Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 11

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SEKSYEN 1 BANDAR KINRARA

UJIAN MAC 2017


BAHASA MELAYU
TINGKATAN 4
ARAHAN:
 JAWAB SEMUA SOALAN .

Soalan disediakan oleh: Soalan disemak oleh:

_______________________ ______________________
WONG HIE LING FAZIDA BT FAIZ
Ketua Panitia Bahasa Melayu GKMP Bahasa

SOALAN 1 : RUMUSAN
(30 Markah)
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan-kepentingan hutan tanah
tinggi dan usaha-usaha untuk mengekalkannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.

Hutan adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkaya kehidupan manusia.
Ekosistem hutan mempunyai kitaran yang kompleks, iaitu melibatkan air, tanah, atmosfera, tumbuh-tumbuhan dan
fauna. Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Antaranya termasuklah
hutan hujan tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh dan sebagainya. Sebahagian besar
daripada hutan di Malaysia ialah hutan hujan tropika. Di Malaysia juga terdapat sebahagian kawasan hutan yang
berada di tanah tinggi yang melebihi 300 meter dari aras laut. Hutan ini dipanggil hutan tanah tinggi.

Kebanyakan kawasan hutan tanah tinggi di negara ini menjadi sumber bekalan air bersih. Hutan tanah tinggi
menyimpan air bersih dan melepaskannya apabila kandungan airnya bertambah. Apabila hujan turun, terutamanya
sewaktu musim hujan, hutan tanah tinggi ini akan bertindak menyerap sejumlah besar air melalui akar pokok. Air
yang terperangkap di bawah tanah akan memasuki anak sungai yang membentuk kawasan bekalan air yang sedia
digunakan pada musim kemarau. Hutan tanah tinggi juga bertindak sebagai penapis semula jadi bagi air hujan.
Hutan ini dapat mencegah hujan daripada terus menimpa tanah dengan terlalu kuat sekali gus dapat mencegah
kerosakan bahagian lapisan atas tanah.

Hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula merupakan kawasan yang dapat
membekalkan sumber hutan. Hutan tanah tinggi ini membekalkan kayu balak dan ramuan ubat-ubatan. Kayu balak
dan pelbagai ramuan ubat tradisional daripada pokok-pokok di hutan ini menjadi sumber rezeki bagi sesetengah
pihak. Malah, hutan ini menjadi sumber kepelbagaian biologi. Hutan tanah tinggi ini turut berfungsi sebagai
pembekal makanan kepada haiwan sepanjang tahun. Di hutan tanah tinggi ini terdapat berbagai-bagai-bagai jenis
bunga, buah, daun dan kacang yang menjadi sumber makanan hidupan. Selain itu, hutan tanah tinggi ini menjadi
habitat bagi beraneka spesies flora dan fauna. Namun begitu, aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal telah
menjejaskan ekosistem kawasan tanah tinggi tersebut. Antara ancaman kawasan hutan tanah tingi ini termasuklah
pengambilan sumber galian dan pembalakan serta pengambilan spesies tumbuhan penting untuk tujuan komersial.
Kelemahan dalam perancangan pembangunan dan pengurusan serta penggunaan tanah secara berleluasa turut
menjadi ancaman kawasan hutan tanah tinggi. Ancaman-ancaman ini perlu dikawal untuk mengekalkan sumber
hutan negara.

Faedah hutan tanah tinggi yang lain ialah hutan ini bertindak sebagai tempat rekreasi dan pelancongan.
Misalnya, terdapat beberapa buah taman negara yang terletak di hutan tanah tinggi. Taman negara ini menjadi daya
tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan alam semula jadi. Di samping itu, hutan
ini juga merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai.
Pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dijalankan bagi mendapatkan input baharu untuk meningkat kesihatan
masyarakat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada“Lindungi Kawasan Tanah Tinggi” oleh Ridzuan Mohamad Dewan
Masyarakat, Mac, 2014)

SOALAN 2: PEMAHAMAN
(27 Markah)

Soalan 2(a) – Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata sumber rezeki. [ 2 markah]

