Asas Kebangkitan Nasionalisme Kadazandusun Murut Dan Rumpun Pasokmomogun Bermula Daripada Sebuah Persatuan Kebudayaan Dan Kebajikan Yang Ditubuhkan Pada 24 Ogos 1953

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Asas kebangkitan nasionalisme Kadazandusun Murut dan rumpun

Pasokmomogun bermula daripada sebuah persatuan kebudayaan dan kebajikan


yang ditubuhkan pada 24 Ogos 1953, iaitu The Society of Kadazan. Persatuan ini
bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup kaum Kadazan, termasuklah memberi
perhatian kepada usaha mempertahankan bahasa dan kebudayaannya. Pada
mulanya, persatuan ini hanya dianggotai oleh orang Penampang sahaja
sehinggalah pada tahun 1960. Antara pemimpin asal persatuan ini termasuklah
Joseph Tino, Vincent Ligunjang, Richard Yapp, Joe Manjaji, Cladius Yap dan
Herman Motogol. Persatuan ini juga mengadakan persidangan untuk
membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan kaum Kadazandusun pada
ketika itu.
Peranan Donald Stephens dalam menggerakan nasionalisme Kadazandusun
Murut sememangnya tidak dapat dinafikan. Pada 11 May 1958, Stephens menjadi
Presiden persatuan ini selepas menghadiri persidangan tahunannya pada Mac
1957. Bermula daripada detik inilah, persatuan ini menjadi satu pergerakan pro-
politik dan akhirnya menjadi asas penubuhan UNKO pada tahun 1961.
Transformasi ini memberi peluang kepada satu lagi penubuhan satu lagi
persatuan pada tahun 1959 iaitu Penampang Kadazan Youth Association yang
bertujuan untuk membantu persatuan induk iaitu Kadazan Society of Penampang
dalam aktiviti-aktiviti sosial dan kebudayaan. Maka, apabila persatuan induk
mengadakan perayaan Tadau Kaamatan, persatuan belia inilah yang sebenarnya
menjadi tunjang untuk menggerak dan melaksanakannya. Kebanyakan ahli-
ahlinya terdiri daripada guru-guru dan pelajar St. Michael, Penampang.
Cetusan perjuangan politik masyarakat Kadazandusun Murut bermula ekoran
cadangan penubuhan sebuah gagasan negara baru dengan menyatukan
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.
Pengumuman cadangan penubuhan pada 27 Mei 1961 ini adalah ilham Perdana
Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj dan
dinamakan sebagai “Projek Malaysia”.
Reaksi pertama dari Sabah terhadap cadangan ini ialah penentangan dari para
pemimpin masyarakat tempatan Sabah, khususnya para Ketua Daerah dan Orang
Kaya-Kaya (OKK). Namun pada ketika itu, rakyat Sabah belum lagi mempunyai
pertubuhan parti politik sebagai saluran bersuara. Maka itu, pada bulan Ogos
1961, satu persidangan pemimpin Kadazandusun Murut daripada pelbagai
cawangan Persatuan Kadazan telah diadakan untuk membincangkan
kemungkinan untuk menubuhkan sebuah parti politik. Dalam persidangan,
identiti Kadazan – Dusun – Pasok Momogun merupakan topik yang paling hangat
dibincangkan. Akhirnya Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu atau United
National Kadazan Organisation (UNKO) ditubuhkan dengan keahliannya dibuka
kepada:-
a. Orang Kadazan sahaja atau yang mempunyai ibu atau bapa berketurunan
Kadazan serta mestilah berumur 16 tahun ke atas.
b. Ahli mesti bersetuju dan bersumpah bahawa mereka akan patuh kepada
peraturan dan perlembagaan parti.
Presiden UNKO yang pertama ialah Donald Stephens dan Timbalannya ialah
Datuk G.S. Sundang. Majlis Tertinggi parti ini juga dianggotai oleh Datuk Peter
Mojuntin dan ketua-ketua masyarakat dari Penampang, Papar dan beberapa
kawasan Pantai Barat Sabah. Selain semangat juang untuk merdeka, masyarakat
Kadazandusun pada ketika itu juga terus dibelenggu dilemma soal nama
panggilan kesukuan yang harus digunakan terhadap masayarakat Anak Negeri
Sabah. Kongres UNKO yang pertama telah membahaskan nama-nama panggilan
kebangsaan yang sesuai untuk mereka. Antara nama panggilan yang
dicadangkan ialah Kadazan, Dusun dan Momogun.
Atas sebab kesukaran mencapai persetujuan mengenai nama panggilan suku
bangsa, pencadang nama panggilan “Momogun”, iaitu Datuk G.S. Sundang telah
meletak jawatan dari parti UNKO. Beliau seterusnya menubuhkan satu lagi parti
politik berasaskan Kadazandusun pada Januari 1962, iaitu Pasok Momogun atau
United Pasok Momogun National Organisation. Parti ini merupakan parti bagi
Orang Asal Sabah yang kedua selepas UNKO dan mendapat sokongan
masyarakat Dusun dan Murut dari kawasan Pedalaman.
