Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 21

Asas Pentadbiran Awam

BAB 6

BIROKRASI

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Mendefinisikan konsep-konsep penting birokrasi.
2. Membincangkan tiga kecenderungan utama dalam birokrasi.
3. Menghuraikan ciri-ciri struktur birokrasi.
4. Menjelaskan tiga model utama birokrasi.
5. Membincangkan kritikan-kritikan terhadap konsep birokrasi.
6. Menerangkan konsep-konsep asas birokrasi di Malaysia.
7. Menghuraikan evolusi perkhidmatan awam di Malaysia.
8. Menjelaskan tiga peranan utama birokrasi di Malaysia.

6.1 PENGENALAN

Birokrasi adalah satu konsep yang sukar difahami dan sering kali
disalahtafsirkan kepada bentuk yang negatif. Walau bagaimanapun, ia
akan terus menjadi satu perkataan yang mempunyai kekuatan yang
tersendiri dan akan terus di guna pakai dari satu generasi ke generasi yang
seterusnya. Menurut Morstein Marx, perkataan birokrasi pertama kali
digunakan pada kurun ke 19 sebagai merujuk kepada pentadbiran
kerajaan negara Perancis yang disebut sebagai “bureaucratie”. Pada kurun
yang sama juga, negara Jerman turut menggunakan perkataan “burokratie”
sebagai merujuk kepada pemerintahan kerajaannya (Heady, 1991).
Konsep birokrasi ini seterusnya menjadi lebih popular selepas
diperkenalkan dengan meluas oleh pakar sosial sains Jerman, Marx
Weber. Tulisan-tulisan beliau mengenai konsep dan falsafah birokrasi
telah menarik minat ramai pengkaji untuk menyelidik dengan lebih
mendalam lagi mengenai konsep ini.

6.2 KONSEP ASAS BIROKRASI

Kekeliruan terhadap definisi sebenar birokrasi masih lagi wujud sehingga


hari ini. Ini berlaku kerana pendekatan ke arah memahami istilah
birokrasi sering di lihat dari pelbagai sudut dan pendekatan. Sebagai

121
Asas Pentadbiran Awam

contoh, ahli-ahli sains sosial sering merujuk birokrasi sebagai fenomena


yang berkaitan dengan organisasi yang besar dan kompleks yang
mempunyai ciri-ciri tersendiri. Pengertian ini di lihat dari pandangan yang
neutral tanpa mengenal pastinya sebagai baik atau buruk. Walau
bagaimanapun, kecenderungan yang paling dominan dalam melihat
birokrasi ialah berdasarkan kepada ciri-ciri strukturnya. Victor Thomson
melihat birokrasi sebagai organisasi yang mengandungi pengelasan
pekerjaan yang mendalam. Pengertian ini bersamaan dengan takrifan
awal birokrasi oleh Weber dan pengkaji-pengkaji birokrasi lain yang
melihat birokrasi berdasarkan ciri-ciri struktur. Berdasarkan kepada
takrifan-takrifan yang diberikan oleh Weber, Litwak, Friedrich, Merton,
Udy, Heady, Parsons, dan Berger, Richard H. Hall (1962) telah mengenal
pasti enam dimensi utama birokrasi, iaitu:

(i) Jawatan yang berhierarki;


(ii) Pengelasan pekerjaan berdasarkan kemahiran dalam sesuatu
tugas;
(iii) Sistem peraturan yang meliputi hak, tugas, dan
tanggungjawab seseorang pemegang jawatan;
(iv) Prosedur kerja dalam menghadapi tugas seharian;
(v) Tidak ada unsur-unsur berat sebelah dalam hubungan
sesama pekerja dan pelanggan; dan
(vi) Pemilihan jawatan dan kenaikan pangkat berdasarkan
kebolehan teknikal.

Kecenderungan kedua dalam melihat birokrasi ialah berdasarkan ciri


tingkah lakunya. Pelbagai ciri tingkah laku telah digariskan oleh tokoh-
tokoh birokrasi. Antara yang paling dominan ialah ciri-ciri yang
diutarakan oleh Friedrich (1963), iaitu objektif (objectivity), tepat (precision),
konsisten (consistency), dan kebijaksanaan (discretion). Beliau menghuraikan
sifat-sifat ini sebagai menggambarkan tingkah laku penjawat-penjawat
awam dalam melaksanakan tugas-tugas mereka. Walau bagaimanapun,
kecenderungan ke arah mencapai keberkesanan (efficiency) dalam
pekerjaan telah menyebabkan timbul kesan-kesan tingkah laku yang
negatif. Robert Morton adalah di antara beberapa tokoh pentadbiran
awam yang menyetujui pandangan ini. Beliau menyatakan bahawa
pegangan yang total terhadap peraturan-peraturan di dalam birokrasi
demi mencapai keberkesanan kerja akan mewujudkan tingkah laku
negatif seperti kebergantungan terhadap isu-isu teknikal dan pendekatan
yang lebih konservatif. Di samping itu, ketiadaan kebebasan dalam
hubungan (depersonalization of relationships) telah mewujudkan konflik di
antara penjawat awam dengan pelanggan-pelanggan. Tingkah laku negatif
lain yang lahir daripada orientasi terhadap efisiensi ialah “red tape”, tidak

122
Asas Pentadbiran Awam

ada fleksibel dalam pelaksanaan tugas, tiada sifat keprihatinan, tiada


ketelusan dalam pekerjaan, tiada unsur delegasi tugas, dan tiada
kebijaksanaan dalam tugas.

Usaha-usaha ke arah memahami dengan lebih mendalam terhadap


tingkah laku yang negatif ini telah melahirkan satu kecenderungan baru
dalam pengkajian birokrasi. Sebagai contoh, Marx (1957)
menggambarkan fenomena ini sebagai penyakit organisasi. Crozier
(1964) di dalam bukunya, “The Bureaucratic Phenomenon”, telah
menjalankan kajian yang saintifik ke arah memahami dengan lebih jelas
apa yang beliau sifatkan sebagai kekurangan atau penyakit dalam
birokrasi. Di samping kedua-dua tokoh tersebut, Merton juga turut
menyumbang ke arah pengkajian tingkah laku negatif ini melalui
penulisannya yang menyentuh ketidakfungsian (dysfunctional) birokrasi
sebagai sebuah organisasi.

Kecenderungan ketiga dalam melihat birokrasi telah dicadangkan oleh


Blau (1956) yang melihat birokrasi dalam bentuk pencapaian matlamat.
Beliau menghuraikan birokrasi sebagai sebuah organisasi yang cuba
memaksimumkan kecekapan di dalam pentadbiran atau cuba untuk
menginstitusikan tingkah laku sosial yang teratur demi mencapai
keberkesanan dalam pentadbiran. Menurut Blau, di dalam masyarakat
moden, organisasi yang besar memerlukan ciri-ciri tingkah laku asas
seperti sistem berhierarki, pengkhususan, profesionalisme, himpunan
peraturan-peraturan, dan kebolehan asas untuk menyesuaikan secara
rasional usaha-usaha yang dijalankan untuk mencapai sesuatu objektif
(rational adaptation of means to ends). Walau bagaimanapun, Blau turut
mengakui bahawa kecenderungan untuk mencapai hasrat tersebut boleh
mewujudkan tingkah laku yang tidak rasional. Namun begitu, beliau
melihat tingkah laku ini mempunyai faedah yang tersendiri, bukan
merugikan organisasi. Sebagai contoh, beliau melihat mungkin tingkah
aku yang tidak rasional itu tidak sesuai bagi satu organisasi, tetapi ia
mungkin sesuai pada organisasi yang lain. Oleh itu, beliau beranggapan
bahawa kesesuaian sesuatu tingkah laku itu banyak bergantung kepada
bagaimana sumbangannya terhadap pencapaian matlamat organisasi.
Beliau merasakan sesebuah organisasi itu di lihat sebagai birokrasi
bilamana ia mencapai matlamatnya dan ini bermakna elemen-elemen
struktur dan tingkah laku itu akan sentiasa berubah mengikut masa dan
keadaan.

123
Asas Pentadbiran Awam

SOALAN DALAM TEKS 6.1

1. Bincangkan tiga kecenderungan utama dalam


menghuraikan konsep birokrasi.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.3 STRUKTUR BIROKRASI

Berdasarkan pandangan tokoh-tokoh penting dalam kajian birokrasi,


terdapat persamaan-persamaan penting yang boleh digariskan sebagai
ciri-ciri struktur birokrasi. Terdapat tiga ciri utama yang telah dipersetujui
iaitu hierarki, perbezaan atau pengkhususan, dan kelayakan atau
kebolehan.

1. Hierarki

Hierarki ialah ciri yang paling penting kerana ia menggambarkan


keupayaan untuk merasionalisasikan kerja-kerja pentadbiran. Max Weber
melihat ciri ini sebagai titik permulaan dalam sesebuah organisasi. Weber
merujuk birokrasi sebagai elemen yang berkait dengan prinsip-prinsip
dan tahap dalam autoriti yang menentukan sistem kakitangan pengurusan
dan kakitangan bawahan di mana kakitangan pengurusan akan menyelia
kakitangan bawahan. Menurut Weber lagi, sistem yang formal ini penting
demi menentukan hala tuju, kekuatan, dan kesinambungan dalam sesuatu
bentuk pentadbiran.

2. Perbezaan atau Pengkhususan

Ciri struktur yang kedua ialah pengkhususan. Pengkhususan wujud


kerana pembahagian tugas dan ia amat penting dalam mewujudkan
kerjasama di antara satu sama lain demi mencapai objektif yang telah
ditetapkan. Perbezaan dalam pengkhususan kerja mewujudkan peranan-
peranan tertentu. Peranan-peranan ini pula mestilah berkait antara satu
dengan yang lain supaya semua individu bergerak mencapai satu
matlamat yang sama.

124
Asas Pentadbiran Awam

3. Kelayakan atau Kebolehan

Ciri struktur yang ketiga ialah kelayakan. Ciri ini penting dalam menjamin
supaya peranan yang telah dikhususkan akan mampu dilakukan dengan
efektif oleh individu yang memegang peranan tersebut. Kelayakan ini
datang melalui persiapan atau pendidikan. Walau bagaimanapun,
persiapan sahaja tidak cukup untuk menjamin keberkesanan sesuatu
pekerjaan. Ia mesti juga disertai dengan kebolehan dan kelayakan untuk
menyesuaikan dengan peranan yang perlu dimainkan.

Corak pengurusan organisasi berdasarkan ciri-ciri


struktur birokrasi dianggap tidak sesuai di dalam era
globalisasi. Bincang kenyataan ini bersama rakan-
rakan dan bandingkannya dengan pendapat anda.

6.4 MODEL-MODEL BIROKRASI

Pengkaji-pengkaji sains sosial mencadangkan penggunaan model sebagai


satu cara untuk memudahkan penganalisisan terhadap bentuk-bentuk
pentadbiran yang wujud di dunia ini. Terdapat tiga model utama yang
sering dibincangkan oleh tokoh-tokoh akademik dalam menghuraikan
bentuk birokrasi, iaitu Stateness Model, Model Klasik (Classic Model), dan
Model Prismatik (Prismatic Model).

6.4.1 Stateness Model

Model ini menerangkan bentuk-bentuk birokrasi yang ada di dunia


berdasarkan kepada jenis pentadbiran sesuatu negara. Model ini
diperkenalkan oleh Heper (1987) melalui penulisannya dalam “The State
and Public Bureaucracies.” Heper mengklasifikasikan bentuk-bentuk
kerajaan yang ada kepada empat jenis, iaitu personalist, ideological, liberal, dan
praetorian. Di dalam bentuk kerajaan personalist yang diterajui oleh seorang
pemerintah, terdapat dua bentuk birokrasi iaitu personal servant bureaucracy
dan machine model bureaucracy. Di bawah kerajaan yang berteraskan
ideologi, yang mana pemerintahan adalah di bawah kekuasaan birokrasi
atau parti, terdapat dua bentuk birokrasi, iaitu bonapartist bureaucracy dan
birokrasi yang dikuasai oleh parti. Bagi kerajaan yang mengamalkan dasar
liberal, di mana tidak ada kuasa yang dominan dalam pemerintahan
negara, model birokrasi yang diamalkan ialah weberian legal-rational
bureaucracy. Bentuk pemerintahan kerajaan yang terakhir menurut Heper
ialah praetorian, di mana tidak wujud sebuah pemerintahan yang
bersistematik. Bentuk birokrasi yang terdapat di dalam sistem ini ialah

125
Asas Pentadbiran Awam

spoils system bureaucracy. Keempat-empat bentuk kerajaan tersebut boleh


dijelaskan melalui jadual di bawah.
Jadual 1
Bentuk Kerajaan dan Jenis Birokrasi

Personalist Ideological polity Liberal polity Praetarian polity


polity
State = ruler State = ruler State = State = party
Bureaucracy
• Personal • Bonapartist • Weberian • Spoil system
servant bureaucracy legal-rational bureaucracy
bureaucracy • Party- bureaucracy
• Machine controlled
model bureaucracy
bureaucracy
Sumber: Heper M. (1987).

6.4.2 Model Klasik (Classic Model)

Model Klasik kadangkala dikenali juga sebagai model Weber mengambil


sempena nama Marx Weber yang merupakan pengasas bagi model ini.
Model ini menjadi lambang bagi negara-negara Eropah Barat yang
mempopularkan konsep politik moden. Model ini menggabungkan
pendekatan struktur dan tingkah laku dalam pengaplikasiannya. Dari
sudut struktur, model ini menggunakan ketiga-tiga unsur penting dalam
sesebuah pentadbiran birokrasi iaitu hierarki, pengkhususan, dan
kelayakan. Dari sudut tingkah laku pula, model ini menggunakan konsep
rasional, iaitu tingkah laku sesuatu pentadbiran mestilah berlandaskan
kepada pengetahuan. Terdapat beberapa ciri penting yang mengukuhkan
lagi pendekatan rasional dalam pentadbiran, iaitu:

(i) Pengambilan dan promosi pekerja adalah perlu berdasarkan


kepada kebolehan, bukan atas dasar kenalan.
(ii) Perkhidmatan dalam sektor awam adalah bersifat profesional
dan tertakluk kepada tindakan disiplin jika seseorang
penjawat awam itu melanggar sesuatu peraturan dan
prosedur kerja.
(iii) Tugas dan tanggungjawab penjawat awam adalah jelas
mengikut pengkhususan dan kebolehan masing-masing dan
skop hubungan antara pihak pengurusan dan pekerja adalah
jelas.
(iv) Birokrasi bukanlah satu badan yang mempunyai kuasa
autonomi yang mutlak dalam sesuatu pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya, ia juga mesti bertanggungjawab terhadap kawalan

126
Asas Pentadbiran Awam

luar daripada kuasa yang sah dalam kerajaan seperti Parlimen


atau badan kehakiman walaupun ia mempunyai peraturan
dan etikanya tersendiri yang boleh menghalang
kakitangannya daripada melakukan perkara-perkara yang
bertentangan dengan peraturan-peraturan kerajaan.

6.4.3 Model Prismatik (Prismatic Model)

Model ini lahir berdasarkan perkembangan yang berlaku di dalam


pentadbiran kerajaan di negara-negara membangun. Model ini
diperkenalkan oleh Riggs pada tahun 1973. Model ini melihat masyarakat
membangun secara keseluruhan terutama dari sudut tingkah laku sosial.
Sebagai contoh, Riggs cuba melihat faktor-faktor ekonomi, kumpulan-
kumpulan elit, struktur sosial, sistem simbol, dan bentuk-bentuk
pembahagian kuasa dan hubung kait faktor tersebut dengan sistem
pentadbiran kerajaan. Riggs lebih melihat fungsi birokrasi di negara-
negara membangun dalam konteks yang negatif yang berdasarkan kepada
terma dan piawaian dari perspektif barat. Oleh kerana itulah, Riggs
melihat birokrasi di negara tersebut sebagai tergolong kepada dua
kumpulan.

Kumpulan pertama ialah birokrasi yang mempunyai kuasa yang banyak


sehinggakan ia turut mencampuri urusan-urusan politik dan
pemerintahan kerajaan. Kumpulan yang kedua pula ialah birokrasi yang
mempunyai kuasa yang banyak akan mengurangkan kecekapan dalam
pentadbiran. Ini berlaku apabila pembahagian yang tidak rata dalam
perkhidmatan, ketidakberkesanan dalam permohonan sesuatu projek,
pengambilan berdasarkan kenalan dan ahli keluarga (nepotisme), percubaan
untuk melindungi daripada dikenakan tindakan akibat melanggar
peraturan, dan ketidaksamaan antara harapan pelanggan dan tindakan
sebenar. Oleh itu, tokoh-tokoh seperti Arora R. K., Michael L. Monroe,
Valsan E. H., dan Milne R. S., telah mempertikaikan pendekatan yang
diambil oleh Riggs dalam menghuraikan teori birokrasi di dalam negara-
negara membangun kerana teorinya hanya berlandaskan pendekatan dari
sudut barat sahaja (Heady, 1991).

Model birokrasi Prismatik sering kali dikritik kerana


pendekatannya yang terlalu konservatif. Pada pendapat
anda, apakah faktor-faktor yang mendorong para
sarjana pentadbiran awam mengkritik model ini?

127
Asas Pentadbiran Awam

SOALAN DALAM TEKS 6.2

1. Huraikan secara ringkas tiga ciri-ciri utama


birokrasi.
2. Bezakan Model Birokrasi Klasik dan Prismatik.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.5 KRITIKAN-KRITIKAN TERHADAP KONSEP


BIROKRASI

Ramai tokoh penting dalam pentadbiran awam terutamanya Merton,


berpendapat bahawa idea Weber dalam menerangkan teori birokrasinya
melalui konsep rasional sebagai mekanisme untuk mencapai ketepatan
dan keteguhan adalah tidak tepat. Menurut Merton, peraturan-peraturan
yang mengawal penjawat awam akan menjadi penghalang dalam usaha
mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Sebagai contoh,
kebergantungan terhadap peraturan akan menyebabkan penjawat-
penjawat awam sukar untuk menerima perubahan seperti melaksanakan
tugas mengikut kesesuaian keadaan. Di samping itu, faktor tidak
dipengaruhi oleh perasaan dalam melakukan hubungan dengan
pelanggan akan turut memberi kesan yang negatif apabila pelanggan
merasakan bahawa kehendak-kehendak mereka tidak dilayan dengan se
penuhnya. Oleh kerana itulah, Merton cuba mengaitkan birokrasi
berdasarkan pandangan Weber sebagai tidak efisien (Tasie, 1997).

