PSastera - Bab 2 - F

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 18

Genre Sastera Kanak-kanak

2.1  Tokoh
Tokoh-tokoh dalam dunia penulisan sastera kreatif kanak-kanak menyedari
bahawa buku kanak-kanak yang dihasilkan merupakan gambaran dan cerita yang
berlaku dalam masyarakat. Pemasaran buku kanak-kanak sentiasa mendapat
tempat di hati pembaca tanpa menjejaskan penjualan buku bagi kategori yang
lain. Oleh itu, banyak penulis sastera kanak-kanak mengambil peluang ini untuk
mengetengahkan pelbagai genre penulisan untuk kanak-kanak. Penulis mendapati
bahawa kategori penulisan buku kanak-kanak memerlukan ilustrasi dan gambar
yang menarik. Penulisan buku kanak-kanak juga perlu disajikan menggunakan
tulisan yang bersesuaian dengan visual kanak-kanak. Hal ini bermaksud bahawa
saiz tulisan yang digunakan tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar.
Tokoh-tokoh penulis sastera kreatif kanak-kanak di Malaysia yang terkenal suatu
ketika dahulu ialah Ghazali Ngah Azia, Othman Puteh, Khairuddin Ayip, Mohd
Ismail Sarbini, Amin Minhad, Hizairi Othman, dan Ahmad Kamal Abdullah.
Penulis lain yang sering menulis cerita kanak-kanak tetapi tidak memberikan
fokus secara serius dalam bidang ini ialah A. Samad Said. A. Samad Said pernah
menulis cerita kanak-kanak dalam beberapa siri, iaitu cerita yang mengisahkan
penyiasatan dalam lima buah novel yang dihasilkan secara berperingkat dari
tahun 1968 hingga tahun 1970. Sasterawan Negara ini juga pernah menerima
anugerah dalam usaha memperkenalkan penulisan novel kanak-kanak secara
bersiri (Hadijah Rahmat, 2006: 23 – 24). Yahya Mohammad juga merupakan
salah seorang penulis sastera kreatif kanak-kanak yang pernah terkenal dan aktif
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 15

menulis pada tahun 1960-an dengan mengemukakan sebahagian besar watak


kanak-kanak dalam ceritanya. Beliau juga gemar menggunakan cerita bersiri
berbentuk penyiasatan. Contoh cerita penyiasatan kanak-kanak yang pernah
dihasilkan oleh Yahya Mohammad ialah novel bertajuk Pancharan Lampu.
Penerima Anugerah Sastera Negara ke-11, Ahmad Kamal Abdullah juga
terkenal sebagai seorang penulis sastera kanak-kanak. Pengalamannya
sebagai guru dan pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka
telah memberikan ruang dan peluang kepada beliau untuk mengasah
bakat dalam bidang penulisan sastera kreatif kanak-kanak. Ahmad Kamal
Abdullah lebih dikenal sebagai “Kemala” atau “Akmal Jiwa”. Beliau telah
berjaya menghasilkan tiga buah buku cerita kanak-kanak di samping turut
menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 antologi puisi, 10 buah buku
kajian sastera, empat buah buku yang memuatkan pelbagai tajuk cerpen, dan
lapan buah antologi cerpen. Kemala juga giat menulis tentang drama, aktif
membentangkan kertas kerja sastera, dan mengkritik hasil-hasil karya sastera
tanah air.
Nisah Haron juga merupakan salah seorang penulis cerita kanak-kanak.
Beliau banyak menggunakan pengalaman membesarkan anak-anak beliau
untuk mencari idea menulis cerita kanak-kanak. Nisah Haron pernah menulis
buku cerita kanak-kanak bertajuk Kawan Baru Hanani yang mengandungi
beberapa buah cerita. Buku ini juga dialihbahasakan kepada bahasa Jepun
dan telah menembusi pameran buku di Pesta Buku Antarabangsa pada tahun
2014. Usaha penterjemahan buku ini telah diusahakan dengan kerjasama
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM). Usaha-usaha yang dilakukan
oleh pihak ITBM ini bertujuan meningkatkan mutu penulisan sastera kreatif
di Malaysia. Selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi agensi
penting kerajaan dalam meningkatkan mutu penulisan di Malaysia, ITBM juga
berperanan memberikan peluang kepada penulis-penulis untuk menambahkan
koleksi bahan penulisan kreatif mereka.
Walaupun Nisah Haron tidak diiktiraf secara rasmi sebagai seorang penulis
sastera kanak-kanak, namun karya beliau memberikan manfaat kepada kanak-
kanak yang membaca hasil karyanya. Karya-karya beliau juga sesuai untuk
dijadikan sebagai bahan bacaan kepada kanak-kanak remaja. Sebagai seorang
16 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

ibu, jiwa keibuan Nisah Haron turut mempengaruhi beliau untuk menulis cerita
kanak-kanak kerana mempunyai pengalaman dalam membesarkan anak-anaknya.
Di samping menulis buku kanak-kanak, Nisah Haron juga aktif menulis hasil
karya lain, khususnya novel-novel remaja dan umum. Beliau sering memenangi
pelbagai anugerah dalam pelbagai kategori bidang penulisan genre lain.
Di samping itu, terdapat beberapa orang penulis sastera kanak-kanak yang
lain yang aktif menyumbangkan idea mereka untuk mengembangkan
sastera penulisan kreatif kanak-kanak di Malaysia seperti Khadijah Hashim,
Shamsuddin Othman, Faisal Tehrani, dan Mahaya Mohd Yassin. Banyak
penulis sastera kanak-kanak di Malaysia yang aktif secara konsisten, namun
ada juga antara mereka yang menulis dalam masa yang singkat kerana kekangan
pekerjaan hakiki dan rintangan semasa yang mengehadkan proses kreatif
mereka. Bagi penulis yang tekal dan komited dengan dunia kepengarangan,
keadaan ini membolehkan mereka meneroka pelbagai isu kanak-kanak untuk
dijadikan bahan cerita. Mereka akan mencuba menyelami perasaan kanak-kanak
dan melihat gelagat kanak-kanak di persekitaran mereka untuk melahirkan
pelbagai genre sama ada berbentuk buku cerita atau puisi untuk kanak-kanak.
Bagi penulis yang tidak komited dan mempunyai masa yang terbatas untuk
meneruskan proses kepengarangan, mereka tidak dapat menjiwai penulisan
tentang kanak-kanak. Kekangan semasa menjadikan minat dan kehendak
mereka terpaksa ditangguhkan dan proses penghasilan karya sudah tentu akan
tergendala. Namun, kekangan tersebut bukan alasan utama kerana mungkin ada
beberapa faktor lain yang turut membatasi proses kepengarangan penulis.

2.2  Tema Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak


Tema penulisan sastera kreatif atau penulisan buku sastera kanak-kanak adalah
tentang cerita dan persekitaran kanak-kanak. Tema-tema penulisan sastera kanak-
kanak yang menjadi kegemaran ialah pengembaraan, nyanyian, penyiasatan,
dan cerita berbentuk permainan. Tema-tema lain adalah seperti menyelongkar
dunia misteri, hiburan, pendidikan, dan bertemakan agen pembangunan untuk
meningkatkan tahap kematangan kanak-kanak. Tema penulisan sastera kanak-
kanak yang pelbagai ini memberikan laluan kepada kanak-kanak untuk memilih
saluran bacaan mengikut kegemaran masing-masing. Keadaan ini sekali gus
meningkatkan tahap pemikiran kognitif mereka.
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 17

Menurut Lynch-Brown (1999), perkembangan kognitif dapat diterapkan


kepada kanak-kanak dengan memberikan pengetahuan baharu dan
mempertingkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap pengetahuan sedia ada
di samping menggalakkan mereka untuk mencari maklumat sendiri. Usaha
mencari maklumat secara individu menyebabkan mereka mampu menjana
pemikiran ke arah yang lebih baik. Hal sebegini mampu juga meningkatkan
kreativiti kanak-kanak.
Kementerian Pendidikan Malaysia amat mementingkan peningkatan kreativiti
dan estetika dalam pembelajaran kanak-kanak. Pelbagai buku aktiviti telah
dibekalkan oleh kementerian untuk diberikan kepada murid bagi melaksanakan
aktiviti-aktiviti ke arah merangsang pemikiran kreatif dan estetika mereka.
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia
(2003), komponen kreativiti dan estetika memberikan fokus kepada
perkembangan sifat kreatif dan ekspresif melalui imaginasi dan pemikiran
kanak-kanak. Oleh itu, guru-guru harus menggerakkan minat dan memupuk
kecenderungan kanak-kanak untuk mengembangkan potensi kreativiti dengan
memberikan peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti
kesenian yang menggunakan daya imaginasi (Glaser, 2000).
Tema hiburan dan penyelongkaran dunia misteri sangat digemari oleh kanak-
kanak. Perkara ini memberikan idea kepada pengarang untuk menghasilkan
kelainan dalam penulisan sastera kanak-kanak. Buku-buku yang bertemakan
hiburan dan cerita-cerita misteri sama ada novel atau cerita ringkas sering
mendapat perhatian kanak-kanak. Hal ini demikian kerana perkembangan
pemikiran kanak-kanak masih belum meluas dan mereka hanya memikirkan
hiburan serta keseronokan menerusi bahan-bahan bacaan. Mereka juga sering
memikirkan kelainan dan perkara-perkara yang luar biasa. Orang dewasa sukar
untuk menembusi pemikiran kanak-kanak yang pelbagai dan penuh dengan
daya pemikiran di luar kotak pemikiran biasa. Oleh itu, penulis sastera kanak-
kanak sering membawa isu-isu dan cerita yang berlainan bagi menarik perhatian
kanak-kanak untuk membaca dan menghayati bahan-bahan penulisan mereka.
Tema pengembaraan juga menjadi sebahagian daripada kegemaran kanak-
kanak apabila mereka memilih bacaan tambahan untuk dibaca. Pengembaraan
ini memberikan suatu perasaan yang luar biasa seterusnya mencabar kebolehan
18 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

mereka untuk berfikir dengan lebih mendalam. Kanak-kanak juga sering


memasuki dunia khayalan mereka yang tersendiri apabila membaca bahan-
bahan bacaan sedemikian. Tindakan ini membolehkan mereka mengasah
pemikiran dengan lebih jauh di samping merangsang kreativiti mereka untuk
mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan. Kanak-kanak yang mampu
menilai dan menyelesaikan masalah mereka menerusi pembacaan yang pelbagai
membolehkan mereka berkeupayaan menyelesaikan sebarang masalah yang
timbul sama ada dalam pembelajaran atau kehidupan seharian mereka.
Walaupun wujud pelbagai tema dalam penulisan sastera kanak-kanak, namun
perkara yang paling penting ialah bahan kesusasteraan ini dapat meningkatkan
minat kanak-kanak untuk mengenal dunia sastera kanak-kanak. Buku-buku
cerita yang bertemakan pelbagai isu dapat membantu kanak-kanak untuk
mencari nilai diri dan menentukan tindakan yang bakal diambil. Penulisan
yang berkesan dapat membina sahsiah dan mencorakkan nilai yang lebih
baik dalam diri kanak-kanak. Penulisan buku kanak-kanak ini bertujuan
memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk mengenal erti kehidupan,
mengetahui dan memahami bahawa permukaan bercetak mempunyai makna
serta memberikan kesedaran bahawa aktiviti yang melibatkan buku amat
penting dalam kehidupan manusia yang bertamadun (Mahzan Arshad, 2006).