Para pemimpin UNKO dan Pasok Momogun telah memberikan sumbangan
penting dalam dokumen Memorandum 20 Perkara yang menyentuh keprihatinan
golongan minoriti mengenai hak dan kedudukan mereka sebagai Bumiputera
dalam negara baru yang dipanggil Persekutuan Malaysia.
Masyarakat Kadazandusun terus mengalami pergolakan kerana kedua-dua parti
politik, UNKO dan Pasok Momogun masih tidak sehaluan. UNKO ditubuhkan
untuk menyatukan masyarakat Kadazandusun, memperjuangkan satu matlamat
bersama dalam politik, ekonomi dan sosial di samping menggesa Kerajaan
British agar tidak mengabaikan hak-hak Bumiputera. Keahlian UNKO pada
awalnya dikhususkan kepada orang-orang Kadazandusun kerana pengasasnya
percaya bahawa masyarakat ini yang dianggarkan 168,367, iaitu 32% daripada
penduduk Sabah pada tahun 1960 sudah cukup untuk UNKO kukuh berdiri.
Kedudukan UNKO tergugat dengan kemunculan parti United Sabah National
Organization (USNO) yang membuka keanggotaan kepada semua golongan
Bumiputera samada Islam atau bukan Islam. Ini telah menarik perhatian ramai
orang Dusun untuk menyokong USNO kerana mereka tidak setuju dengan
penggunaan istilah “Kadazan” yang diperjuangkan UNKO. Di samping itu, mereka
juga khuatir tentang kedudukan mereka kerana kurang maju dari segi pendidikan
dan ekonomi menyebabkan mereka dengan lebih muda didominasi oleh Kadazan
Penampang yang lebih berpendidikan ketika itu.
Penubuhan parti Pasok Momogun pula disokong oleh masyarakat Cina yang
kurang senang dengan cadangan Projek Malaysia kerana UNKO telah mengambil
pendirian untuk menyokong pembentukan negara Malaysia. Pasok Momogun
membantah dengan alasan Sabah perlu mendapat kemerdekaan terlebih dahulu
sebelum memikirkan samada menyertai Persekutuan Malaysia.
Peter Chin, seorang ahli perniagaan dari Jesselton (kini Kota Kinabalu) telah
berjaya memujuk pemimpin-pemimpin Kwijau tiga bersaudara, iaitu Datuk G.S.
Sundang, O.K.K. Sedomon dan Jaimi untuk membentuk parti Pasok Momogun.
Parti ini membuka keahliannya kepada semua kaum dan bersikap anti-Malaya.
Pasok Momogun mendapat bantuan kewangan daripada saudagar-saudagar Cina
seperti Khoo Siak Chew.
Proses perundingan membentuk Persekutuan Malaysia telah melalui berbagai
peristiwa pahit dan manis. Namun demikian, cadangan Tunku itu diterima setelah
proses perundingan yang memakan masa selama 28 bulan, iaitu dari bulan Mei
1961 hinggalah ke bulan September 1963. Akhirnya pada 31 Ogos 1963, Borneo
Utara telah diberi status yang membolehkannya memerintah secara sendirian.
Peristiwa bersejarah ini merupakan 16 hari sebelum Borneo Utara mendapatkan
kemerdekaannya sepenuhnya dalam negara Malaysia, iaitu pada 16 September
1963. Masyarakat Kadazandusun pada masa itu telah diberi satu penghormatan
besar kerana Ketua Menteri pertama yang dilantik ialah Donald Stephens.
Penubuhan Persekutuan Malaysia telah memberikan tamparan hebat kepada
Pasok Momogun kerana dua buah parti politik Cina, iaitu United Party (UP) dan
Democratic Party (DP) yang merupakan penyumbang sumber kewangan kepada
Pasok Momogun telah bergabung dan membentuk Parti Kebangsaan Borneo
Utara atau Borneo Utara National Party (BUNAP). Ini menyebabkan Parti Pasok
Momogun kehilangan sokongan kewangan dan tidak mempunyai pilihan lain
kecuali bergabung dengan UNKO pada Mei 1964 untuk membentuk United Pasok
Momogun Kadazan Organisation (UPKO).
Pada 12 April 1964, satu mesyuarat di antara pemimpin UNKO dan Pasok
Momogun diadakan di Rumah Rehat Tenom. UNKO diwakili oleh Stephens,
Mojuntin, Manjaji dan Fred Tan, manakala Pasok Momogun diwakili oleh G. S.
