Resolusi Muzakarah Haji Ke 26

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Resolusi Muzakarah Haji Ke 26

Posted by: admin in Artikel - Makalah, TULISAN March 8, 2010

MUZAKARAH HAJI PERINGKAT KEBANGSAAN


KALI KE-26. MUSIM HAJI 1431H.
Muzakarah ini telah berlansung di Dewan KTC (Kelantan Trade Centre), Kota Bharu, Kelantan, pada 4 – 7 Mac
2010M, bersamaan 18-21 Rabiul-Awwal 1431H. Pesertanya terdiri daripada guru-guru pembimbing jemaah haji di
Malaysia dan di Tanah Suci nanti, insya’Allah, yang datang dari seluruh Malaysia.
Sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan oleh Ahli Jawatan Kuasa Penasihat Ibadat Haji TH JAKIM, diikuti
oleh pembentangan daripada setiap wakil negara Singapura, Brunei dan Thailand. Ia juga diisi dengan ceramah
motivasi tentang pengajaran daripada Haji Nabi SAW.
Berikut adalah Resolusi Muzakarah
Berikut adalah Resolusi Muzakarah dan diikuti dengan sedikit ulasan dari Abu Anas.
KERTAS KERJA PERTAMA.
TAJUK: PEMERKASAAN HIDUP KEROHANIAAN DALAM MASA MELAKSANAKAN IBADAT
HAJI.
1) Menjadikan kertas kerja ini sebagai bahan bacaan tambahan dalam membincangkan falsafah haji.
Cadangan supaya ditambah sebagai satu tajuk khas dalam kursus haji.
2) Pembimbing Ibadat Haji hendaklah membimbing jemaah haji dengan menggunakan bahasa yang jelas
dan terang supaya mudah difahami.
3) Pembimbing Ibadat Haji hendaklah menunaikan amanah ini dengan ikhlas dan selaras dengan
keputusan muzakarah haji peringkat kebangsaan.
4) Pembimbing Ibadat Haji hendaklah menyedari dirinya sebagai muallim yang menyampaikan ilmu yang
betul, muaddib yang mendidik adab dengan halus dan murabbi yang meningkatkan peribadi anak didiknya.
KERTAS KERJA KEDUA.
TAJUK: WAKALAH HAJI DAN UMRAH, QURBAN SERTA PERMASALAHANNYA.
1) Perkara-perkara yang boleh diwakilkan dalam kerja haji dan umrah; ialah melontar jamrah dan
pelaksanaan dam. Perkara-perkara lain yang tidak boleh diwakilkan antaranya ialah seperti; niat ihram, tawaf,
saei, wukuf dan mabit.
2) Wakalah qurban hanya boleh dilakukan bagi orang yang masih hidup dengan izinnya.
Walaubagaimanapun bapa dan datuk sebelah bapa boleh melakukan qurban untuk anak atau cucu yang belum
baligh, dibawah perwaliaannya yang masih hidup.
3) Qurban untuk si mati hanya boleh dilakukan apabila diwasiatkan. Manakala qurban untuk si mati tanpa
diwasiatkan boleh dilakukan dengan niat berkongsi pahala dengannya.
4) Perbelanjaan Badal Haji Wajib tidak terbatas kepada 1/3 harta peninggalan si mati.

KERTAS KERJA KETIGA.


