Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

Cina Peranakan

Tanah Melayu antara destinasi pilihan orang-orang Cina yang bermigrasi sama ada secara
sementara atau kekal atas pelbagai sebab termasuklah faktor pekerjaan seperti perdagangan,
peniaga, pegawai diplomatik, juga kerana untuk mencari punca pendapatan di tempat luar
akibat daripada masalah-masalah yang melanda China seperti kebuluran, peperangan, dan
pemerintahan kuku besi dan bencana alam. Mereka tiba ke Tanah Melayu melalui kawasan-
kawasan pelabuhan maritim dan perjalanan. Mereka seterusnya menetap secara kekal di
kawasan-kawasan tersebut bersama-sama isteri mereka yang terdiri daripada wanita peribumi
dari etnik Melayu, Thai dan orang Asli.

Dalam tempoh yang panjang, budaya Cina yang mereka dan anak-anak mereka amalkan
secara beransur-ansur dipengaruhi oleh elemen-elemen budaya tempatan yang mendominasi
persekitaran mereka. Ini membawa kepada kemunculan komuniti Cina Peranakan yang
etnisitinya ketara berbeza dengan orang Cina yang menyertai gelombang migrasi secara
besar-besaran atas inisiatif pihak kolonial British ke Tanah Melayu dalam abad ke-19. Akibat
daripada variasi latar belakang orang Cina dan masyarakat tempatan yang berbeza
penempatan berbanding orang Cina lain, maka komuniti Cina Peranakan yang terbentuk
adalah berbeza-beza etnisitinya.

Kini selain daripada komuniti Cina Peranakan di Pulau Pinang dan Singapura yang tidak lagi
wujud secara distingtif daripada masyarakat Cina bukan Peranakan, terdapat tiga jenis
komuniti Cina Peranakan yang masih wujud di Semenanjung Malaysia iaitu komuniti Baba
dan Nyonya di Melaka, Cina Peranakan di Kelantan dan juga di Terengganu.

Komuniti Baba dan Nyonya (Baba-Nyonya) di Melaka telah muncul dalam abad ke-16
diasaskan oleh orang Cina yang terdiri daripada golongan pedagang yang tertarik dengan
kedudukan strategik Melaka sebagai pusat perdagangan (Nagata & Beng, 1989). Penempatan
mereka pada mulanya bersifat sementara namun akhirnya kekal menetap di kawasan bandar
bandar Pelabuhan.

Negeri Melaka merupakan kolonis terbesar masyarakat unik ini bertapak. Kumpulan kaum
minoriti ini menggelarkan diri mereka sebagai Baba dan nyonya atau peranakan kerana
mereka memiliki dua budaya warisan iaitu warisan tradisi Cina pada masa yang sama
mengamalkan ciri-ciri budaya masyarakat Melayu. Fenomena ini berlaku kerana pada zaman
sebelum Kesultanan Melayu Melaka ramai perdagang-perdagang yang datang dari Negara
China ke Tanah Melayu pada ketika itu kemudiannya berkahwin dengan orang Melayu.
Golongan Nyonya amat sinonim dengan pemakaian baju kebaya dengan kain sarung. Selain
itu, Baba dan Nyonya juga turut memakai pakaian kaum Cina. Kaum Nyonya juga
mempunyai kasut yang agak unik seperti kasut manik. Kasut manik ialah alas kaki buatan
tnagan yang memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkannya dari
jalinan manik kaca yang bersigi-segi halus yang dijahit pada kain terpal. Rekaan kasut manik
tradisional sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh
tembikar peranakan dan sarung batik.

Rajah 1: Pakaian tradisional Baba dan Nyonya

Masyarakat Baba Nyonya bertutur bahasa Melayu Baba, iaitu bahasa dialek yang
mengandungi perkataan dari Bahasa Melayu dan Hokkien. Atas kebolehan mereka
menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, kebanyakan Baba Nyonya boleh bertutur dua
jenis bahasa dan dialek, atau lebih, seperti Melayu Baba, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Kini, dialek Melayu Baba merupakan bahasa yang hampir pupus kerana kebanyakkannya
digunakan oleh generasi yang berusia. Ramai generasi muda tidak lagi tahu bertutur dalam
dialek tersebut dan lebih kerap bertutur dalam Bahasa Inggeris atau Cina sebagai bahasa
utama mereka.

Komuniti Cina Peranakan di Kelantan rata-ratanya terlibat dalam aktiviti pertanian. Justeru
itu penempatan komuniti tersebut lebih banyak terdapat di kawasan luar bandar. Jika
dibandingkan, bilangan kedatangan orang Cina ke pantai barat semenanjung Tanah Melayu
adalah lebih tinggi berbanding yang datang ke Kelantan. Dengan mengambil kira tahun
kedatangan sekumpulan orang Cina ke Kelantan dalam jumlah yang agak signifikan pada
tahun 1578, penempatan mereka mungkin wujud seawal abad ke-17. Di akhir abad ke-18
barulah terdapat rekod bertulis mengenai penempatan Cina Peranakan di Kelantan.

Berdasarkan gambaran yang diberikan tentang Kelantan, (Askew, 2009) menyatakan bahawa
orang Melayu (natives) tidak membenarkan wanita mereka mengahwini orang Cina bahkan
orang Cina juga agak jarang berkahwin dengan orang Melayu (Askew, 2009). Mereka lebih
cenderung mengahwini wanita Siam. Persamaan agama memudahkan perkahwinan campur
antara dua komuniti ini. Perkahwinan Cina-Thai menandakan bermulanya Cina peranakan di
Kelantan. Sejarah penempatan orang Cina di Kelantan adalah melalui migrasi orang Cina dari
Thailand ke Kelantan. Hal ini dikatakan demikian kerana arus kedua perhijrahan yang ketara
ialah perhijrahan orang Hokkien, kebanyakan mereka datang melalui jalan darat iaitu melalui
Kemboja, Siam, Pattani dan seterusnya memasuki Kelantan (Shahrul Imran, Abdullah, &
Bustami, 2015).

