Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Najib dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda
RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah,
menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC
International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana
Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah
amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan
lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu
tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Najib kelihatan tenang, sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya oleh Hakim
Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketika membacakan hukuman itu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib dipenjarakan


10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC
International Sdn Bhd.

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika
gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10
tahun bagi setiap tuduhan.

Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim bagaimanapun


memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu
menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Terdahulu pagi tadi, Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah atas kesemua tujuh
pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram
dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Dia didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terbabit dalam keputusan bagi pihak
kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada
Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.
Dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun
peribadinya.

Najib didakwa melakukan semua kesalahan itu di antara 17 Ogos 2011 hingga 2 Mac 2015.

Sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali
ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24
akta yang sama.

Mohd Nazlan mendapati Najib bersalah terhadap semua pertuduhan itu, selepas
pembelaannya gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Selepas menimbangkan semua keterangan, saya mendapati pendakwaan berjaya


membuktikan kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan
pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC dihadapai tertuduh.

"Saya dengan ini mendapati tertuduh bersalah ke atas ketujuh-tujuh tuduhan," kata Mohd
Nazlan yang mengambil masa kira-kira dua jam untuk membacakan penghakimannya.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram,


manakala pasukan pembelaan Najib diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah.

Hukuman yang sepatutnya dijatuhkan selepas penghakiman dibuat pagi tadi, tertangguh
selepas Muhammad Shafee memohon penangguhan untuk prosiding untuk rayuan sebelum
hukuman dijatuhkan kepada Isnin depan.

Namun, permohonan itu dibantah V Sithambaram dengan hujah penangguhan hanya


diberikan selepas hukuman diberikan dan bukannya penangguhan bagi sabitan.

Susulan pertikaian isu berkenaan, prosiding ditangguhkan oleh hakim pada sebelah petang
bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan masing-masing.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelah petang, hakim menolak permohonan
Najib supaya rayuan bagi meringankan hukuman dan hukuman terhadapnya ditangguhkan
dan didengar pada tarikh lain.

Mohd Nazlan mengarahkan Muhammad Shafee meneruskan rayuannya.

Dalam rayuannya mendapatkan hukuman ringan kepada Najib, Muhammad Shafee antara
lain menyifatkan bekas perdana menteri itu menjadi mangsa tindakan bermotifkan politik.
Katanya, sebahagian besar wang berkenaan atau 99.9 peratus, tidak digunakan tertuduh
bagi kepentingan peribadinya, sebaliknya bagi tujuan tanggungjawab sosial, kebajikan dan
pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, hanya 0.1 peratus digunakan bagi tujuan peribadi iaitu membaiki
sebahagian daripada kediaman di Jalan Langgak Duta.

Muhammad Shafee berkata, Najib tidak mengetahui pemilik akuan penderma menyalurkan
AS$681 juta ke dalam akaunnya.

Katanya, Najib memberi kerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) sepanjang tempoh siasatan kes itu.

"Apa yang penting adalah, dalam semua siasatan tidak pernah sesekali ada aduan mengenai
saksi yang diganggu," katanya.

Sementara itu, Sithambaram dalam hujahnya, berkata hukuman sewajarnya ke atas Najib
membuktikan semua orang adalah sama dan tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang
di negara ini.

"Penyelewengan wang SRC International mencalar imej negara dan rakyat Malaysia tidak
sepatutnya menerima kesan daripada itu. Ini adalah pertama kali Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan didakwa dan disabitkan di mahkamah.

"Oleh itu hukuman yang diberikan mesti menunjukkan graviti kesalahan yang dilakukan,"
katanya.

Sementara itu, Najib yang turut merayu dari dalam kandang tertuduh, mendakwa tidak
mengetahui jumlah wang yang dimaksudkan dalam pertuduhan dikenakan terhadapnya itu.

"Sebagai orang Islam, Wallahi Wabillahi Watallahi saya tidak meminta, saya tidak
merancang atau saya ditawarkan RM42 juta itu.

"Saya bersaksi kepada Allah, saya juga tiada pengetahuan mengenai jumlah wang itu.
Begitu juga tiada bukti atau saksi berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatan sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun,
negara mengalami pertumbuhan ekonomi pesat.

Dalam tempoh itu juga, katanya, pasaran saham mencapai kedudukan paras tertinggi dan
berlaku pembangunan pesat melalui pengangkutan serta dan perumahan awam dalam skala
besar.

Najib yang menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara
pertama di Malaysia diheret ke mahkamah.
Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum
menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas
mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes 'prima facie'
terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk
menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka
surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes
itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1
Jun.

Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas
tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan
pengubahan wang haram membabitkan wang sama

SUMBER: BeritaHarian Online


Berita > Nasional
Tarikh: 28 Julai 2020 (Selasa) | 6:41pm
Disediakan oleh: Ahmad Johari Mohd Ali
Website: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/715776/najib-dihukum-
penjara-12-tahun-denda-rm210-juta

You might also like