TAJUK: BAIK BURUK PETUGAS HAJI YANG TIDAK MELAKSANAKAN HAJI SEMASA
BERTUGAS DI TANAH SUCI.
1) Petugas Haji yang bertugas di Tanah Suci hendaklah digalakkan supaya menunaikan ibadat haji.
KERTAS KERJA KEEMPAT.
TAJUK: LARANGAN IHRAM: KEFAHAMAN MAKSUD PEMAKAIAN SELIPAR (KASUT) YANG
MENAMPAKKAN SEMUA JARI KAKI ATAU TIDAK.
1) Selipar yang mesti dipakai oleh jemaah haji lelaki semasa dalam ihram hendaklah mengeluar dan
menzahirkan semua hujung jari jemari kakinya dan kesemua tumit.
KERTAS KERJA KELIMA.
TAJUK: PERMASALAHAN PILIHAN MUSIM HAJI 1430H.
1) Umrah sunat yang fasad wajib diqada’. Manakala umrah sunat yang tidak dapat disempurnakan
kerana ihsar tidak wajib diqada’.
2) Tiga (3) keadaan niat ihram bersyarat bagi jemaah haji wanita:
Yang Dibolehkan:
2.1- Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Sekiranya aku kedatangan
haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
2.2- Dalam keadaan berhaid dia berniat ihram dengan menyertakan syarat; “Jika haidku berterusan
sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
Yang Tidak Dibolehkan:
2.3- Dalam keadaan tidak berhaid dia berniat ihram kemudian ketika didatangi haid dia berkata; “Jika
haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
3) Ihram bersyarat tidak digalakkan bagi niat ihram haji.
4) Jemaah yang pergi ziarah ke tempat yang jarak jauh perjalanan dua marhalah (lebih kurang 91km) dan
ke atas, hendaklah melakukan Tawaf Wada’.
5) Jemaah yang memakai beg kolostomi dikategorikan sebagai orang yang mengalami masalah dharurat
dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk
melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wuduk tersebut terbatal.
Walaubagaimanapun semasa di Tanah Suci dinasihatkan agar dia mengosongkan beg tersebut apabila
hendak menunaikan solat di masjid atau tawaf, kerana dibimbangi jika terlalu banyak takungan ia menjadi
berat dan berkemungkinan pecah atau tiris dalam masjid semasa tawaf atau solat.

KERTAS KERJA KEENAM.