Talcott Parson adalah di antara tokoh terkenal yang tidak bersetuju


dengan konsep birokrasi berdasarkan teori Weber yang
mengklasifikasikan penjawat awam sebagai kumpulan profesional yang
mempunyai kuasa untuk memberi arahan (Albrow, 1970). Talcott
menyatakan bahawa arahan yang diberikan oleh pegawai atasan tidak
semestinya sesuai jika pegawai berkenaan tidak mempunyai kepakaran
dalam jabatan di bawah pentadbirannya. Sebagai contoh, kajian yang
dijalankan di Amerika Syarikat di kalangan jururawat-jururawat
menunjukkan bahawa mereka lebih cenderung untuk mematuhi arahan
pegawai atasan mereka yang berkelayakan daripada pegawai yang
mempunyai hierarki yang sama, tetapi tidak mempunyai kepakaran.
Kajian yang sama dijalankan di kalangan guru-guru juga menunjukkan
trend yang sama (Tasie, 1997). Ini menunjukkan bahawa fungsi birokrasi

128
Asas Pentadbiran Awam

berlandaskan ketaatan terhadap peraturan sebagai elemen penting dalam


konsep rasional tidak akan tercapai apabila pekerja-pekerja bawahan akan
lebih selesa mengikuti perintah pihak atasan berdasarkan kesesuaian dan
kehendak-kehendak semasa.

Kritikan yang terakhir ialah model birokrasi yang digunapakai dalam


pentadbiran sesebuah kerajaan adalah berpaksikan kepada perkembangan
politik, ekonomi, dan sosial di negara-negara maju seperti Eropah Barat
dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini kebanyakanya mempunyai ciri-
ciri yang sama jika di lihat dari aspek sosial, politik, mahupun ekonomi.
Oleh itu, teori birokrasi yang diamalkan di negara tersebut tidak boleh
berfungsi dengan baik jika di aplikasi di negara-negara membangun yang
mempunyai struktur pemerintahan, sistem sosial, politik, dan ekonomi
yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Oleh itu, Heady (1991)
mencadangkan agar birokrasi serta sistem politik dan pentadbiran negara-
negara membangun mestilah mengambil kira faktor-faktor persekitaran,
kuasa-kuasa yang berpengaruh, dan agen-agen yang bertanggungjawab
dalam proses modifikasi struktur pentadbiran jika birokrasi ingin
berperanan bagi meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran birokrasi
negara-negara tersebut.

SOALAN DALAM TEKS 6.3

1. Bincangkan tiga kritikan utama terhadap


pendekatan birokrasi yang diutarakan oleh Marx
Weber.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.6 BIROKRASI DI MALAYSIA

Perkhidmatan awam di Malaysia telah melalui pelbagai proses


pembangunan. Bermula dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka
hinggalah kepada kerajaan-kerajaan Melayu selepas itu, perkhidmatan
awam telah memainkan peranan yang penting. Walau bagaimanapun,
ketidaksepaduan di antara sultan-sultan yang memerintah negeri-negeri
Melayu telah menyebabkan berlakunya pelbagai persengketaan. Ini telah
melemahkan kekuatan pentadbiran di negeri masing-masing. Kelemahan
ini telah dipergunakan dengan se penuhnya oleh kerajaan British apabila
mereka memulakan dasar kolonialisme ke atas Tanah Melayu. Selepas itu,

129
Asas Pentadbiran Awam

kerajaan British telah memper kemaskan perkhidmatan awam yang ada


untuk melicinkan jentera pentadbiran. Struktur yang ada kemudiannya
telah diteruskan apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Oleh itu, perkhidmatan awam yang ada pada hari ini adalah kesan
daripada evolusi pentadbiran negara sejak sebelum kemerdekaan
hinggalah ke hari ini.

Ahli-ahli di dalam perkhidmatan awam merupakan kakitangan kerajaan


yang akan melaksanakan polisi-polisi yang telah digubal oleh kerajaan.
Kakitangan ini hendaklah bertugas secara bebas, adil, dan berani. Mereka
mestilah berkecuali dalam memberi sokongan terhadap mana-mana parti
politik. Ahli-ahli perkhidmatan awam telah ditentukan oleh
perlembagaan. Mengikut Perkara 132 Perlembagaan Malaysia,
Perkhidmatan Awam mengandungi:

(i) Angkatan Tentera


(ii) Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan
(iii) Perkhidmatan Awam Am Persekutuan
(iv) Pasukan Polis
(v) Perkhidmatan Awam Bersama
(vi) Perkhidmatan Awam Negeri-negeri
(vii) Perkhidmatan Pendidikan

Kakitangan-kakitangan awam adalah dilantik oleh suruhanjaya


perkhidmatan seperti:

(i) Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan


(ii) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
(iii) Suruhanjaya Polis
(iv) Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan
(v) Majlis Angkatan Tentera

Kakitangan-kakitangan kerajaan yang bertugas di Perkhidmatan Awam


Negeri adalah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri
masing-masing kecuali negeri Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan,
dan Perlis di mana kuasa pelantikan adalah di bawah Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam Persekutuan. Mengikut Perlembagaan, kakitangan-
kakitangan awam yang berkhidmat di bawah agensi badan-badan
berkanun dan Kerajaan Tempatan tidak dikategorikan sebagai kakitangan
perkhidmatan awam. Mereka adalah dilantik oleh Lembaga Pengurus
Agensi masing-masing yang ditubuhkan di bawah undang-undang
Persekutuan atau Negeri. Walau bagaimanapun, agensi ini juga turut
dipanggil perkhidmatan awam kerana masih bergantung kepada sumber

130
Asas Pentadbiran Awam

kewangan dari kerajaan di samping anggota-anggotanya masih tertakluk


kepada syarat-syarat perkhidmatan awam seperti kakitangan awam yang
lain.

6.6.1 Evolusi Perkhidmatan Awam di Malaysia

Untuk memudahkan pemahaman anda, evolusi perkhidmatan awam di


Malaysia dibahagikan kepada tiga jangka masa, iaitu sebelum kedatangan
British, zaman penjajahan British, dan selepas merdeka.