2.3 Ciri-ciri dan Nilai Penulisan Sastera Kreatif


Kanak-kanak
Kurikulum pendidikan awal prasekolah (PPK, 2000) menggariskan bahawa
prinsip utama pengajaran bahasa adalah untuk menyepadukan empat kemahiran
bahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dalam bahasa yang
dipelajari oleh kanak-kanak. Empat kemahiran ini dapat dimantapkan lagi
menerusi penciptaan karya kreatif penulisan sastera kanak-kanak mengikut
keupayaan umur kanak-kanak. Oleh itu, penulisan sastera kreatif kanak-kanak
ini dapat digunakan untuk membantu perkembangan bahasa dan komunikasi
kanak-kanak menerusi pelbagai kaedah atau corak pengajaran sastera kanak-
kanak. Contohnya, aktiviti membaca cerita kanak-kanak menggunakan suara
yang kuat boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah. Melalui aktiviti bacaan
secara kuat ini, kanak-kanak berpeluang mendengar sebutan yang betul,
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 19

menyatakan idea atau pendapat melalui perbincangan, dan menceritakan


semula, menulis atau melukis cerita yang telah didengar atau dibaca (Allor &
Mc Cathreen, 2003). Menerusi aktiviti ini, kanak-kanak didedahkan dengan
fungsi literasi secara tidak langsung seterusnya dapat menarik perhatian mereka
dengan lebih mudah. Di samping itu, kaedah tersebut juga dapat memperkaya
perbendaharaan kata kanak-kanak. Bagi pembaca baharu pula, pembacaan buku
dengan menggunakan suara yang kuat dapat memperkenalkan cara penggunaan
serta fungsi buku kepada mereka (Allor & Mc Cathreen, 2003).
Menurut Tan, et. al. (2003), Kohlberg membahagikan perkembangan moral
kepada enam peringkat yang memfokuskan keupayaan kanak-kanak dalam
mengadili sesuatu dan cara mereka menyelesaikan dilema berkaitan moral.
Pada peringkat pertama, kanak-kanak didedahkan kepada orientasi ke arah
hukuman dan ketaatan, iaitu mereka akan sentiasa mengikut peraturan agar
tidak dikenakan hukuman. Pada peringkat kedua pula, kanak-kanak melakukan
sesuatu berdasarkan keinginan atau kemahuan untuk mendapatkan sesuatu
balasan. Apabila semakin matang, mereka berubah ke peringkat ketiga, iaitu
melakukan perkara baik yang dilakukan oleh budak baik. Pada tahap ini, kanak-
kanak telah menerima norma yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Menurut
Glazer (2000), kanak-kanak akan mendapat pengajaran tentang sebab dan akibat
daripada sesuatu perlakuan melalui cerita kanak-kanak. Seperti yang dinyatakan
oleh Kohlberg, pada awalnya kanak-kanak mengikut peraturan kerana takut
akan hukuman dan ingin mendapatkan balasan yang baik. Bagi orientasi seperti
ini, cerita yang menggambarkan perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan
jahat akan mendapat balasan buruk dapat memberikan pengajaran kepada kanak-
kanak. Oleh itu, cerita-cerita yang berbentuk teladan amat sesuai pada peringkat
usia kanak-kanak ketika ini. Melalui cerita kanak-kanak juga, mereka akan
mendapat contoh-contoh perwatakan yang dikatakan baik seterusnya menjadi
idola yang ingin diikuti oleh mereka seperti konsep seseorang budak yang baik.
Kanak-kanak yang memiliki pemikiran bijak dapat dilihat apabila mereka mampu
menilai orang lain yang berada di persekitaran mereka. Selain itu, mereka juga
sentiasa bertolak-ansur dalam apa-apa juga keadaan sekiranya mereka bersetuju
dengan perkara yang dikehendaki. Cerita sastera kanak-kanak banyak dipenuhi
dengan kisah-kisah pengajaran bertujuan menyemai semangat kerohanian dalam
jiwa kanak-kanak. Watak-watak yang digunakan mengambil contoh daripada
20 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

watak sebenar sebagai panduan kepada kanak-kanak untuk meniru perlakuan


baik yang dilakukan oleh watak-watak dalam cerita kanak-kanak tersebut.
Menurut pensyarah akademik dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang,
iaitu Profesor Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz dan Rohaya Md Ali ketika
memperkatakan perihal “Pengajian Sastera Kanak-kanak di Malaysia: Sejarah
dan Perkembangannya”, sastera kanak-kanak di Malaysia berkembang dengan
pesat berdasarkan jumlah judul buku yang diterbitkan sejak tahun 1970-
an. Namun, mereka berpendapat bahawa sastera kanak-kanak di Malaysia
merupakan satu bidang pengajian atau disiplin akademik yang masih belum
bercambah. Tinjauan pada peringkat institusi pengajian tinggi mendapati
bahawa hanya tiga buah universiti yang menawarkan kursus sastera kanak-
kanak, manakala bidang penyelidikan yang paling popular ialah analisis isi
dan idea cerita seperti tema, plot, watak, unsur pengajaran serta nilai murni
dalam karya sastera pilihan. Perkembangan bahan bacaan kanak-kanak tidak
boleh diperkaya tanpa kajian dan penyelidikan untuk meningkatkan mutu
pengeluarannya. Kajian tentang sastera kanak-kanak dari pelbagai aspek secara
tidak langsung dapat mengatasi kekurangan dalam penyelidikan sastera kanak-
kanak di Malaysia.
Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Mohd Haidi Mohd
Kasran pula yakin bahawa penggunaan bahan sastera dalam pengajaran
bahasa dapat meningkatkan keupayaan pelajar dari segi penggunaan bahasa
kerana karya sastera mengandungi perbendaharaan kata yang indah, tinggi, dan
mewah. Beliau turut menyatakan bahawa karya sastera sama ada untuk kanak-
kanak, remaja atau dewasa bermatlamat mendidik dan membangunkan diri
manusia dari segi personaliti, pemikiran atau kebahasaan. Hal ini diperkatakan
oleh beliau ketika membincangkan “Kurikulum dalam Pembelajaran Sastera
untuk Kanak-kanak” menerusi pelaksanaan Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah
Rendah. Kurikulum ini bukan sahaja mampu meningkatkan keupayaan
pembelajaran bahasa kanak-kanak, malah kaedah ini turut memberikan
rangsangan dan minat yang tinggi kepada kanak-kanak untuk terus mendalami
dunia sastera. Langkah tersebut juga melatih kanak-kanak untuk mendedahkan
diri mereka kepada dunia sastera kanak-kanak sekali gus mendorong mereka
untuk menjadi penulis sastera kanak-kanak dengan lebih serius.
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 21

