Kaedah Light Snake Ladder

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

KAEDAH LIGHT SNAKE LADDER : MENYELESAIKAN MASALAH DALAM OPERASI PENOLAKAN

LINGKUNGAN 0 HINGGA 19 BAGI MURID SLOW LEARNER


Nurul Salwa binti Ngamidon
Puan Zizawati binti Fauzi
nurulsalwangamidon@gmail.com

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan penggunaan kaedah Light Snake Ladder (LSL) dalam
menyelesaikan masalah dalam operasi penolakan lingkungan 0 hingga 19. Subjek kajian adalah terdiri
daripada dua orang murid Tahun Dua Pintar dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di salah
sebuah sekolah rendah kebangsaan di daerah Jasin, Melaka. Instrument yang digunakan oleh pengkaji
dalam kajian ini adalah pemerhatian, analisi dokumen iaitu lembaran kerja, ujian sebelum dan ujian selepas
serta temubual. Berdasarkan refleksi awal mendapati kedua-dua subjek kajian tidak dapat menguasai
kemahiran menolak dalam lingkungan 0 hingga 19 dengan baik. Masalah ini telah menyebabkan subjek
kajian kurang berminat dengan mata pelajaran Matematik. Subjek kajian turut menunjukkan tingkah laku
pasif sewaktu pengajaran dan pembelajaran (pdp) berlangsung. Sehubungan dengan itu, bagi
menyelesaikan masalah dalam operasi penolakan 0 hingga 19, pengkaji telah mengubah strategi pengajaran
dengan mengubah kaedah konvensional dengan mengaplikasikan alat manipulatif iaitu kaedah Light Snake
Ladder (LSL). Hasil daripada analisi ujian sebelum dan ujian selepas telah menunjukkan bahawa subjek
kajian telah berjaya menyelesaikan operasi penolakkan 0 hingga 19. Intervensi yang diaplikasikan juga telah
meningkatkan minat, keyakinan dan kemahiran subjek kajian dalam operasi penolakan 0 hingga 19.
ABSTRACT
This action research aims to look at the effectiveness of the use of Light Snake Ladder (LSL) in solving
problems for subtraction operation in between 0 to 19. Participants in this action research were consisting of
two special education student from Year 2 Pintar at a school in the district of Jasin, Melaka. The instrument
used in this research were observation, document analysis worksheet, discussion, pre-test and post-test. Early
reflection of this study found that both of the participant could not perform the skill in subtraction in between
0 to 19. This problems because participant were not interested in Mathematic subject. Both of the participant
also showed passive response during teaching and learning session. Accordingly, to solve problems in
subtraction operation in between 0 to 19, researchers have changed the conventional method of teaching
strategies to use manipulative method by using LSL’s. The results from pre-test and post-test showed that
interventions carried out by the participant were successfully for solving problems in subtraction operation in
between 0 to 19. This interventions also helps improve participant performance and enhances interest
performance in mathematic skill which is subtraction operation in between 0 to 19.
PENGENALAN
Kaedah pemahaman konsep dalam pengajaran Matematik pada masa kini lebih memberi keutamaan kepada
pembentukan konsep Matematik yang dikaitkan dengan pengalaman murid di dalam bilik darjah mahu pun
di luar bilik darjah. Para pendidik juga sedia maklum bahawa pengetahuan merupakan sesuatu yang tidak
boleh dipindahkan dari seseorang kepada seseorang yang lain sebaliknya ia hanya boleh dibina oleh murid
itu sendiri melalui proses interaksi dengan persekitaran pembelajaran. Persekitaran boleh dijadikan sebagai
alat perhubungan yang dapat mengaitkan idea Matematik dengan pengalaman harian. Ia juga dapat memberi
pengertian baru kepada konsep pembelajaran. Pembentukan konsep pembelajaran yang betul dalam
Matematik adalah sukar untuk dicapai. Post (1992) mengatakan bahawa penambahan dan penolakan
merupakan dua operasi yang pertama sekali dikemukan kepada murid dalam pembelajaran Matematik
mereka secara formal. Oleh itu, penguasaan kemahiran penolakan asas adalah penting untuk menarik minat
murid dan membentuk cara berfikir secara matematik.
Kesukaran ini adalah disebabkan oleh ciri-ciri Matematik yang konsepnya saling berkait di mana pemahaman
sesuatu konsep adalah bersandar kepada pemahaman konsep-konsep sokongan yang lain. Penekanan
diberikan kepada pembelajaran Matematik bercorak perkembangan pemikiran murid, iaitu kemahiran
menyelesaikan masalah yang merangkumi beberapa proses contohnya seperti memahami masalah,
merancang strategi, melaksanakan rancangan dan menyemak jawapan.
Kesilapan kepada tafsiran dalam konsep akan memberikan gambaran yang berlainan terhadap makna
sebenar. Kelemahan kefahaman konsep ini bukan sahaja berlaku kepada murid yang lemah malahan ia juga
berlaku pada murid yang bijak. Kesilapan-kesilapan murid biasanya berkaitan dengan pemahaman dan
kaedah penyelesaian. Antara punca kepada kelemahan ini ialah kerana kurangnya penguasaaan konsep
asas Matematik kesannya murid kurang minat terhadap pembelajaran Matematik. Menurut Douglas (2004),
antara kesilapan umum yang dilakukan oleh murid adalah dalam menyelesaikan masalah matematik iaitu
tidak mengumpul semula, kiraan yang salah dan susunan digit yang tidak tersusun mengikut nilai tempat.
Oleh hal yang demikian, isu ini dapat ditangani apabila guru memainkan peranan dalam mengenal pasti
kelemahan ini pada peringkat awal dan seterusnya membaiki kelemahan tersebut dalam diri murid. Maka,
dengan berbuat demikian, murid-murid akan berasa yakin terhadap mata pelajaran matematik ini.
Oleh yang demikian, guru perlu memberikan perhatian serius serta memberi penekanan kepada
pembentukan kefahaman yang betul pada peringkat awal lagi. Bagi murid slow learner adalah amat sukar
bagi memahami konsep penolakan dalam Matematik. Dalam mata pelajaran Matematik, selain daripada
mengenal nombor murid slow learner juga perlu diberi kefahaman instrument, kefahaman rasional, dan
kefahaman logik. Bloom (1976) telah menyenaraikan tiga jenis tingkah laku pemahaman iaitu terjemahan,
pentaksiran, dan ekstrapolasi. Sebagai seorang guru, kita harus memahami kesemua perkara tersebut bagi
memudahkan guru memahami murid-murid dalam merancang pengajaran yang berkesan dalam membentuk
konsep penolakan.

