Nurul Faqihah Binti Ahmad Shohaimi

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019

Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)


Semester 3, Ambilan Jun 2018

PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PDP)


SEJARAH DALAM MENANGANI ISU TINGKAH LAKU BILIK DARJAH

Nurul Faqihah Binti Ahmad Shohaimi


Jabatan Sejarah,
IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

A. PENDAHULUAN

Sekolah Kebangsaan Pekan Jaya, Pekan Pahang merupakan sekolah gred B yang terletak di
pinggir bandar daerah Pekan, Pahang. Sekolah ini mendapat gelaran Sekolah Kluster
Kecemerlangan pada tahun 2013 dan banyak memenangi anugerah dalam bidang inovasi,
robotik dan ICT peringkat kebangsaan sehingga sekolah ini banyak kali dijadikan sekolah
perintis untuk program berkaitan inovasi, robotik dan ICT. Murid di sekolah ini
kebanyakannya berlatar belakangkan keluarga yang berkemampuan dan hampir 60 peratus
ibu bapa merupakan penjawat awam, 20 peratus adalah penjawat swasta dan selebihnya
merupakan ibu bapa yang bekerja sendiri.
Maka, dapat dilihat perbezaan individu dari segi faktor sosial tidak menunjukkan
jurang yang luas kerana kebanyakan mereka adalah dari keluarga yang berkemampuan.
Namun, aspek kepelbagaian murid dari segi gaya pembelajaran dan kecerdasan pelbagai
mempengaruhi keinginan mereka untuk memberikan sepenuh perhatian di dalam kelas. Faktor
ini mempengaruhi gaya pengajaran guru kerana pengajaran yang kurang menarik di samping
pemilihan sumber pengajaran yang kurang sesuai dengan gaya pembelajaran murid akan
membuatkan murid hilang fokus dan berasa bosan.

B. DAPATAN PEMERHATIAN DI SEKOLAH KEBANGSAAN PEKAN JAYA

i. ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH DI DALAM BILIK DARJAH

Isu tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah yang dapat diperhatikan ialah murid tidak
fokus di dalam kelas. Mereka cenderung untuk mengusik rakan lain dan tidak memberikan
kerjasama sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Masalah-masalah ini
diklasifikasikan sebagai masalah disiplin yang bersifat disruptif. Tingkah laku disruptif
merupakan tingkah laku yang boleh menjejaskan kelicinan perjalanan proses pengajaran dan
pembelajaran seperti tingkah laku hiperaktif, tindakan mengusik yang melampau, membuat
bising hingga mengganggu pelaksanaan pembelajaran dan sebagainya (Ainul Yaqin Abdullah
et.al, 2016).
Pemilihan sumber dan bahan pengajaran yang kurang sesuai dengan tahap kognitif
murid menjadi punca mereka tidak fokus di dalam bilik darjah dan tidak mahu memberikan
kerjasama sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hal ini dikatakan
demikian kerana murid-murid berasa tidak tercabar dengan bahan yang disediakan oleh guru.
Penggunaan bahan pengajaran yang beraras rendah tidak sesuai digunakan untuk murid pintar
(Abdul Rahim Abdul Rashid, 1989). Hal ini menyebabkan murid pintar ini tidak memberikan
perhatian di dalam kelas dan tidak mahu memberikan kerjasama sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung.
Hal ini dapat diperkukuhkan lagi melalui pemerhatian yang dilakukan di SK Pekan
Jaya di mana murid pintar cenderung mahukan aktiviti yang melibatkan sumbang saran dan
aktiviti berkumpulan di mana mereka dapat berkongsi idea sesama mereka manakala murid

1
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

lemah kebiasaannya hanya pasif di dalam kelas dan mahukan aktiviti yang banyak melibatkan
permainan. Hal ini dapat dikaitkan dengan kepelbagaian murid iaitu jenis-jenis murid di mana
murid boleh dikategorikan kepada tujuh jenis yang utama iaitu murid visual, murid auditori,
murid kinestetik, aktivis, reflektor, teoris dan pragmatis (Noriati A. Rashid, 2017). Oleh itu,
guru perlulah peka terhadap kepelbagaian dan perbezaan jenis murid ini supaya guru dapat
merancang penggunaan sumber dan bahan pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dan
dapat menarik minat murid-murid.

