Teks Ucapan Oleh TPM Sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan 6 Oktober 2009

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

TEKS UCAPAN OLEH TPM SEMPENA

PELANCARAN BULAN BAHASA


KEBANGSAAN 2009 PERINGKAT
KEBANGSAAN 6 OKTOBER 2009,
STADIUM PERPADUAN PETRA JAYA,
SARAWAK

 
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHAMAD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
 
PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009
PERINGKAT KEBANGSAAN
6 OKTOBER 2009, STADIUM PERPADUAN PETRA JAYA, SARAWAK
 
 
 
Bismillahirrahmanirrahim.
 
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
 
YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud
Ketua Menteri Sarawak
 
YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
 
YB Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam
Timbalan Ketua Menteri Sarawak
 
YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu anak Numpang
Timbalan Ketua Menteri Sarawak
 
YBhg. Tan Sri Dato’ Allimuddin Bin Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
 
Ybhg. Dato’ Termuzi Abdul Aziz,
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka
 
Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati
sekalian.
 
1.         Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana
dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam majlis
Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 peringkat Kebangsaan pada hari ini.
 
2.         Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada
Pehin Sri Hj. Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak, atas kesudian kerajaan negeri
Sarawak menjadi tuan rumah bagi sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini.
Terima kasih juga saya ucapkan kepada pegawai-pegawai kerajaan dan pihak urusetia yang
telah berusaha untuk menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, serta warga
Sarawak yang hadir pada pagi ini untuk turut sama memeriahkan acara penting ini.
 
3.         Sesungguhnya, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang berlangsung sepanjang
bulan Oktober ini memberikan kesempatan  kepada kita untuk melibatkan diri dalam
pelbagai kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan. Pelbagai acara yang dianjurkan
sepanjang bulan ini memberikan kita peluang untuk menghayati dan menghargai khazanah
bahasa dan persuratan kebangsaan kita sebagai bahasa utama di negara ini. Melalui cara
ini, kita bukan sahaja dapat memupuk rasa cinta kepada Bahasa Kebangsaan, tetapi juga
meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya kita menggunakan Bahasa
Kebangsaan dalam urusan seharian. 
 
 
Bahasa Jiwa Bangsa
 
4.         Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini ialah “Bahasa Jiwa Bangsa”. Tema
ini mengajak kita warga Malaysia untuk menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan
sebagai jiwa bangsa kita dan cerminan jatidiri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu
dapat dilihat pada bahasanya. Pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita
sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.
 
5.         Ini bermakna, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita
sebagai satu bangsa. Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan,
maka yang akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita
sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan
kita, dan berjayalah  pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah.
 
1Bahasa, 1Malaysia
 
6.         Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan terhadap kedudukan
istimewa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan istimewa ini
kemudiannya diterjemahkan pula melalui penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar
kerajaan yang memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Dasar Bahasa Kebangsaan misalnya
mengiktiraf Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam setiap
urusan rasmi kerajaan. Dasar pendidikan kita juga menetapkan bahawa Bahasa
Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Dengan melaksanakan dasar-dasar ini, kita dapat memastikan bahawa kedudukan istimewa
Bahasa Kebangsaan tidak hanya termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dapat dihayati dan
diamalkan secara meluas oleh rakyat. 
 
7.         Selain dari itu, tidak kurang pentingnya juga ialah hakikat bahawa Bahasa
Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan bahasa
ibunda. Ini menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai wahana perpaduan yang penting
dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Dengan menggunakan satu bahasa, kita akan
dapat memupuk dan menyuburkan perasaan kebersamaan antara kita dan sekaligus
melupakan perbezaan. Sekiranya ini dapat kita lakukan secara bersama dan bersungguh-
sungguh, gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita YAB Dato’ Seri
Mohd. Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan melalui penghayatan dan penggunaan satu
bahasa.
 
Memartabatkan Bahasa Kebangsaan
 
8.         Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan baru-baru ini
telah mengumumkan pelaksanaan dasar baru dalam sistem pendidikan kita iaitu dasar
Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar ini
bertujuan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan pada masa yang
sama memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui
penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Dasar ini adalah
seiring dengan matamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kita yang
menjadikan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai teras pertama program
membina negara bangsa. Ia juga selari dengan hasrat Penyata Razak 1956 yang bercita-
cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia melalui sistem pelajaran kebangsaan dengan
menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
 
9.         Selain daripada itu, komitmen kita untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, baik
dalam bidang pendidikan atau dalam bidang-bidang yang lain, adalah berdasarkan kepada
keyakinan kita terhadap keupayaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa
kemajuan. Keyakinan ini berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan kita
yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi pemangkin kepada
kemajuan negara selama ini. Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk
menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset.
Pemartabatan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bukanlah
semata-mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait dengan faktor
peradaban dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri.
 
