Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 17

SEJARAH PERKEMBANGAN TULISAN JAWI

Pada asasnya bahasa ialah ujaran yang dikeluarkan oleh organ pertuturan manusia yang
secara arbitrari melambangkan maknanya dan digunakan oleh satu masyarakat bahasa untuk
perhubungan (Hashim Musa:205). Tulisan pula lahir apabila manusia mengetahui bagaimana
hendak menyampaikan fikiran dan perasaannya melalui tanda-tanda tampak atau visual
dalam bentuk yang bukan hanya dimengerti sendiri tetapi oleh orang lain juga.

Sistem ejaan yang digunakan dalam tulisan Melayu berhuruf Arab yang dikenali juga sebagai
ejaan Jawi. Tulisan Jawi digunakan oleh orang Melayu sejak orang Melayu memeluk agama
Islam. Orang Arab menggelar orang Melayu sebagai Jawah atau Jawi. Hal ini disebabkan
pada zaman dahulu, daerah Asia Tenggara terkenal sebagai Javadwipa. Di Malaysia, sistem
ejaan Jawi bukanlah sistem tulisan rasmi tetapi diajar sebagai satu subjek dalam pengajaran
di sekolah manakala di Indonesia pula, sistem ini hanya dikenali oleh para pengkaji naskhah
Melayu lama.

Sebelum Bahasa Melayu menerima mana-mana pengaruh, bahasa itu sudah mempunyai sistem
tulisannya yang tersendiri walaupun tidaklah begitu sempurna. Aksara rencong ialah huruf Melayu
tua yang lebih tua daripada aksara Jawa kuno (tulisan Kawi). Sisa tulisan ini dapat kita lihat dalam
tulisan Rencong yang digunakan di Sumatera Selatan, di daerah Bangkahulu dan Palembang di
sebelah hulu, manakala tulisan Kawi di Jawa. Masyarakat yang memiliki tulisan kebiasaannya
dianggap telah memiliki peradaban yang lebih tinggi berbanding dengan yang lain.

Hingga abad ke-14, Bahasa Melayu telah mengalami pengaruh daripada tiga bahasa, iaitu Bahasa
Sanskrit, Bahasa Jawa dan Bahasa Arab.  Pengaruh pertama terhadap Bahasa Melayu ialah Bahasa
Sanskrit yang dibawa oleh pedagang-pedagang India atau pedagang Melayu yang berurusan dengan
negara India. Akibatnya pengaruh indianisasi berkembang dalam budaya Melayu. Para sarjana
berpendapat pengaruh Hindu masuk ke alam Melayu sekitar abad ke-14,  iaitu zaman kemuncaknya
pengaruh Hindu di kepulauan Melayu. Bahasa Sanskrit dianggap asas kepada Bahasa Melayu yang
hidup  hingga pada hari ini. Tulisan Bahasa Melayu yang asal, iaitu huruf Rencong tersisih tetapi kosa
katanya bertambah kaya.  Namun begitu, muncul pula tulisan yang dikenali sebagai tulisan Jawi.
Didapati bahawa menerusi tulisan inilah Bahasa Melayu terus maju dalam pelbagai bidang.
Kebanyakan mubaligh dan golongan cendekia Melayu mengenal pasti bunyi Bahasa Melayu yang
tidak terdapat dalam Bahasa Arab. Kekurangan abjad ini telah menyebabkan mereka memilih huruf
Parsi dan huruf lain yang mereka cipta sendiri dengan menambah tanda pada huruf Arab yang sedia
ada.

Rajah 6.2: Tulisan Jawi digunakan di Batu Bersurat Terengganu, menunjukkan


pengaruh Islam di Tanah Melayu.

