Nilai Universal Piagam Madaniah

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 16

Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 177

Nilai-nilai Universal dalam Piagam Madinah


dan Peranannya dalam Membentuk
Hubungan Kerjasama dalam
Masyarakat Majmuk
ZALEHA EMBONG1

Abstrak
Kestabilan sosiopolitik dalam sesebuah negara bergantung kepada hubungan yang baik
dalam masyarakat majmuk. Di Madinah, pelaksanaan Piagam Madinah berjaya
membentuk kestabilan sosiopolitik dan ekonomi. Piagam Madinah merupakan
perlembagaan bertulis pertama dunia dan berjaya membentuk hubungan kerjasama
dalam masyarakat majmuk. Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin tertinggi
menerapkan nilai-nilai universal dalam pentadbirannya. Kertas kerja ini
membincangkan nilai-nilai universal yang dipraktikkan oleh Baginda SAW dalam
mengurus masyarakat majmuk. Kertas kerja ini menggunakan kaedah pengumpulan
data melalui kajian kepustakaan. Manakala, kaedah analisis kandungan digunakan untuk
menganalisis data yang diperoleh. Hasil dapatan mendapati nilai-nilai universal yang
terkandung dalam Piagam Madinah berjaya membina hubungan kerjasama dan menyatu
padu masyarakat majmuk sehingga menjadi simbol kekuatan kepada Madinah.

Kata Kunci: Nilai Universal, Piagam Madinah, Masyarakat Majmuk,

Pengenalan
Nilai-nilai universal merujuk kepada norma, etika, aturan agama, peraturan,
adat dan rujukan lain yang diterima umum oleh masyarakat untuk kesejahteraan
bersama. Nilai-nilai ini bertujuan membina hubungan kerjasama dan
keharmonian dalam masyarakat majmuk malah ia juga penting untuk kestabilan
sosiopolitik serta ekonomi dalam sesebuah negara.
Walau bagaimanapun, nilai-nilai ini kian dilupakan oleh masyarakat
ekoran kesibukan dalam mengejar arus pembangunan dan pemodenan. Ekoran
_________________________
1Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah, Universiti
Malaysia Kelantan, Kampus Bachok, Kelantan, zaleha.e@umk.edu.my
178 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

itu, berlaku kepincangan dalam masyarakat sehingga timbul pelbagai konflik


seperti penindasan, peperangan, kekacauan dan sebagainya. Sejarah
membuktikan bahawa perpecahan dalam masyarakat boleh memusnahkan
sistem kehidupan manusia. Sebagai contoh, Tanah Arab sebelum kedatangan
Islam memperlihatkan kejahilan masyarakat Arab tentang nilai kemasyarakatan.
Masyarakat Arab juga fanatik dengan isu perkauman dan kabilahnya. Mereka
sering bertelagah dan berperang walaupun kerana perkara kecil (Naeem Siddiqi
1982). Hal ini disebabkan mereka mempunyai semangat ‘asabiyyah yang telah
sebati dalam suku kaum mereka. Justeru, peperangan antara kabilah merupakan
fenomena biasa pada ketika itu . Di Madinah, golongan Aus dan Khazraj yang
merupakan masyarakat peribumi Madinah sering berperang antara satu sama
lain semenjak ratusan tahun (Mat Saad Abd Rahman 1995). Peristiwa-peristiwa
ini membuktikan bahawa pentingnya nilai-nilai universal bagi mewujudkan
keharmonian dan keamanan dalam sesebuah negara.
Selain itu, sejarah konflik terbesar pernah berlaku di Jerman semasa
Perang Dunia Kedua yang tercetus pada tahun 1935 sehingga 1945. Penindasan
yang dilakukan oleh pihak Nazi terhadap bangsa Yahudi sehingga
mengorbankan jutaan nyawa (Pegorier 2013). Selepas itu, pelbagai siri konflik
berlaku sehingga membawa kehilangan nyawa, pencabulan hak asasi manusia,
kemusnahan harta benda dan sebagainya.
Di Yugoslavia pula, selepas kejatuhan rejim komunis pada tahun 1980
berlaku konflik yang kritikal. Konflik ini telah mengheret tiga kelompok utama
iaitu Serbia, Croatia dan Muslim dalam peperangan pada awal 1990-an. Puak
Serbia merupakan kelompok dominan dalam aspek politik dan ketenteraan.
Puak ini melakukan pembersihan etnik (ethnic cleansing) terhadap masyarakat
Islam sehingga meletusnya peperangan yang mengakibatkan kehilangan banyak
nyawa dan kemusnahan harta benda (Pupavac 2003; Bowen 1996).
Konflik semakin kritikal apabila terdapat sesetengah negara melakukan
kekejaman dengan melancarkan pembersihan etnik. Kekejaman pembersihan
etnik pernah berlaku di Kemboja ketika pemerintahan Parti Komunis Khmer
Rouge (1975-1979). Konflik ini mengakibatkan seramai 1.7 juta lebih rakyat
Kemboja maut akibat penderaan, pembunuhan, kerahan tenaga, penyakit dan
kebuluran (Mohamad Faisol Keling 2009). Di Myanmar pula turut berlaku
kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya yang beragama Islam. Pada
tahun 1978, pihak ketenteraan Myanmar yang diketuai oleh General Ne Win
telah melancarkan Naga Min Sitsin Yae (Operasi Raja Naga) iaitu operasi
ketenteraan berskala besar di Arakan bagi menghapuskan etnik Rohingya. Hal
ini menyebabkan seramai 200,000 etnik Rohingya telah melarikan diri ke
Bangladesh akibat pembunuhan, keganasan, pencabulan terhadap kaum wanita
dan penindasan agama. Kerajaan Myanmar juga tidak mengiktiraf etnik
Rohingya sebagai warganegara. Penindasan dan kekejaman ini berlarutan
sehingga kini (Abdul Halim Sidek, Yohan Kurniawan & Hishamuddin Md.
Som 2012; Smith 1994).
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 179

Selain itu, pembunuhan secara besar-besaran (genocide) di Rwanda pada


tahun 1994 telah mengakibatkan seramai 500 ribu nyawa terkorban yang
melibatkan pergaduhan antara kaum Tutsi dengan kaum Hutu (Hain 2011).
Pembunuhan ini berpunca daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh Presiden
Juvenal Habyarimana untuk menghapuskan pembangkang politik yang terdiri
daripada dua kaum tersebut (Bowen 1996). Manakala, Sri Lanka turut
menghadapi konflik etnik selama lebih 20 tahun yang dianggarkan seramai 150
ribu nyawa terkorban (Shamsul Amri Baharuddin 2011).
Rentetan sejarah ini menunjukkan perpecahan dalam masyarakat majmuk
berlaku ekoran masyarakat mengabaikan nilai-nilai universal dan tidak dapat
menerima perbezaan sosial yang merupakan fitrah kejadian manusia. Oleh
sebab itu, keharmonian sosial memainkan peranan penting bagi mencapai
kestabilan sosiopolitik dan ekonomi dalam sesebuah negara. Menurut Islam,
kepelbagaian etnik tidak boleh menjadi alasan untuk menafikan hak dan tidak
berlaku adil terhadap etnik lain. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam
surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak
memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.

