Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 9

PROGRAM DIPLOMA SISWAZAH SAINS KEPOLISAN

FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN


SIDANG AKADEMIK 2019/2020

SKGP 5084
PEMBANGUNAN POLITIK DAN KEPOLISAN
SEMESTER 2 SESI 2020

TUGASAN INDIVIDU

ULASAN BUKU: PROJEK PASCAETNIK MELAYU DALAM


DAP

NAMA PELAJAR : AHMAD IZUDDIN BIN HJ. MOHD JUHARI (P


102659)

NAMA PENSYARAH : PM DR MUHAMMAD TAKIYUDDIN B.


ISMAIL
1

ULASAN BUKU: PROJEK PASCAETNIK MELAYU DALAM DAP

1.0 PENDAHULUAN

Buku “Projek Pascaetnik Melayu Dalam DAP” ini ditulis oleh tiga ahli akademik yang
mempunyai latar belakang dalam bidang sains politik bernama Muhd Irham Abdul Aziz,
Muhamad Takiyuddin Ismail, dan Aizul Fahmi Abdullah. Secara ringkasnya, buku ini
adalah gambaran kontemporari senario politik Melayu pada waktu ini iaitu penyertaan
golongan Melayu dalam sebuah parti yang kental dengan imej keCinaan, Democratic
Action Party (DAP) atau Parti Tindakan Rakyat. Parti DAP lazimnya dikaitkan dengan
parti yang mewakili kaum Cina dan masyarakat juga seringkali dimomokkan oleh
sesetengah pihak dengan mengatakan DAP adalah sebuah parti yang suka bermain isu
perkauman dan agama sehingga boleh mengganggu gugat perpaduan kaum di Malaysia.
Antara isu hangat yang sering dijadikan modal oleh DAP adalah tulisan jawi, ketuanan
Melayu, dan mengabaikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bangsa kebangsaan.

Walaupun DAP telah berjaya menarik penyertaan golongan Melayu sejak era
1970-an, namun gelombang penyertaan kedua selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12
pada tahun 2008 lebih menarik perhatian ramai. Kecairan politik telah menyebabkan
berlakunya peningkatan keterhubungan dan persaudaraan transetnik dalam lanskap
politik Malaysia. Golongan Melayu yang menyertai DAP dalam gelombang kedua ini
dianggap sebagai generasi pascaetnik. Mereka pada umumnya merupakan kelompok
anak muda yang cuba merealisasikan projek pascaetnik yang dilaksanakan DAP.
Kumpulan ini ditandai dengan identiti yang hibrid, penyertaan yang didasarkan atas
semangat sukarela, kecenderungan menolak afiliasi yang kekal, kecurigaan terhadap
naratif yang dipaksakan dan penekanan kepada nasionalisme sivik. Projek pascaetnik
bagaimanapun dilihat bermasalah kerana ianya ditemui dalam kelompok ahli Melayu
sahaja berbanding kelompok majoriti dalam DAP. Di sebalik momokan, stigma, dan
kecaman yang ditujukan oleh pengkritik terhadap golongan ini, sebilangan generasi
Melayu kontemporari terus menjadikan DAP sebagai platform politik pilihan.

Kecenderungan untuk kekal dengan identiti tunggal menyebabkan DAP sering


kali terjebak dalam kesukaran untuk menyesuaikan real politik parti itu dengan trajektori
2

dan grid pengalaman Melayu-Islam. Di samping itu, orang Melayu seringkali dianggap
sebagai praktik tokenisme dan kehadiran ahli Melayu dalam parti DAP dikatakan
sekadar bertindak sebagai penyamaran dalam membayangi imej cauvinis yang dikaitkan
dengan parti tersebut. Buku ini mempunyai lapan bab yang merangkumi pendahuluan,
latar belakang dan sejarah politik DAP, penglibatan Melayu dalam DAP dan pilihan
raya, profil beberapa tokoh Melayu terpilih dalam DAP, faktor kemasukan dan
penglibatan Melayu dalam DAP, signifikan kepimpinan politik Melayu dalam DAP,
cabaran dan dilema yang dihadapi oleh kaum Melayu dalam DAP, dan penutup.

