Perkembangan Kanak-Kanak Edup3023

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 10

1.

0 PENGENALAN
Perkembangan ialah satu proses yang berlaku secara berterusan dari peringkat lahir
hinggalah peringkat kematangan. Setiap manusia yang normal akan mengalami
perkembangan ini dari segi fizikal, kognitif, sosioemosi dan personaliti. Semua perkembangan
berbentuk struktur, kemahiran tingkah laku ataupun sahsiah adalah mengikut beberapa
aturan semula jadi dan sifat-sifat yang sejagat. Tambahan pula, perkembangan sentiasa
berlaku secara berterusan dari permulaan percambahan hingga ke akhir hayat organisma. Ini
bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat yang
lebih matang, tetapi perkembangan terus berlaku walaupun pada peringkat kematangan yang
maksimum.

2.0 KONSEP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


Menurut Shaffer (1999), perkembangan merupakan satu proses perubahan yang berlaku
secara kompleks. Susunan perkembangan adalah serupa, berperaturan dan dapat diramal
bagi semua ahli dalam sesuatu jenis. Perkembangan berlaku mengikut kadar yang berlainan,
ianya juga berlaku daripada keadaan menyeluruh kepada keadaan sesuatu. Paul Eggan dan
Don Kauchak dalam Mohd. Sharani Ahmad (2005) berpendapat bahawa perkembangan
adalah perubahan yang berurutan dan kekal dalam diri seseorang, hasil daripada
pembelajaran, pengalaman dan kematangan.

Menurut Crow dan Crow (1980) pula, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif
serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Secara
ringkasnya, Mok Soon Sang (2008) menjelaskan bahawa perkembangan ialah perubahan
kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat daripada perubahan
sifat yang ditonjolkan.

3.0 PRINSIP ASAS YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


Perkembangan dan pertumbuhan sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat
seperti peringkat pralahir (prenatal) iaitu ketika dalam kandungan selama 9 bulan, peringkat
bayi iaitu ketika berumur 0 hingga 2 tahun. Seterusnya, peringkat awal kanak-kanak ketika
berumur 2 hingga 3 tahun, peringkat pertengahan iaitu ketika kanak-kanak berumur 6 hingga
9 tahun, peringkat akhir kanak-kanak iaitu ketika berumur 9 hingga 11 tahun, peringkat awal
remaja ketika berumur 11 hingga15 tahun, peringkat pertengahan remaja iaitu ketika berumur

1
16 hingga 18 tahun, peringkat akhir remaja ketika berumur 18 hingga 21 tahun, peringkat
dewasa ketika berumur 21 hingga 60 tahun dan peringkat tua selepas 60 tahun keatas.

Menurut Haliza Hamzah (2009), prinsip asas perkembangan kanak-kanak terbahagi kepada
lima iaitu :
3.1 Proses perkembangan yang berlaku mengikut aturan
Prinsip asas yang pertama yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak ialah
proses perkembangan berlaku mengikut aturan. Contohnya seperti, seorang bayi
yang pada awalnya boleh duduk dengan bantuan, kemudian telah pandai merangkak
dan diikuti dengan kemahiran berdiri dan akhirnya boleh berjalan. Proses
perkembangan bayi adalah sama dalam semua peringkat, melainkan bayi yang
mempunyai masalah-masalah tertentu seperti bayi yang lahir awal dan sebagainya,
yang mana mereka mungkin akan lambat dalam beberapa aspek. Perkembangan juga
bermula daripada konkrit kepada abstrak, terutamanya dalam perkembangan kognitif
dan bahasa. Oleh sebab itu, dikatakan bahawa proses perkembangan berlaku
mengikut aturan.

3.2 Perubahan yang berlaku dalam pertumbuhan dan perkembangan yang beransur
daripada keadaan umum kepada objek yang lebih spesifik
Prinsip asas kedua yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak ialah perubahan
dalam pertumbuhan dan perkembangan beransur daripada keadaan umum kepada
yang lebih spesifik. Contohnya, pada awal perkembangan, bayi hanya boleh
menggenggam objek dengan tangan sahaja sebelum mereka belajar menggunakan
jari tangan. Prinsip ini menjelaskan bahwa, perkembangan ini berlaku dengan otot-
otot kasar terlebih dahulu, iaitu keadaan umum sebelum beransur ke otot-otot halus
yang mana ianya lebih spesifik.