Menurut Hamka (1985f:105) ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT


tidak melarang umat Islam berbuat baik, bergaul, adil dan jujur terhadap
golongan lain sama ada Yahudi, Nasrani atau musyrik. Hal ini selagi mereka
tidak memerangi dan mengusir umat Islam dari kampung halaman.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menggubal perlembagaan yang dikenali
sebagai Piagam Madinah2 untuk mengurus masyarakat majmuk di Madinah.
Tujuan utama perlembagaan ini adalah mewujudkan keamanan, keharmonian
dan perpaduan dalam masyarakat majmuk (Abdul Monir Yaacob 1986). Piagam
Madinah ini menyatakan secara jelas tanggungjawab yang perlu dilaksanakan
oleh masyarakat majmuk. Tanggungjawab yang perlu dilakukan termasuk
saling membantu melaksanakan keadilan, menentang kezaliman dan
mempertahankan Madinah (Roziah Sidik 2004; Muhammad Yasin Mazhar
Siddiqui 1993; Muamar 2007). Maka, masyarakat yang mematuhi Piagam
Madinah akan diberi jaminan perlindungan dan keselamatan (Abdul Monir
Yaacob 1986). Di samping itu, Mat Saad Abdul Rahman (1995) dan J. Suyuthi
Pulungan (1993) menyatakan bahawa nilai-nilai Islam tercatat dalam Piagam
Madinah bagi memberi hak dan keadilan kepada masyarakat majmuk.
Manakala, Ahmad Ibrahim dan Dzafar El-Qasimy (1985) serta Abu Hanifah Ali
(1975) menjelaskan bahawa Piagam Madinah merupakan perjanjian antara
masyarakat Islam, Yahudi dan Nasrani yang mengandungi nilai toleransi,
tanggungjawab, keadilan dan hormat-menghormati. Abdul Monir Yaacob
(1986), Afzal Iqbal (2000) dan Zuhairi Misrawi (2011) pula berpendapat
bahawa ikatan persaudaraan yang bersandarkan nilai kasih sayang telah berjaya
menghapuskan semangat ‘asabiyyah dalam masyarakat majmuk di Madinah.
180 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

Penerapan prinsip-prinsip ini dalam Piagam Madinah telah mewujudkan


kecemerlangan tamadun Islam apabila berjaya mengatur masyarakat majmuk ke
arah peradaban (Khalif Muammar 2009:16).
Maka, dalam konteks kertas kerja ini nilai-nilai universal merangkumi
nilai toleransi, kasih sayang, hormat-menghormati, keadilan dan tanggungjawab
sebagaimana yang dipraktikkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam Piagam
Madinah.

Nilai-nilai Universal dalam


Piagam Madinah
Pemikir Muslim seperti Ibn Abi Rabi’, al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun
berpendapat bahawa masyarakat yang teratur diperlukan bagi mewujudkan
suasana yang aman dan harmonis. Hal ini memerlukan pemimpin yang
berwibawa untuk melaksanakannya (J. Suyuthi Pulungan 1993; Ibn Khaldun
1993). Rasulullah SAW berjaya mengatur masyarakat majmuk melalui
pelaksanaan Piagam Madinah. Menurut Aunur Rafiq (2009), piagam ini
merupakan model yang dimanifestasi daripada al-Qur’an kemudian
diterjemahkan dalam realiti kehidupan. Oleh sebab itu, piagam ini bercirikan
pemerintahan yang komprehensif yang memenuhi kehendak masyarakat
majmuk.
Hal ini berikutan Rasulullah SAW mengiktiraf masyarakat Islam dan
bukan Islam sebagai warganegara melalui konsep ummah3 (Watt 1956;
Muhammad al-Ghazaly 1997; Izzuddin 2008). Rasulullah SAW meletakkan
konsep ummah dalam Fasal-Fasal berikut:

Fasal 2:
“Bahawa mereka adalah satu ummah (bangsa/ nation) berbeza daripada manusia-manusia lain”.

Fasal 25:

“Bahawa kaum Yahudi daripada Bani ‘Auf adalah satu ummah bersama orang mukmin. Mereka
bebas dengan agama mereka sendiri. Orang Islam dengan agama mereka, begitu juga orang yang
bersekutu dengan mereka serta begitu juga diri mereka sendiri. Melainkan sesiapa yang zalim dan
berbuat dosa. Maka, hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri”.

Fasal 25 hingga 34, suku kaum Yahudi disebut satu persatu bagi
menjelaskan kedudukan mereka sebagai satu ummah bersama-sama masyarakat
Islam. Menurut Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti (1997), pelaksanaan
ummah berjaya menghapuskan sistem kasta yang merosakkan sistem
masyarakat. Ahmad Ibrahim dan Dzafar El-Qasimy (1985) pula menyatakan
Piagam Madinah mengiktiraf kaum Yahudi sebagai warganegara selagi mereka
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 181

melaksanakan tanggungjawab terhadap negara. Namun begitu, terdapat tiga


suku kaum utama Yahudi iaitu Bani Qurayzah, Bani Nadhir dan Bani Qaynuqa’
telah melanggar perjanjian dan diusir dari Madinah. Bani Qaynuqa’ telah
melakukan pengkhianatan pertama terhadap masyarakat Islam dan melanggar
syarat perjanjian sehingga hubungan kerjasama terbatal.4
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menjadikan masyarakat Madinah sebagai
satu ummah supaya masyarakat saling menghormati, bertoleransi dan
bertanggungjawab menjaga keharmonian Madinah. Pelaksanaan konsep ummah
ini juga telah membina hubungan kasih sayang dan keadilan dalam masyarakat.
Hal ini menunjukkan Rasulullah SAW mempraktikkan nilai-nilai universal
dalam Piagam Madinah. Nilai-nilai ini dibincangkan seperti berikut:

1. Nilai Toleransi

Nilai toleransi banyak dibicarakan dalam al-Qur’an baik secara tersirat


mahupun tersurat.5 al-Qur’an menjelaskan nilai toleransi kepada manusia
supaya menerima perbezaan, saling menghormati dan melakukan keadilan. Hal
ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 8 yang
bermaksud:
“Wahai orang beriman! Jadilah kamu orang yang menegakkan keadilan kerana Allah SWT dan
menerangkan kebenaran. Dan jangan kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu
berlaku tidak adil. Hendak kamu berlaku adil kerana adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan
bertakwalah kepada Allah SWT sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam apa
yang kamu lakukan”.

