Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

KONSEP HUBUNGAN ETNIK DARI ASPEK EKONOMI, POLITIK DAN SOSIAL

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai
kaum dan etnik yang hidup dalam satu kawasan sempadan yang sama sejak sebelum
merdeka sehingga kini. Secara umumnya, hubungan etnik ialah satu gambaran sikap dan
ikatan kemasyarakatan dalam kehidupan masyarakat pluralistik di Malaysia. Definisi
masyarakat pluralistik pula ialah kumpulan manusia yang tinggal dalam wilayah tertentu,
berinteraksi antara sesama sendiri namun mempunyai pelbagai kelainan dan kepelbagaian
contohnya dari segi kaum, agama, budaya dan adat.

Sejarah kewujudan masyarakat pluralistik di Malaysia bermula apabila British


menjajah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Pihak British telah membawa masuk imigran
Cina dan India secara terancang dan dalam skala yang besar untuk dijadikan buruh apabila
berlaku perkembangan bijih timah pada pertengahan abad ke-19 dan perusahaan getah
pada awal abad ke-20. Perkembangan ini disebabkan terceusnya Revolusi Perindustrian di
Eropah. Sehubungan itu, pihak kolonial terpaksa mencari tanah jajahan sebagai pembekal
bahan mentah sekaligus menjadi tapak pemasaran barangan hasil industri negara mereka.

Semasa zaman pemerintahan British, satu dasar telah dijalankan iaitu dasar pecah
dan perintah (Divide and Rule). Dasar ini menjurus ke arah dasar segregasi iaitu pemisahan
manusia dan mengelakkan apa jua bentuk hubungan sama ada secara rela atau paksaan.
Dasar ini memperlihatkan proses polarisasi atau pengasingan pekerjaan telah dilakukan
kepada penduduk di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Kaum Cina mendominasi
pekerjaan perlombongan dan perniagaan manakala kaum India menjadi buruh di ladang
getah. Kaum Melayu pula terus menjalankan mata pencarian sebagai petani dan nelayan.
Seiring dengan pengasingan bidang pekerjaan, dasar ini juga membahagikan kaum
mengikut petempatan. Kaum Melayu berada di pedalaman, kaum India di ladang getah
terpinggir dan kaum Cina di bandar atau di pinggir bandar contohnya Kuala Lumpur, Ipoh
dan Taiping (Mohd Ashraf Ibrahim et.Al, 2018).

Tindakan British dalam melaksanakan dasar pecah dan perintah ini telah
mewujudkan identifikasi kaum mengikut pekerjaan dan petempatan seterusnya membawa
kepada ketidakseimbangan ekonomi antara kaum serta antara bandar dan luar bandar. Hal
ini kerana kaum yang bekerja di bandar terlibat dengan ekonomi komersial namun kaum di
pedalaman masih mengamalkan kegiatan sara hidup. Oleh demikian, interaksi antara kaum
yang pelbagai ini menjadi sangat terhad dan terbatas kerana masa banyak diluangkan di
tempat kerja serta komunikasi hanya berlaku sesama kaum sahaja. Pengasingan daripada
segi fizikal ini juga menyukarkan setiap kaum bercampur gaul, bermesra atau memahami
budaya dan adat resam kaum yang lain. Natijahnya, wujud perasaan prejudis dan

1
perkauman kerana kurang pemahaman antara kaum-kaum tersebut. Kesemua kesan ini
memperlihatkan kegagagalan dalam mencapai makna sebenar konsep hubungan etnik di
Tanah Melayu kerana menebalnya konsep segregasi dan diskriminasi hasil dasar pecah dan
perintah pihak British. Maksud segregasi di sini ialah pemisahan kaum-kaum dan
mengelakkan apa jua bentuk hubungan antara kaum di Tanah Melayu manakala maksud
diksriminasi dalam konteks semasa penjajahan British ialah sikap pilih kasih sesebuah
kelompok terhadap satu kelompok yang lain yang dirasakan tidak setaraf dengannya.

Konsep hubungan etnik juga meliputi aspek politik. Politik secara umumnya
bermaksud rangkuman aktiviti manusia iaitu proses perhubungan manusia secara biasa
mahupun yang melibatkan kuasa. Semasa pemerintahan British, pemerintahan colonial
telah diterapkan dan menggantikan pemerintahan feudal di Tanah Melayu. Raja-raja Melayu
telah dipaksa mengikut nasihat para pegawai British dalam semua urusan pentadbiran,
kecuali perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Tindakan ini
secara tidak langsung telah menghakis hak dan kedudukan istimewa yang dinikmati oleh
orang Melayu secara beransur-ansur.