Batu bersurat (Rajah 6.2) memperlihatkan pengaruh Bahasa Arab mula menjalar masuk ke
dalam Bahasa Melayu. Batu bersurat di Kuala Berang memperlihatkan satu perubahan radikal
terhadap Bahasa Melayu. Tulisan pada batu bersurat tersebut memperlihatkan penggunaan
huruf-huruf yang dikatakan tulisan Jawi. Tulisan Jawi yang terdapat pada Batu Bersurat
Kuala Berang memperlihatkan bahawa tulisan ini telah mengenal abjad Bahasa Melayu
dengan agak lengkap. Misalnya,  abjad yang terdapat dalam perkataan yang tertulis pada batu
bersurat tersebut. Antaranya ialah a (ada), b (bagi), c (cucuku), r (rasul) dan lain-lain. 
Didapati juga bahawa keseluruhan wacana yang terdapat pada Batu bersurat Kuala Berang itu
hanya huruf ‘q,v,x, dan z’ sahaja yang tidak ditemui. Namun demikian, hal ini tidaklah
mengatakan bahawa huruf ‘q’ dan ‘z’ tidak ada pada zaman tersebut kerana huruf tersebut
sememangnya wujud dalam huruf Arab, iaitu ‘Qaf’ dan ‘Zai’. Pada masa tersebut juga,
penulisan kitab agama mahupun kesusasteraan berkembang dengan subur di Aceh. Ini
disebabkan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan Aceh tentang penulisan keagamaan dan
kesusasteraan bercorak Islam. Para pujangga telah diberikan layanan istimewa. Oleh itu, kita
dapati perkembangan tulisan Jawi, sedikit demi sedikit, mula mendapat tempat dalam
kalangan masyarakat Melayu.
Pada abad ke-13 merupakan zaman kegemilangan Islam ke alam Melayu. Perkembangan
agama Islam telah meletakkan bahasa rasmi agama Islam ialah Bahasa Arab yang mulai
mendapat tempat dalam kalangan penganut agama Islam di daerah ini. Bahasa Melayu Kuno
yang menggunakan huruf-huruf India bertukar menggunakan huruf-huruf Arab disebut huruf
Jawi. Perkataan Jawi ini bermaksud ‘orang Jawa’ atau ‘berasal dari tanah Jawa’. Penulis-
penulis Arab pada zaman klasik termasuk Ibn Batutah dalam bukunya “al-Rehlah”
menggelarkan pulau Sumatera sebagai Al-Jawah. Oleh itu, orang Arab memanggil orang
Melayu di Jawa sebagai Jawi dan tulisan Melayu yang menggunakan  huruf Arab sebagai
tulisan Jawi. Tulisan ini dicampuradukkan dengan tulisan Arab yang menggunakan 29 huruf
dengan lima huruf tambahan bukan Arab yang dicipta oleh orang Melayu sendiri. Lima huruf
bukan Arab yang terdapat dalam tulisan Jawi ialah  Ca ( ‫) ﭺ‬, Nga ( ‫) ڠ‬, Pa  (‫) ق‬, Ga  (‫) گ‬, dan
Nya ( ‫) ڽ‬.  Huruf-huruf ini dicipta untuk melambangkan bunyi-bunyi yang lazim disebut pada
lidah Melayu. Huruf-huruf baharu ini ditiru daripada huruf Arab yang seakan-akan sama
bentuknya. 

Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke
Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan
ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H
atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19.
Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi.
Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa
penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat
Melayu yang kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. Pada zaman
dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Tulisan ini digunakan
sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.
Contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di Raja Melayu
dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran
Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi
(Wikipedia, 2008).

Sistem Ejaan Jawi


Sistem tulisan dan ejaan Jawi dipengaruhi oleh Bahasa Arab dan Melayu. Unsur Arab dan
Melayu mengalami dua tahap perkembangan. Pada tahap pertama, ejaannya menggunakan
tanda baris sebagaimana yang terdapat dalam mashaf  suci al-Quran.  Penggunaan baris ini
bertujuan mendapatkan bunyi yang betul tetapi mengambil masa yang lama untuk
menulisnya kerana terlalu banyak tanda diakritik yang digunakan. Pada tahap kedua tanda
baris tersebut dihilangkan.  Walau bagaimanapun, bentuk ini sukar dibaca oleh mereka yang
baharu belajar Jawi kerana memerlukan masa untuk menguasai dan menggunakannya.  Oleh
itu, tidak lama kemudian lahirlah huruf Jawi versi Melayu yang merupakan ejaan yang
menggunakan huruf saksi atau huruf vokal, iaitu Alif, Wau dan Ya. Dalam buku William
Marsden, A Dictionary of the Malayan language (1812) dan buku R.J. Wilkinson (1903),
didapati bahawa terdapat ejaan yang bercampur dari segi pemilihan huruf. Oleh itu, pada
tahun 1930-an, muncul ahli-ahli bahasa yang cuba menyusun ejaan Jawi secara berasingan.
Antaranya ialah Mejar Dato’ Haji Mohd Said bin Haji Sulaiman daripada Pakatan Bahasa
Melayu Persuratan Buku-Buku Diraja Johor (P.Bm. P.B. DiRaja Johor)  dan Zainal Abidin
Wahid atau lebih dikenali dengan panggilan Za’ba daripada Maktab perguruan Sultan Idris,
Tanjung Malim. 

Dua usaha penting pada peringkat awal penyempurnaan sistem tulisan dan ejaan Jawi ialah
usaha yang dibuat oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Diraja Johor (P. Bm. P. B) yang
menerbitkan sistem ejaan Jawi pada tahun 1937,  dan usaha yang dibuat oleh Allahyarham
Zainal Abidin Bin Ahmad (seterusnya disebut Za'ba) pada tahun 1939. Tulisan Jawi yang
terpakai di sektor pendidikan dan dalam pelbagai urusan sejak awal abad ini hingga tahun
1986 ialah Sistem Ejaan Jawi Za'ba (seterusnya disebut Jawi Za'ba) yang diasaskan pada
tahun 1939.