FOKUS KAJIAN
Pengkaji telah mendapati masalah utama dalam pengajaran matematik bagi murid di salah sebuah sekolah
di daerah Jasin ialah pemahaman konsep penolakan yang lemah. Pengkaji telah membuat pemerhatian
terhadap lembaran kerja murid dan mendapati murid keliru antara simbol tolak dan simbol tambah. Selain
itu. Pengkaji turut mendapati murid gagal membuat operasi penolakan dalam lingkungan 0 hingga 19 kerna
tidak tahu membezakan nilai nombor, tidak boleh menolak secara abstrak (ayat matematik) dan tidak mahir
menolak tanpa bahan konkrit atau permainan. Pengkaji turut mendapati bahawa murid terlalu bergantung
kepada bimbingan daripada guru.

OBJEKTIF
Objektif umum kajian ini adalah untuk membantu murid Slow Learner dalam menyelesaikan operasi
penolakan dalam lingkungan 0 hingga 19 menggunakan Kaedah Light Snake Ladder.
Secara khususnya, objektif kajian ini adalah bertujuan untuk:
a) Mengenal pasti punca murid Slow Learner keliru antara operasi penolakan dan operasi penambahan.
b) Menggunakan kaedah Light Snake Ladder bagi menyelesaikan masalah dalam operasi penolakan 0
hingga 19 bagi murid Slow Learner.
c) Menguji keberkesanan kaedah Light Snake Ladder untuk murid slow learner menyelesaikan masalah
dalam operasi penolakan lingkungan 0 hingga 19.

PERSOALAN
Berdasarkan kepada objektif umum dan objektif khusus kajian, terdapat beberapa persoalan kajian seperti
yang berikut:
i. Apakah tahap penguasaan murid Slow Learner dalam menyelesaikan operasi penolakan dalam
lingkungan 0 hingga 19?
ii. Adakah penggunaan kaedah Light Snake Ladder sesuai untuk dijalankan kepada murid Slow Learner
untuk mengatasi masalah ini?
iii. Adakah kaedah Light Snake Ladder dapat meningkatkan kemahiran murid Slow Learner dalam
menyelesaikan operasi penolakan dalam lingkungan 0 hingga 19?
KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran bagi kajian ini terdiri daripada dua orang subjek kajian Tahun 2 Pintar yang melibatkan
seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan. Subjek kajian ini telah di pilih berdasarkan prestasi
mereka dalam kelas dan perbezaan tahap pemahaman konsep penolakan nombor dalam lingkungan 0
hingga 19. Bagi memilih subjek kajian yang bersesuaian, pengkaji telah mengumpul segala maklumat
mengenai subjek kajian melalui dokumen (lembaran kerja), perbincangan bersama guru matapelajaran
matematik dan pemerhatian. Kesemua subjek kajian yang dipilih adalah berbangsa Melayu serta berumur
12 tahun, walau bagaimanapun, setiap subjek kajian mempunyai ciri-ciri masalah pembelajaran minor selain
daripada Slow Learner. Subjek kajian A adalah murid perempuan dan merupakan penolong ketua kelas 2
Pintar manakala subjek kajian B adalah murid lelaki dan merupakan ketua kelas 2 Pintar. Berdasarkan
masalah pembelajaran, kedua-dua subjek kajian mempunyai masalah major yang sama iaitu slow learner
namun subjek kajian A mempunyai masalah pembelajaran minor iaitu Ceberal Palsy tetapi boleh di kawal
manakala subjek kajian B mempunyai masalah pembelajaran minor iaitu hiperakitf yang tidak serius.
Selain itu, pengkaji turut merujuk kepada Fail Peribadi subjek kajian untuk memastikan mereka tidak
menghidapi sembarang masalah kesihatan yang boleh menghalangnya daripada melakukan keadah yang
dirancang. Berdasarkan temubual bersama guru kelas 2 Pintar kedua-dua subjek kajian yang dipilih adalah
daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan dan tinggal di sekitar lokasi luar bandar.
Menurut Abd Aziz (1989) menerusi kajian yang dilaksanakan mendapati faktor latar belakang keluarga
merupakan faktor yang sangat mempengaruhi pencapaian akademik murid luar bandar. Ibu bapa kurang
memberi perhatian dalam meningkatkan kemajuan murid dan kawasan persekitaran yang kurang selesa.
Kesimpulannya, pengkaji telah mengenal pasti dua orang subjek kajian yang mempunyai tahap sederhana
(subjek kajian A) dan lemah (subjek kajian B) dalam memahami konsep penolakan dalam lingkungan 0
hingga 19. Berdasarkan jadual dan maklumat yang dikumpulkan mengenai subjek kajian, pengkaji telah
merencanakan langkah seterusnya iaitu cadangan tindakan berdasarkan kaedah yang akan diperkenalkan
iaitu kaedah Light Snake Ladder (LSL). Cadangan tindakan ini akan merangkumi langkah-langkah
mengaplikasikan kaedah LSL secara berperingkat serta instrumen kajian yang akan digunakan mengikut
objektif khusus yang telah digariskan.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN


Berdasarkan kajian yang dijalankan, langkah pertama diambil adalah merancang. Dalam langkah ini,
pengkaji merancang tindakan intervensi iaitu kaedah Light Snake Ladder kemudian mengumpul data melalui
analisis dokumen pemerhatian dan ujian. Seterusnya pengkaji menganalisis data untuk melaksana aktiviti
intervensi.
Langkah ke dua iaitu bertindak, pengkaji melaksanakan tindakan bagi mengatasi masalah serta mengumpul
dan menganalisis data. Pengkaji perlu sentiasa mengemaskini maklumat dan data yang diperolehi sebelum,
semasa dan selepas intervensi dijalankan untuk mendapatkan data yang lengkap.
Langkah ke tiga iaitu memerhati, pengkaji membuat pemerhatian terhadap intervensi yang dijalankan iaitu
kaedah Light Snake Ladder. Pengkaji membuat analisis dapatan kajian bagi memastikan kelebihan dan
kekurangan kaedah. Hal ini sangat penting untuk menentukan keberkesanan kaedah.
Langkah ke empat iaitu refleksi, pengkaji membuat refleksi berdasarkan kajian yang telah dilakukan dengan
membuat penilaian akhir terhadap data yang diperolehi bagi memastikan objektif dan persoalan kajian
tercapai. Kemudian, pengkaji akan membuat perbincangan dan implikasi daripada kajian untuk membuat
cadangan seterusnya.

