Sejarah Kedatangan Islam Dan Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Di Malaysia

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 16

1

SUBJEK:

FALSAFAH TASYRI’ (PPPG1243)

TAJUK:

SEJARAH KEDATANGAN ISLAM DAN KEDUDUKAN ISLAM DALAM


PERLEMBAGAAN DI MALAYSIA (PPPG1243)

PENSYARAH:

ENCIK MUHAMMAD NAZIR BIN ALIAS

PELAJAR:

NOR SYAFIKAH BINTI ALI (A163417)

MUNA MUNIRAH BINTI MOHAMAD ZAINUDDIN (A166776)

PUSAT KAJIAN SYARIAH

FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


2

ISI KANDUNGAN

PERKARA HALAMAN
1.0 PENGENALAN 3
2.0 TEORI-TEORI KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU 4
2.1 Teori Kedatangan Islam dari Tanah Arab 4
2.2 Teori Kedatangan Islam dari China 5
2.3 Teori Kedatangan Islam dari India 6
3.0 SEJARAH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN 7
4.0 DEFINISI ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN
PERSEKUTUAN 8
4.1 Tafsiran Mahkamah 9
4.2 Pandangan Sarjana 9
5.0 KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN 10
PERSEKUTUAN
6.0 KESIMPULAN 14
RUJUKAN 16
3

1.0 PENGENALAN

Kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu dikatakan telah bermula dengan


ketibaannya ke daerah Nusantara kerana Tanah Melayu merupakan sebahagian
daripada Kepulauan Melayu atau Nusantara. Namun begitu, kebanyakan ahli sejarah
terutamanya ahli sejarah Barat berpendapat bahawa kedatangannya ke daerah tersebut
berlaku pada kurun ke-13 M. Hal ini berdasarkan kepada beberapa fakta sejarah yang
telah ditemui di daerah-daerah berkenaan seperti batu nisan, catatan dan laporan.

Secara umunya terdapat tiga teori asas yang telah memperkatakan tentang
sejarah kedatangan Islam ke Tanah Melayu ini. Antara teori tersebut adalah Islam itu
datang dari Arab, China atau Indochina dan dari India. Namun demikian, para sarjana
dan pengkaji sejarah masih lagi tidak bersependapat dan masih wujud kontroversi
dalam menyatakan tarikh sebenar tentang bilakah kedatangan yang sebenar Islam ke
Tanah Melayu. Malahan para sarjana dan pengkaji tersebut masih lagi berbahas
tentang tempat bertapaknya Islam dan dari mana agama Islam itu di bawa (Zulkiflee
Haron & et. al. 2015).

Sesuatu yang difahami oleh rakyat di Malaysia bahawa Islam adalah agama
rasmi persekutuan dan Islam telah lama bertapak di Tanah Melayu melalui sejarah-
sejarah yang telah kita pelajari. Akan tetapi, kedudukan agama Islam dalam
Perlembagaan Persekutuan banyak dibahaskan dan dibincangkan kerana peruntukan-
peruntukan ini tidak begitu jelas. Perbahasan mengenai kedudukan Islam dalam
perlembagaan lebih tertumpu kepada tafsiran dan pandangan sarjana, peruntukan-
peruntukan yang berkaitan dan implikasi peruntukan-peruntukan itu.
4

2.0 TEORI-TEORI KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU

Secara umunya terdapat tiga teori asas yang telah memperkatakan tentang sejarah
kedatangan Islam ke Tanah Melayu ini. Antara teori tersebut adalah Islam itu datang
dari Tanah Arab, China atau Indochina dan dari India.

