Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

TUGASAN 3: PENULISAN ILMIAH

Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas
Hobbes (1651) dan John Locke (1689) ialah manusia mewujudkan negara sebagai satu
perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya (Mahyudin Khalid &
Ashnof Zaki, 2011). Di Malaysia, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara
kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan
pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak ini turut
disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang diwakili iaitu United Malays National
Organisation (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress
(MIC). Hal ini berikutan sebelum kedatangan penjajah Inggeris, Tanah Melayu
diidentifikasikan dengan penduduk asalnya yang teras iaitu bangsa Melayu. Apabila
penjajah membawa orang Cina dan India secara beramai-ramai untuk menjadi tenaga
kerja bagi manipulasi ekonomi, situasi demografi negara ini berubah. Atas desakan
penjajah Inggeris, orang Melayu perlu menerima syarat bahawa kemerdekaan akan diberikan
hanya jika kaum-kaum yang asalnya pendatang itu diterima sebagai warganegara
(Mahyudin Khalid & Ashnof Zaki, 2011). Sebagai imbangan kepada pemberian taraf
kewarganegaraan itu, para pemimpin dari kaum lain tersebut bersetuju untuk menerima
peruntukan yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu. Perkara yang menjadi
asas persetujuan tersebut adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama
Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan Raja-raja Melayu serta hak istimewa orang
Melayu. Unsur ini dilindungi di bawah Akta Hasutan 1971 (Baterah Alias, Huzaimah Ismail &
Najahudin Lateh, 2010). Kompromi tersebutlah yang dinamai Kontrak Sosial dalam konteks
pembentukan negara ini setelah bebas daripada belenggu penjajahan. Menurut Nazri
Muslim (2014), istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagan Persekutuan 1957
tetapi dari perspektif lain, Kontrak Sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan
permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya
menentukan sifat negara. Peruntukan dalam perlembagaan ini merupakan suatu ikrar yang
menjaga kesepakatan rakyat berbilang kaum tanpa mengganggu kepercayaan serta anutan
masing-masing.

Unsur tradisi yang disentuh dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957
melalui Perkara 152 adalah bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Dalam fasal
tersebut telah disebutkan bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan akan kekal
seperti itu seperti yang diperuntukkan oleh Parlimen, dengan peruntukan bahawa tiada
halangan untuk menggunakan (kecuali hal-hal rasmi), mengajar atau mempelajari bahasa-

1
bahasa lain. Berdasarkan sejarah, bahasa Melayu telahpun menjadi lingua franca sekian
lamanya (Baterah Alias, Huzaimah Ismail & Najahudin Lateh, 2010). Sebagai contoh, pada
zaman penjajah lagi bahasa melayu telah dijadikan bahasa rasmi. Sebelum Perang dunia
kedua, bahasa Melayu digunakan secara meluas untuk tujuan-tujuan rasmi seperti dalam
mesyuarat, urusan surat menyurat, penulisan minit mesyuarat dan prosiding perundangan
negeri-negeri Melayu dalam kebanyakan negeri Melayu terutamanya Negeri-negeri Melayu
Tidak Bersekutu. Menurut Siti Nor Azhani & Adlin Ab Halim (2015), matlamat menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menyatupadukan pelbagai kaum
ke arah membentuk sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama digunakan
oleh semua lapisan rakyat. Di samping itu, bahasa ibunda lain tidak tergugat. Bahasa Melayu
juga boleh menjadi alat untuk membentuk satu bangsa, satu negara dan satu bahasa yang
teguh (Kosmo, 2018). Kesan utama yang dapat dilihat ialah apabila bahasa Melayu diangkat
tarafnya sebagai bahasa Kebangsaan secara automatiknya membentuk jati diri dan
keperibadian sebagai sebuah negara yang berdaulat. Rasional lain bahasa Melayu dipilih
adalah kerana bahasa ini mudah dipelajari. Jenniri Amir (2013) mengatakan bahasa Melayu
adalah suatu bahasa yang disifatkan kreatif kerana kedinamikannya yang mempunyai lebih
daripada sepuluh bahasa asing di dalamnya seperti Sanskrit, Tamil, Davida, Hindi, Arab,
Farsi, Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris. Menurut Abdullah Sani (2009) pula, bahasa
melayu juga berkemampuan dalam pelbagai bidang ilmu seperti matematik, sains,
kejuruteraan, agama, peradaban dan lain-lain yang menunjukkan sifat bahasa Melayu
berpotensi dimartabatkan sebagai bahasa ilmu tinggi. Perkara ini membuktikan bahawa
bahasa Melayu mempunyai nilai yang tinggi sejak dahulu lagi.