Situasi ini terjadi selepas Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 antara Raja
Abdullah dan Sir Andrew Clarke. Perjanjian ini menandakan bermulanya penguasaan pihak
British terhadap negeri-negeri di Tanah Melayu. Kemudian pihak British telah
memperkenalkan Perlembagaan Malayan Union yang dikuatkuasakan pada tahun 1946.
Perlembagaan ini bukan sahaja menafikan hak keistimewaan orang bahkan keistimewaan
dan kedudukan yang dimiliki oleh raja-raja Melayu telah dikurangkan dengan kuasa
dihadkan kepada keperluan rasmi dan perkara-perkara kecil sahaja. Hal-ha berkaitan
pentadbiran seperti hal ehwal pentadbiran negeri, hal ehwal pertahanan dan hubungan luar
negeri diletakkan di bawah pengaruh pihak British. Selain itu, segala urusan pungutan cukai
dan kawalan hasil negeri dilakukan mengikut nasihat residen yang telah dilantik oleh pihak
British.

Kehilangan kuasa raja merupakan kesan besar kolonial British daripada aspek politik
masyarakat Melayu. Apabila British berjaya mengawal kuasa raja, maka senanglah pihak
British untuk mengeksploitasi sumber ekonomi. Kesan perubahan pemerintahan feudalisme
kepada pemerintahan kolonialisme ialah, hilangnya kuasa Raja secara sedikit demi sedikit.
Padahal sebelum ini kedudukan Raja-raja Melayu sangat tinggi sehingga wujudnya konsep
daulat dan derhaka. Perubahan ini telah membawa kepada perpecahan antara kaum kerana
masing-masing dipecahkan mengikut kekuasaan Residen negeri masing-masing.
Masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu terpaksa tunduk kepada pemerintah British
sehingga mengabaikan ketaatan kepada Raja-raja Tanah Melayu. Makanya, kaum-kaum di

2
Tanah Melayu pada ketika itu tidak mampu berinteraksi sebaik mungkin dalam satu
hubungan politik tempatan.

Semasa pemerintahan British, aspek sosial turut mempengaruhi hala tuju hubungan
etnik di Tanah Melayu. Perkara utama dalam aspek sosial yang menunjukkan kepincangan
hubungan etnik di Tanah Melayu ketika zaman British ialah bidang pendidikan. Semasa
pemerintahan British di Tanah Melayu, sistem pendidikan vernakular telah diperkenalka.
Sistem vernakular bermaksud pendidikan yang mengguna pakai bahasa ibunda kaum
masing-masing sebagai bahasa pengantara dalam pengajaran dan pembelajaran di
sekolah. Jenis-jenis sekolah vernakular ialah sekolah vernakular Melayu, vernakular India,
vernakular Cina dan sekolah vernakular Inggeris.

Pelaksanaan sistem ini telah menimbulkan masalah perpaduan antara kaum. Hal ini
kerana pihak British tidak menyeragamkan pengurusan dan pembelajaran di sekolah-
sekolah vernakular ini. Bagi sekolah Cina dan India, guru-guru diambil dari negara asal
mereka. Pada masa itu juga, orang-orang Melayu tidak mendapat pendidikan yang tinggi.
Pihak British menubuhkan vernakular Melayu sekadar memenuhi keperluan politik mereka
sahaja di samping menajaga hubungan dengan pembesar-pembesar Melayu pada ketika
itu. Bahkan, lulusan sekolah Melayu hanya untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di
peringkat rendah yang akhirnya menjadi pekebun atau nelayan sahaja. Falsafah pihak
British ketika itu ialah ingin anak Melayu menjadi petani yang lebih baik daripada bapanya.
Sekolah kaum Melayu adalah bersifat tradisional iaitu kurikulum dan mutu pendidikan yang
disediakan adalah sangat terbatas. Sekolah-sekolah Melayu ini didirikan atas usaha mereka
sendiri. Contohnya, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang dibina pada tahun 1922
yang bertujuan melatih guru sekolah Melayu merupakan satu-satunya institusi lanjutan
sekolah rendah bagi orang Melayu.

Sementara itu, sekolah vernakular Tamil pula didirikan di estet-estet. Pembiayaan


sekolah ini ditanggung oleh pihak pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, tuan-tuan
ladang getah yang terdiri daripada orang Inggeris dan Eropah tidak bersungguh-sungguh
untuk memajukan pendidikan sekolah Tamil. Oleh itu pendidikan di sekolah-sekolah Tamil
agak suram dengan mutu pengajaran para guru dari India yang berada di aras rendah.
Selain itu, pelajaran peringkat menengah tidak disediakan di sekolah-sekolah Tamil. Justeru,
lepasan sekolah Tamil juga mengalami nasib yang sama dengan lepasan sekolah Melayu
iaitu tidak mempunyai jaminan untuk mencapai pekerjaan lain selain menjadi buruh di
ladang getah seperti ibu bapa mereka.

