Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

DEFINISI KEUTUHAN WACANA

Keutuhan wacana adalah satu aspek yang sangat penting kerana ia menentukan apakah sesuatu itu
boleh dianggap sebagai wacana atau hanya merupakan kumpulan ayat yang tidak teratur.
Melaluinya juga kita dapat memahami hubungan bahasa dengan alam di luar bahasa secara lebih
mendalam.

Asmah Haji Omar (1982)3 menegaskan bahawa wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat,
yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan
seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian, perenggan, bab, buku, novel, cerpen, cerita, dialog, siri buku
(cerita) dan sebagainya. Menurut beliau lagi, wacana tidak mempunyai satu-satu jenis ayat yang
terdiri dengan utuhnya tanpa dipengaruhi oleh proses-proses kelahiran ayat. Ini bermaksud bahawa
ayat yang selalu didapati dalam struktur dan sistem secara teratur. Asmah telah membezakan ayat
sistem daripada ayat wacana. Ayat sistem adalah ayat atau tutur yang dikeluarkan dan diasingkan
dari konteks wacana, sedangkan ayat wacana yang juga disebut ayat teks adalah ayat yang betul-
betul terdapat dalam wacana teks dan wacana lisan.

Menurut Raminah Haji Sabran (1984:218) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih
Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu
ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya
yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan.
Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap.

Menurut Fokker (1951)4 pula, hubungan kesinambungan cerita itu dapat menunjukkan secara
nahuan, iaitu perujukan (verwijzing), kata-kata penghubung (verbindingswoorden) dan pengguguran
(ellips). Kesatuan makna dalam wacana seperti yang diterangkan di atas akan dilihat dari segi makna
logik dan makna tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep semantik dan merujuk kepada
perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang membentuk wacana.

Stubbs, Michael menyatakan bahawa wacana merupakan kesatuan bahasa yang lebih besar
daripada ayat atau klausa. Dengan kata lain, wacana merupakan unit-unit linguistik yang lebih besar
daripada ayat atau klausa, seperti pertukaran-pertukaran percakapan atau teks-teks tertulis. Secara
ringkas, yang disebut teks bagi wacana adalah ayat bagi ujaran.

Harimurti Kridalaksana (1984:204)1 menyatakan bahawa wacana adalah satuan bahasa terlengkap;
dalam hierarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa tertinggi atau terbesar. Wacana ini
direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, ensiklopedia, dan sebagainya,
paragraf, ayat atau kata yang membawa amanat yang lengkap.

Anton M.Moeliono (1995:407)2 mendefinisikan wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan
sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu.

Henry Guntur Tarigan menegaskan bahawa wacana adalah satuan bahasa yang terlengkap dan
tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi tinggi yang
berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan atau
tertulis.

Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa definisi mengenai wacana yang diambil daripada
berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa adanya persamaan dan juga perbezaan pendapat
mengenai dengan definisi wacana yang diperolehi dari ahli-ahli linguistik ataupun penulis.
Secara tuntasnya, wacana letaknya lebih tinggi daripada ayat pada skala tatatingkat tatabahasa dan
mempunyai keteraturan fikiran logik (coherence) dan juga tautan (cohesion) dalam strukturnya.
Wacana dicirikan oleh kesinambungan maklumat. Makna kesinambungan di sini adalah diertikan
sebagai kesatuan makna. Terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu satuan bahasa,
terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi, berkesinambungan, kohesi, lisan
atau tulisan awal dan juga akhir yang nyata.

Definisi Penanda Wacana

Penanda wacana merupakan kata, rangkai, kata, atau frasa yang menunjukkan pertalian, hujah, dan
buah fikiran.Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga iaitu penanda wacana digunakan agar wujud
kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana. Penanda wacana juga digunakan
untuk menghubungkan kata, frasa, kausa, ayat, perenggan, bab dan sebagainya. Penanda wacana
penting dalam sesebuah teks kerana penanda wacana dapat mewujudkan pertautan atau
kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk kesatuan.

Penanda wacana ialah perkataan atau rangkaian perkataan yang menunjukkan pertalian antara
suatu idea dengan idea yang lain dalam ucapan atau karangan. -Nik Safiah Karim, (2003), 

Konsep Penanda Wacana

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi menghubungkan
sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Seandainya
sesuatu wacana berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, kesannya seluruh
kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan pertautan yang lengkap.

 (Harimurti Kridalaksana, 1982). 