2.1 Teori Kedatangan Islam dari Tanah Arab

Terdapat teori yang mengatakan Islam dibawa ke Alam Melayu dari Tanah Arab.
Keyzers (seorang sarjana undang-undang Islam di Belanda) berpendapat bahawa
Islam dibawa ke Alam Melayu dari Mesir. Alasannya ialah Mesir mempunyai
hubungan yang baik dengan negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Teori ini disokong
oleh Niemann dan De Hollander John Crawfurd pula mengemukakan teori bahawa
pendakwah-pendakwah Islam dari Arab memainkan peranan menyebarkan Islam di
Alam Melayu. Beliau memberi alasan bahAwa orang-orang Arab mempunyai
angkatan tentera laut yang kuat sehingga dapat belayar ke negeri-negeri sebelah Timur
(Ismail Ishak 1985).

Sejarah kedatangan Islam ke Alam Melayu sangat berkait rapat dengan


hubungan dagang yang terjalin dengan tanah Arab sejak sebelum orang Arab sendiri
memeluk agama Islam. Walaupun penyebaran agama Islam ke Alam Melayu
dipelopori oleh pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah. Namun Islam telah sampai ke
Alam Melayu lebih awal lagi (Zulkiflee Haron et. al. 2015).

Menurut catatan sejarah, bangsa Arab yang menduduki selatan Semenanjung


Tanah Arab yang mengharungi lautan Hindi sebelum kemunculan agama Islam.
Mereka menjadi orang tengah antara pedagang Eropah dengan pedagang Asia dari
India dan barat rantau Melayu. Walaupun pada akhir abad ke-5 hingga ke-7 Masihi
pedagang-pedagang Rom dan Parsi cuba menguasai perdagangan di lautan Hindi,
namun pedagang-pedagang Arab masih dapat meneruskan perdagangan mereka
sehingga kedatangan orang Portugis pada akhir abad ke-15 (Zulkiflee Haron et. al .
2015).
5

Menurut John Crowford dalam bukunya ‘History of the Indian Archipelago’


Islam datang ke Nusantara dari Tanah Arab. Ini dibuktikan dengan catatan ketika
pemerintahan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah pada abad ke-7 hingga ke-10
Masihi, orang Arab Islam telah berada di Nusantara. Mereka mempunyai angkatan
laut yang kuat dan menjalankan perdagangan sambIl menyebarkan Islam sepanjang
perjalanan ke China melalui Nusantara (Mohd Jamil Mukmin 2014).

2.2 Teori Kedatangan Islam dari China

Hubungan perdagangan antara Arab dan China dicatatkan telah berlaku sebelum
kelahiran agama Islam lagi di Tanah Arab. Hubungan perdagangan ini secara tidak
langsung telah mewujudkan hubungan dengan kepulauan Melayu (Zulkiflee Haron et.
al. 2015). Teori kedatangan Islam di Alam Melayu dari China diketengahkan oleh
Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut beliau, pada zaman pemerintahan Dinasti
Tang iaitu pada abad ke-7 terdapat seramai 120.000 orang Islam di Canton. Pada
Tahun 879 Masihi telah berlaku pemberontakan kaum tani yang mendesak pemerintah
mengusir bangsa asing dari bumi Canton. Implikasi tersebut membawa pada
penghijrahan para pedagang yang terselamat ke Champa, Kedah Patani, Kedah,
Parlembang, Jawa dan lain-lain demi mendapatkan perlindungan (Mohd. Jamil
Mukmin 2014).

Berhubung dengan teori ini juga, terdapat beberapa penemuan sumber artifak
atau arkiologi. Antaranya termasuk penemuan batu nisan seorang wali Allah
berketurunan Arab di Pekan, Pahang yang bertarikh 1028M di mana atas batu nisan
ini terukur ayat-ayat al-Quran (Zulkiflee Haron et. al . 2015) dan Batu Bersurat
bertarikh 1303M Kuala Berang, Terengganu. Terdapat juga penemuan batu nisan di
Leran, Surabaya bertarikh 1082M atau 1102M yang sangat ketara ciri-ciri keislaman
pada batu nisan tersebut (H. Saifullah 2010). Terdapat catatan dalam Dinasti Sung
bahawa kedatangan Islam ke Nusantara melalui sepanjang pantai laut China dan dari
Tiongkok pada awal tahun 977 Masehi. Laporan ini menjadi bukti kuat kepada S.Q
Fatimi bahawa teori kedatangan Islam itu adalah dari China (Zulkiflee Haron et. al.
2015).
6

2.3 Teori Kedatangan Islam dari India

Terdapat teori menyatakan bahawa Islam di Alam Melayu datangnya daripada India.
Teori ini dikemukakan oleh Snauck Hugronje dan Brian Harisson, mereka
berpendapat kedatangan Islam di Alam Melayu dilakukan oleh para pedagang Islam
yang bermukim di Gujerat dan Malabar. Teori ini diperkuatkan lagi dengan penemuan
batu nisan di Pasai yang bertarikh 1428M dan di Gerisik yang bertarikh 1419M oleh
G.P. Morquette. Bentuk fizikal kedua-dua batu nisan ini mempunyai ciri persamaan
dengan batu nisan di Gujerat. Realiti ini membawa pada kesimpulan sejarah oleh
sejarawan iaitu Islam sampai ke Alam Melayu pada awal kurun ke-15M (Zulkiflee
Haron et. al. 2015).

Menurut Mohd Jamil bin Mukmin (2014) menyatakan bahawa teori bahawa
kedatangan Islam di Alam Melayu datangnya dari Bengal, Coromandel, India
diutarakan oleh S.Q Fatimi, Snauck Hugronje, J.P. Morquette dan G.E Marison. Di
mana menurut S.Q Fatimi kedatangan Islam ini dilakukan oleh para pedagang dari
sana. Bengal lebih awal menerima Islam berbanding Gujerat dan Malabar. Oleh itu
proses islamisasi Alam Melayu itu dilakukan oleh wilayah yang lebih awal menerima
Islam ini. Menurut S.Q Fatimi, para pedagang Bengal ini bermazhab Shafie sama
dengan mazhab umum di Alam Melayu. Secara emperikal, mustahil pedagang Gujerat
dan Malabar bertanggungjawab membawa Islam ke Alam Melayu kerana mazhab
yang dianuti mereka adalah mazhab Hanafi, manakala Alam Melayu bermazhab
Shafie (Zulkiflee Haron et. al. 2015).

Namun teori permulaan Islam sampai ke Tanah Melayu pada abad ke-13
adalah lemah. Berdasarkan bukti yang ada, Islam telah bertapak seawal abad ke-7 atau
abad ke-8 Masehi lagi. Di mana kewujudan para pedagang dan pendakwah dari India
juga turut berperanan dalam mengembangkan Islam di Alam Melayu (Zulkiflee Haron
et. al. 2015).

Berdasarkan teori yang telah dibincangkan, dapat dirumuskan tarikh paling


awal kemasukan agama Islam ke Nusantara adalah antara abad ke-7 hingga ke-10
Masehi, orang Arab Islam telah berada di Nusantara. Tidak keterlaluan untuk
dikemukakan bahawa teori yang dibawa oleh Morquette dan S.Q Fatimi kurang tepat
7

serta agak lewat berbanding dengan kenyataan dan catatan yang dibuat oleh John
Crowford, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan catatan dari sumber China, di mana
telah terdapat hubungan perdagangan Arab di perairan Asia Tenggara. Di mana orang
Arab sudah berada di Sumatera pada abad ke-7 Masehi dan telah membina
perkampungan di bahagian barat kepulauan tersebut. Bahkan pada zaman Khalifah
Sulaiman bin Abd al-Malik (715-717M) telah menghantar sebanyak 35 buah kapal ke
muara Salak di Jambi. Kapal ini dikatakan bertolak dari Cyelon menuju ke Palembang
pada tahun 717 Masehi, sebelum meneruskan perjalanannya ke China.

Namun tidak dinafikan terhadap beberapa teori yang menyatakan kemasukan


agama Islam agak lewat hingga abad ke-10 atau ke-13 sebagaimana yang dinyatakan
oleh Morquette, S.Q Fatimi, Marco Polo dan P.E. De Josselin De Jong yang
berkemungkinan menyatakan perkembangan ajaran Islam telah tersebar luas dan
diterima dengan baik oleh penduduk tempatan ketika itu dengan bukti-bukti seperti
Batu Bersurat bertarikh 1303M di Kuala Berang, Terengganu, batu nisan seorang wali
Allah berketurunan Arab bertarikh 1028M di Pekan, Pahang, batu nisan yang sangat
ketara ciri-ciri keislaman bertarikh 1082M atau 1102M di Leran, Surabaya.

3.0 SEJARAH PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Asas kepada Perlembagaan Persekutuan ialah bermula dengan pengisytiharan


Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Mengikut
Perlembagaan ini, seorang Pesuruhjaya Tinggi British diletakkan di bawah Kerajaan
Pusat sebagai pemerintah tertinggi. Rakyat tempatan diwakili melalui Majlis
Mesyuarat dan Majlis Perundangan bagi penyediaan ke arah pemerintahan sendiri.
Maka, apabila Parti Perikatan memenangi Pilihan Raya Umum 1955 dengan
menguasai 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi, satu persidangan telah diadakan di
London dari 18 Januari hingga 6 Febuari 1956. Oleh itu, satu suruhanjaya yang
dinamakan Suruhanjaya Reid telah dibentuk bagi merangka satu perlembagaan baru
untuk Persekutuan Tanah Melayu yang bebas dan merdeka (Nazri Muslim, 2014).

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini telah digubal oleh Suruhanjaya


Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dan
8

menerima 131 memorandum bertulis dan telah bersidang dari bulan Jun hingga
Oktober 1956. Perlembagaan ini menjadi kukuh dan praktikal serta dihormati kerana
suruhanjaya ini telah meminta cadangan dan pandangan daripada bukan sahaja parti-
parti politik tetapi juga orang ramai, individu-individu dan Raja-aja Melayu. Perkara
ini telah menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sekarang ini telah mendapat
persetujuan dan pandangan daripada semua rakyat Malaysia.

Semasa merangka perlembagaan tersebut, kaum Melayu dan bukan Melayu


bersetuju atas beberapa perkara yang sangat penting kepada kestabilan negara yang
merujuk kepada kontrak sosial. Melalui kontrak sosial ini, orang bukan Melayu telah
diberikan hak kewarganegaraan yang longgar berasaskan prinsip jus soli. Orang
Melayu pula diperuntukkan dalam perlembagaan mengenai agama Islam sebagai
agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan
istimewa orang Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu atau yang dipanggil
sebagai unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan. Cadangan Suruhanjaya Reid ini telah
diteliti semula oleh Parti Perikatan, Raja-Raja Melayu dan kerajaan British untuk
dipersetujui. Akhirnya, draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diterima
dan diisytiharkan sebagai Perlembagaan Persekutuan pada 31 Ogos 1957.

4.0 DEFINISI ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Seperti yang kita sedia maklum bahawa kedudukan Perlembagaan Persekutuan adalah
undang-undang tertinggi di Malaysia, namun acuannya mempunyai unsur-unsur
keislaman. Al-Quran dan As-Sunnah sememangnya tidak disebutkan sebagai sumber
hukum tertinggi di Malaysia namun agama Islam sebagai agama persekutuan
sebenarnya juga sudah merangkumi hal-hal yang demikian atau sekurang-kurangnya
memperuntukkan usaha ke arah yang demikian. Islam merupakan agama rasmi bagi
persekutuan tetapi agama lain masih boleh diamalkan di mana-mana bahagian
persekutuan dengan aman dan damai. Oleh itu, definisi Islam dalam perlembagaan
boleh dirujuk daripada dua sudut, iaitu menurut tafsiran mahkamah dan pandangan
sarjana.
9