Sistem Ejaan P.Bm. P.B. DiRaja Johor disusun dalam bentuk risalah yang berjudul Risalah
Bagi Helaian  P.Bm. P.B. DiRaja Johor yang mengandungi 25 halaman dan diterbitkan pada
tahun 1937 dengan menggunakan huruf Jawi. Sistem ejaan ini agak ringkas dan kata dieja
mengikut bagaimana satu-satu suku kata dibunyikan.  Kaedah ini juga mewujudkan huruf
Alif ke belakang apabila wujud imbuhan pada kata dasar. Dalam panduan ini juga terdapat
peraturan ejaan kata dalam bentuk gabungan kata yang digunakan dalam surat rasmi kerajaan
Johor dan juga dalam Buku Katan Melayu. 
Sistem Ejaan Za’ba pula dilengkapkan pada tahun 1938 dalam sebuah buku berjudul Daftar
Ejaan Melayu (Jawi-Rumi). Sistem ini mempunyai persamaan dengan Sistem Ejaan P.Bm.
P.B. DiRaja Johor. Bezanya keterangan yang diberikan agak panjang. Sistem ini juga
digunakan oleh guru pelatih di MPSI. Penggunaannya juga kemudian agak meluas dan
sebahagiannya digunakan dalam penerbitan Utusan Melayu pada tahun 1939.  Sistem ejaan
ini  diolah semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk melahirkan  Sistem Ejaan Jawi
yang Disempurnakan.  Penyempurnaan sistem ejaan Jawi bertujuan seperti berikut (Ismail
Dahman, 1991):

a. Untuk mewujudkan satu sistem tulisan dan ejaan Jawi yang kemaskini yang sekali gus
menyelaraskan pelbagai kaedah ejaan Jawi yang tidak seragam dalam penggunaan
(sebelum tahun 1986).

b. Untuk memperbaiki atau membetulkan beberapa kelemahan atau kekurangan yang


terdapat dalam sistem ejaan Jawi lama yang sedang digunakan, iaitu Sistem Ejaan
Jawi Za'ba.

c. Untuk memodenkan sistem ejaan Jawi (selaras dengan perkembangan ejaan Rumi)
supaya dapat diperluas dan dipertingkatkan penggunaannya menjadi wahana
penulisan Bahasa Melayu moden, tanpa menghapuskan ciri-ciri khusus sejarah dan
budayanya, bagi menghadapi perkembangan bahasa, bangsa dan negara dalam
merealisasikan wawasan tahun 2020 dan seterusnya.

Pada tahun 1981, Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia (yang dilantik oleh
Y. B. Menteri Pendidikan) telah memperakukan supaya "Sistem Ejaan Jawi yang ada
sekarang hendaklah dikaji semula dan diperkemas. Sebuah buku Daftar Ejaan Rumi-Jawi
yang lengkap hendaklah diusaha dan diterbitkan dengan segera". Untuk melaksanakan
perakuan tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka telah melantik sebuah Jawatankuasa Mengkaji
Semula Sistem Ejaan Jawi pada bulan Februari tahun 1983 (seterusnya disebut Jawatankuasa
Ejaan Jawi DBP). Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh pakar-pakar sistem ejaan Jawi yang
mewakili Pusat Perkembangan Kurikulum, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia, dan Pusat-
pusat Pengajian Tinggi Tempatan. Bidang tugas jawatankuasa ini ialah membuat kajian
semula terhadap Sistem Ejaan Jawi Za'ba (Pelita Bahasa Melayu Penggal I [Permulaan Nahu
Melayu] tahun 1941, dan Daftar Ejaan Melayu [Jawi-Rumi] tahun 1949) , Sistem Ejaan Jawi
Dian (Majalah Dian) dan sistem ejaan Jawi yang digunakan dalam penerbitan-penerbitan
Syarikat Utusan Melayu Sdn. Berhad, serta beberapa penerbitan Jawi yang lain.) 

Hasil kajian Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP (1983) itu dibentangkan dalam Konvensyen
Tulisan Jawi (Anjuran Yayasan Islam Terengganu, dan Dewan Bahasa dan Pustaka) yang
diadakan pada 9-11 April 1984 di Terengganu. Konvensyen ini dihadiri oleh 150 orang pakar
tentang ejaan Jawi, termasuk mereka yang fasih dalam Bahasa Arab dan ahli agama Islam,
yang terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan, pusat pengajian tinggi, institusi dan badan
sukarela di seluruh negara, serta beberapa perwakilan rasmi dari negara Indonesia, Brunei
Darussalam, Singapura dan Thailand. Cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Ejaan
Jawi DBP telah diterima dengan baik oleh peserta konvensyen di Terengganu itu. Hasilnya
telah dirumuskan dan disusun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1985, dan
diterbitkan pada tahun 1986 dalam bentuk buku berjudul Pedoman Ejaan Jawi yang
Disempurnakan (seterusnya disebut PEJYD).