Penanda wacana ialah kata atau frasa perangkai ayat. Sementara itu menghubungkan dua ayat lalu
membentuk satu ayat dan antara perenggan. Dapatlah dirumuskan bahawa penanda wacana
merupakan kata hubung antara dua ayat. Fungsi kata hubung ini ialah menghubungkan dan sekali
gus menerangkan apa yang sedang dikatakan oleh ayat yang mengikutinya dan yang telah
dikatakan oleh ayat sebelumnya. Sementara itu, penulisan penanda wacana harus dikuti tanda
koma. Penanda wacana juga dapat digunakan untuk menghubungkan idea antara perenggan.

Awang Sariyan, (1980)

Jenis-jenis Penanda Wacana

 Menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakan (2010), terdapat sekurang-kurangnya lima jenis penanda
wacana, iaitu :

(i)                 Penanda penghubung

(ii)               Penanda rujukan

(iii)             Penanda penggantian

(iv)             Penanda leksikal

(v)               Penanda elipsis atau pengguguran

1)    Penanda Penghubung


Penanda penghubung ialah perkataan atau frasa yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan
maklumat yang lain dalam wacana. Sekiranya penanda wacana hadir pada awal ayat, lazimnya tanda
koma (,) digunakan. Contoh dalam ayat:

a)         Guru hendaklah mengajar dengan menggunakan pelbagai alat bantu mengajar. Di

  samping itu, isi pelajaran yang disampaikan hendaklah menarik.

2)    Penanda rujukan

Jenis penanda wacana yang kedua ialah penanda rujukan. Penanda rujukan ialah kata ganti nama
yang digunakan bagi merujuk perkataan dan frasa lain. Contoh dalam ayat:

a)         Cikgu Ali mengajar di Sekolah Kebangsaan Telaga Air. Beliau mengajar di situ

 sejak tahun lalu.

3)    Penanda penggantian

Penanda penggantian ialah perkataan atau frasa yang menggantikan perkataan atau frasa lain dalam
wacana yang sama. Penanda wacana jenis ini terdiri daripada frasa nama, frasa kerja atau klausa.
Contoh dalam ayat:

a)         Ibu tidak menggalakkan Abu terlalu kerap menonton televisyen. Mengikut ibu,

melakukan perbuatan itu tidak membawa manfaat. (frasa kerja)

4)    Penanda leksikal

Penanda leksikal pula melibatkan kohensi atau pertautan antara perkataan atau frasa melalui
pengulangan kata. Unsur pengulangan terdiri daripada pengulangan perkataan yang sama.
Pengulangan perkataan yang sama makna (sinonim) pengulangan yang melibatkan perkataan yang
umum maknanya dengan yang khusus maknanya (hiponim),

Dan pengulangan perkataan yang kehadirannya saling berkait (kolokasi). Contoh:

a)      Pengulangan perkataan yang sama:

 Ayah mengucapkan tahniah kepada abang atas kejayaannya. Kami juga turut mengucapkan


tahniah.

b)      Pengulangan sinonim:

 Sungguh cantik pemandangan di tepi laut itu. Semua pengunjung bersetuju bahawa tempat


itu sungguh indah.

c)      Pengulangan hiponim

 Pasar tani itu menjual pelbagai jenis sayur; ada bayam, sawi, kangkung, dan kubis.

d)     Pengulangan kolokasi
 Ahmad gemar menonton filem kung fu. Adegan yang paling digemarinya ialah
adegan berlawan menggunakan senjata dan berlawan menggunakan kaki.

5)    Penanda elipsis atau pengguguran

Penanda elipsis atau pengguguran melibatkan pengguguran perkataan atau frasa yang telah
dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Contohnya:

a)         Pada minggu lalu Keluarga Ahmad berkelah di Pantai Pasir Pandak. Demikian

juga keluarga kami.

Menurut Dr Adenan Ayob (2011), Terdapat tiga jenis penanda wacana iaitu:

2.1.1    Menunjukkan pertautan dari segi kronologi iaitu memberi pengertian kepada

persoalan berkaitan waktu.

Contoh penanda wacana:

lepas itu, lantas, semenjak itu, kini, mula-mula, kemudian, sebelum, pada zaman dahulu, pada hari
esoknya dan sebagainya.

Contoh ayat:

a.       Pada zaman dahulu Kerajaan Melayu Melaka merupakan sebuah kerajaan yang kuat.

2.1.2        Memperjitu organisasi penulisan iaitu untuk menghubungkan bahagian wacana dengan


bahagian wacana yang lain.

Contoh penanda wacana:

sebagai kesimpulan, untuk merumuskan, contohnya, tegasnya, dapat dinyatakan bahawa pertama,
akhir sekali, dengan kata lain, dalam hal ini, dalam hubungan ini, untuk menjelaskan lagi dan
sebagainya.