Namun, terdapat perbezaan antara sekolah Cina dengan sekolah India dan juga
Melayu. Orang Cina mempunyai tradisi untuk menghormati dan mementingkan pendidikan

3
bagi anak-anak mereka. Sekolah-sekolah vernakular Cina ini dibina dan dibiayai oleh orang
Cina yang kaya dalam kelompok itu. Di samping itu, para guru dan buku teks yang diajar di
sekolah-sekolah Cina didatangkan dari negeri China dan murid-muridnya mempelajari
perkara- perkara yang sama seperti murid-murid di sana. Seterusnya, pelajar Cina
mendapat pelajaran yang lebih tinggi kerana sekolah Cina menyediakan pendidikan enam
tahun di peringkat sekolah rendah dan pelajaran menengah. Ramai juga keluarga
berkemampuan menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran ke negeri China.

Sekolah-sekolah Inggeris di Tanah Melayu pula dikembangkan oleh mubaligh-


mubaligh Kristian. Mereka memilih pendidikan sebagai satu saluran untuk mengembangkan
agama mereka. Antara sekolah yang terkenal ialah Penang Free School yang dibina pada
tahun 1816. Walaupun sekolah-sekolah Inggeris telah dibuka kepada semua kaum, tetapi
hanya segelintir kaum Melayu yang berpeluang untuk belajar di sekolah tersebut. Timbulnya
perkara sebegitu ekoran tidak mampu membayar yuran persekolahan yang mahal selain
sebilangan mereka khuatir pengaruh Kristian yang diamalkan di sekolah menggugat
pegangan agama anak-anak mereka yang beragama Islam.

Berdaskan fakta-fakta yang dikemukakan, kewujudan sistem sekolah vernakular


telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India mempunyai perbezaan dari tiga
perkara penting. Pertama, dari segi bahasa pengantar, setiap sekolah menggunakan
bahasa ibunda masing-masing. Penggunaan bahasa pengantar yang berbeza telah
menyebabkan masalah komunikasi antara kaum kerana tidak mempunyai satu bahasa
pengantar yang difahami ketiga-tiga kau ini. Hal ini akan membawa kepada isu salah faham
ekoran tiada komunikasi berkesan antara kaum Melayu, Cina dan India. Kedua, sekolah-
sekolah dipisahkan oleh lokasi yang berbeza mengikut sektor ekonomi yang diceburi oleh
kaum masing-masing. Perbezaan ini telah membataskan interaksi dan pergaulan antara
kaum pelbagai di Tanah Melayu. Ekoran daripada pengasingan lokasi ini juga, masyarakat
pluralistik di Tanah Melayu tidak dapat mempelajari dan memahami budaya dan adat antara
mereka. Perkara ini telah menimbulkan perasaan prejudis dan perkauman kerana
merasakan budaya mereka sahaja yang boleh diterima pakai. Ketiga,kanak-kanak di
sekolah-sekolah vernakular ini telah ditanamkan dengan ideologi dan pengaruh daripada
negara asal masing-masing melalui sistem kurikulum yang berteraskan negara asal kaum
tersebut. Setiap sekolah vernakular ini hanya mengagungkan tanah air sendiri seperti di
negara Cina, India dan England. Makanya, kanak-kanak tidak memiliki jati diri sebenar
sebagai penduduk Tanah Melayu. Kesimpulannya, hubungan etnik dari segi sosial
khususnya pendidikan tidak mencapai makna sebenar.

4
PERANAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA DALAM MEMBINA JATI DIRI DAN BANGSA
DALAM MASYARAKAT PLURALISTIK

Lantaran berlaku kepincangan dalam hubungan etnik setelah pemerintahan British,


maka Perlembagaan Malaysia telah dilihat berperanan menjadi alat membina jati diri dan
bangsa dalam masyarakat pluralistik di Malaysia kini. Jati diri merujuk kepada identiti
individu, masyarakat dan negara bangsa yang mempunyai sifat-sifat keutuhan yang
dibanggakan. Definisi perlembagaan menurut Md. Bohari Ahmad (1997) ialah satu dokumen
yang mengandungi semua undang-undang asas negara (Syed Ismail Syed Mustapa et.al,
2017). Secara umumnya, Perlembagaan Malaysia ialah satu dokumen yang mengandungi
segala susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting bagi
pemerintahan dan pentadbiran Malaysia bahkan diiktiraf sebagai sumber undang-undang
tertinggi negara.

Terdapat 15 Bahagian, 183 Perkara dan 13 jadual dalam Perlembagaan Malaysia.


