Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 14

1.

0 PENDAHULUAN

Pendidikan inklusif merupakan pendidikan yang memberi peluang kepada murid


berkeperluan khas untuk belajar bersama murid normal dalam kelas arus perdana. Murid
berkeperluan khas yang diinklusifkan berpeluang untuk belajar bersama dan berinteraksi
bersama murid normal. Pendidikan inklusif diwujudkan berdasarkan beberapa prinsip seperti
mengajar semua murid, menghadap prasangka dan mempromosi keadilan sosial. Prinsip-
prinsip ini memberi penekanan kepada keadilan dan kepelbagaian murid dalam menuntut
ilmu. Oleh itu, pendidikan inklusif wajar dilaksanakan untuk membuka peluang pendidikan
kepada murid berkeperluan khas.

Meskipun belajar bersama murid normal di dalam kelas arus perdana, sesi
pengajaran dan pembelajaran murid berkeperluan khas menggunakan Rancangan
Pengajaran Individu (RPI) yang dirancang bersama melalui perbincangan antara guru
Pendidikan Khas, guru arus perdana dengan persetujuan daripada ibu bapa murid
berkeperluan khas. Strategi dan pendekatan pengajaran yang digunakan untuk murid
berkeperluan khas juga perlu bersesuaian dengan objektif yang ingin dicapai dan tahap
kognitif serta keupayaan pembelajaran murid berkeperluan khas. Strategi dan pendekatan
yang digunakan untuk murid normal tidak semestinya sesuai digunakan untuk murid
berkeperluan khas kerana tahap keupayaan pembelajaran yang berbeza. Penggunaan
bahan bantu mengajar yang sesuai juga perlu digunakan bagi memudahkan murid
berkeperluan khas untuk mencapai objektif yang telah ditentukan.

Namun begitu, pendidikan inklusif di sekolah tidak hanya perlu dilaksanakan oleh
para guru semata-mata tetapi juga merupakan tanggungjawab pihak-pihak berkepentingan
seperti pihak pentadbir sekolah, ibu bapa, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan.
Kolaborasi antara pihak ini membantu dalam memenuhi keperluan pendidikan murid
berkeperluan khas. Murid berkeperluan khas dapat menuntut ilmu dan belajar
menyesuaikan diri tanpa halangan.
2.0 PENULISAN AKADEMIK

Pendidikan inklusif merujuk kepada program pendidikan yang memberi peluang kepada
murid berkeperluan khas (MBK) untuk belajar bersama murid normal dalam kelas arus
perdana. Menurut Ab Aziz Sulaiman & Siti Rubiyani Omar (2018), PPI adalah singkatan
kepada program Pendidikan Inklusif iaitu kelas yang dihadiri oleh MBK bersama-sama murid
lain dan mengikuti kurikulum arus perdana. Murid berkeperluan khas akan belajar
menggunakan kurikulum yang digunakan oleh murid normal dan dapat melibatkan diri dalam
sebarang bentuk aktiviti pendidikan dan bukan pendidikan tanpa halangan. Hal ini selari
dengan matlamat pelaksanaan pendidikan inklusif yang menggalakkan penglibatan murid
berkeperluan khas dalam sebarang jenis aktiviti sekolah yang dijalankan bersama murid
arus perdana.

Florian (2005) dalam Ab Aziz Sulaiman & Siti Rubiyani Omar (2018) melihat program
pendidikan inklusif memberi peluang untuk orang tidak berupaya melibatkan diri sepenuhnya
dalam semua aktiviti pendidikan, kerjaya, rekreasi, komuniti dan domestik yang dilakukan
oleh ahli masyarakat. Hal ini bermaksud pendidikan inklusif akan memberi peluang kepada
murid berkeperluan khas untuk melibatkan diri dalam bukan sahaja aktiviti pendidikan tetapi
juga aktiviti kemasyarakatan yang bakal membantu mereka untuk menyesuaikan diri dalam
kehidupan bermasyarakat kelak. Menurut Lee Keok Cheong & Sailajah Nair Sukumaran
(2018), PPI juga memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya tidak menafikan
potensi murid berkeperluan khas dan percaya bahawa ketidakupayaan mereka boleh
diminimumkan jika diberi peluang yang sama. Hal ini menunjukkan bahawa dengan
terlaksananya program pendidikan inklusif, masyarakat akan lebih peka terhadap keperluan
murid berkeperluan khas dan tidak memandang rendah terhadap kehadiran dan kebolehan
serta bakat mereka. Sokongan daripada masyarakat akan membantu menggilap bakat dan
kebolehan mereka.