DAPATAN KAJIAN
Bagi menjawab persoalan yang pertama, pengkaji dapat mengetahu tahap penguasaan subjek kajian dalam
menyelesaikan operasi penolakan dalam lingkngan 0 hingga 19 melalui analisis dokumen dan data
instrument pemerhatian. Melalui analisis dokumen iaitu lembaran kerja subjek kajian, pengkaji dapati tahap
penguasaan kedua-dua subjek kajian adalah sangat lemah. Hal ini kerana subjek kajian telah diajar untuk
menyelesaikan operasi penolakan menggunakan kaedah tradisional. Kaedah penolakan tradisional telah di
ajar oleh guru mata pelajaran di kelas 2 Pintar bagi memudahkan murid-murid untuk membilang dan
memahami konsep penolakan. Penolakan dikenali sebagai proses menghapus, membuang atau memotong
nilai nombor yang kecil. Walau bagaimanapun, pengkaji dapat mengesan kelemahan bagi kaedah tradisional
ini. Berdasarkan gambar 8, pengkaji mendapati kaedah tradisional hanya sesuai dijalankan bagi penolakan
mudah sahaja. Hal ini kerana subjek kajian telah di ajar untuk membilang jumlah nilai nombor besar dengan
melukis bentuk bulatan kemudian mengira nilai nombor kecil dengan menolak bilangan bulatan pada nilai
nombor besar. Setelah itu subjek kajian dikehendaki mengira semula nilai nombor bulatan yang tidak ditolak
untuk mendapatkan jawapan bagi satu-satu operasi penolakan. Langkah pengiraan yang berulang ini sangat
membuang masa dan subjek kajian kerap kali tersalah atau keliru ketika membilang menyebabkan jawapan
akhir yang diperolehi adalah salah.
Selain daripada itu, pengkaji turut dapat menjawab persoalan satu ini melalui data pemerhatian. Berdasarkan
instrument pemerhatian, pengkaji mendapati subjek kajian menunjukkan emosi negatif dan tingkah laku yang
pasif sebelum kaedah LSL ini diperkenalkan. Pada awalnya, pengkaji dapat mengesan kelainan daripada
cara memegang pensel dan cara menulis subjek kajian daripada hari pertama pengkaji masuk kelas 2 Pintar.
Kemudian berdasarkan analisis dokumen kesihatan, pengkaji mendapati bahawa subjek kajian A bukan
sahaja mempunyai masalah pembelajaran Slow Learner tetapi juga Ceberal Palsy yang minor. Hal ini
menyebabkan pergerakan subjek kajian A agak perlahan berbanding rakan-rakan yang lain. Melalui data
instrumen pemerhatian, pengkaji mendapati subjek kajian A mempamerkan sikap kurang yakin, sering
berkhayal dan teragak-agak untuk menjawab soalan. Hal ini kerana subjek kajian A mempunyai kesukaran
untuk menulis walaupun telah diajar oleh pengkaji untuk memegang pensel dengan baik tetapi subjek kajian
A tetap selesa dengan cara memegang pensel yang salah. Subjek kajian A sangat mendengar arahan dan
tunjuk ajar guru tetapi sikap kurang yakin dan teragak-agak membuatkan subjek kajian A sering silap dalam
membuat pengiraan dalam operasi penolakan. Disebabkan cara memegang pensel yang salah, pengkaji
mendapati subjek kajian A sering berkhayal dan menyiapkan kerja dengan lambat. Ini menyebabkan subjek
kajian sentiasa gagal menyiapkan lembaran kerja operasi penolakan yang diberikan oleh pengkaji mengikut
masa yang telah ditetapkan.Hal ini berlainan dengan subjek kajian B yang sering meletakkan kepala di atas
meja untuk memberi respon kepada guru bahawa dia tidak sihat atau berasa pening dan keliru dengan
operasi penolakan. Chieng (2011) dalam kajianya, ada menyatakan subjek kajian kehilangan minat untuk
