Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

1.

0 PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat
yang berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan
sebagainya dapat hidup dalam keadaan yang harmoni. Oleh itu, murid sekolah akan terdiri
daripada masyarakat yang berbeza iaitu merangkumi aspek etnik, agama, keturunan,
bahasa, adat resam dan budaya. Pendidikan yang adil dan sama rata perlu diberikan
kepada semua masyarakat di Malaysia. Hal ini demikian kerana pembangunan sistem
pendidikan telah dilaksanakan bertujuan untuk melahirkan modal insan kelas dunia yang
mampu berhadapan dengan cabaran era globalisasi tanpa mengira latar belakang murid
(Ishak & Nor Asikin, 2003). Melalui pendidikan juga mampu mewujudkan perpaduan antara
pelbagai kaum dan etnik dalam usaha untuk memupuk sikap positif dan timbul rasa hormat
terhadap perbezaan etnik, bangsa dan budaya. Nilai pelbagai budaya seharusnya difahami
sebagai satu set nilai yang berjalan dalam masyarakat Malaysia. Oleh hal yang demikian,
pendidikan yang mesra budaya perlu diintegrasikan dengan mewujudkan suasana bilik
darjah yang mesra budaya. Hal ini bermaksud guru perlu membina persekitaran bilik darjah
yang penyayang, menyokong serta kondusif bagi membolehkan murid berasa selesa untuk
belajar dan sudi menerima perbezaan dalam persamaan antara mereka, (Noriati et. al,
2017). Kenyataan ini disokong oleh firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya
kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan
yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(Al-Hujuraat
49:13)

2.0 LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN BILIK DARJAH

2.1 Pengurusan Persekitaran Fizikal

Pengurusan persekitaran fizikal bilik darjah merupakan salah satu aspek yang
sangat penting untuk mewujudkan suasana bilik darjah yang mesra budaya untuk
membantu perkembangan murid dalam pembelajaran. Pengurusan persekitaran fizikal bilik
darjah boleh dilakukan dengan menyusun atur kerusi dan meja murid dengan mengambil
kira peluang untuk murid bercampur gaul tanpa mengira latar belakang dan belajar
bersama-sama tanpa sebarang halangan dan rasa kurang selesa (Noriati et.al, 2017).
Susunan kedudukan murid di dalam bilik darjah juga hendaklah membolehkan murid
berbincang, memberikan pendapat, saling membantu dan berkongsi bahan semasa gerak
kerja kumpulan (Haliza & Joy Nesamalar, 2016). Namun begitu, guru perlu menitikberatkan
kedudukan murid dengan mengasingkan murid lelaki dan juga murid perempuan. Hal ini
adalah untuk menjaga batas pergaulan antara murid lelaki dan juga murid perempuan
walaupun mereka belum mencapai akil baligh. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan
mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada perkara yang haram). Demikian itu
lebih suci (lebih baik) bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya
tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman
supaya menahan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka (daripada
perkara yang haram) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
kecuali yang zahir daripadanya (wajah dan keduadua tapak tangan)…”

(An-Nuur
24:30,31)

Pengasingan kedudukan antara murid lelaki dan juga murid perempuan sangat penting bagi
mendidik murid untuk menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan walaupun
murid tersebut terdiri daripada pelbagai etnik, agama, keturunan, bahasa, adat resam dan
budaya.

Seterusnya, kebersihan bilik darjah juga termasuk dalam pengurusan persekitaran


fizikal bilik darjah. Kebersihan merupakan tanggungjawab guru dan juga murid yang
menggunakan bilik tersebut. Oleh itu, guru perlu memastikan bilik darjah mempunyai tong
sampah, penyapu, bekas pengumpul debu, pemadam papan putih serta bulu ayam bagi
membersihkan bilik darjah. Jadual bertugas juga perlu disediakan dan guru perlu sentiasa
memantau kebersihan kelas sebaiknya sebelum dan selepas pengajaran. Kebersihan juga
turut dituntut di dalam Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan”

(HR Muslim)

Hal ini menunjukkan bahawa aspek kebersihan sangat dituntut di dalam Islam. Oleh itu guru
dan murid perlu berganding bahu bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain
bagi mewujudkan bilik darjah yang bersih dan selesa. Persekitaran bilik darjah yang
kondusif dapat membantu mewujudkan keselesaan pengajaran dan pembelajaran di
samping mengekalkan tumpuan dan minat belajar dalam bilik darjah (Nidzam et. al, 2010).
2.2 Pengurusan Persekitaran Sosial