(ii) Pengarang ada mengemukakan beberapa ancaman kawasan hutan tanah tinggi yang perlu dikawal untuk
mengekalkan sumber hutan negara.
Nyatakan ancaman-ancaman tersebut. [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, huraikan kesan-kesan pembalakan secara tidak terkawal di kawasan hutan tanah tinggi
kepada alam sekitar. [4 markah]

Soalan 2(b) - Petikan Prosa Moden


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

Hakim terus mengeluh, “Apalagi yang boleh aku buat selain meneruskan kerja-kerja membela ayam dan
mengharapkan hasil yang baik. Aku sudah berhutang dengan bank. Hutang mesti dibayar, kalau tidak tanah aku akan
dirampas. Kau ingatkan, tanah inilah yang kita tuntut di mahkamah dengan susah payah. Bank akan merampas
tanahku tidak ubah seperti raja merampas tanah datukku dahulu.”

Hakim meluahkan segala yang telah bersarang di dadanya. “Banyak persamaan antara aku dengan datukku.
Kami sama-sama membela ayam dan kami sama-sama menggadai tanah. Kami sama-sama berada di bawah
cengkaman orang berkuasa. Walaupun namaku tidak lagi berunsur kolot dan kuno seperti nama datukku, tetapi itu
tidak bererti apa-apa. Sepatutnya namaku ialah Kaduk bin Kaduk.”

“Pada zaman ini tiada lagi raja yang menyabung ayam tetapi raja baharu telah muncul. Raja itu tetap
menguasai seluruh hidup kita. Kita tidak dapat berbuat apa-apa selain mengikut telunjuk mereka. Mereka ialah
golongan yang memegang kuasa ekonomi negara. Kita tetap kaduk dan mereka tetap raja,” luah Hakim lagi.

(Dipetik daripada Kaduk Ayam dan Raja, Zurinah Hassan


Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berdasarkan petikan, nyatakan persamaan antara Hakim dengan datuknya,Kaduk.


[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh Hakim
untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggungnya?
[3 markah]
(iii) Jelaskan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar masyarakat lain daripada
cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]
Soalan 2(c) - Petikan Syair
Baca petikan syair di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
SYAIR BIDASARI

Dengarkan tuan suatu riwayat, Beberapa lamanya dalam kerajaan,


Raja di desa Negeri Kembayat, Baginda duduk bersuka-sukaan,
Dikarang fakir dijadikan hikayat, Datanglah beroleh kedukaan,
Supaya menjadi tamsil ibarat. Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

Ada raja suatu negeri, Datanglah kepada suatu masa,


Sultan halifah akas bestari, Melayanglah unggas dari angkasa,
Asalnya baginda raja yang bahari, Unggas gurda sangat perkasa,
Melimpah ngadil dagang senteri. Menjadi negeri rosak binasa.

Hairan orang empunya temasya, Datanglah menyambar suaranya bahana,


Baginda itulah raja perkasa, Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Sangat tiada merasai susah, Seisi negeri gundah-gelana,
Entah pada esok dan lusa. Membawa diri ke mana-mana.

Seri sultan raja bestari, Baginda pun sedang dihadap orang,


Setelah ia sudah beristeri, Mendengar gempar seperti perang,
Beberapa bulan beberapa hari, Bertitah baginda raja yang garang,
Hamillah puteri permaisuri. "Gempar ini apakah kurang."

(Dipetik daripada Syair Bidasari Jamilah Hj. Ahmad (Penyelenggara) Antologi Jaket Kulit
Kijang dari Istanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Bagaimanakah keadaan rakyat di Negeri Kembayat apabila diserang oleh burung garuda seperti yang
diceritakan dalam rangkap ketujuh syair?
[2 markah]

(ii) Sesebuah negara sering menghadapi musibah yang tidak disangka-sangka.


Pada pendapat anda, apakah persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi musibah tersebut?
[3 markah]

(iii) Jelaskan dua perwatakan Raja Negeri Kembayat yang terdapat dalam syair di atas.

[4 markah
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
(a) Bina satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan
penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa
atau nama khas.

