Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Kurikulum kanak-kanak pada peringkat awal perlu seimbang yakni merangkumi

minat, keperluan, kebolehan, dan gaya pembelajaran kanak-kanak agar mereka


dapat mencapai perkembangan yang menyeluruh. Rentetan daripada itu, Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) telah menyepadukan enam tunjang dalam
kerangka KSPK 2017 iaitu Tunjang Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai;
Kemanusiaan; Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi; dan
Keterampilan Diri. Dalam Tunjang Sains dan Teknologi, penekanan diberikan
merangkumi awal sains, awal matematik, dan aktiviti pembinaan menggunakan objek
seperti blok dan penggunaan ICT. Awal Matematik membekalkan pengalaman awal
matematik kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun. Awal matematik diberi
penekanan dari peringkat prasekolah kerana matematik merupakan wadah terbaik
untuk mengembangkan intelektual individu dalam membuat penaakulan logik,
visualisasi ruang, analisis dan pemikiran abstrak. Kanak-kanak mengembangkan
kemahiran numerasi, penaakulan, cara berfikir dan menyelesaikan masalah melalui
pembelajaran dan aplikasi matematik. Pengukuhan konsep-konsep asas matematik
harus dibuat di peringkat awal persekolahan melalui pembelajaran secara aktif,
berunsurkan penerokaan melalui uji kaji, penemuan, manipulasi dan perbincangan.
Awal matematik membekalkan pengalaman awal matematik termasuk konsep
pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk
dan ruang.kepada kanak-kanak prasekolah. Kemahiran pranombor merupakan
kemahiran yang paling awal yang perlu diperkenalkan kepada kanak-kanak sebelum
konsep nombor kerana penting untuk membina sikap positif terhadap matematik.
Konsep pranombor terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pengelasan,
perbandingan, seriasi, padanan satu dengan satu, pola dan keabadian. Dalam
kurikulum ini, ada digariskan standard kandungan bagi mengecam corak berulang
dan membina pola. Kandungan yang ditetapkan termasuklah mengecam dan meniru
corak berulang bagi kanak-kanak 4+ tahun dan mengecam, melengkapkan dan
membina pola dan corak berulang bagi kanak-kanak 5+ tahun. Keupayaan untuk
mengecam pola merupakan aspek yang amat penting dalam pembelajaran
matematik awal yang landasan ke arah pemikiran matematik yang lebih tinggi
(Sharifah Norul Akmar Syed Zamri dan Nor Adlina Mohd Fadhil, 2014). Dalam
pengajaran pola, pendedahan awal perlulah diberikan kepada dimensi warna kerana
kanak-kanak paling mudah mengecam pola dalam dimensi ini. Seterusnya, guru
bolehlah mengembangkan pengetahuan kanak-kanak berhubung pola ini dengan
mempelbagaikan dimensi pola kepada bentuk, objek, huruf dan nombor. Kedua, guru
boleh memulakan langkah pertama untuk mengenalkan aspek pola ini dengan
menggunakan aturan selangan mudah seperti ABBABB kerana aturan ini paling
mudah dikenalpasti oleh kanak-kanak. Seterusnya, aspek aturan pola ini boleh
dikembangkan lagi kepada aturan pola yang lebih sukar seperti aturan selangan
pertambahan bagi meningkatkan tahap pemikiran kanak-kanak. Seterusnya, konsep
nombor mula diperkenalkan apabila kanak-kanak berjaya menguasai konsep
pranombor. Nombor memainkan peranan yang penting dalam menguasai
pembelajaran matematik prasekolah kerana digunakan untuk menyelesaikan operasi
nombor yang melibatkan operasi tambah dan tolak. Kandungan matematik awal
mengehadkan pembelajaran operasi tambah dan tolak dalam lingkungan 18 sahaja
kerana pada peringkat prasekolah, operasi tambah dan tolak hanya melibatkan satu
digit.
Perkembangan kognitif kanak-kanak berlaku pada kadar yang sangat pantas
dalam lingkungan empat hingga lapan tahun dengan pembinaan pengetahuan
matematik berdasarkan pengalaman dan pendedahan yang diperoleh daripada
persekitaran kehidupan seharian. Menurut Mohd Daud Hamzah (1996), kanak-kanak
mempelajari matematik melalui kegiatan seharian tertentu. Kanak-kanak peringkat
prasekolah telah mampu menunjukkan kefahaman tentang bilangan dan konsep
keabadian nombor jika mereka didedahkan dengan pengalaman persekitaran yang
sesuai bagi mencabar minda mereka Gelman & Gallistel (1978). Asas perkembangan
matematik kanak-kanak bermula daripada pengalaman mereka berkaitan benda-
benda konkrit atau objek yang mengandungi kuantiti dan kualiti objek seperti warna,
saiz dan bentuk yang berbeza-beza serta memanipulasi nombor-nombor yang ada di
sekeliling mereka. Oleh sebab pemikiran kanak-kanak bersifat konkrit, mereka mesti
diberi peluang untuk mengalami perhubungan matematik melalui manipulasi objek
konkrit melalui bermain dengan benda yang mereka boleh mengira dan menyusun.
Mereka boleh mengelas bahan mainan mengikut bentuk, warna serta mampu
menyatakan kuantiti seperti banyak atau sedikit. Penggunaan bahan juga dapat
meningkatkan minat kanak-kanak dan dapat mengurangkan rasa bosan (Norma Binti
Haji Hassan, 2004).
Kandungan kurikulum awal matematik turut menekankan konsep bentuk dan
ruang. Dalam menjalani rutin harian di prasekolah seperti menyusun kasut dan beg
di atas rak merupakan salah satu aktiviti yang memenuhi standard pembelajaran
meletakkan objek pada kedudukan tertentu. Melalui hal ini, guru serta pembantu
pengurusan murid perlu bijak memanipulasi rutin harian yang dilaksanakan oleh
murid sebagai satu bentuk pembelajaran. Hal ini demikian kerana penguasaan
konsep matematik awal kanak-kanak hanya akan berlaku apabila kanak-kanak
membina pengetahuan matematik mereka melalui kombinasi perkembangan kognitif
dan interaksi dengan persekitaran dalam kehidupan harian (Euegene, 2009).
Pembelajaran konsep matematik dipelajari secara tidak formal melalui penerapan
konsep matematik dalam rutin harian.
Konklusinya, peringkat awal pemerolehan kemahiran matematik adalah
penting kerana akan mempengaruhi persepsi dan sikap kanak-kanak terhadap
pembelajaran matematik sepanjang hayat mereka. Guru hendaklah melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran secara tersusun bagi mencapai standard
pembelajaran yang dihasratkan dan memastikan pengalaman pembelajaran yang
bermakna, menggembirakan, berkesan serta memberi motivasi kepada murid untuk
belajar. Hakikatnya asas matematik telah diperoleh dalam pengalaman kehidupan
tetapi guru perlu membina hubungan antara pengetahuan yang dibawa oleh murid-
murid dengan yang diajar dalam bilik darjah untuk memastikan keberkesanan
pendidikan matematik peringkat awal. Pengintegrasian pengajaran matematik dalam
aktiviti lain seperti melibatkan rutin harian kanak-kanak akan lebih memberi kesan
dan rangsangan kepada pemikiran matematik kanak-kanak dan menjadikannya satu
pembelajaran konsep yang lebih bermakna. Justeru, konsep-konsep ini perlu diajar
bersesuaian dengan peringkat perkembangan kanak-kanak kerana merupakan
komponen penting dalam pengajaran matematik awal peringkat prasekolah.

You might also like