Penulisan sastera kreatif kanak-kanak ini tidak lari daripada cerita-cerita


tentang haiwan, jenaka, dan sebagainya. Cerita-cerita haiwan seperti Kancil
dengan Buaya, Monyet yang Tamak, Ular dengan Singa, Raja Rimba, Kerbau
dengan Buaya, Si Biring, Monyet yang Bodoh, dan sebagainya menjadi cerita
kegemaran kanak-kanak di samping berfungsi sebagai bahan pengajaran dan
pembelajaran guru-guru di dalam bilik darjah. Cerita-cerita ini juga menjadi
bualan masyarakat dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Cerita-cerita
haiwan ini telah wujud sejak zaman tradisional lagi dan diperturunkan secara
lisan. Cerita-cerita ini menjadi terkenal kerana mengandungi pelbagai nilai dan
pengajaran yang boleh dijadikan teladan kepada kanak-kanak.
Cerita-cerita haiwan merupakan cerita yang dapat menarik perhatian, sentiasa
segar, dan tidak jemu didengar walaupun diceritakan berulang-ulang kali.
Terdapat ibu bapa yang menjadikan cerita haiwan ini sebagai salah satu kaedah
untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung sebelum menidurkan mereka.
Apabila anak-anak leka mendengar cerita haiwan dan tertidur, mereka sering
kali menjadi watak-watak tertentu dalam mimpi seterusnya memberikan kesan
yang mendalam dalam diri mereka. Hal ini berlaku sekiranya mereka sering
melihat cerita-cerita tersebut menerusi televisyen atau membaca buku-buku
cerita. Persoalan yang timbul dalam kepala anak-anak sebelum tidur dan selepas
mereka bangun daripada tidur akan membangkitkan perasaan ingin tahu yang
mendalam. Hal ini menyebabkan anak-anak bertanya kepada ibu bapa masing-
masing atau guru yang mengajar di sekolah. Keadaan ini dapat melatih mereka
untuk berfikir dan membuat perkaitan cerita dengan perkara yang berlaku pada
setiap hari.
Cerita-cerita haiwan juga berkait rapat dengan cerita jenaka yang sentiasa
disebut-sebut oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran
bahasa di sekolah. Bukan itu sahaja, ibu bapa turut memainkan peranan dengan
menjadikan cerita-cerita tersebut sebagai daya tarikan kepada anak-anak
supaya anak-anak tidak ketinggalan daripada menguasai folklore masyarakat
menerusi cerita-cerita tersebut. Cerita jenaka merupakan sejenis cerita rakyat
yang disampaikan secara lisan. Cerita ini dikategorikan dalam sastera rakyat
yang mengandungi unsur-unsur humor. Cerita-cerita yang mengandungi aspek
lelucon ini bertujuan memberikan hiburan secara langsung dan mendidik
22 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

anak-anak untuk menilai kebaikan yang terkandung dalam cerita secara tidak
langsung. Cerita jenaka banyak memperlihatkan aksi lucu dan mengandungi
unsur-unsur humor yang mendidik. Unsur-unsur lucu yang dibawa menerusi
watak-watak manusia atau binatang bertujuan memberikan perasaan gembira
kepada kanak-kanak. Pelbagai aksi boleh menimbulkan kelucuan sekali gus
mendidik kanak-kanak dalam pelbagai aspek kehidupan.
Cerita jenaka terbahagi kepada dua versi, iaitu cerita jenaka tempatan dan
cerita jenaka yang sudah dicampuradukkan dengan versi luar. Cerita jenaka
yang sudah dicampuradukkan dengan versi luar bermaksud cerita tersebut
menerima pengaruh asing seperti pengaruh Arab dan Parsi. Contoh cerita jenaka
versi tempatan adalah seperti cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Belalang,
Si Luncai dengan Labu-labunya, Pak Kaduk, Bawang Putih Bawang Merah,
dan sebagainya. Contoh cerita jenaka yang bercampur dengan pengaruh asing
pula adalah seperti cerita Mat Jenin yang menerima pengaruh Hindu serta cerita
Abu Nawas dan Musang Berjanggut yang menerima pengaruh Islam. Pengaruh-
pengaruh ini terjadi kerana berlakunya dakwah dalam bidang agama masing-
masing. Kedatangan Islam turut mencorakkan ciri-ciri jenaka ke arah cerita yang
memberikan pengajaran menerusi perwatakan, corak berpakaian, dan tingkah
laku watak-watak yang terlibat. Cerita-cerita tersebut bertujuan memberikan
mesej yang positif dan menerapkan nilai-nilai murni kepada anak-anak.
Cerita jenaka juga berfungsi sebagai hiburan dan alat kritikan sosial
kepada masyarakat. Masyarakat tradisional yang tidak banyak mempunyai
hiburan bergantung kepada penglipur lara untuk menghiburkan hati mereka.
Kebiasaannya, cerita-cerita jenaka disampaikan oleh penglipur lara setelah
orang kampung selesai melaksanakan sesuatu kerja seperti selesai musim
menuai atau memenuhi masa ketika musim tengkujuh bagi orang yang mencari
sumber pendapatan di sungai. Mereka akan duduk berkumpul bersama-sama dan
mendengar cerita daripada penglipur lara. Cerita jenaka ini akan membuatkan
mereka terhibur dan melupakan seketika kesusahan hidup yang dialami. Meskipun
cerita tersebut tidak dapat meleraikan masalah mereka, sekurang-kurangnya
cerita tersebut dapat menghiburkan hati mereka yang dilanda kesedihan.
Cerita-cerita yang diperdengarkan juga mempunyai mesej untuk mengkritik
sesetengah golongan masyarakat terutamanya golongan pemerintah yang
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 23