(i) ulat buku


(ii) ruang legar
(iii) lintah darat
(iv) nasi minyak
(v ) bangkai bernyawa
(vi) gambar rajah
(vii) keras kepala
[7 markah]

(b) Senaraikan 3 kata kerja transitif dan 3 objek berdasarkan petikan di bawah .

Golongan remaja memerlukan kasih sayang daripada ahli keluarga. Mereka tidak seharusnya diabaikan oleh ibu
bapa walaupun kebanyakan daripada ibu bapa sibuk bekerja. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk
bersama dengan anak-anak mereka di samping memastikan pencapaian akademik mereka sentiasa cemerlang.

Bil Kata kerja transitif Objek


(i)
(ii)
(iii)

[6 markah]

(C) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

I. Ibu bapa harus mengawasi anak-anak remaja agar tidak terjebak dengan gejala negatif.

II. Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2016 di Putrajaya.

III. Universiti Malaysia Sabah telah mengambil seramai 276 orang pelajar untuk mengikuti Program Asasi Sains.

IV. Saya sudah menyiapkan kertas kerja perkhemahan itu semalam.

V. Awak harus menyampaikan persetujuan Datuk Kamurul dengan segera.

VI. Kita akan menanggung tanggungjawab ini bersama-sama


[12 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan ejaandansatu kesalahan penggunaan imbuhan.
Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada
satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Nilai kayu getah semakin mahal sejak bahan itu dieksport dan menjadikan bahan untuk perabut.

(ii) Sejak perkhidmatan pos dilaksanakan secara pengswastaan, pengurusannya menjadi lebih efisyen.

(iii) Malam itu menjadi gelap-gulita kerana awan hitam berkepul-kepul menandai hari hendak hujan.

[6 markah]
(e) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan
tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan
lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu
menyalin ayat itu semula.

(i) Pihak sekolah tidak akan menerima pelajar yang telah dibuang sekolah semula bertujuan
memberikan ketakutan kepada lain-lain pelajar.

(ii) Encik Naqib menerangkan tentang faedah aktiviti kitar semula yang dapat mengatasi masalah kekurangan
tapak penghapusan sampah.

(iii) Peserta yang paling hebat sekali dalam persembahan itu telah dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan
yang menyediakan peruntukan yang lumayan.
[6 markah]

(f) Berikan maksud bagi setiap peribahasa di bawah.

(i) bagai menatang minyak yang penuh.


(ii) seperti pahat dengan penukul.
(iii) seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.
[6 markah]

SOALAN TAMAT
SKEMA JAWAPAN UJIAN MAC
TINGKATAN 4
BM
PENDAHULUAN

PEND JAWAPAN MARKAH

P1 Petikan membincangkan kebaikan / manfaat hutan tanah tinggi di negara kita / 2


kepada Malaysia .
P2 Rumusan ini membincangkan kebaikan / manfaat hutan tanah tinggi dan usaha-usaha 2
untuk mengekalkannya.
ISI TERSURAT (Kepentingan)

ISI JAWAPAN MARKAH

S1 Hutan tanah tinggi menjadi sumber bekalan air bersih. 2


S2 Hutan tanah tinggi bertindak sebagai penapis semula jadi bagi air hujan. 2
S3 Hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara merupakan kawasan yang 2
dapat membekalkan sumber hutan.
S4 Hutan tanah tinggi menjadi sumber kepelbagaian biologi. 2

Hutan tanah tinggi berfungsi sebagai pembekal makanan kepada haiwan sepanjang
S5 2
tahun.
S6 Hutan tanah tinggi menjadi habitat bagi beraneka spesies flora dan fauna. 2
S7 Hutan tanah tinggi bertindak sebagai tempat rekreasi dan pelancongan. 2
S8 Hutan tanah tinggi merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat 2
bernilai.

