Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

PEMAKANAN sihat lazimnya disebut sebagai diet seimbang.

Ia mengandungi kombinasi pelbagai


jenis hidangan berdasarkan piramid makanan yang boleh membekalkan semua zat diperlukan
tubuh.
Bagi kanak-kanak, memantau pemakanan sihat mereka dianggap kritikal. Ini kerana pemakanan
yang salah boleh menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan daya imuniti badan. Bahkan
jika terus diabaikan tidak mustahil ia menyebabkan sistem imun badan anak menjadi lemah,
seterusnya mudah terdedah kepada jangkitan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengaitkan pemakanan yang salah dengan 45 peratus
daripada kematian kanak-kanak di seluruh dunia. Apabila pemakanan tidak dijaga, sistem imun
badan merosot, keupayaan menangani penyakit serius juga akan turut berkurangan.
Di rumah, kecuaian ibu bapa menyediakan pemakanan sewajarnya kepada anak akan melemahkan
imuniti tubuh mereka. Tanpa sedar, itulah yang menjadi punca mengapa si kecil mudah demam dan
jatuh sakit.
Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Chiong Kai Ming, tidak kira kanak-kanak atau
dewasa, tubuh manusia memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang betul untuk
mendapatkan keseimbangan dalam diet harian.
“Pemakanan lengkap bermaksud memberikan anak anda makanan sihat, seimbang, dalam kuantiti
sederhana mengikut saiz sajian yang disarankan dan mestilah ada kepelbagaian untuk memenuhi
keperluan badannya.
“Sehingga hari ini, tiada satu pun jenis makanan, minuman atau kumpulan makanan tertentu yang
mampu memberikan semua keperluan pemakanan yang diperlukan tubuh dalam satu-satu masa.
Jadi, untuk mendapatkan diet sihat, kita tetap perlu mengamalkan pemakanan seimbang dengan
jumlah yang tepat.
“Bagi kanak-kanak, fungsi otak hingga tingkah laku mereka, semuanya boleh dipengaruhi
pemakanan. Mereka memerlukan pelbagai nutrien bagi menyokong perkembangan tubuh dan
pertumbuhan; membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental; membantu mengekalkan
ketahanan badan terhadap jangkitan serta menyediakan bekalan zat mencukupi untuk pertumbuhan
peringkat remaja,” katanya.
KENALI PIRAMID MAKANAN
Jelas Chiong, dalam memastikan tumbesaran sihat, kanak-kanak lazimnya memerlukan semua
kumpulan makanan utama untuk menyokong keperluan tubuhnya
Mereka disarankan mengambil hidangan buah-buahan, sayur, kekacang, produk bijirin dan
makanan yang kaya dengan protein seperti telur, produk tenusu, daging, ayam, ikan, dengan jumlah
sederhana.
“Di negara kita, amalan pemakanan sihat boleh dilakukan dengan merujuk Piramid Makanan
Malaysia. Ia adalah panduan mudah untuk ibu bapa mengetahui jumlah sajian yang disarankan
dengan jenis makanan diperlukan.
“Terdapat lima kumpulan makanan yang dibahagikan mengikut empat aras berbeza. Aras bawah
piramid makanan terdiri daripada makanan seperti nasi, mi, gandum, bijirin dan ubi. Ini adalah
sumber tenaga penting, yang diperlukan badan.
“Aras kedua adalah buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia menjadi sumber antioksidan, fitokimia,
vitamin dan mineral. Vitamin C dalam buah-buahan dan sayur-sayuran boleh meningkatkan daya
imun badan, seterusnya membantu mengelakkan penyakit seperti demam dan selsema.
“Kemudian barulah daging, ikan, hasil laut, ayam dan produk tenusu. Semua ini adalah sumber
protein, zink dan zat besi (ferum) yang memainkan peranan penting dalam sistem imun tubuh
kanak-kanak. Protein bertanggungjawab menghasilkan antibodi, iaitu komponen utama sistem imun
badan. Ia membantu badan melawan bakteria dan virus serta menghalang jangkitan.
“Akhir sekali adalah sumber lemak. Lemak penting untuk membekalkan kalori mencukupi untuk
perkembangan normal saraf, mata atau otak kanak-kanak tetapi ia diperlukan dalam kuantiti yang
kecil, bersesuaian keperluan kanak-kanak,” katanya.