mementingkan diri dan keluarga masing-masing. Walaupun cerita jenaka ini


disampaikan dalam bentuk gurauan, namun mesej yang terkandung memberikan
pengajaran dan membuatkan orang kampung berfikir tentang keadaan yang
berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga sering melihat dan membuat
perbandingan antara cerita-cerita jenaka yang diperdengarkan dengan situasi
sebenar yang berlaku. Meskipun mereka tidak mampu bertindak untuk melawan
ketidakadilan sosial, namun cerita jenaka tersebut mampu mengkritik sesetengah
golongan yang tidak meletakkan kepentingan kepada masyarakat. Ada juga
cerita yang menyindir masyarakat tentang perilaku dan perangai masing-masing
yang malas berikhtiar serta berusaha untuk mencari kesenangan hidup.
Walaupun cerita kanak-kanak ini direka dan diceritakan tanpa asas yang kukuh
dari aspek penceritaan, namun kanak-kanak masih lagi percaya terhadap perkara
yang didengari dan diceritakan kepada mereka. Kepercayaan mereka dikuatkan
lagi apabila cerita yang disampaikan tersebut disampaikan oleh orang dewasa.
Meskipun seperti tidak masuk akal, namun cerita tersebut mampu menarik
perhatian mereka apabila disampaikan dengan penuh kesungguhan dan emosi
oleh sang pencerita. Cerita kanak-kanak yang mempunyai unsur pelik dan
ajaib menyebabkan kanak-kanak sangat mudah untuk mempercayainya. Cerita
sedemikian sering menghantui mereka dan menyebabkan mereka percaya
serta yakin bahawa cerita tersebut boleh mendatangkan sesuatu kebaikan atau
keburukan. Cerita yang mengandungi kebaikan akan membuatkan kanak-
kanak tersebut berazam dan berusaha untuk mencapai sesuatu impian ekoran
daripada cerita tersebut. Namun, cerita-cerita yang membawa keburukan
sering membuatkan kanak-kanak terbawa-bawa perasaan takut atau sebagainya
sehingga membataskan pergerakan dan semangat mereka.
Sifat semula jadi kanak-kanak yang menyukai sesuatu yang baharu dan cerita
yang menarik perhatian menjadikan cerita dongeng sebagai salah satu cerita
yang dapat menarik kepercayaan mereka jika disampaikan menggunakan
kaedah yang berkesan. Cerita dongeng yang menarik seperti Sang Kancil dan
Sang Gajah, Serigala dan 7 Ekor Anak Kambing, Tukang Kasut, dan Orang
Bunian menjadi cerita dongeng yang terkenal di Malaysia. Cerita dongeng
Serigala dan 7 Ekor Anak Kambing pernah dijadikan sebagai bahan sitcom Upin
dan Ipin dalam program televisyen yang menjadi kegilaan dan sangat diminati
oleh kanak-kanak di Malaysia. Cerita dongeng kanak-kanak ini memberikan
24 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

pengaruh besar kepada kehidupan mereka. Ada juga dalam kalangan kanak-
kanak yang mempercayai bahawa cerita dongeng ini akan menjadi benar
sekiranya sifat-sifat buruk watak diamalkan dalam kehidupan seharian.
Walaupun cerita dongeng tidak benar dan hanya rekaan semata-mata, namun
ciri-cirinya yang menarik dan memberikan nilai-nilai positif menerusi
pembawaan watak-watak tertentu berjaya meletakkan cerita dongeng ini
menjadi sebahagian daripada cerita kanak-kanak yang terkenal di Malaysia.
Cerita-cerita dongeng ini boleh dirujuk menerusi pakar cerita kanak-kanak.
Sebahagian daripada cerita-cerita dongeng ini telah dibukukan dalam penulisan
sastera kreatif kanak-kanak untuk menambahkan lagi koleksi cerita kanak-kanak
di Malaysia. Langkah ini juga perlu diambil untuk mengelakkan kepupusan
khazanah penulisan sastera kreatif kanak-kanak akibat cerita yang dibawa oleh
pengaruh dan kemodenan teknologi komunikasi kini yang cepat berkembang.
Koleksi cerita dongeng ini boleh juga dirujuk menerusi Koleksi Cerita Dongeng
Termasyhur yang diterjemahkan oleh Aniza Anis Sallihudin.
Selain cerita haiwan, cerita jenaka, dan cerita dongeng, cerita-cerita rakyat
legenda juga menjadi kegemaran dan pilihan kanak-kanak. Banyak cerita
legenda yang masih dipercayai dan diperkatakan oleh masyarakat sehingga
menjadi salah satu daya tarikan kepada kanak-kanak untuk mencontohi amalan
mulia dan menolak amalan jahat yang ada pada watak-watak dalam cerita-
cerita tersebut. Contoh cerita-cerita rakyat legenda adalah seperti cerita Batu
Belah Batu Bertangkup, Badang, Si Tanggang Anak Derhaka, Anak Buloh
Betung, Puteri Gunung Ledang, dan Malim Kundang. Cerita Si Tanggang
Anak Derhaka menjadi senario yang sangat disukai dan dipercayai oleh
kanak-kanak sehingga cerita ini mempengaruhi minda mereka untuk tidak
menderhaka kepada ibu. Sekiranya mereka menderhaka kepada ibu mereka,
maka mereka akan disumpah menjadi batu dan dimurkai oleh Tuhan. Begitu
juga dengan cerita Batu Belah Batu Bertangkup yang sangat tragis. Cerita
ini sering dipersembahkan dalam pertandingan bercerita untuk kanak-kanak.
Penyampaian cerita yang menarik mampu membuatkan anak-anak terpegun dan
turut menangis terhadap insiden yang berlaku kepada ibu Melor dan Pekan
(watak dalam cerita ini). Cerita ini secara tidak langsung mengajar kanak-kanak
untuk menghormati ibu.
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 25

