Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 15

[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KANGAR


DALAM NEGERI PERLIS, MALAYSIA
[RAYUAN JENAYAH NO: 42H-02-02/2017]

ANTARA

PENDAKWA RAYA … PERAYU

DAN

ANAKANDA AZMAR AFIQ MOHD AZMAN … RESPONDEN

[DALAM MAHKAMAH SESYEN KANGAR


DALAM NEGERI PERLIS, MALAYSIA
KES TANGKAP NO: 62JS-02-12/2015]

ANTARA

PENDAKWA RAYA

LAWAN

ANAKANDA AZMAR AFIQ MOHD AZMAN

PROSEDUR JENAYAH: Rayuan - Rayuan terhadap hukuman - Rayuan


oleh pihak pendakwaan - Kesalahan berat - Hakim bicara menjatuhkan
hukuman bon berkelakuan baik selama 2 tahun bagi kesalahan sumbang
mahram - Sama ada hukuman penjara adalah mandatori bagi kesalahan
di bawah s. 376B(1) Kanun Keseksaan - Sama ada hakim bicara telah
terkhilaf dalam penghukumannya apabila memberi pertimbangan yang
berlebihan kepada kesusahan yang akan dihadapi oleh tertuduh - Sama
ada kesalahan sumbang mahram merupakan kesalahan yang dibenci oleh
masyarakat

1
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series
[Rayuan dibenarkan. Hukuman yang dijatuhkan hakim bicara
digantikan dengan 12 tahun penjara dan 5 sebatan rotan.]

Kes-kes yang dirujuk:

Abu Bakar Bin Alif v. R [1952] 1 LNS 4 HC (dirujuk)

Leong Ka Kong v. Public Prosecutor [1975] 1 LNS 86 HC (dirujuk)

PP v. Mohamed Nor & Ors [1985] 1 LNS 25 SC (dirujuk)

PP v. Teh Ah Cheng [1976] 1 LNS 116 HC (dirujuk)

Public Prosecutor v. Loo Choon Fatt [1976] 1 LNS 102 HC (dirujuk)

Madali Bihie v. PP [2017] 1 LNS 322 HC (dirujuk)

Mat Nayan Kamis v. PP [2008] 2 CLJ 394 HC (dirujuk)

Mohd Amin Ishak v. PP & Satu Lagi Rayuan [2013] 3 CLJ 258 HC
(dirujuk)

Mohd Rashid Ismail v. PP [2013] 1 LNS 53 HC (dirujuk)

Mohd Yusri Baba v. PP & Kes Yang Lain [2014] 1 LNS 14 HC (dirujuk)

Mohd Zandere Arifin v. PP [2006] 5 CLJ 663 HC (dirujuk)

Tuan Mat Tuan Lonik v. PP [2009] 4 CLJ 638 CA (dirujuk)

Wan Mohsen Wan Abdullah v. PP [2017] 1 LNS 1443 HC (dirujuk)

Perundangan yang dirujuk:

Kanun Keseksaan, s. 376B(1)

Kanun Tatacara Jenayah, s. 293(1)(b)

2
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

PENGHAKIMAN

MUKADIMAH

1. Ini merupakan rayuan oleh perayu terhadap keputusan Mahkamah


ini yang membenarkan rayuan oleh pendakwaan terhadap hukuman
Hakim, Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis [HMS itu] bagi kesalahan
sumbang mahram iaitu di bawah s. 376B (1) Kanun Keseksaan [Kanun
itu].

2. HMS itu telah menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama


2 tahun selaras dengan peruntukan s. 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah
[KTJ] dan diletakkan dibawah pengawasan bapa selama tempoh tersebut
dengan terma-terma tertentu.

3. Mahkamah ini telah membenarkan rayuan atas hukuman oleh


pendakwaan. Mahkamah ini mengakaskan hukuman yang dijatuhkan oleh
HMS itu dan menggantikan dengan hukuman penjara 12 tahun mulai
14.12.2017 dan sebatan rotan 5 kali.