Kandungan perlembagaan ini digubal hasil suara tiga kaum utama iaitu orang Melayu, Cina
dan India. Kesepakatan ini disebut sebagai kontrak sosial yang berteraskan tolak ansur
antara semua kaum dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa. Terdapat empat
aspek dalam Perlembagaan Malaysia 1963 yang menjadi wadah pembinaan jati diri dan
bangsa iaitu institusi beraja, agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan dalam
perkara 3, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam perkara 152 dan
kedudukan istimewa orang Melayu.

Sistem pemerintahan di Malaysia sejak Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini


masih berpegang kepada sistem pemerintahan beraja. Walaupun perlembagaan menjadi
undang-undang tertinggi di Malaysia namun raja masih diangkat sebagai pemimpin teratas
dalam pentadbiran negara ini. Semua kaum dan etnik tidak kira apa agama sekalipun perlu
mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja. Ketaatan dan kesetiaan
yang dizahirkan ini mampu membina jati diri bangsa kerana masing-masing akan
mempertahankan institusi beraja di Malaysia dari anasir-anasir luar yang cuba mengganggu
gugat keamanan dan kestabilan negara. Kemanan negara terbukti apabila laporan Indeks
Kedamaian Sedunia 2018 menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan 25 global dalam
kategori golongan negara damai. Jika kita bandingkan jangka hayat damai di Malaysia
dengan Sri Lanka, Myanmar dan jiran negara ASEAN lain, data menunjukkan keganasan
lebih ketara di negara berkenaan.

Merujuk kepada hal agama diperuntukkan dalam Bahagian I, Perkara 3


Perlembagaan Malaysia yang mana menjelaskan beberapa hal. Pertama, Islam adalah

5
agama rasmi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh dianuti dengan aman dan
harmonis di mana-mana bahagian Persekutuan. Kedua, di negeri yang ada Sultan atau Raja
sebagai ketua negeri, Sultan atau Raja adalah ketua agama Islam negeri berkenaan. Ketiga,
Bagi negeri-negeri tanpa sultan iaitu Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang dari
Wilayah-wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, maka ketua
agama Islam ialah Yang di-Pertuan Agong.

Semasa penyediaan Perlembagaan Malaysia, soal agama perhatian diberikan oleh


Suruhanjaya Reid yang ditugaskan menggubal Perlembagaan ini. Namun, tidak timbul isu
kaum lain disekat kebebasan beragama kerana di Bahagian II iaitu di bawah Kebebasan
Asasi, Perkara 11 menyatakan bahawa setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan
agamanya sendiri serta dilindungi daripada dipaksa membayar sebarang cukai keagamaan
melainkan untuk faedah agama itu sendiri (Syed Ismail Syed Mustapa, Pushpavalli, Meor
Aris Meor Hamzah dan Rosly Mohd. Sani, 2017)

Isi kandungan perlembagaan berkenaan Agama Islam ini akan mewujudkan


perpaduan seterusnya melahirkan negeri bangsa yang memiliki jati diri yang tinggi kerana
kaum lain tidak dipaksa menganuti agama Islam bahkan pegangan mereka dihormati
sebagaimana mereka menghormati agama Islam itu sendiri. Tambahan pula, agama Islam
itu sendiri tidak mempunyai sebarang unsur yang tidak elok. Agama Islam itu sendiri
menganjurkan penganutnya berbuat perkara-perkara yang baik dan meninggalkan
kejahatan. Hal ini seperti yang dipegang oleh kaum lain bahawa agama mereka juga
menyuruh mereka melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perbuatan yang boleh
menggugat keamanan sejagat. Oleh itu, isu bahawa agama lain diketepikan tidak perlu
timbul kerana di sini kita mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi kerana rakyat
majoriti adalah beragama Melayu dan disebabkan agama itu sendiri yang sudah lama
bertapak di sini.

Perlembagaan Malaysia juga menjadi alat membina jati diri setelah Bahasa Melayu
dipersetujui oleh semua kaum melalui kontrak sosial untuk dijadikan bahasa kebangsaan di
Tanah Melayu dan diletakkan dalam perlembagaan sebagai perkara 152. Walau
bagaimanapun, kaum-kaum lain tidak dinafikan hak untuk menggunakan bahasa ibunda
mereka dalam kegiatan harian. Oleh itu, bahasa Melayu telah diwajibkan penggunaannya
dalam urusan rasmi bagi menjamin kewujudan satu bahasa pengantar untuk
menghubungkan semua kaum di Malaysia. Penggunaan satu bahasa kebangsaan dalam
kegiatan harian telah menyediakan satu peluang kepada kaum-kaum di Malaysia untuk
berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan antara satu sama lain. Kesannya, kaum
majmuk di Malaysia akan semakin menghargai bahasa Melayu yang menjadi kebanggaan