Pada tahun 1987, Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP telah mengadakan pertemuan dan menerima
pandangan daripada beberapa orang pakar serta bersetuju membuat sedikit pembaikan ke atas
rumusan yang terkandung dalam PEJYD tahun 1986 itu. Kemudian, naskhah pedoman
tersebut diperkemas dan diterbitkan sebagai edisi kedua dengan judul PEJYD yang sama
pada tahun 1987.

Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi


Daftar ejaan Melayu Jawi Rumi yang awal diusahakan oleh Za’ba. Buku ini mengandungi
huraian terperinci tentang tulisan Jawi dan Rumi, petua-petua ejaan Jawi, senarai kata
Melayu, dan petua ejaan Rumi. Buku ini diusahakan oleh Zainal Abidin Ahmad atau lebih
dikenali sebagai Za’ba dan diterbitkan oleh Pejabat Karang Mengarang di Sultan Idris
Training College (SITC), Tanjung Malim pada tahun 1946 yang tergolong dalam “The Malay
School Series No. 31”.
   
Bahagian awal buku ini menghuraikan tentang tulisan Jawi dan Rumi. Daftar ini disusun
mengikut kaedah Jawi-Rumi, iaitu ejaan Jawi dahulu disusun mengikut susunan abjad Jawi-
Rumi, kemudian diberikan ejaan Rumi setentang dengan perkataan tersebut. Kaedah ejaan
yang digunakan ialah kaedah ejaan Jawi menurut kecenderungan ahli-ahli sekolah semenjak
40 tahun yang lalu serta kecenderungan sebilangan penulis Melayu. Kaedah ejaan Jawi ini
menurut kaedah yang diatur oleh jawatankuasa merumikan tulisan Melayu yang telah
ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Persekutuan pada awal abad ke-19. Bahagian akhir buku ini
menjelaskan sistem atau peraturan ejaan kata Bahasa Melayu yang menggunakan tulisan
Rumi dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Za’ba.

Berdasarkan PEJYD (1987), Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyusun Daftar Ejaan Rumi-
Jawi (Rajah 6.3) yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1988. Senarai kata masukan adalah
berdasarkan senarai kata masukan dalam buku Daftar Ejaan Daftar ejaan Rumi-Jawi kini
diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Daftar ejaan ini memuatkan senarai perkataan
umum dan istilah dalam Bahasa Melayu dibuat menurut abjad Rumi dan panduan Jawi
diberikan sebelahnya. Hampir keseluruhan Daftar ini menyenaraikan kata dasar. Penulisan
kata terbitan atau kata berimbuhan diterangkan di dalam pendahuluan yang lengkap dengan
contoh-contohnya. Sistem ejaan Jawi yang berunsurkan sistem ejaan Bahasa Arab yang
menekankan huruf saksi (vokal): Alif, Wau dan Ya.  Antara sistem ejaan Jawi yang terkenal
ialah Ejaan P.Bm P.B. diRaja, Sistem Ejaan Za’ba, Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan
dan Sistem Ejaan Dian. Penyemakan dan rujukan ejaan Jawi daftar ini dibuat berdasarkan 
buku Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan dan sumber lain, iaitu Daftar Ejaan Melayu
Za’ba (1949), daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia DBP (1982), Istilah Agama Islam DBP
(1986); Pedoman Transliterasi Arab ke Huruf Rumi DBP (1984) dan Kamus Dewan (1984).
Rajah 6.3: Daftar Ejaan Rumi-Jawi terbitan DBP.

Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pendahuluan dan bahagian daftar
kata. Bahagian pendahuluan menerangkan panduan bagi menggunakan daftar dan kaedah
penyusunan daftar yang meliputi penggunaan abjad dan huruf Jawi, perkataan yang
dimasukkan (terdiri daripada kata dasar  satu suku kata, kata dasar dua suku kata, kata dasar
tiga suku kata atau lebih, kata pinjaman, kemasukan kata ulang); penulisan imbuhan,
penulisan partikel; dan penulisan kata singkat. Bahagian kedua daftar ini memuatkan pula
perkataan yang disusun mengikut abjad Rumi serta padanan Jawi. Keseluruhan daftar
menyenaraikan kata dasar. Penulisan kata berimbuhan atau kata terbitan dijelaskan dalam
bahagian pendahuluan.

