Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Tajuk: Menganalisis dan memperincikan konsep-konsep utama Teori Pembelajaran

Humanistik Carl Rogers dan kesesuaian pelaksanaannya dalam pengajaran dan


pembelajaran di bilik darjah.

1.0 Pengenalan
Teori-teori pembelajaran merujuk kepada prinsip-prinsip dan hukum-hukum
pembelajaran yang dihasilkan daripada kajian ahli-ahli psikologi pendidikan (Mok, 2008).
Melalui teori-teori pembelajaran, guru akan lebih memahami cara pembelajaran pelajar
yang pelbagai dan seterusnya menghubungkaitkan prinsip dan hukum pembelajaran
dengan kaedah dan teknik mengajar agar objektif pembelajaran yang berkesan dapat
dicapai (Lefudin, 2017). Pada asasnya, teori-teori pembelajaran masa kini boleh
diklasifikasikan kepada empat mazhab yang utama iaitu behaviorisme, kognitif, sosial
dan humanistik.
Menurut pandangan ahli psikologi mazhab humanistik, fitrah manusia, pada
dasarnya, adalah mulia dan baik. Seseorang individu akan berkembang secara semula
jadi sekiranya kehidupan persekitaran mereka adalah sesuai (Husamah et al, 2018).
Berdasarkan fitrah manusia yang dipercayai mulia, baik dan berkembang secara semula
jadi, teori pembelajaran humanistik menumpukan pada apa yang berlaku dalam diri
seseorang pelajar seperti perasaan dan emosinya. Teori ini turut menegaskan setiap
individu mempunyai cara belajar yang berbeza dengan individu lain (Ee, 1997). Oleh itu,
strategi pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai hendaklah diatur mengikut
kehendak dan perkembangan emosi pelajar. Fokus dalam penulisan ini ialah konsep-
konsep utama Teori Pembelajaran Humanistik menurut Carl Rogers dan kesesuaian
pelaksanaannya dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

1
2.0 Konsep-konsep utama Teori Pembelajaran Humanistik Carl Rogers dan
kesesuaian pelaksanaannya dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Menurut Rogers, manusia pada dasarnya adalah baik serta mempunyai daya dan
keinginan yang tinggi untuk belajar dan mencapai potensi diri. Apabila ia dijuruskan ke
arah yang betul, ia akan berkembang secara positif, baik rohani dan jasmani. Oleh itu,
jika seseorang itu gagal belajar, puncanya ialah suasana pembelajaran yang kurang
sesuai, bukan ketidakupayaan pelajar berkenaan (Noriati A. Rashid, Boon & Sharifah
Fakhriah Syed Ahmad, 2017).
Carl Rogers mengkategorikan pembelajaran kepada dua, iaitu pembelajaran kognitif
(kurang bermakna) dan pembelajaran berasaskan pengalaman (bermakna).
Pembelajaran kognitif dikaitkan dengan pembelajaran ilmu akademik seperti
mempelajari kosa kata atau jadual darab bahagi. Manakala pembelajaran berasaskan
pengalaman merujuk kepada aplikasi pengetahuan seperti membaiki motosikal atau
mengkaji sejarah tempatan melalui penerokaan (Ahmad Susanto, 2013). Perbezaan
utama antara dua jenis pembelajaran ini ialah pembelajaran berasaskan pengalaman
lebih menekankan keperluan dan kehendak pelajar (Hussain Othman et al, 2008).
Dalam pembelajaran juga, Rogers memberikan penekanan peranan guru sebagai
fasilitator. Lantaran itu, pembelajaran berpusatkan murid diutamakan (Mohd Fuad Sam
et al, 2013). Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa antara konsep-konsep utama Teori
Pembelajaran Humanistik Carl Rogers ialah pembelajaran berasaskan pengalaman,
menekankan keperluan dan kehendak pelajar serta turut menekankan peranan guru
sebagai fasilitator.
2.1 Pembelajaran Berasaskan Pengalaman
Pembelajaran berasaskan pengalaman mengutamakan penglibatan pelajar
secara langsung dalam proses pembelajaran iaitu merancang, membuat,
menganalisis, merumus dan membuat keputusan (Noriati A. Rashid, Boon &
Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2017). Dengan kata lain, pembelajaran
berasaskan pengalaman mementingkan penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Contoh aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang mendorong penglibatan aktif pelajar ialah pengajaran berasaskan Web.
Khan (1997) mendefinisikan pengajaran berasaskan Web sebagai program
berasaskan hipermedia yang menggunakan ciri dan sumber World Wide Web
(WWW) untuk menghasilkan suatu persekitaran pembelajaran yang bermakna
dan menyokong pembelajaran. Kajian oleh Geisert & Futrell (2000) telah
menggambarkan usaha-usaha guru dalam melibatkan pelajar secara aktif dalam
aktiviti bilik darjah menggunakan ciri dan pelbagai keupayaan Web. Antara
penglibatan pelajar menggunakan keupayaan Web termasuklah (i) mengakses