LATAR BELAKANG KES

4. Perayu telah dituduh di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis atas


pertuduhan yang berbunyi seperti berikut:

“Bahawa kamu pada 11/12/2015 jam lebih kurang 0500 pagi di


69-F Kampung Sungai Bugis, 02700 Simpang Empat Perlis
Dalam Daerah Kangar, Dalam Negeri Perlis telah melakukan
persetubuhan dengan NBAN KP NO:xxxx xx xxxx [nama dan no

3
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

kad pengenalan dirahsiakan] yang mana oleh kerana


perhubungan kamu dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah
undang-undang (atau hukum agama atau adat atau kebiasaan)
yang terpakai kepada kamu untuk berkahwin dengannya , dan
dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh
dihukum dibawah seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan.”

[REKOD RAYUAN[R.R]] [JILID 1][muka surat (4)]

5. Perayu tidak mengaku bersalah atas pertuduhan dan perbicaraan


penuh telah dijalankan di hadapan HMS itu. Di akhir perbicaraan, HMS
itu merekodkan perayu bersalah dan disabitkan atas pertuduhan sumbang
mahram.

6. HMS itu setelah menimbangkan mitigasi peringanan hukuman dan


hujahan Timbalan Pendakwa Raya [TPR] yang terpelajar, HMS itu telah
memerintahkan perayu menjalani bon berkelakuan baik selama 2 tahun di
bawah s. 293 (1)(b) KTJ. Perayu juga diletakkan di bawah pengawasan
bapa perayu selama 2 tahun dengan syarat tambahan iaitu (i)perayu tidak
boleh tinggal atau berada dengan mangsa pada jarak 200 radius pada bila-
bila masa dan (ii)perayu tidak boleh bergaul bersama mangsa dalam apa
cara dan keadaan sekalipun.

7. Pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan hukuman yang


dijatuhkan oleh HMS itu telah memfailkan notis rayuan atas hukuman
[R.R][JILID 1][muka surat (1) - (2)].

MERIT RAYUAN

4
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

8. Sebelum Mahkamah ini menimbangkan rayuan hukuman oleh


pendakwaan, eloklah dijenguk kembali nas-nas duluan yang memberikan
garis panduan bagi Mahkamah ini menimbangkan rayuan daripada
Mahkamah Rendah.

9. Mahkamah ini merujuk kes Abu Bakar Bin Alif v. R [1952] 1 LNS 4
dimana Spenser Wilkinson J dalam bahasa asalnya menzahirkan
pandangannya seperti berikut:

“In the case of Rex v. Ball 35 Cr App R 164 the Court of Criminal
Appeal restated the principles which should guide an Appellate
Court in considering the sentence passed by the Court below. “In
the first place”, the judgment reads, “this Court does not alter a
sentence which is the subject of an appeal merely because the
members of the Court might have passed a different sentence. The
trial Judge has seen the prisoner and heard his history and any
witnesses to character he may have chosen to call. It is only when a
sentence appears to err in principle that this Court will alter it. If a
sentence is excessive or inadequate to such an extent as to satisfy
this Court that when it was passed there was a failure to apply the
right principles, then this Court will intervene”. In my opinion
these remarks apply with equal force to appeals to the High Court
from the Subordinate Courts. I am unable to say in this case that
the sentence was excessive or inadequate to such an extent as to
satisfy me that there was a failure to apply the right principle.”

5
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

10. Selanjutnya Mahkamah ini merujuk kes PP v. Mohamed Nor & Ors
[1985] 1 LNS 25 dimana YAA Abdul Hamid Omar HBM [pada ketika
itu] menyatakan seperti berikut:

“In this regard we would observe that it is the established principle


that an appellate court should be slow to interfere with or disturb a
sentence passed by the court below unless it is manifestly wrong in
the sense of being illegal or of being unsuitable to the proved facts
and circumstances.

And the mere fact that another court might pass a different sentence
provides no reason for the appellate court to interfere if the court
below applies the correct principles in the assessment of the
sentence.”

11. Akhirnya, Mahkamah ini merujuk kes Leong Ka Kong v. Public


Prosecutor [1975] 1 LNS 86 YA Abdul Hamid H [pada ketika itu] ada
menzahirkan pandangannya seperti berikut:

“Our system, as practised today, has vested the Magistrates and


presidents with wide discretionary power in the matter of the
amount of punishment. Such discretionary power must not,
however, be exercised in complete disregard of the facts and
circumstances of the case. In point of fact, the discretion must be
exercised judicially. Now, in consideration of what I have said, the
Court should not therefore interfere with the lower Court's
discretion unless there is apparent on the fact of the record a
manifest error either in law, or, in considering the facts and

6
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

circumstances of the case. The nature of the offences committed in


particular that which is violent in nature and one that involves the
security of life and property, must necessarily be viewed gravely.”