ii. SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH YANG


DIGUNAKAN DALAM MENGATASI ISU TINGKAH LAKU
BERMASALAH

Pengajaran yang berkesan sebenarnya bergantung kepada banyak faktor. Antaranya ialah
sumber pengajaran dan pembelajaran yang disokong oleh bahan-bahan pengajaran yang
bersesuaian (Saroyan & Snell, 1997). Dalam isu pemilihan sumber pengajaran, guru
hendaklah menitikberatkan kesesuaian sumber dan bahan pengajaran bagi mengelakkan
timbul isu kebosanan dan isu tidak fokus di dalam bilik darjah. Antara sumber pembelajaran
yang boleh digunakan oleh guru untuk menarik minat murid ialah sumber internet. Sumber
internet bersifat terkini dan dapat membantu murid berinteraksi secara pelbagai hala
(Breakstone & Smith, 2013). Kini, kebanyakan murid dilihat cenderung untuk meneroka
bahan secara visual di dalam internet. Sehubungan dengan itu, pelbagai sumber pengajaran
dan pembelajaran sejarah telah didigitalkan misalnya Memorial Tunku Abdul Rahman dan
jurnal-jurnal yang dapat diakses di Portal Rasmi Arkib Negara. Hal ini dapat memberi peluang
kepada murid untuk membuat interpretasi dan tafsiran berdasarkan bukti sejarah yang
berautoriti (Macedo-Rouet,Braasch, Britt & Rouet, 2013). Hal ini sekali gus menepati elemen
Kemahiran Pemikiran Sejarah iaitu meneroka bukti, kemahiran rasionalisasi, kemahiran
interpretasi, kemahiran imaginasi dan memahami kronologi (Shakila Che Dahalan, 2015)
Kelemahan yang dapat dilihat sepanjang pemerhatian di SK Pekan Jaya ialah masih
terdapat guru yang menyampaikan isi pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah
‘chalk and talk’. Kaedah pengajaran yang berpusatkan guru serta sumber pengajaran yang
hanya berfokuskan kepada buku teks menyebabkan murid cepat bosan, mengantuk dan tidak
fokus di dalam kelas. Walaupun isi kandungan buku teks bertepatan dengan standard
pembelajaran namun, pembelajaran secara ‘chalk and talk’ mengehadkan pergerakan serta
kebebasan murid untuk meneroka pengetahuan sejarah yang lebih mendalam (Siti Hawa
Abdullah, 2008). Kesannya, murid akan menjadi tidak fokus dan mula mengganggu rakan lain
yang sedang belajar.
Oleh itu, guru memainkan peranan penting untuk memilih sumber dan bahan-bahan
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk menarik minat murid. Guru juga perlu
merangka aktiviti yang bersesuaian dengan sumber dan bahan-bahan pengajaran bagi
mengelakkan timbulnya isu murid tidak fokus di dalam kelas dan tidak memberikan kerjasama
sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

C. BANDING BEZA PENGGUNAAN SUMBER PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN SEJARAH DALAM MENGATASI ISU TINGKAH LAKU
BERMASALAH

Berdasarkan pemerhatian ke atas guru Sejarah di SK Pekan Jaya, mereka banyak


menggunakan sumber pengajaran dan pembelajaran berasaskan bahan bercetak seperti buku
teks dan sumber internet iaitu direktori web dan laman web 2.0. Sumber-sumber ini dapat