Sundang, Sodomon, Sundang, O.K.K. Koroh, Haji Asneh, O.K.K. Angkoi,
Tingkalor Lampag dan semua ketua masyarakat Murut. Mesyuarat ini bertujuan
untuk membincangkan penggabungan kedua-dua parti kerana ia disifatkan
sebagai berkongsi ikatan kekeluargaan yang sama. Kesemua pemimpin yang
hadir menyatakan sokongan terhadap hasrat murni tersebut. Pada 13 Jun 1964,
satu perhimpunan terbesar di kalangan pemimpin Kadazandusun dan Murut
diadakan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
Perhimpunan yang dipengerusikan bersama oleh Stephens dan Sundang ini
sebulat suara untuk menggabungkan UNKO dan Pasok Momogun menjadi UPKO.
Resolusi ini dicadangkan oleh Peter Mojuntin dan Stanley Ho, dua Ahli Parlimen
muda yang hadir. Antara ketua masyarakat yang hadir ialah OKK Sodomon, OKK
Koroh, OKK Tambakau, Dato OKK Angian, OKK Jaimi, KAN Madan, Sanggau dari
Keningau dan Tenom, OKK Mulok dari Sipitang, OKK Bulangang dan Robert
Bulanggan dari Kuala Penyu, OKK Haji Asneh dari Beaufort, OKK Ewn dan N.C.
Manjakon dari Penampang, OKK Majimbun dari Inanam, KAN Amit dari Papar,
OKK Nonon dari Tuaran, KAN Belingi dari Tenghilan, OKK Akoi dan KAN Sepikit,
Saliun dari Ranau, OKK Rantian dari Kota Belud, KAN Jamari OT Assan Gaban
dari Kudat dan Bandau, Chong Ang Khoi dari Labuan serta banyak lagi pemimpin
masyarakat Kadazandusun yang lain.
Penyatuan kedua-dua parti politik ini mengukuhkan kedudukan Bumiputera
Bukan Islam dalam Kerajaan Perikatan Sabah dan melambangkan perpaduan
masyarakat Kadazandusun dalam kesinambungan perjuangan politik mereka.
Kewujudan UPKO telah menggugat kedudukan USNO dalam pengagihan kerusi
Dewan Undangan Sabah. Sekitar Mei hingga Jun 1964, jumlah kerusi DUN yang
dipilih ditambah kepada 32 kerusi dengan pengagihannya ialah USNO: 14,
UPKO:11 dan SCA: 7. Setiap komponen Perikatan Sabah juga diberikan satu
tambahan kerusi yang dilantik. Oleh itu, pengagihan kerusi DUN Sabah pada
tahun 1964 adalah USNO: 15, UPKO: 12, SCA: 8 dan SIC: 1.
Disebabkan tekanan politik daripada Kerajaan Persekutuan dan USNO, Donald
Stephens terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah pada 31
Disember 1964 dan digantikan oleh Peter Lo daripada SCA. UPKO tidak menarik
diri daripada Perikatan Sabah walaupun Donald Stephens meletak jawatan.
Sebaliknya, satu lagi penghormatan besar diberikan kepada masyarakat
Kadazandusun apabila beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan Awam dan Hal-
Ehwal Sabah di Kerajaan Persekutuan pada Januari 1965.
Beliau melepaskan jawatan ini pada Ogos 1965 kerana beliau tidak dibawa
berunding berhubung penarikan Singapura daripada Malaysia. Penarikan diri
Singapura daripada Malaysia menimbulkan kesan negatif kepada situasi politik
Sabah dan menyebabkan ketegangan hubungan di antara UPKO dan Kerajaan
Persekutuan. UPKO di bawah pimpinan Donald Stephens meminta dikaji semula
peraturan berkaitan kemasukan Sabah dalam Malaysia. Ini mengakibatkan
Kerajaan Pusat mula campur tangan dalam pengendalian politik di Sabah.
Ketegangan politik Sabah ini semakin memuncak menjelang Pilihanraya Umum
Negeri yang pertama pada April 1967 sehingga mewujudkan masalah pengagihan
calon di antara komponen Perikatan Sabah. Keputusannya ialah USNO: 14,
UPKO: 12, SCA: 4 dan Bebas: 1. Pada mulanya UPKO dan SCA bersetuju
bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah. SCA mengubah pendirian
kerana masih memerlukan sokongan Bumiputera Islam USNO di samping
tekanan daripada Kuala Lumpur. USNO berusaha memujuk pemimpin-pemimpin
UPKO menyertainya melalui tawaran jawatan dalam Kabinet Negeri. Akhirnya,
USNO mula lemah apabila Payar Juman dan Wong Fook Siang menyertai USNO.
Beberapa ahli UPKO turut menyertai USNO. Dengan sokongan secara tidak
langsung dari Kerajaan Pusat, maka pada 15 Mac 1967, USNO akhirnya berjaya
menyingkirkan UPKO daripada Kerajaan Perikatan Sabah dan seterusnya
dibubarkan pada bulan Disember 1967.

You might also like