Cerita lain yang sering diperkatakan oleh kanak-kanak ialah cerita Pemotong
Kayu yang Jujur, Belalang dan Semut, Semut dan Lalat serta Anak Itik yang
Hodoh. Cerita-cerita ini juga dikategorikan sebagai cerita dongeng kanak-kanak
untuk menarik minat kanak-kanak dan meniru perlakuan baik yang ditonjolkan
oleh watak-watak dalam cerita tersebut. Cerita Pemotong Kayu yang Jujur
mengisahkan pasangan suami isteri yang sentiasa bersama-sama mencari rezeki
dengan menebang pokok untuk mendapatkan kayu. Pada suatu hari, kapak
yang digunakan oleh lelaki itu telah terjatuh ke dalam sungai. Lelaki itu amat
sedih, namun muncul pari-pari membantunya. Oleh sebab kejujurannya, lelaki
itu telah mendapat kapaknya kembali bersama-sama dengan kapak emas dan
kapak gangsa yang dihadiahkan oleh pari-pari.
Cerita Belalang dan Semut pula mengisahkan dua haiwan yang mempunyai
tabiat berbeza. Belalang mewakili haiwan yang malas untuk bekerja, manakala
semut pula merupakan haiwan yang rajin bekerja. Pada musim panas, semut
berusaha mengumpulkan makanan sebagai bekalan sebelum menjelang musim
sejuk. Manakala, belalang hanya sibuk berfoya-foya dengan mencipta lagu.
Apabila tiba musim sejuk, belalang meminta makanan daripada semut, namun
tidak dihiraukan oleh semut. Cerita ini memberikan pengajaran bahawa orang
yang berusaha dan berikhtiar akan mendapat kesenangan berbanding dengan
orang yang malas berusaha.
Cerita Semut dan Lalat pula mengisahkan seekor lalat yang hanya memikirkan
keseronokan tanpa memikirkan akibat yang akan diterima kelak. Semut pula
hanya melihat kelakuan lalat. Semasa semut memerhatikan lalat yang keletihan
untuk melepaskan diri dari sebuah rumah yang besar, semut tersebut membuat
andaian bahawa lalat tidak sepatutnya memikirkan kepentingan diri semata-
mata kerana perkara tersebut akan memudaratkan dirinya sendiri. Pengajaran
yang diperoleh kanak-kanak melalui cerita ini ialah setiap individu tidak boleh
mementingkan diri sendiri dan melupakan rakan-rakan.
Cerita Anak Itik yang Hodoh mengisahkan anak itik yang menetas dari
telur bersama-sama adik-beradiknya yang lain. Namun, lima adik-beradiknya
dilahirkan dengan bulu yang cantik tetapi anak itik itu menetas sebagai anak
itik yang memiliki bulu yang tidak cantik. Setelah dipulaukan oleh adik-
beradiknya, anak itik yang hodoh tersebut telah membawa diri. Setelah penat
26 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

berjalan jauh, akhirnya anak itik tersebut telah tertidur. Apabila terjaga, anak
itik tersebut mendapati dirinya telah bertukar menjadi angsa yang berbulu
cantik. Pengajaran cerita ini ialah setiap orang tidak boleh menghina orang
lain kerana segala yang dijadikan oleh Tuhan mempunyai kelebihan masing-
masing. Cerita-cerita haiwan tersebut memberikan pelbagai pengajaran kepada
kanak-kanak seterusnya menambahkan lagi koleksi penulisan sastera kreatif
kanak-kanak.
Cerita-cerita sedemikian menjadi wadah atau saluran maklumat untuk kanak-
kanak membina serta membentuk pemikiran yang baharu. Pemikiran tersebut
dapat membantu kanak-kanak menanam sistem nilai dan kepercayaan dalam
diri mereka sendiri. Perkara ini secara tidak langsung meningkatkan tahap
kepercayaan dan keyakinan kanak-kanak terhadap diri sendiri seterusnya
memperlihatkan kematangan yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak
yang kurang membaca bahan-bahan penulisan kreatif. Malah, apabila
berkomunikasi dengan rakan sebaya, kanak-kanak yang banyak membaca
kelihatan lebih cepat bertindak dan tidak malu untuk mengemukakan sesuatu
pendapat di samping mudah mesra dengan suasana persekitaran walaupun
mereka berada dalam kalangan rakan-rakan yang baharu.
Bahan-bahan penulisan kreatif sastera kanak-kanak ini boleh juga dijadikan
sebagai medium untuk membimbing anak-anak berhubung dengan alam sebenar
kerana anak-anak pada zaman teknologi terkini banyak terasing daripada
rakan-rakan sebaya. Dunia yang penuh dengan teknologi banyak menjadikan
kanak-kanak bersikap pasif, terasing, dan hidup dalam dunia ciptaan mereka
sendiri. Oleh itu, bahan penulisan sastera kanak-kanak ini mampu membawa
anak-anak kepada proses komunikasi tradisional yang akan membawa mereka
mengamalkan kaedah perhubungan secara tradisional.
Umumnya, cerita kanak-kanak banyak memberikan pengajaran. Cerita kanak-
kanak pada mulanya disampaikan secara lisan daripada satu generasi kepada
generasi yang seterusnya dan terdapat cerita kanak-kanak yang telah dibukukan
juga. Dalam dunia teknologi kini, ada juga cerita kanak-kanak yang dijadikan
cereka atau filem oleh pengusaha filem tempatan. Hal ini demikian kerana
cereka atau filem dapat meninggalkan kesan ingatan yang berpanjangan
kepada kanak-kanak. Kebanyakan cerita kanak-kanak mengandungi mesej dan
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 27

pengajaran yang memberikan semangat dan dorongan kepada kanak-kanak


untuk mengamalkan perlakuan-perlakuan yang baik. Perlakuan-perlakuan
tersebut menjadi pendorong kepada mereka untuk mencapai kemajuan diri
tanpa sebarang paksaan. Ironinya, watak-watak protagonis sentiasa dijadikan
contoh dan idola kepada kanak-kanak, manakala watak-watak antagonis yang
sentiasa menentang watak utama menjadi pedoman kepada kanak-kanak supaya
tidak meniru perbuatan yang dilakukan oleh watak antagonis tersebut dalam
kehidupan seharian.
Penulisan kreatif sastera kanak-kanak ini juga banyak mengetengahkan
pengajaran dan moral yang baik untuk dicontohi oleh kanak-kanak. Hal ini
demikian kerana cerita-cerita tersebut banyak memuatkan kejadian sebenar
berasaskan zaman untuk proses pembelajaran kanak-kanak. Cerita kanak-kanak
juga mendedahkan kanak-kanak tentang kaedah menyelesaikan atau menangani
sesuatu masalah dengan sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Usaha untuk
mengajar kanak-kanak menerusi penulisan kreatif sastera kanak-kanak bertujuan
memenuhi keperluan dan cita-cita di samping mendidik mereka supaya bijak
membuat pertimbangan bagi mencapai keseimbangan diri dan pandai menilai
sesuatu perkara sama ada baik atau sebaliknya.