Selain itu, agama Islam dipilih sebagai salah satu unsur tradisi dalam Kontrak Sosial
adalah kerana agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam
proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang bersatu padu. Menurut Abdul
Aziz Bari (2005) agama Islam telah ditetapkan sebagai agama persekutuan kerana Islam
telah lama bertapak di Tanah Melayu sejak dahulu lagi. Agama Islam telah menjadi anutan
sejak ratusan tahun bagi orang-orang Melayu. Baterah, Huzaimah & Najahudin (2010)
menyatakan bahawa kerajaan Melayu Melaka yang bertapak kukuh selama lebih kurang 100
tahun pada kurun ke-15 telah pun memperkenalkan undang-undang Islam yang dikenali
Hukum Kanun Melaka. Walaupun undang-undang tersebut dikatakan mengandungi unsur-
unsur adat, namun sebahagian besar kandungannya merupakan undang-undang Islam
sebenar meliputi perkara-perkara sivil dan jenayah (Mohd khalilullah Mohd Zaiddy,
2017). Selain itu, kerajaan British tidak campur tangan malah memberi pengiktirafan dan
menyerahkan urusan hal ehwal agama kepada raja-raja dan mengangkat agama Islam

2
sebagai agama rasmi kerana banyak mempengaruhi gaya hidup orang Melayu dan telah
diamakan oleh seluruh masyarakat Melayu (Ilyani Khuszairy, 2017). Walaupun tidak dapat
dipertikaikan bahawa agama Islam sebagai agama rasmi, agama-agama lain masih diberi
kebebasan untuk diamalkan di seluruh negara. Peruntukan undang-undang seperti ini
menunjukkan bahawa pemerintah amat bertoleransi dengan kaum-kaum lain yang
mengamalkan agama yang berbeza. Perkara ini diberikan perhatian supaya masyarakat lain
tidak berasa diketepikan atau ditindas dalam soal agama (Malaysia Dateline, 2017). Hal ini
seterusnya akan dapat mewujudkan persefahaman dan permuafakan ke arah perpaduan di
kalangan pelbagai kaum dan agama. Oleh itu, jelaslah bahawa pemerintah pada zaman
dahulu telah menitikberatkan pelbagai benda untuk mengekalkan kesucian agama Islam
supaya tidak tercemar dengan menjadikannya suatu elemen dalam Kontrak Sosial agar
terpelihara sehingga kini.

Seterusnya, rasionalnya kedudukan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan


Sarawak di beri keistimewaan dan dipelihara oleh Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukan
dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ialah kerana mereka merupakan penduduk
peribumi negara ini (Portal iKlik, 2019). Menurut Zainal Abidin Borhan & Wan Abdul Kadir Wan
Yusoff (1985) dalam penulisan Nazri Muslim (2014), perkara ini penting kerana sejarah
pernah membuktikan bahawa selepas beberapa perjanjian ditandatangani dengan kerajaan
British yang memaksa raja-raja Melayu menurut nasihat British dalam semua perkara yang
melibatkan pentadbiran kecuali berkaitan dengan agama dan adat istiadat Melayu, tindakan
ini tanpa disedari menghakis hak dan kedudukan istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu
sedikit demi sedikit. Namun selepas itu, British memberikan semula hak dan kedudukan
tersebut setelah mendapat tentangan yang kuat oleh kaum Melayu terhadap Malayan Union
(Mohd Ashraf Ibrahim, Mohd Aris Othman, e.t.al, 2018). Hal ini jelas membuktikan bahawa
kedudukan istimewa kaum melayu dan bumiputra telah dipelihara sejak dahulu lagi.
Walaupun dari satu sudut, peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan
kesamarataan layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia
satu pertimbangan untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang lain
khususnya Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya dalam
bidang ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang masih
lemah dan ketinggalan menjelang kemerdekaan. Menurut Nazri Muslim (2014), keistimewaan
kouta Melayu ini juga adalah bagi membantu masyarakat Melayu dan bumiputera untuk
membaiki taraf hidup mereka yang telah jauh ketinggalan daripada kaum lain. Oleh
disebabkan inilah, dapat kita lihat semakin ramai kaun Melayu sekarang yang berjaya
menempa nama setaraf dengan bangsa lain terutamanya dalam aspek kedudukan