2
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

dibandingbezakan dari segi berbagai aspek iaitu isi kandungan, kebolehcapaian, keberhasilan
penggunaan di dalam bilik darjah, penilaian kefahaman individu murid dan integrasi media.
Dari segi isi kandungan, perbezaan yang dapat dilihat adalah dari segi fakta yang
terkandung di dalam sumber-sumber pengajaran ini. Bagi bahan bercetak iaitu buku teks, fakta
yang terkandung hanyalah terhad kepada standard pembelajaran di dalam Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Sebagai contoh, di bawah Standard Kandungan Sukan
Kebanggaan Negara, fakta berkaitan tokoh-tokoh sukan terdahulu hanyalah sekadar senarai
nama tokoh. Hal ini sukar membuatkan murid dapat menilai peranan tokoh-tokoh sukan
terdahulu dalam menjadi inspirasi kepada sukan masa kini. Hal ini secara tidak langsung
menyebabkan murid merasakan sumber pengajaran guru tidak menarik. Kesannya, murid
akan berasa bosan dan tidak memberikan perhatian sepanjang proses pengajaran dan
pembelajaran dijalankan. Manakala, bagi sumber internet, fakta yang terkandung di dalamnya
adalah lebih luas. Guru di SK Pekan Jaya menggunakan laman web 2.0 untuk memberi
kebebasan kepada murid bagi meneroka bukti sumbangan tokoh-tokoh atlet terdahulu.
Dengan penggunaan laman web 2.0 ini, murid bukan sahaja dapat meneroka fakta, murid juga
dapat mengaitkan bagaimana kejayaan atlet terdahulu memberi inspirasi kepada atlet dan
generasi pada masa kini untuk terus berusaha meraih kejayaan. Antara sumber dari laman
web 2.0 adalah akhbar, jurnal yang berkaitan sukan dan banyak lagi. Dengan penggunaan
sumber internet ini, bukan sekadar guru mampu menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah
iaitu meneroka sumber, guru juga dapat membimbing murid untuk menilai sumber yang
diterokai itu benar ataupun tidak. Dengan ini, sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi
lebih menarik dan murid akan memberikan kerjasama yang penuh bagi menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran ini. Dengan cara ini juga, tiada istilah murid ketinggalan apa
yang diajar oleh guru kerana maklumat itu diterokai sendiri oleh murid.
Seterusnya, dari sudut autoriti juga terdapat banyak perbezaan. Bagi bahan bercetak
seperti buku teks, autoritinya lebih terjamin. Hal ini dikatakan demikian kerana bagi
menghasilkan sebuah buku teks memerlukan pelbagai semakan dan tapisan daripada pihak
yang mempunyai pengetahuan dalam isi kandungan yang ingin disampaikan (Siti Hawa
Abdullah, 2016). Antara pihak berautoriti yang dipilih untuk memeriksa buku teks Sejarah
ialah Ramlah Adam. Beliau merupakan antara individu yang mempunyai isi pengetahuan
sejarah yang meluas. Manakala bagi bahan internet pula, autoritinya boleh dipersoalkan. Hal
ini kerana maklumat dari sumber internet sukar dibuktikan kesasihannya. Buku teks
mementingkan sumber rujukan bagi setiap isi kandungan yang ditulis. Hal ini dapat
ditunjukkan di bahagian belakang buku teks, sumber rujukan disenaraikan mengikut isi
kandungan yang ditulis. Manakala, bagi sumber internet pula, tidak semua sumber itu
mempunyai rujukan. Ada yang hanya menulis berdasarkan pandangan dan sebagainya. Dalam
hal ini, guru perlu membimbing murid untuk memilih sumber yang boleh dipercayai.
Penggunaan sumber internet sememangnya memudahkan guru dalam mengakses sumber dan
bahan pengajaran dan pembelajaran. Akan tetapi, guru perlu peka bagaimana untuk
membimbing murid untuk menilai kesahihan sesuatu sumber. Dengan guru membimbing
murid dalam menganalisis sumber ini, guru dapat memberikan perhatian kepada murid-murid
tersebut. Antara cara lain juga yang dapat digunakan oleh guru bagi menghidupkan sesi
pengajaran dan pembelajaran ialah menggunakan kaedah perbincangan dalam kumpulan di
mana murid-murid berbincang tentang autoriti sumber tersebut. Melalui aktiviti perbincangan
ini, guru dapat mengelakkan daripada murid berasa bosan kerana murid perlu berfikir dan
menyumbangkan idea tentang kebenaran sesuatu kandungan sejarah. Kesannya, isu murid
tidak mampu fokus di dalam bilik darjah dapat diatasi.
Aspek seterusnya ialah kemudahan mengakses sumber. Kemudahan dalam
mengakses sumber ini juga perlu dititikberatkan oleh guru dalam memilih sumber pengajaran

