Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

QGK 3013

KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN

GEJALA OBESITI DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH:


FAKTOR-FAKTOR PENYUMBANG

DISEDIAKAN OLEH

NAMA NO MATRIKS KUMPULAN


WONG TECK YEE D20102043000 UPSI 16

PENSYARAH E-PEMBELAJARAN : EN. MOHD IZWAN BIN SHAHRIL

TARIKH SERAHAN : 4 MEI 2014


Gejala Obesiti Dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Faktor-Faktor Penyumbang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,
Yang Berusaha Tuan Pengetua, Encik Tan Ming Song, guru penolong kanan, guru-guru, dan
pelajar yang dikasihi sekalian. Terlebih dahulu, saya sebagai seorang Guru Panitia Mata Pelajaran
Kesihatan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk menyampaikan
satu ceramah yang bertajuk “Faktor-Faktor Penyumbang Gejala Obesiti Dalam Kalangan Pelajar
Sekolah” sempena Bulan Kesihatan Sekolah pada hari ini.

Hadirin yang dihormati,

Obesiti atau kegemukan bermaksud berat badan yang melampau dan melebihi kadar berat
badan unggul (BMI). Secara amnya, obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang
menimbun di dalam badan seseorang. Obesiti diklasifikasikan dengan berat badan melebihi 20%
daripada berat badan ideal berdasarkan ketinggian seseorang. Obesiti berpunca daripada amalan
pemakanan yang tidak seimbang dan pengambilan makanan berlemak serta berkolesterol secara
berlebihan. Lebihan makanan inilah yang membentuk lemak dan menyebabkan obesiti akhirnya.
Penyakit obesiti boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan
menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Selain daripada mengehadkan kegiatan fizikal dan
sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek.

Saban tahun, kajian telah dijalankan bagi mengetahui peratusan dan tahap obesiti bagi
penduduk di negara ini kerana obesiti telah menjadi satu ancaman yang semakin serius kepada
rakyat di Malaysia. Hasil kajian adalah amat menakutkan kerana pertambahannya yang begitu
drastik dari tahun ke tahun. Soal Selidik Pemakanan Kebangsaan 2002/2003 yang dijalankan oleh
Kementerian Kesihatan ke atas orang dewasa mendapati masalah berlebihan berat badan
meningkat kepada 27% (4.2 juta) berbanding hanya 16.6 % (1.7 juta) pada tahun 1996. Bagi tahun
2006 pula, peratusannya telah meningkat menjadi semakin tinggi sehingga mencapai 43.1% dan
telah direkodkan sebagai antara negara yang mengalami tahap obesiti tertinggi di Asia.

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Nasional Diabetes Malaysia (Nadi), Datuk Profesor
Mustaffa Embong, obesiti dalam kalangan kanak-kanak pada masa sekarang semakin ketara
dimana dalam satu kajian menunjukkan bahawa 15 peratus daripada kanak-kanak berusia 12
hingga 19 tahun mempunyai masalah berlebihan berat badan.
Sementara itu, Dr. Poh Bee Koon, Profesor Madya di Jabatan Pemakanan & Dietetik
Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap ahli majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia
(MASO) menyatakan bahawa 21.4% remaja di kawasan bandar dan 16% di kawasan luar bandar
menghadapi masalah berat badan berlebihan. Hakikatnya, sebanyak 6% remaja telah dimasukkan
ke hospital disebabkan oleh diabetes dan angka ini semakin meningkat.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa masalah obesiti semakin ketara dan serius dalam
kalangan pelajar dewasa ini. Apakah faktor-faktor yang menyebabkan masalah obesiti ini terjadi?
Faktor pemakanan dan gizi makanan menjadi faktor utama yang menyebabkan masalah obesiti.
Kanak-kanak pada masa sekarang sering makan makanan yang mengandungi kandungan lemak
yang tinggi, contohnya burger, ayam goreng, kentang goreng dan sebagainya di samping
komponen lain seperti karbohidrat dan protein. Kanak-kanak juga senantiasa disogokkan dan
diberikan makanan yang mengandungi kadar gula yang tinggi, contohnya coklat, minuman ringan,
kek dan lain-lain lagi. Selain itu, makanan segera juga menyumbang kepada masalah obesiti
kerana ia mengandungi garam, gula dan lemak yang berlebihan. Kanak-kanak yang kerap
diberikan makanan secara berlebihan ataupun tanpa had juga tidak dapat “membakar” semua
kalori lalu ditukar menjadi lemak dan menyebabkan obesiti.

Obesiti juga boleh berlaku akibat hormon tumbesaran yang tidak seimbang. Dalam proses
tumbesaran, kanak-kanak yang mencapai akil baligh memerlukan makanan yang berkalori tinggi.
Gizi makanan menjadi penting dan sekiranya kanak-kanak tidak mendapat gizi makanan yang
seimbang, sebagai akibatnya kadar metabolisme tidak berfungsi dengan normal. Kadar
metabolisme yang rendah akan melambatkan proses pengoksidaan lemak. Justeru, obesiti akan
berlaku hasil daripada peningkatan lemak dalam badan.