3
ekonomi. Walau bagaimanapun, Perkara 153 ini tidak bermaksud untuk menafikan
kedudukan kaum lain sehingga membuatkan mereka merasa seperti merempat. Bahkan,
kaum bukan melayu di Malaysia antara pelopor ekonomi yang gah kerana Perkara 153 tidak
menghalang kepada bangsa bukan Melayu untuk memakmurkan kedudukan sosial dan
ekonomi mereka di negara ini (Mohd Ashraf Ibrahim, Mohd Aris Othman, e.t.al, 2018).
Kedudukan semua kaum telah diseimbangkan dari aspek seperti hak kewarganegaraan,
layanan sama rata dan hak memiliki harta secara peribadi. Semua peruntukan ini telah
mewujudkan sikap toleransi antara kaum tanpa mengira bangsa, agama dan budaya (Nazri,
Jamsari, e.t.al, 2013). Dalam bidang pendidikan pula, walaupun kedudukan istimewa
mengenai pendidikan Melayu dan bumiputera diwujudkan namun pelbagai toleransi antara
kaum telah diwujudkan dengan tidak menghapuskan sekolah Cina dan Tamil. Buktinya pada
masa kini, setiap kaum mempunyai institusi pendidikan tinggi mereka: Melayu – UiTM, Cina -
KTAR, India – Kolej Tafe. Toleransi kaum juga menyebabkan pemberian pinjaman pendidikan
diberikan kepada semua kaum menerusi PTPTN utk membiayai kos pendidikan mereka.
Jelaslah, tindakan pemimpin terdahulu memasukkan unsur ini dalam Kontrak Sosial adalah
untuk kepentingan kaum Melayu itu sendiri.

Akhir sekali, tanah Melayu amat terkenal dengan sejarah kegemilangan pemerintahan
pada Era Kesultanan Melayu Melaka di mana raja merupakan kuasa mutlak dalam hal
berkaitan pemerintahan dan dibantu oleh pembesar-pembesar yang lain (Baterah Alias,
Huzaimah Ismail & Najahudin Lateh, 2010). Sistem kerajaan negara yang berteraskan prinsip
Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen adalah rasional kerana Raja Melayu
merupakan simbol perpaduan dan keharmonian negara. Menurut Mohd Khalilullah (2017)
Penetapan prinsip ‘kesetiaan kepada raja dan negara’ dalam Rukun Negara menunjukkan
bahawa sistem beraja di Malaysia menjadi naungan dan simbol taat setia rakyat jelata. Tanpa
raja, rakyat dan pemimpin menjadi sama. Tradisi pemerintahan beraja di Tanah Melayu sudah
diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri
asal negara Malaysia (Majlis Agama Islam Selangor, 2019). Ia melambangkan
kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Selain itu, institusi
beraja tidak menyebelahi mana-mana bahagian tertentu, tetapi menjamin kecekapan serta
kestabilan antara kehakiman, perundangan dan eksekutif di negara ini (Mohd khalilullah,
2017). Malah, keseimbangan kuasa berlaku apabila raja berperanan bagi memastikan tidak
wujud campur tangan di antara tiga badan itu. Sebagai sebuah negara yang berdaulat,
Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk
dan menyediakan isu kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan
sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan (Abdul Aziz Bari, 2005). Pemerintah terdahulu
melihat bahawa ketaatan kepada raja dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke

4
arah perpaduan. Walaubagaimanapun, perkara ini timbul dengan konsep yang baru iaitu
raja berperlembagaan bagi mengelakkan berlakunya tindakan raja yang mengubah dasar
sehingga menyulitkan rakyat. Dengan konsep baru ini, institusi beraja tetap wujud dan
disanjung namun raja-raja perlu juga mengikut lunas-lunas perlembagaan yang
ditetapkan. Kesannya, melalui sistem Raja Berpelembagaan inilah yang menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang paling beradab dalam kalangan negara Islam apabila berjaya
membanteras sikap pelampau yang boleh mencetuskan masalah negara. Ketua felo
penyelidik Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa Malaysia (IAIS) Dr Cristoph
Marcinkowski berkata sikap pelampau boleh dianggap sebagai punca utama lahirnya tindakan
ganas dan ancaman ini telah berjaya dibanteras oleh Malaysia melalui peranan Raja
Berperlembagaan. Jelaslah bahawa institusi beraja mempunyai pelbagai rasional yang
mengukuhkannya sebagai unsur tradisi Kontrak Sosial yang wajar dikekalkan sehingga ke
hari ini.