CHIONG menerangkan carta Piramid Makanan Malaysia untuk kanak-kanak berusia dua hingga
tujuh tahun. FOTO Aswadi Alias
MENENTUKAN PEMAKANAN ANAK
Pastinya ibu bapa tahu untuk membezakan pemakanan bayi dan kanak-kanak bukan? Apa yang
sukar adalah mengenal pasti keperluan mereka secara lebih terperinci.
1. Bayi (1 hingga 6 bulan)
• Tidak ada apa yang diperlukan bayi melainkan susu ibu.
• Dia perlu disusukan dengan susu ibu sejak lahir hingga sekurang-kurangnya enam bulan.
• Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi.
• Ia sumber semula jadi paling selamat, berkhasiat dan memenuhi keperluan nutrien bayi ketika awal
kehidupannya.
• Susu ibu juga berupaya membekalkan nutrien terbaik untuk bayi dengan kadar mencukupi.
• Kolostrum dalam susu ibu mengandungi antibodi yang berupaya melindungi bayi dan menguatkan
sistem imunisasi mereka.
• Kolostrum juga boleh melindungi bayi daripada jangkitan cirit-birit, selsema, bronkitis atau radang
paru-paru.
• Ia juga mencegah pelbagai masalah alahan yang dialami bayi dan kanak-kanak, antaranya asma,
ekzema dan kolik.
2. Kanak-kanak kecil (selepas umur 6 bulan)
Pada umur ini, lazimnya mereka sudah mula diberi makanan pelengkap sesuai sebagai tambahan
kepada susu ibu atau rumusan bayi. Bagaimanapun, sesetengah ibu lambat memperkenalkan
makanan pelengkap. Kelewatan memperkenalkan makanan pepejal boleh membawa risiko anemia,
tidak cukup zat besi atau gangguan pertumbuhan kepada kanak-kanak. Sistem imun juga akan
menurun.
Sekiranya bayi tidak makan dalam jumlah yang banyak, cuba tambah kekerapan waktu makan
dengan menawarkan hidangan kecil. Perlu diingatkan diet rendah lemak tidak sesuai untuk kanak-
kanak di bawah usia lima tahun. Ini kerana, lemak diperlukan untuk membekalkan kalori mencukupi
bagi menyokong perkembangan normal saraf, mata atau otak. Pun begitu, pastikan lemak diperoleh
daripada sumber makanan berkhasiat. Bukan makanan ringan.
3. Anak bersekolah
• Mereka perlu mengambil hidangan seimbang. Memandangkan pada usia ini kanak-kanak mudah
terdedah kepada pemakanan tidak sihat seperti air berkarbonat dan makanan ringan, jadi ibu bapa
perlu memantau. Pastikan mereka mendapat hidangan sayur dan buah berwarna-warni.
• Usah beri terlampau banyak jus buah-buahan. Apabila anak kenyang dengan kandungan serat
dalam jus, mereka akan menolak untuk makan hidangan berat.
• Jika anak sukakan makanan diproses, cuba kawal pemakanan mereka ke arah hidangan lebih
sihat.
• Kurangkan makanan manis, kordial, susu pekat dan gula dalam hidangan untuk mengelak risiko
obesiti.
• Pantaulah perkembangan anak menggunakan kalkulator berat.
• Pastikan mereka makan pelbagai jenis buah atau kumpulan makanan berbeza dalam jumlah yang
bersesuaian. Melalui cara itu, barulah mereka mendapat faedah mencukupi.
BERI anak pemakanan sihat. FOTO fail NSTP
PEMAKANAN SIHAT TINGKAT IMUNITI
Kata Chiong, faktor pemakanan sememangnya berupaya membantu meningkatkan imuniti tubuh
kanak-kanak. Sebab itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak diberi makanan
seimbang dan berkualiti.
“Dalam dunia pemakanan, malnutrisi (keadaan yang disebabkan oleh kurangnya makanan
seimbang) dikenal pasti sebagai faktor paling popular menyebabkan masalah penurunan tahap imun
di seluruh negara.
“Apabila kanak-kanak tidak mendapat makanan mencukupi, dia akan menjadi kurus dan perutnya
kembung. Itu tanda malnutrisi tenaga protein. Ada kajian menunjukkan bahawa keadaan ini