Seterusnya, tentu tidak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa orang Malaysia
suka makan mengikut selera tanpa memikirkan kesan pada kesihatan. Ini disebabkan ramai yang
berpegang pada falsafah 'hidup hanya sekali sahaja dan makanlah selagi ada selera’ ataupun
mengamalkan sikap “hidup untuk makan”. Oleh itu, salah satu punca obesiti tanpa disedari ialah
budaya atau tabiat suka makan pada waktu malam ataupun mengikut nafsu. Malaysia yang
diketahui syurga makanan penuh dengan restoran dan gerai-gerai yang dibuka 24 jam yang
menyajikan pelbagai variasi makanan dari barat dan timur yang enak lagi lazat telah mendorong
ramai pelajar yang sememangnya tidak boleh tidur malam lantas menghabiskan waktu santai
mereka makan dan minum sehingga lewat malam. Namun, proses penghadaman menjadi lambat
dan kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam dan lemak lebih mudah berkumpul. Hal ini
menyebabkan berlakunya peningkatan berat badan secara mendadak. Di sini, saya harap hadirin
sekalian berfikir sejenak sampai bilakah kita akan terus mengabaikan kesihatan dan mendera tubuh
kita hanya kerana mahu memuaskan selera.

Selain faktor dari segi permakanan, obesiti juga boleh berpunca daripada keturunan
ataupun genetik. Ini adalah kerana faktor keturunan juga mempengaruhi rupa bentuk badan
seseorang dimana gen berpindah daripada ibu atau bapa kepada anak-anak melalui kromosom.
Penyelidikan yang pernah dibuat di Amerika Syarikat membuktikan bahawa anak-anak dari
keturunan ibu bapa yang normal mempunyai 10% peluang untuk menjadi gemuk. Malahan
peluang itu akan meningkat menjadi 40% ke 50% jika salah seorang daripada ibu bapa mengalami
masalah berat badan dan akan meningkat menjadi 70% hingga 80% jika keduanya menghidap
obesiti.

Kegemukan memang boleh diturunkan dari generasi sebelumnya kepada generasi


berikutnya di dalam sesebuah keluarga. Itulah sebabnya kita seringkali menemui ibu bapa yang
gemuk cenderung memiliki anak-anak yang gemuk juga. Dalam hal ini, nampaknya faktor genetik
telah ikut campur dalam menentukan jumlah unsur sel lemak di dalam tubuh. Hal ini
dimungkinkan kerana pada ketika ibu yang obesiti sedang hamil, maka unsur sel lemak yang
berjumlah besar dan melebihi ukuran normal secara automatik akan diturunkan kepada si bayi
sewaktu dalam kandungan. Maka, tidak hairanlah bila bayi yang dilahirkan pun memiliki unsur
lemak tubuh yang relatif sama besar.

Manakala dari segi fizikal pula, kekurangan melakukan aktiviti atau kegiatan fizikal seperti
sukan juga salah satu daripada puncanya berlakunya masalah obesiti. Sebagaimana yang diketahui
kita, penyertaan dalam aktiviti fizikal yang kerap memberi banyak faedah dari segi kesihatan tubuh
badan, sosial dan emosi serta boleh mengurangkan insiden penyakit-penyakit kronik, dimana ia
dapat menyumbang ke arah pencapaian kecergasan yang lebih baik dan kesejahteraan
keseluruhannya. Dalam hal ini, aktiviti fizikal seperti senaman sangat perlu untuk mengatasi dan
menghindarkan diri daripada gejala obesiti. Dengan menjalankan aktiviti senaman, kalori dalam
tubuh badan dapat dibakar. Kurang melakukan aktiviti fizikal akan menyebabkan proses
pembakaran kalori terganggu. Umumnya, kandungan kalori yang berlebihan yang tidak diimbangi
dengan aktiviti fizikal akan menyebabkan tubuh menjadi gemuk dan berisi. Dengan melakukan
sukan atau riadah, barulah banyak tenaga akan digunakan dan lemak yang berlebihan juga akan
dibakar. Memang tidak boleh disangkal bahawa seseorang yang kurang bersenam dan kurang
melakukan aktiviti lebih mudah untuk mendapat obesiti berbanding dengan mereka yang kerap
bersenam kerana semakin banyak bersukan, semakin banyak kalori yang akan hilang.

Di samping itu, pemodenan yang telah memudahkan kerja seseorang dan perkembangan
teknologi yang telah mencipta pelbagai jenis peralatan canggih juga banyak menyumbang kepada
masalah obesiti kerana ia menggalakkan seseorang untuk menjadi pasif dan tidak banyak bergerak.
Kerja yang dahulunya memerlukan tenaga sekarang sudah menjadi lebih mudah. Lagipun, mereka
lebih banyak dan suka meluangkan masa dengan alat teknologi dan laman sosial yang tidak banyak
menggunakan tenaga. Di dalam keadaan yang serba selesa ini, lemak mudah termendap dalam tisu
badan dan akhirnya menjadikan seseorang kanak-kanak gemuk.

