Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

1.

0 Kerani kewangan sekolah yang dilantik tidak mempunyai kemahiran


menguruskan kewangan dengan baik

Dalam mana-mana organisasi, pengurusan kewangan merupakan satu aspek penting


yang menjadi keutamaan. Bahkan, perkara ini boleh dianggap sebagai nadi penggerak kepada
setiap perancangan dan program yang akan dijalankan sepanjang tahun. Pendapat ini disokong
oleh Soaib Asimiran (2003) yang menyifatkan sumber kewangan sebagai faktor penentu dan
pengawal utama kepada sistem pengurusan organisasi sekolah. Hal ini kerana, setiap aktiviti
yang dirancang memerlukan kos atau perbelanjaan yang besar untuk menyediakan bahan dan
peralatan yang diperlukan untuk menjayakan sesuatu aktiviti yang akan atau sedang dijalankan.

Steiss (2003) mendefinisikan pengurusan kewangan sebagai satu perancangan


menyeluruh yang meliputi pelbagai bentuk urusan seperti barangan, perkhidmatan, aktiviti, dan
termasuk juga projek kecil mahupun projek mega. Pengurusan kewangan merupakan satu
bidang yang memerlukan kebijaksanaan dan intergriti pihak pentadbir terutamanya ketua
organisasi atau guru besar dan pengetua jika di sekolah. Tidak terkecuali juga keseluruhan
warga organisasi atau sekolah itu sendiri. Sejajar dengan itu, pengurusan kewangan haruslah
diurus dengan cekap dan bersistematik seperti yang telah ditetapkan dalam Akta Pendidikan
1996. Kemampuan warga sekolah dalam memahami perkara berkaitan kewangan dengan lebih
teliti dan mendalam membolehkan organisasi atau sekolah menyediakan perancangan
perbelanjaan dengan lebih terperinci agar dasar perancangan kerja dan tugas-tugas
pengurusan dapat dibentuk dan diagih.

Pengurusan kewangan yang bersistematik sudah pasti memberi impak positif terhadap
perjalan pengurusan organisasi atau sekolah secara keseluruhannya. Bahkan, pengurusan
kewangan yang berkesan dapat mengelak sebarang pembaziran dan penyelewengan daripada
berlaku. Kerjasama antara pihak pentadbir dan para guru di sekolah begitu penting dalam
setiap rancangan, pengurusan, dan pengawalan kewangan untuk melonjakkan prestasi
sesebuah sekolah.
Bagi memastikan pengurusan kewangan yang cekap di mana-mana organisasi, kerani
kewangan yang telah dilantik seharusnya memahami bidang tugas dan status sekolah yang
diurus. Hal ini kerana, kerani kewangan yang dilantik harus mengurus perihal kepelbagaian
bidang tugas yang berkaitan dengan pengurusan kewangan sekolah. Contohnya, mengurus
baucar bayaran barangan atau perkhidmatan, dan pengurusan barangan secara pesanan
menggunakan nota minta.

Disamping itu, terdapat juga pengurusan kewangan lain yang hendak diurus. Setiap
urusan yang melibatkan pembelian, pembayaran, penerimaan, dan penghantaran barangan
atau perkhidmatan yang dijalankan pada hari-hari tertentu haruslah direkod dan dicatat pada
buku tunai. Namun yang demikian, terdapat beberapa kerani kewangan yang kurang cekap dan
tidak mempunyai kemahiran yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang yang bertanggungjawab
mengurus kewangan sekolah.

Sebagai langkah mengatasi masalah ini,pihak sekolah hendaklah menitikberatkan latihan


untuk kerani kewangan yang terlibat dengan pengurusan kewangan. Hal ini kerana, latihan
sangat penting untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan dalam menguruskan rekod
kewangan. Malah, latihan adalah tahap paling kritikal dalam menjadikan pelaksana
mempraktikkan ilmu dan pengetahuan yang dipelajari. Sehubungan dengan itu, setiap kerani
kewangan hendaklah mengikuti kursus dan bengkel pengurusan kewangan sekolah yang
dianjurkan oleh pihak kementerian dari semasa ke semasa.