ISI TERSIRAT (Usaha-usaha)

ISI JAWAPAN MARKAH


T1 Kerajaan menggalakkan kempen kesedaran tentang kepentingan hutan tanah tinggi. 2
T2 Kerajaan mewartakan kawasan hutan tanah tinggi sebagai kawasan hutan simpan. 2
T3 Penguatkuasaan undang-undang melarang penerokaan / pencerobohan hutan tanah 2
tinggi.
T4 Masyarakat melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pihak yang tidak 2
bertanggungjawab menceroboh hutan tanah tinggi.
T5 Memberi pendidikan awal tentang kepentingan hutan tanah tinggi di sekolah rendah 2
dan sekolah menengah.

KESIMPULAN

ISI JAWAPAN MARKAH


K1 Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dalam memelihara hutan tanah tinggi 2
supaya bencana alam dapat dielakkan.
Perhatian bagi soalan PEMAHAMAN 2(a) hingga Soalan 2(c)

(i) Jawapan hendaklah menggunakan ayat sendiri.


(ii) Jawapan hendaklah dalam ayat yang lengkap / sempurna.
(iii) Jika disalin bulat-bulat daripada teks dan jawapan itu betul, berikan separuh (50%) daripada
markah yang diperuntukkan sahaja.

Panduan pemarkahan Soalan Pemahaman

1. Soalan 2 markah:

DESKRIPSI MARKAH

Jawapan tepat mengikut konteks/isi cukup dan ayat gramatis 2

Jawapan kurang tepat/isi tidak cukup 1


Jawapan tidak tepat/salah 0
2. Soalan 3 markah:

DESKRIPSI MARKAH

-Isi cukup dan lengkap/relevan dengan tugasan dan ayat gramatis 3

- Isi cukup dan lengkap/relevan tetapi ayat kurang gramatis


- Isi tidak cukup/kurang lengkap tetapi ayat gramatis 2

- Isi tidak cukup/kurang lengkap dan ayat kurang gramatis 1

- Isi tidak betul/tidak relevan dengan tugasan, ayat gramatis 0

3. Soalan 4 markah:

DESKRIPSI MARKAH

- Isi cukup dan lengkap/relevan dengan tugasan dan ayat gramatis 4

- Isi cukup dan lengkap/relevan tetapi ayat kurang gramatis 3

- Isi tidak cukup/kurang lengkap tetapi ayat masih gramatis 2

- Isi tidak betul/kurang lengkap dan ayat kurang gramatis 1

- Isi tidak betul/tidak relevan dengan tugasan, ayat gramatis 0

PEMAHAMAN 2(a)

SOALAN (i) Maksud rangkai kata sumber rezeki:

PILIHAN JAWAPAN MARKAH


(i) Punca pendapatan 2

SOALAN (ii) Ancaman-ancaman:


ISI JAWAPAN MARKAH
1 Pengambilan sumber galian dan pembalakan 1
2 Pengambilan spesies tumbuhan penting untuk tujuan komersial 1
3 Kelemahan dalam perancangan pembangunan dan pengurusan 1
4 Penggunaan tanah secara berleluasa 1

SOALAN (iii) Kesan-kesan:


ISI JAWAPAN MARKAH
1 Hakisan tanah 1
2 Tanah runtuh 1
3 Banjir kilat 1
4 Kesan rumah hijau 1
5 Penipisan lapisan ozon / bumi semakin panas 1

PEMAHAMAN 2(b)

SOALAN S MARKAH
(i) K
Persamaan antara Hakim dengan datuknya, Kaduk ialah: H
P1 Mereka sama-sama membela ayam. E 1
P2 Mereka sama-sama menggadai tanah. M 1
A
P3 Mereka sama-sama di bawah cengkaman orang berkuasa. 1

(ii) Usaha-usaha yang perlu dilakukan ialah


P1 Mengutamakan pembayaran hutang berbanding keperluan lain. 1
P2 Membayar hutang mengikut jadual yang ditetapkan. 1
P3 Berbincang semula dengan pihak peminjam untuk memanjangkan tempoh 1
bayaran.
P4 Mendapatkan khidmat nasihat agensi kewangan. 1
P5 Meminta nasihat dan bantuan ahli keluarga / rakan. 1

(iii) Latar masyarakat dalam petikan:


P1 Latar masyarakat yang dibebani hutang 2
Contoh: Hakim terpaksa berhutang dengan pihak bank untuk meneruskan
kerja-kerja menternak ayamnya.
P2 Latar masyarakat yang menindas golongan yang lemah. 2
Contoh: Pihak bank telah merampas tanah Hakim tidak ubah seperti Raja
merampas tanah datuk Hakim dahulu

Latar masyarakat dalam cerpen:


P1 Latar masyarakat yang suka membantu orang lain 2
Contoh: Azam telah membantu Hakim mendapatkan tanah Pak Kaduk
iaitu datuk Hakim yang terlepas ke tangan Raja suatu masa dahulu.
P2 Latar masyarakat yang setia kawan 2
Contoh: Azam sahabat Hakim sentiasa menyokong tindakan Hakim untuk
mencapai cita-citanya untuk menjadi penternak ayam yang berjaya.
P3 Latar masyarakat yang tabah menghadapi cabaran. 2
Contoh: Hakim terus bersabar dan tabah menghadapi masalah dalam
mengusahakan reban ternakan ayamnya seperti masalah bayaran hutang,
masalah upah, untung sedikit dan sebagainya.
P4 Latar masyarakat yang bertanggungjawab kepada keluarga 2
Contoh: Hakim bertanggungjawab menebus kembali tanah datuknya
kerana menganggap datuknya telah teraniaya.
P5 Latar masyarakat yang terpelajar 2
Contoh: Azam merupakan lulusan undang-undang yang banyak menolong
Hakim mendapatkan kembali haknya melalui proses perundangan
mahkamah.
Pemahaman 2 (c)

SKEMA MARKAH
(i) Keadaan rakyat di Negeri Kembayat apabila diserang oleh burung
garuda seperti yang diceritakan dalam rangkap ketujuh syair
P1 Rakyat menjadi gempar 1
P2 Rakyat ketakutan 1
P3 Rakyat lari bertempiaran / lari menyelamatkan diri 1
(ii) Persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi musibah
tersebut
P1 Orang ramai perlu mengetahui / menguasai ilmu tentang sesuatu 1
musibah yang sedang / pernah berlaku di negara-negara lain.
P2 Pihak kerajaan / berkuasa mengarahkan rakyat bersiap sedia untuk 1
berpindah ke kawasan yang lebih selamat.
P3 Pihak kerajaan / berkuasa menyediakan alat kawalan keselamatan / 1
alat penggera di kawasan yang berisiko menghadapi musibah.
P4 Pihak kerajaan / berkuasa menyediakan keperluan harian seperti 1
makanan / pakaian / ubat-ubatan yang mencukupi kepada bakal
mangsa.
P5 Pihak kerajaan / berkuasa menyediakan kawasan penempatan baharu 1
yang lebih tinggi dan selamat.
P6 Anggota keselamatan mengadakan latihan menyelamat dengan lebih 1
banyak / kerap dalam menghadapi masalah.
P7 Media massa menyebarkan maklumat keselamatan kepada 1
masyarakat tentang cara-cara menghindarkan diri / membuat
persediaan ketika menghadapi musibah dari semasa ke semasa.
(iii) Dua perwatakan Raja Negeri Kembayat yang terdapat dalam syair
P1 Seorang raja yang adil 2
Contoh: Raja Negeri Kembayat memerintah dengan adil.
P2 Seorang raja yang bijaksana 2
Contoh: Raja Negeri Kembayat bijaksana dalam pemerintahannya.
P3 Seorang raja yang bertanggungjawab 2
Contoh: Raja Negeri Kembayat bertanyakan keadaan negerinya yang
telah diserang musuh.
P4 Seorang raja yang penyayang 2
Contoh: Raja Negeri Kembayat sangat menyayangi isterinya lebih-lebih
lagi setelah isterinya hamil.
P5 Seorang raja yang prihatin 2
Contoh: Raja Negeri Kembayat prihatin akan masalah rakyatnya.
SOALAN 3
(a) Bina ayat
PERHATIAN : Ayat yang dibina mesti jelas maksudnya – 1 markah
Contoh: ulat buku - Aiman seorang ulat buku kerana dia suka membaca buku. - 1 M
Aiman seorang ulat buku – 0m
(i) ulat buku
Maksud: orang yang suka membaca.
Ayat : Aminah suka menghabiskan masanya dengan membaca buku sehingga digelar
ulat buku.