2.0 ULASAN

Buku ini bermula dengan usaha untuk merungkai dan meletakkan konteks fenomena
kemasukan orang Melayu ke dalam parti DAP terutamanya ketika pasca PRU ke-12.
Pada tahun 2008, fenomena kemasukan orang Melayu secara besar-besaran dikupas oleh
penulis dengan menerangkannya sebagai sebuah tsunami politik yang membawa kepada
penyertaan Melayu ke dalam parti DAP. Terdapat dua (2) kategori golongan Melayu
yang menyertai DAP semenjak 2008. Pertama, individu berprofil tinggi, manakala
kategori kedua yang lebih diberi perhatian dan menjadi trend ialah penyertaan golongan
muda terutamanya lepasan insitusi pengajian tinggi. Parti yang menguasai negeri Pulau
Pinang ini dilihat cukup memenangi hati golongan muda selepas UMNO kehilangan
sokongan generasi muda ketika PRU ke-12 khususnya. Bab pendahuluan ini juga
mengupas landasan teoritikal tentang isu penyertaan orang Melayu ke dalam parti DAP
menggunakan Teori Pascaetnik iaitu suatu teori yang membawa kepada
pengidentifikasian diri dengan kumpulan kaum atau etnik.

Selanjutnya, latar belakang dan sejarah awal penubuhan DAP dijelaskan dengan
terperinci oleh penulis. Penubuhan DAP pada tahun 1966 dikatakan telah membuka
dimensi baru dalam lanskap politik negara. Ia dilihat menjadi pesaing kepada parti
komponen Perikatan khususnya kepada Malaysian Chinese Association (MCA) dan
Malayan Indian Congress (MIC) dalam memperolehi sokongan daripada masyarakat
Cina dan India dengan menyuarakan kepentingan mereka. Prinsip yang mendasari
perjuangan DAP adalah sosialisme dalam bentuk sederhana di mana terasnya adalah
ideologi demokrasi dan kebebasan yang melibatkan keadilan sosial dan kesamarataan.
Ideologi ini dikatakan melawan norma rakyat Malaysia khususnya golongan Melayu
3

dengan konsep ketuanan Melayu mereka. Landasan perjuangan DAP juga turut disentuh
oleh penulis, antaranya Deklarasi Setapak 1967, Kenyataan Demokrasi Budaya 1968,
dan Jalan Tengah Malaysia 2010 yang melibatkan soal ekonomi, sosial, dan politik.
Penulis juga telah menyentuh perjalanan politik tokoh-tokoh pengasas dan juga tokoh-
tokoh terkemuka dalam DAP serta kerjasama politik yang dilakukan oleh parti tersebut.
Antara tokoh-tokoh ini adalah C. V. Devan Nair, Chen Man Hin, Lim Kit Siang, Karpal
Singh, dan Lim Guan Eng. Fokus juga telah diberikan terhadap pencapaian DAP dalam
setiap PRU yang diadakan terutamanya PRU ke-12 dan PRU ke-13 yang dilihat
mengubah kedudukan keseluruhan parti itu. Parti yang sebelumnya dilihat sebagai parti
minoriti kini dianggap sebagai parti dominan dalam pihak pembangkang.

Seterusnya, penulis menengahkan tajuk yang penting dan kritikal iaitu


penglibatan Melayu dalam DAP dan pilihan raya. Pelbagai data dikemukan untuk
memudahkan penelitian pembaca lebih-lebih lagi tentang senarai calon Melayu di setiap
negeri dalam PRU yang berbeza. Dengan ini, pembaca boleh menelusuri sejarah
penyertaan kaum Melayu ke dalam DAP sejak 1960-an. Analisis juga dibuat bagi
memaparkan prestasi calon Melayu yang bertanding dalam sesuatu PRU. Penemuan
analisis penulis menunjukkan bahawa sebelum tahun 2000, calon-calon Melayu yang
bertanding atas tiket DAP dianggap kurang memberangsangkan dan tidak dilihat sebagai
mewakili kekuatan parti. Walau bagaimanapun, apabila parti DAP berganding bahu
bersama parti pembangkang lain di pasca 2000, golongan Melayu di dalam DAP dilihat
bangkit di dalam PRU yang seterusnya. Kemasukan orang Melayu ke dalam parti DAP
lebih-lebih lagi generasi muda juga dilihat sebagai satu trend baru dalam politik
Malaysia kerana Melayu sering dikaitkan dengan parti satu kaum dan konservatif seperti
UMNO dan PAS.