Oleh sebab itu, nilai toleransi telah dipraktikkan oleh Rasulullah SAW
untuk mewujudkan keseimbangan hak dan kestabilan sosial (Nik Abdul Aziz
Nik Mat & Azrul Hakim Suradi 2012). Maka, kebebasan beragama bagi setiap
warganegara telah ditetapkan dalam Piagam Madinah (Roziah Sidik 2004).
Menurut Shaikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri (2011:256) dan Muhammad
al-Ghazaliy (1997), Rasulullah SAW menggariskan peraturan-peraturan yang
mempunyai prinsip toleransi yang belum pernah dilakukan oleh pemimpin lain.
Arnold (1913) berpendapat bahawa Nabi Muhammad SAW membenarkan
kebebasan beragama dan melindungi tempat beribadat penganut Kristian dan
Yahudi. Nilai toleransi ini membolehkan masyarakat majmuk saling
menghormati dan kerjasama. Menurut Zulkifli Mohamad al-Bakri (2014), nilai
toleransi tercatat dalam Fasal 25 yang menyatakan bahawa:
“Bahawa kaum Yahudi daripada Bani ‘Auf adalah satu ummah bersama orang mukmin. Mereka
bebas dengan agama mereka sendiri. Orang Islam dengan agama mereka begitu juga orang yang
bersekutu dengan mereka serta begitu juga diri mereka sendiri. Melainkan sesiapa yang zalim dan
berbuat dosa. Maka, hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri”.

Fasal ini berturutan dengan Fasal 26 27 28 29, 30, 31, 32, 33, 34 dan 35
yang menjelaskan kebebasan beragama diberikan kepada masyarakat bukan
182 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

Islam. Dalam Fasal tersebut, suku kaum Yahudi disebut satu persatu bagi
menjelaskan peranan dan tanggungjawab sebagai warganegara Madinah. Suku
kaum Yahudi yang tercatat dalam Piagam Madinah ialah Bani ‘Auf, Bani al-
Najjar, Bani al-Harith, Bani Saidah, Bani Jusyaim, Bani al-Aus, Bani
Tha’labah, Bani Jafnah dan Bani Shutaibah. Fasal-Fasal ini menetapkan
bahawa kaum Yahudi dan masyarakat Islam adalah satu ummah. Hal ini
menunjukkan sikap toleransi pemerintah apabila negara Islam Madinah menjadi
hak milik bersama masyarakat pelbagai agama dan bukan milik eksklusif
masyarakat Islam semata-mata (Ali Khan 2003).
Oleh sebab itu, Zuhairi Misrawi (2011), Zul-kifli Hussin (2003) dan
Muhammad al-Ghazaliy (1997) berpendapat Piagam Madinah adalah
kesungguhan Rasulullah SAW dalam mengatur masyarakat melalui nilai
toleransi. Masyarakat bukan Islam bukan sahaja dijamin kebebasan beragama
malah diberi jaminan keselamatan dan pembelaan. Hal ini sebagaimana yang
dijelaskan dalam surah at-Tawbat ayat 46 dan al-Anfal ayat 617 (Ahmad Ibrahim
& Dzafar El-Qasimy 1985).

2. Nilai Kasih Sayang

Menurut Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti (1997:281-282), sesebuah negara


tidak dapat berdiri tanpa persefahaman dan kesepaduan dalam kalangan anggota
masyarakat. Oleh sebab itu, Piagam Madinah mengandungi nilai kasih sayang
yang membentuk kesepaduan dalam masyarakat majmuk (Khalid Muhammad
Khalid 1994).
Menurut Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman (2004),
tidak pernah berlaku suatu peristiwa dalam sejarah sebagaimana kasih sayang
yang berlaku antara Muhajirin dan Ansar. Golongan Muhajirin dan Ansar
mempunyai persaudaraan yang erat sehingga golongan Ansar sanggup
mengorbankan harta dan nyawa kepada Muhajirin sebagai tanda kasih sayang
dan persaudaraan Islam. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah r.a. yang bermaksud:
“Orang Ansar berkata kepada Nabi SAW: “Bahagilah pohon-pohon kurma itu antara kami dan
saudara-saudara kami orang Muhajirin. Baginda SAW bersabda: “Tidak!”. Lalu orang Ansar
berkata kepada Muhajirin: “Bayarlah kepada kami biaya pemeliharaanya dan buahnya kita
bahagi”. Orang Muhajirin menjawab: “Baiklah, kami setuju”. (HR. Bukhari, No. 1132)

Nilai kasih sayang dapat digambarkan dalam peristiwa sahabat Rasulullah


SAW iaitu Saad bin Rabi’ (Ansar) yang sanggup memberi sebahagian hartanya
kepada Abdul Rahman bin Auf r.a. (Muhajirin). Namun, Abdul Rahman bin
Auf r.a. menolak pemberian sahabatnya dengan baik dan meminta Saad bin
Rabi’ menunjukkan jalan ke pasar untuk berniaga. Akhirnya, Abdul Rahman
bin Auf r.a. menjadi seorang yang kaya-raya dan dermawan (A. Rahman
Ahmad Jerlun 1990:47)
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 183