6
Tanah Melayu pada zaman dahulu kerana diangkat sebagai lingua franca oleh dunia.
Lingua franca bermaksud bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara
masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010).
Sesungguhnya perkara ini menonjolkan bahawa jati diri bangsa telah wujud dalam diri
penduduk Tanah Melayu dan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia juga menggariskan perkara 153 iaitu Hak-hak Orang


Melayu. Menyoroti sejarah, apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 digubal
bagi maksud pembentukan sebuah persekutuan, perkara yang menyentuh kepentingan
orang Melayu sebagai bangsa asal terus diberi perhatian. Hal ini tidak pelik kerana melalui
kuat kuasa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Raja-Raja Melayu juga
memperkenankan bangsa dan kaum asing diterima masuk sebagai warganegara. Lantaran
itu, kedudukan istimewa orang Melayu diletak di bawah tanggungjawab khas Pesuruhjaya
Tinggi Persekutuan, yang juga berfungsi untuk memelihara kepentingan sah kaum lain.
Realiti yang ada pada hari ini menunjukkan ekonomi dan kekayaan Malaysia masih dikuasai
kaum bukan Melayu dan bukan anak-anak negeri.

Kedudukan itu bukti kukuh bahawa Perkara 153 bukanlah satu dasar yang
menghalang kaum bukan Melayu dan anak negeri untuk meraih kekayaan, jauh sekali
bersifat diskriminasi yang bercanggah dengan prinsip keadilan. Sebaliknya, Perkara 153
ialah susulan daripada komitmen Raja-Raja Melayu di bawah Perjanjian Negeri 1948
sebelum bangsa dan kaum asing diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah
Melayu. Kewajaran peruntukan sedemikian boleh dilihat dari sudut sejarah Tanah Melayu,
Sabah dan Sarawak. Perkara 153 tidak boleh dilihat sebagai satu kekebalan kepada kaum
Melayu semata-mata.

Dasar itu juga sebenarnya bertujuan menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain bagi
mengelak jurang yang besar antara kaum Melayu dan bukan Melayu. Antara perkara yang
menunjukkan bahawa kaum-kaum lain turut diberikan peluang sama rata ialah kepentingan
sah untuk komuniti lain dari sudut kewarganegaraan, perwakilan di Dewan Negara, exco-
exco Kerajaan Negeri serta hak-hak sivil yang lain untuk kaum bukan Bumiputera. Apabila
semua kaum memahami bahawa hak orang Melayu ini merupakan kontrak sosial yang telah
dipersetujui sejak dahulu lagi, maka semua kaum dan etnik akan berlapang dada dan
memahami konsep yang ada ini. Apabila persefahaman tercipta makan satu negara bangsa
yang kukuh akan wujud. Hal ini kemudiannya akan mewujudkan jati diri yang tnggi dalam diri
setiap rakyat Malaysia.

7
TUGASAN 2

Integrasi bermaksud menyatukan ahli yang terdiri daripada pelbagai rasa dan kumpulan
etnik dalam sesebuah organisasi sosial yang sama taraf dan tiada sebarang sistem
pemisahan. Menurut Thomson dan Hickey (1994), integrasi merujuk kepada cara
menyatukan masyarakat yang berbeza latar belakang sosial sehingga menghasilkan sebuah
masyarakat yang berkongsi pengalaman sosial yang sama bahkan membentuk norma,
sikap dan kepercayaan yang sama. Konteks integrasi dari sudut pandang ahli fasafah juga
berbeza antara satu sama lain. Howard Wriggins memberi makna integrasi sebagai proses
menyatukan bahagian terpisah antara masyarakat kepada penyatuan holistik atau
pembentukan satu bangsa yang terdiri daripada pelbagai etnik (Wan Hashim, 2011)

Membentuk dan mengekalkan integrasi nasional di Malaysia bukanlah satu


tanggungjawab yang enteng. Pelbagai usaha telah dirangka dan dijalankan oleh kerajaan
bagi membina masyarakat yang adil dari segi struktur ekonomi, politik dan juga sosial.
Terdapat pelbagai usaha besar yang telah dilakukan pihak kerajaan Malaysia dalam
menangani masalah integrasi nasional masyarakat Malaysia zaman kini. Antara usaha
besar yang dibuat ialah memperkenalkan Rukun Negara, penubuhan Sekolah Wawasan
serta melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru.