TAJUK: HAID DAN PERMASALAHAN JEMAAH HAJI WANITA – DARI PERSPEKTIF PERUBATAN.
1) Adalah lebih baik bagi jemaah wanita yang tidak menghadapi sebarang masalah haid menghindari
daripada mengambil pil menahan haid.
2) Jika terdapat permasalahan haid hendaklah dirujuk kepada pakar sakit puan sebaik-baiknya tiga bulan
sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Sekian, Resolusi ini telah dibentangkan oleh Sahibus-Samahah Datuk Haji Hasan Ahmad, Pengerusi Jawatan
Kuasa Penasihat Ibadat Haji, merangkap Mufti Pulau Pinang.
ULASAN AL-FAQIR ILALLAH ABU ANAS MADANI:
Pertamanya terima kasih, jazakumullahu khairan kepada TH kerana telah memilih negeri saya, sebagai tempat
bermuzakarah bagi tahun ini. Alhamdulillah, perjalanan muzakarah telah berjalan dengan lancar dan teratur, para
peserta pula lebih banyak mendengar dan berdiam daripada bertanya atau mengemukakan hujah-hujah tambahan.
1- Kertas Kerja yang pertama yang telah membincangkan perkara-perkara kerohanian ataupun hikmat di
sebalik pensyariatan ini, telah menyebut satu perkara; “Demi menjayakan pemerkasaan hidup rohaniah semasa
menjalankan ibadat haji….. antaranya amalan-amalan wirid, zikir dan doa yang perlu dilakukan secara istiqamah.
Antara wirid-wirid itu ada dinyatakan dalam Ihya’ jilid 1, khusus berkenaan doa-doa dan wirid. Di dunia Melayu
antaranya terkenal ‘Awrad al-Qashashasiyyah….’.”
Ulasan: Ini adalah satu perkara yang menyedihkan, kenapa penulis tidak terus memperkenalkan kepada para
jemaah haji, zikir dan doa yang ma’thur daripada Nabi SAW. Yang termayhurnya seperti al’Ma’thurat, ianya
lebih mudah dan senang didapati!
2. Kertas Kerja Kedua. Wakalah Haji Dan Umrah, Qurban serta permasalahannya.
Ulasan: Perkara yang dibincangkan tentang badal haji, ramai peserta meragui iklan pungutan badal haji yang
banyak di letakkan di tepi masjid, jalanraya, “Upah Haji RM1500” atau ada yang lebih murah lagi, ejen-ejen tersebut
beri kepada siapa di Makkah untuk melakukannya? Ana sendiri pernah menalipon kepada ejen bertanyakan hal ini,
nampaknya jawapan tidak begitu jelas, kepada siapa diagihkan. Kalau kepada pelajar, berapa orang bilangan pelajar
kita di sana?
a- Satu lagi isu yang patut dibahaskan ialah tentang “wakalah” atau “amanah”. Para ustaz yang membawa badal
haji. Ana dengar ada yang membuat potongan pengurusan (dakwa mereka) sampai 30%. Waris bagi RM3000,
ustaz bagi kepada orang Makkah RM2000 dan ada yang lebih rendah dari itu/ mengambil lebih banyak daripada
itu. Atas dasar apakah duit itu diambil? Sedangkan kita membawa amanah, bukannya atas dasar
perniagaan. Bagi penerima badal haji itu pula, takkan sama pelaksanaannya bagi yang mereka menerima upah
yang lebih murah daripada mereka yang menerima harga yang lebih mahal. Waris-waris si mati pula, jika tahu
hanya sedikit yang diberikan, tentulah lebih baik mereka sendiri mencari penerima upah yang murah! Jumlah
badal haji yang dibayar adalah upah untuk pembuat haji, bukannya untuk disedekahkan kepada ustaz/ejen yang
menjadi orang tengah, jika memang mereka berniat mahu bersedekah kepada ustaz sudah pasti secara jelas dan
berasingan akan diberikan atau akan diberitahu secara lansung. Jangan cuba menghalalkan pengambilan amanah
itu dengan pelbagai alasan yang diada-adakan sendiri!!
Tetapi jika mengambilnya sekadar RM/SR50/100, sebagai perbelanjaan untuk membeli sedikit cenderamata atau
sijil adalah logik dan berpatutan. Dimaklumkan kepada penerima upah dan dipersetujuinya.
b- Isu Dam. Dam yang diambil sepatutnya disembelih terus pada hari-hari haji tahun itu, iaitu pada hari
Raya dan hari-hari Tasyrik, sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui Bank
Pembangunan Islam (IDB). Tetapi apa yang berlaku, ejen/mereka yang mengambil dam ini telah menyimpan
amanah ini dan menyembelihnya di luar musim haji, bahkan ada yang berkata “boleh dibuat makan sepanjang
tahun”. Mungkin mereka mengambilnya dengan harga yang jauh lebih murah daripada IDB, tetapi wajarkah dam
itu tergantung, sedangkan ia adalah salah satu perkara yang wajib dilakukan (contoh bagi yang mengerjakan haji