Nilai kasih sayang ini turut dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana dalam
surah al-Hasyr ayat 9. Masyarakat Islam dan bukan Islam pula saling
menghormati dan membantu. Masyarakat ini mempunyai hak dan kedudukan
yang sama dalam Piagam Madinah. Oleh hal demikian, Madinah menjadi
sebuah negara yang aman dan harmonis (Saari Sungib 2013:445). Naeem
Siddiqi (1982) berpendapat bahawa pembaharuan yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW tidak mengandungi unsur penindasan malah mempunyai nilai
kasih sayang dan bertimbang rasa.
Oleh sebab itu, nilai kasih sayang dilihat wujud dalam Piagam Madinah
misalnya dalam Fasal 15. Menurut Abdul Monir Yaacob (1986), seluruh
masyarakat perlu bertanggungjawab dan bekerjasama melindungi golongan
yang lemah tanpa mengira kaum dan agama. Denny (1977) pula berpendapat,
Fasal 15 membuktikan sikap pemerintah yang prihatin kerana memberi
perlindungan yang sama rata serta jaminan daripada Allah SWT. Fasal 15
menyebut bahawa:
“Bahawa jaminan Allah SWT itu adalah satu dan sama. Melindungi nasib orang yang lemah
daripada perbuatan mereka. Bahawa orang mukmin hendaklah saling menjamin sesama sendiri
terhadap (gangguan) orang lain”.

Seterusnya, nilai kasih sayang juga wujud dalam Fasal 16. Fasal ini
menjelaskan masyarakat Islam perlu menghulurkan bantuan kepada masyarakat
bukan Islam yang mengalami masalah. Menurut Ahmad Ibrahim dan Dzafar El-
Qasimy (1985), masyarakat Yahudi yang taat setia kepada negara mempunyai
hak untuk mendapat pertolongan. Malah, tidak boleh melakukan penganiayaan
dan kezaliman terhadap mereka. Fasal 16 menyebut bahawa:
“Bahawa orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapat pertolongan dan pimpinan
dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka”.

Selain itu, Fasal 18 menjelaskan kerjasama yang perlu dilakukan oleh


masyarakat majmuk apabila mengalami sebarang ancaman. Fasal ini
membuktikan wujudnya kasih sayang supaya masyarakat saling mengambil
berat. Menurut Norafifah Ab. Hamid (2014), pelaksanaan keadilan oleh
Rasulullah SAW dalam pemerintahan merupakan gambaran kasih sayang
kepada masyarakat majmuk. Fasal 18 menyebut bahawa:
“Bahawa setiap serangan terhadap kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua. Oleh
itu, hendaklah disilih ganti tenaga menentangnya”.

Menurut Roziah Sidik (2004), nilai kasih sayang wujud dalam hubungan
masyarakat Islam sebagaimana dalam Fasal 19. Fasal ini menjelaskan hak
persaudaraan dalam masyarakat Islam. Maka, masyarakat Islam
bertanggungjawab membela sesama sendiri bagi mengukuhkan hubungan
persaudaraan. Fasal 19 menyebut bahawa:
184 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

“Bahawa orang mukmin hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah
pada jalan Allah SWT”.

Nilai kasih sayang yang terkandung dalam Fasal-Fasal ini telah membina
hubungan kerjasama dalam masyarakat majmuk dan membina kestabilan
sosiopolitik Madinah. Hal ini menunjukkan peranan setiap anggota masyarakat
yang tercatat dalam Piagam Madinah memberi kesan positif dan berjaya
membentuk hubungan kerjasama dalam masyarakat majmuk (Mohd Roslan
Mohd Noor 2010a).

3. Nilai Hormat Menghormati

Dalam Piagam Madinah dilihat wujud nilai hormat-menghormati. Rasulullah


SAW mengiktiraf seluruh masyarakat Madinah sebagai satu ummah supaya
masyarakat saling menghormati dan bekerjasama mempertahankan Madinah.
Masyarakat Islam telah dilarang mengganggu dan mengabaikan hak masyarakat
bukan Islam (Mustafa al-Siba‘ei 1985). Nilai hormat-menghormati wujud dalam
Piagam Madinah apabila seluruh anggota masyarakat diiktiraf hak mereka
sebagai warganegara (Ahmad Ibrahim & Dzafar El-Qasimy 1985).
Masyarakat Madinah mengiktiraf Rasulullah SAW sebagai ketua negara
dan menjadi rujukan dalam sebarang masalah. Hal ini turut sependapat dengan
Ahmad Ibrahim dan Dzafar El-Qasimy (1985) serta Abu Hanifah Ali (1975).
Roziah Sidik (2004), Abdul Monir Yaacob (1986) dan Watt (1956) turut
berpendapat apabila timbul perbezaan dan pertelingkahan maka perlu
menyelesaikan mengikut hukum Allah SWT dan keputusan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW mempunyai kuasa tertinggi dan menjadi tempat rujukan
sebagaimana tercatat dalam Fasal 23 dan 42. Fasal 23 menyebut bahawa:
“Walau bagaimana berbalahnya kamu sekalipun dalam sesuatu perkara hendaklah merujuk
perkara itu kepada Allah SWT dan kepada Muhammad SAW”.

Fasal 42 pula menyebut bahawa:


“Bahawa apa jua kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran antara sesama peserta Piagam
ini sekiranya dikhuatiri membawa bencana maka hendaklah dirujuk kepada hukum Allah SWT
dan penyelesaian oleh Muhammad SAW, Pesuruh Allah dan Allah SWT menyaksi kebaikan isi
kandungan Piagam ini dan merestuinya”.

Selain itu, nilai ini juga dapat dilihat dalam Fasal 40 yang menjelaskan
kewajipan masyarakat melindungi dan menghormati jiran tetangga. Roziah
Sidik (2004:107) berpendapat dalam Fasal 40 menerangkan tanggungjawab
setiap anggota masyarakat bertanggungjawab terhadap jiran mereka. Menurut
Rohmat Jusoh (1982) dan Rohani Dollah (1978), Islam menekankan
kepentingan menghormati jiran tetangga dan merupakan salah satu faktor yang
dapat menyempurnakan iman. Masyarakat perlu menghulurkan bantuan dan
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 185

menjaga keselamatan jiran tetangga sekiranya ditimpa masalah. Fasal 40


menyebut bahawa:
“Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlakukan seperti diri sendiri, tidak boleh dilakukan
terhadapnya sebarang bahaya dan dosa”.

