Memetik kata-kata mantan perdana menteri kedua Malaysia, Tun Abdul Razak
Hussein “Rahsia kesempurnaan Rukun Negara adalah pada amalannya.Tanpa
amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna.” Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang berwisi, Tuan pengerusi majlis yang dihormati, kombinasi kehakiman yang berintergriti, seterusnya sidang hadirin yang dikasihi. Salam sejahtera dan salam perpaduan. Berdirinya saya di sini dengan penuh iltizam, ingin menyampaikan pidato yang berbunyi “Rukun Negara Amalan Hidup Rakyat Malaysia” Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, saya mewartakan dengan lebih jelas pendefinisian Rukun Negara. Rukun negara ialah satu ideologi negara yang mengandungi prinsip-prinsip kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan. Hadirin yang penuh santun, Menurut Tun Abdul Razak “Adalah mustahak Rukun Negara bukan sahaja difahami oleh setiap rakyat , tetapi juga diamalkan dengan sepenuhnya dan segala hikmat- hikmat yang terkandung di sebalik tiap-tiap perkataan dan kalimat Rukun Negara itu benar-benar menjadi darah daging”. Oleh itu bagi merungkai kepentingan rukun negara dan membuktikan kemampuannya, tiga perspektif hujah saya unjurkan. Hadirin sekalian, Hijab pidato ini saya buka dengan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan. Albert Einstein pernah berkata, “Agama tanpa ilmu itu lumpuh, ilmu tanpa agama itu buta”. Nah, terbuktilah bahawa agama amat penting dalam kehidupan manusia. Agama dijadikan pegangan utama rakyat Malaysia kerana ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang, sesuatu bangsa dan juga negara. Perlembagaan persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi persekutuan tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan bebas di negara kita sekaligus membuktikan bahawa rakyat negara ini mengamalkan sikap toleransi yang tinggi kerana tidak membeza-bezakan warganya. Pendengar yang penuh santun, Hujah saya yang kedua di bawah lembayung kata, Prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan negara amat penting diamalkan bagi melahirkan rakyat yang taat setia kepada pemerintah dan negara. Setiap warganegara haruslah menumpukan taat setia kepada raja dan negara kerana Raja lambang perpaduan negara. Sumpah taat setia kepada raja dapat mengelakkan sesetengah rakyat bersikap seperti menggunting dalam lipatan atau menangguk di air yang keruh demi kepentingan diri sendiri. Perkara buruk seperti rusuhan kaum dapat dielakkan jika rakyat mematuhi prinsip kedua ini sekali gus, menjamin kestabilan negara yang berterusan. Keluhuran perlembagaan ialah prinsip ketiga dalam rukun negara. Prinsip ini menekankan perlunya rakyat Malaysia menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan perlembagaan negara kerana perlembagaan negara merupakan sumber perundangan yang tertinggi. Rakyat perlu sedar bahawa Perlembagaan negara berfungsi untuk melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Nah, sudah terang lagi bersuluh, sudah tentulah setiap pesalah akan dikenakan tindakan tanpa mengira darjat. Hadirin yang berwisi, Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi, ingin saya simpulkan pidato saya, bahawa kita mestilah menjunjung tinggi Perlembagaan negara kita dan mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara.