Dunia Maritim Melayu Dalam Perundangan Melayu Tradisional

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 6

Dunia Maritim Melayu dalam Perundangan Melayu

Tradisional

Muhd Norizam Jamian


Pusat Kelestarian Warisan dan Kebitaraan Melayu
Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Makalah ini mengupas dunia maritim di Alam Melayu berdasarkan teks-teks


perundangan Melayu tradisional. Masyarakat Melayu sebelum kedatangan Barat
merupakan sebuah masyarakat berasaskan kelautan. Kepentingan budaya hidup
kelautan di Alam Melayu menyebabkan beberapa bentuk undang-undang adat
yang berasaskan laut telah digubal dengan tujuan untuk mengawal keselamatan
dan keamanan pelayaran serta menguruskan tatacara hal ehwal perdagangan.
Melalui pendekatan kualitatif, tulisan ini menganalisis kandungan beberapa buah
naskhah perundangan laut Melayu untuk melihat kehebatan peradaban
masyarakat Melayu maritim. Naskhah-naskhah yang digunakan ialah Undang-
undang Laut Melaka, Undang-undang Kedah, Undang-undang Laut Mengkasar, Undang-
undang Laut Bima, Undang-undang Indragiri, Undang-undang Perahu, Undang-undang
Belayar, Hukum Kanun Brunei, Adat Aceh dan Adat-adat Kapal. Hasil analisis
memaparkan pelbagai aspek dunia maritim Melayu seperti struktur sosial, sistem
ekonomi, peraturan kesalahan jenayah, pengaruh Islam dan konsep kebebasan
pelayaran. Ternyata kandungan karya sastera undang-undang Melayu tradisional
membuktikan kehebatan dan keunggulan peradaban Melayu sebagai kuasa
maritim di rantau ini.

Kata kunci: alam Melayu; dunia maritim; naskhah perundangan tradisional;


Nusantara; perdagangan.

Pengenalan

Laut merupakan nadi kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Masyarakat Melayu menganggap
laut sebagai fokus kehidupan sementara tanah besar pula merupakan laluan dekat yang
menghubungkan laut (Andaya 2010). Hubungan erat dengan laut menyebabkan kawasan sekitar
laut, pulau dan teluk, termasuk pesisir pantai, tanjung, kuala dan muara menjadi tapak
petempatan awal masyarakat Melayu. Kawasan tersebut kemudiannya membentuk negara kota
sebelum berkembang menjadi kerajaan awal dan pusat ketamadunan Alam Melayu yang
berteraskan kegiatan ekonomi perdagangan serta pelabuhan kapal. Peta Alam Melayu turut
melakar pelbagai laluan yang dikenali sebagai Laut Melayu merangkumi Selat Melaka, Laut Jawa,
Laut Banda, Laut Maluku, Laut Sulawesi, Laut Sulu dan Laut China Selatan (Nordin Husin 2011).
Pada zaman kegemilangannya, Laut Melayu menjadi pusat laluan kapal dagang yang sentiasa
Kelestarian Warisan dan Kebitaraan Melayu

berulang-alik antara sebuah pelabuhan dengan pelabuhan yang lain seperti Srivijaya, Mataram,
Patani, Melaka, Aceh, Palembang, Riau, dan Singapura. Kepentingan budaya hidup kelautan di
Alam Melayu menyebabkan beberapa bentuk undang-undang adat yang berasaskan laut telah
digubal dengan tujuan untuk mengawal keselamatan dan keamanan pelayaran serta menguruskan
tatacara hal ehwal perdagangan (Jelani Harun 2013).

Undang-undang laut Melayu tradisional bermula dalam bentuk lisan, diamalkan secara
warisan turun-temurun dalam bentuk adat dan mengalami perubahan demi perubahan selaras
dengan perkembangan masyarakat (Jelani 2008). Kedatangan Islam telah meneruskan
kelangsungan perundangan adat ini secara bentuk bertulis dengan penerapan roh keislaman
dalam aturan kehidupan bermasyarakat. Sehubungan itu muncul karya-karya perundangan
bertulis seperti Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang Kedah, Undang-undang Laut Mengkasar,
Undang-undang Laut Bima, Undang-undang Indragiri, Undang-undang Perahu, Undang-undang Belayar,
Hukum Kanun Brunei, Adat Aceh dan Adat-adat Kapal. Karya-karya tersebut menyerlahkan
pengaruh Islam dalam mewarnai perundangan adat yang menjadi amalan masyarakat Melayu.
Pengaruh Islam ini bukan sahaja dalam bentuk luaran tetapi juga pengisian yang mencakupi
pelbagai aspek tatacara kehidupan seperti siyasah (pentadbiran), jinayah (jenayah), munakahah
(perkahwinan dan kekeluargaan) dan termasuklah muamalah (perniagaan). Dalam konteks
undang-undang laut Melayu tradisional, sistem muamalah Islam menjadi asas pengisian dengan
bersendikan maqasid syariah. Muamalah dalam perundangan laut Melayu tradisional menetapkan
peraturan atau tatacara dalam perhubungan sesama manusia bagi memenuhi keperluan masing-
masing berlandaskan syariat Allah SWT yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam.