Hadirin sekalian,

Faktor lingkungan atau persekitaran ternyata juga mempengaruhi seseorang untuk menjadi
gemuk. Jika seseorang dibesarkan dalam lingkungan yang menggangap gemuk sebagai simbol
kemakmuran dan keindahan, maka orang tersebut akan cenderung untuk menjadi gemuk. Selagi
pandangan tersebut tidak dipengaruhi oleh faktor luaran, maka orang yang obesiti tidak akan
mengalami masalah-masalah psikologi berkaitan dengan kegemukan.

Selain itu, penambahan berat badan juga berhubungkait apabila berlakunya tekanan emosi
dalam diri seseorang terutamanya mereka yang berada dalam keadaan stres yang berpanjangan.
Tekanan yang dihadapi oleh pelajar kita pada hari ini cukup terbeban, contohnya kesesakan
lalulintas, bebanan kerja rumah sekolah yang banyak, peperiksaan dan ujian, pencemaran bunyi,
penyakit, kebosanan, masalah keluarga dan masalah-masalah lain yang bersangkut paut. Hasil
daripada perubahan kimia dalam badan, seseorang cenderung untuk makan lebih banyak
terutamanya makanan yang yang boleh menyenangkan dan mententeramkan hati apabila
seseorang itu di bawah keadaan tertekan. Dalam keadaan sebegini, sudah semestinya seseorang
tidak lagi menghiraukan apa yang mereka makan dan kaitannya dengan keperluan badan.
Biasaanya, makanan yang tidak sihat seperti makanan manis dan berperisa akan menjadi pilihan
utama mereka. Pengambilan makanan yang tidak dikawal sebegini akan menyebabkan
peningkatan berat yang mendadak.

Kesimpulannya, memang banyak faktor penyumbang yang mengakibatkan gejala obesiti


berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah. Masalah obesiti yang berleluasa ini menunjukkan tahap
kesedaran masyarakat kita yang masih amat berkurangan. Secara jujurnya, obesiti dalam kalangan
pelajar bukan lagi satu ciri-ciri kecomelan malah merupakan satu masalah kesihatan yang amat
membimbangkan, dimana ia bukan satu keadaan yang boleh diambil ringan. Fenomena 5G iaitu
Gebu, Gemuk, Gempal, Gendut dan Gelebar akan berleluasa di segenap peringkat umur
masyarakat kita, terutamanya di kalangan pelajar yang bakal menerajui pemerintahan dan
pembangunan negara Malaysia. Malah yang lebih membimbangkan adalah 1001 penyakit kronik
yang dikaitkan dengan obesiti, contohnya diabetes melitus, hipertensi, hiperkolesterol, kanser usus
(kolorektal) dan lain-lain penyakit lagi bakal dihadapi sekiranya krisis kesihatan ini tidak
dipandang serius.

Justeru itu, minda yang peka dan sensitif terhadap isu pemakanan dan gaya hidup yang
sempurna haruslah dipupuk dalam kalangan pelajar bagi memastikan permasalahan yang berkait
rapat dengan obesiti ini dapat dijauhi daripada golongan pelajar. Kehidupan yang betul dan
berkualiti dengan amalan pemakanan yang sihat harus dicorakkan agar segala masalah yang
berkaitan dengan obesiti ini dapat dihindari. Maklumat dan pemahaman yang jelas tentang isu
pemakanan dan diet juga perlu dititik beratkan pada setiap pelajar.

Tuntasnya, setiap individu perlu menjaga kesihatan diri sendiri secara berdisipin dengan
melakukan senaman dan mengamalkan pemakanan seimbang. Kata-kata hikmat mencegah sesuatu
penyakit adalah lebih baik daripada merawatnya perlulah dijadikan pedoman dan amalan.
Akhirnya, saya berharap agar ceramah ini dapat memberikan kesedaran kepada hadirin sekalian
tentang pentingnya menjaga kesihatan diri. Sebelum saya mengakhiri ceramah ini, saya ingin
meminta maaf sekiranya terdapat salah dan silap dalam kata-kata yang tidak saya sengajakan.
Sekian, terima kasih.
RUJUKAN

1. http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20120812/kn_01/Obesiti---ibu-segala-penyakit

2. http://www.eserikasih.com/panduan-menurunkan-berat-badan#ixzz2uLgW3rBm

3. http://anizyn.blogspot.com/2008/01/pemakanan-sihat-untuk-remaja.html#ixzz2uLIQnh16

4. http://www.ibd.utm.my/rcentre/download_view.php?download=4152

5. http://www.myhealth.gov.my/index.php/my/kegemukan-obesiti

6. http://www.pelitabrunei.gov.bn/rencana/item/8599-menangani-masalah-obesiti

You might also like