Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

PERANAN SEKOLAH SEBAGAI SATU INSTITUSI FORMAL YANG DAPAT

MEREALISASIKAN HASRAT FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Unsur intelek.

Unsur intelek merupakan unsur yang penting untuk melahirkan murid-murid yang mempunyai
kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Murid-murid juga akan sering
berusaha untuk memperoleh dan mengembangkan ilmu yang benar. Seterusnya, murid juga
berkemahiran untuk berfikir secara kreatif, kritikal dan reflektif dan mereka sanggup untuk
berkongsi ilmu dengan orang lain dan persekitaran.

Unsur rohani.

Unsur rohani ini ialah murid-murid sedar dan percaya kepada Tuhan, bersyukur kepada
pemberian Tuhan, serta mereka berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni.

Unsur emosi.

Unsur emosi pula ialah murid-murid dapat mengawal emosi dengan baik serta mempunyai emosi
yang matang dan stabil. Mereka juga dipupuk dengan perasaan kasih sayang, contohnya sayang
kepada ibu bapa. Mereka juga disemai dengan sifat kekitaan serta perpaduan dalam diri mereka.

Unsur jasmani.

Unsur jasmani pula ialah murid-murid akan menyedari tentang kepentingan kesihatan fizikal
mereka. Mereka juga dapat mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif dan
sosial. Dan mereka dapat menggunakan kemahiran kecergasan fizikal untuk memanfaatkan
masyarakat.

Sekolah merupakan institusi penting untuk merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan


Kebangsaan (FPK), iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani dan sahsiah terpuji. Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-
murid memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan minat
setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan kepada khazanah
ilmu yang sedia ada. Untuk merealisasikan hasrat FPK, aspek-aspek kepemimpinan, budaya
sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin murid perlu diberi perhatian dan
diaktifkan secara menyeluruh.

Aspek pertama yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah
kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang penting untuk
merealisasikan FPK. Iklim sekolah yang terbuka menggalakkan murid bebas berinteraksi di
antara murid dengan murid, murid dengan guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai
aktiviti sekolah. Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta
melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan sempurna. Iklim sekolah yang terbuka
seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik dan iklim ini akan dapat membantu
sekolah mencapai hasratnya seperti membentuk murid lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih
rela bekerjasama, lebih ramah dan mesra, lebih berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya. Ini
bertepatan dengan elemen FPK iaitu, membentuk rakyat Malaysia yang berketerampilan.

Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek
fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa. Aspek fizikal
merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah, keselamatan anggota-anggota
sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang lengkap, keselesaan yang kondusif untuk
pengajaran dan pembelajaran dan juga keindahan sekolah. Suasana sekolah yang ceria, kondusif
dan merangsang pembelajaran diwujudkan bertujuan menghasilkan murid-murid yang
berkembang secara harmonis dan menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan


keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormat-menghormati dan
mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan, kemesraan dan keadilan. Perkara-
perkara ini menjurus kepada eleman FPK iaitu, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

Seterusnya, aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti


semangat mahu belajar sama adda dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah. Sebagai
contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran program-program akademik seperti
Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti membaca dalam kalangan murid-
muridnya. Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid sama
ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui
masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu ialah melalui
amalan membaca yang berterusan.

Aspek seterusnya ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunan bahasa secara
betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Untuk meningkatkan
prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti pertandingan seperti pertandingan bercerita
boleh dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai galakan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa
kedua, iaitu bahasa Inggeris juga perlu diberi perhatian sejajar dengan matlamat FPK yang ingin
melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, aspek ko-kurikulum juga memainkan peranan penting untuk merealisasikan
hasrat FPK. Sekolah perlu memainkan peranan yang berkesan dalam melaksanakan gerak kerja
ko-kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang
dijalankan di dalam dan luar waktu sekolah. Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan
secara bukan formal. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah
kesinambungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-
kurikulum lebih bercorak bukan formal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifat-sifat


kepimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat dalam kalangan murid. Aktiviti
ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai perseimbangan antara
perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Melalui kegiatan
kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri mereka sendiri.

Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan dalam
mendidik murid-murid untuk mengembangkan bakat dan minat. Aktiviti-aktiviti yang boleh
dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah pasukan unit beruniform, persatuan atau
kelab dan juga sukan permainan. Pihak sekolah perlu memastikan semua murid melibatkan diri
dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum
sekolah dan sebagai satu bidang pendidikan.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat


penting yang merangkumi aspek pendidikan, pembelajaran dan sosialisasi. Dari aspek
pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap dapat membina dan
menyuburkan sahsiah yang seimbang dalam kalangan murid, memupuk nilai-nilai akhlak dan
pendidikan yang diingini, memajukan kemahiran, minat dan bakat murid, meningkatkan disiplin
dan kepimpinan diri, mengukuhkan dan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran,
menjadi asas kerjaya pada masa akan datang dan mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah
serta menyeronokkan.

