness, keupayaan mengawal
dan menyelia lebih daripada satu aktiviti bilik darjah dalam satu masa (Haliza Hamzah & Joy,
2014). Misalnya, guru berjaya mengawasi dan menegur murid yang dikesan mula bertingkah
laku disruptif walaupun ketika itu beliau sedang mengajar murid atau kumpulan yang lain.
Dengan kepekaan ini, seorang guru berupaya menjangka masalah yang akan timbul dan

3
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

menghalang masalah tingkah laku disruptif daripada menjadi lebih serius. Di samping itu, teguran
guru juga perlu jelas, tegas dan serius agar teguran tersebut turut memberi kesan kepada murid-
murid lain di dalam bilik darjah. Maka, proses PdP yang berkesan dapat dijalankan.

iii. AKSES SUMBER

Bahan bercetak sememangnya berbentuk maujud dan mudah diakses. Bahan elektronik boleh di
muat turun dan disimpan di dalam pendrive untuk kemudahan mengakses bahan tersebut. Sumber
internet pula sentiasa memerlukan jaringan internet untuk diakses. Aspek ini memainkan peranan
penting dalam memastikan kelancaran PdP guru. Untuk menggunakan sumber PdP berasaskan
internet, guru perlu memastikan kekuatan jaringan internet di sekolah sebelum bermula proses
PdP (Noriati A. Rashid, Sharifah Fakhirah Syed Ahmad, Wan Kamaruddin Wan Hassan & Boon,
2009). Menurut Pn. Zaleha, tindakan guru untuk memastikan kekuatan jaringan internet amat
penting supaya proses PdP berjalan lancar. Sebaliknya, jika guru tidak bertindak sedemikian,
kelancaran proses PdP akan terganggu.
Apabila kelancaran proses PdP terganggu, murid akan mula mencari perkara lain yang
menarik perhatian mereka untuk difokuskan. Dengan wujudnya kepelbagaian murid, perkara
yang menarik perhatian mereka juga akan berbeza. Misalnya ada murid yang akan berbual dengan
rakan dan ada juga murid yang akan mula menunjukkan tingkah laku hiperaktif. Oleh itu,
sekiranya guru dapat mengesan adanya masalah pada jaringan internet, guru perlu mengubahsuai
aktiviti yang dirancang bagi memastikan kelancaran proses PdP. Justeru itu, tingkah laku disruptif
yang mungkin berlaku disebabkan ketidaklancaran proses PdP dapat dibendung.

D. CADANGAN PERANAN GURU & PENGGUNAAN PAKEJ BAHAN


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DIGITAL UNTUK MENGATASI
MASALAH TINGKAH LAKU DISRUPTIF

Pada pandangan saya, di antara ketiga-tiga sumber ini, sumber internet amat sesuai digunakan
oleh guru untuk menarik minat murid dan seterusnya membendung masalah tingkah laku
disruptif. Hal ini kerana, bahan bercetak seperti majalah walaupun mampu merangsang pemikiran
murid namun kurang sesuai untuk menangani masalah ini disebabkan wujudnya kepelbagaian
murid yang mempunyai kecerdasan yang berbeza. Dengan adanya percampuran murid cerdas dan
lemah di dalam bilik darjah, guru perlu mengambil kira aras kognitif murid lemah yang mungkin
tidak mampu memahami isi kandungan sumber tersebut malah ada di kalangan mereka yang tidak
mampu untuk membaca dengan lancar (Kamarul Azmi Jasmi, Mohd Farez Ilias, Ab. Halim
Tamuri & Mohd Izham Mohd Hamzah, 2011). Sumber elektronik pula mampu membuatkan
murid teruja namun ianya mempunyai liputan kandungan yang terhad. Sumber internet pula
mampu menarik minat murid kerana ianya memerlukan penglibatan aktif murid. Penggunaan ayat
yang pendek dan jelas juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah perbezaan kognitif murid.
Malah sumber internet juga mempunyai liputan kandungan yang luas.
Sehubungan itu, saya merancang untuk membangunkan satu tapak blog bagi pakej
bahan pengajaran dan pembelajaran digital dalam persekitaran pembelajaran TMK
menggunakan aplikasi Wix untuk mata pelajaran Sejarah Tahun 5 di bawah tajuk 6 Warisan
Negara Kita (Standard Kandungan 6.2: Agama Islam). Tapak blog bagi pakej ini akan
dibangunkan dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
Kandungan bahan-bahan PdP yang akan dihasilkan di dalam pakej bahan pengajaran dan
pembelajaran digital akan meliputi kandungan set induksi, kandungan klip video mengikut
standard pembelajaran dan kandungan kuiz penilaian di akhir proses PdP bagi membantu
pengguna mencapai objektif PdP dengan berkesan.

