Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 1

PENULIS

Chan Yook Lean dilahirkan pada 22 Februari 1962 di Jitra, Kedah. Kini, beliau bertugas sebagai Ketua
Panitia Matematik (1996 - kini), guru matematik dan Penyelaras Kebitaraan Matematik di Sekolah Kebangsaan
Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan Diploma Perguruan dari Maktab Perguruan
Mohd Khalid, Johor Bahru, Johor pada tahun 1985. Kerjaya beliau sebagai pendidik bermula di Sekolah Jenis
Kebangsaan (Cina) Ming Tee, Kuala Selangor (1986-1988) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kepong 2, Kuala
Lumpur (1989-1990) sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kepong, Kuala Lumpur
pada tahun 1991. Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas sebagai pendidik, beliau diiktiraf sebagai
Guru Cemerlang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak
tahun 1999. Selain peranan di sekolah, beliau merupakan Jurulatih Utama KPM bagi penyebaran Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran KSSR serta Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Matematik Tahun 4 pada
tahun 2013. Beliau juga menjadi Jurulatih Utama Negeri bagi Kursus Conversion Mathematics Sekolah Rendah
pada tahun 2001. Pihak Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) turut menggunakan khidmat beliau sebagai Ahli
Panel Penilai Isi Kandungan Bengkel Penilaian Papan Cerita PPSMI Matematik serta penulis skrip dan pelakon
utama dalam penerbitan VCD sekolah rendah berjudul Best Teaching Practice Mathematics pada tahun 2006.
Pihak Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik turut mengundang beliau sebagai Ahli Panel Forum
Hari Akademik yang bertema “Menjana Kreativiti dan Inovasi dalam Kalangan Guru Permulaan” pada tahun 2012. Penglibatan beliau dengan
pihak DBP bermula pada tahun 2007 sebagai Ahli Panel Jawatankuasa Kawalan Mutu bagi beberapa judul buku teks matematik. Beliau sangat
berpengalaman dalam bidang penulisan buku teks KPM terbitan DBP bermula pada tahun 2010 sebagai penulis bersama buku teks DBP bagi
mata pelajaran Matematik Tahun 1 KSSR. Kepakaran dalam penulisan diteruskan apabila terpilih sebagai penulis bersama Pakej Buku Teks
Matematik Tahun 3 hingga Tahun 6 KSSR. Beliau juga aktif menghasilkan buku rujukan dan buku aktiviti matematik tahap 1 dan tahap 2 terbitan
SASBADI. Sejak tahun 1999 sehinggga kini, beliau menjadi penceramah Teknik Menjawab Soalan Matematik UPSR. Sumbangan besar beliau
dalam pendidikan matematik turut diiktiraf oleh pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menganugerahi beliau
sebagai Guru Inovatif Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1997.