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah membuka mata pelbagai pihak
tentang pentingnya usaha-usaha yang lebih serius diberikan tumpuan dalam menguruskan
perbezaan serta sensitiviti yang terdapat dalam sebuah masyarakat majmuk seperti
Malaysia. Berikutan peristiwa itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan.
Pada 1 Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara di bawah perintah MAGERAN telah
diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di
negara ini pada waktu itu. Jabatan ini kemudiannya ditukar nama kepada Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Rukun Negara telah dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Malaysia
(MAGERAN) berdasarkan pindaan Draf Rukun Negara yang terbentuk melalui Majlis
Perundangan Negara (MPN). Terdapat lima prinsip dalam Rukun Negara iaiatu kepercayaan
kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan
undang-undnag dan kesopanan dan kesusialaan. Tertubuhnya Rukun Negara telah diterima
pakai sebagai ideologi nasional Malaysia dan dijadikan panduan untuk merencana program
dan dasar negara. Selain itu, Rukun Negara turut digunakan sebagai instrumen bagi

8
mengatasi garis pemisah antara kaum dan etnik dalam membentuk serta membimbing
masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan perpaduan. Dalam pada itu, Rukun Negara juga
menjadi peraturan dan norma hidup kepada masyarakat di Malaysia. Hal ini kerana, semua
kaum dan etnik di Malaysia akan mengamalkan kelima-lima prinsip ini secara sedar ataupun
tidak sedar. Sesungguhnya pematuhan kepadanya dapat mewujudkan perpaduan antara
kaum dan etnik di Malaysia kerana intipati Rukun Negara itu sendiri mengajak ke arah
kebaikan dan kesejahteraan.

Kerajaan juga telah melaksanakan inisiatif ke arah menangani masalah integrasi


nasional masa kini dengan menubuhkan Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan
ialah usaha melahirkan bangsa Malaysia yang bersifat cintakan negara dan memiliki jati
diri yang tinggi dengan menyatukan sekolah dalam satu sistem pendidikan yang
seragam yang dahulunya terasing antara satu sama lain untuk mewujudkan satu
pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama. Ini bermaksud penggabungan
sekolah berkenaan sudah pasti akan menemukan pelajar kepada satu andaian baru
dalam hidup mereka.

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh menteri pendidikan, Tan Sri Musa
Mohamad, Sekolah Wawasan tidak akan menghapuskan identiti SRJK tetapi Sekolah
Wawasan adalah gabungan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu SRK (Sekolah Rendah
Kebangsaan), SRJKC (Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina) dan SRJKT (Sekolah
Rendah Jenis Kebangsaan Tamil) dalam satu kawasan. Di dalam kawasan ini,
sekolah tersebut akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang,
kantin, perpustakaan dan pelbagai lagi secara bersama atau dikongsi bersama.
Manakala setiap sekolah tetap mempunyai bangunan dan pentadbiran mereka sendiri.

Murid-murid akan dibiarkan berinteraksi dan bermain bersama-sama. Proses


integrasi dan asimilasi seharusnya dibiarkan berlaku secara evolusi serta semula jadi.
Sebarang percubaan untuk mewujudkan integrasi dan asimilasi secara paksaan pasti
akan menemui kegagalan. Dengan cara ini dapat menghapuskan tembok pemisah serta
mengurangkan jurang yang wujud di antara pelbagai kaum di negara ini. Apabila
murid-murid daripada pelbagai kaum, agama, adat dan latar belakang bertemu di satu
Sekolah Wawasan ini, maka integrase nasional akan mampu ditanamkan dalam diri anak-
anak ekcil yang kelak akan menjadi pemuda harapan bangsa.

Menyingkap sejarah pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dasar ini


sebenarnya dibuat untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi
kehendak negara. Maka, lahirlah dasar ini melalui Penyata Razak (1956). Dasar Pendidikan
Kebangsaan diperkenalkan melalui Akta Pelajaran 1961 merupakan dasar ke arah

9
mewujudkan masyarakat yang harmonis. Strategi pelaksanaan dalam dasar ini ialah
menjadikan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama,
mewujudkan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah
serta memastikan sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang diguna pakai di semua
sekolah adalah seragam.

Kesedaran tentang kepentingan bahasa amat penting kerana melalui perkongsian


satu bahasa kebangsaan, semua kaum dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan.
Lanjutan daripada itu, penggunaan bahasa yang seragam mampu membantu
menghilangkan perasaan prasangka antara kaum dan etnik di Malaysia. Perkongsian satu
bahasa yang sama ini akan mampu meningkatkan kefahaman budaya sesuatu kaum
tentang budaya kaum yang lain. Sikap saling memahami ini akan mewujudkan sikap hormat-
menghormati yang kemudiannya akan membantu memupuk integrasi nasional dan juga
perpaduan kaum di Malaysia.