Selain itu, kerani kewangan sekolah juga seharusnya mendapatkan khidmat dan tunjuk
ajar rakan sejawat dari sekolah lain berhubung urusan yang berkaitan dengan pengurusan
kewangan sekolah.Kursus dan bengkel kewangan ini penting untuk melengkapkan mereka
dengan kemahiran dan ilmu terkini dalam pengurusan kewangan khasnya dalam pengendalian
perisian tertentu seperti sistem e-SPKB yang diaplikasikan.
2.0 Penghantaran barang tidak menepati masa atau tempoh serta spesifikasi
yang ditetapkan

Selain daripada isu kerani kewangan yang kurang mahir dalam menguruskan kewangan
sekolah, masalah pengurusan kewangan sekolah juga berkaitan dengan masalah teknikal.
Masalah teknikal yang dimaksudkan di sini berkaitan dengan pembekalan barangan dan
perkhidmatan ke sekolah.Perkara ini termasuklah kes lewat menghantar barangan atau
perkhidmatan, kehabisan stok barangan yang diperlukan dan barangan yang tidak memenuhi
spesifikasi yang dikehendaki. Oleh itu, dalam membuat pemilihan pembekal, pihak sekolah
hendaklah melakukannya dengan lebih teliti. Hal ini penting agar pihak sekolah dapat mengenal
pasti pembekal yang benar-benar kukuh dari segi kewangan agar mereka mampu bertindak
dengan segera apabila menghadapi masalah seperti kehabisan stok.

Masalah teknikal lain yang seringkali berlaku ialah penghantaran barangan atau
perkhidmatan yang salah dan tidak memenuhi spesifikasi yang diperlukan oleh pihak sekolah.
Masalah ini dapat diatasi sekiranya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menambah bilangan
syarikat di bawah kontrak pusat. Justeru, sekolah dapat membuat pilihan bagi mendapatkan
barangan daripada pembekal lain dengan jenis, jenama dan spesifikasi barangan yang
diperlukan. Oleh itu, masalah kelewatan dan menghantar barangan atau perkhidmatan
keperluan yang tidak memenuhi spesifikasi dapat diatasi. Cara penyelesaian ini sudah tentunya
memberi banyak manfaat kepada sekolah, khasnya dalam menyumbang kepada kelancaran
proses pengajaran dan pembelajaran kerana pihak sekolah mampu menguruskan hal ehwal
kewangannya dengan baik.

Selain daripada kelewatan dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan serta


ketidakakuran dengan spesifikasi yang diminta, terdapat beberapa lagi masalah dari segi
teknikal yang dihadapi oleh pihak sekolah.Hal ini termasuklah kelewatan pembekal menghantar
LPO. Bagi mengatasi masalah ini, kerani kewangan akan memberi surat peringatan dan sering
melakukan semakan dengan pembekal.
Sekiranya terdapat masalah pesanan barangan dalam kuantiti yang banyak dalam satu
masa, kerani yang terlibat akan bekerja lebih masa dan memohon bantuan daripada staf yang
lain atas arahan pengetua atau guru besar.Masalah teknikal seterusnya yang juga sering
dihadapi ialah kesalahan dalam merekod dokumen kewangan. Perkara ini boleh diatasi dengan
bekerja mengikut prosedur dan proses kerja yang lebih teliti dan berhati-hati.

3.0 Kegagalan Pengetua atau Guru Besar dalam menguruskan kewangan sekolah
dengan cekap dan telus

Pengetua atau guru besar yang dilantik tanpa sebarang pendedahan mengenai
pengurusan kewangan telah menyebabkan mereka mentadbir sekolah dengan sambil
lewa.Senario tersebut berlaku disebabkan sistem pelantikan pengetua sekolah ketika ini
berdasarkan kekananan dan bukan berdasarkan peningkatan pengetahuan dan kemahiran (Loo,
2005). Natijahnya, mereka akan menyerahkan tanggungjawab dan peranan tersebut kepada
staf bawahan seperti Pembantu Tadbir Akaun sekolah atau sekiranya mereka menguruskannya
sendiri, pengurusan tersebut tidak menjurus kepada keutamaan perbelanjaan yang sepatutnya
serta barangan pembelian tersebut tidak dapat digunakan sepenuhnya di sekolah.

Sistem pengurusan kewangan sekolah yang tidak jelas dan tidak dipatuhi bukan sahaja
menyukarkan proses kerja tetapi juga menyebabkan berlakunya pelbagai kelemahan yang lain.
Sebahagian daripada keputusan yang dibuat mungkin kurang tepat ataupun bertentangan
dengan undang-undang serta peraturan semasa. Pengurusan kewangan sekolah yang lemah ini
membuka ruang kepada penggunaan budi bicara yang seringkali membawa kepada
penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Oleh itu, pengurusan kewangan yang kukuh oleh pemimpin
sekolah penting bagi menunjukkan rasa tanggungjawab dalam pengurusan kewangan sekolah.
Kesan daripada sistem perlantikan pengetua atau guru besar yang tidak berdasarkan
latihan dan kepakaran ialah mereka yang dilantik tidak diberi kursus, tetapi belajar mentadbir
secara cuba jaya. Dalam keadaan sedemikian, pengetua atau guru besar banyak bergantung
pada pembantu tadbir di sekolah.Namun yang demikian, bagi sekolah yang tidak mempunyai
pembantu tadbir kewangan, keadaannya lebih sukar dan menyulitkan.

Pembelian tanpa menggunakan borang nota minta dan borang pesanan seringkali
berlaku di sekolah. Terdapat pengetua atau guru besar yang mengambil barang-barang dahulu
daripada pembekal dan pesanan dibuat kemudian. Pengetua atau guru besar membeli dan
membayar terlebih dahulu dengan menggunakan wang sendiri dan menuntut daripada sekolah
kemudian. Pengetua atau guru kanan membeli alatan kerana dipengaruhi oleh jurujual yang
datang ke sekolah dengan tawaran yang tertentu serta membeli alatan yang dinilai melebihi
had perolehan tanpa mendapatkan kelulusan daripada JPN.

Borang-borang pesanan tempatan dikeluarkan pada akhir tahun sahaja untuk tujuan
pengauditan.Namun yang demikian, pembayaran dibuat tanpa baucar dan dokumen-dokumen
sokongan bagi membuktikan ketepatan harga.Oleh itu, pembayaran dibuat lebih daripada sekali
kerana pihak sekolah menerima invois ulangan.Selain itu,kutipan yuran sudah dilakukan tetapi
resit tidak dikeluarkan. Kutipan yuran khas, sewa kantin dan sewa kedai buku tidak dikutip pada
masa yang ditetapkan.

Kesimpulannya, masalah pengurusan kewangan sering berlaku di sekolah. Pengurus


sekolah kurang memahami akauntabiliti terhadap pengurusan kewangan yang melibatkan
proses memperolehi, mengagihkan, menggunakan dan mengawal sumber-sumber kewangan
untuk menambahbaik pengurusan kewangan sekolah serta mencapai matlamat yang ditetapkan
dalam pengurusan kewangan. Berdasarkan masalah-masalah dalam pengurusan kewangan
sekolah yang dinyatakan di atas,pengetua atau guru besar memainkan peranan penting sebagai
pengurus kewangan sekolah lantas menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul dalam
kewangan sekolah.
RUJUKAN

Bahagian Kewangan, KPM. (2005). Surat pekeliling kepada tatacara pengurusan


kewangan dan perakaunan kumpulan wang sekolah . Kuala Lumpur: Bahagian
Kewangan, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Burrup, P. E. (2003). Financing education in a climate of change. London: Allyn & Bacon.

Caldwell, B. J., & Spinks, J. M. (2003). Beyond the Self-Managing School: Student
Outcomes and Reform of Education: Palmer Press, Taylor & Francis Group.24
Mokhtar Ibrahim (2007). Pengurusan kewangan dan amalan perakaunan di sebuah
sekolah menengah teknik di Sabah: Satu kajian kes, Kertas Projek Sarjana
Kepengetuaan, Universiti Malaya yang tidak di terbitkan.

Reynolds, D., Hopkins, D., Potter, D., & Chapman, C. (2001). School improvement for
schools facing challenging circumstances: A review of research and practice.
London: Department for Education and Skills.

Soaib Asimiran (2003). Pengurusan kewangan dalam pendidikan. Dlm. Zaidatol Akmaliah
Lope Pihie & S. F. Foo. (Eds.). Pengurusan & kepemimpinan pendidikan: Satu
langkah ke hadapan, hlm. 74-89.Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Steiss, A. W. (2003). Strategic management for public and nonprofit organizations. New
York: Marcel Dekker.

Loo Bee Lian (2005). Pengurusan kewangan sekolah: Satu kajian tentang amalan
pengetua di sekolah-sekolah menengah Pelabuhan Klang. Tesis Sarjana
Pendidikan, Universiti Malaya yang tidak diterbitkan

Xavier, J. A. (2003). Pengurusan kewangan: Teras pengurusan sektor awam,


meningkatkan akauntabiliti dan integriti melalui latihan. Buletin Kewangan Institut
Tadbiran Awam Negara Malaysia (INTAN)

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie. (2001). Pengurusan sekolah yang efektif. Jurnal
Pendidikan, 33, 56-71.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (2003). Pentadbiran pendidikan. Petaling Jaya, Selangor:
Fajar Bakti. 162.

You might also like