4
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Di dalam pakej bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan, saya juga
akan menghasilkan satu klip video berkaitan kesenian Islam di Malaysia untuk mencapai
standard pembelajaran 6.2.4: Menyatakan kesenian Islam di Malaysia dan 6.2.7 (K):
Menyatakan kesenian Islam sebagai salah satu warisan negara yang dibanggakan. Klip video
tersebut akan dihasilkan dengan menggunakan aplikasi Powtoon iaitu satu program aplikasi
bersifat online yang terdapat di internet dan berfungsi sebagai aplikasi menghasilkan video
untuk persembahan atau sebagai media pembelajaran (Bastiar Ismail Adkhar, 2016). Saya
akan mengambil kira kepelbagaian kecerdasan murid dengan menggunakan ayat dan
penerangan yang ringkas dan mudah untuk difahami. Hal ini supaya isi pembelajaran dapat
disampaikan kepada semua murid tanpa mengira aras kecerdasan dan kelancaran kemahiran
membaca mereka. Sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Kohn, soalan-soalan aras
tinggi yang berkaitan dengan kehidupan seharian murid juga akan dimasukkan untuk
menarik perhatian murid terhadap pengajaran guru. Ini dapat mengelakkan masalah tingkah
laku disruptif dalam kalangan murid.
Di samping itu, isi kandungan klip video yang akan dihasilkan juga perlu
mengambil kira pengetahuan sedia ada murid misalnya contoh seni bina Islam yang
diberikan ialah masjid. Menurut Zarina Abdul Rashid (2016), kefahaman murid terhadap
fakta akan lebih berkesan dan mantap apabila berkaitan gabungjalin pengetahuan sedia ada
dan fakta yang sedang dibina. Keadaan ini secara tidak langsung akan mendorong
penglibatan aktif murid semasa proses PdP dengan terhapusnya situasi keterasingan dalam
kalangan murid. Maka, masalah tingkah laku dapat dibendung.
Seterusnya, untuk mengatasi masalah tingkah laku disruptif, model Beyond
Discipline Alfie Kohn sesuai diaplikasikan di dalam bilik darjah. Hal ini kerana model ini
menekankan komuniti bilik darjah yang penyayang dan menghargai satu sama lain (Haliza
Hamzah & Joy, 2014). Nilai tersebut akan menghalang murid daripada bertindak
mementingkan diri seperti membuat bising dan mengganggu rakan yang ingin belajar.
Maka, tingkah laku disruptif dapat dibendung.
Menurut Kohn (2001), untuk mewujudkan komuniti bilik darjah yang penyayang,
guru perlulah mengambil berat tentang murid masing-masing dengan melibatkan mereka
semasa membuat keputusan tentang proses pembelajaran. Hal ini adalah untuk membantu
murid melihat kepentingan terhadap apa yang diajar kepada mereka serta membantu guru
mengetahui sumber PdP yang paling sesuai untuk murid. Sebagai contoh, guru perlu
berbincang dengan murid tentang medium pembelajaran yang mampu menarik minat
mereka dengan memberi beberapa pilihan seperti keratan akhbar, penerokaan internet secara
terkawal atau menggunakan bahan elektronik. Guru juga perlu menerangkan bagaimana
medium pembelajaran berkenaan dapat membantu mereka mendalami sesuatu topik
pembelajaran. Dengan mengambil kira respons murid, guru kemudiannya dapatlah
menghasilkan aktiviti pembelajaran yang bersesuaian dengan murid. Secara tidak langsung,
guru dapat menyediakan PdP yang menarik perhatian murid dan menghalang tingkah laku
disruptif akibat PdP yang tidak menarik dan membosankan.
Di samping itu, Kohn (2001) menekankan penglibatan aktif murid di dalam
komuniti bilik darjah yang penyayang. Oleh itu, guru perlu bertindak sebagai pembimbing
dan mendorong penglibatan aktif murid seperti membantu murid meneroka topik-topik
pembelajaran yang diminati, membantu murid berfikir dan menyoal berkaitan dengan
pembelajaran mereka (Henniger, 2004). Sebagai contoh, guru membantu murid meneroka
topik “Pencapaian dan Kebanggaan Negara” dengan mengaitkan isi pembelajaran dengan
pengetahuan sedia ada murid sama ada tentang sukan, kegiatan ekonomi, pemimpin negara
atau dunia, menyediakan medium untuk murid meneroka topik dengan lebih mendalam
seperti menggunakan laman web, mendorong murid memberi pendapat berkenaan topik