Profil beberapa tokoh Melayu terpilih dalam DAP dan sering mendapat perhatian
media disentuh oleh penulis dalam bab seterusnya. Penulis telah membahagikan
perbincangan tentang tokoh-tokoh ini kepada tiga (3) komponen iaitu, (a) tokoh yang
berperanan dalam tempoh pra-PRU 2008; (b) tokoh yang berperanan dalam tempoh
pasca-PRU 2008; dan (c) kepimpinan anak muda Melayu. Biografi tokoh-tokoh ini
dijelaskan dan sesetengah tokoh tersebut merupakan bekas ahli parti lain (UMNO atau
PAS) atau mempunyai latar belakang keluarga daripada pihak kerajaan. Antara contoh
penyertaan anak muda ke dalam DAP adalah Zairil Khir Johari, Dyana Sofya Mohd
4

Daud, dan Young Syefura Othman. Penyertaan mereka ke dalam DAP telah menarik
perhatian media dan masyarakat umum kerana dilihat professional, berpendidikan,
berpengalaman, dan mempunyai penampilan fizikal yang menarik. Tokoh-tokoh ini
dilihat sebagai elemen kuat parti yang menjadi tunjang kejayaan DAP bagi memperolehi
sokongan rakyat terutamanya orang Melayu. Sosialisasi politik yang berbeza tidak
menjadi suatu halangan kepada mereka. DAP melihat calon anak muda ini untuk masa
depan Malaysia selain mencerminkan kepelbagaian DAP yang meliputi semua bangsa
dan membuka peluang kepada golongan wanita untuk menceburkan diri dalam arena
politik negara.

Perbincangan tentang faktor kemasukan dan penglibatan Melayu dalam DAP


boleh dianggap dapat membuka ruang fikiran pembaca kerana penulis menjelaskan
faktor-faktor yang menjadi punca kemasukan orang Melayu dalam DAP. Tumpuan
utama dalam perbincangan ini difokuskan terhadap generasi pascaetnik. Bagi
mengukuhkan perbincangan mengenai sebab yang menyumbang penyertaan golongan
Melayu dalam DAP, penulis terlebih dahulu menelusuri perbincangan mengenai akal
budi politik Melayu. Tunjang perbincangan ini adalah untuk melihat kecairan politik
Melayu yang berpaksikan kepada feudalisme dan kini memasuki fasa liberalisasi.
Tragedi yang berlaku pada tahun 1998 berkaitan Mahathir-Anwar dianggap sebagai titik
perubahan golongan Melayu dalam ideologi baru mereka. Terdapat enam faktor
kemasukan diketengahkan oleh penulis yang menjadi peralihan pemikiran golongan
Melayu dalam DAP sehingga kini. Antara faktor-faktor yang membuatkan golongan
Melayu mengubah platform politik mereka adalah seperti berikut.

a) Kehilangan keyakinan (disiillusionment) dalam perjuangan parti asal;


b) Pengaruh aktivisme masyarakat sivil yang menjadikan NGO sebagai permulaan
kepada aktiviti kesukarelawanan sebelum menanam minat untuk berpolitik;
c) Untuk mengendurkan sentimen primordial dan mempelbagaikan imej DAP;
d) Keengganan mempertahankan nilai meritokrasi Melayu kerana kedudukan sosio-
ekonomi Melayu telah mengalami perubahan, hak asasi manusia yang disalah guna,
dan wujud perasaan terhadap keadilan;
e) Konsistensi dan keghairahan DAP dalam mempertahankan kedudukan Malaysia
sebagai sebuah negara sekular di mana golongan Melayu optimis yang fahaman
sekular akan menjadikan hubungan antara agama di Malaysia lebih baik;
5

f) Pengaruh Sekolah Demokrasi (Sekdem) dan Roketkini untuk memulihkan persepsi


kaum Melayu terhadap DAP.