4.1 TAFSIRAN MAHKAMAH

Definisi mengenai Islam dalam perlembagaan dari sudut yang pertama ialah tafsiran
mahkamah. Tafsiran mahkamah bermaksud definisi yang telah diberikan oleh pihak
mahkamah mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan contohnya
dalam kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor (1988) seperti yang diputuskan
oleh Ketua Hakim Negara iaitu Islam dalam perlembagaan hanya terbatas kepada
soal-soal upacara dan seumpamanya. Sebelum daripada kes ini, dalam kes Wong Ah
Fook lwn. State of Johore telah memberi tafsiran kepada Perkara 57 Perlembagaan
Johor, iaitu Islam adalah agama rasmi negeri Johor. Namun, mahkamah telah menolak
dakwaan pihak pembela yang mendakwa negeri Johor adalah diperintah menurut
undang-undang Islam.

Manakala dalam kes Meor Atiqulrahman bin Ishak v Fatimah Bte Shihi,
Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa kedudukan Islam adalah tinggi
dan mengatasi agama-agama lain. Walaupun keputusan ini ditolak oleh Mahkamah
Rayuan, namun ia tidak menyentuh mengenai kedudukan Islam dan ini boleh
dihujahkan bahawa ketinggian kedudukan Islam yang diputuskan oleh Hakim
Mahkamah Tinggi itu masih kekal (Abdul Aziz Bari, 2005). Dalam perkara ini,
sebenarnya Mahkamah Rayuan tidak memberi definisi Islam seperti yang termaktub
dalam perlembagaan, sebaliknya hanya memutuskan bahawa Islam yang dimaksudkan
dalam perlembagaan ialah Islam yang diperlukan dalam majlis rasmi untuk bacaan
doa dan bukannya Islam sebagai sistem hidup yang lengkap.

4.2 PANDANGAN SARJANA

Terdapat banyak pandangan sarjana yang telah dikemukakan berkaitan isu ini.
Kebanyakan sarjana memberikan pandangan berdasarkan sejarah dan peruntukan
perlembagaan, dan ada juga yang memberikan pandangan berdasarkan kes-kes di
mahkamah. Melalui peruntukan di bawah perkara 3(1) ada yang berpendapat bahawa
peruntukan mengenai Islam yang ada sekarang, pada hakikatnya ialah satu bentuk
kompromi antara tuntutan yang mahukan negara Islam yang tulen dan ada juga yang
menuntut negara ini dibina atas dasar sekularisme.
10

Terdapat dua pandangan yang berbeza mengenai kedudukan Islam dalam


Perlembagaan Persekutuan. Pandangan yang pertama diberikan oleh Sheridan L.A. &
Groves H.E. (1979) yang mengatakan bahawa peruntukan mengenai Islam adalah
bertujuan untuk memberikan negara ini sifat dan ciri muslim yang umunya bersifat
luaran dan bentuk upacara rasmi negara. Pendapat ini telah dipersetujui dan disokong
oleh Mohamed Suffian Hashim (1987) yang menjelaskan maksud peruntukan tersebut
ialah semata-mata untuk upacara seperti membolehkan doa dibaca di upacara rasmi
iaitu semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Hari Kemerdekaan dan lain-lain.
Namun, terdapat juga definisi yang berbeza yang cuba diberikan tentang kedudukan
Islam.

Pandangan yang kedua telah diberikan oleh Hashim Yeop Sani (1973) yang
berpendapat bahawa Perkara 3 itu sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi
bahawa agama negara ialah Islam. Maka, mana-mana negara Islam yang mewujudkan
satu percanggahan di antara dokumen ciptaan manusia (perlembagaan) dengan
perintah Allah (al-Quran dan As-Sunnah) maka tafsiran tersebut tidak boleh dipakai.
Tafsiran ini disokong oleh Ahmad Ibrahim yang mengatakan bahawa apa yang
diputuskan oleh Mahkamah Agong dalam kes Che Omar Che Soh v Public
Prosecutor mengenai Islam dalam Perkara 3 adalah sama dengan apa yang
dimaksudkan oleh pihak yang merangka perlembagaan dan ia adalah akibat
pemerintahan langsung oleh British dan wujudnya institusi secular. Jelas di sini
menunjukkan bahawa mahkamah tidak cuba menafsirkan peruntukan itu dari
peruntukan itu dari keadaan perlembagaan yang telah mewujudkan sebuah negara
yang bebas dan merdeka dari pengaruh penjajah. Akan tetapi menurut sahaja tafsiran
yang telah terpakai dalam masa penjajahan itu (Ahmad Ibrahim 1996).