Selain itu, pengurusan persekitaran sosial juga sangat penting bagi mewujudkan bilik
darjah yang mesra budaya. Menurut (Noor Azima dalam Rizalina Mat Radzi 2014),
perkembangan sosial kanak-kanak merujuk kepada keupayaan kanak-kanak untuk
berinteraksi serta memberi tindak balas terhadap sesuatu situasi atau keadaan yang dapat
dilihat melalui kelakuan kanak- kanak tersebut. Sekiranya perkembangan sosial seseorang
murid di dalam kelas adalah positif, maka secara tidak langsung akan menjadi perangsang
bagi membangkitkan semangat murid untuk melibatkan diri dalam proses PdP. Oleh itu, bagi
mewujudkan persekitaran sosial yang mesra budaya, guru hendaklah membina hubungan
yang positif dengan murid tanpa wujudnya pilih kasih kepada murid yang terdiri daripada
latar belakang yang berbeza. Islam sendiri menuntut umatnya untuk berbuat baik sesama
manusia dan mengelakkan daripada bertelingkah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara


dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat.”

(Al-Hujuraat
49:10)

Hal ini menunjukkan bahawa guru seharusnya membina hubungan yang baik dengan murid
yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama, keturunan, bahasa, adat resam dan budaya.
Kajian juga menunjukkan bahawa apabila guru berupaya membina hubungan yang positif
dengan murid maka motivasi, kesungguhan, dan prestasi akademik murid dapat
ditingkatkan dan masalah disiplin akan menurun (Jensen, 2013). Hubungan yang positif
boleh diwujudkan dengan guru memberi sokongan, maklum balas dan nasihat yang
bersesuaian ke atas luahan perasaan, pendapat dan cadangan murid terhadap suasana
pembelajaran mereka. Oleh hal yang demikian guru dan murid dapat memperbaiki
kekurangan antara satu sama lain melalui hubungan positif yang dibina di samping dapat
mengeratkan hubungan silaturrahim antara guru dan murid. Hal ini bertepatan dengan
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang,


keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim.”
(HR Bukhari & Muslim)

2.3 Pengurusan Emosi

Pengurusan emosi yang baik di dalam bilik darjah antara salah satu aspek penting
bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra budaya. Emosi merupakan satu
perasaan dan juga gerak hati yang dialami oleh seseorang individu yang akan terpapar
melalui tindak balas fisiologi sekiranya berlaku rangsangan terhadap emosi dalam sesuatu
keadaaan (Noriati et. al, 2017). Bagi mengelakkan tercetusnya masalah yang disebabkan
oleh gangguan emosi, guru hendaklah melayan murid dengan adil dan sama rata tanpa
mengira aspek etnik, agama, keturunan, bahasa, adat resam dan budaya. Firman Allah
SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang
yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-
kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih
hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Al-Maaidah 5:8)

Oleh hal yang demikian, guru hendaklah melayan murid tanpa memilih kasih supaya murid
tidak tersinggung dan bertindak untuk mengasingkan diri kerana boleh menjejaskan proses
pengajaran dan juga pemebelajaran mereka. layanan yang sama rata anata murid secara
tidak langsung boleh memberi semangat dan motivasi kepada mereka untuk terus aktif
dalam aktiviti bilik darjah. Selain itu,seseorang guru juga perlu mengelakkan dirinya
mengeluarkan kata-kata yang negatif seperti ‘kamu memang bodoh…’,‘pemalas betul kamu
ni…’ dan sebagainya (Anita et.al ,2015). Hal ini demikian kerana situasi sebegini akan
memberi impak negatif terhadap emosi murid-murid dan akhirnya mereka akan berkelakuan
pasif pada kelas yang akan datang. Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud:

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji”.

(Al-Humazah 104:1)
Maka, guru perlu mengelakkan diri daripada berkata buruk kepada murid kerana bukan
sahaja salah di sisi agama malah boleh mengganggu kesihatan emosi murid tersebut.
Bahkan, boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