Alam Melayu dan Dunia Maritim

Hubungan masyarakat Melayu tradisional dengan laut amat erat dan tidak dapat dipisahkan.
Tautan ini dapat dilihat dari tiga aspek iaitu petempatan, negara kota dan geografi. Dari segi
petempatan, masyarakat Melayu sudah lama mendiami persekitaran laut. Kawasan-kawasan
seperti pulau, teluk, pesisir pantai, tanjung, kuala dan muara menjadi tempat untuk dihuni.
Kawasan tersebut agak strategik kerana pengangkutan air menjadi pilihan utama pada zaman
dahulu.

Petempatan-petempatan awal ini kemudiannya berkembang menjadi sebuah negara kota.


Kawasan tersebut dengan pesat bertukar menjadi pusat kegiatan perdagangan dan pelabuhan
kapal. Muncul beberapa buah negara kota bersifat maritim di alam Melayu seperti Srivijaya,
Mataram, Patani, Melaka, Aceh, Palembang, Riau dan Makassar.

Perkembangan ini turut didorong oleh kedudukan geografi alam Melayu yang strategik.
Wilayah alam Melayu menjadi penghubung antara dunia Timur dan Barat. Laut Melayu yang
merangkumi Selat Melaka, Laut Banda, Laut Maluku, Laut Jawa, Laut Sulawesi, Laut Sulu dan
Laut China Selatan menjadi pusat laluan kapal dan perahu dagang. Para pedagang dari China,
India dan Timur Tengah dapat berkumpul dan berdagang di pusat-pusat perdagangan dan
pelabuhan yang terdapat di alam Melayu yang terlindung dari tiupan angin monsun.

Kepesatan aktiviti ekonomi berasaskan perdagangan maritim ini menyebabkan keperluan


terhadap kewujudan suatu peraturan atau garis panduan yang bersifat perundangan. Sehubungan
itu undang-undang laut telah digubal di alam Melayu bermula dengan Undang-undang Laut Melaka
sebagai prototaip dan diikuti oleh perundangan laut lain yang digubal oleh kerajaan-kerajaan

28
Prosiding Pusat Kelestarian Warisan dan Kebitaraan Melayu (BAYU 2018)
Bilik Mesyuarat BAYU | 18 Julai 2018

Melayu kemudiannya. Antara naskhah perundangan laut lain ialah Undang-undang Kedah, Undang-
undang Laut Mengkasar, Undang-undang Laut Bima, Undang-undang Indragiri, Undang-undang Perahu,
Undang-undang Belayar, Hukum Kanun Brunei, Adat Aceh dan Adat-adat Kapal.

Kewujudan perundangan laut ini penting bagi memastikan aktiviti perdagangan yang
berlangsung ketika itu diuruskan dengan baik dan sistematik. Hal-hal seperti tatacara jual beli,
sukatan dan timbangan serta percukaian merupakan antara perkara yang terkandung dalam
naskhah perundangan tersebut. Selain itu, karya undang-undang laut Melayu tradisional juga
berperanan mengawal keamanan dan memastikan keselamatan sepanjang pelayaran di lautan.
turut ditekankan ialah peranan dan tanggungjawab setiap isi kapal seperti nakhoda, mualim, dan
anak kapal.

Dunia Maritim Melayu dalam Naskhah Perundangan Melayu Tradisional

Paparan dunia maritim Melayu boleh dilihat dalam pelbagai teks undang-undang Melayu
tradisional. Keunggulan peradaban Melayu yang menguasai dunia kelautan boleh dicerap dari
pelbagai sudut seperti struktur sosial, sistem ekonomi, peraturan kesalahan jenayah, pengaruh
Islam dan konsep kebebasan pelayaran.