Pedoman Ejaan Jawi Yang disempurnakan (PEJYD)


Sistem tulisan dan ejaan Jawi yang digunakan sekarang ialah sistem yang termuat dalam
buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan yang diterbitkan secara rasmi oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986 (edisi kedua. 1987; edisi ketiga, 1993).  Sistem ini
merupakan sistem ejaan Jawi yang digunakan, disempurnakan atau dimantapkan daripada
Kedah Ejaan Jawi yang digunakan sebelumnya yang berasaskan Kaedah Ejaan Jawi Za’ba
(sebagaimana yang terdapat dalam buku Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi, 1949). Pedoman
Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1986) dihasilkan daripada rumusan Konvensyen Tulisan
Jawi Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1984. Hasil Konvensyen tahun 1984
itu telah diselaraskan dan diperkemas dengan maklumat yang diperoleh daripada Konvensyen
Tulisan Jawi anjuran Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri, pada tahun 1991 dan Seminar
Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan pada tahun 1993. Semua maklumat tersebut disemak dan
disahkan oleh Jawatankuasa Teknikal Ejaan Jawi Pusat Islam dan Dewan Bahasa dan Pustaka
pada tahun 1993-1994. Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu yang termuat dalam
buku ini merupakan maklumat terkini tentang sistem ejaan Jawi yang disusun berdasarkan
dokumen-dokumen pedoman ejaan Jawi yang telah diterbitkan oleh DBP, dan maklumat-
maklumat pedoman ejaan Jawi yang diselaraskan selepas itu, khususnya daripada terbitan-
terbitan yang berikut:

a. Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan
Pertama Edisi Ketiga, 1993.

b. Daftar Ejaan Rumi-Jawi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Kedua, 1989.

Tulisan Jawi ditulis (dan dibaca) dari kanan ke kiri (seperti sistem tulisan Bahasa Arab).
Sistem tulisan ini tidak mempunyai huruf besar atau huruf kecil seperti tulisan Rumi, tetapi
perubahan bentuk huruf akan berlaku bagi beberapa huruf tertentu apabila dirangkaikan
dengan huruf yang lain dalam penulisan sesuatu perkataan. Abjad Jawi Bahasa Melayu
sekarang mengandungi 37 huruf bentuk tunggal yang tersusun seperti di Jadual 6.2.

Huruf JawiNama Padanan Rumi


 ‫ﺍ‬ alif a
‫ﺏ‬ ba b
‫ﺕ‬ ta t
‫ة‬ ta marbutaht/h
‫ﺙ‬ sa [tha] s, (th)
‫ﺝ‬ jim j
‫ﭺ‬ ca c
‫ﺡ‬ a],ha [h ),h, (h
‫ﺥ‬ kha [khO] kh
‫د‬ dal d
‫ﺫ‬ zal [dhal] z, (dh)
‫ﺭ‬ ra [rO] r
‫ﺯ‬ zai z
‫ﺱ‬ sin s
‫ﺵ‬ syin sy, (sh)
‫ﺹ‬ Od],sad [s ),s, (s
‫ﺽ‬ Od],dad [d ),d, (d
‫ﻁ‬ O],ta [t ),t, (t
‫ﻅ‬ O],za [z ),z, (z
awal: a, i, u
‫ﻉ‬ ain [ain]
akhir: k, (‘)
‫ﻍ‬ ghain gh
‫ڠ‬ nga ng
‫ﻑ‬ fa f
‫ﭪ‬ pa P
‫ﻕ‬ qaf k, q, (q)
‫ﻙ‬ kaf k
‫ڬ‬ ga g
‫ﻝ‬ lam l
‫ﻡ‬ mim m
‫ﻥ‬ nun n
‫ﻭ‬ wau w, u, o
‫ۏ‬ va v
‫ﻩ‬ ha h
awal: gugur
‫ء‬ hamzah
akhir: k, (’)
‫ﻱ‬ ya y, i, e taling
‫ى‬ ye [ye] e pepet akhir
‫ڽ‬ ny ny
  Jadual 6.2: Abjad Jawi, Bahasa Melayu

Catatan 1: Huruf di dalam tanda kurung ialah padanan untuk transliterasi huruf Arab kepada
huruf Rumi dan padanan untuk mengeja istilah khusus daripada Bahasa Arab.

Catatan 2: Huruf  3 (ta marbutah) disepadankan dengan huruf Rumi h dan t; dan t bagi
padanan transliterasi.

GAGASAN MEMARTABATKAN TULISAN JAWI


Rajah 6.4: Penerbitan Warta Melayu.