Tamattu’). Menangguhkannya semata-mata untuk mencari haiwan yang murah atau membuat bekalan adalah satu
perlakuan yang tidak sepatutnya. Jika para jemaah haji yang mampu mengetahui perkara ini, sudah pasti mereka
akan memilih yang lebih mahal sedikit, tetapi sempurna dan mengikut hukum itu daripada memberinya kepada
ejen-ejen yang menawarkan harga murah tetapi tidak segera pelaksanaannya. Ada juga yang terus menjualnya
kepada ejen lain yang akan melakukan penyembelihan, tanpa terlibat sedikit pun dengan proses tersebut. Apa
yang perlu para ustaz / ejen dam perbincangkan ialah status wakalah yang diterima daripada para
jemaah, apakah bertepatan dengan syariat atau tidak? Amanah adalah suatu yang besar
tanggungjawabnya di sisi Allah!
3.Kertas Kerja Keempat. Resolusi telah memutuskan bahawa syarat selipar yang dipakai oleh jemaah haji
lelaki semasa dalam ihram hendaklah mengeluar dan menzahirkan semua hujung jari jemari kakinya dan
kesemua tumit.
Ulasan: Pandangan ini perlu diperkemaskan lagi dengan hujah-hujah yang lebih jelas. Maknanya jika hanya
tertutup/tidak keluar salah satu jari kakinya maka selipar itu sudah dikira tidak boleh dipakai! Pada hari tersebut
telah ditayangkan gambar-gambar selipar yang tidak boleh dipakai dengan membilang jari-jari satu persatu, tidak
ada satupun yang harus terlindung.
4. Kertas Kerja Kelima masalah niat bersyarat. Dalam masalah ini resolusi memutuskan bahawa niat
bersyarat seperti ini;
“Sekiranya aku kedatangan haid dan haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
Atau; “Jika haidku berterusan sehingga tarikh pulang maka jadi halallah aku.”
ULASAN: Implikasi kepada lafaz ini sesuatu yang besar, jika tersalah lafaznya, amat berat, hendaklah
berhati-hati memilih niat bersyarat, nanti terjadi apabila datang sahaja haid, terbatal hajinya.
Hendaklah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru agama. Demikian juga bagi mereka yang
berpenyakit kronik, yang dibimbangi tidak dapat menyelesaikan haji. Para wanita juga harus berjaga-jaga,
jangan hanya kedatangan haid sahaja, terus mengambil keputusan untuk ‘keluar daripada ihram’ dengan
senangnya, sedangkan masa masih ada untuk mereka menungu dalam ihran dan menyelesaikannya! Sekiranya
sudah hendak meninggalkan Tanah Suci, barulah boleh keluar daripada ihram.
Asas kepada masalah ini ialah nasihat Rasulullah saw kepada seorang sahabat, Dhuba’ah bt az-Zubair bin Abdul
Muttalib r.a, yang mengadu sakit dan dibimbangi tidak akan dapat menyelesaikan hajinya sehingga waktu pulang.
Rasulullah saw lalu mengajar kepada beliau niat bersyarat itu. [HR: Muslim]
Niat ini hanya untuk mereka yang betul-betul memerlukakannya.
5. Kertas Kerja Keenam. Dr Faiz Mohd Ramli, pakar Sakit Puan (Ginekologi) telah membentangkan tentang
masalah perjalanan haid wanita.
Memanglah masalah ini paling banyak timbul dikalangan jemaah haji wanita. Mengikut doktor masalah haid yang
tidak teratur ini berpunca daripada ubat penghalang haid yang diambil oleh mereka kerana terlalu ghairah untuk
beribadat di Tanah Suci. Berhati-hatilah kerana ini boleh membawa gangguan kepada kesihatan anda, terimalah
ketentuan qada’ dan qadar Ilahi ke atas anak Hawa. Jika anda tidak mengalami apa-apa masalah haid sebelum ini,
biarlah ia berjalan secara tabi’i dan normal, ambillah cuti beberapa hari yang diberikan Allah itu dengan melakukan
ibadat-ibadat lain yang dibenarkan. Niat baik anda itu, insya’Allah akan diberikan pahala oleh Allah SWT yang Maha
Mengatahui.
Dalam kesempatan majlis tersebut ana telah mengemukakan soalan; Perempuan hamil, apakah mungkin
didatangi haid? Doktor menegaskan bahawa mengikut ilmu perubatan, wanita hamil tidak akan didatangi
haid sepanjang tempoh kehamilannya. Maka jika terdapat darah yang keluar dari rahimnya, maka itu merupakan
ancaman terhadap kandungannya, yang menandakan terdapat masalah yang mungkin boleh membawa keguguran
terhadap janinnya itu atau lain-lain masalah rahim. Ini sekaligus men’tarjih’kan pandangan para fuqaha’ yang
berpendapat sedemikian.

Sekian, wallahu a’lam.


Akhukum, Abu Anas Madani.
Malam Isnin, 12.50am, 8hb Mac 2010M / 22 R/Awwal 1431H.

You might also like