12. Berbekalkan prinsip undang-undang yang digariskan dalam nas-nas


duluan yang dirujuk sebelum ini, Mahkamah ini akan meneliti rayuan
pihak pendakwaan atas hukuman yang dijatuhkan oleh HMS itu terhadap
perayu.

13. Mahkamah ini telah meneliti penghakiman HMS itu [R.R][JILID


1][muka surat (8) - (13)] alasan-alasan mengapa HMS itu menjatuhkan
hukuman berdasarkan peruntukan s. 293 (1)(b) KTJ dan terma-terma
tambahan.

14. Mahkamah ini berpendapat HMS itu dalam penghakimannya tidak


menimbangkan kesalahan yang dilakukan oleh perayu merupakan
kesalahan yang berat. HMS itu gagal menghayati tujuan Badan Parlimen
yang meminda hukuman bagi kesalahan di bawah s. 376B (1) Kanun itu.
Nas duluan ada memutuskan niat Badan Parlimen meminda peruntukan
undang-undang khasnya menaikkan hukuman bagi sesuatu kesalahan
perlu ditimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

15. Pendekatan sebegini ada diputuskan dalam kes Public Prosecutor v.


Loo Choon Fatt [1976] 1 LNS 102 dimana YA Hashim Yeop A Sani J
[pada ketika itu] ada menyuarakan pengamatannya seperti berikut:

“It is common sense to say that behind these legislative exercises


was the government's realisation albeit gradual, of the problem of

7
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

drug abuse in this country, the degenerating effect of the misuse of


dangerous drugs and the attendant dangers it has posed to society
itself. The amendments passed by Parliament therefore reflect the
public policy. It must be presumed that behind the public policy is
the consideration of public interest.

The change in the attitude of the legislature itself during the last
three years reflects the seriousness of the problem. In my view the
Courts will not be performing their functions honestly if the
seriousness of the situation is not reflected in the sentence imposed
or if the sentence appears to defeat the object of the statute. This is
not saying that the Courts in the treatment of drug offences should
at all times be severe. Each case has to be determined on its own
merits. But in every case the Courts must be realistic and rational.”

16. Mahkamah ini telah menimbangkan melalui Akta Kanun Keseksaan


(Pindaan) 2014 [Akta A 1471] yang berkuatkuasa mulai 31.12.2014 telah
meminda hukuman bagi kesalahan di bawah s. 376B(1) Kanun itu dengan
menggantikan “not less than six years and not more than twenty years”
kepada “ not less than ten years and not more than thirty years”.

17. Mahkamah ini turut menimbangkan hukuman penjara bagi


kesalahan di bawah s. 376B(1) Kanun itu mandatori apabila Badan
Parlimen membuat pindaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan)
2017 [Akta A 1536] dengan meminda frasa “shall also be liable to”
kepada “shall also be punished with”.

8
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

18. Mahkamah ini berpendapat HMS itu dalam penghakimannya gagal


menimbangkan niat Badan Parlimen yang memperuntukan hukuman bagi
kesalahan yang dilakukan oleh perayu ialah hukuman penjara. Mahkamah
ini berpendapat hukuman di bawah s. 293 (1)(b) KTJ tidak memadai dan
bercanggah dengan tujuan pindaan kepada peruntukan s. 376B (1) Kanun
itu. Mahkamah ini sedar walaupun perayu berusia muda ini bukannya
suatu lesen bagi perayu mendapatkan hukuman yang ringan.

19. Mahkamah ini berpendapat HMS itu dalam penghakimannya


dipengaruhi atas rasa ihsan kepada isteri perayu sekiranya perayu
menjalani hukuman penjara. HMS itu menitikberatkan kesusahan diri
perayu berbanding dengan kepentingan awam yang menghendaki
hukuman yang berbentuk pengajaran.