(a) Sebelum Kedatangan British

Di dalam masyarakat feudal, fungsi pentadbiran awam lebih terhad


kepada memberi perkhidmatan kepada sultan dan pembesar-
pembesarnya. Keadaan ini mencerminkan bahawa penekanan birokrasi
pada ketika itu lebih menjurus kepada penjagaan keselamatan dan
keamanan sesuatu daerah atau kawasan daripada ancaman luar, bukan
kepada perancangan-perancangan pembangunan. Di negeri-negeri
Melayu, sultan-sultan dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang dilantik
daripada kalangan mereka yang boleh dipercayai. Penasihat-penasihat
inilah yang akan membantu sultan-sultan dalam proses pentadbiran
negeri. Walau bagaimanapun, individu-individu yang penting dalam
sesuatu pemerintahan negeri ialah pembesar-pembesar. Mereka dilantik
oleh sultan untuk mempertahankan daerah masing-masing dengan
kekuatan ketenteraan mereka sendiri tanpa mendapat bantuan daripada
sultan.

(b) Zaman Penjajahan British

Sejarah perkhidmatan awam di Malaysia adalah distrukturkan berdasar


kepada pengaruh penjajahan British di Tanah Melayu sebelum
kemerdekaan. Menurut Milne (1969), struktur birokrasi di Malaysia
adalah lebih kompleks jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN
yang lain seperti Thailand, Burma, dan Filipina kerana pemerintahan
kerajaan negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan British adalah
berpusat di kalangan negeri masing-masing. Sebagai contoh, pada akhir
abad ke-18, pola pentadbiran negeri-negeri Melayu adalah tidak tersusun,
di mana terdapat pecahan negeri-negeri yang diperintah oleh pembesar-
pembesar Melayu atau sultan-sultan. Negeri-negeri ini pula sentiasa
berada dalam keadaan yang tidak stabil kerana terlibat dalam peperangan
bagi menguasai industri bijih timah mendatangkan keuntungan kepada
pemerintah. British telah mengambil kesempatan di atas perpecahan ini
dengan memulakan pengaruhnya di Tanah Melayu apabila Francis Light

131
Asas Pentadbiran Awam

menubuhkan tapak perniagaan untuk Syarikat Hindia Timur di Pulau


Pinang pada tahun 1786. Pengaruh British kemudiannya diperluaskan ke
seluruh negeri-negeri Melayu termasuk Singapura. Perkembangan dalam
perluasan pengaruh British telah menyebabkan permintaan ke atas
pegawai-pegawai pentadbiran semakin meningkat. Ini menyebabkan
ramai rakyat Tanah Melayu telah diambil bekerja di dalam pemerintahan
British, di samping pegawai-pegawai yang didatangkan dari Britain. Oleh
kerana itulah, amalan-amalan dan nilai-nilai yang terdapat di dalam
pentadbiran awam adalah dipengaruhi se penuhnya daripada amalan dan
nilai daripada kerajaan British.

Oleh itu, tidak hairanlah terdapat beberapa amalan dan nilai-nilai yang
ada di dalam pentadbiran awam negara pada masa kini masih lagi
mempunyai pengaruh British (Ahmad Atori, 1998). Kepentingan
kerajaan British terhadap Tanah Melayu menyebabkan British
membentuk sistem pentadbirannya sendiri di negara ini. Ini telah
menyebabkan tertubuhnya Perkhidmatan Awam Tanah Melayu (Malayan
Civil Service). Pada akhir kurun ke-19, kerajaan Tanah Melayu telah
mempunyai sebuah bentuk kerajaan dan pentadbiran yang tersusun.

(c) Selepas Merdeka

Struktur perkhidmatan awam Tanah Melayu selepas merdeka masih lagi


mempunyai persamaan dengan struktur pentadbiran sebelumnya. Ini
bermakna, sistem federalisme masih kuat diamalkan, di mana kuasa
hanya tertumpu di kerajaan pusat sahaja. Di samping itu, pemecahan
kuasa juga berlaku di mana kuasa-kuasa pentadbiran telah
dipertanggungjawabkan kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan
bagi melicinkan jentera pentadbiran. Dari segi klasifikasi jawatan,
terdapat empat kategori utama iaitu A, B, C, dan D. Kategori A adalah
terdiri daripada kumpulan Pengurusan dan Profesional seperti bidang
kejuruteraan, perubatan, perundangan, dan lain-lain perkhidmatan.
Perkhidmatan kategori B pula boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk
iaitu Pentadbiran dan Profesional. Di dalam perkhidmatan pentadbiran,
terdapat pula dua kumpulan iaitu Perkhidmatan Pentadbiran Am (General
Administrative Service) dan Perkhidmatan Semi-Profesional atau Teknikal
seperti Pegawai Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Jabatan
Pendaftaran serta Perkhidmatan Eksekutif. Jawatan bagi Perkhidmatan
Profesional dalam kumpulan B ialah seperti Pembantu Teknikal
Pertanian dan Pembantu Kejuruteraan. Kumpulan C dan D pula terdiri
daripada Kakitangan Sokongan seperti kerani, jurutaip, juruteknik, dan
pemandu.

132
Asas Pentadbiran Awam

Sebelum kemerdekaan, perkhidmatan awam Tanah Melayu banyak


dikuasai oleh pegawai-pegawai British (expartriates). Walau bagaimanapun,
terdapat pembaharuan yang ketara berlaku di dalam perkhidmatan awam
selepas merdeka, di mana banyak jawatan-jawatan penting yang sebelum
ini diisi oleh pegawai British telah digantikan dengan pegawai-pegawai
tempatan. Sebagai contoh, dalam tahun 1957, jumlah pegawai British
dalam perkhidmatan awam Tanah Melayu adalah 67 peratus. Jumlah ini
telah berkurangan pada tahun 1963 apabila hanya 24 peratus sahaja
pegawai British yang masih kekal dalam perkhidmatan awam.

Perkhidmatan Awam di Malaysia masih lagi


mengamalkan nilai-nilai yang diperkenalkan semasa
pemerintahan British. Kenapakah perkara ini berlaku?
Sebagai anggota Perkhidmatan Awam, bolehkah anda
fikirkan, bagai manakah cara untuk mengatasinya?