5
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

serta menguji tahap pemahaman murid berkaitan topik yang diajar. Penglibatan aktif murid
ini juga secara tidak langsung akan dapat membantu murid memberi tumpuan untuk
mengikuti PdP dan membendung tingkah laku disruptif.
Seterusnya, bagi mendorong penglibatan aktif murid, guru perlu sentiasa meminta
murid untuk memberikan contoh atau bertanyakan soalan aras tinggi bagi membantu murid
berfikir dalam aras yang lebih tinggi (James, 1890). Penggunaan sumber PdP yang pelbagai
boleh membantu guru mendorong murid berfikir secara kritis dan kreatif. Sebagai contoh,
Pn. Zaleha menggunakan petikan buku Sulalatus Salatin untuk menjelaskan peristiwa
pembukaan Melaka. Melalui petikan buku tersebut, beliau akan bertanya soalan seperti
“Mengapa Parasmewara merasakan peristiwa pelanduk menendang anjing sebagai suatu
peristiwa yang penting?”. Soalan sebegini akan membantu kepelbagaian murid menjana
pemikiran yang kritikal dan menimbulkan perasaan ingin tahu (Marzano et al, 2016). Hal
ini akan mendorong murid untuk fokus kepada pengajaran guru dan seterusnya menghalang
tingkah laku disruptif.

E. PENUTUP

Secara kesimpulannya, isu tingkah laku disruptif boleh diatasi jika guru mengambil inisiatif
yang sesuai untuk menangani masalah tingkah laku tersebut. Misalnya, guru
mempelbagaikan penggunaan sumber dalam proses PdP sesuai dengan wujudnya
kepelbagaian murid di sekolah seperti bahan bercetak, sumber elektronik, sumber internet
dan sebagainya. Guru juga perlu mewujudkan bilik darjah yang penyayang dengan
mengambil berat tentang murid dalam membuat keputusan berkaitan hal PdP dan
menekankan penglibatan murid secara aktif sebagaimana yang telah disarankan oleh model
Beyond Discipline Alfie Kohn. Ini akan menarik perhatian murid dan memotivasikan murid
untuk mengikuti proses pengajaran guru tanpa bertingkah laku secara disruptif. Maka,
proses PdP yang berkesan dapat dicapai.

