Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

ABDUL KADIR ADABI – PEMIKIR ULUNG NEGERI KELANTAN

ALAM MELAYU
MOUSTAPHA ABBAS

Negeri Kelantan Darul Naim sememangnya dikenali dengan tokoh-tokoh bersejarah yang
dianggap ikonik. Antara tokoh yang tidak boleh dipisahkan dengan Kelantan ialah Che Siti
Wan Kembang, Tok Kenali, Tok Janggut dan Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.
Dalam bidang kesusasteraan pula, nama Abdul Kadir Adabi merupakan antara tokoh
sastera Kelantan yang hebat. Walaupun namanya tidaklah sehebat nama Allahyarham
Datuk Usman Awang, Ishak Haji Muhammad/Pak Sako, Arena Wati dan Datuk Seri A Samad
Said tetapi jasanya kepada negara merupakan sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

Abdul Kadir dilahirkan pada 17 Ogos 1901 di bawah nama sebenar Abdul Kadir bin Ahmad
dan datang dari keluarga bangsawan Kelantan. Bapanya Ahmad Yusof merupakan
Penghulu Kampung Raja Dewa, Kota Bharu sementara ibunya ialah Che Biru binti Abu
Bakar. Lahirnya beliau dalam keluarga bangsawan nyata merangsang semangat menentang
penjajahan kolonial. Pada masa kecilnya, Abdul Kadir mendapat pendidikan awal dari
ayahnya sendiri dan seorang ulama bernama Syeikh Daud Atas Banggul. Beliau mendapat
pendidikan formal di Madrasah Muhammadiah selama tiga tahun dari 1917 hingga 1920.
Semasa di madrasah ini, Abdul Kadir mendapat bimbingan dalam bidang penulisan dan
terjemahan oleh Tuan Haji Muhammad Said.

Nukilan pertamanya dalam dunia penulisan bermula apabila satu artikel tulisannya
diterbitkan pada 23 Mei 1921, semasa beliau masih lagi bersama Madrasah Muhammadiah.
Pada usia 22 tahun, Abdul Kadir bekerja sebagai penolong penulis petisyen kepada bapa
saudaranya bernama Mat Seman bin Jambul. Mat Seman yang terkenal dengan jolokan Tok
Lowyar memberi tanggungjawab berkenaan kepada beliau kerana mahir menyusun ayat
dalam membuat surat-surat rayuan dan petisyen kepada kerajaan. Sejak itu juga, beliau
mula menulis artikel untuk beberapa majalah seperti Pengasuh di Kelantan, Idaran Zaman
dan Saudara. Selain itu, Abdul Kadir juga gemar membaca karya-karya dari beberapa
tempat di Indonesia seperti Bandung, Jakarta, Medan dan Surabaya.

Pada tahun 1923, beliau pernah menulis surat kepada DYMM Sultan Kelantan ketika itu,
Almarhum Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Dalam surat berkenaan,
beliau mengesyorkan kerajaan negeri memperjuangkan empat perkara teras iaitu pertama
mendirikan sebuah kolej di Kelantan, mendirikan sebuah universiti di Tanah Melayu,
membentuk sebuah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu di mana ketua negaranya dipilih
dari Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu dan membina tugu-tugu peringatan pahlawan
seperti yang dilakukan di England dan Perancis. Walaupun syor-syor yang dicadangkan
Abdul Kadir bersifat baik tetapi ia terpaksa ditolak atas faktor masa yang kurang sesuai.

Pada tahun 1929, Abdul Kadir bersama beberapa orang rakannya menubuhkan sebuah
kelab yang dipanggil Kelab Putera. Kelab tersebut merupakan satu persatuan yang
bergerak dalam lapangan intelektual dan kemasyarakatan. Beliau merupakan pengerusi
pertama kelab berkenaan dengan Assad Shukri sebagai setiausaha manakala Mohamad
Abdul Samad bertindak sebagai penolong setiausaha. Penulisan artikel dalam majalah yang
diterbitkan persatuan tersebut dilihat amat tajam kerana mengkritik golongan-golongan
tertentu dan ini menyebabkan majalah pertama kelab ini ditutup dalam tempoh beberapa
bulan.

Namun, itu tidak menghalang mereka menghasilkan Majalah Kencana pada April 1930
sebagai kesinambungan Majalah Putera. Namun, tidak ramai tahu penglibatan Abdul Kadir
kerana beliau menggunakan nama samaran Wok binti Abdullah semasa menulis bagi
Majalah Kencana. Namun, Kencana tidak dapat bertahan lama dan ditutup pada tahun 1933.
Hal ini disedari oleh beliau dan kepimpinan tertinggi kelab. Atas sebab itu, Abdul Kadir
bersama Assad dan Yusuf Hilmi mula menerbitkan buku novel dan pengetahuan umum
melalui Kencana Library Kota Bharu.