(ii) ruang legar


Maksud: lobi.
Ayat : Semua peserta ratu cantik diminta berkumpul di ruang legar hotel untuk
penyerahan kunci bilik.

(iii) lintah darat


Maksud : orang yang mengenakan bunga yang tinggi atas pinjaman yang diberikan.

(iv) nasi minyak


Maksud : nasi yang dimasak dengan minyak sapi.
Ayat : Mak Limah menghidangkan nasi minyak kepada tetamu sempena majlis
perkahwinan anak perempuannya.

(v ) bangkai bernyawa
Maksud : orang yang kurus / orang yang terlibat dalam penagihan dadah.
Ayat : Keadaan anak Pak Samad ibarat bangkai bernyawa apabila ditemui khayal sedang
menghidu gam di bawah jambatan

(vi) gambar rajah


Maksud : Gambar yang memaparkan sesuatu hal.
Ayat : Pelajar-pelajar merungut semasa ujian mata pelajaran Sains kerana gambar
rajah yang diberi tidak jelas.

(vii) keras kepala


Maksud : degil / tidak mahu mendengar nasihat.
Ayat : Roslan seorang anak yang keras kepala kerana dia enggan mendengar nasihat
orang lain

(b) Senaraikan kata kerja dan objek


Bil Kata kerja transitif Markah Objek Markah
(i) Memerlukan 1m kasih sayang 1m
(ii) Meluangkan 1m masa 1m
(iii) Memastikan 1m pencapaian akademik mereka 1m

(c) Tukar ayat aktif kepada ayat pasif

I. Ibu bapa harus mengawasi anak-anak remaja agar tidak terjebak dengan gejala negatif.
Jawapan : Anak-anak remaja harus diawasi oleh ibu bapa agar tidak terjebak dengan gejala neatif

II. Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2016 di Putrajaya.
Jawapan : Sambutan Hari Belia Negara 2016 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia di
Putrajaya.
III. Universiti Malaysia Sabah telah mengambil seramai 276 orang pelajar untuk mengikuti Program Asasi
Sains.
Jawapan : Seramai 276 orang pelajar telah diambil oleh Universiti Malaysia Sabah untuk mengikuti
Program Asasi Sains.

IV. Saya sudah menyiapkan kertas kerja perkhemahan itu semalam.


Jawapan : Kertas kerja perkhemahan itu sudah saya siapkan semalam.

V. Awak harus menyampaikan persetujuan Datuk Kamurul dengan segera.


Jawapan : Persetujuan Datuk Kamurul harus awak sampaikan dengan segera.

VI. Kita akan menanggung tanggungjawab ini bersama-sama.


Jawapan : tanggungjawab ini akan kita tanggung bersama-sama.

Jawapan yang betul diberi 2 markah.


Tertinggal kata bantu dalam jawapan – 0 marka

(d) Kesalahan ejaan/imbuhan


(i) Perabut - perabot
menjadikan – dijadikan

(ii) Efisyen –efisien


pengswastaan-penswastaan

(iii) Gulita - gelita


Menandai – menandakan

(e) Kesalahan kata/ istilah dan tatabahasa

(i) lain-lain pelajar – pelajar-pelajar lain.


ketakutan – pengajaran

(ii) Menerangkan tentang - menerangkan


Penghapusan – pelupusan

(iii) Paling hebat sekali – paling hebat/ hebat sekali


Peruntukan – hadiah/ ganjaran

(f) Peribahasa
(i) sangat dikasihi dan dijaga/ dijaga dengan penuh kasih sayang
(ii) bekerja apabila disuruh
(iii) menyuruh orang lain membetulkan kesilapan tetapi diri sendiri silap

You might also like