2.4  Jenis-jenis Penulisan Kreatif Sastera Kanak-kanak


2.4.1  Penulisan Cerita Rakyat
Cerita rakyat semakin dilupakan oleh ahli masyarakat. Hal ini demikian kerana
lambakan teknologi yang wujud kini menyebabkan masyarakat semakin leka
dan mula melupakan cerita rakyat dari pelbagai pelusuk tanah air. Cerita
rakyat yang ditulis perlu mengambil kira daerah atau kawasan sesuatu tempat
cerita tersebut ditulis. Tokoh-tokoh yang diambil dalam karakter cerita rakyat
kebiasaannya diambil daripada orang-orang yang terkenal di kawasan tersebut.
Untuk menulis semula cerita rakyat, penulis perlu meneliti dahulu cerita tersebut
agar mempunyai kaitan langsung dengan kawasan yang dipilih. Sebelum
menulis, penulis perlu memastikan bahawa setiap perkara berkaitan cerita seperti
sinopsis dan sebagainya diteliti lebih dahulu serta diedit dengan baik agar tidak
berlaku salah fakta atau salah maklumat. Oleh itu, penulisan cerita rakyat perlu
28 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

diberi nafas baharu untuk mengembalikan semula cerita-cerita lama dan kanak-
kanak boleh mengambil pelbagai pengajaran daripada cerita tersebut.

2.4.2  Penulisan Cerita Pendek (Cerpen)


Sebahagian cerita pendek atau cerpen diambil daripada cerita rakyat. Perbezaan
antara cerita pendek biasa dengan cerita pendek yang diambil daripada cerita
rakyat ialah cerita pendek biasa mempunyai versi terkini mengikut situasi
masa, manakala cerita pendek daripada cerita rakyat ialah cerita yang telah
termaktub dan diketahui oleh masyarakat. Cerita pendek kanak-kanak banyak
berkisahkan cerita haiwan dan cerita-cerita moral. Cerpen kanak-kanak ialah
himpunan cerita pendek yang mengandungi pelbagai mesej dan pengajaran
untuk kanak-kanak. Cerita pendek ini akan menjadi lebih menarik sekiranya
ditulis mengikut keperluan dan selari dengan fitrah kanak-kanak.

2.4.3  Penulisan Novel


Penghasilan novel dalam penulisan sastera kreatif kanak-kanak memerlukan
masa yang agak panjang berbanding dengan penulisan cerita pendek.
Pengalaman yang dilalui oleh penulis perlu ditulis, disusun, dan diadun untuk
menjadikan kerja penulisan lebih mudah. Proses-proses penulisan seperti
mengumpul, menyusun, menilai, dan menulis semula perlu dilaksanakan
oleh penulis untuk memastikan novel yang dihasilkan menepati selera dan
kehendak kanak-kanak. Bagi penulis yang mempunyai anak, perkara ini
memudahkan mereka untuk mengarang. Pengalaman membesarkan anak
memberikan salah satu laluan mudah kepada mereka berbanding dengan
individu yang belum mempunyai anak. Hal ini demikian kerana individu yang
belum mempunyai anak terpaksa melihat pengalaman rakan-rakan dan orang
lain ketika membesarkan anak-anak. Penulis yang memiliki bakat penulisan
lebih mudah menulis dan menyusun cerita secara sistematik seterusnya
memudahkan proses penghasilan novel untuk kanak-kanak.

2.4.4  Penulisan Drama


Penulisan drama memerlukan orang yang mahir dari segi penghasilan skrip.
Sebelum skrip dihasilkan, cerita yang akan ditulis perlu disusun mengikut
tema kanak-kanak untuk memastikan watak-watak yang terlibat dalam drama
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 29

tersebut dapat diikuti dengan mudah. Untuk menjayakan penulisan skrip


drama kanak-kanak, penulis perlu menghadiri bengkel penulisan. Bengkel ini
bertujuan melahirkan penulis yang komited dan berpotensi untuk menghasilkan
skrip drama yang berkualiti. Penghasilan skrip drama perlu mengikut situasi
pementasan. Contohnya, persembahan drama untuk radio berbeza dengan drama
televisyen. Penulisan skrip drama pentas untuk kanak-kanak juga berbeza. Oleh
itu, penulisan skrip drama untuk dipentaskan kepada kanak-kanak bergantung
kepada persembahan yang akan dilakukan.

2.4.5  Penulisan Puisi


Penulisan puisi terbahagi kepada dua bahagian, iaitu puisi moden dan puisi
tradisional. Puisi moden adalah seperti penulisan sajak, manakala puisi
tradisional adalah seperti syair, pantun, gurindam, nazam, dan sebagainya. Bagi
penulisan puisi kanak-kanak, penulis perlu menguasai keperluan dan kehendak
kanak-kanak lebih dahulu sebelum menghasilkan karya berbentuk puisi. Oleh
sebab puisi merupakan suatu bahan penulisan yang agak sukar untuk dihasilkan,
maka penulis perlu memastikan bahawa setiap perkara yang ditulis betul-betul
difahami oleh kanak-kanak. Bahasa yang digunakan dalam penulisan puisi
kanak-kanak perlu mengikut tahap dan kebolehan mereka.
Oleh sebab kata-kata yang digunakan dalam sesebuah puisi bersifat abstrak,
maka kata-kata tersebut perlu mengikut keperluan dan kefahaman kanak-kanak
berdasarkan umur mereka. Anak-anak yang masih di bawah umur cenderung
menyukai kata-kata yang pendek, singkat, dan mempunyai irama yang menarik
untuk dibaca dan dideklamasikan. Puisi tersebut perlu dinyanyikan mengikut
lenggok dan bahasa badan yang bersesuaian dengan kehendak kanak-kanak.
Puisi yang menceritakan pengalaman sehari-hari akan memberikan pengalaman
langsung kepada kanak-kanak untuk belajar berfikir dengan kaedah dan cara
yang berbeza-beza mengikut kesukaan dan kegemaran masing-masing.