20. HMS itu dalam penghakimannya [R.R][JILID 1][muka surat (11)]


ada menyatakan seperti berikut:

“1) Saya telah mendengar kenyataan mangsa yang memohon agar


OKT tidak dijatuhkan hukuman berat kerana beliau menyatakan
bahawa beliau lebih kasihan kepada kakak beliau iaitu isteri
kepada OKT. Jika dijatuhkan hukuman yang panjang, kakak beliau
yang kini mengandung anak kedua akan hilang tempat bergantung.
Tiada siapa untuk menyara kakaknya dan seorang anak kecil dan
seorang lagi yang bakal dilahirkan. Ini dapat dilihat dengan jelas
dan kenyataan mangsa yang direkodkan.”

21. Mahkamah ini berpendapat HMS itu terkhilaf dalam


penghukumannya apabila memberi pertimbangan yang berlebihan kepada

9
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

kesusahan yang akan dihadapi oleh perayu. Mahkamah ini merujuk nas-
nas duluan dalam mengarap isu kesusahan diri sebagaimana yang
diperincikan dalam kes PP v. Teh Ah Cheng [1976] 2 MLJ 186 dimana
YA Abdool Cader H telah menyatakan seperti berikut:

“The respondent also puts forward in his plea in mitigation the fact
that he is employed and supports an aged mother and step-brothers.
He should of course have thought of this before committing the
offences and not after; he is in fact pleading hardship arising from
the consequences of his own acts and I would reiterate what I had
occasion previously to observe in another case that an offender
should not expect to excite or harness any sympathy on an ipse dixit
by taking that stance of the impetuous youth who killed his parents
with an axe and then pleaded in mitigation that he was an orphan.”

22. Selanjutnya Mahkamah ini merujuk kes Public Prosecutor v. Loo


Choon Fatt [1976] 1 LNS 102 dimana YA Hashim Yeop A. Sani H (pada
ketika itu) ada menzahirkan pandangannya seperti berikut:

“Presidents and magistrates are often inclined quite naturally to be


oversympathetic to the accused. This is a normal psychological
reaction to the situation in which the lonely accused is seen facing
an array of witnesses with authority. The mitigation submitted by a
convicted person will also normally bring up problems of family
hardship and the other usual problems of living. In such a situation
the courts might perhaps find it difficult to decide as to what
sentence should be imposed so that the convicted person may not be

10
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

further burdened with additional hardship. This in my view is a


wrong approach. The correct approach is to strike a balance, as
far as possible, between the interests of the public and the interests
of the accused.”

23. Mahkamah ini merujuk nas-nas duluan iaitu Teh Ah Cheng [supra]
dan Loo Choon Fatt [supra], perayu seharusnya memikirkan kesan
perbuatannya itu sebelum melakukan kesalahan. HMS itu nampaknya
memberi pertimbangan kepada kesusahan perayu dalam penghakimannya.

24. Mahkamah ini juga berpendapat HMS itu dalam penghakimannya


seakan-akan tidak menyedari kesalahan sumbang mahram merupakan
kesalahan yang dibenci oleh masyarakat. Dalam kes ini perayu telah
mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan ini. Mahkamah ini
merujuk nas-nas duluan secara terang-terangan mengutuk perbuatan yang
perayu lakukan sekarang.

25. Mahkamah ingin memetik kata-kata YA Ahmad Maarop, H (pada


ketika itu) dalam kes Mohd Zandere Arifin v. PP [2006] 5 CLJ 663 di
halaman 672 yang menyatakan:

“Kesalahan sumbang mahram adalah suatu kesalahan yang serius


dan amat keji lebih-lebih lagi dilakukan ke atas mangsa yang
merupakan darah daging sendiri. Perayu sepatutnya menjaga dan
membimbing mangsa sebaliknya menjadi perosak masa hadapan
anak sendiri semata-mata kerana memenuhi nafsu serakah Perayu.

11
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

Dengan demikian, Mahkamah berperanan untuk memastikan ianya


tidak terus berleluasa dengan menjatuhkan hukuman yang setimpal
dengan kesalahan yang telah dilakukan agar menjadi satu
penghalang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk
melakukan kesalahan yang serupa.”