Kurikulum Kebangsaan merupakan satu lagi ciri Dasar Pendidikan Kebangsaan yang
bertujuan mewujudkan keperibadian ke arah pembentukkan perpaduan kaum di negara kita.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) digubal bertujuan untuk membangunkan modal insan yang berilmu pengetahuan
disamping menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat patriotik dan sikap saling
menghormati. Pengenalan kurikulum yang sama telah merupakan langkah ke arah
pemupukan asas perpaduan semenjak dari alam persekolahan lagi. Pendedahan awal ini
mampu menanamkan semangat patriotisme yang tinggi terutamanya melalui subjek
Sejarah. Kurikulum yang digunakan ini juga tidak menunjukkan unsur bias atau memihak
kepada satu-satu etnik sahaja. Budaya setiap kaum atau etnik perlu diterima dan perlu
ditonjolkan sebagai budaya Malaysia. Tambahan pula kurikulum yang diperkenalkan adalah
berorientasikan Malaysia berbeza dengan zaman British dahulu yang mengagungkan
kruikulum negara luar. Sehubungan itu, murid-murid akan diasuh sejak kecil untuk berfikir
dan bertindak sebagai seorang warganegara Malaysia tidak kira kaum dan etnik apa
sekalipun.

Di bawah Dasar Pendidikan Kebangsaan juga disebutkan tentang satu sistem


peperiksaan yang sama. Peperiksaan yang sama dan seragam telah dimulakan oleh
kerajaan seperti UPSR yang kini ditukar kepada PMR, SPM dan STPM. Apabila sistem
peperiksaan diseragamkan, murid-murid dari semua sekolah akan saling berkongsi bahan
pelajaran, akan mengadakan program-program ilmu antara sekolah dan akan saling
bergantung antara satu sama lain. Keseragaman ini juga telah dapat menghindarkan
perasaan rendah diri dalam mana-mana kaum kerana dilayan sama rata tanpa perbeaan

10
standard dalam pendidikan. Perkara ini mampu mengelakkan prejudis antara kaum kerana
unsur diskriminasi dan segregasi telah dihapuskan.. Mereka tidak akan menghiraukan lagi
perbezaan kaum, bangsa, agama dan fahaman kerana mereka telah disatukan dengan
sistem pelajaran yang sama ini.

Akhir sekali, dasar yang dilaksanakan kerajaan dalam mewujudkan integrasi


nasional antara kaum di Malaysia ialah melalui ekonomi iaitu pelaksanaan Dasar Ekonomi
Baru (DEB) .Dasar pecah dan perintah yang dibawa oleh British sedikit sebanyak
menimbulkan kecurigaan antara kaum khususnya dalam hal ehwal ekonomi. Fenomena ini
telah menyebabkan berlakunya peristiwa rusuhan pada 13 Mei 1969 yang telah membawa
kepada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 oleh Tun Abdul Razak .
DEB tidak lain bertujuan untuk memupuk perpaduan antara etnik pelbagai kaum di Malaysia
disamping membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum serta
menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan kawasan.Selain itu,
penyusunan semula masyarakat adalah antara objektifnya untuk merapatkan jurang
ekonomi luar bandar dan bandar.

Kejayaan DEB yang paling nyata dan membanggakan ialah penurunan kadar
kemiskinan dari 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.7% pada tahun 2005. Di kawasan luar
bandar, pendapatan penduduk telah meningkat dan penganguran tidak ketara (under
employment) hampir hilang. Sebelum ini, kaum Melayu sinonim dengan belenggu
kemiskinan. Hidup dikawasan luar bandar dengan serba kekurangan telah menyebabkan
kaum tersebut dipandang rendah oleh masyarakat yang menetap dibandar. Hal ini
disebabkan oleh, sebelum ini , peluang ekonomi di kawasan bandar adalah sangat besar
jika hendak dibandingkan dengan peluang ekonomi di kawasan luar bandar. FELDA dan
MARA yang wujud setelah pelaksanaan DEB ternyata telah merapatkan jurang ekonomi
antara penduduk luar bandar dan bandar. Secara tidak langsung komunikasi yang kerap
antara pelbagai etnik melalui aktiviti ekonomi telah mengukuhkan perpaduan antara mereka.

Seterusnya, kemudahan moden seperti jalan raya, sekolah, klinik kesihatan, kuasa
eletrik dan bekalan air telah menjadi kemestian seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh
DEB. Melalui infrastruktur seperti ini masyarakat luar bandar tiada alasan untuk tidak seiring
mencapai kemajuan dengan masyarakat bandar. Malah, kemudahan-kemudahan yang
disediakan adalah bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan bandar-bandar baharu di
kawasan luar bandar serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar
kawasan tersebut. Dalam hal ini, migrasi penduduk dari luar bandar ke bandar dapat
dikurangkan. Maka, kemajuan yang seimbang akan dapat dicapai tak kira di kawasan
bandar mahupun luar bandar. Kemudahan-kemudahan ini boleh digunakan oleh semua