Nilai ini juga dapat dilihat dalam Fasal 41 yang menerangkan hak kaum
wanita yang perlu dihormati. Menurut Che Bakar Che Mat et al. (2007), Islam
mengiktiraf dan memuliakan kaum wanita dengan memberi jaminan
perlindungan dan keselamatan. Kehormatan wanita wajib dipelihara pada semua
keadaan dan dilarang mencemarkan maruah wanita. Dalam Fasal 41 telah
menjelaskan hak kaum wanita iaitu:
“Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan wanita melainkan dengan izin keluarganya sendiri”.

Fasal ini jelas membuktikan Islam mengiktiraf hak wanita berbeza dengan
zaman jahiliah yang tidak mengiktiraf dan memandang rendah kepada kaum
wanita sebagaimana yang digambarkan dalam surah al-Nahl ayat 58 hingga 59.8
Pada zaman itu, kaum wanita berada di bawah pengaruh golongan berkuasa dan
diperdagangkan seperti barang-barang keperluan. Malah, masyarakat jahiliah
turut membunuh bayi perempuan kerana dianggap pembawa sial (Shaikh Sofiy
al-Rahman al-Mubarakfuri 2011).

4. Nilai Keadilan

Nilai keadilan bertujuan membebaskan manusia daripada kezaliman dan


penindasan (Nik Abdul Aziz Nik Mat & Azrul Hakim Suradi 2012). Keadilan
yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW berjaya mewujudkan kestabilan
sosiopolitik Madinah (Naeem Siddiqi 1982). Nilai ini merupakan matlamat
perjuangan Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kami mengutuskan para Rasul bagi membawa bukti-bukti yang nyata. Kami turunkan bersama
mereka kitab dan neraca keadilan supaya manusia dapat melaksanakan keadilan”. (al-Hadid,
57:25)

“Allah SWT menyuruh kamu menyampaikan amanah pada yang berhak menerimanya dan apabila
kamu menetapkan hukum antara manusia, hendaklah kamu menetapkan dengan adil. Sungguh
Allah SWT sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Allah SWT Maha Mendengar lagi
Maha Melihat”.(al-Nisa’, 4:58)

Menurut Yusuf al-Qaradawi (1999), Allah SWT menjadikan manusia


sebagai khalifah agar manusia melaksanakan kebaikan dan menjauhi
kemungkaran. Oleh sebab itu, Islam menekankan nilai keadilan dalam
kehidupan manusia.9 Menurut Syed Hussein Alatas (1996), keadilan sosial
merupakan tuntutan mutlak yang diperlukan dalam sesebuah negara bagi
menjamin hak dan kepentingan masyarakat.
186 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menggubal Piagam Madinah berasaskan nilai
keadilan. Dalam Fasal 21 misalnya menerangkan tentang kesalahan membunuh
yang dilakukan tanpa bukti yang kukuh akan dibalas dengan hukuman qisas10
kecuali walinya setuju untuk menerima ganti diat.11 Hukuman qisas dan diat
bertujuan menjaga hak manusia untuk hidup di samping menjaga kerukunan
dan menjamin keamanan (Ahmad Ibrahim & Dzafar El-Qasimy 1985). Fasal 21
menyebut bahawa:
“Barang siapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin dengan tidak ada
bukti yang cukup hendaklah dihukum bunuh balas kecuali jika dipersetujui oleh wali yang kena
bunuh menerima ganti darah. Orang Mukmin hendaklah bersatu mengutuk perbuatannya itu,
bahkan tidak harus bagi mereka melainkan menegakkan terhadapnya”.

Selain itu, nilai ini juga dapat dilihat dalam Fasal 22 yang menjelaskan
tanggungjawab setiap anggota masyarakat supaya tidak membantu dan memberi
perlindungan kepada seseorang yang melakukan kesalahan. Ahli masyarakat
yang memberi perlindungan kepada pesalah akan dianggap bersalah dan
menerima kemurkaan Allah SWT di akhirat kelak. Malah, ganti rugi untuk
melepas diri daripada menerima hukuman juga tidak diterima. Fasal 22
menyebut bahawa:

“Bahawa tidak harus bagi orang mukmin yang mengakui isi kandungan Piagam ini dan percaya
kepada Allah SWT dan Hari Kemudian menolong orang yang mencabul atau melindungi orang
tersebut. Barang siapa menolong orang tersebut maka ke atasnya laknat Allah SWT dan
kemurkaannya pada Hari Kiamat kelak. Dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan
dan juga taubat”.

Fasal ini menunjukkan nilai keadilan dan kedaulatan undang-undang diberi


jaminan sepenuhnya. Menurut Abdul Monir Yaacob (1986), masyarakat
Madinah berhak mendapat perlindungan perundangan dan keadilan
sebagaimana tercatat dalam Fasal 36 (b) dan 47. Fasal 36 (b) yang menjelaskan
bahawa hukuman akan dikenakan mengikut kesalahan yang dilakukan tanpa
mengira kedudukan. Hukuman akan dikenakan ke atas diri dan keluarga namun
golongan yang dizalimi tidak dikenakan hukuman. Fasal 36 (b) menyebut
bahawa:
“Tidak boleh disekat daripada membalas kecederaan yang dilakukan oleh mana-mana orang ke
atas dirinya. Barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah ke atas diri dan
keluarganya kecuali orang yang dizalimi. Bahawa Allah SWT akan melindungi orang yang
menghormati piagam ini”.

Dalam Fasal 47 menyatakan bahawa:

“Bahawa Piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang yang zalim dan bersalah. Mulai
dari saat ini barang siapa berpergian dari Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin
keselamatannya kecuali orang yang zalim atau yang bersalah. Dan bahawa Allah SWT merestui
setiap orang yang membuat kebajikan dan bertakwa serta Muhammad SAW hendaklah diakui
Pesuruh Allah SWT”.
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 187

Seterusnya, nilai ini juga dapat dilihat dalam Fasal 37 (b) yang menjelaskan
bahawa seseorang tidak akan dihukum kerana kesalahan yang dilakukan oleh
individu lain. Seseorang yang melakukan kesalahan perlu bertanggungjawab
manakala individu yang dizalimi perlu diberi pertolongan sewajarnya (Ahmad
Ibrahim & Dzafar El-Qasimy 1985). Fasal 37 (b) menyebut bahawa:
“Mana-mana orang tidak boleh dianggap bersalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh
sekutunya dan pertolongan hendaklah diberi kepada orang yang dizalimi”.