RUJUKAN

Baharom Mohammad & Iliyas Hashim. (2011). Bagaimana Memotivasikan Pelajar. Kuala
Lumpur: PTS.
Bastiar Ismail Adkhar (2016). Pengembangan Media Video Animasi Pembelajaran Berbasis
Powtoon Pada Kelas 2 Mata Pelajaran Ilmu Pengetahuan Alam Disd Labshool
Unnes. Skripsi Sarjana Pendidikan, Fakultas Ilmu Pendidikan, Universitas Negeri
Semarang, Indonesia.
Becker, D.A. & Dwyer, M.M. (1994). Using Hypermedia to Provide Learner Control. Journal
of Educational Multimedia and Hypermedia, 3(2), 155-172.
Che Mohd Noor & Ahmad. (2015). Kreativiti Guru Dalam Meningkatkan Kefahaman dan
Penghayatan Sejarah. Fakulti Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Faizah Ja’apar. (2017). Bahan Bantu Mengajar (BBM) dalam Pengajaran dan Pembelajaran
(P&P) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Daerah Pontian. Laporan Projek
Ijazah Sarjana, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein
Onn, Johor.
Hafiza Md. Nasir. (2012). Keberkesanan Pembelajaran Aktif Terhadap Pencapaian Pelajar
Perempuan dalam Biologi. Laporan Projek Ijazah Sarjana, Fakulti Pendidikan
Teknik dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn, Johor.
Haliza Hamzah & Joy, N. S. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor:
Oxford Fajar Sdn. Bhd.

6
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Henniger, M. L. (2004). The Teaching Experience: An Introduction to Reflective Practice.


New Jersey: Pearson Hall.
James, W. (1890). Principles of Psychology. New York: Holt.
Kamarul Azmi Jasmi, Mohd Farez Ilias, Ab. Halim Tamuri & Mohd Izham Mohd Hamzah.
(2011). Amalan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar dalam Kalangan Guru
Pendidikan Islam Sekolah Menengah di Malaysia. Journal of Islamic and Arabic
Education, 3(1), 59-74.
Kohn, A. (2001). Beyond Discipline: From Compliance to Community. NJ: Prentice Hall.
Marzano, R. J. et al. (2016). A Handbook for Classroom Management That Works. Victoria:
Hawker Brownlow.
Mohamad Khairi Othman. (2014). Hubungan Penerapan Nilai Murni dalam Pengaran Bahasa
Melayu dengan Penghayatan Nilai Murni Pelajar. Journal of Human Development
and Communication, 3 (Special Issue), 81-92.
Noriati A. Rashid, Sharifah Fakhirah Syed Ahmad, Wan Kamaruddin Wan Hassan & Boon,
P.Y. (2009). Siri Pendidikan Guru: Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran.
Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Nurul Bahirah Annual & Mohd Jasmy Abd Rahman. (2018). Tingkah Laku Disruptif Dalam
Kalangan Pelajar. Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan
Universiti Awam. Universiti Kebangsaan Malaysia, 7-8 November.
Ridzuan Kamis. (2016, November). Cegah Sikap Disruptif Sebelum Jadi Disruptif. Majalah
Pendidik.
Sajat Maswam. (t.t.). Kelebihan Penggunaan Internet dan Laman Web dalam Pengajaran dan
Pembelajaran. Diperoleh pada 20 Ogos 2019 daripada Laman Sesawang Dunia:
http://sajadstudio.info/artikal/kelb_pemb_mel_internt.pdf
Siti Zubaidah Ahmad. (2011). Penggunaan Internet Untuk Tujuan Pembelajaran di Kalangan
Remaja Sekolah di Daerah Pulau Langkawi, Kedah. Laporan Projek Ijazah Sarjana,
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru.
Syed Ismail Syed Mustafa, Pushpavalli A. Rengasamey, Meor Aris Meor Hamzah & Rosly
Mohd. Sani. (2017). Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah. Selangor:
Sasbadi Sdn. Bhd.

You might also like