2
sumber-sumber luar seperti pakar, komputer dan pangkalan data; (ii) berusaha
sama dengan rakan dalam bilik darjah lain untuk mencipta suatu projek; (iii)
bertukar-tukar kerja dengan rakan di sekolah lain; (iv) bersaing dengan rakan
dalam bilik darjah lain; (v) meninjau Web; (vi) mengambil bahagian dalam aktiviti
antara sekolah; (vii) mempamerkan kerja di Web; (ix) menyelidik sesuatu tajuk
tertentu; dan sebagainya.
Pembelajaran yang menekankan penglibatan aktif seperti pengajaran
berasaskan Web sememangnya sesuai dilaksanakan dalam bilik darjah kerana
ianya memerlukan pelajar bekerja secara berkumpulan, menggunakan pelbagai
sumber dan belajar cara menyelesaikan masalah. Dengan ini, pelajar akan dilatih
untuk berdikari dalam membuat analisis, sintesis dan penilaian berdasarkan
pengalaman pembelajaran yang mereka peroleh (Zarina Muhammad, 2007).
Maka, pembelajaran yang bermakna dapat dicapai.
2.2 Menekankan Keperluan dan Kehendak Pelajar
Keperluan dan kehendak murid juga perlu diambil kira untuk menghasilkan
pembelajaran yang bermakna. Satu persekitaran pembelajaran yang dikenali
sebagai Persekitaran Pembelajaran Personal (PPP) telah diperkenalkan untuk
menyediakan persekitaran pembelajaran mengikut keperluan dan kehendak
pelajar. Secara konsep, PLE adalah sebuah sistem e-learning pengguna tunggal
yang memudahkan pengguna untuk menguruskan persekitaran pembelajaran
kendiri, baik dari segi kandungan mahupun proses (Harmelen, 2006). Konsep
yang digunakan dalam PLE ialah pendekatan berpusatkan perkhidmatan yang
membenarkan setiap individu pelajar memilih sendiri persekitaran pembelajaran
yang mereka perlukan (Analisa Hamdan et al, 2015).
Pembelajaran yang menekankan keperluan dan kehendak pelajar seperti
PPP sesuai dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah
kerana ianya akan mendorong pelajar menyusun dan membangunkan suasana
persekitaran pembelajaran yang sesuai dengan gaya pembelajaran mereka
(Attwell, 2007). Penyediaan sistem pembelajaran yang dapat memenuhi gaya
pembelajaran setiap pelajar adalah penting kerana ia akan meningkatkan aktiviti
pembelajaran kerana proses pembelajaran berlaku mengikut kemahuan mereka
(Noriati A. Rashid et al, 2010). Lantas, pembelajaran yang bermakna akan dapat
dicapai.
2.3 Menekankan Peranan Guru Sebagai Fasilitator
Peranan guru sebagai fasilitator turut ditekankan dalam Teori Pembelajaran
Humanistik Rogers. Menurut beliau, guru sebagai fasilitator tidak perlu mengajar
pelajar secara langsung, sebaliknya bertindak sebagai pembimbing

3
pembelajaran pelajar dan menyediakan kemudahan kepada pelajar untuk
belajar, misalnya memperjelaskan objektif pembelajaran kepada pelajar,
menyusun dan membolehkan sumber pembelajaran diperoleh oleh pelajar serta
memastikan komponen intelek dan emosi dalam pembelajaran adalah seimbang
(Moh. Suardi, 2018). Antara aktiviti yang menekankan peranan guru sebagai
fasilitator dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah ialah pembelajaran
kolaboratif.
Melalui pembelajaran kolaboratif, guru tidak perlu mengajar pelajar secara
langsung sebaliknya bertindak sebagai pembimbing pelajar seperti meminta
pelajar untuk membaca, menyemak dan memeriksa jenis bahan yang ditemui
tentang sesuatu tajuk sebelum mereka meneruskan penerokaan,
mentransformasi pengetahuan dalam kumpulan dan melaksanakan
persembahan. Guru juga perlu membantu pelajar untuk membuat refleksi ke atas
pembelajaran mereka agar mereka dapat memperbetulkan kesilapan yang
mereka lakukan (Yusliza Baharin & Farrah Dina Yusop, 2011). Pembelajaran
kolaboratif yang menekankan peranan guru sebagai fasilitator sesuai dan perlu
diaplikasikan dalam bilik darjah kerana ianya menggalakkan kemahiran berfikir
aras tinggi pelajar, pembelajaran kendiri serta pembelajaran secara kolaboratif
dalam kalangan pelajar (Fazian Mohamad, 2014). Oleh itu, proses pengajaran
dan pembelajaran yang bermakna akan dapat dicapai.

3.0 Kesimpulan
Secara kesimpulannya, Teori Pembelajaran Humanistik Carl Rogers merupakan teori
yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman, keperluan dan kehendak
pelajar serta peranan guru sebagai fasilitator. Teori ini wajar dan sesuai dilaksanakan
dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah kerana ianya memberi tumpuan
kepada penglibatan pelajar secara aktif, berbeza dengan pembelajaran tradisional yang
hanya berpusatkan guru. Dengan ini, pelajar akan memperoleh ilmu pengetahuan dan
kemahiran-kemahiran yang diperlukan secara bermakna dan dapat mengaplikasikannya
dalam kehidupan seharian mereka.

You might also like