5.0 KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Peruntukan di bawah Perkara 3 ini adalah penting kerana ia menjelaskan bahawa


Islam adalah penting kerana ia menjelaskan bahawa Islam adalah agama persekutuan,
namun pada masa yang sama juga memberikan hak kepada orang bukan Islam untuk
mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai. Hal ini telah dinyatakan dalam
11

Perkara 3 yang memberi jaminan kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan
kepercayaan masing-masing. Perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa :

“Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh


diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Di samping itu, Perkara 3(1) juga menjelaskan kedudukan Raja-Raja sebagai


ketua agama di negeri-negeri melainkan negeri yang tidak mempunyai raja. Manakala
bagi sesuatu perkara yang meliputi seluruh persekutuan yang berkaitan dengan Islam,
maka Yang di Pertuan Agong akan mewakili Raja-Raja setelah dipersetujui oleh
Majlis Raja-Raja. Selain kedudukan Raja-Raja, Perkara 3(2) juga menyentuh tentang
Yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri Melaka, Pulau
Pinang, Sabah dan Sarawak. Perkara 3(2) menyatakan bahawa:

“Di dalam tiap-tiap negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja,
kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan
setakat yang diakui oleh Perlembagaan Negeri itu dan tertakluk kepada
Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang
dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat;
tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan
dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau
upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja iaitu hendaklah
atas sifatnya sebagai ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong
mewakilinya.”

Dalam perkara ini menjelaskan peranan Yang Di-Pertuan Agong juga boleh
dimasukkan dalam ruang lingkup Islam dalam perlembagaan. Walaupun
perlembagaan tidak menetapkan Baginda sebagai ketua agama bagi seluruh
Persekutuan, perlembagaan menetapkan tanggungjawab ke atas Baginda supaya
menjaga Islam. Ini telah dinyatakan dalam sumpah jawatan bahawa Yang di-Pertuan
Agong diberi tanggungjawab oleh perlembagaan untuk memelihara pada setiap masa
agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam
negeri (Nazri Muslim,2014).

Walaupun Baginda tidak diletakkan sebagai ketua agama Islam bagi seluruh
persekutuan, namun Baginda mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan
12

memastikan kedudukan Islam tidak tercemar. Tanggungjawab ini relevan


memandangkan kerajaan Persekutuan tidak semestinya diketuai oleh seorang Melayu
dan Islam seperti yang terdapat dalam perlembagaan Negeri-negeri Melayu. Baginda
juga adalah ketua agama Islam bagi negeri yang tidak beraja iaitu Melaka, Pulau
Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Keadaan ini berlaku kerana
Gabenor mungkin terdiri daripada orang bukan Islam. Sumpah Yang Di-Pertuan
Agong juga dimulakan dengan lafaz Wallahi, Wabillahi dan Watallahi seperti yang
dilampirkan di jadual keempat Perlembagaan Persekutuan. Hal ini jelas menunjukkan
dalam Pelantikan Ketua Negara juga menggunakan lafaz sumpah seperti yang diajar
oleh Islam.

Seterusnya, Perkara 3(5) juga menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan,


Parlimen boleh membuat undang-undang berkenaan hal ehwal Islam dan menubuhkan
Majlis bagi menasihati Yang di Pertuan Agong berkenaan dengan hal ehwal agama
Islam. Oleh itu, semua negeri dalam persekutuan kecuali Sarawak telah menjadikan
Islam sebagai agama negeri (Nazri Muslim, 2014).