Contoh ayat:

a.       Penduduk di negara yang dilanda peperangan hidup dalam kesengsaraan. Mereka bukan
sahaja kehilangan harta benda malahan anggota keluarga  yang tersayang.  Contohnya, ramai
penduduk Islam Bosnia terpaksa melarikan diri ke negara jiran semata-semata untuk untuk
menyelamatkan diri daripada menjadi korban peperangan.

2.1.3        Menghubungkan fakta dengan fakta atau idea dengan idea yang lain.

Menurut Dr Adenan Ayob (2011) dalam Leman Ahmad (1984) membahagikan

jenis penanda wacana kepada tiga bahagian , iaitu:

a.       Menambah atau memperluas idea


Contoh penanda wacana:

dan, selanjutnya, di samping itu, selain itu, lebih-lebih lagi, tambahan pula, begitu juga, seterusnya,
satu lagi dan sebagainya.

Contoh ayat:

·         Ratusan ribu istilah dalam sesuatu bahasa tidak membawa erti tanpa istilah-istilah tersebut
digunakan dalam penulisan, perbincangan, dan penterjemahan. Tambahan pula, istilah yang secara
abstrak dihasilkan oleh jawatankuasa istilah belum tentu sesuai bagi sesuatu bidang.

b.      Menunjukkan pertentangan idea

Contoh penanda wacana:

tetapi, sebaliknya, pada masa yang sama, walaupun, walau bagaimanapun, walaupun demikian,
sama ada, sebenarnya, namun, dan sebagainya.

Contoh ayat:

·         Adi dan keluarganya berpindah ke bandar pada akhir tahun lalu. Namun, hatinya masih
teringat akan kampung halamannya.

c.       Menunjukkan hubungan antara sebab-akibat dan tujuan-syarat

Contoh penanda wacana:

jadi, oleh sebab itu, disebabkan, oleh yang demikian, untuk tujuan itu, maka, berikutan itu, dengan
demikian, kecuali, dengan syarat dan sebagainya.

Contoh ayat:

·         Beg iru bukan beg saya, sebaliknya ia adalah beg Raju.

3.0       Fungsi-fungsi Penanda Wacana

            Nik Safiah Karim, (2010), menyatakan bahawa penanda wacana mempunyai

empat fungsi, iaitu:

3.0.1    Penghubung tambahan


Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada
sesuatu yang diperkatakan sebelumnya. Antara penanda wacana jenis ini termasuklah dan, lalu,
malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu, dan selanjutnya. Contoh dalam ayat:

a)      Saya telah meneliti cadangan ini dan telah mengambil keputusan untuk


menyokongnya. Tambahan pula, cadangan tersebut amat bernas sekali.

Dalam ayat ini, tiga perkara yang disebut secara berurutan iaitu, bahawa saya telah meneliti
cadangan ini, saya telah mengambil keputusan untuk menyokongnya, cadangan tersebut amat
bernas. Ketiga-tiga perkara tersebut dihubungkan dengan kata hubung dan, dan penanda wacana
tambahan pula yang berfungsi sebagai unsur tambahan iaitu, sebagai unsur wacana.

3.0.2    Penghubung tentangan

Penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu
yang baharu diperkatakan dengan sebelumnya dalam wacana yang sama. Antara penanda wacana
jenis ini termasuklah tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu, dan walau bagaimanapun. Contoh
dalam ayat:

a)      Dalam peperiksaan penggal lalu, prestasi Ali tidak begitu memuaskan. Walau

            bagaimanapun, dia berazam untuk mencuba lagi pada penggal ini.

Dalam contoh di atas, pernyataan awal ialah bahawa prestasi Ali tidak memuaskan dan ini boleh
dianggap sesuatu yang mengecewakan. Namun begitu, ayat seterusnya menunjukkan bahawa
semangatnya tidak patah dan bahawa dia akan terus mencuba lagi. Unsur pertentangan ini
disampaikan melalui penanda wacana walau bagaimanapun.

3.0.3    Penghubung musabab

Penghubung musabab ialah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contoh
penanda musabab ialah kerana, oleh sebab, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu, dan maka itu.
Contoh dalam ayat:

a)      Pada petang ini saya berasa amat letih kerana bertungkus-lumus membersihkan rumah yang
dilanda banjir kilat. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk tidak ke latihan bola sepak pada
petang ini.

Dalam contoh di atas, pernyataan awal ialah bahawa badan saya letih. Ini diikuti dengan keputusan
bahawa saya tidak akan menghadiri latihan pada petang tersebut. Pertalian antara dua urutan
peristiwa ini dikaitkan dengan penanda wacana oleh itu yang membawa maksud musabab.