3.3 Pertumbuhan dan perkembangan merupakan satu proses yang berlaku secara
berterusan
Prinsip asas seterusnya iaitu prinsip asas yang ketiga yang mempengaruhi
perkembangan kanak-kanak ialah pertumbuhan dan perkembangan adalah satu
proses yang berlaku secara berterusan. Dengan kata lain, pertumbuhan dan
perkembangan kanak-kanak berlaku secara berterusan, bermula dari kelahirannya
sehinggalah dia meninggal dunia. Dalam proses perkembangan, seorang kanak-

2
kanak akan menambah kemahiran sedia ada mereka. Oleh sebab perkembangan ini
berlaku secara berterusan, setiap yang berlaku pada satu peringkat akan
mempengaruhi peringkat yang lain. Kemahiran yang ada padanya sekarang juga
merupakan asas untuk mencapai kemahiran-kemahiran baru kelak.

3.4 Kadar perkembangan manusia adalah berbeza bagi setiap individu


Kadar perkembangan manusia berbeza untuk setiap individu merupakan prinsip asas
keempat yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Walaupun corak dan
aturan perkembangan dalam kalangan kanak-kanak adalah hampir sama, namun
kadar perkembangan mereka adalah berbeza antara seorang kanak-kanak dengan
kanak-kanak yang lain. Sebagai contoh, sesetengah kanak-kanak dapat berjalan pada
usia 10 bulan, manakala terdapat segelintir juga yang hanya boleh berjalan pada usia
18 bulan. Hal ini akan menyebabkan penjejasan dalam perkembangan emosi dan
sosial kanak-kanak tersebut kerana kanak-kanak pada seusia mereka sudah pandai
berjalan dan bergaul, manakala mereka hanya boleh merangkak.

3.5 Perkembangan adalah hasil interaksi antara kematangan dan pembelajaran


Prinsip perkembangan yang terakhir ialah perkembangan adalah hasil interaksi di
antara kematangan dan pembelajaran. Kematangan ialah kemunculan potensi yang
sedia ada dalam seseorang individu, contohnya, merangkak, duduk, berjalan dan
akhirnya berlari. Manakala, pembelajaran ialah hasil daripada latihan, proses peniruan
atau identifikasi dan memerlukan usaha. Proses pembelajaran membantu seseorang
individu memperkembangan potensi yang sedia ada dalam dirinya. Misalnya,
perkembangan otot dan saraf anggota badan yang sempurna memungkinkan
seseorang itu untuk berenang, tetapi dia hanya boleh berenang jika berlatih atau
meniru cara-cara berenang daripada orang lain.

4.0 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK


Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dapat dipecahkan kepada lima
aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial, dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula
dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran. Ahli psikologi juga
telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunyai kadar perkembangan
yang sama dan hal ini telah menjadikan faktor baka dan faktor persekitaran sebagai penyebab
utama ketidaksamaan kadar perkembangan seseorang individu tersebut.

3
4.1 Faktor Baka
Menurut Haliza Hamzah, Joy N. Samuel dan Rafidah Kastawi (2008), baka merujuk
kepada ciri-ciri biologi atau gen-gen yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-
anak mereka. Thomas J. Bouchard, Jr. dalam Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel
(2010) juga mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa
dengan anak-anaknya dari segi sifat-sifat seperti kebolehan, minat dan kawalan
emosi.

Gen-gen yang terkandung di dalam kromosom ini menguasai perkembangan manusia


dan akan memberikan sifat unik bagi setiap individu. Baka ini boleh menguasai
penyuburan fizikal dan mental. Baka juga menetapkan had keupayaan dan
kemampuan mental kita sama ada pandai atau tidak pandai. Oleh sebab itu, menurut
hasil kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Gardner (1983) dan Robert Sternberg
(1980) dalam Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2010), setiap individu mempunyai
kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza.