Beberapa nama seperti Tarmizi Anuwar dan Wan Hamidi dipetik kerana mereka
merupakan golongan yang mengubah platform asal mereka. Edry Faizal Yusof yang
sinonim dengan BERSIH dan Sekolah Demokrasi (SekDem) turut dipetik kerana dilihat
membawa perjuangan dalam parti searus dengan gelombang reformasi yang berlaku.
SekDem anjuran DAP merupakan pendidikan sivik tersusun pertama dianjurkan oleh
parti politik untuk orang ramai. RoketKini pula menjadi sebuah platform yang penting
bagi membincangkan dan memberi berita serta maklumat yang sahih di pihak
pembangkang.

Peranan kepimpinan politik Melayu dalam DAP dikupas selanjutnya oleh


penulis. Golongan Melayu dalam DAP seringkali digambarkan sebagai terpinggir dan
hanya dijadikan tokenisme bagi melanjutkan perjuangan politik kaum Cina. Namun,
penulis menampilkan sisi positif yang dihasilkan oleh golongan Melayu dalam parti
tersebut serta membincangkan isu-isu yang diperjuangkan oleh golongan Melayu dalam
DAP. Dalam mengetengahkan kepimpinan politik Melayu yang berkualiti dan berdaya
saing di dalam DAP, beberapa individu Melayu telah diberi jawatan bagi mengimbangi
komposisi kaum di dalam parti. Peranan golongan Melayu ini dilihat menjadi titik
peralihan dan satu aspek penting dalam politik Malaysia dan sekaligus berjaya mengubah
stereotaip asal yang sering diungkit oleh sesetengah pihak. Kepimpinan ini juga berjaya
mengubah pesepsi masyarakat khususnya Melayu bahawa DAP merupakan sebuah parti
yang meraikan kepelbagaian agama dan kaum walaupun parti ini sering terpalit dengan
isu-isu yang berkaitan dengan Ketuanan Melayu, agama Islam, dan Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan. Ketakutan kaum Melayu terhadap DAP semakin dilunturkan
dengan digantikan dengan keyakinan dan kepercayaan yang mampu mengubah nasib
masyarakat. Golongan wanita juga diberi perhatian yang serius oleh pemimpin Melayu
di dalam DAP. Di samping itu, tadbir urus bersih turut merupakan antara isu penting
yang menjadi tumpuan perjuangan DAP. Perjuangan tadbir urus bersih ini memberi
simbol bahawa orang Melayu yang menyertai DAP merupakan mereka yang bebas dari
gejala-gejala tidak sihat seperti ‘orang dalam’, ‘kabel’, kronisme, dan rasuah yang
6

seringkali dilihat menjadi gejala biasa bagi orang Melayu dan kakitangan perkhidmatan
awam.

Sebagai timbal balas peranan kepimpinan politik Melayu dalam DAP, bab
seterusnya melihat kepada cabaran dan dilema yang dihadapi oleh golongan Melayu di
dalam DAP. Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pemimpin di dalam DAP
memainkan sentimen perkauman. Namun, antara cabaran utama adalah dominasi politik
Melayu di Malaysia lebih bersifat naratif lokal di mana kebanyakannya percaya
perpaduan Melayu mesti kekal walau dalam keadaan apa sekalipun dan parti dominan ke
atas kawalan kerajaan dan pentadbiran negara adalah UMNO. Di pihak DAP sendiri,
parti ini gagal untuk meyakinkan akar umbi mengenai kemampuan mereka beroperasi
dalam kerangka berbilang budaya. Cabaran kedua adalah kesempitan ruang konstruktif
dimana state-supervised adalah lebih kepada hubungan etnik yang cenderung menggugat
kestabilan struktur sosial negara. Di samping itu, golongan Melayu dalam DAP juga
berhadapan dengan kelompok ultrakonservatif parti kerana terdapat beberapa pemimpin
dan individu yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehendak majoriti rakyat
Malaysia khususnya kaum Melayu dan Bumiputera. Permusuhan boleh berlaku
sekiranya isu-isu yang berkaitan dengan kaum Melayu gagal diselesaikan secara
berhemah. Golongan Melayu dalam DAP juga perlu berhadapan dengan kepimpinan
orde lama yang konservatif apabila beberapa pemimpin lama veteran masih kekal
mendominasi parti itu lebih daripada pemimpin Melayu. Sikap autoritarian dan
nepotisme pemimpin ini banyak membantutkan usaha-usaha pembaruan di dalam DAP.
Ini juga merupakan antara sebab yang seringkali mengakibatkan berlakunya pengaliran
keluar ahli Melayu. Hal ini menyebabkan usaha yang keras dan efektif terpaksa difikir
dan perlu diambil oleh golongan Melayu dalam DAP untuk menyingkirkan pemikiran
negatif terhadap DAP.