Struktur sosial

Sebagaimana struktur sosial masyarakat Melayu tradisional yang bersifat hierarki, struktur sosial
di atas kapal juga adalah serupa. Undang-undang Laut Melaka menggambarkan susun lapis di atas
kapal yang melibatkan nakhoda, jurumudi, mualim, tukang dan awak-awak. Setiap isi kapal ini
mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu. Nakhoda bertindak seperti raja, menduduki
hierarki tertinggi dan berkuasa penuh di atas kapal sepanjang pelayaran. Jurumudi
bertanggungjawab memastikan kapal berada di haluan yang betul. Mualim pula menjadi “mata”
pelayaran – seorang yang mahir ilmu pelayaran seperti mengetahui masa sesuai untuk berlayar,
arah tiupan angin, menduga kedatangan ribut atau ombak serta mengetahui kawasan laut dalam
atau berbatu karang dan sebagainya.

Kiwi pula berperanan memastikan keselamatan barang dagangan yang tersimpan dalam
petak. Seorang jurumasak bertugas menjaga hal makanan sepanjang pelayaran. Awak-awak atau
kelasi pula perlu siap sedia melaksanakan segala arahan nakhoda.

Sistem ekonomi

Teks perundangan laut Melayu turut melakarkan bentuk sistem ekonomi yang diamalkan oleh
masyarakat Melayu maritim. Undang-undang Laut Melaka dan Undang-undang Kedah memperincikan
aktiviti perdagangan yang berlangsung di samping memaparkan aturan jual beli, cukai, upah,
denda, sewa kapal dan pemilikan barang dagangan.

Peraturan kesalahan jenayah

Paparan mengenai peraturan kesalahan jenayah turut menjadi inti pati dalam karya perundangan
Melayu. Kesalahan-kesalahan seperti menderhaka, khianat, mencuri, bergaduh dan membunuh
diperuntukkan hukuman tertentu yang berat.

29
Kelestarian Warisan dan Kebitaraan Melayu

Pengaruh Islam

Naskhah undang-undang Melayu tradisional juga memperlihatkan kuatnya elemen pengaruh


Islam. Sesetengah hukuman yang diperuntukkan jelas selaras dengan aturan syarak. Misalnya bagi
hukuman berzina, dihukum bunuh jika pasangan yang melakukan hubungan adalah pasangan
yang pernah berkahwin.

Konsep kebebasan pelayaran

Karya perundangan laut Melayu tradisional juga mencitrakan konsep mane liberum atau kebebasan
pelayaran. Hal ini bermakna para pedagang – sama ada dia berasal dari kepulauan Melayu atau
dari Arab, India, Cina dan sebagainya – bebas berlayar dan berdagang di alam Melayu. Tiada
sebarang monopoli diamalkan oleh mana-mana kerajaan terhadap sesuatu aktiviti perdagangan.
Selain itu, tidak terdapat juga sebarang sekatan yang dikenakan terhadap mana-mana pedagang
yang datang berdagang di Nusantara. Setiap pedagang sebaliknya akur dan menerima sistem
perundangan laut yang diamalkan di alam Melayu.

Kesimpulan

Kandungan karya sastera undang-undang Melayu tradisional mencerminkan kehebatan dan


keunggulan peradaban Melayu sebagai kuasa maritim di rantau ini. Naskhah perundangan Melayu
ini menggambarkan pelbagai aspek dunia maritim Melayu seperti struktur sosial, sistem ekonomi,
peraturan kesalahan jenayah, pengaruh Islam dan konsep kebebasan pelayaran.

Rujukan

Abu Hassan Sham & Mariyam Salim. 1995. Sastera Undang-undang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Abu Hassan Sham. 1972. Undang-undang Melayu Lama: Tumpuan Khas HKM dan Undang-
undang yang di Bawah Pengaruhnya. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Ahmad Jelani Halimi. 2006. Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Andaya, Leonard Y. 2010. Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka.
Singapore: NUS Press.
Braginsky, V.I. 1993. The System of Classical Malay Literature. Leiden: KITLV Press.
Braginsky, V.I. 1994b. Nada-nada Islam dalam Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Braginsky, V.I. 1998. Yang Indah, Berfaedah dan Kamal: Sejarah Sastera Melayu dalam Abad 7-19.
Jakarta: INIS.
Bryman, Alan. 2001. Social Research Methods. New York: Oxford University Press.
Hamdan Hassan. 1980. “Pertalian Pemikiran Islam Malaysia-Aceh”, dalam Tamadun Islam di
Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.

