Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Tajuk 1 : Rencana ‐ Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, factor dan

usaha)

Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang

Oleh Zaidora Zahid

Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada


sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan
rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong
arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara,
perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan
kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan
kemewahan, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak
dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang‐
orang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan moyang yang sama. Keluarga
boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga besar.
Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula
terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir
ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrok kian menggamit
perhatian semua pihak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang
mampu menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut
ini ialah kegagalan ahli keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara
ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan yang semakin renggang dapat dilihat
dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai contoh, keratan
akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa
bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan
orang lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang amat
menyedihkan dam memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang,
ahli‐ahli keluarga akan menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar
fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan
kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu, ahli‐ahli keluarga tidak memahami antara
satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian
ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan
sesama sendiri.

Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut


menyumbang kepada masalah pengabaian ahli‐ahli keluarga khususnya golongan tua
dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang uzur dan pembuangan bayi yang
masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing kepada masyarakat metropolitan
khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa
golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu,
mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan
uzur ke rumah orang tua‐tua. Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa
mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan
ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka
ke dalam tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di kaki lima. Perbuatan
yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia dan tidak mampu
untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli
keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat memalukan. Oleh itu, isu
ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.
Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada
angin yang bertiup. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu
sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan
oleh media massa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap ibu bapa yang
individualistik dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini.
Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa
kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka turut
beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam
menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini
adalah salah sama sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua
insan di seantero marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak
dapat ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih
mementingkan kerjaya semata‐mata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah
mengabaikan anak‐anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan sogokan wang
ringgit. Anak‐anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan pendapat
dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan
segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik‐tolak
dari sinilah, gejala sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.

Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan


nyiru haruslah ditangani dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik,
sistematik dan konkrit haruslah diambil secara berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih
banyak meluangkan masa untuk keluarga. Masa yang diperuntukkan pula haruslah
dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik‐baiknya, segala konflik atau masalah yang
dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-
sama. Tambahan pula, ahli‐ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai
hari keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama‐sama tanpa gangguan aktiviti lain
seperti mesyuarat dan aktiviti kokurikulum.

Selain itu, ahli‐ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada


didikan agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng
mengenai didikan agama dan moral. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati
diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui pengenalan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek
Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan
untuk menerapkan nilai‐nilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan
mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa
subjek‐subjek ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti
kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah
dan pelajar haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang
kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan
kekeluargaan agar pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.

Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua
pihak. Penerapan nilai‐nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak‐
anak muda haruslah dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata
peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya dijadikan azimat
demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan
kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis. Remaja
merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal
pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja
haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan
kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita
menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini.
Janganlah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi
tetapi muflis dari segi kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang
bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata
untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan terkemuka di
seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat
ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan
pemimpin negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga
yang sempurna. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara
haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut hubungan kekeluargaan
yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku Syurgaku” sebagai tempat
terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah
sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan
sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang
menimbulkan suasana yang tegang.

You might also like