3
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

dan pembelajaran yang berkaitan. Bahan bercetak seperti buku teks mudah dibawa di dalam
bilik darjah. Dalam pada itu, guru dan murid juga banyak merujuk kepada buku teks untuk
melangsungkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kebiasaannya murid juga mudah
membawa buku teks kerana ia ringan dan wujud secara fizikal (Syed Ismail Syed Mustapa.,
et. al, 2017). Manakala, bagi sumber internet pula, sumber internet memang mudah untuk
diakses tetapi untuk guru menggunakan sumber ini di dalam bilik darjah bersama-sama
dengan murid-murid adalah agak sukar. Hal ini dikatakan demikian kerana sumber internet
memerlukan capaian internet. Mengikut peraturan sekolah, murid-murid tidak dibenarkan
untuk membawa alatan gajet, maka akses kepada sumber internet ini hanya boleh dilakukan
di dalam makmal komputer. Makmal komputer juga tidak semestinya dapat digunakan selalu
berikutan terdapat banyak lagi kelas yang mahu menggunakannya.
Aspek yang ketiga pula ialah integrasi media. Pengintegrasian media merupakan
aspek yang penting yang dapat dijadikan salah satu panduan bagi memilih sumber pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan. Sebagaimana yang diketahui, bahan bercetak ialah bahan
maklumat yang mempunyai tulisan dan boleh dibaca secara terus (Syed Ismail Syed Mustapa.,
et. al., 2017). Bahan bercetak seperti buku teks mengandungi hanyalah tulisan dan gambar
semata-mata yang bersifat statik. Tulisan yang terlalu banyak dan gambar yang tidak bergerak
boleh menjadikan murid terlalu bosan untuk membaca dan memberikan fokus di dalam kelas.
Kesannya, murid akan mulai bergerak tanpa hala tuju dan mengusik rakan-rakan. Akan tetapi,
sumber internet pula yang merupakan jaringan komputer antarabangsa terbesar yang
menghubungkan individu dari pelusuk dunia ini boleh digunakan sebagai medium untuk
murid seronok dengan pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah. Hal ini dikatakan
demikian kerana dalam sumber internet sendiri sudah terdapat gabungan teks, audio, grafik,
muzik dan video. Gabungan-gabungan ini menjadikan sumber internet lebih menarik kerana
lebih banyak perkara yang dapat diterokai oleh murid. Sumber internet ini juga mampu untuk
menggantikan peranan muzium dan arkib dalam membantu murid memahami sejarah dengan
baik. Misalnya, untuk murid-murid melihat sendiri barang-barang tinggalan Tunku Abdul
Rahman dan sebagainya, murid-murid boleh mengakses direktori web Arkib Negara
Malaysia. Dengan murid melihat sendiri memorial-memorial ini, murid-murid akan berasa
lebih seronok dan lebih tertarik untuk meneroka lebih lagi yang berkaitan dengan isi
kandungan di direktori web Arkib Negara Malaysia. Kesannya, murid-murid akan lebih
memberikan perhatian dan lebih banyak membuat rasionalisasi tentang apa yang dilihatnya.
Hal ini dapat melahirkan murid yang berfikiran kritis dan kreatif sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran sejarah berlangsung.
Aspek yang seterusnya ialah impak penggunaan sumber pengajaran dan
pembelajaran kepada murid. Bahan bercetak dilihat sukar untuk merangsang kaedah berfikir
dan imaginasi murid dalam menzahirkan idea dan menunjukkan kefahaman dalam sesuatu
isu. Hal ini disebabkan oleh buku teks yang banyak meletakkan ayat dan grafik yang tidak
bergerak. Kesannya, murid akan berasa bosan dan tidak minat untuk mengikuti proses
pengajaran dan pembelajaran tersebut. Bagi sumber internet pula, ilmu sejarah dapat dihayati
dengan lebih baik kerana ia membantu merangsang kemahiran imaginasi murid melalui
paparan digital. (Siti Hawa Abdullah, 2016). Misalnya, topik yang berkaitan dengan peristiwa
perjuangan tokoh-tokoh tempatan ini guru boleh gunakan video dan jurnal elektronik untuk
mewujudkan ilustrasi dan merangsang kemahiran imaginasi murid. Dengan ini, murid akan
dapat melahirkan perasaan empati dengan membayangkan keadaan tokoh-tokoh tempatan
pada ketika itu dan bagaimana sukarnya perjuangan tokoh-tokoh ini bagi menentang penjajah.
Dengan ini, guru dapat menerapkan elemen Kewarganegaraan, Nilai dan Sivik iaitu
mempunyai semangat cintakan tanah air. Kesannya, guru bukan sahaja mampu merangsang
minda murid, guru juga dapat menarik perhatian murid dengan jurnal elektronik yang