mempunyai kaitan dengan kemerosotan kepekatan antibodi dalam tubuh manusia. Apabila hal ini
berlaku, sel imuniti badan juga akan menurun.
“Selain malnutrisi tenaga protein, imuniti tubuh juga boleh terjejas apabila berlaku kekurangan nut-
rien tertentu seperti zink. selenium, zat besi, kuprum, vitamin A, C, E, B6 dan asid folik. Bahkan,
berlebihan berat badan juga boleh menyebabkan imuniti tubuh merosot. Jadi, sentiasa perhatikan
pemakanan anak-anak supaya seimbang dan sihat,” katanya.
Jelas Chiong, anak yang diabaikan keperluan pemakanannya boleh mendapat risiko kesihatan
termasuk kegagalan membesar normal dari segi berat dan tinggi, perubahan tingkah laku, rengsa
pada mata, lambat sembuh dari jangkitan atau luka, lesu, kurang daya tumpuan, cirit-birit berulang
dan kemurungan disebabkan lapar.
TIDAK PERLU VAKSIN?
Menjelaskan salah faham berhubung fungsi pemakanan dalam membina imuniti tubuh dengan
fungsi vaksin, kata Chiong, kedua-duanya memberi manfaat berbeza kepada tubuh.
“Dalam tubuh kita, terdapat dua sistem imun. Satu dipanggil spesifik (khusus) dan satu lagi tidak
spesifik. Sistem imun spesifik pula disebut sebagai antigen spesifik. Sistem imun tidak spesifik pula
dikenali sebagai benteng perlindungan pertama tubuh. Contohnya adalah mukus dan bulu roma.
Benteng ini menyekat virus dan bakteria dari luar. Begitupun, yang disekat hanyalah jangkitan
penyakit kecil seperti demam dan selesema biasa.
“Berbeza dengan sistem imun spesifik, ia memerlukan perlukan pendedahan terlebih dulu terhadap
mikro organisma berkenaan sebelum tubuh menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit terbabit.
“Perlu diingat ada waktunya, kanak-kanak belum bersedia untuk melawan sesetengah antigen
spesifik, Jadi, sebab itulah vaksin penting. Ia mengandungi antigen yang diperoleh daripada
sebahagian atau keseluruhan struktur virus mahupun bakteria yang dimatikan atau dilemahkan.
Antigen dalam vaksin ini berfungsi untuk merangsang sistem imuniti tubuh, sekali gus membentuk
imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus seperti cacar air, batuk kokol, difteria dan H1N1,”
katanya.
Kata Chiong, semua penyakit terbabit bukanlah terdiri daripada mikro organisma biasa. Ia
memerlukan cegahan vaksin untuk mengawal risiko komplikasi yang mengancam nyawa.
“Secara mudahnya, pemakanan yang sihat masih tidak boleh menggantikan fungsi vaksin.
Perlindungan imuniti ini perlu dilakukan mengikut prosedur. Apabila kanak-kanak sudah didedahkan
kepada patogen tertentu, tubuhnya akan mudah menganalisa jangkitan dan bertindak balas
menyekat serta mengurangkan keterukan gejalanya di masa depan,” katanya.
TIP
• Pastikan menu seharian ada sayur, buah-buahan dan protein yang berkualiti.
• Cuba masukkan hidangan tinggi vitamin A, C, E seperti lobak merah, keledek, bayam, oren, lemon,
kacang hazel dan mentega kacang dalam diet harian anak.
• Minum lapan gelas air kosong sehari supaya sistem imun dapat berfungsi dengan baik
• Ambil makanan kaya probiotik secukupnya untuk membantu mengekalkan kesihatan sistem
penghadaman dan imuniti badan
• Galakkan anak bergerak aktif dan bermain di luar sebagai senaman, sekali gus merangsang
sistem imun mereka.
• Pastikan anak mendapat tidur mencukupi. Kurang tidur boleh menyebabkan kemerosotan prestasi
kognitif, masalah tingkah laku dan melemahkan sistem imun badan
• Patuh kepada jadual imunisasi.

You might also like