menyelesaikan soalan yang disediakan sekiranya nilai yang digunakan untuk menolak melebihi 10. Mereka
berpendapat bahawa soalan tersebut terlalu susah untuk mereka. Tanggapan negatif ini biasanya wujud
apabila mereka tidak dapat menguasai konsep asas nombor iaitu nilai tempat dengan betul. Hal ini
menyebabkan mereka menghadapi kesukaran apabila menjawab soalan penolakan dengan mengumpul
semula kerana ianya melibatkan nilai tempat.
Selain itu, subjek kajian B turut kerap meminta kebenaran untuk keluar kelas apabila guru menumpukan
perhatian kepada murid lain. Pengkaji menyimpulkan bahawa subjek kajian B cuba melarikan diri daripada
kelas dengan melengah-lengahkan waktu pengajaran dan pembelajaran di luar kelas. Hal ini terbukti apabila
pengkaji mendapati bahawa subjek kajian B tidak hanya pergi ke tandas PPKI tetapi menghabiskan waktu
termenung dan leka di dapur PKKI atau menganggu rakan-rakan di kelas lain. Pengkaji turut mendapati
bahawa subjek kajian B tidak menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas
dan sering mempamerkan emosi negatif. Subjek kajian B tidak mahu memberikan kerjasam apabila diminta
untuk menyiapkan lembaran kerja yang diberikan dan terlalu bergantung pada jawapan guru. Selain itu,
subjek kajian B akan menangis dan merajuk apabila guru tidak memberikan jawapan dan hanya memberikan
tunjuk ajar. Kesimpulannya, melalui analisis dokumen dan data instrument pemerhatian pengkaji
membuktikan bahawa tahap penguasaan subjek kajian A dan subjek kajian B dalam menyelesaikan operasi
penolakan dalam lingkungan 0 hingga 19 adalah sangat rendah. Oleh itu, pengkaji yakin bahawa kaedah
LSL yang dijalankan sangat bersesuaian bagi kedua-dua subjek kajian untuk mengatasi masalah tersebut.
Bagi menjawab persoalan ke dua ini, pengkaji telah menganalisis data instrument pemerhatian selepas
kaedah LSL ini dijalankan. Pemerhatian turut dijalankan dengan mengunakan video. Berdasarkan instrument
pemerhatian, pengkaji mendapati subjek kajian A semakin aktif dan yakin untuk menjawab soalan operasi
tolak. Selain itu, subjek kajian A sentiasa bersungguh-sungguh menjalankan kaedah LSL bagi menyelesaikan
masalah dalam operasi penolakan 0 hingga 19. Dengan menggunakan kaedah LSL ini, subjek kajian tidak
perlu menulis jalan kerja yang panjang kerana melalui langkah permainan kaedah LSL ini operasi penolakan
dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat. Oleh itu, subjek kajian A sangat sesuai untuk menggunakan
kaedah LSL ini kerana subjek kajian A mempunyai masalah Ceberal Palsy yang menganggu cara memegang
pensel dan menulis. Secara tidak langsung, subjek kajian A menjadi lebih bersemangat untuk menyelesaikan
masalah dalam operasi penolakan 0 hingga 19 dengan cepat dan mendapatkan jawapan yang tepat.
Seterusnya instrument pemerhatian bagi subjek kajian B. Pengkaji mendapat bahawa setelah subjek kajian
B mengaplikasikan penggunaan kaedah LSL ini, subjek kajian B kelihatan lebih aktif dan kurang keluar kelas.
Ini membuktikan bahawa subjek kajian B berminat, tidak berasa bosan dan mudah untuk mempelajari operasi
penolakan 0 hingga 19 dengan kaedah LSL. Selain itu, subjek kajian B juga rajin bertanya jika ada keraguan
dan sering menyiapkan lembaran kerja operasi penolakan yang diberikan. Sikap keterujaan subjek kajian B