Penglibatan murid berkeperluan khas juga bersesuaian dengan pelaksanaan dasar


kebangsaan yang termaktub dalam Akta 685 di bawah seksyen 28(1) yang menyatakan
bahawa kanak-kanak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan
atas alasan ketidakupayaan. Murid berkeperluan khas perlu diberikan peluang sama rata
dengan murid normal dalam mendapatkan peluang pendidikan. Menurut Harian Metro
(2018), setiap individu di negara ini mempunyai hak sama rata untuk menikmati kualiti
pendidikan sempurna. Ketidakupayaan dan keterbatasan yang dialami oleh murid
berkeperluan khas tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak memberikan pendidikan
kepada mereka kerana dasar pendidikan negara tidak hanya merangka dasar dan kurikulum
bagi murid normal semata-mata tetapi juga untuk murid berkeperluan khas. Pendidikan yang
diberikan tidak hanya tertumpu kepada pendidikan berbentuk akademik semata-mata tetapi
turut melatih murid berkeperluan khas untuk menguruskan diri dan melibatkan diri dalam
aktiviti yang memerlukan interaksi dengan persekitaran dan masyarakat. Hal ini akan
memastikan tidak berlakunya keciciran murid dan murid berkeperluan khas dapat belajar
bersama murid normal tanpa sebarang kekangan.

Namun begitu, pelaksanaan pendidikan inklusif mempunyai cabaran tersendiri dan


memerlukan perhatian daripada pihak-pihak berwajib untuk turut serta menggembleng
tenaga dalam pelaksanaannya. Pihak-pihak ini mempunyai peranan dan tanggungjawab
masing-masing serta perlu dilaksanakan agar polisi pendidikan inklusif dijalankan
berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan. Antaranya adalah pihak pentadbir
sekolah yang perlu memantau pelaksanaan pendidikan inklusif dari semasa ke semasa.
Pentadbir sekolah merujuk kepada guru besar yang juga bertindak sebagai pengerusi
organisasi yang bertanggungjawab untuk menubuhkan dan menggerakkan Jawatankuasa
Program Pendidikan Khas Sekolah. Pelaksanaan pendidikan inklusif memerlukan sokongan
tidak berbelah bahagi daripada pihak pentadbir bagi memastikan pelaksanaan yang efektif
dan berkesan. Pendidikan inklusif akan sukar diimplementasikan tanpa sokongan daripada
guru besar kerana guru besar bertanggungjawab dalam membentuk persekitaran mesra
pendidikan dan mewujudkan komuniti sekolah yang mencintai ilmu. Menurut Lee Keok
Cheong & Sailajah Nair Sukumaran (2018), pengetua yang efektif sentiasa memastikan
bahawa sekolahnya membenarkan orang dewasa dan kanak-kanak meletakkan aktiviti
pembelajaran sebagai aktiviti harian yang penting. Hal ini akan memastikan wujudnya
komuniti sekolah yang memberi sokongan dan peka terhadap kewujudan program
pendidikan inklusif.