Namun, peruntukan ini masih belum menjelaskan kedudukan agama Islam


dengan lebih terperinci. Oleh itu bahagian ini hendaklah dibaca bersama perkara 11.
Hal ini demikian kerana kedudukan Islam dalam perlembagaan hanya boleh difahami
dengan lebih jelas dan terperinci apabila dibaca bersama peruntukan yang terkandung
dalam Perkara 11 (Zaini Nasohah, 2018). Peruntukan Perkara 11(1) menyatakan
bahawa :

“Setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama masing-masing dan


tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya.”

Perkara 11(2) pula memperuntukkan :

“Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika diperuntukkan
bagi maksud yang lain dari agamanya sendiri.

Perkara 11(3) pula menyatakan:

“Setiap kumpulan berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri


termasuklah menubuh, menyelenggara atau memiliki harta atau institusi.

Seterusnya Perkara 11(4) pula berkenaan:


13

“Undang-undang Negeri dan undang-undang Wilayah Persekutuan, Labuan


dan Putrajaya boleh mengawal atau menyekat pengembangan kepercayaan
sesuatu agama dalam kalangan orang Islam.

Perkara ini telah menjelaskan bahawa agama lain tidak boleh menyebarkan
agama mereka kepada penganut Islam, namun agama Islam boleh disebarkan kepada
semua. Oleh itu, perkara ini menunjukkan bahawa tafsiran mengenai kedudukan Islam
tidak boleh melihat hanya kepada Perkara 3 malah perlu dibaca bersama peruntukan
Perkara 11 di samping beberapa lagi peruntukan yang melibatkan hal ehwal agama
Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seterusnya, peruntukan Perkara 12(2) menjelaskan bahawa setiap kumpulan


agama berhak menubuh dan mengenggara yayasan untuk pelajaran kanak-kanak
mengenai agama masing-masing. Undang-undang Persekutuan dan undang-undang
negeri boleh mengadakan bantuan kewangan khas bagi menubuh dan menyelenggara
yayasan Islam atau bagi mengajar mengenai agama Islam kepada orang Islam. Perkara
12(3) pula memperuntukan tiada sesiapa dipaksa menerima ajaran atau mengambil
bahagian dalam upacara agama selain agamanya. Perkara 12(4) pula menyatakan
bahawa agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun ditentukan
oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

Berdasarkan pindaan Perkara 121(1A) yang memperuntukkan :

“ Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa
berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.”

Peruntukan ini menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh


mempunyai campur tangan berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa
Mahkamah Syariah. Sebelum pindaan ini dibuat, terdapat beberapa kes seperti wakaf,
penjagaan anak, mungkir janji untuk berkahwin dan lain-lain Mahkamah Sivil telah
membuat keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah
Syariah dan adakalanya mengubah keputusan yang dibuat di Mahkamah Syariah.

Seterusnya, peruntukan di bawah Perkara 150(6A) jelas memelihara hal Ehwal


Islam walaupun dalam keadaan darurat:
14

“Tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara Hukum


Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau
adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan juga Fasal 6 tidak boleh
menjadikan sah mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan
Perlembagaan ini yang berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau
berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau Bahasa.”

Ini jelas menunjukkan peruntukan ini memelihara hal Ehwal Islam walaupun
dalam keadaan darurat yang memberi kuasa kepada pihak eksekutif untuk membuat
undang-undang yang pada keadaan biasa undang-undang hanya boleh dilakukan di
Parlimen dan kerajaan pusat boleh mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri. Ini
menunjukkan walaupun kuasa darurat sangat luas tetapi tidak termasuk perkara yang
berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ini menunjukkan hal yang
berkaitan dengan agama Islam diberi status yang tinggi dalam perlembagaan (Nazri
Muslim, 2014).