3.0.4    Penghubung tempoh


Penghubung tempoh ialah penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri
berlakunya sesuatu. Contoh penanda wacana jenis ini ialah mula-mula, pertama, seterusnya,
kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya. Contoh dalam ayat:

a)      Mula-mula, saya disuruh duduk, kemudian diajak berbincang, akhirnya dibawa masuk bertemu


dengan majikannya.

Dalam contoh di atas, pernyataan awal ialah saya disuruh duduk. Ini diikuti dengan diajak berbincang
dan dibawa masuk bertemu dengan majikannya. Pertalian antara tiga urutan peristiwa ini dikaitkan
dengan  tiga penanda wacana iaitu mula-mula, kemudian, dan akhirnya yang membawa maksud
tempoh.

            Menurut Dr Adenan Ayob (2011) dalam Leman Ahmad (1984) pula, terdapat empat fungsi
utama penanda wacana yang menunjukkan maksud tambahan, seterusnya, sebab dan ketika.

3.1.1    Penanda wacana untuk menunjukkan maksud tambahan.

Antara penanda wacana yang membawa maksud tambahan ialah:

(i)                 Ini bererti

(ii)               Di samping itu

(iii)             Pendek kata

(iv)             Malahan

(v)               Tambahan pula

11

3.1.2    Penanda wacana untuk menunjukkan maksud sebaliknya

Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud sebaliknya ialah:

(i)                 Sesungguhnya

(ii)               Berbanding dengan

(iii)             Dalam masa yang sama

(iv)             Sebaliknya

(v)               Walau bagaimana sekalipun

3.1.3    Penanda wacana untuk menunjukkan sebab

Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud sebab ialah:

(i)                 Berdasarkan

(ii)               Berpegang pada

(iii)             Sekiranya begitu
(iv)             Akibatnya

(v)               Kesudahannya

3.1.4    Penanda wacana yang menunjukkan maksud ketika

Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud ketika ialah:

(i)                 Merujuk

(ii)               Berbalik kepada

(iii)             Akhirnya

(iv)             Sementara itu

(v)               Sejenak kemudian

4.0       Penggunaan Wacana dalam Perenggan

Terdapat beberapa fungsi penggunaan penanda wacana dalam sesuatu perenggan. Di bawah ini,
saya kemukakan tiga petikan yang menggunakan penanda wacana yang menunjukkan empat fungsi
utama penanda wacana.

12

4.0.1    Petikan 1.       

Penduduk di negara yang dilanda peperangan hidup dalam kesengsaraan. Mereka bukan sahaja
kehilangan harta benda malahan anggota keluarga  yang tersayang.  Contohnya, ramai penduduk
Islam Bosnia terpaksa melarikan diri ke negara jiran semata-semata untuk untuk menyelamatkan diri
daripada menjadi korban peperangan. Bagi negara yang bersimpati dengan nasib mereka seperti
Malaysia dan banyak negara lain akan memberi bantuan. Di samping itu, Malaysia juga
menyediakan penempatan khas kepada rakyat Bosnia yang dibawa ke sini. Mereka akan dijaga dan
diberi layanan istimewa sama seperti negara ini. Tambahan pula, rakyat Malaysia menerima dan
begitu bersimpati dengan nasib rakyat Bosnia ini.

            Malahan

-          Contoh ayat topik:

            Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda.

-          Contoh ayat huraian:

Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda malahan anggota keluarga yang tersayang.
Penggolongan penanda wacana:

-          Penanda wacana ”malahan” tergolong sebagai penanda penghubung tambahan, yang


merupakan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya.

Di samping itu

-          Contoh ayat topik:

Bagi negara yang bersimpati dengan nasib mereka seperti Malaysia dan banyak negara lain akan
memberi bantuan.

-          Contoh ayat huraian:

Di samping itu, Malaysia juga menyediakan penempatan khas kepada rakyat Bosnia yang dibawa ke
sini.

13

Penggolongan penanda wacana:

-          Penanda wacana ”di samping itu” tergolong sebagai penanda penghubung tambahan, yang
merupakan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya.

-           

4.0.2    Petikan 2.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang bijaksana dan para hadirin yang dihormati.
Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah, ”Kelalaian Punca kebakaran”.

Hadirin yang dihormati,

            Lalai adalah satu sikap yang tidak baik. Kebakaran mungkin berpunca daripada banyak
perkara. Namun begitu, kelalaian adalah penyebab utama kebakaran.