dalam menyelesaikan operasi penolakan 0 hingga 19 dengan menggunakan kaedah LSL dapat disokong
apabila subjek kajian B tidak lagi mempamerkan emosi yang negatif. Kesimpulanya, pengkaji yakin bahawa
kaedah LSL ini sangat sesuai dijalankan kepada kedua-dua subjek kajian yang bermasalah Slow Learner.
Hal ini kerana kaedah LSL menerapkan unsur bermain yang interaktif ditambah dengan unsur inovatif iaitu
penggunaan lampu LED berirama yang menarik perhatian subjek kajian. Dengan penggunaan kaedah LSL,
pengkaji dapat menitik beratkan hasil kerja murid yang kemas, mudah difahami dan berjaya diselesaikan
mengikut waktu pengajaran dan pembelajaran yang ditetapkan.
Bagi menjawab persoalan ke tiga, pengkaji akan menggunakan analisis data intrumen soal selidik, ujian
sebelum dan ujian selepas bagi menjawab persoalan yang ke tiga ini. Berdasarkan instrument soal selidik,
kedua subjek kajian dapat mengenal simbol ‘-‘ dengan menerangkan bentuk simbol tolak kepada pengkaji.
Selain itu, selepas menggunakan kaedah LSL subjek kajian juga tidak lagi keliru antara operasi tambah atau
operasi tolak. Secara tuntasnya, kaedah LSL ini berjaya membantu subjek kajian untuk memahami konsep
penolakan dan membanding beza operasi tolak dengan operasi tambah. Instrumen soal selidik turut
membantu subjek kajian untuk mengenalpasti nilai nombor besar dan nilai nombor kecil dengan baik. Oleh
itu, subjek kajian berasa lebih yakin, mudah dengan bantuan penggunaan kaedah LSL ini. Rumusannya,
melalui respon positif daripada instrument soal selidik telah membuktikan bahawa kaedah LSL ini dapat
meningkatkan kemahiran murid Slow Learner dalam menyelesaikan operasi penolakan dalam lingkungan 0
hingga 19.
Selain itu, berdasarkan instrument data ujian sebelum dan ujian selepas. Pengkaji mendapati berlaku
peningkatan skor markah yang memberangsangkan bag kedua-dua subjek kajian. Pengkaji telah membina
set soalan operasi penolakan dalam lingkungan 0 hingga 19 yang sama bagi ujian sebelum dan ujian selepas.
Tahap kesukaran soalan semakin meningkat meningkut bilangan soalan daripada soalan satu hingga soalan
yang ke tiga belas. Pada ujian sebelum, pengkaji mendapati kedua-dua subjek kajian gagal menjawab soalan
11, 12 dan 13 dengan betul. Oleh itu, pengkaji telah mengaplikasikan kaedah LSL dengan peneguhan untuk
memastikan subjek kajian berjaya menjawab soalan tersebut. Pengkaji turut mendapati jurang skor markah
bagi subjek kajian A iaitu 77% berbanding subjek kajian B iaitu 31% adalah sangat tinggi iaitu berbeza 46%.
Namun setelah pengkaji mengaplikasikan kaedah LSL kepada subjek kajian A dan subjek kajian B, skor
markah bagi ujian selepas meningkat secara drastic kepada 100% bagi kedua-dua subjek kajian. Ini
bermaksud kedua-dua subjek kajian berjaya menjawab kesemua 13 soalan dengan jawapan yang tepat dan
betul. Pengkaji merumuskan bahawa berdasarkan analisis ujian sebelum dan ujian selepas, subjek kajian A
telah berjaya membuat peningkatan skor markah sebanyak 23% manakala subjek kajian B berjaya membuat
peningkatan skor markah sebanyak 69%. Kesimpulannya, berdasarkan bukti-bukti yang telah dinyatakan
melalui data analisis ujian sebelum dan ujian selepas serta data intrumen soal selidik, pengkaji yakin bahawa
kaedah Light Snake Ladder dapat meningkatkan kemahiran murid Slow Learner dalam menyelesaikan
operasi penolakan dalam lingkungan 0 hingga 19.