Selain sibuk dengan Kencana Library Kota Bharu, Abdul Kadir bersama rakan-rakannya
turut mengasaskan Persekutuan Setiawan Belia pada tahun 1931. Pada awal tahun 1932,
beliau juga turut diberi peluang sebagai penolong pengarang Majalah Pengasuh oleh Datuk
Laksamana Haji Mohammad bin Mohammad Said. Tetapi jodohnya bersama majalah
berkenaan tidak bertahan lama apabila beliau meninggalkan Pengasuh selepas dua bulan
dan digantikan oleh Hassan Fikri. Setahun selepas itu, Datuk Laksamana Haji Mohammad
pula memutuskan meninggalkan kedudukannya sebagai Pengarah Pengasuh dan
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Selepas Pengasuh, Abdul Kadir menyambung semula kariernya sebagai penulis bersama
Majalah Al-Hikmah pada April 1934. Semasa di Al-Hikmahlah, beliau diperkenalkan dengan
ramai tokoh dari luar seperti Sheikh Amin Al-Mesir Al-Azhari dan Tengku Mustafa Ali
Acheh semasa program lawatan di Kota Bharu. Beliau juga banyak menghasilkan artikel
dan novel berkenaan suasana politik Tanah Melayu dan keadaan sosial di negeri berkenaan.
Antara karyanya yang terkenal ialah Anchoman Mahkota (1937) dan Melati Kota Bharu
(1939). Tulisannya yang sangat kritis, kontroversial dan sensitif khususnya dalam soal-soal
berhubung masalah sosial, politik, ekonomi dan golongan bangsawan Melayu. Tulisannya
ini sering menimbulkan kemarahan golongan bangsawan kerana memaparkan tabiat
berjudi dan persundalan yang boleh menghancurkan negara dan merugikan rakyat.

Selain aktif sebagai sasterawan, Abdul Kadir juga sebenarnya aktif dalam bidang politik.
Antara tokoh-tokoh politik yang dikenali beliau pada ketika itu ialah Pak Sako dan Ibrahim
Yaakob. Ibrahim yang juga pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) bertemu dengan beliau
selepas diperkenalkan kenalan mereka berdua, Abdul Rashid dari Patani pada tahun 1940
semasa menguruskan percetakan bukunya yang bertajuk Melihat Tanah Air di Mutbaat al-
Ismailiyah, Kota Bharu. Sementara Ishak pula bertemu dengan Abdul Kadir pada 25 April
1939 semasa berkhidmat sebagai wakil Utusan Melayu yang berpangkalan di Singapura.

Bila sebahagian besar Asia Tenggara termasuk Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura
jatuh ke tangan Jepun hasil usaha perang kilat Jeneral Tomoyuki Yamashita pada awal
tahun 1942, mereka mencari Abdul Kadir dan Assad untuk bekerjasama dengan mereka.
Pada tahun sama, kedua-duanya menerbitkan Majalah Matahari tetapi menggunakan nama
samaran pada setiap artikel mereka. Mereka juga menyertai KMM pada tahun 1942 tetapi
pertubuhan tersebut dibubarkan oleh Jepun dan digantikan oleh pertubuhan Pembela
Tanah Air (PETA) pada tahun 1943. Mereka dipilih sebagai perekrut untuk merekrut
pemuda-pemuda Melayu Kelantan untuk menyertai organisasi berkenaan.

Pada tahun sama atau lebih tepat Mac 1942, beliau bersama Assad, Nik Hassan, Nik Mustafa
dan Mustafa Hj Ibrahim dibawa ke Ipoh dari Kota Bharu untuk bertemu dengan Mejar
Fujiwara, Ketua Perisikan Tentera Jepun. Dari situ, kumpulan ini dibawa ke Singapura di
mana mereka dapat membebaskan 100 tahanan dari penjara di Singapura. Antara individu
yang termasuk dalam kumpulan yang dibebaskan ialah sasterawan Abdul Samad Ahmad
dan bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Ibrahim Fikri. Semasa di Singapura juga,
Abdul Kadir merupakan sebahagian daripada pasukan editorial Berita Malai bersama
Ibrahim Yaakob. Beliau juga bertanggungjawab menyelamatkan seorang polis bernama
Inspektor Hamzah dari dihukum bunuh oleh pihak Jepun.

Selepas beberapa lama berada di perantauan, sudah tiba masanya bagi anak-anak Kelantan
ini kembali ke tanah air mereka. Bagaimanapun sebelum pulang, mereka menubuhkan satu
pertubuhan dipanggil Barisan Pemuda Melayu Pantai Timur sebagai persediaan sekiranya
Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua. Kesemua mereka pulang dengan jarak masa yang
berbeza dengan Abdul Kadir yang terakhir kembali ke Kota Bharu. Tetapi semasa dalam
perjalanan, beliau dinasihatkan tidak meneruskan perjalanan ke Kelantan berikutan wujud
bantahan yang tidak mahu sasterawan Kelantan itu kembali ke kampung halamannya. Ini
menyebabkan Abdul Kadir memilih Kuala Terengganu sebagai destinasi terakhirnya dan di
situ, beliau menghasilkan Majalah Cahaya Timur bersama Misbaha dan Tan Sri Ibrahim
Fikri. Anak jati Kota Bharu itu kembali ke rahmatullah pada 24 Februari 1944 di Kampung
Masjid, Kuala Terengganu akibat penyakit kuning.

Walaupun beliau sudah lama meninggalkan kita, tetapi legasinya tetap harum sehingga
hari ini. Masih ingatkah anda tentang warkah yang dititipkan kepada DYMM Almarhum
Sultan Ismail dari Kelantan pada tahun 1923? Impian Abdul Kadir melihat sebuah
universiti yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran dan
pembelajarannya akhirnya tercapai apabila Universiti Kebangsaan Malaysia dibuka kepada
pelajar pada tahun 1970.

SUMBER

1. Dewan Bahasa dan Pustaka. A. Kadir Adabi Berjuang melalui Mata Pena.
http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=2472

2. Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan. (2015). Abdul Kadir Adabi Pemikir Ulung Asal Kota
Bharu: Siri Tokoh. http://pp-sk.blogspot.com/2015/05/abdul-kadir-adabi-pemikir-ulung-
asal.html

You might also like