Pada 23 Mac 1898, keluaran pertama akhbar berbahasa Melayu dalam tulisan Jawi 'Warta
Melayu' telah diterbitkan (Rajah 6.4). Akhbar ini diterbitkan dan dicetak di Singapura oleh
American Machine Press Singapura. Akhbar tersebut diterbit dalam 8 halaman dan
menyiarkan pelbagai berita luar dan dalam negeri. Berita-berita itu disiarkan mengikut
kumpulan negeri iaitu Khabar Negeri Asing, Khabar Negeri Melayu, Khabar Singapura dan
Khabar Pulau Pinang. Berita-berita yang berkaitan meliputi peperangan dan pergolakan
politik di negara-negara asing. Soal-soal agama dan cerita-cerita penglipur lara terjemahan
daripada bahasa Cina dan Inggeris. Terdapat juga ruangan pengenalan yang ditulis oleh
pengarangnya. Mulai keluaran bulan Ogos dalam tahun yang sama, suratkhabar ini mula
bercorak komersial dengan tersiarnya iklan-iklan. Walaupun terbitnya tidak tetap kemunculan
akhbar ini dalam arena persuratkhabaran Melayu telah dapat membuka sedikit sebanyak
pandangan dan pemikiran segolongan orang-orang Melayu terhadap perubahan-perubahan
semasa.

Dengan kehendak Kerajaan-Kerajaan Melayu Bersekutu penerbitan akhbar ini diteruskan


dalam tulisan rumi. Ini telah mengubah bentuk  akbar  daripada sebuah akhbar biasa menjadi
akhbar rasmi bagi Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Warta Rasmi ini mengandungi
perkara-perkara seperti perlantikan dalam jabatan, undang-undang dan peraturan-peraturan
am kerajaan dan sebagainya. Perkembangan selanjutnya mengenai akhbar ini tidak dapat
dikesan kerana penerbitannya telah terhenti tanpa diketahui, manakala keluaran yang
tersimpan di Arkib Negara hanya setakat 30 September 1904.

Pada hari ini 13 Julai 1946, Pejabat Perhubungan Raya di Kuala Lumpur telah menerbitkan
naskah pertama akhbar harian tulisan Jawi yang mengandungi 4 halaman. Akhbar Cermin
Malaya merupakan sebuah akhbar yang diterbitkan oleh Pejabat Perhubungan Raya yang
kemudiannya dikenali dengan nama Pejabat Penerangan. Akhbar Cermin Malaya diterbitkan
bertujuan untuk menerangkan mengenai dasar-dasar dan usaha kerajaan Inggeris pada masa
itu. Ini termasuklah dasar-dasar kerajaan dalam usaha menghapus, menyekat dan membasmi
pengaruh komunis di Tanah Melayu, serta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang
menggantikan Malayan Union. Akhbar Cermin Malaya memainkan peranan penting sebagai
saluran maklumat dan penyampai berita tentang perkembangan politik, ekonomi dan sosial
tanahair. Pada bulan Disember  1948 akhbar Cermin Malaya telah diberhentikan
penerbitannya dan kemudiannya telah digantikan dengan Panduan Rakyat. 

Pada 12 April 1952, Persidangan Persuratan Melayu SeMalaya yang pertama telah didakan di
Singapura. Persidangan itu telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang wakil pertubuhan
persuratan seperti Ikatan Bahasa Melayu, Persuratan Buku Di Raja dari negeri Johor,
Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung, Angkatan Sasterawan 50 dan lain-
lain persatuan dari seluruh Tanah Melayu. Persidangan itu membincangkan dengan terperinci
serta membahaskan berkenaan penggunaan tulisan Rumi dan Jawi dalam persuratan Melayu.
Angkatan Sasterawan 50 berpendapat bahawa sudah sampai masanya tulisan Rumi diiktiraf
secara rasmi tetapi tulisan Jawi juga hendaklah dipakai. Enam buah badan persuratan lain
telah menyokong syor Angkatan Sasterawan 50 itu, manakala Lembaga Bahasa Melayu
berpendapat bahawa tulisan Jawi dan Rumi adalah sama banyak digunakan dalam persuratan
Melayu. Akhirnya persidangan telah bersetuju dengan keputusan mengiktiraf kedua-dua
huruf Jawi dan Rumi sebagai huruf rasmi dalam persuratan Melayu. Sesungguhnya keputusan
yang diambil oleh Persidangan Persuratan Melayu SeMalaya untuk mengiktiraf tulisan Jawi
dan Rumi sebagai tulisan rasmi dalam persuratan Melayu menunjukkan suatu langkah untuk
memelihara kedua-dua tulisan tersebut khasnya tulisan Jawi daripada luput ditelan zaman. 
Pada hari 6 Februari 1958, bangunan Syarikat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala
Lumpur dibuka dengan rasminya oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor, Tuanku Hishamuddin
Alam Shah. Dengan pembukaan bangunan baru itu, akhbar Utusan Melayu rasmilah dicetak
dan diterbitkan di Kuala Lumpur, setelah 19 tahun, iaitu semenjak pemindahannya dalam
tahun 1939 dari Singapura. Perpindahan tempat percetakan dan penerbitan ini merupakan
satu kemajuan bagi Syarikat Utusan Melayu yang kini mempunyai bangunannya sendiri yang
dilengkapkan dengan alat-alat jentera yang moden. Akhbar Utusan Melayu merupakan satu
akhbar yang terulung yang dipunyai dan diusahakan sepenuhnya oleh orang-orang Melayu.
Utusan Melayu  ialah satu-satunya akhbar nasional yang diterbitkan dalam tulisan Jawi. Oeh
yang demikian, Utusan Melayu merupakan akhbar yang sangat popular terutamanya dalam
kalangan orang-orang Melayu di kawasan luar bandar di mana tulisan Jawi masih lagi
difahami dan digunakan dengan meluas. Semenjak  mula ditubuhkan, Utusan Melayu telah
banyak menyedarkan dan menyuarakan kepentingan dan perjuangan orang-orang Melayu
dalam hal-hal ekonomi, politik dan sosial supaya mereka tidak ketinggalan di belakang dari
bangsa-bangsa lain di negara ini.

