Transkripsi Teks

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Tajuk 2 : Amalan Menabung Perlu Dipupuk Sejak Kecil Lagi.

Bincangkan Faedah-Faedah
Yang Diperoleh

Melalui Amalan Menabung Ini.

Amalan menabung dapat didefinisikan sebagai suatu budaya menyimpan wang yang
dilaksanakan secara berterusan. Terdapat pelbagai jenis bekas tabung yang diperbuat
daripada variasi bahan sama ada semula jadi atau tiruan seperti buluh daripada bahan
semula jadi dan plastik daripada bahan tiruan. Namun, kebelakangan ini, amalan menabung
kurang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia dan ini jelas mengundang
kerisauan kepada beberapa pihak yang telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai
kempen berkenaan amalan menabung ini. Mahu ataupun tidak, pihak yang terlibat haruslah
memerah otak mencari alternatif lain bagi menjadikan amalan menabung ini merupakan
suatu perkara yang sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sekiranya penerangan
tentang faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan menabung mampu memberikan
reaksi positif, mengapa tidak kita melakukannya?

Antara faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ialah individu itu akan dapat
memupuk diri menjadi seorang yang berjimat cermat. Hal ini berlaku demikian kerana
individu tersebut akan sentiasa mengawal perbelanjaan harian agar dapat menyimpan wang
di dalam tabung. Justeru, individu tersebut akan berjaya mengawal perasaan dan keinginan
mereka untuk memperoleh sesuatu barangan walaupun pada hakikatnya mereka tidak
menjadikan barangan tersebut sebagai suatu keperluan. Tamsilannya, seorang anak yang
telah diajar untuk mengamalkan sikap berjimat cermat oleh ibu bapa mereka akan bijak
menggunakan wang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pendedahan amalan
menabung kepada anak-anak sejak kecil lagi umpama melentur buluh dari rebungnya akan
memberikan kesan positif kepada mereka sekali gus menyematkan sikap suka berjimat
cermat dalam diri mereka.

Selain itu, faedah lain yang diperoleh melalui amalan menabung yang dipupuk sejak kecil
lagi ialah dapat menjamin masa hadapan yang cerah bagi anak-anak. Hal ini berlaku
demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul mereka daripada kecil sehingga dewasa
akan dapat digunakan untuk tujuan tertentu apabila mereka dewasa kelak. Lantaran itu, jika
anak-anak berkehendakkan sesuatu, mereka mampu untuk mendapatkannya tanpa perlu
membebankan atau bergantung harap pada kedua-dua orang tua mereka. Tamsilannya, jika
anak-anak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading sama ada di
dalam atau di luar negara, ibu bapa mereka tidak begitu risau dan akan menerima tawaran
tersebut dengan hati yang terbuka tanpa perlu memikirkan soal pembiayaan pengajian
anak-anak mereka. Oleh itu, amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas
memberikan masa hadapan yang cerah buat cahaya mata mereka.
Bukan itu sahaja, amalan menabung yang disemat dalam diri individu sejak kecil lagi juga
akan dapat menjadi penyelamat pada waktu runcing atau kecemasan. Hal ini berlaku
demikian kerana hasil tabungan yang dikumpul dari usia setahun jagung sehingga dewasa
akan dapat digunakan ketika berhadapan sesuatu kejadian yang tidak diduga. Bak kata
peribahasa Melayu, malang tidak berbau. Impaknya, individu tersebut tidak berada dalam
keadaan terdesak apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini sekiranya mereka
menjadikan aktiviti menabung sebagai suatu amalan. Tamsilannya, hasil tabungan yang
dikumpul dari usia muda dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan yang dikenakan
pihak hospital sekiranya salah seorang ahli keluarga penabung berdepan masalah seperti
kemalangan, menghidapi penyakit dan sebagainya sekali gus dapat memupuk sikap saling
membantu dalam ahli keluarga. Oleh itu, amalan menabung yang dididik sejak anak-anak
kecil lagi jelas membantu meringankan masalah keluarga ketika berdepan situasi rumit.

Intihanya, jelaslah bahawa amalan menabung perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak
mereka kecil lagi. Dengan demikian, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling
haruslah sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak muda masa ini dalam usaha
membudayakan amalan menabung dalam diri mereka. Sekiranya semua pihak menjalankan
kewajipan mereka dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil suatu hari nanti anak-anak yang
diasuh supaya membudayakan amalan menabung ini akan menjadi individu yang pemurah,
berjimat cermat serta seorang pekerja yang amanah terutamanya apabila melibatkan urusan
kewangan. Jelaslah, amalan menabung ini juga merupakan usaha untuk menyediakan
payung sebelum hujan dan juga suatu amalan yang mendatangkan banyak kebaikan
kepada individu itu sendiri, keluarga, masyarakat juga negara.

[605 patah perkataan]

You might also like