2.4 Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran

Akhir sekali, pengurusan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah juga
merupakan aspek yang penting untuk menjamin suasana pembelajaran yang mesra budaya.
Pengurusan pengajaran dan pembelajaran adalah proses merancang pengajaran dan
pembelajaran agar mencapai matlamat, menentukan atau memberi garis panduan perkara-
perkara yang perlu dilakukan oleh guru termasuklah menentukan mata pelajaran yang diajar
oleh guru mengikut kepakaran, memimpin, memberi inspirasi kepada guru, mengawal aktiviti
dan memantau pelaksanaan aktiviti dijalankan sebagaimana yang dirancang (Nurlia
Mohamad, 2012). Hal ini merangkumi pedagogi, kaedah, strategi dan teknik pengajaran
yang akan dilaksanakan ke atas murid. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu
dipelbagaikan mengikut kesesuaian murid yang berbeza. Pengajaran dan pembelajaran
juga hendaklah mengikut sistem pendididkan semasa yang telah digariskan oleh Kemeterian
Pendidikan Malaysia. Sayidina Umar bin al-Khattab dalam (Roslan Yasnain, 2015)
menyatakan bahawa “didiklah anakmu sesuai dengan zamannya kerana mereka hidup
dalam generasinya, bukan pada zaman yang engkau dididik”. Oleh itu, guru hendaklah
menggunakan pedagogi, kaedah, strategi dan teknik pengajaran terkini seperti
pembelajaran abad ke-21. Pembelajaran abad ke-21 merupakan proses pembelajaran
berpusatkan murid yang berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, dan
kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika. Oleh itu guru perlu merancang pedagogi,
kaedah, strategi dan teknik pengajaran yang sesuai dan menepati perbezaan murid. Guru
hendaklah mahir dalam merancang pedagogi, kaedah, strategi dan teknik pengajaran agar
proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Maka, bagi menambahkan ilmu
tentang kemahiran tersebut, guru hendaklah menghadiri seminar dan bengkel bagi
mengukuhkan lagi kemahiran perancangan pengajaran dan pembelajaran agar sesuai
dengan semua murid tanpa mengira latar belakang mereka. Rasulullah SAW juga pernah
bersabda berkaitan kelebihan menuntut ilmu yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan
memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam
sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan
mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah
(ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT
akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.

(HR Muslim)

3.0 PENUTUP

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah yang mesra budaya perlu diintegrasikan di


Malaysia kerana masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup bersama.
Oleh itu, langkah-langkah pengurusan bilik darjah yang mesra budaya perlu dijalankan
dengan sebaiknya tanpa wujud semangat kecintaan terhadap sesuatu kaum. Namun begitu,
pelaksanaan langkah pengurusan bilik darjah ini juga hendaklah menepati syariat Islam agar
tidak terpesong jauh dengan agama yang lurus walaupun masyarakat Malaysia terdiri
daripada pelbagai agama. Oleh hal yang demikian, masyarakat Malaysia hendaklah saling
menghormati antara satu sama lain supaya keamanan negara terjamin.
RUJUKAN

Al Quran. Al-Maaidah 5:8, Al Hidayah House of Quran.

Al Quran. An-Nuur 24:30, 31, Al Hidayah House of Quran.

Al Quran. Al-Hujuraat 49:10, Al Hidayah House of Quran.

Al Quran. Al-Hujuraat 49:13, Al Hidayah House of Quran.

Al Quran. Al-Humazah 104:1, Al Hidayah House of Quran.

Anita Saddler et, al. (2015). Doubling Energy Productivity of the Built Environment by 2030.
Australia: Australian national university.

Abdul Rahman. (2018). Bayan Linnas Siri Ke- 152: Konsep Kebersihan: Praktikal Dalam
Kesempurnaan Haji. Dicapai pada 2 Mac 2020 daripada
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2745-bayan-linnas-siri-ke-152-konsep-
nazafah-praktikal-dalam-kesempurnaan-haji

Ainun Rahmah Iberahim, Zamri Mahamod, Wan Muna Ruzanna Wan Mohamad. (2017).
Pembelajaran Abad Ke-21 Dan Pengaruhnya Terhadap Sikap, Motivasi Dan
Pencapaian Bahasa Melayu Pelajar Sekolah Menengah. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu, 7(2). 77-88.

Che Nidzam Che Ahmad, Kamisah Osman & Lilia Halim. (2010). Hubungan Ramalan
Persekitaran Pembelajaran Makmal Sains dengan Tahap Kepuasan Pelajar. Jurnal
Pendidikan Malaysia, 35(2), 19-30.

Haliza Amzah & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah Laku
Edisi Kedua. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn Bhd.

Ishak bin Sin, Nor Asikin Salleh (2003) Era Globalisasi: Pendidikan Dan Cabaran. Jurnal
Pengurusan dan Kepemimpinan. 13(1). 14− 28.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (2017). Koleksi Hadith. Dicapai pada 2 Mac 2020
daripada http://www.islam.gov.my/e-hadith/861-mengeratkan-silaturahimKoleksi
Jensen, R. M. (2013). A Handbook of Classroom Management That Works. Victoria: Hawker
Brownlow.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Yin et, al. (2017). Budaya dan Pembelajaran. Selangor Oxford
Fajar.

Roslan Yasnain. (2015). Jom Meyusarat Keluarga. Majalah Solusi. Kuala Lumpur: Telaga
Biru.

Rizalina Mat Radzi. (2014). Peranan Guru Dan Ibu Bapa Merangsang Perkembangan
Sosioemosi Kanak-Kanak Melalui Aktiviti Bermain. Thesis. Perak: Universiti
Pendidikan Sultan Idris

Umar Mukhtar Mohd Noor. (2016). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-109: Kelebihan Menuntut Ilmu.
Dicapai pada 2 Mac 2020 daripada https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-
hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu

You might also like