26. Selanjutnya, Mahkamah ini merujuk kes Madali Bihie v. PP [2017]


1 LNS 332 dimana YA Alwi Hj Abdul Wahab PK ada menyatakan seperti
berikut:

“..the offence for which the appellant was convicted undoubtedly


serious in nature that he had committed incest with his own step
daughter. The learned SCJ had duly considered the element of
public interest and the gravity of the offence when he said that the
appellant had failed to discharge his responsibility as the guardian
of the victim but took advantage of her by manipulating her to
commit this incestuous relationship. The effect of the appellant's
heinous crime would haunt the victim emotionally and
psychologically for the rest of her life. Public interest demands that
sentence to be passed would reflect the public's abhorrence for
such crime.”

27. Mahkamah ini pada akhirnya merujuk kes Tuan Mat Tuan Lonik v.
PP [2009] 4 CLJ 638, YA Suriyadi Halim Omar HMR (pada ketika itu)
ada menyatakan:

“(1) Public interest played an important consideration when the


sentences were imposed on the appellant. Public interest varies

12
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series

with place, time and circumstances of each case including the age
of the offender and the prevalence of the offence. Due to the special
relationship between the victim and the appellant, let alone the
fact that the rape incidents were repeatedly carried out until an
illegitimate child was born, the demand to satisfy society's needs to
avenge the wrongful act of the appellant must take centerstage.
(paras 13 & 14)

(2) The court must show its abhorrence of incestuous rape and
impose the appropriate sentence in the circumstances of the case.”

28. Mahkamah ini juga berpendapat HMS itu tidak mengikuti trend
penghukuman yang melibatkan sumbang mahram. Sebagai rujukan
Mahkamah ini menyenaraikan tempoh hukuman penjara dan sebatan rotan
bagi kesalahan sumbang mahram iaitu s. 376B (1) Kanun itu sebagaimana
dalam JADUAL dibawah.

JADUAL

BIL NAMA KES HUKUMAN


Penjara 20
1. Mat Nayan Kamis v. PP [2008] 2 CLJ 394
tahun
Penjara 20
2. Madali Bihie v. PP [2017] 1 LNS 322 tahun dan 10
rotan
Penjara 18
Wan Mohsen Wan Abdullah v. PP [2017] 1
3. tahun dan 7
LNS 1443
rotan
Penjara 18
4. Mohd Zandree Arifin v. PP [2006] 5 CLJ 663 tahun dan 3
rotan

13
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series
Penjara 10
5. Mohd Yusri Baba v. PP [2014] 1 LNS 14 tahun dan 5
rotan
Penjara 18
6. Mohd Amin Ishak v. PP [2013] 3 CLJ 258 tahun dan 8
rotan
Penjara 18
7. Mohd Rashid Ismail v. PP [2013] 1 LNS 53 tahun dan 8
rotan

29. Mahkamah ini telah menimbangkan usia perayu yang masih muda
dan merupakan kesalahan yang pertama perayu. Mahkamah ini
berpendapat hukuman penjara 12 tahun mulai 14.12.2017 memadai dan
tidak berlebihan. Mahkamah ini tidak menjatuhkan hukuman penjara
yang lama bagi faedah diri perayu. Perayu sebaik menjalani hukuman
penjara nanti masih berpeluang untuk kembali kepada masyarakat.

KESIMPULAN

30. Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini


membenarkan rayuan atas hukuman yang dijatuhkan oleh HMS itu.
Mahkamah ini mengakaskan hukuman yang dijatuhkan di bawah
peruntukan s. 293 (1)(b) KTJ dan terma-terma lainnya. Mahkamah ini
menggantikan dengan hukuman penjara 12 tahun mulai 14.12.2017 dan
sebatan rotan.

BERTARIKH: 8 FEBRUARI 2018

14
[2018] 1 LNS 101 Legal Network Series
(ABU BAKAR KATAR)
Pesuruhjaya Kehakiman
Mahkamah Tinggi Malaya
Kangar, Perlis

Kaunsel:

Bagi pihak perayu - Mohd Amril Johari, Timbalan Pendakwa Raya


Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis
Bangunan Jam Besar
Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan Negeri Perlis
01000, Kangar, Perlis.

Bagi pihak responden - Syed Muhammad Anwar Syed Lokman


Hakim; T/n Hafiz Zuhair Adawiah & Co
Peguambela & Peguamcara
No.26A, Tingkat 1
Jalan Hospital
01000, Kangar
Perlis

15

You might also like