Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Terlepas kes jual organ, hadapi tuduhan pecah

amanah pula

KUCHING: Berita mengenai pengakuan seorang lelaki kepada wartawan portal berita The
Sun dari United Kingdom kononnya dia terbabit dalam aktiviti membeli dan menjual organ
manusia adalah tidak benar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata siasatan selama 12 hari selepas
lelaki berusia 48 tahun itu ditahan pada 13 Ogos lalu mendapati tiada sebarang keterangan
ditemui yang menunjukkan suspek terbabit dalam kegiatan itu.

Siasatan juga mendapati bahawa suspek membuat dakwaan palsu ketika ditemubual
wartawan The Sun itu.

"Polis sudah menghubungi wartawan The Sun terbabit dan mendapat kerjasama
sepenuhnya daripada beliau dalam membantu siasatan itu.

"Kertas siasatan kes itu sudah diedarkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk
keputusan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Aidi berkata, suspek ditahan semula pada jam 11 pagi tadi untuk siasatan
bersabit satu kes pecah amanah yang berlaku pada tahun 2013.

"Pada tahun 2013, suspek bertugas di Jabatan Insolvensi Sarawak dan dia disyaki
melakukan penipuan dalam mengeluarkan baucar pembayaran terhadap beberapa orang
yang tidak ada kaitan dengan Jabatan Insolvensi Sarawak membabitkan kerugian sebanyak
RM249,101.25.

"Kertas siasatan kes pecah amanah itu sudah diedarkan kepada Timbalan Pendakwa Raya
Sarawak pada 24 Ogos 2020 dan keputusan diterima untuk menuduh suspek mengikut
Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Pecah Amanah Jenayah oleh Penjawat Awam) yang
memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 2 tahun dan tidak melebihi 20 tahun,
dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya sambil
memaklumkan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, esok.

Pada 10 Ogos lalu, polis menerima satu laporan berhubung satu artikel dalam portal berita
The Sun dari United Kingdom bertajuk 'ORGANS FOR SALE' Kidney trafficker brags to
The Sun about luring poor victims into selling organs to desperate Brits on Facebook for
£85k.

Artikel itu mendakwa bahawa seorang wartawan The Sun yang menyamar sebagai seorang
pembeli berjaya menemubual seorang lelaki di sebuah hotel di Kuching dan ia dirakam
secara sulit.
Dalam rakaman itu, lelaki terbabit mengaku bahawa dia sudah menjual banyak buah
pinggang yang dibeli daripada penduduk miskin dari seluruh dunia semenjak tahun 2010
dan kesemua transaksi dikatakan dibuat melalui Facebook.

Kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan
Penyeludupan Migran 2007.

Pada 13 Ogos lalu, suspek yang diburu polis menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Kuching dan direman selama tujuh hari pada kali pertama dan disambung reman
selama lima hari sehingga hari ini.

"Soal siasat dan siasatan yang terperinci telah dijalankan terhadap suspek dan dakwaan
yang menyatakan bahawa dia terbabit dalam kegiatan menjual organ manusia adalah tidak
benar," katanya.

Sumber: Berita Harian Online


Berita > Kes
Tarikh: 26 Ogos 2020 (Rabu) | 1:40 pm
Disediakan oleh: Mohd Roji Kawi
Website: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/724818/terlepas-kes-jual-organ-
hadapi-tuduhan-pecah-amanah-pula

You might also like