11
masyarakat tanpa mengira kaum agama dan pekerjaan. Maka wujud keadilan dan
kesamarataan antara semua rakyat Malaysia. Kepentingan DEB terhadap kemakmuran dan
kesejahteraan masyarakat majmuk Malaysia disebutkan oleh Tun Abdul Razak Hussein
bahawasanya Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membasmi kemiskinan dan menyusun
semula masyarakat memberikan peluang kepada rakyat berbilang bangsa untuk menikmati
kemakmuran negara dengan lebih adil dan saksama (Mohamad Asrol Arpidi bin Mamat,
Ishak Saat & Khairi Ariffin, 2014)

CABARAN DALAM MELAKSANAKAN USAHA KE ARAH INTEGRASI NASIONAL

Sesungguhnya usaha kerajaan dalam melaksanakan pelbagai dasar bagi


menyatupadukan rakyat dan mewujudkan integrasi nasional telah menunjukkan bahawa
kerajaan sangat komited dalam isu ini. Walau bagaimanapun, masih terdapat cabaran yang
perlu dihadapi dalam memastikan integrase nasional ini wujud sama ada dari sudut
ekonomi, politik maupun sosial.

Pertama, cabaran dalam menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar


di sekolah-sekolah. Melihat kepada keadaan terkini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran. Bahkan buku teks yang digunakan juga merupakan pindahan
bahasa kepada bahasa ibunda mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan
objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan yang inginkan bahasa Melayu itu menjadi bahasa
kebangsaan semua rakyatnya. Apabila bahasa pengantar di sekolah adalah berbeza-beza
makan semestinya bahasa pertuturan dan komunikasi juga berbeza-beza. Maka setelah
beralih ke dunia pengajian yang lebih tinggi iaitu universiti, maka jurang antara kaum-kaum
akan ketara disebabkan komunikasi berkesan tidak berlaku.

Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan tidak


dapat menerima bahasa kaum yang lain. Kaum-kaum ini menganggap bahawa mempelajari
bahasa kaum lain adalah tidak penting. Sekiranya pemikiran mereka hanya disogok dengan
etnik mereka sahaja, pasti integrasi nasional akan pincang.Jika di peringkat sekolah telah
wujud kerenggangan dalam hubungan antara murid-murid pelbagai kaum, maka
keterasingan ini akan semakin ketara di peringkat institute pengajian tinggi (IPT) sama ada
swasta atau kerajaan. Implikasinya, nilai-nilai dan semangat kekitaan akan semakin luntur
dan akhirnya tenggelam dek kerana masyarakat tidak hiraukan kesatuan dalamaspek
pendidikan.

Seterusnya, cabaran dalam melaksanakan Sekolah Wawasan juga dapat


diperhatikan dengan jelas oleh pelbagai pihak. Objektif Sekolah Wawasan untuk
menggabungkan dan mewujudkan interaksi antara sekolah-sekolah Cina dan Tamil dengan

12
Sekolah Kebangsaan melalui perkongsian infrastruktur telah menemui jalan buntu dan
hanya terlaksana separuh jalan sahaja. Hal ini kerana sekolah-sekolah ini masih melakukan
aktiviti dalam kelompok mereka sendiri dan tidak bergaul dengan sekolah-sekolah lain.
Bahkan mereka akan cuba mencari masa yang berbeza untuk menggunakan sesebuah
infrastruktur tersebut untuk mengelakkan percampuran.

Perkara ini juga merupakan tanggungjawab pihak pentadbir sekolah yang


seharusnya memastikan murid-murid berinteraksi antara satu sama lain dengan merancang
aktiviti yang melibatkan semua murid dalam sekolah-sekolah yang berbeza ini. Sayangnya,
pihak sekolah juga sesetengahnya gagal untuk berinteraksi sesame mereka atas alasan
tidak mempunyai pelan tindakan dan idea yang sama dari segi pengurusan sekolah. Mereka
lebih selesa berinteraksi dengan ahli mereka sendiri tanpa menghiraukan pihak sekolah lain.

Cabaran dari segi politik juga semakin membarah dan menjejaskan integrasi
nasional masyarakat Malaysia. Hal ini kerana setiap parti politik tersebut mempunyai agenda
tersendiri yang kadangkala hanya mementingkan kaum mereka sahaja. Malah, lebih parah
lagi terdapat sesetengah parti politik yang sanggup menggunakan agenda jahat bagi
mencapai objektif dan kehendak parti masing-masing. Melihat kepada situasi ini, perkara
sedemikian akan menjarakkan lagi hubungan antara kaum dan menimbulkan perasaan
prejudis dan syakwasangka dalam kalangan penduduk di Malaysia.

Oleh itu, berdasarkan dua cabaran yang disebutkan ini, maka semua pihak perlu
berganding bahu agar cabaran ini dapat diselesaikan bagi memastikan integrasi nasional
mampu dicapai dengan jayanya.

13

You might also like