SOALAN DALAM TEKS 6.4

1. Mengikut Perlembagaan Malaysia Perkara 132,


perkhidmatan awam mengandungi beberapa agensi
kerajaan. Senaraikan agensi-agensi tersebut.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

6.7 PERANAN BIROKRASI

Proses-proses pemodenan yang berlaku di dalam perkhidmatan awam di


Malaysia pada hari ini adalah berasaskan kepada peranan-peranan yang
perlu dimainkan sejajar dengan tuntutan semasa. Konsep-konsep baru
seperti penswastaan, pengurangan saiz birokrasi, pembentukan budaya
keusahawanan, pengurusan awam, dan penekanan dalam kualiti kerja
adalah merupakan perubahan-perubahan yang berlaku dalam
perkhidmatan awam sepanjang tempoh 1980an dan 1990an. Perubahan-
perubahan ini berlaku kerana perkhidmatan awam di Malaysia terpaksa
mengikuti arus perubahan dunia yang menuntut reformasi dalam
perkhidmatan awam bagi meningkatkan tahap keberkesanan pentadbiran
kerajaan. Perkhidmatan awam di Malaysia telah melalui tiga tahap
penting yang telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam peranan
perkhidmatan awam.

133
Asas Pentadbiran Awam

1. Tahap 1: Pemeliharaan Undang-Undang dan Peraturan


(1950-1960)

Ketika zaman penjajahan, perkhidmatan awam di lihat sebagai kerajaan


kerana ia merupakan satu-satunya alat untuk British meneruskan
pemerintahan mereka di Tanah Melayu. Ini kerana pada ketika itu, belum
lagi berlaku proses pemilihan pemimpin untuk memerintah negara.
Justeru itu, tugas utama perkhidmatan awam ialah untuk menjaga dan
memelihara undang-undang dan peraturan di dalam negara. Di samping
itu, perkhidmatan awam ini juga bertanggungjawab melaksanakan polisi-
polisi British di Tanah Melayu seperti membantu pembangunan sumber-
sumber perlombongan dan pertanian melalui pembinaan jalan keretapi,
sistem perparitan dan saliran; menubuhkan pasukan keselamatan untuk
menjaga kehidupan dan harta benda awam; membina mahkamah,
membuka hospital-hospital dan sekolah-sekolah; dan menghapuskan
semua halangan-halangan ke atas perdagangan, perniagaan, dan
perindustrian (Ahmad Atori, 1998).

2. Tahap 2: Penekanan Terhadap Pentadbiran


Penyelenggaraan (1960-1970)

Permintaan-permintaan yang semakin bertambah terutamanya daripada


pihak luar telah menyebabkan perkhidmatan awam berusaha
mempertingkatkan keupayaan prestasinya. Isu utama yang menjadi
tumpuan ialah bagai manakah perkhidmatan awam dapat melakukan
proses pemodenan tanpa melibatkan sensitiviti perkauman. Justeru itu,
dasar-dasar sosioekonomi yang dilancarkan amat mengambil kira
pertimbangan komunal.

Dalam melaksanakan dasar-dasar ini, perkhidmatan awam terpaksa


memper luaskan fungsinya dan secara tidak langsung menyebabkan saiz
perkhidmatan awam juga turut menjadi besar. Di samping
bertanggungjawab memelihara undang-undang dan peraturan,
perkhidmatan awam dalam tempoh ini juga terpaksa menggubal dasar-
dasar pembangunan, menguruskan pembangunan di kawasan luar
bandar, dan melaksanakan pembangunan industri. Peranan-peranan yang
semakin bertambah ini wujud kerana negara Malaysia pada ketika itu
baru sahaja mencapai kemerdekaan dan perlu menumpukan kepada
pembangunan nasional. Sehubungan dengan itu, Unit Pembangunan
Pentadbiran (DAU), Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan pada tahun
1966.

134
Asas Pentadbiran Awam

3. Tahap 3: Penekanan terhadap Pentadbiran Pembangunan


(1970-1990)

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada


tahun 1970 adalah bertujuan mengimbangi ketidaksamarataan dalam
penguasaan ekonomi di antara penduduk Bumiputera dengan orang-
orang Cina. Di samping itu, DEB juga berusaha untuk mengurangkan
kadar kemiskinan di kalangan orang-orang Melayu. Untuk mencapai
matlamat tersebut, perkhidmatan awam terpaksa memainkan peranan
penting dalam pembangunan ekonomi negara. Kewujudan banyak badan
berkanun dan agensi di luar belanjawan (off-budget agencies) adalah
manifestasi kerajaan dalam memper besarkan peranan perkhidmatan
awam dalam pembangunan ekonomi. Ini penting ke arah memper
cepatkan pencapaian matlamat DEB, tanpa melalui pelbagai peraturan-
peraturan dalam sektor awam jika sesebuah agensi berada dalam
perkhidmatan awam.

Di samping itu, dasar-dasar baru juga diperkenalkan bagi melicinkan


jentera pentadbiran kerajaan. Dasar-dasar seperti penswastaan dan
persyarikatan telah dilancarkan bagi menggembleng tenaga pihak swasta
dalam merealisasikan matlamat DEB. Dasar penswastaan yang
dilancarkan pada bulan Mac 1983 bertujuan mengurangkan beban
kewangan kerajaan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja,
menggalakkan pertumbuhan ekonomi, mengagihkan sumber dengan
lebih cekap, dan memper cepatkan pencapaian hasrat DEB (Institut
Tadbiran Awam Negara, 1990). Dasar Persyarikatan Malaysia yang juga
diperkenalkan pada tahun yang sama berhasrat mengurangkan persaingan
di antara sektor awam dan juga swasta. Melalui dasar ini, kerajaan
berhasrat menggalakkan lebih banyak perkongsian maklumat mengenai
sesuatu perkara agar matlamat kerajaan untuk membangunkan
masyarakat dan negara dapat dijalankan dengan lebih berkesan melalui
bantuan kepakaran daripada pihak swasta.