            Kita lihat sahaja di rumah, kita sering menggunakan ubat nyamuk, dapur gas, lilin, barangan
elektrik dan sebagainya. Kelalaian kita semasa menggunakan alat-alat ini boleh menyebabkan
berlakunya kebakaran di rumah. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak yabg tidak diawasi oleh ibu bapa
semasa menggunakan alat-alat tersebut.

            Selain itu, sikap acuh tidak acuh dalam menyediakan alat pemadam api di rumah juga
menyebabkan tahap keselamatan diabaikan. Sikap sebegini tidak harus ada dalam diri kita.

            Justeru, tanamkan ikap prihatin dalam diri kita sebagai langkah berjaga-jaga dalam apa juga
perkara. Kebakaran dapat dielakkan jika kita sentiasa berwaspada.

            Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa api semasa kesil menjadi kawan, apabila besar
menjadi lawan. Oleh itu, elakkan kelalaian supaya tidak berlaku kebakaran.
Sekian, terima kasih.

14

Namun begitu

-          Contoh ayat topik:

            Kebakaran mungkin berpunca daripada banyak perkara.

-          Contoh ayat huraian:

Namun begitu, kelalaian adalah penyebab utama kebakaran.

Penggolongan penanda wacana:

-          Penanda wacana ”namun begitu” tergolong sebagai penanda penghubung  tentangan, yang
menunjukkan maklumat antara suatu yang baharu diperkatakan dengan yang sebelumnya dalam
wacana yang sama.

Akhir sekali

-          Contoh ayat topik:

            Kebakaran dapat dielakkan jika kita sentiasa berwaspada.

-          Contoh ayat huraian:

Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa api semasa kesil menjadi kawan, apabila besar menjadi
lawan.

Penggolongan penanda wacana:

-          Penanda wacana ”akhir sekali” tergolong sebagai penanda penghubung  tempoh, yang
menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu.

4.0.3    Petikan 3.

            Semua objek di angkasa bergerak di atas paksi dan orbit masing-masing. Hal yang demikian
ini menjadikan sistem suria begitu harmoni dan menakjubkan. Kita mesti memikirkan betapa luasnya
alam semesta dan betapa teraturnya sistem suria.
15

            Hal yang demikian ini

-          Contoh ayat topik:

Bumi sentiasa berputar di atas paksinya.

-          Contoh ayat huraian:

Hal yang demikian ini menyebabkan berlakunya siang dan malam.

Penggolongan penanda wacana:

-          Penanda wacana ”hal yang demikian ini” tergolong sebagai penanda penghubung musabab,
yang merupakan sebab berlakunya sesuatu.

5.0       Cadangan Aktiviti

            Aktiviti Penanda Wacana dan Frasa menarik

·         Pelajar diberikan  senarai perkataan dan frasa menarik yang telah dibukukan untuk dihafal dan
mereka diminta menulis perkataan dan frasa-frasa menarik yang baru di dalam buku catatan.  Setiap
hari pada waktu Pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu seorang pelajar diminta memberikan
lima kata dan frasa menarik untuk dikongsi bersama-sama.

·         pelajar diberikan senarai penanda wacana untuk memulakan sesuatu ayat dan pelajar diminta
mengingatinya.

·         Setiap kali waktu pembelajaran dan pengajaran penulisan karangan, pelajar diminta
menggunakan penanda wacana, kata, dan frasa menarik  yang telah diberikan.

Contoh aktiviti:

            Pengajaran yang saya peroleh daripada petikan ialah ...............................................

................................. . Di samping itu, ..................................................................................

..................................................... . Selain itu, ......................................................................

.......................................................................... . Seterusnya, ...............................................

........................................... . Akhir sekali, ...........................................................................

..................................................................... . Kesimpulannya, kita hendaklah mengamalkan nilai-nilai


yang baik dalam kehidupan seharian kita.

16
(aktiviti ini sesuai digunakan oleh murid-murid tahun 4,5, dan 6 untuk menjawab soalan penulisan
bahagian C)

6.         Rumusan

            Penanda wacana merupakan perangkai ayat untuk menentukan perkaitan atau


kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenggan.

Tidak dapat dinafikan bahawa sebuah penulisan karangan yang baik ialah karangan yang mempunyai
isi yang banyak dan bertepatan dengan tajuk. Walau bagaimanapun, sekiranya sesebuah karangan
itu tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai, maka sudah tentu karangan itu menjadi tidak
sempurna disebabkan binaan ayatnya yang tidak gramatis. Justeru penanda wacana memainkan
peranan yang amat penting dalam menghasilkan satu-satu perenggan yang menarik bersesuaian
dengan fungsi-fungsi penanda wacana itu sendiri seperti apa yang telah dijelaskan.

You might also like