2.4.6  Penulisan Biografi


Penulisan biografi merupakan suatu bentuk penulisan tentang riwayat atau
kisah hidup seseorang. Individu yang menjadi fokus bagi penulisan biografi
ialah individu yang disegani, dikenal dalam masyarakat, dan banyak membuat
30 Penulisan Sastera Kreatif Kanak-kanak

jasa kepada agama, bangsa, dan negara. Penulisan biografi ini memberikan
penghargaan kepada seseorang yang telah berjasa supaya jasa-jasa mereka
dikenang. Biografi ini akan menjadi bahan arkib yang berfungsi sebagai bahan
bacaan kepada generasi akan datang. Setiap peristiwa dan perjalanan hidup
individu tersebut akan menjadi sasaran. Biografi yang menarik ialah biografi
yang menceritakan perjalanan hidup seseorang, iaitu sejak individu itu lahir
sehinggalah beliau meninggal dunia. Untuk memberikan kelainan dan
membolehkan buku biografi tersebut dibaca dengan penuh minat, gambar-
gambar berkaitan tokoh yang diceritakan perlu dimasukkan sebagai fakta
tambahan kepada penulisan biografi tersebut.
Fakta-fakta yang digunakan dalam penulisan biografi merupakan maklumat
sebenar dan sahih yang diambil daripada orang paling dekat dengan tokoh
tersebut. Maklumat tersebut menjadi maklumat first hand tentang tokoh
tersebut. Peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh tokoh tersebut juga merupakan
peristiwa sebenar yang mewarnai perjalanan kehidupan mereka. Perkara-
perkara lain yang dimasukkan dalam penulisan biografi ialah peranan dan
sumbangan tokoh-tokoh kepada bangsa dan negara. Sesuatu peristiwa menjadi
lebih bernilai sekiranya mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai tatapan
dan bacaan generasi pada masa hadapan. Jika penulisan biografi tersebut
menceritakan tokoh akademik, maka fakta yang digunakan perlu memuatkan
pelbagai cerita dan sumbangan dalam bidang pendidikan. Sekiranya tokoh
tersebut terdiri daripada golongan diraja, maka salasilah keturunan dan
cerita berkaitan istana serta kehidupan beraja tokoh tersebut perlu diberikan
perhatian yang lebih berbanding dengan cerita-cerita yang lain.
Ciri yang paling penting dalam sesebuah penulisan ialah pengarang atau
penulis yang menghasilkan penulisan biografi tersebut perlu dikenal pasti
dengan jelas walaupun penulis mungkin menggunakan perkhidmatan orang
lain ketika membuat penyelidikan atau mengupah seorang ghost writer.
Walau bagaimanapun, penulis tersebut tetap dianggap sebagai individu
yang menulis buku tersebut. Contohnya, seorang putera sultan berhajat
untuk menulis biografi ayahandanya. Baginda mengupah beberapa orang
untuk menjalankan kerja-kerja menyelidik dan menulis. Namun, hanya
nama baginda sahaja yang diletakkan sebagai penulis. Oleh itu, baginda
2.  Genre Sastera Kanak-kanak 31

dianggap sebagai penulis biografi tersebut dan dipertanggungjawabkan untuk


mengesahkan kebenaran dan kesahihan bagi segala perkara yang diceritakan.

2.4.7  Penulisan Cerita Sejarah


Penulisan cerita sejarah merupakan suatu bentuk penulisan yang bersandarkan
penulisan sebenar. Penyelidikan perlu dilakukan lebih dahulu sebelum sesuatu
cerita sejarah dijadikan sebagai bahan penulisan. Penulisan cerita sejarah boleh
diwujudkan dalam dua bentuk, iaitu cerita sejarah sebenar yang dijadikan prosa
kreatif dan cerita sejarah bertunjangkan peristiwa sebenar sejarah yang ditulis
dari awal cerita sehingga cerita tersebut mencapai klimaksnya. Penulisan cerita
sejarah menunjukkan peristiwa masa lalu yang memberikan pengaruh kepada
kehidupan masyarakat kini dan akan datang.
Penulisan cerita sejarah mesti berdasarkan cerita sebenar yang mempunyai
sumber. Fakta dan masa bagi sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku perlu
disertakan bagi membuktikan bahawa cerita sejarah tersebut benar-benar
terjadi suatu masa dahulu. Pendapat yang disertakan oleh penulis tidak boleh
bersandarkan pendapat peribadi semata-mata. Bukti yang kukuh amat diperlukan
dan peristiwa sejarah tersebut perlu ditulis mengikut rentetan masa kejadian
dari awal sehingga selesai. Penulisan sejarah tersebut juga perlu diperakui
kebenarannya oleh pihak-pihak tertentu agar tidak menimbulkan salah faham
kepada pembaca. Dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan apabila
menulis cerita sejarah ialah heuristik dan historiografi. Heuristik merupakan
bentuk pencarian data yang bersesuaian dengan cerita sejarah yang akan ditulis.
Kanak-kanak yang menulis cerita sejarah perlu mempraktikkan kaedah
heuristik. Kaedah ini memberikan peluang kepada mereka untuk membuat
pencarian sendiri, membuat penilaian, dan menyusun maklumat yang diperoleh.
Historiografi pula merupakan kaedah yang sesuai untuk menulis cerita sejarah.
Apabila kaedah ini diaplikasikan, tahap penyaringan data yang diperoleh
pada peringkat awal dapat disusun mengikut kepentingan masa dan peristiwa
yang berlaku. Penulis pula perlu menginterpretasi perkara yang dibaca dan
diperoleh.

You might also like