CADANGAN TINDAKAN SUSULAN


Menurut Pavlov, setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas ialah apa sahaja tingkah
laku yang timbul akibat daripada ransangan. Manakala ransangan pula ialah apa sahaja bentuk tenaga yang
menimbulkan gerak balas (Ee Ah Meng, 1994). Pembelajaran berlaku akibat perkaitan antara ransangan dan
gerak balas. Sehubungan dengan itu, pemberian token ekonomi kepada subjek kajian merupakan suatu
ransangan yang akan membentuk suatu gerak balas (tingkah laku) yang positif. Skinner pula menegaskan
bahawa konsep peneguhan adalah merupakan asas yang penting dalam pembentukan tingkah laku.
Menurutnya lagi, peneguhan terbahagi kepada dua bahagian iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.
Peneguhan positif seperti pujian, ganjaran ataupun hadiah. Manakala peneguhan negatif ialah seperti
dendaan dan hukuman. Oleh itu pengkaji mencadangkan penggunaan token ekonomi yang merupakan
sesuatu peneguhan positif yang akan diberikan kepada subjek kajian jika berkelakuan baik dan berjaya
menjawab soalan yang diberikan pengkaji seterusnya token tersebut boleh ditebus dengan hadiah setelah
cukup syarat bilangannya.
Pengkaji juga bercadang agar kaedah LSL ini dapat didedahkan kepada murid-murid yang mengikuti kelas
pemulihan. Rasional cadangan ini ialah tahap kognitif murid Slow Learner hampir sama dengan murid di
kelas pemulihan. Selain itu, kaedah LSL ini dianggap sangat mudah bagi mencari jawapan operasi penolakan
dalam lingkungan 0 hingga 19 dengan cepat dan tepat. Bukan itu sahaja, pengkaji turut bercadang untuk
mengalikasikan kaedah LSL ini dalam menyelesaikan operasi tambah pula pada kajian seterusnya. Hal ini
kerana kaedah LSL yang dilaksanakan pengkaji menggunakan aplikasi permainan dam ular oleh itu tidak
mustahil jika kaedah ini boleh digunakan untuk operasi penambahan dalam lingkungan 20 kelak.
Selain daripada itu, pengkaji turut berhasrat untuk menukar reka bentuk kaedah LSL ini kepada saiz yang
lebih besar iaitu sebesar saiz karpet kanak-kanak. Rasionalnya kerana apabila saiz kaedah LSL ini lebih
besar, subjek kajian dapat menggunakan kaedah ini dengan cara bergerak sendiri di dalam badan ular.
Secara tidak langsung aktiviti menjadi lebih menarik kerana melibat pergerakan psikomotor berbanding
dengan kaedah LSL sekarang yang hanya sebesar saiz A3 tetapi mudah dikendalikan. Walau
bagaimanapun, cadangan untuk membina kaedah LSL ini menjadi saiz besar perlu di fikirkan mengikut
kepada kesesuaian keadaan bilangan subjek kajian dan faktor keluasan kelas PPKI.
Tambahan lagi, pengkaji juga beminat untuk menukarkan penggunaan lampu LED berirama kepada lampu
‘glow in dark’ . Hal ini kerana pengkaji merasakan lampu ‘glow in dark’ lebih mesra pengguna berbanding
lampu LED berirama untuk digunakan pada saiz kelas yang kecil. Selain itu, lampu ‘glow in dark’ hanya akan
menyala apabila pencahayaan di kelas berkenaan kurang. Secara tidak langsung akan menarik minat murid
untuk mengetahu dengan lebih lanjut kaedah yang akan di tunjukan secara magik. Walau bagaimanapun,
penggunaan lampu LED berirama dalah bersifat lebih interaktif dan ceria serta sesuai dijalankan bagi murid
autism. Murid autism sukar memberikan tumpuan tetapi dengan penggunaan kaedah yang bercahaya dapat
menarik minat murid autisme untuk belajar. Tidak ketinggalan, pengkaji juga berhasrat untuk menjadikan
kaedah LSL ini lebih bersifat inovatif dan interaktif pada kajian seterusnya dengan mengaplikasi unsur ICT
seperti muzik dan bunyi-bunyian. Oleh itu, pengkaji mencadangkan agar papan badan ular iaitu kaedah LSL
dipasangkan dengan sistem pendawaian yang boleh di kod kan dengan kesan bunyi dan cahaya yang
bersesuaian. Secara tidak langsung, pengkaji yakin bahawa penambahbaikan ini dapat memberikan kesan
positif yang lebih memberansangkan pada masa akan datang.