Selain itu, guru merupakan individu terpenting dalam pelaksanaan pendidikan inklusif
di sekolah. Guru Pendidikan Khas yang juga merupakan guru resos dan guru arus perdana
perlu berkolaboratif dalam merancang dan melaksanakan sesi pengajaran dan
pembelajaran untuk murid berkeperluan khas. Menurut Ahmad Zailani dalam Murnie Hassan
(2013), guru resos dan guru biasa perlu menggunakan kaedah koperatif dan kolaboratif
dalam mengendalikan kelas inklusif. Guru Pendidikan khas dan arus perdana perlu
membina Rancangan Pengajaran Individu (RPI) secara bersama bagi merancang aktiviti
yang sesuai dan bersesuaian dengan keperluan dan tahap murid berkeperluan khas.
Sebelum diinklusifkan ke kelas arus perdana, guru Pendidikan Khas perlu mengenal pasti
kesediaan murid berkeperluan khas untuk ditempatkan dalam Program Pendidikan Inklusif.
Setelah diinklusifkan, guru arus perdana akan mengambil peranan untuk menerima
kemasukan tersebut. Sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan akan oleh guru arus
perdana berdasarkan Rancangan Pengajaran Individu yang telah dirancang oleh guru
Pendidikan Khas hasil perbincangan dengan guru arus perdana. Penilaian seterusnya akan
dilakukan oleh guru arus perdana dan dilaporkan agar guru Pendidikan Khas dapat
mengambil tindakan susulan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa guru Pendidikan Khas dan
guru arus perdana saling berkait antara satu dengan yang lain dan perlu berkolaboratif bagi
memastikan kelancaran perjalanan Program Pendidikan Inklusif.

Ibu bapa dan murid juga merupakan pihak berkepentingan dalam pelaksanaan
pendidikan inklusif. Murid dan ibu bapa merupakan agen penggerak kepada pelaksanaan
pendidikan inklusif kerana tanpa kehadiran murid berkeperluan khas atau kebenaran
daripada ibu bapa, pendidikan inklusif tidak akan dapat dilaksanakan. Tanpa Program
Pendidikan Inklusif, murid berkeperluan khas akan menghadapi kesukaran untuk
menyesuaikan diri dan berkomunikasi dengan murid normal kerana ketidakupayaan fizikal
dan tahap kognitif yang berbeza. Namun begitu, melalui pelaksanaan Program Pendidikan
Inklusif, murid berkeperluan khas dapat belajar menyesuaikan diri dan berinteraksi dengan
murid lain. Menurut Mohd Najib Ghafar & Sanisah Jahaya (n.d), kajian banyak
menunjukkan bahawa murid-murid yang diletakkan dalam kelas biasa, belajar dengan
kanak-kanak normal, adalah menunjukkan pencapaian yang lebih baik dari mereka yang
diasingkan. Murid berkeperluan khas akan lebih yakin untuk berinteraksi dengan individu
sekeliling dan tidak merasa terdapatnya jurang antara mereka. Anak yang diasingkan
daripada rakan sebayanya yang lain, akan dengan sendirinya memberi kesan kepada diri
mereka dan juga murid-murid yang lain bahawa mereka sememangnya berlainan (Mohd
Najib Ghafar & Sanisah Jahaya, n.d). Oleh itu ibu bapa perlu memainkan peranan dengan
memberi kebenaran kepada murid berkeperluan khas untuk diinklusifkan ke arus perdana
jika mereka layak untuk diinklusifkan selain memberi dorongan dan sokongan yang tidak
berbelah bahagi melalui perkataan dalam bentuk kata-kata motivasi atau perbuatan iaitu
membantu mereka untuk mengulang kaji ketika berada di rumah.