Fasal-Fasal ini membuktikan bahawa Rasulullah SAW melaksanakan


keadilan kepada seluruh masyarakat Madinah tanpa mengira perbezaan latar
belakang sosial. Nilai ini bagi mewujudkan keseimbangan sosial untuk
mewujudkan negara yang aman dan harmonis. Menurut S. Abul A’la Maududi
(1986), hak masyarakat Islam dan bukan Islam terjamin di bawah pemerintahan
Islam.

5. Nilai Tanggungjawab

Islam meletakkan tanggungjawab kepada seluruh umat Islam untuk


melaksanakan syariat Islam khususnya keadilan demi kesejahteraan manusia
sejagat (Wan Z. Kamaruddin Wan Ali & Ahmad Zuhdi, t.t.). Lantaran, nilai
tanggungjawab amat penting untuk membangunkan individu, masyarakat dan
negara. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menetapkan tanggungjawab bagi setiap
anggota masyarakat Madinah (Roziah Sidik 2004). Hal ini supaya masyarakat
majmuk dapat bekerjasama dalam menjaga keamanan Madinah.
Oleh sebab itu, masyarakat majmuk mempunyai peranan dan
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Menurut Roziah Sidik (2004) Piagam
Madinah menjelaskan dengan terperinci tanggungjawab masyarakat Madinah.
Misalnya, golongan Muhajirin daripada kaum Quraisy mempunyai hak asal
iaitu saling menanggung membayar dan menerima tebusan darah dengan cara
yang baik serta adil. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal 3 iaitu:
“Golongan Muhajirin daripada Quraisy di atas pegangan lama mereka. Mereka saling
menanggung membayar dan menerima wang tebusan (diat) antara sesama mereka dalam mana
mereka menebus sesiapa yang tertawan dengan cara berkebajikan dan adil dalam kalangan orang
yang beriman”.

Suku-suku kaum dari Madinah seperti Bani Auf, Bani al-Harith, Bani
Sa’idah, Bani Jusyam, Bani al-Najjar, Bani ‘Amru bin ‘Auf, Bani al-Nabiet dan
Bani Aus juga mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu saling menanggung
membayar dan menerima tebusan darah dengan cara baik dan adil.
Tanggungjawab suku-suku ini sebagaimana yang tercatat dalam Fasal 4, 5, 6, 7,
8, 9 10 dan 11. Manakala, dalam Fasal 12 pula menjelaskan tanggungjawab
masyarakat sesama Islam supaya saling membantu memberi sumbangan untuk
membayar wang tebusan darah dengan adil. Fasal 12 menyebut bahawa:
188 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

“Bahawa orang yang beriman tidak boleh membiarkan sebarang masalah antara mereka sendiri
bahkan mesti sama-sama bertanggungjawab memberi sumbangan dengan berkebajikan untuk
membayar wang tebusan darah dengan adil”.

Selain itu, masyarakat Islam dan bukan Islam bertanggungjawab


mempertahankan Madinah dan membiayai negara sebagaimana tercatat dalam
Fasal 24, 37 dan 38. Tanggungjawab yang dipikul adalah membiayai kos
peperangan, memberi sumbangan harta benda dan senjata serta bekerjasama
dengan masyarakat Islam dalam mempertahankan Madinah (Ibrahim Che’ Noh
2001; Roziah Sidik 2004; Abdul Monir Yaacob 1986). Fasal-Fasal tersebut
adalah seperti berikut:

Fasal 24:
“Bahawa orang Yahudi hendaklah turut membelanjakan bersama-sama orang Mukmin selama
mana mereka itu berperang”.

Fasal 37:
“Bahawa orang Yahudi hendaklah membiayai negara dan hendaklah mereka tolong-menolong
menentang sesiapa jua yang memerangi orang yang menganggotai piagam ini. Dan hendaklah
mereka saling menasihati, membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa”.

Fasal 38:
“Bahawa orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang mukmin selama mana
mereka berada dalam keadaan perang”.

Menurut Roziah Sidik (2004) pula, anggota masyarakat bertanggungjawab


mengambil bahagian dalam hal perdamaian sebagaimana tercatat dalam Fasal
45 (b) dan 46. Fasal 45 (b) menyebut bahawa:
“Setiap pihak adalah berkewajipan mengambil bahagian masing-masing dalam satu-satu
perdamaian”.

Manakala, Fasal 46 menyebut bahawa:


“Bahawa orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang yang bersekutu dengan mereka
hendaklah memikul kewajipan sama seperti mana-mana pihak lain yang menganggotai piagam ini
demi kebaikan semata-semata (pendamaian) daripada anggota-anggota piagam ini. Mereka
hendaklah membuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa kerana barang siapa yang membuat
sesuatu maka dia yang menanggungnya sendiri. Allah SWT menyaksi akan kebenaran isi
kandungan piagam ini dan merestuinya”.

Fasal-Fasal ini jelas menunjukkan wujudnya nilai tanggungjawab dalam


Piagam Madinah. Rasulullah SAW menetapkan tanggungjawab kepada setiap
anggota masyarakat supaya bekerjasama menjaga keamanan Madinah daripada
ancaman musuh. Hasilnya, Madinah menjadi lambang kekuatan Islam dan
benteng utama pertahanan Islam dalam menghadapi ancaman empat kuasa besar
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 189

iaitu Rom, Parsi, kabilah-kabilah Arab di Semenanjung Tanah Arab dan kafir
Quraisy Mekah (Mustafa Ramadhan 1991).

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan mendapati nilai-nilai universal menjadi asas dalam
Piagam Madinah. Nilai-nilai dalam Piagam Madinah yang dipraktikkan oleh
Rasulullah SAW berjaya membina hubungan kerjasama dan mengurus
masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk menjadi simbol kekuatan dan
kemegahan kepada Madinah. Nilai-nilai ini telah mewujudkan keharmonian dan
kesejahteraan dalam masyarakat majmuk sekali gus menyumbang kepada
kestabilan sosiopolitik dan ekonomi di Madinah.