Wan Yusof bin Wan Ngah dilahirkan pada 8 Mei 1961 di Kuala Terengganu, Terengganu. Kini, beliau
bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Unit Pengambilan, Penempatan dan Data Pelajar, Sektor Hal Ehwal
Pelajar dan Hubungan Luar di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Cyberjaya. Antara tugas penting beliau termasuk
Panel Penggubal Kurikulum Matematik bagi Latihan Perguruan Sekolah Rendah, Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM). Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan Matematik (dengan Kepujian) dari Universiti
Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) pada tahun 1987. Kerjaya beliau bermula sebagai guru matematik
di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh, Kuantan. Pada tahun 1991, beliau menjadi pensyarah matematik di
Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, Sarawak. Kecintaan dalam bidang pendidikan matematik telah menyuntik
semangat beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana di University of Adelaide, Australia pada tahun
1997. Setelah tamat pengajian, beliau meneruskan kerjaya sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Perempuan
Melayu Melaka pada tahun 1998. Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan
matematik, beliau dilantik sebagai panel penggubal kurikulum matematik sekolah rendah semasa pelaksanaan
dasar PPSMI, iaitu Intergrated Curriculum for Primary School – Curriculum Specification Mathematics Year 1 dan
Curriculum Specification Mathematics Year 2 pada tahun 2003. Minat dan kebolehan dalam bidang penulisan pula
melayakkan beliau menjadi penulis bahan pendidikan matematik di peringkat pengajian tinggi dan buku-buku teks matematik KPM di peringkat
sekolah rendah. Antara hasil penulisan beliau dengan penulis lain termasuk Modul Pengajaran Pembelajaran Matematik Sekolah Rendah – Nombor
Bulat (DBP, 1998), Modul Pengajaran Pembelajaran Matematik Sekolah Rendah – Nombor Nisbah (DBP, 1998), Pakej Buku Teks Mathematics Year 1
(DBP, 2003), Pakej Buku Teks Mathematics Year 4 (DBP, 2005), Pakej Buku Teks Matematik Tahun 1 KSSR (DBP, 2010), Pakej Buku Teks Matematik Tahun
2 KSSR (DBP, 2011), Buku Teks Matematik Tahun 5 Masalah Pembelajaran (DBP, 2015). Beliau turut menyumbang kepakaran dalam bidang penerbitan
buku terjemahan sebagai panel penilai Buku Teks Matematik Tahun 6 KBSR (DBP, 2012) dan Pengerusi Panel Pembaca Pruf Glosari Matematik Sekolah
Menengah Rendah (DBP, 2013). Selain itu, beliau juga terlibat sebagai Penyelaras LINUS dan LINUS pemulihan bagi bidang numerasi dengan
Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Bahagian Pendidikan Guru.

Gobi Krishnan dilahirkan pada 12 April 1972 di Butterworth, Pulau Pinang. Kini, beliau bertugas sebagai Ketua
Panitia Matematik dan guru matematik di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Rinting, Tampoi, Johor Bahru. Beliau
berkelulusan Diploma Perguruan dari Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bahru, Johor pada tahun 1995. Minat
yang mendalam dalam bidang matematik telah menyuntik semangat beliau untuk melanjutkan pengajiannya
ke peringkat ijazah pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda
Sains Pendidikan Matematik (dengan Kepujian) pada tahun 2000. Kerjaya beliau sebagai pendidik di Sekolah
Kebangsaan Pangkalan Rinting sehingga kini telah melebihi 20 tahun bermula pada tahun 1995. Berdasarkan
kepakaran dan pengalaman yang luas sebagai pendidik, beliau diiktiraf sebagai guru cemerlang oleh pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2010. Selain peranan di sekolah, beliau juga merupakan
Jurulatih Utama Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), KPM dan bergiat aktif dalam program penyebaran
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran KSSR serta Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Tahap 1 dan
Tahap 2. Pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia turut melantik beliau sebagai ahli panel jawatankuasa dalam
bengkel pembinaan item KBAT dan Jurulatih Utama Penyebaran Format Terkini UPSR 2016. Beliau berjinak-jinak
dalam bidang penulisan pada tahun 2014 sebagai penulis bersama buku teks DBP bagi mata pelajaran Matematik Tahun 5 KSSR. Seterusnya beliau
terpilih sekali lagi sebagai penulis bersama Pakej Buku Teks Matematik Tahun 1 KSSR Semakan. Sumbangan besar beliau dalam pendidikan matematik
turut diiktiraf oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor dengan menganugerah beliau sebagai Guru Ikon sempena Sambutan Hari Guru Peringkat
Daerah Johor Bahru pada tahun 2014. Usaha murni beliau dalam kerjayanya turut melayakkan beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
sebanyak empat kali di sekolah. Beliau turut menyumbang kepakaran dalam bidang penerbitan buku sebagai Panel Jawatankuasa Penilaian 4 Buku
Teks Matematik Tahun 5 SK (DBP, 2012) di peringkat KPM.

Lay-QRCode Math-1-2016.indd 1 8/24/16 11:05 AM

You might also like