Seterusnya, badan kerajaan dan bukan kerajaan juga mempunyai peranan dan
tanggungjawab tersendiri. Badan kerajaan merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam
memastikan pelaksanaan program pendidikan inklusif di sekolah-sekolah seluruh Malaysia
dan merangka dasar pendidikan inklusif yang akan dilaksanakan. Bahagian Pendidikan
Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia bertanggungjawab membekalkan perkhidmatan
pendidikan kepada murid berkeperluan khas (Lee Keok Cheong & Sailajah Nair Sukumaran,
2018). Tanpa kelulusan dan sokongan daripada badan kerajaan, pendidikan inklusif
mungkin tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Namun begitu, sumbangan dan
perkhidmatan yang disalurkan oleh badan bukan kerajaan juga membantu dalam
pelaksanaan pendidikan inklusif. Pelbagai jenis persatuan telah ditubuhkan oleh badan
bukan kerajaan dan badan korporat bagi membantu individu berkeperluan khas contohnya,
The Malaysian Federation of the Deaf, National Autistic Society of Malaysia dan National
Council for the Blind Malaysia. Badan korporat turut menubuhkan pertubuhan yang
memberikan sumbangan seperti alat pendengaran dan speech therapy di bawah
Kementerian Pendidikan. Kerjasama antarabangsa antara badan kerajaan dengan badan
antarabangsa seperti Japan Oversea Corperation Volunteers (JCOV) juga telah
menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan pendidikan untuk murid berkeperluan
khas di Malaysia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa peranan badan kerajaan dan bukan
kerajaan memberi impak besar kepada pendidikan inklusif negara.

Selain peranan dan tanggungjawab pihak berwajib, faktor kritikal dari aspek
perkhidmatan sokongan serta kolaborasi dan khidmat sokongan badan kerajaan dan bukan
kerajaan turut mempengaruhi kejayaan pelaksanaan pendidikan inklusif. Perkhidmatan
sokongan merujuk kepada empat faktor iaitu faktor peralatan, infrastruktur, masyarakat dan
personel. Peralatan merujuk kepada aspek fizikal sekolah. Keadaan fizikal kelas dan
sekolah perlu bersesuaian dengan keadaan fizikal dan keperluan murid berkeperluan khas.
Sebagai contoh, kerusi dan meja yang disediakan untuk murid berkeperluan khas perlu
mengambil kira ketidakupayaan yang dialami oleh murid tersebut. Menurut Kementerian
Pendidikan Malaysia (2018), murid kurang upaya fizikal merupakan murid yang mempunyai
aras kognitif normal dan mengikuti pembelajaran seperti murid arus perdana dengan
bantuan sokongan serta peralatan pendidikan khas yang sesuai dengan keperluan murid
berkenaan. Sebagai contoh, meja khas mungkin perlu disediakan untuk murid berkeperluan
khas yang mempunyai keterbatasan fizikal tertentu. Susunan kerusi dan meja turut perlu
diberi perhatian. Sebagai contoh, murid dengan ketidakupayaan pendengaran perlu
diletakkan di hadapan kelas agar mereka mudah untuk melihat bahasa tubuh dan gerakan
mulut guru.

Infrastruktur sekolah juga perlu menitikberatkan keperluan murid berkeperluan khas.


Kemudahan-kemudahan untuk murid berkeperluan khas perlu disediakan agar murid ini
dapat bergerak sendiri dan mengurus diri dengan bantuan minima daripada individu lain.
Kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) boleh disediakan oleh pihak sekolah bagi
tujuan ini. Kemudahan tersebut akan dapat membantu murid berkeperluan khas untuk
berdikari. Sebagai contoh, kemudahan infrastruktur yang boleh disediakan oleh pihak
sekolah untuk murid berkeperluan khas adalah tandas OKU, longkang bertutup dan susur
tangan. Penyediaan infrastruktur ini akan dapat menghakis kebimbangan ibu bapa untuk
menghantar murid berkeperluan khas ke sekolah kerana infrastruktur yang disediakan oleh
sekolah menepati keperluan murid berkeperluan khas. Infrastruktur ini bukan sahaja akan
memudahkan pergerakan murid berkeperluan khas tetapi juga akan mewujudkan
persekitaran yang selamat dan bebas daripada bahaya untuk mereka. Selain infrastruktur,
peralatan-peralatan khusus seperti mesin braille dan kanta pembesar juga perlu disediakan
oleh pihak sekolah bagi memudahkan murid berkeperluan khas mengikuti sesi pengajaran
dan pembelajaran kerana menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2018), pelaksanaan
PPI memerlukan infrastruktur yang baik secara fizikal seperti kelas yang kondusif dan
kemmudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU). Infrastruktur juga melibatkan peralatan
sokongan PDP bagi membantu MBK belajar dengan baik. Infrastruktur tidak hanya merujuk
kepada keadaan persekitaran sekolah tetapi juga merujuk kepada peralatan yang dapat
membantu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Faktor masyarakat juga memainkan peranan penting dalam menjayakan pendidikan