Nota Hujung
1
Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan
Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok, Kelantan
zaleha.e@umk.edu.my
2
Turut dikenali sebagai Sahifah Madinah, Watha’iq al-Madinah atau Dustur al-
Madinah dan Watha’iq al-Ummah (Yahaya Jusoh 2014:186). Piagam Madinah
ini mengandungi 47 Fasal. Fasal 1 hingga 23 disiapkan sebelum berlakunya
Perang Badar manakala Fasal 24 hingga 47 disiapkan selepas Perang Badar.
Piagam Madinah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama
sebanyak 23 Fasal menyentuh perhubungan antara Muhajirin dan Ansar.
Bahagian kedua pula sebanyak 24 Fasal merupakan peruntukan-peruntukan
yang berhubung hak dan kewajipan golongan Yahudi (Ahmad Ibrahim &
Dzafir El-Qasimy 1985). Piagam Madinah ini telah menggariskan beberapa
prinsip umum tentang dasar pentadbiran masyarakat dan negara Islam Madinah
mengikut keperluan semasa (Akram Diya’ al-Umari 2000:128). Menurut Watt
(1956), Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama dunia
yang muncul pada abad ke-7 dan dijadikan sebagai asas pemerintahan Nabi
Muhammad SAW. Piagam Madinah menggariskan tentang kepentingan
menjaga hubungan kerjasama antara pemerintah dengan rakyat yang terdiri
daripada pelbagai agama, kaum, adat, budaya dan bahasa. Perlembagaan ini
menggambarkan ketelusan dan keadilan dalam pemerintahan Islam. Ahli
sejarah Barat pada abad ke-18 sering menganggap bahawa perlembagaan yang
pertama dunia ialah Perlembagaan Amerika Syarikat yang digubal pada tahun
1787 M dan Perlembagaan Perancis yang digubal pada tahun 1815 M. Selain
itu, Magna Carta di Britain juga dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang
pertama dunia kerana ditulis pada tahun 1215 M (Zainal Abidin Ahmad 1973).
3
Menurut Watt (1956), perkataan ummah berasal daripada bahasa Ibrani yang
bermaksud suku bangsa atau masyarakat. Manakala, Abdul Monir Yaacob
(1986) berpendapat dalam konteks kenegaraan, ummah bermaksud rakyat atau
190 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

warganegara. Dalam al-Qur’an dijumpai sebanyak 52 kali perkataan ummah


yang terungkai dalam berbagai ayat (Dipetik daripada Izzuddin 2008:114).
4
Ibn Ishaq (1970) menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah mengumpul
suku Bani Qainuqa’ di pasar Qainuqa’, lalu Baginda SAW berucap: “Wahai
kaum Yahudi berwaspada kamu daripada Allah SWT daripada tertimpa ke atas
kamu sebagaimana tertimpa kemurkaan ke atas keturunan Quraisy. Masuklah
kamu semua dalam Islam. Kamu semua mengetahui bahawa aku ini nabi
utusan Allah SWT sebagaimana kamu dapati dalam kitab kamu dan janji Allah
SWT kepada kamu”. Jawab mereka: “Hai Muhammad, kamu menipu kami
sebagaimana keturunan kamukah? Kamu jangan tertipu, memang kau berlawan
dengan satu kaum yang tidak ada pengalaman dalam peperangan. Maka,
engkau berpeluang merubah mereka. Sesungguhnya kami ini, demi Allah kalau
kau nak mencuba dan ingin kenal siapa kami dan jenis kami, boleh mencuba”.
Peristiwa ini berlaku ekoran seorang Yahudi telah memalukan seorang wanita
Islam di pasar Bani Qainuqa’. Maka, berlaku pergaduhan antara masyarakat
Islam dengan Bani Qainuqa’. Peristiwa ini merupakan pergaduhan pertama
yang berlaku setelah termeterai perjanjian antara kaum Yahudi dengan
Rasulullah SAW. Pertengkaran ini berlaku sebagaimana yang diceritakan oleh
al-Tabari dan al-Waqidi iaitu di pertengahan bulan Syawal, tahun kedua Hijrah
(Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti 1997).
5
Antaranya ialah surah al-Baqarat ayat 190 dan 256, al-Nisa’ ayat 58, al-
Ma’idat ayat 5, al-Hajj ayat 39 hingga 40, al-Anfal ayat 57 hingga 58, Yunus
ayat 99, al-Mumtahanah ayat 9, al-‘Ankabut ayat 46 dan lain-lain.
6
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecuali orang musyrik
yang telah mengadakan perjanjian dengan kamu dan mereka sedikit pun tidak
mengurangi (isi perjanjian) dan tidak pula mereka membantu seseorang yang
memusuhi kamu. Maka, sempurnakan kepada mereka perjanjian sehingga
habis tempohnya. Sesungguhnya, Allah SWT mengasihi orang yang bertakwa”.
7
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika mereka
cenderung kepada perdamaian, maka engkau hendaklah cenderung kepadanya
serta bertawakal kepada Allah SWT. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar
lagi Maha Mengetahui”.
8
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Padahal apabila seseorang
daripada mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, wajahnya
menjadi hitam (merah padam) dan dia sangat marah. Dia bersembunyi
daripada masyarakat disebabkan khabar buruk yang disampaikan kepadanya.
Apakah dia akan memelihara dengan menanggung kehinaan atau akan
membenamkan ke dalam tanah (hidup-hidup). Ketahuilah, alangkah buruk
(keputusan) yang mereka tetapkan itu”.
9
Nilai keadilan banyak disebut dalam al-Qur’an antaranya surah al-Nisa’ ayat 3,
58 129 dan 135, al-Ma’idat ayat 8 dan 42, al-Mumtahanah ayat 8, al-Baqarat
ayat 282 dan 283, al-Hujurat ayat 9 dan 10), al-Nahl ayat 90), Hud ayat 85, al-
A‘raf ayat 29, ar-Rahman ayat 9 dan al-Syura ayat 15.
10
Hukum qisas adalah hukuman yang sama dikenakan kepada penjenayah seperti
mana dilakukan ke atas mangsanya. Misalnya, kesalahan membunuh akan
menerima hukuman bunuh (Ahmad Ibrahim & Dzafar El-Qasimy 1985). Hal
ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 45 yang
bermaksud:“Kami telah tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa
jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas
Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016 | 191

dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi
dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan
hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Barang siapa
yang tidak menghukum mengikut hukum yang diturunkan Allah SWT, maka
mereka itu orang yang zalim”.
11
Diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti
qisas (Ahmad Ibrahim & Dzafar El-Qasimy 1985).