4
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

diberikan. Penggunaan jurnal ini membuatkan murid tertanya-tanya apakah intipati jurnal
tersebut. Dengan ini, murid akan lebih fokus untuk melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran
dan pembelajaran itu.
Aspek yang terakhir ialah penilaian guru terhadap murid. Bahan bercetak yang
digunakan oleh guru kebanyakkannya hanya diambil dalam buku teks sejarah. Dengan ini,
murid hanya menyalin dan menjawab soalan dengan merujuk kembali isi kandungan di dalam
buku teks. Dengan ini, objektif pengajaran dan pembelajaran tidak akan tercapai kerana murid
hanya menyalin semula jawapan. Tetapi berbeza dengan sumber internet, guru boleh
menggunakan pelbagai aktiviti atas talian seperti Quizzizz dan permainan digital. Permainan
dan kuiz ini perlulah dimain secara individu oleh murid supaya guru dapat menilai kefahaman
murid berkaitan isi yang dipelajari pada hari itu. Soalan-soalan yang murid salah jawab juga
dapat dibincangkan semula. Kesannya, murid akan berasa seronok dengan penggunaan
sumber internet kerana mereka akan bersaing sesama mereka untuk menjadi pemenang.
Kesannya, murid akan fokus di dalam kelas kerana wujudnya aktiviti yang berdasarkan
kepada sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik.

D. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN PENGGUNAAN SUMBER PDP


SEJARAH DALAM MENGATASI ISU TINGKAH LAKU BERMASALAH

Setiap proses pengajaran dan pembelajaran adalah saling berkait rapat dengan rangsangan dan
tindakbalas terhadap rangsangan tersebut (Elliot et.al., 2000). Tindak balas positif terhadap
sesuatu rangsangan akan memberi satu hasil yang baik dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif dan lebih diingati oleh
murid jika diajar dalam suasana yang sesuai dengan kehendak, gaya pembelajaran dan jenis
individu serta pemilihan sumber pengajaran dan pembelajaran. (Elliot,et.al., 2000). Di sini
dapat dilihat, penerapan Model Dreikurs amat penting dalam mengendalikan isu murid yang
tidak menumpukan perhatian dan tidak memberikan kerjasama dalam aktiviti yang dijalankan
sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Model Dreikurs menekankan
peranan guru dalam mewujudkan suasana demokrasi di dalam bilik darjah. Suasana demokrasi
ini boleh diwujudkan dengan cara guru memberi kebebasan untuk murid meneroka bukti.
Misalnya, melalui Standard Kandungan Peristiwa Kemerdekaan Negara, guru boleh
memberikan kebebasan untuk murid mencari maklumat menggunakan sumber internet seperti
direktori web iaitu Laman Arkib Negara Malaysia atau Laman Arkib Cawangan Negeri.
Kaedah penerokaan bukti ini akan membuatkan semangat inkuiri dalam diri murid meningkat
dan mereka akan fokus untuk meneroka, memahami dan menganalisis bukti. Kesannya, isu
pelajar yang bosan dan tidak fokus di dalam kelas dapat dibendung.
Di samping guru bijak memilih sumber yang bersesuaian di dalam bilik darjah, guru
juga boleh menghasilkan sumber dan bahan pengajaran dan pembelajaran. Sumber dan bahan
pengajaran dan pembelajaran yang dihasilkan oleh guru ini sendiri boleh memfokuskan terus
kepada standard pembelajaran dan objektif yang ingin dicapai oleh guru. Antara bahan
pembelajaran yang dapat dibina oleh guru ialah video interaktif. Video interaktif H5P mampu
mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dengan
menggabungkan elemen ICT seperti teks, audio, video, grafik, animasi dan interaksi pelbagai
hala melalui soalan-soalan yang akan disoal di dalam video (Ruhaiza Ruzmin, 2016). Perkara
ini dapat menilai fokus murid kerana soalan akan ditanyakan ketika video sedang ditayangkan.
Murid dikehendaki untuk fokus kepada isi kandungan video bagi melayakkan murid untuk
meneruskan video itu. Hal ini akan menyebabkan murid fokus kerana ingin menjawab soalan
dengan baik. Misalnya, guru boleh membuat video interaktif H5P di bawah tajuk Sejarah
Kemerdekaan Negara. Murid yang berjaya menjawab soalan pertama seperti ‘Siapakah Bapa