REFLEKSI
Melalui kajian ini, pengkaji telah berjaya mencapai kehendak objektif umum dan objektif khusus kajian.
Terdapat tiga persoalan yang mendasari kajian ini turut telah berjaya di rungkai dengan bukti yang kukuh
dan ilmiah. Pengkaji telah melaksanakan kaedah Light Snake Ladder kepada dua orang subjek kajian dan
memperolehi keputusan yang positif daripada kaedah berkenaan. Semoga kajian ini dapat digunakan dengan
sebaik mungkin dan dapat dijadikan panduan kepada guru-guru yang lain bagi menjayakan proses
pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan, mantap dan dapat menarik minat murid serta dapat
menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan.

RUJUKAN
Bloom, B. (1976). Human characteristics and student learning. New York: Mc Graw
Hill.

Chieng Leh Hui. (2011). Penggunaan kaedah jari dalam membantu murid tahun dua
menyelesaikan operasi tolak yang melibatkan pengumpulan semula (ms 150). Institut Pendidikan Guru Kampus
Batu Lintang.

Douglas. Susan O’connel. J.S. et.al. (2004). Mastering the basic math facts in addition
and subtraction. Publisher’s Design and Production Sevices, Inc: United State.

Ee Ah Meng. (1994). Psikologi dalam bilik darjah. Kuala Lumpur: Penerbitan Fajar
Bakti.

Post C. Fuson, (1992) Journal for Research in Mathematics Education 1992, Vol.
21,No. 3, 180-206. Using a base-ten blocks learning/teaching approach for first and second grade place value
and multidigit addition and substraction. North University DIANE J. Pittsburgh Public Schools.

You might also like