Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

KUALA LUMPUR: “Bila bapa marahkan anak, ibu jangan sesekali menyebelahi mereka,”

begitulah tegasnya penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan, Abdul Majid
Yusof, 73, mendidik 16 anaknya.

Tegas selain mengutamakan pelajaran walaupun terpaksa mengikat perut antara ramuan
kejayaan bekas pemandu Jabatan Kerja Raya (JKR) di Terengganu itu memastikan semua
anaknya berjaya hingga 12 daripadanya ke menara gading.

Abdul Majid berkata, beliau dan isteri, Maimunah Taib, 70, tidak berlembut dengan anak
iaitu lima lelaki dan 11 perempuan yang kini berusia 54 hingga 29 tahun kerana yakin hanya
pendidikan dan ilmu pengetahuan punca kejayaan.

Beliau adalah antara lima penerima anugerah itu yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di
Stadium Putra, Bukit Jalil dekat sini, semalam.

Empat lagi ialah penyelidik gamat Dr Hassan Yaakob; bekas Pengetua Super Sekolah
Menengah Teknik (SMT) Tawau, Mary Yap Kain Ching; pelajar terbaik Penilaian Menengah
Rendah (PMR) 2006 bagi Orang Asli, Nurul Atikah Kamaruddin yang berjaya mendapat 8A
dan penulis buku Meniti Puncak, Najmil Faiz Mohamed Aris yang menjadikan kegagalannya
dalam peperiksaan SPM untuk berjaya hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah

Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah, Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Majid berkata, beliau sentiasa memastikan anaknya mengikuti kelas tambahan
supaya mereka mencatatkan kejayaan dalam peperiksaan seterusnya berjaya memasuki
institusi pengajian tinggi (IPT).
“Mendidik anak kena tegas dan kuat semangat dan jika mereka buat silap marah betul-betul
jangan ada simpati tetapi tidak perlu berkeras dan saya memang tidak pernah memukul
anak saya sejak kecil,” katanya.

Abdul Majid yang berasal dari Kampung Lerek, Bukit Gutung, Tepoh, Kuala Terengganu
pernah memegang jawatan Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) selama 20 tahun.

“Ibu bapa juga kena rajin membaca dan tunjukkan contoh baik supaya jadi ikutan kepada
anak-anak,” kata datuk 87 cucu dan 13 cicit ini.

Mary Yap yang baru tiga minggu bersara, adalah penerima tunggal bukan beragama Islam.

“Saya terharu dengan pengiktirafan ini yang membuktikan rakyat Malaysia berbilang kaum
dan berbeza agama mempunyai semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum yang
tinggi dan sukar digugat,” katanya.

Beliau juga bakal menerima Anugerah Ly Chanh Duc iaitu anugerah cemerlang dalam
pendidikan pembangunan dan inovasi Asia Tenggara yang diberi Pertubuhan Menteri
Pendidikan Asia Tenggara bagi Pusat Wilayah Pendidikan, Inovasi dan Teknologi (Seameo
Innotech) pada satu majlis khas di Manila Filipina, Julai depan.

Nurul Atikah pula berkata, kepayahan hidup mendorongnya berusaha gigih bagi mengubah
masa depan keluarga dan berazam untuk terus mencipta kecemerlangan.

“Menjadi harapan saya untuk melihat masyarakat Orang Asli memberi keutamaan pada ilmu
kerana tanpa ilmu sukar untuk sesiapa saja membentuk masa depan lebih cerah,” katanya
yang menetap di Kampung Kuala Chenin, Lasah dekat Sungai Siput.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping itu berkata ketika di sekolah
rendah, beliau terpaksa berjalan kaki selama 30 minit setiap hari dan hanya menaiki bas ke
sekolah di tingkatan satu.
Najmil Faiz yang menjadi pelajar Malaysia pertama membentangkan hasil kajian mengenai
Proses Mikro dan Kejuruteraan Nano di Parlimen Britain, pada 2005, mahu pelajar yang
gagal memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini tidak
berputus asa sebaliknya gigih berusaha mencapai kejayaan.

Beliau yang sedang menyiapkan kajian penyelidikan Kejuruteraan Precision di peringkat


Ijazah Kedoktoran (PhD) di Universiti Brunell, London, sentiasa berpegang kepada prinsip
sekali gagal bukan bermakna gagal terus dalam hidup.

You might also like