Masyarakat Cina Peranakan menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan dalam kehidupan
seharian mereka. Masyarakat Cina Peranakan masih mengamalkan dialek Hokkien namun
dialek ini agak berbeza dengan penggunaan dialek Hokkien yang digunakan oleh komuniti
Hokkien di negeri-negeri lain (AHMAD, DOLLAH, & SEONG, 2011). Hal ini berlaku
kerana dialek Hokkien Cina Peranakan Kelantan ini telah dihasilkan dari percampuran loghat
Hokkien, Melayu Kelantan dan Siam kampung.

Orang Cina di Kelantan telah diasimilasikan, nama-nama yang digunakan seperti Gan
Awang, Tan Awang Besar, Lau Cheng San atau Che Hassan, Che Midah, Mek Su dan nama-
nama lain.Gaya hidup Cina Kelantan dipengaruhi oleh gaya hidup Melayu terutama dari segi
pakaian dan juga makanan. Budaya berpakaian dalam masyarakat Cina Peranakan
merupakan satu aspek yang menarik apabila memperkatakan cara hidup masyarakat ini.
Busana dalam kehidupan seharian mereka ialah kain batik, kain pelekat, kain batik lepas, baju
Melayu dan baju kurung.
Rajah 2: Pakaian peranakan cina Kelantan

Di Terengganu pula, penempatan orang Cina dikatakan wujud sekurang-kurangnya dalam


abad ke-18 (Sloane-White, 2005). Seperti di Kelantan, mereka menjalankan aktiviti pertanian
sebagai kegiatan ekonomi utama. Penempatan awal komuniti Cina Peranakan di Terengganu
wujud di Pulau Babi (kini Pulau Bahagia) dan Marang. Daripada situ mereka kemudiannya
berhijrah ke tempat-tempat lain termasuklah di Tirok (Sloane-White, 2005).

Dalam mengkaji migrasi dan asimilasi orang Cina luar bandar di Terengganu, laluan migrasi
orang Cina adalah melalui dua buah bandar pelabuhan ke kawasan pedalaman yang
menyebabkan penubuhan penempatan Tirok pada lewat abad ke-19. Kedua-dua bandar
pelabuhan itu ialah Kuala Terengganu (kini sebuah pusat perdagangan) yang terletak di
muara Sungai Terengganu dan Marang (kini sebuah kampung nelayan) yang terletak di
muara Sungai Marang. Migran Cina tiba di kedua-dua bandar pelabuhan ini dari wilayah
Fujian, di selatan China pada akhir abad ke-18. Mereka kemudiannya berpindah ke kawasan
pedalaman untuk menceburi aktiviti pertanian.

Antara manifestasi pengaruh budaya Melayu di kalangan peranakan Cina Terengganu


terutamanya generasi tua, ialah kebolehan mereka bertutur dalam dialek Melayu Terengganu.
Kefasihan pertuturan mereka setanding dengan penutur asli. Mereka mendapat kemahiran
bahasa ini daripada pendidikan aliran Melayu serta interaksi secara kerap dengan orang
Melayu tempatan. Mereka bukan sahaja menggunakan dialek Melayu Terengganu dalam
pertuturan interetnik - dengan penduduk Melayu tempatan, malahan mencampuradukkannya
ke dalam pertuturan intraetnik mereka (bahasa pertuturan intraetnik mereka ialah dialek
Hokkien).

Manifestasi lain tentang pengaruh budaya Melayu di kalangan generasi tua peranakan Cina
juga boleh dilihat dari segi pakaian. Pakaian di rumah mereka mirip pakaian Melayu
kampung. mereka yang juga dikenali sebagai orang Cina Tiruk menggenakan baju kebaya
dan kain batik jawa apabila keluar rumah. Manakala lelaki pula memakai kain pelekat dan
baju pagoda selain kemeja, dan mereka juga menggunakan nama timangan seperti Mek dan
Awang, sama seperti masyarakat Melayu

Rajah 3: Pakaian cina peranakan di Terengganu


AHMAD, M. N., DOLLAH, H., & SEONG, T. K. (2011). Penghayatan Tradisi Lisan Melayu
Dalam Kalangan Masyarakat Cina Kelantan Appreciation of Malay Oral Traditions
Among the Chinese in Kelantan. Jurnal Melayu.

Askew, M. (2009). Thai South and Malay North: Ethnic Interactions on a Plural Peninsula.
Contemporary Southeast Asia. https://doi.org/10.1355/cs31-1i

Nagata, J., & Beng, T. C. (1989). The Baba of Melaka: Culture and Identity of a Chinese
Peranakan Community in Malaysia. Pacific Affairs. https://doi.org/10.2307/2760619

Shahrul Imran, M., Abdullah, L., & Bustami, R. (2015). Evolution and Identity of the
Kelantan Peranakan Chinese: Issues and Challenges. International Journal of
Multicultural and Multireligious Understanding. https://doi.org/10.18415/ijmmu.v2i1.8

Sloane-White, P. (2005). Chinese Minority in a Malay State: The Case of Terengganu in


Malaysia. By Tan Chee-Beng. Singapore: Eastern Universities Press, 2002. xiv, 162 pp.
$19.00 (paper). The Journal of Asian Studies.
https://doi.org/10.1017/s0021911805000744

You might also like