Rujukan

A. Rahman Ahmad Jerlun. 1990. Rukun Islam Formula Perpaduan Ummah. Kuala
Lumpur: Pustaka al-Mizan.
Abdul Halim Sidek, Yohan Kurniawan & Hishamuddin Md. Som. 2012. Penganiayaan
dan Percabulan Hak Asasi Masyarakat Rohingya oleh Institusi Kerajaan: Sebuah
Konseptual Analisis. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Regional Conference
on Values and Humanities (RECOVJ) di Universiti Malaysia Kelantan, Kelantan
pada 2-3 Disember 2012.
Abdul Monir Yaacob. 1986. Hak Asasi Manusia Menurut Islam: Sejarah dan
Konsepnya. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abdul Monir Yaacob. 1996. Membentuk Generasi yang Bertanggungjawab. Dlm.
Khairul Azhar Idris (Ed.), Kontemporari Islam. Kuala Lumpur: Institut
Kefahaman Islam Malaysia.
Abu Bakar Hamzah. 1985. Piagam Madinah. Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif.
Abu Hanifah Ali. 1975. Pemerintahan Islam di Madinah dan Demokrasi sekarang.
Latihan Ilmiah Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abubakar Aceh. 1970. Toleransi Nabi Muhammad dan Para Sahabatnya. Solo:
Ramadhani.
Afzal Iqbal. 2000). Diplomasi Islam (Terj.) Samson Rahman: Diplomacy in early Islam.
Jakarta: Pustaka al-Kautsar.
Ahmad Ibrahim & Dzafar El-Qasimy. 1985. Piagam Madinah: Pandangan dan Ulasan
(Terj. Abu Bakar Hamzah). Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif.
Akram Diya’ al-Umari. 2000. Masyarakat Madani di Zaman Nabi (Terj. Zainab Abdul
Kadir: Madinan Society at the Time of the Prophet). Kuala Lumpur: The
International Institute of Islamic Thought.
Arnold, T. W. 1968. The Preaching of Islam: A History of the Propagation of the
Muslim Faith. Pakistan: Ashraf Press.
Aunur Rafiq. 2009. Pendamaian Menurut Perspektif al-Qur’an: Analisis tentang
Hubungannya dengan Piagam Madinah.Tesis Doktor Falsafah Usuluddin, Jabatan
al-Quran dan al-Hadith, Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.
Bowen, J. R. 1996. The Myth of Global Ethnic Conflict. Journal of Democracy, 7(4), 3-
14.
Hain, A. J. 2011. The Rwandan Genocide: A Case of Ethnic Conflict? Brussel: Brussel
School of International Studies.
Hamka (Haji AbdulMalik AbdulKarim Amrullah) (1985f). Tafsir al-Azhar Juzu’ 28-29-
30. Jakarta: Pustaka Panjimas.
192 | Prosiding Seminar Kebangsaan Tamadun & Warisan Islam (TAWIS) 2016

Ibn Ishaq 1970. Sirat Rasulullah (Terj. Alfred Guillaume: The Life of Muhammad).
Lahore: Oxford University Press.
Ibnu Khaldun 1993. Mukadimah Ibn Khaldun (Terj. Dewan Bahasa dan Pustaka). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Izzuddin. 2008. Konsep Ummah dalam Piagam Madinah. Jurnal Darussalam, 7(2) 109-
122.
J. Suyuthi Pulungan. 1993. Prinsip-Prinsip dalam Piagam Madinah ditinjau dari
Pandangan al-Qur’an. Disertasi Doktor Falsafah, IAIN Syarif Hidayatullah
Jakarta.
Khalid Muhammad Khalid 1994. Kemanusiaan Muhammad (Terj. Abu Syauqi
Baya’Sud & Ibrahim Mansur: Insaniyah Muhammad). Kuala Lumpur: Pustaka
Syuhada.
Khalif Muammar. 2009, Faktor Kegemilangan Tamadun Islam: Pengajaran dari Masa
Lalu. Jurnal Hadhari, (2) 15-31.
Muhammad al-Ghazaliy. 1997. Fiqhus Sirah: Menghayati Nilai-Nilai Riwayat Hidup
Muhammad Rasulullah SAW (Terj. Abu Laila & Muhammad Tohir). Klang:
Klang Book Centre.
Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti. 1997. Fiqh al-Sirah Jilid 2 (Terj. Mohd. Darus
Sanawi ‘Ali). Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Muhammad Yasin Mazhar Siddiqui 1993. Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasulullah
(Terj. Khalil Mohd Zain & Md. Yunus Md. Said). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mustafa Ramadhan 1991. Inti sari Seerah Muhammad bin Abdullah SAW. Kuala
Lumpur: A.S Noordeen.
Nik Abdul Aziz Nik Mat & Azrul Hakim Suradi 2012. Muhammad bukan Nasionalis:
Ajaran Nabi Muhammad Melintasi Sempadan Negara dan Bangsa. Selangor:
Kemilau Publika.
Pegorier, C. 2013. Ethnic Cleansing a Legal Qualification. New York: Taylor &
Francis.
Pupavac, M. 2003. The International Criminal Tribunal for the Former Yugoslavia:
Analysis of its Contribution to the Peace and Security in the Former Yugoslavia
and the Rule of Law in International Relations. Tesis Doktor Falsafah, Universiti
Nottingham, United Kingdom.
Roziah Sidik 2004. Genius Muhammad bin Abdullah. Pahang: PTS Publications &
Distributors.
Shaikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri 2011. Sirah Rasulullah SAW (Terj. Mohd
Darus Senawi Ali: al-Raheeq al-Makhtum). Selangor: Crescent News (K.L) &
Kumpulan Usahawan Muslim.
Shamsul Amri Baharuddin 2011. Kesepaduan dalam Kepelbagaian. Perpaduan di
Malaysia sebagai work-in-progress. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Syed Hussein Alatas. 1996. Keadilan Sosial Tuntutan Mutlak. Dlm. Azizan Bahari &
Chandra Muzaffar (Eds.), Keadilan Sosial. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar.
Watt, W. M. 1956. Muhammad at Medina. London: Oxford University Press.
Yahaya Jusof 2014. Sejarah Falsafah Politik dalam Islam. Johor Bahru: Universiti
Teknologi Malaysia.
Zainal Abidin Ahmad. 1973. Piagam Nabi Muhammad SAW: Konstitusi Negara
Bertulis Pertama di Dunia. Jakarta: Bulan Bintang.
Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman. 2004. Biografi Muhammad bin
Abdullah. Bentong: PTS Publications & Distributors.

You might also like