Pada 1 Januari 2003, akhbar Utusan Melayu, satu-satunya akhbar bertulisan Jawi yang
bersalut 1001 sejarah perjuangan bangsanya boleh dikatakan memasuki era `kelumpuhan'
yang serius dan mungkin akan terus berkubur tanpa nisan jika tiada sebarang usaha untuk
menyelamatkannya dilakukan. Berikut dipetik keluhan dan rintihan terhadap hidup mati
tulisan Jawi dalam era globalisasi hari ini.

”AWANG setuju dengan semua yang diperkatakan oleh Saudara Tajuddin Saman, kecuali
satu. Beliau yakin tidak ada seorang pun Melayu yang tidak sanggup tampil untuk
menyelamatkan Utusan Melayu sekiranya mereka tahu peranan akhbar ini. Di sini beliau
silap. Pengurusan Utusan Melayu telah melakukan bermacam-macam usaha untuk
menghidupkan akhbar ini sebagai akhbar harian termasuk meminta sokongan Melayu
daripada orang seperti Hamid Othman (Tan Sri), kepimpinan Pusat Islam serta orang politik.
Pencinta-pencinta tulisan Jawi juga berusaha dengan mengadakan bengkel dan sebagainya
untuk mencetuskan minat terhadap tulisan Jawi. Tapi semuanya berakhir begitu sahaja.
Pernah diminta supaya wakil-wakil rakyat membeli dan mengedarkannya kepada murid
sekolah di kawasan masing-masing. Pun tidak ke mana. Kini, apabila Utusan Melayu
terpaksa dijadikan akhbar mingguan dan menghadapi kemungkinan ditutup terus,
terdengarlah suara-suara yang bertanya kenapa dan mengapa. Ahad lalu, Penolong
Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain menulis tentang nasib Utusan Melayu
di bawah tajuk Melayu Matikan Utusan Melayu. Beliau mengakhiri tulisannya dengan
menyatakan: ``Ironiknya, ketika akhbar harian Jawi yang sinonim dengan Melayu
diketepikan oleh orang Melayu, masyarakat Cina dengan bangga dan gembira menyambut
kelahiran sebuah lagi akhbar harian Cina, Oriental Daily News. Akhbar ini bernasib baik
kerana mendapat sokongan orang-orang Cina.'' Awang mahu bertanya, sanggupkah orang
Melayu tampil menghidupkan semula Utusan Melayu dengan menyokongnya sebagaimana
orang Cina menyokong akhbar Cina?

Daripada petikan di atas, kita dapat mengandaikan bahawa pemartaban tulisan Jawi dalam
Bahasa Melayu perlu diberikan perhatian serius.  Menurut Mohd Hussein Baharuddin,
terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan tekanan dalam usaha memartabatkan tulisan
Jawi dalam masyarakat Melayu kini,  iaitu pendirian orang Melayu itu sendiri. Dalam
mengharungi era globalisasi, orang Melayu seolah-olah lupa akan kewujudan unsur dalam
Bahasa Melayu yang paling penting, iaitu tulisan. Penggunaan tulisan Rumi telah
menenggelamkan sejarah kepentingan tulisan Jawi sebagai alat menyampaikan ilmu sewaktu
perkembangan agama Islam di rantau ini. Kanak-kanak tidak diberikan penekanan penulisan
Jawi kecuali sekadar sebagai tulisan Arab dalam kelas agama. Oleh itu sikap orang Melayu
perlulah diubah agar tulisan Jawi dapat dikekalkan dalam persada hari ini. 