Kesemua peruntukan di atas mempunyai kesan menidakkan atau


mengurangkan apa yang didakwa sifat sekular perlembagaan atau negara ini.
Pandangan ini dikemukakan dengan mengambil kira definisi atau sifat utama negara
sekular yang menghalang penyertaan negara di dalam soal-soal agama termasuk
kedudukan istimewa, bantuan kewangan dan seumpamanya. Kewujudan agama
persekutuan dan juga Raja-Raja sebagai ketua agama negeri masing-masing sudah
cukup bagi menolak tanggapan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

6.0 KESIMPULAN

Menurut analisis yang telah dilakukan di atas, jelas menunjukkan bahawa Islam dalam
dalam perlembagaan mempunyai keistimewaan dari agama-agama lain. Oleh itu,
perkara ini perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat khususnya generasi muda
agar sentiasa berlapang dada dalam sesuatu isu yang melibatkan Islam dan orang
Melayu dalam perlembagaan. Hal ini demikian telah dinyatakan oleh Mesyuarat
Majlis Raja-Raja ke 215 iaitu Islam dan orang Melayu merupakan asas utama dalam
pembentukan negara Malaysia. Di samping itu, Islam juga menganjurkan agar
menerima perbezaan agama dan etnik sebagai satu lumrah dalam kehidupan manusia.
15

Menurut Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan undang-undang


Islam adalah terbatas sekiranya terdapat mana undang-undang yang tidak selaras
dengan perlembagaan, maka ia akan terbatal setakat mana yang bercanggah.
Walaupun agama Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan, namun demikian telah
ditetapkan di dalam perlembagaan bahawa undang-undang yang berkaitan dengan
agama Islam. Pada hakikatnya Undang-undang Sivil telah mendominasi sistem
perundangan di negara kita. Oleh itu dapat disimpulkan di sini bahawa Islam itu
sendiri telah diangkat sebagai agama Persekutuan maka Islam mempunyai kelebihan
dan keistimewaan berbanding agama lain. Islam sebagai agama Persekutuan dalam
konteks pentadbiran dan kenegaraan adalah lebih tepat berpandukan kepada amalan
yang diamalkan selama ini. Islam banyak mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia
namun ada batasan tertentu yang ditetapkan dalam Perlembagaan itu sendiri.
16

RUJUKAN

Abd Jalil bin Borham. 2014. Islam Di Nusantara. Kolokium Islam Pahang ‘Meraikan
Ilmu’. Anjuran Muzium Negeri Pahang di Panggung Tun Razak. Muzium
Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang pada 18 Mac.
Abdul Aziz Bari. 2005. Islam dalam Perlembagaan Malaysia. Selangor: Intel
Multimedia and Publication.
H. Saifullah, SA. MA. 2010. Sejarah & Kebudayaan Islam Di Asia Tenggara.
Yogyakarta: Pustaka Pelajar. hlm. 45.
Ismail Hamid. 1985. Peradaban Melayu dan Islam. Selangor. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Lembaga Penyelidikan Undang-Undang. 2017. Perlembagaan Persekutuan. Selangor:


International Law Book Services.
Mohd Jamil bin Mukmin. 2014. Sejarah Kerajaan-Kerajaan Islam Secara Ringkas
Dan Sejarah Melaka Sebagai Pusat Penyebaran Islam Di Nusantara Secara
Ringkas. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.
Nazri Muslim. 2014. Islam dan Melayu dalam Perlembagaan: Tiang Seri Hubungan
Etnik di Malaysia. Selangor: UKM Cetak Sdn. Bhd.
Nazri Muslim & Ahmad Hidayat Buang. Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan
Dari Perspektif Hubungan Etnik di Malaysia.
Zaini Nasohah. 2018. Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia. Universiti
Kebangsaan Malaysia: Bangi.
Zulkiflee Haron & et. al. 2015. Tamadun Islam & Tamadun Asia. Johor Bahru: UTM.

You might also like