SOALAN DALAM TEKS 6.5

1. Bincangkan tiga peranan penting birokrasi di


Malaysia.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

135
Asas Pentadbiran Awam

6.8 KESIMPULAN

Perkhidmatan awam di Malaysia pada hari ini bolehlah dianggap sebagai


salah satu perkhidmatan awam yang terbaik di kalangan negara-negara
membangun. Ini berdasarkan sejarah perkembangannya yang telah
melalui pelbagai peringkat, iaitu daripada zaman Kesultanan Melayu,
penjajahan British, hinggalah selepas kemerdekaan. Di samping itu,
pelbagai pendekatan ke arah memodenisasikan perkhidmatan awam
seperti kerajaan berelektronik (electronic government), perkongsian pintar
(smart partnership), dan pendokumentasian kerja melalui prosedur ISO
9000 juga telah meningkatkan imej perkhidmatan awam di Malaysia.
Kini, perkhidmatan awam mampu menghasilkan kerja yang berkualiti,
berinovasi, cekap, responsif, berdisiplin, dan bertanggungjawab.
Perubahan-perubahan budaya kerja yang diadaptasikan daripada
pembudayaan kerja swasta seperti Kumpulan Meningkat Mutu Kerja
(KMK), Piagam Pelanggan, Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), dan
Sistem Saraan Baru (SSB) adalah antara usaha-usaha kerajaan ke arah
memperkemaskan dan memantapkan perkhidmatan dan budaya kerja di
dalam perkhidmatan awam. Ini penting sebagai persediaan menghadapi
alaf baru yang berorientasikan dunia tanpa sempadan dan berteraskan
teknologi maklumat.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Senaraikan enam dimensi utama birokrasi mengikut pandangan


Richard M. Hall.

2. Berdasarkan pandangan daripada pelbagai tokoh mengenai


konsep birokrasi, nyatakan tiga persamaan penting berdasarkan
ciri-ciri struktur.

3. Model Klasik menurut Weber mengandungi tiga unsur penting


dalam sesebuah pentadbiran birokrasi. Nyatakan ketiga-tiga unsur
tersebut.

4. Berikan contoh-contoh program yang telah dilaksanakan oleh


perkhidmatan awam di Malaysia sekitar tahun 1950-an dan 1960-
an.

136
Asas Pentadbiran Awam

5. Huraikan sejarah perkembangan perkhidmatan awam atau


birokrasi di Malaysia.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 6.1

1. Konsep birokrasi adalah sukar untuk ditafsirkan. Walau


bagaimanapun, terdapat tiga kecenderungan utama dalam melihat
birokrasi. Kecenderungan pertama adalah menerangkan konsep
birokrasi berdasarkan ciri-ciri strukturnya. Tafsiran ini adalah
berdasarkan pandangan-pandangan yang diutarakan oleh
pengkaji-pengkaji pentadbiran seperti Weber, Litwak, Friedrich,
Merton, Udy, Heady, parsons, Berger, dan Richard H. Hall.
Antara ciri-ciri struktur yang dibincangkan dengan mendalam
oleh tokoh-tokoh tersebut ialah birokrasi adalah berlandaskan
kepada enam dimensi utama iaitu jawatan berhierarki;
pengkelasan pekerjaan berdasarkan kemahiran dalam sesuatu
tugas; sistem peraturan yang meliputi hak, tugas, dan
tanggungjawab seseorang pemegang jawatan; prosedur kerja
dalam menghadapi tugas seharian; tidak ada unsur-unsur berat
sebelah dalam hubungan sesama pekerja dan pelanggan; dan
pemilihan jawatan dan kenaikan pangkat adalah berdasarkan
kebolehan teknikal.

Kecenderungan kedua dalam melihat birokrasi adalah


berdasarkan ciri-ciri tingkahl aku. Antara ciri-ciri tingkah laku
yang sering dikaitkan didalam birokrasi ialah objektif, tepat,
konsisten, dan kebijaksanaan. Kecenderungan yang ketiga ialah
melihat birokrasi berdasarkan kepada pencapaian matlamatnya.
Kecenderungan ini adalah berdasarkan pandangan Peter Blau
yang menyatakan bahawa birokrasi ialah sebah organisasi yang
cuba memaksimakan efisiensi dalam pentadbiran dan
menginstitusikan tingkah laku yang teratur demi mencapai
keberkesanan dalam pentadbiran. Tingkah laku-tingkah laku yang
rasional seperti sistem berhierarki, profesionalisme, kepatuhan
terhadap peraturan, dan kebolehan asas adalah penting dalam

137
Asas Pentadbiran Awam

usaha mencapai objektif organisasi. Blau juga beranggapan


bahawa tingkah laku-tingkah laku tersebut akan berubah
mengikut kesesuaian masa dan keadaan. Menurut Blau,
perubahan ini penting kerana sesebuah organisasi itu dilihat
sebagai birokrasi bilamana ia berjaya mencapai matlamatnya dan
ini bermakna elemen-elemen tingkah laku dan struktur akan
sentiasa berubah-ubah bagi mencapai matlamat yang telah
ditetapkan.

SDT 6.2

1. Terdapat tiga ciri-ciri utama birokrasi iaitu hierarki,


pengkhususan, dan kelayakan. Hierarki ialah ciri yang paling
penting kerana ia menggambarkan keupayaan untuk
merasionalisasikan kerja-kerja pentadbiran. Marx Weber melihat
ciri ini sebagai elemen asas dalam sesebuah organisasi. Menurut
Marx, sistem berhierarki yang berlandaskan kepada konsep
autoriti diantara kakitangan pengurusan dan kakitangan bawahan
penting bagi menentukan hala tuju, kekuatan, dan
kesinambungan dalam sesuatu bentuk pentadbiran. Ciri yang
kedua ialah pengkhususan. Pengkhususan yang wujud
berdasarkan pembahagian tugas adalah penting dalam menyemai
semangat kerjasama di antara seorang pekerja dengan pekerja
yang lain kearah mencapai matlamat organisasi. Ciri yang ketiga
ialah kelayakan. Ciri ini penting bagi menjamin seseorang pekerja
itu mampu untuk melakukan kerja dengan efektif dan efisien.
Keberkesanan dalam pekerjaan melalui kebolehan yang sesuai
sudah tentulah boleh membantu organanisasi mencapai
objektifnya dengan mudah.

