Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 5

KEPERIBADIAN SEORANG GURU

Objektif tajuk ini ialah ahli usrah akan:


 Mengetahui, memahami dan menghayati akhlak seorang murabbi berdasarkan
ciri-ciri keimanan seorang daie

PENGENALAN

Guru merupakan pemangkin hasrat murni pendidikan iaitu pembinaan kualiti akhlak terunggul
atau “towering personality”. Guru juga sebagai wasilah bagi memastikan pembentukan bangsa
yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Kejayaan sesebuah negara bergantung kepada
kecemerlangan rakyatnya dan orang yang berperanan besar mewujudkan kegemilangan
tersebut, ialah guru. Maka tidak hairanlah ciri-ciri guru amat berkait rapat dengan ciri-ciri
keimanan seorang daie.

DALIL

Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang
mengembara (melawat), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat
makruf dan mencegah berbuat mungkar, dan yang memelihara hukum-hukum Allah.
Dan bergembiralah orang-orang mu’min itu.
(Surah at-Taubah: 112)

1
CIRI-CIRI KEIMANAN SEORANG DAIE

1. At-Ta’ibun
 Para duat harus menyedari bahawa Nabi Muhammad SAW yang menjadi ikutan mereka
itu adalah Rasul yang maksum dan terpelihara daripada dosa kekejian.
 Sungguhpun demikian, Baginda sentiasa memohon keampunan kepada Allah. Justeru,
sifat pertama yang perlu wujud dalam diri para duat ialah taubat.
 Dosa-dosa yang dilakukan oleh mereka lebih wajar ditakuti daripada musuh mereka
sendiri. Sekiranya mereka melakukan dosa, mereka bersegera bertaubat kepada Allah
SWT sebagai menyahut seruan Allah dalam firman-Nya :
“Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kalian dan
berlumba-lumbalah mencari syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk
orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Ali ‘Imran :133)
 Untuk mewujudkan sifat ta’ibun, para duat hendaklah mempunyai saat-saat di mana ia
dapat berbicara dengan dirinya, menilai, muhasabah dan membersihkannya daripada
karat-karat dosa. Sebagaimana salah satu daripada wasiat Saidina Umar al-Khattab :
“Hitungilah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbangkanlah amalan kamu sebelum
ianya ditimbang dan bersedialah kamu menghadapi hari kiamat.”

2. Al-A’bidun
 A’bid ialah mereka yang beribadah kepada Allah dalam setiap gerak-geri, tindak-tanduk,
begitu juga perkataan dan perbuatan mereka.
 Apabila Allah telah menjadi matlamat dan sasaran ibadah kita, maka kita akan
berpegang teguh dengan segala perintah-Nya.
 Justeru, sesuatu hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak wajar lagi untuk sesiapa
pun berdolak-dalik menghadapainya. Segala sesuatu hendaklah dihukum mengikut
syari’ah Islamiyyah. Dalam pengertian ini juga tidur, bekerja, berumahtangga, mengajar
dan semua yang mengikut peraturan yang diredai oleh Allah menjadi suatu ibadah.

3. Al-Hamidun
 Al-hamidun merupakan golongan manusia yang hati mereka sangat peka terhadap
nikmat Allah SWT kepada mereka.

2
 Lidah mereka menyatakan kesyukuran dan pujian terhadapnya sedangkan anggota
tubuh badan pula mengajukan pengorbanan bagi mencari keredhaan Allah. Para duat
seharusnya memuji dan mensyukuri Allah di dalam masa senang dan susah, di dalam
kesempitan dan kemewahan.
 Sabda Rasulullah saw:

Apabila anak kepada seseorang meninggal dunia, maka berkatalah Allah kepada malaikat-Nya:
“Adakah engkau telah mengambil nyawa anak hamba-Ku?” Para malaikat menjawab : “Ya.”
Lalu Allah berkata : “Adakah kamu telah mengambil nyawa-nyawa buah hatinya?” Para
malaikat menjawab : “Ya.” Lalu Allah bertanya : “Apakah yang diucapkan oleh hamba-ku itu?”
Para malaikat menjawab : “Dia memuji-Mu dan dia mengucapkan inna lillah wa inna ilaihi
raaji’un” Maka Allah berfirman : “Dirikanlah bagi hamba-Ku ini sebuah mahligai pujian dan
kesyukuran.”
4. As-Sai’hun (Pengembara)

 Pengembaraan di sini ialah pengembaraan penglibatan, pemikiran, hati dan perasaan


dengan melihat makhluk ciptaan Allah di langit dan di bumi yang memperlihatkan
kepada mereka itu keagungan dan kebesaran kekuasaan Allah SWT.
 Mengembara dalam sejarah meneliti perjalanan hidup para solihin, tokoh-tokoh besar
solafus soleh yang dapat menjelaskan kepada mereka kesabaran dan pengorbanan
yang dapat menjadi ikutan buat mereka.
 Selain itu, mengembara meneliti sejarah pertarungan antara kebenaran dan kebatilan di
mana segala kemegahan dan perancangan musuh-musuh Islam hancur berkecai
berhadapan dengan benteng Islam.
 Ini tentunya dapat meningkatkan keimanan dan rasa takut kepada Allah semakin tinggi.
Firman Allah SWT: “Katakanlah, berjalanlah kamu di bumi merantau, lalu perhatikanlah
bagaimana akibat orang-orang yang berdosa. Dan janganlah kamu berdukacita
terhadap mereka dan janganlah (dadamu) merasa sempit terhadap tipu daya mereka.”
(Surah an-Nahl: 69 & 70)

5. Ar-Raki’un dan As-Sajidun


 Manusia yang sering rukuk dan sujud ialah golongan yang mengambil berat soal-soal
ibadah untuk mengukuhkan dan memperbaiki hubungan dengan Allah. Lebih-lebih lagi

3
buat para duat yang memikul tanggungjawab dan cabaran-cabaran besar dalam
merintangi perjalanan memerlukan hubungannya yang baik dengan Allah.
 Kejayaan golongan as-Salaf as-Solih dan berkembangnya dakwah yang dibawa oleh
mereka adalah hasil kekuatan hubungan mereka dengan Allah dan keteguhan beramal
dengan Islam.
 Begitu juga kerapnya amalan-amalan sunat apatah lagi amalan-amalan fardhu yang
diwajibkan.
 Di atas dasar inilah yang mendorong Saidina Umar al-Khattab menulis kepada ‘Amr al-
Ash meminta penjelasan daripadanya ketika tentera-tentera Islam di bawahnya
kelewatan menguasai Mesir.
 Beliau berkata : “Saya merasa aneh kerana anda begitu lambat menakluki Mesir.
Hingga kini sudah dua tahun anda memerangi mereka. Pada hemat saya ini tidak lain
sebabnya bagiku melainkan kerana kamu menjadi orang yang cintakan dunia
sebagaimana musuh-musuh anda mencintainya. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan
memberi kemenangan kepada sesuatu kaum kecuali dengan niat mereka benar-benar
ikhlas.”

6. Al-Amiru Bil Ma’ruf Wan Nahayu Anil Mungkar

 Seorang muslim tidak akan menjadi muslim yang sebenarnya selama dia tidak
melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar dalam lingkungan dirinya,
keluarganya dan masyarakat.
 Para duat mestilah memahami bahawa antara syarat penting menjalankan tugas ini
ialah perlunya mereka menjadi qudwah kepada perkara yang disuruh dan dalam perkara
yang dilarang orang lain meneruskannya. Sekiranya amalannya berbeza dari kata-
katanya, maka sia-sialah amalnya dan hilanglah ganjaran untuknya.
 Rasulullah SAW telah menyebut dalam salah satu hadis akibat meninggalkan amar
makruf dan nahi mungkar dengan satu perumpamaan golongan yang menaiki bahtera.
Ada golongan yang di atas dan ada golongan yang di bawah. Golongan yang dibawah
terpaksa naik ke atas untuk mendapatkan air, maka mereka berkata: “Alangkah baiknya
kita menebuk sahaja bahagian bawah untuk mendapatkan air dengan mudah.”
Sekiranya golongan di atas membiarkan sahaja golongan di bawah meneruskan
perancangannya, maka sudah pasti binasalah kedua-dua golongan yang berada dalam
bahtera tersebut.

4
5.1.1 Wal Hafizuna Lihududillah

 Orang-orang yang memelihara hukum-hukum Allah ialah golongan yang berusaha untuk
melaksanakan perintah-perintah Allah terhadap diri dan masyarakat di sekelilingnya.
 Sekiranya perintah-perintah Allah tidak dilaksanakan dalam bentuk yang sempurna
tanpa kekuasaan, maka usaha untuk menegakkannya menjadi perkara wajib
berdasarkan dua landasan iaitu:
 Landasan Pertama : Menegakkan hukum-hukum Allah dalam dirinya dan terhadap
persekitarannya sedaya mungkin. Itulah tanggungjawab seorang mukmin tidak kira lelaki
mahupun wanita.
 Landasan Kedua : Menegakkan daulah islamiyyah yang melaksanakan hukum-hukum
Allah di dalam pemerintahannya secara keseluruhannya bukannya bergantung kepada
hukum-hukum ciptaan manusia yang tidak memberi penyelesaian terhadap setiap
masalah.

KESIMPULAN
Dalam merentasi kehidupan di dunia yang penuh dengan pancaroba, para murabbi perlu
meneliti dirinya dari semasa ke semasa agar mereka dapat melihat di manakah mereka
menghayati dan mentaati nilai ajaran Islam serta tidak tergolong dalam golongan yang
amalannya menjadi sia-sia. Orang-orang yang benar beruntung mengikut neraca Islam di
akhirat ialah orang-oang yang dapat menyelamatkan dirinya dari seksaan api neraka
sungguhpun mereka kerugian dunia seluruhnya.

RUJUKAN
Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah, Fathi Yakan.

You might also like