Dalam aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan


mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan murid. Selain itu,
perhubungan antara guru dan murid juga akan dapat dieratkan.

Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahirkan dan
membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan kewarganegaraan serta
mempunyai rasa dan tanggungjawab untuk berkhidmat untuk masyarakat, sejajar dengan elemen
FPK iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian
dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Secara amnya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan ko-kurikulum


dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu, membentuk sahsiah,
membantu pertumbuhan jiwa masyarakat, meningkatkan mutu disiplin para murid bagi
memperkukuh integrasi dalam kalangan mereka. Selain itu, pihak sekolah harus memberi
peluang secukupnya kepada murid-murid untuk menyertai program terancang bagi
memperkembangkan bakat, minat, serta kemahiran masing-masing.

Aspek seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting untuk merealisasikan hasrat
FPK. Guru bertanggungjawab memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan
bersepadu iaitu insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dengan pengenalan KBSR di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah
kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator, pembimbing,
penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan.
Seseorang guru perlu menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi murid-murid. Sebelum
memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya dicungkil terlebih dahulu terhadap topik
yang akan disampaikan. Proses pembelajaran berlaku lebih cepat sekiranya murid-murid
mempunyai minat terhadap pelajaran itu. Oleh itu, adalah penting bagi seorang guru
menggerakkan muridnya dengan pelbagai cara seperti menggunakan alat bantu mengajar,
mengadakan main peranan (role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga perlu mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam
sesebuah bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama, langkah kedua,
langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran haruslah diatur supaya murid-
murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti pembelajaran.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar. Guru
seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman murid untuk
membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah lagi. Perkataan-perkataan
yang diguna pakai oleh guru sepatutnya mudah difahami dan penerangannya jelas dan padat.
Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, dan lain-lain dapat menjelaskan lagi
konsep yang ingin disampaikan. Guru juga mesti menolong murid-murid mengatur fakta-fakta
supaya menjadi konsep yang bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan
menggunakan alat bantu mengajar ini.

Guru juga perlu menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti


sehingga pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya dengan
menjalankan pelbagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesan sejauh mana objektif pengajaran
dan pembelajaran sudah tercapai.

Pendek kata, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan yang
berilmu dan bersahsiah tinggi sejajar dengan matlamat FPK. Guru juga memainkan peranan yang
amat besar dalam merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan menentukan jatuh bangunnya
bangsa dan negara pada masa hadapan.

Aspek terakhir untuk merealisasikan hasrat FPK ialah disiplin. Sekolah sebagai agen
utama yang bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar
umbi. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba
mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati dan
mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan
sendiri, juga kesanggupan seseorang bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib,
kesanggupan menghormati hak individu lain, mengamalkan tingkah laku hormat-menghormati
antara satu sama lain dan mempunyai semangat tolong-menolong dan membaiki keadaan yang
sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat untuk masyarakat.

Disiplin juga ada kaitannya dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan akhlak. Dalam
konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi terpenting dalam membentuk disiplin murid-
murid. Masalah disiplin akan menjejaskan tumpuan murid kepada pelajaran. Masalah disiplin ini
seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru,
pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting bagi
memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah
jawatankuasa menangani masalah disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa
ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau
disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah
disiplin.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina semula
sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru bimbingan dan kaunseling
ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan murid-murid yang mempunyai masalah
disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah laku yang diingini. Selain itu, guru bimbingan dan
kaunseling juga berfungsi untuk membina perhubungan dengan ibu bapa murid-murid yang
mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya persekitaran


sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk imej dan keyakinan diri
muridd ke arah kecemerlangan dan kegemilangan seterusnya dapat menggapai hasrat FPK.

Kesimpulannya, berdasarkan semua huraian di atas, maka ternyatalah bahawa kejayaan


sesebuah sekolah dalam merealisasikan FPK adalah bergantung kepada aspek budaya sekolah,
ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua aspek ini akan menentukan modal insan yang bakal
dilahirkan sama ada memenuhi hasrat FPK atau tidak. Kejayaan sekolah dalam merealisasikan
FPK juga secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan berkualiti. Merujuk
kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006, negara kita berhasrat untuk ”menghasilkan
modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia,
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi...perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif,
berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru,
mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang
sering berubah-ubah”. Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam
menyahut cabaran yang terkandung dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan keupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat
dan negara.

http://zackzahran.blogspot.com/2010/03/1.html

You might also like