10.       Persoalannya, apakah sejarah peradaban berbahasa Malaysia itu sangat kerdil
sehingga tidak mengizinkannya mencipta ilmu? Jika kita mengimbas sejarah, tradisi
keilmuan dan persuratan bangsa kita cukup gemilang. Kalau di Barat ada Chaucer, di Alam
Melayu ada Hamzah Fansuri dan kalau di Barat pada kurun ke 14 ada Canterbury Tales, di
Alam Melayu ada Hikayat Raja-Raja Pasai. Ini menunjukkan bahasa kita pada ketika itu
bukan sekadar digunakan sebagai alat pertuturan sahaja, tetapi telah berjaya
mengungkapkan falsafah dan budaya tinggi yang menggambarkan tahap intelektual bangsa
kita sejak zaman-berzaman. Hukum Kanun Melaka dan Hikayat Hang Tuah  adalah antara
contoh karya agung bangsa kita yang diungkapkan dalam bahasa Kebangsaan. Ini
sekaligus membuktikan  bahawa bahasa Kebangsaan kita telah mencapai tahap bahasa
ilmu tinggi.
 
Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Imu
 
11.       Maka, tanggungjawab kita sekarang ini ialah untuk mempertingkatkan fungsi bahasa
Kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kita tidak perlu terus bernostalgia
tentang kegemilangan masa lampau, tanpa melakukan usaha yang bersungguh-sungguh
untuk mencapai matlamat ini. Kita perlu sedar bahawa jika bahasa kebangsaan kita tidak
lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan bahasa kita akan hilang
kepentingannya, tidak lagi releven dengan keperluan semasa, dan akhirnya akan
pupus.Tidak guna lagi kita bernostalgia dengan keagungan dan kehebatan lampau bahasa
kita, jika ianya sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan zaman.
 
12.       Justeru, usaha-usaha yang lebih agresif dan tersusun perlu dilakukan untuk
meningkatkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Ini
termasuklah dengan menghasilkan lebih banyak karya-karya ilmiah dalam bahasa
kebangsaan, terutama sekali dalam bidang sains dan teknologi. Institusi-institusi pengajian
tinggi, agensi-agensi pelaksana dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), serta para ilmuwan perlu mewujudkan
sinergi bagi menghasilkan karya-karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan.
Bagi saya inilah cabaran paling besar dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.
 
13.       Di samping itu, usahasama strategik dengan masyarakat penutur bahasa Melayu di
Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura boleh diwujudkan untuk menyemarakkan lagi
penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. Dengan kedudukan bahasa Melayu 
pada tempat kelima sebagai bahasa utama dunia dengan bilangan penutur seramai 300 juta
orang, kita mempunyai peluang yang baik untuk menggalakkan penggunaan bahasa
kebangsaan kita dalam lingkungan yang lebih luas. 
 
Kesedaran
 
14.       Sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan pada hari ini, suka saya
mengingatkan bahawa segala usaha kita untuk memartabat dan memperkasakan bahasa
kebangsaan tidak akan berhasil sekiranya tiada kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat
untuk menghormati dan menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Segala
usaha kita akan menjadi sia-sia jika kita tidak menanamkan kesedaran yang tinggi di dalam
hati sanubari kita dan meyakini tentang kepentingan dan keupayaan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang utama.
 
15.       Justeru, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang
kepentingan bahasa kebangsaan, kerajaan telah membuat keputusan untuk
mengisytiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Sehubungan itu,
semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan bermula pada tahun 2010 akan
melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan pada peringkat masing-masing
sepanjang bulan Oktober. Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan
dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa
kebangsaan di kalangan masyarakat kita.
 
16.       Saya juga ingin mengumumkan bahawa mulai tahun 2010 kerajaan akan
memperkenalkan Anugerah Tokoh ilmuwan Negara. Anugerah ini akan disampaikan kepada
penerima yang layak sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Anugerah ini adalah
satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha
mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan
bahasa budaya tinggi.
 
17.       Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak
yang telah menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 ini, khususnya kepada
Jawatankuasa Penyelenggara di peringkat urusetia pusat, kementerian-kementerian,
kerajaan-kerajaan negeri dan wilayah. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai tuan rumah pada kali ini, Dewan
Bahasa dan Pustaka dan semua pihak yang telah berpadu tenaga dan daya usaha untuk
menganjurkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan ini.
Mudah-mudahan dengan adanya usaha-usaha seperti ini, kita akan lebih menghargai
keindahan dan ketinggian nilai bahasa kita.
 
Yang kurik itu kendi, Yang merah itu saga,
Yang elok itu budi, Yang indah itu bahasa.
 
18.       Dengan lafaz Bismillahhirahmanirahim, saya dengan sukacitanya melancarkan
sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan. 
           
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

You might also like