Selanjutnya juga perlu difikirkan peranan pihak perancang bahasa, khususnya badan kerajaan
seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil inisiatif yang lebih inovatif dalam
mempertahankan tulisan Jawi dalam masyarakat hari ini. Malah sebenarnya tulisan Jawi
dapat dimantapkan melalui bidang pendidikan. Pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah
bermula daripada Tahun 1 lagi akan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak 
untuk belajar  menulis dalam tulisan Jawi. Pendidikan bukan sahaja bersifat satu hala atau
satu lawan satu dalam kelas tetapi perkembangan multimedia dapat membantu perkembangan
tulisan Jawi dalam pendidikan melalui perisian kursus dalam CD atau VCD yang
memudahkan pengedaran yang lebih luas. 
Bahan pengajaran juga perlu diperbanyakkan misalnya buku-buku latihan yang
berorientasikan pembelajaran kendiri dan juga melalui akhbar Utusan Melaysia yang dapat
membantu perkembangan korpus bahasa melalui tulisan Jawi. Penggunaan akbar Jawi dalam
darjah merupakan langkah yang perlu digalakkan di semua sekolah agar pembelajaran
menjadi lebih menarik dan praktikal. Kementerian Pelajaran seharusnya mengambil inisiatif
untuk mengembangkan penulisan Jawi melalui peruntukan dalam jadual waktu persekolahan
untuk pembelajaran. Kepentingan mempelajari tulisan Jawi samalah juga dengan kepentingan
mempelajari Bahasa Melayu.

Pameran seni khat juga seharusnya diperbanyakkan dan pelajar sekolah harus digalakkan
mengunjungi pameran sedemikian supaya mendapat pendedahan yang sewajarnya tentang
warisan Melayu yang kian dilupakan ini. Bengkel tentang penulisan Jawi dalam kalangan
belia dan pelajar peringkat remaja dapat mempertingkatkan lagi kesedaran mempertahankan
tulisan Jawi sebagai alat pengembangan ilmu. Selain daripada kemudahan bahan pengajaran,
guru yang berpengalaman perlu dilahirkan untuk memenuhi keperluan pengajaran. Latihan
dapat meningkatkan kaedah pengajaran yang lebih berkesan. 

Rajah 6.5: PEMBAKAR SEMANGAT... Peranan besar tulisan Jawi pada akhbar-
akhbar Melayu seperti Utusan Melayu, Utusan Zaman dan majalah Warta Ahad
dalam menyuburkan semangat kemerdekaan dan patriotisme dalam kalangan orang
Melayu. Foto: Melati Arif 
Menurut  Bukhari Lubis, pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Pengarah Penerbit UPSI, satu kaedah
untuk memartabatkan tulisan Jawi ialah  setiap masa, lokasi atau di mana saja sewajarnya
diletakkan tulisan ini. Media massa turut memberi sokongan seperti menyelitkan berita, iklan
atau papan tanda dalam tulisan ini. Apabila semua pihak saling membantu, usaha
memartabatkan tulisan ini mudah dilaksanakan, sekali gus memperluaskan pengaruh atau
penggunaannya. Pada masa sama, kegiatan menguasai ejaan ini mesti diperkasakan dalam
kalangan generasi muda kerana mereka golongan terbesar. Antaranya, mengadakan pelbagai
sayembara serta kursus umum di sekolah rendah dan menengah. Percambahan minat terhadap
golongan ini jika dijana sejak awal mampu membentuk keseimbangan dalam pelbagai aspek
sekali gus mencapai kejayaan pada masa depan. Justeru, jika ada pelajar yang berminat
menjadi pakar bahasa, perlulah dikaji dan diteroka keistimewaan sistem tulisan Jawi. Ini
perlu dilakukan demi masa depan negara dan negara memerlukan golongan ini untuk
meneruskan kesinambungan sedia ada. Pada masa sama, penerbitan buku dalam versi Jawi
mestilah dipelbagaikan dengan memberi galakan atau insentif. Beliau percaya, jika disokong
dengan mekanisme padu, martabat untuk mengangkat taraf tulisan ini akan tercapai. Yang
penting ialah galakan serta cara pelaksanaannya. Sudah sampai masanya masyarakat
menyemarakkan tulisan ini sebagai satu bukti terunggul kewujudan tamadun Melayu suatu
ketika dulu.

Kesimpulannya, tulisan merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Malah
tulisan Jawi merupakan nadi yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan
meletakkan Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada satu ketika
dahulu. Kini, masyarakat perlulah disedarkan tentang keperluan mempertahankan warisan
budaya ini agar tidak pupus ditelan dek zaman.  Rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu
untuk merealisasikan semula keagungan tulisan Jawi sebagai alat mengembangkan ilmu
dalam Bahasa Melayu.

You might also like