inklusif. Aktiviti sekolah yang diadakan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan
daripada masyarakat setempat. Masyarakat setempat merujuk kepada masyarakat yang
terdiri daripada ibu bapa murid, guru, pentadbir sekolah dan masyarakat sekeliling.
Sokongan daripada masyarakat amat diperlukan dalam menjayakan sebarang bentuk aktiviti
sekolah terutamanya aktiviti yang melibatkan murid berkeperluan khas . Justeru itu,
kesediaan ibu bapa untuk melibatkan diri dalam Program Pendidikan Inklusif amat signifikan
kerana mereka merupakan antara tunggak penggerak program ini. Kerjasama daripada ibu
bapa akan membentuk hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak sekolah yang
seterusnya akan memberi manfaat kepada murid di mana pelbagai jenis aktiviti hasil
kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah akan dapat dilaksanakan untuk murid berkeperluan
khas. Aktiviti tersebut turut memerlukan penglibatan guru. Guru perlu melakukan
perancangan rapi dalam merangka pelaksanaan bukan sahaja aktiviti semasa sesi
pembelajaran biasa tetapi juga aktiviti bersama ibu bapa dan masyarakat tersebut. Melalui
pelaksanaan aktiviti tersebut, masyarakat sekeliling akan didedahkan dan diberi kesedaran
mengenai kepentingan pendidikan inklusif dan memadam persepsi negatif masyarakat
terhadap Orang Kurang Upaya (OKU). Pemingkatan kesedaran tersebut akan dapat
membantu penerimaan masayarakat terhadap OKU dan pendidikan inklusif. Menurut
Graham & Spandagou (2011), pentadbir berupaya menyediakan ruang dan peluang untuk
masyarakat setempat dan warga sekolah mengadakan aktiviti-aktiviti yang selaras dengan
matlamat pelaksanaan pendidikan inklusif serta meningkatkan kesedaran masyarakat
tentang kepentingan budaya inklusif.

Seterusnya personel pula merujuk kepada pegawai, kakitangan atau urusan


kakitangan (Kamus Dewan, 2010). Oleh itu, personel membawa maksud pegawai yang
mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Kolaborasi bersama personel dari pelbagai
disiplin ilmu yang mempunyai pengetahuan mengenai pendidikan inklusif amat diperlukan.
Kolaboratif atau kerjasama antara personel pelbagai disiplin dapat membantu ibu bapa dan
guru dalam merancang dan menentukan intervensi dan pendekatan pendidikan yang paling
sesuai untuk memenuhi pelbagai keperluan pembelajaran murid-murid bekeperluan khas
(Lee Keok Cheong & Saijalah Nair Sukumaran, 2018). Hal ini bermaksud sokongan
daripada personel pelbagai disiplin diperlukan bagi menentukan langkah terbaik yang boleh
diambil bagi membantu murid berkeperluan khas memenuhi keperluan mereka dalam
pendidikan. Setiap personel mempunyai kepakaran tersendiri dan memberikan bentuk
sokongan spesifik yang berbeza. Antara personel pelbagai disiplin yang terlibat dalam
pendidikan inklusif adalah pakar audiologi, pakar perkhidmatan bahasa dan pertuturan serta
jurupulih kerja. Contoh skp tugas bagi personel ini adalah sebagai contoh, pakar audiologi
bertanggungjawab untuk mengkaji dan melakukan diagnostik terhadap masalah
pendengaran. Melalui diagnostik tersebut, ibu bapa akan dapat mengetahui masalah dan
tahap kerosakan pendengaran anak mereka. Intervensi seterusnya dapat dilakukan dengan
menyediakan alat pendengaran yang bersesuaian. Dengan diagnostik dan nasihat daripada
pakar tersebut, ibu bapa dapat memberi alat bantuan pendengaran yang bersesuaian
dengan masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Ini jelas menunjukkan bahawa kerjasama
dengan personel pelbagai disiplin membantu memudahkan ibu bapa untuk membuat
keputusan terbaik bagi menangani masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak atau murid
berkeperluan khas.

