Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 2

BAHAGIAN C

[15 markah]
[Masa dicadangkan : 15 Minit]

Pilih sama ada soalan 1 atau soalan 2


1. Baca petikan dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang
panjangnya antara 80 hingga 100 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat
anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kematian yang berpunca daripada kecelakaan jalan raya di Malaysia


menunjukkan perangkaan yang tinggi pada setiap tahun. Sejak beberapa tahun dahulu,
perkara yang sering diperkatakan dan banyak usaha telah dijalankan, namun kadar
kemalangan maut tetap tidak berkurang. Antara usaha yang dilaksanakan untuk mengatasi
kecelakaan di jalan raya termasuklah tindakan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ)mengenakan kompaun maksimum RM300 kepada pemandu yang melakukan
kesalahan lalu lintas. Operasi pacak yang dilakukan oleh pihak polis memberikan kesan
penurunan bagi kemalangan maut di jalan raya di negara ini.

Selain itu, nama pesalah akan disenaraikan dalam Sistem Keselamatan Jalan Raya
(Kejara)bagi setiap kesalahan sebagai peringatan kepada mereka supaya tidak
mengulangi kesalahan tersebut. Mengikut statistik, penunggang dan pembonceng
motosikal masih terus menduduki senarai teratas sebagai mangsa yang paling banyak
terkorban dalam kemalangan jalan raya.

Tambahan pula, kekerapan kemalangan jalan raya yang berlaku boleh


menyebabkan imej negara pada mata orang asing terjejas. Orang ramai akan beranggapan
bahawa pengguna jalan raya negara ini tidak bertanggungjawab dan suka memandu dalam
keadaan bahaya pula. Jelaslah, maruah dan imej negara akan dipandang rendah oleh
masyarakat terutamanya pelancong asing jika kemalangan terus berlaku.

Usaha lain yang perlu dilakukan adalah dengan meletakkan papan tanda lokasi
bahaya di lebuh raya utama oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia.Seterusnya Kementerian
Pengangkutan dan JPJ turut mengadakan seminar kepada pemandu di negara ini bagi
melahirkan pemandu berhemat yang dicita-citakan.

Poster yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya yang ngeri juga dipasang di
sekitar lebuh raya utama terutama di kawasan yang kerap berlakunya
kemalangan.Sesungguhnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk
mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.
2. Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu
ringkasan tentang ciri-ciri rumah Melayu Tradisional. Panjang ringkasan anda
hendaklah antara 80 hingga 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya
menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Rumah merupakan tempat kediaman yang dibina bersifat kekal dan dihuni
manusia dalam suatu tempoh tertentu. Pembinaan sesebuah kediaman di sesuatu tempat
kebanyakannya dipengaruhi oleh kemudahan setempat, kejiranan, kepercayaan dan
keselamatan. Rumah Melayu Tradisional yang didirikan oleh masyarakat Melayu di negara
ini mempunyai sejarah yang cukup panjang dan mencerminkan ketinggian budaya seni
bina bangsa Melayu.

Rumah-rumah Melayu tradisional ini cukup unik dan kaya dengan unsur estetika
sehingga menarik hati sesiapa yang memandangnya. Satu keunikan rumah Melayu
tradisional ialah kedudukan yang menghadap arah kiblat. Hal ini adalah selari dengan
anutan agama Islam yang menunjangi kehidupan orang Melayu. Selain itu pembinaan
rumah Melayu tradisional juga mengambil kira persekitaran yang kondusif seperti aman,
tenang dan jiran yang saling mengenali antara satu dengan yang lain. Di samping itu,
rumah Melayu tradisional juga memberi keutamaan kepada faktor keselamatan. Misalnya,
rumah tersebut dibina tinggi dengan mempunyai tiang dan jarak lantai kira-kira 4 meter
dari tanah bagi mengelakkan banjir, dan diceroboh oleh binatang buas.

Selanjutnya, tiang rumah Melayu tradisional menggunakan kayu yang berbentuk


bulat dan diikat dengan rotan atau akar bagi menguatkan persendian tanpa menggunakan
paku besi. Sebaliknya, paku kayu digunakan untuk menguatkan rangka rumah manakala
papan pula digunakan sebagai dinding dan lantai rumah. Rumah Melayu tradisional juga
agak unik kerana menitikberatkan aspek pengaliran udara di dalam rumah. Buktinya
susunan papan dilakukan secara melintang, menegak dan menyerong bagi memudahkan
pengaliran udara memperkemas dan memperkuat binaan dinding rumah. Sesungguhnya,
seni bina rumah Melayu merupakan salah satu identiti pusaka bangsa yang gah dan
membuktikan bangsa ini memiliki peradaban yang tinggi.

Dipetik dan diubahsuai daripada “Rumah Melayu Tradisional Unik dan Estetik oleh
Isnariah Idris, Majalah Pendidik November 2017)

You might also like