30
Prosiding Pusat Kelestarian Warisan dan Kebitaraan Melayu (BAYU 2018)
Bilik Mesyuarat BAYU | 18 Julai 2018

Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham, Abdul Rahman Kaeh &
Jamilah Haji Ahmad. 2000. Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Hooker, M.B. (peny.). 1970. Readings in Malay Adat Laws. Singapura: Singapore University Press.
Hooker, M.B. 1968. A note on the Malayan legal digests. Journal of the Malaysian Branch of the Royal
Asiatic Society 41(1): 157-163.
Hooker, M.B. 1975. Legal Pluralism: An Introduction to Colonial and Neo-colonial Laws. Oxford:
Clarendon Press.
Hooker, M.B. 1984. Islamic Law in South East Asia. Singapura: Singapore University Press.
I Nyoman Nurjaya. 2005. Reorientasi Tujuan dan Peranan Undang-undang dalam Masyarakat
Multi Budaya: Perspektif Antropologi Undang-undang. Jurnal Undang-undang dan
Masyarakat 9(2005): 95-106.
Jelani Harun. 2008. Undang-undang Kesultanan Melayu dalam Perbandingan. Pulau Pinang: Penerbit
Universiti Sains Malaysia.
Liaw Yock Fang (pngr.). 2003. Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut. Kuala Lumpur:
Yayasan Karyawan.
Liaw Yock Fang. 1976. Undang-undang Melaka. The Hague: Martinus Nijhoff.
Mariyam Salim. 2005. Undang-undang Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif & Ruzian Markom. 2013. Peranan dan Kedudukan Majlis
Penasihat Shariah untuk Memperkasakan Sistem Kewangan Islam di Malaysia. Jurnal
Pengurusan 38(2013): 127 - 132.
Muhammad Taqi Usmani. 2002. An Introduction to Islamic Finance. Hague: Kluwer Law
International.
Muhd Norizam Jamian & Shaiful Bahri Md Radzi. 2013. In search of a just leader in Islamic
perspective: An analysis of traditional Malay literature from the perspective of adab.
Asian Social Science (9)6.
Muhd Norizam Jamian & Shaiful Bahri Md Radzi. 2016. Traditional Malay Literature and the
Generation of Knowledge. Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities (24)S: 87-96.
Muhd Norizam Jamian, Mohd Yuszaidy Yusoff, Muammar Ghaddafi Hanafiah & Yusmilayati
Yunos. 2017. Keadilan teras kepimpinan Raja-raja Melayu: Dari era tradisi ke
kontemporari. Jurnal Melayu (16)1: 62-81.
Muhd Norizam Jamian. 2012. Kesusasteraan Melayu Tradisional dari Perspektif Adab: Suatu
Perbincangan Pemikiran Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Tesis Sarjana Falsafah.
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nabil A. Saleh. 1992. Unlawful Gain and Legitimate Profit in Islamic Law. 2nd. Ed. London: Graham
& Trotman.
Nik Abdul Rashid Majid. 1991. Peranan Undang-undang dalam Memupuk Perpaduan Negara.
Seminar Undang-undang dan Masyarakat Keempat, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi, 5 Januari.
Raffles, T. 1816. On the Malayu Nation, with a translation of its maritime institutions. Asiatic
Researches 12: 102-159.

31
Kelestarian Warisan dan Kebitaraan Melayu

Razali Nawawi. 1993. Commercial Transactions: Islamic Law Perspective. Petaling Jaya: International
Islamic University Malaysia.
Rigby, J. 1908. The Ninety-Nine Laws of Perak. Dlm. R.J. Wilkinson (ed.). Papers on Malay Subjects
(Part II), hlm. 1-86.
Ronkel, Ph. S. Von. 1919. Risalat Hoekoem Kanoem Jaitoe Oendang-oendang Melaka. Leiden: E.J. Brill.
Sahlan Mohd Saman & Shaiful Bahri Md Radzi (ed.). 2005. Persuratan Melayu: Tradisional ke Moden.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siti Hawa Haji Salleh. 1997. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1969. Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization
of the Malay-Indonesian Archipelago. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 1990. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Petaling Jaya:
Angkatan Belia Islam Malaysia.
Tibbetts, G.R. 1957. Early Muslim Traders in South-East Asia. Journal of the Malaysian Branch of the
Royal Asiatic Society 30(1).
Winstedt, R.O. & Josselin de Jong, P.E. 1956. The maritime laws of Malacca. Journal of the
Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 29(3): 22-59.
Winstedt, R.O. 1928. Kedah laws. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 4(2): 1-
44.
Winstedt, R.O. 1939. A history of Malay literature, with a chapter on modern developments by
Zainal Abidin bin Ahmad. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society 17(3): 1-
243.
Winstedt, R.O. 1969. A History of Classical Malay Literature. Kuala Lumpur: Oxford University
Press.

32

You might also like