5
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Kemerdekaan Negara?’ akan melayakkan mereka untuk meneruskan video. Manakala, murid
yang tidak berjaya menjawab soalan tersebut perlu mengulangi video tersebut dari awal.
Kesannya, murid tidak akan bosan dan secara automatiknya murid akan memberikan
kerjasama sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung kerana video interaktif
ini dapat menyuburkan semangat persaingan sihat dalam diri mereka untuk bersaing
menjawab soalan dengan betul. Selain itu, murid juga akan lebih fokus kerana video ini
menuntut kepada fokus pelajar secara total. Video interaktif ini juga memberi kelebihan
kepada murid visual dan auditori kerana murid seperti ini lebih cepat menangkap isi
kandungan yang diajar melalui penglihatan dan pendengaran.
Selain daripada menghasilkan video interaktif, guru juga boleh menghasilkan
permainan digital sendiri. Permainan digital ini menekankan konsep bermain, berhibur dan
pada masa yang sama murid turut belajar (Syed Ismail Syed Mustapa., et. al, 2017). Guru
boleh menghasilkan permainan digital menggunakan pelbagai aplikasi atas talian seperti
gamefroot, sploder dan banyak lagi. Aplikasi ini membolehkan permainan digital sejarah
dicipta mengikut tahap. Contohnya, guru boleh membina permainan digital berdasarkan tajuk
Zaman Prasejarah. Permainan digital ini boleh direka bentuk merangkumi tiga tahap mengikut
zaman, iaitu bermula dengan Zaman Paleolitik, Zaman Mesolitik dan Zaman Logam.
Pembahagian tajuk mengikut zaman perlulah tepat supaya murid dapat memahami situasi atau
peristiwa sejarah dengan betul. Murid juga perlu menyelesaikan segala pemasalahan atau
halangan terlebih dahulu sebelum meneruskan permainan ke tahap seterusnya. Dalam pada
itu, pemain juga akan diperkenalkan dengan beberapa fakta tentang peristiwa sejarah yang
berlaku pada zaman berkenaan. Guru juga boleh menetapkan persekitaran permainan
menyerupai keadaan persekitaran zaman itu. Permainan digital ini mampu untuk menarik
pehatian kedua-dua jenis murid iaitu murid yang pintar dan murid yang lemah. Dengan ini
tiada lagi isu murid bosan dengan aktiviti penilaian yang diberikan oleh guru.

E. PENUTUP

Kesimpulannya, pengurusan bilik dipengaruhi oleh penggunaan sumber sesuai. Guru


bertanggungjawab untuk menitikberatkan aspek gaya pembelajaran dan perbezaan individu
dalam menentukan sumber pengajaran dan pembelajaran yang dapat digunakan. Tambahan
lagi, sebagai seorang guru sejarah yang prihatin, guru perlulah meraikan kepelbagaian murid
dengan mengenal pasti isu atau masalah yang berlaku di dalam bilik darjah. Seterusnya, guru
haruslah merancang aktiviti pembelajaran yang bermakna dengan menggunakan sumber
pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan sesuai.

RUJUKAN

Abd. Rahim Abd. Rashid. (1989 ). Strategi Pengajaran Kbsm. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Ainul Yaqin Abdullah et.al (2016). Pengubahsuaian Tingkah Laku Disruptif Menggunakan
Intervensi "The Good Behavior Game". Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Anuar Ahmad & Nelson Jinggan. (2015). Pengaruh kompetensi Kemahiran Guru Dalam
Pengajaran Terhadap Pencapaian Akademik Pelajar dalam Mata Pelajaran
Sejarah. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 3(2), 1-10.
Breakstone, J., & Smith, M. (2013). Using Library of Congress Primary Sources for
assessment. The TPS Journal, 1(3), pp. 1-8.
Elliot, S.N., Kratochwill, T.R., Cook, J.L., & Travers, J.F. 2000. Educational Psychology.
Ed. ke3. Singapore :McGraw Hill Book Co.

6
Penulisan Akademik Raikan Kepelbagaian Jilid 1, 2019
Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (NPDL)
Semester 3, Ambilan Jun 2018

Macedo-Rouet, M., Braasch, J.L.G., Britt, M.A & Rouet, J.F. (2013). Teaching Fourth and
Fifth Graders to Evaluate Information Sources During Text Comprehension.
Cognition and Instruction, 31(2), 204-226, 204-226.
Noriati A.Rashid, Boon, P, Y, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan
Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Ruhaiza Ruzmin. (2016). ICT Tingkat kemahiran berfikir. Diakses pada 22 Ogos 2019,
daripada https://www.hmetro.com.my/node/160856
Saroyan, A dan Snell, L.D. (1997). Professional development by Distance Education:
does distance lend enhancement. Cambridge Journal of Education. Vol. 28: No.2.
University of Cambridge, School of Education.
Shakila Che Dahalan. (2015). Kemahiran Pemikiran Sejarah Melalui Penggunaan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) oleh Guru Pelatih. Universiti Sains
Malaysia.
Siti Hawa Abdullah. (2008). Empati Sejarah Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Sejarah. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, 28(1), pp.131 -146.
Syed Ismail Syed Mustapa et.al. (2017). Sumber Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah.
Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.

You might also like