Buku ini ditamatkan dengan Bab 8 yang merumuskan hasil perbincangan dan
implikasi teori. Analisis penulis menyatakan bahawa fenomena penglibatan dan
penyertaan orang Melayu ke dalam DAP selepas PRU ke-12 merupakan manifestasi
projek pascaetnik yang cuba dilaksanakan DAP. Secara keseluruhannya, penyertaan ini
didorong oleh identiti hibrid, penyertaan yang didasarkan atas semangat sukarela,
kecenderungan mereka menolak afiliasi yang kekal, kecurigaan terhadap wacana dan
naratif yang dipaksakan dan pendekatan mereka yang memfokuskan kepada
7

nasionalisme sivik, persaudaraan transetnik, dan jatidiri Melayu yang kosmopolitan.


DAP juga cuba menonjol sebagai parti berbilang kaum supaya tidak cenderung mewakili
sesebuah kaum sahaja seperti yang dilakukan oleh parti-parti kerajaan. Sejak penubuhan
DAP sehingga kini, mereka kekal responsif dengan menerima penglibatan orang Melayu.
Namun, di sebalik kejayaan dan pencapaian ini, DAP dilihat masih terperangkap dengan
kerangka besar politik Malaysia dan seringkali terjebak dalam kesukaran untuk
menyesuaikan real politik parti itu dan gagal mencairkan sentimen primordial mereka.

5.0 RUMUSAN

Buku ini merupakan satu usaha para penulis untuk cuba mengubah pesepsi negatif
khususnya golongan Melayu terhadap DAP. Fenomena pascaetnik berlaku disebabkan
oleh peningkatan keterhubungan dan kecairan sentimen primordial semenjak krisis
politik 1998. Sikap skeptikal terhadap DAP perlu dihapuskan oleh golongan Melayu
sekiranya mereka mahu mencapai kesamarataan identiti. Namun, jika kita melihat
kepada isu-isu perkauman dan agama yang sedang dimainkan secara berterusan melalui
lensa politik, DAP perlu untuk mewujudkan satu medium baru untuk membincangkan
secara kritikal tentang budaya baru yang perlu menggantikan yang lama. Data tidak
rasmi di dalam buku ini mengatakan DAP mempunyai 10 peratus ahli Melayu daripada
150,000 ahli. Daripada 1,500 anggota Melayu, mungkin dalam 15 orang, satu-satunya
pemimpin yang dipimpin oleh Melayu selalu menerima publisiti. Angka ini
memperlihatkan sensitiviti Melayu untuk menerima agenda perjuangan DAP yang mana
mereka melihat lebih banyak keadilan sosial dan ekonomi untuk kaum minoriti kerana
hak keistimewaan orang Melayu telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Akhirnya, penulisan dalam buku ini membuka pintu kepada kedua-dua bangsa
iaitu Cina dan Melayu untuk merefleksi dan mencari alternatif agar golongan Melayu
diterima secara terbuka di dalam DAP. Untuk menarik lebih banyak sokongan Melayu
kepada DAP, penulis mencadangkan cara kerja parti harus lebih agresif dan inovatif.
Tugas penting ini harus diamanahkan kepada bahu anggota dan pemimpin Melayu DAP.
Para pemimpin bukan Melayu DAP juga harus mengawal diri agar tidak mengeluarkan
kenyataan yang tidak mencerminkan perjuangan parti. Ini kerana ia boleh digunakan
sebagai modal politik untuk menyerang imej DAP dan menjadikannya sukar untuk
menarik sokongan orang Melayu. Semua kebohongan liar seperti DAP adalah sistem
8

Pro-Komunis, anti-Islam, anti-monarki, boleh dikemukakan semula oleh dasar parti oleh
pemimpin-pemimpin Melayu DAP sendiri. Orang Melayu lebih yakin jika soalan mereka
dijawab oleh kaum mereka sendiri. Justeru, kepimpinan parti harus lebih terbuka dan
bersedia untuk memberi ruang dan peluang bagi orang Melayu untuk berjaya dalam
perjuangan parti.

You might also like