Akhir sekali, faktor kritikal yang mempengaruhi kejayaan pelaksanaan pendidikan


inklusif dari aspek kolaborasi dan khidmat sokongan badan kerajaan dan bukan kerajaan.
Menurut Kamus Dewan (2010), kolaboratif bermaksud erat dari segi kerjasama antara dua
pihak ataupun lebih. Oleh itu, pihak sekolah perlu berkolaboratif dengan badan kerajaan dan
bukan kerajaan dalam pelaksanaan pendidikan inklusif bagi memenuhi keperluan murid
berkeperluan khas. Antara badan kerajaan yang berkolaboratif dan memberi sokongan
terhadap pendidikan inklusif adalah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia
mempunyai Bahagian Pendidikan Khas yang merancang, mengurus dan menilai
pelaksanaan program pendidikan inklusif yang turut merancang dan menyelaras kursus dan
latihan bagi guru yang terlibat dalam pendidikan inklusif. Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula bertanggungjawab memberi perkhidmatan
pendidikan kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah kecacatan yang tidak
membenarkan kanak-kanak tersebut bersekolah.

Badan kerajaan ini memberi sokongan sepenuhnya terhadap pendidikan inklusif dan
terdapat badan kerajaan yang tidak terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pendidikan
inklusif di sekolah tetapi memberi perkhidmatan pendidikan untuk kanak-kanak dengan
keperluan khas seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
tersebut. Badan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM)
pula membantu menasihati keluarga dengan kanak-kanak Autisme dan bagi pendidikan
inklusif di sekolah, melaksanakan program kolaboratif dengan sekolah seperti Projek Rintis
Pendekatan Inklusif Bagi Murid-murid Autistik yang dilaksanakan di sebuah sekolah rendah.
Hal ini menunjukkan bahawa khidmat sokongan yang diberikan oleh badan kerajaan dan
bukan kerajaan ini tidak hanya memberi sokongan kepada murid berkeperluan khas dalam
pendidikan inklusif di sekolah tetapi juga memberi bantuan kepada individu berkeperluan
khas secara umum.

Tuntasnya, setiap individu berhak untuk mendapatkan pendidikan. Hak murid


berkeperluan khas untuk menuntut ilmu tidak seharusnya dinafikan meskipun mereka
mempunyai tahap pembelajaran yang berbeza berbanding murid normal. Pendidikan inklusif
yang dilaksanakan di sekolah memberi peluang kepada murid berkeperluan khas ini untuk
bersekolah dan seterusnya menyesuaikan diri dengan masyarakat dan belajar menguruskan
diri sendiri. Namun begitu, kejayaan pelaksanaan pendidikan inklusif ini tidak hanya terletak
pada peranan guru semata-mata tetapi juga pihak-pihak lain. Justeru itu, semua pihak perlu
menggembleng tenaga untuk menjayakan pelaksanaan dasar pendidikan ini.
4.0
5.0 RUMUSAN
Kesimpulannya, setiap individu mempunyai hak untuk menuntut pendidikan dan hak
tersebut tidak patut dinafikan. Setiap individu mempunyai keunikan dan kepelbagaian
tersendiri yang patut dihormati. Justeru itu, pendidikan untuk murid berkeperluan khas tidak
sepatutnya dinafikan dengan menjadikan ketidakupayaan mereka sebagai alasan.
Tanggungjawab salam memberikan pendidikan kepada mereka merupakan tanggungjawab
semua pihak. Kehadiran mereka juga perlu diterima dan diraikan dan bukannya disisihkan
serta dipinggirkan.

You might also like