Sebagai kesimpulannya, Kontrak Sosial dan unsur-unsur di dalamnya diwujudkan


dengan rasional yang kukuh untuk terus termaktub dalam perlembagaa negara. Perkara-
perkara ini diibaratkan seperti satu formula yang tersurat untuk mewujudkan satu cara hidup
yang dinamik, aman dan terus membangun melalui segala kebaikan yang diperolehi daripada
formula tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dengan keadaan Malaysia pada hari ini yang masih
aman harmoni dalam kalangan pelbagai etnik yang hidup dalam satu masyarakat
berwawasan. Hal ini merupakan tonggak utama dalam membawa Malaysia sebagai sebuah
Negara maju menjelang 2020. Oleh yang demikian, seharusnya isu-isu berkaitan hak-hak
kaum lain tidak dipertikaikan sebaliknya kita sebagai rakyat Malaysia perlu terus menghayati
semangat kontrak sosial ini dengan menolak keganasan perkauman, ketaksuban dan
ekstrimisme yang boleh membawa kepada perpecahan kaum. Rakyat, kerajaan dan seluruh
warga negara seharusnya bersatu padu, menerima dengan keterbukaan hati dan fikiran
bahawa apa yang termaktub dalam perlembagaan ini telah diteliti oleh pemimpin terdahulu
agar usaha yang dilakukan tidak sia-sia malah dapat kemgekalkan kedaulatan negara
sehingga ke akhirnya.

5
RUJUKAN

Abdul Aziz Bari. (2005). Islam dalam Perlembagaan Malaysia. Selangor: Intel
Multimedia Publication.
Abdullah Sani. (2009). Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa.
Baterah Alias, Huzaimah Ismail & Najahudin Lateh. (2010). Hubungan Etnik di
Malaysia. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Ilyani Khuszairy. (2017). Memahami Kedudukan Islam. Utusan Online. Dipetik
daripada http://www.utusan.com.my/rencana/utama/memahami-kedudukan-islam-1.492164
pada 17 Mac 2019.
Jeniri Amir. (2013). Bahasa Melayu Suara dari Bawah. Kuching: Infografik Press.
Kosmo. (2018). Memahami Fungsi Sebuah Bahasa Kebangsaan. Kosmo online jurnal.
Dipetik daripada http://www.kosmo.com.my/jurnal/memahami-fungsi-sebuah-bahasa-
kebangsaan-1.704537 pada 16 Mac 2019.
Majlis Agama Islam Selangor. (2019). Kepentingan Mendaulatkan Institusi Beraja Di
Malaysia. Portal Rasmi Majlis Agama Islam Selangor. Dipetik daripada
http://www.mais.gov.my/info-mais/informasi/penerbitan/kepentingan-mendaulatkan-institusi-
beraja-di-malaysia pada 17 Mac 2019.
Mahyudin Khalid & Ashnof Zaki. (2011). Perlembagaan Malaysia dalam Konteks
Hubungan Etnik di Malaysia. Hubungan Etnik. Universiti Teknologi Mara.
Malaysia Dateline. (2017). Memahami Kedudukan Islam dalam Perlembagaan. Portal
Malaysia Dateline. Dipetik daripada https://malaysiadateline.com/memahami-kedudukan-
islam-dalam-perlembagaan/ pada 17 Mac 2019.
Mohd Ashraf Ibrahim, Mohd Aris Othman, Chin Kuang Tiu, Amaran@Amran Abdul
Malek, Sobri Ismail & Arba Kassim. (2018). Hubungan Etnik Edisi Kedua. Selangor: Oxford
Fajar Sdn. Bhd.
Mohd khalilullah Mohd Zaiddy. (2017). Kedudukan Agama Islam Dalam Perlembagaan
Persekutuan. Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia. Dipetik daripada
https://www.academia.edu/26043769/KEDUDUKAN_AGAMA_ISLAM_DALAM_PERLEMBA
GAAN_PERSEKUTUAN pada 17 Mac 2019.
Nazri Muslim. (2014). Islam dan Melayu dalam Perlembagan: Tiang Seri Hubungan
Etnik di Malaysia. Selangor: UKM Cetak Sdn. Bhd.
Portal iKlik. (2019). Kontrak Sosial. Portal iKlik. Dipetik daripada
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/1224-kontrak-sosial pada 16
Mac 2019.
Siti Nor Azhani & Adlin Ab Halim. (2015). Cabaran dan Peranan Bahasa Malaysia
dalam Membina Peradaban Bangsa. Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan.
Universiti Putra Malaysia.

Zainal Abidin Borhan & Wan Abdul Kadir Wan Yusoff. (1985). Ideologi Dan
Kebudayaan Kebangsaan. Kuala lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

You might also like