2. Model Klasik yang diperkenalkan oleh Marx Weber dalam


menerangkan konsep birokrasi menggabungkan pendekatan
struktur dan tingkah laku dalam pengaplikasiannya. Dari sudut
struktur, model ini menghuraikan tiga ciri-ciri penting dalam
birokrasi iaitu hierarki, pengkhususan, dan kelayakan. Dari sudut
tingkah laku pula, model ini menggunakan konsep rasional, iaitu
sesuatu pentadbiran itu mestilah berlandaskan kepada
pengetahuan. Ini bermakna hanya pekerja yang berkelayakan dan
berkebolehan sahaja yang akan diambil bekerja. Model ini adalah
berdasarkan pengaplikasian birokrasi di negara-negara Eropah
Barat. Model Prismatik yang diutarakan oleh Fred Riggs pula

138
Asas Pentadbiran Awam

adalah gambaran sebenar pengaplikasian birokrasi di negara-


negara membangun. Riggs melihat birokrasi dalam masyarakat
tersebut berdasarkan sudut tingkahlaku sosial peranan kumpulan
elit, struktur sosial, sistem simbol, dan bentuk-bentuk
pembahagian kuasa. Riggs lebih melihat pendekatan ini dalam
konteks yang negatif berdasarkan terma dan piawaian dari
perspektif barat. Oleh kerana itulah, pendekatan Riggs telah
dikritik dengan hebat kerana kegagalannya mengiktiraf perbezaan
yang wujud di antara negara-negara membangun yang
mempunyai sejarah perkembangannya yang tersendiri dengan
negara barat.

SDT 6.3

1. Terdapat tiga kritikan utama terhadap teori birokrasi Weber.


Kritikan pertama adalah berdasarkan kebergantungan terhadap
peraturan. Menurut Robert Merton, peraturan-peraturan yang ketat
yang mengawal tingkah laku penjawat-penjawat awam kadang-kala
boleh menjadi penghalang dalam usaha mencapai matlamat yang
telah ditetapkan. Di samping itu, faktor tidak dipengaruhi oleh
perasaan ketika menjalankan tugas dengan pelanggan boleh
menimbulkan konflik bilamana pelanggan merasakan bahawa
kehendak mereka tidak dilayan dengan sepenuhnya. Kritikan yang
kedua ialah pekerja bawahan tidak semestinya akan menuruti segala
perintah daripada pihak pengurusan. Sebagai contoh, kajian yang
dijalankan ke atas jururawat di Amerika Syarikat menunjukkan
bahawa mereka akan lebih cenderung mematuhi arahan pegawai
atasan mereka yang berkelayakan daripada pegawai yang
mempunyai hierarki yang sama tetapi tidak mempunyai kepakaran.
Kritikan yang terakhir ialah teori birokrasi Weber adalah
berdasarkan pengamatan beliau terhadap perkembangan politik dan
pentadbiran yang berlaku di negara-negara maju seperti Eropah
Barat dan Amerika Syarikat. Negara-negara ini kebanyakkannya
mempunyai ciri-ciri yang sama dari segi sosial, politik, dan
ekonomi. Oleh itu, teori birokrasi yang diamalkan dinegara tersebut
tidak semestinya boleh dipraktikkan dengan sempurna di negara-
negara membangun yang mempunyai struktur pemerintahan,
sistem pentadbiran, sistem sosial, politik, dan ekonomi yang
berbeza antara satu dengan yang lain. Oleh itu, penerangan
mengenai birokrasi di negara-negara membangun mestilah
mengambil kira faktor-faktor persekitaran, kuasa-kuasa yang
berpengaruh, dan agen-agen yang bertanggungjawab dalam

139
Asas Pentadbiran Awam

penggubalan dasar sekiranya ingin menghuraikan mengenai


pengaplikasian birokrasi di negara-negara tersebut.

SDT 6.4

1. Mengikut Perkara 132 Perlembagaan Malaysia, Perkhidmatan


Awam mengandungi:
• Angkatan Tentera
• Pasukan Polis
• Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan
• Perkhidmatan Awam Am Persekutuan
• Perkhidmatan Awam Negeri-negeri
• Perkhidmatan Awam Bersama

SDT 6.5

1. Keberkesanan perkhidmatan awam yang ada pada hari ini adalah


berasaskan kepada perubahan-perubahan yang telah diambil bagi
memenuhi tuntutan semasa. Bermula selepas merdeka,
perkhidmatan awam terus memainkan peranan yang berbeza
selaras dengan perkembangan yang berlaku dalam negara pada
ketika itu. Peranan awal birokrasi ialah pemeliharaan undang-
undang dan peraturan (1950-1960). Oleh kerana negara baru
sahaja mencapai kemerdekaan maka tugas membangunkan
negara (nation building) adalah merupakan tugas paling utama.
Sehubungan itu, pasukan-pasukan keselamatan telah ditubuhkan
bagi memastikan keamanan dan ketenteraman dalam negara
sentiasa terjamin. Peranan birokrasi seterusnya ialah pentadbiran
penyelenggaraan (1960-1970). Permintaan-permintaan yang
semakin bertambah terhadap perkhidmatan awam telah
menyebabkan keupayaan mereka terbatas. Oleh itu, pelbagai
program telah dijalankan bagi meningkatkan lagi keberkesanan
pentadbiran awam. Sehubungan dengan itu, Unit Pembangunan
Pentadbiran (DAU) telah ditubuhkan di Jabatan Perdana Menteri
pada tahun 1966 sebagai penggerak utama bagi memastikan mutu
perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai adalah
berkualiti. Peranan perkhidmatan yang terakhir ialah pentadbiran
pembangunan (1970-1990). Masalah-masalah ketidaksamarataan
dalam penguasaan ekonomi negara pada ketika itu telah
menyebabkan berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

140
Asas Pentadbiran Awam

Peristiswa ini telah menyedarkan kerajaan untuk lebih


menumpukan perhatian dalam bidang pembangunan
terutamanya bagi meningkatkan status kaum bumiputra. Oleh itu,
kerajaan telah mengarahkan perkhidmatan awam bagi
memainkan peranan penting dalam proses pembangunan ini.
Dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), dasar
penswastaan, dan dasar pensyarikatan Malaysia telah
diperkenalkan bagi mencapai matlamat kerajaan. Peranan
perkhidmatan awam juga telah diperluaskan di mana tumpuan
bukan sahaja kepada melicinkan jentera pentadbiran bahkan turut
merangkumi aspek pembangunan ekonomi apabila ia
dipertanggungjawabkan bagi menguruskan kewujudan banyak
badan-badan berkanun dan agensi-agensi diluar belanjawan (off-
budget agencies).

141

You might also like