Faktor baka ini mempengaruhi banyak aspek dan salah satunya adalah ciri-ciri fizikal
seperti warna kulit, bentuk rambut, warna mata dan sebagainya. Faktor baka ini juga
mempengaruhi kesihatan individu tersebut. Banyak penyakit yang berlaku disebabkan
oleh pengaruh baka, antaranya ialah penyakit Pompe, Ekzema, penyakit Kencing
Sirap Maple (Maple syrup urine disease – MSUD) dan banyak lagi. Selain daripada
ciri fizikal dan penyakit, sahsiah juga boleh menerima kesan daripada baka ini.
Contohnya sifat introvert atau ekstrovert yang ada pada pembawa gen iaitu ibu atau
bapa akan diwarisi oleh anak-anaknya. Begitu juga dengan kecerdasan seseorang.
Ketika lahir, bayi tidak sahaja mewarisi bentuk fizikal induknya, bahkan turut mewarisi
kelenjar-kelenjar rasa, otak dan struktur lain yang penting dalam pembentukan
kecerdasan seseorang. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa baka turut memberi kesan
kepada perkembangan kanak-kanak.

4
4.2 Faktor Persekitaran
Faktor kedua yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak ialah faktor
persekitaran. Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan
kanak-kanak tersebut. Hal ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir.
Pengalaman sebelum lahir merangkumi pemakanan dan kesihatan ibu, gaya hidup
ibu, rawatan yang diterima oleh ibu, usia dan keadaan emosi ibu. Faktor-faktor selepas
kelahiran pula dipengaruhi dengan cara pemakanan, sosioekonomi, tahap pendidikan
keluarga, rakan-rakan, sekolah, masyarakat, tempat ibadat, media dan persekitaran
dunia. Semua perkara ini akan mempengaruhi perkembangan seseorang manusia itu.

Teori Ekologi Bronfenbrenner dalam Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2010),
menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem
ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem.
Kelima-lima sistem ekologi ini mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

4.2.1 Mikrosistem
Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat dimana kanak-kanak
lebih banyak menghabiskan masa dan interaksi secara langsung di dalam
persekitaran itu. Sebagai contoh, hubungan interaksi secara langsung
antara kanak-kanak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Orang-orang
dalam mikrosistem ini memainkan peranan yang sangat penting dalam
perkembangan kanak-kanak tersebut.

4.2.2 Mesosistem
Mesosistem pula merujuk kepada kaitan antara perhubungan dua
mikrosistem. Hal ini bermaksud, satu mikrosistem boleh mempengaruhi
interaksi dengan mikrosistem yang lain. Misalnya keadaan yang berlaku di
rumah boleh mempengaruhi sikap atau tingkah-laku kanak-kanak
disekolah dan sebaliknya.

4.2.3 Ekosistem
Ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak
melibatkan kanak-kanak secara langsung, tetapi keputusan yang diambil

5
dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut.
Contohnya seperti sekolah dan pasar raya. Kaedah pengurusan,
kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh tempat
membeli-belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan
sosial kanak-kanak tersebut.

4.2.4 Makrosistem
Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-
norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya, dalam
sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan. Di sesetengah
negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan di mana mereka
lebih diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting jika
hendak dibandingkan dengan wanita.

4.2.5 Kronosistem
Kronosistem pula melibatkan perubahan perkembangan dalam suatu
tempoh masa. Sebagai contoh, kanak-kanak pada hari ini lebih berfokus
kepada permainan-permainan komputer jika hendak dibandingkan dengan
kanak-kanak pada zaman dahulu yang lebih gemar bermain di
persekitaran rumah.

Secara keseluruhannya, kelima-lima sistem ini adalah saling berinteraksi antara


satu sama lain dan perkembangan setiap individu yang berbeza adalah
dipengaruhi oleh setiap unsur-unsur ini.

5.0 PENGANALISISAN DAN PENGHUBUNGKAITAN TEORI PERKEMBANGAN DENGAN


WATAK DALAM FILEM “AKU TAK BODOH”
Antara beberapa teori yang dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi mengenai peringkat
perkembangan individu adalah :
(a) Teori Perkembangan Jean Piaget
(b) Teori Perkembangan Erik Erikson
(c) Teori Perkembangan Lawrence Kohlberg
(d) Teori Perkembangan Arnold Gessell
(e) Teori Perkembangan Naom Chomsky

6
5.1 Teori Perkembangan Jean Piaget
Menurut Piaget, kanak-kanak akan melalui peringkat-peringkat perkembangan yang
sama tetapi pada usia yang berbeza-beza. Beliau berpendapat bahawa persekitaran
tidak membentuk kognitif kanak-kanak, sebaliknya kanak-kanak membina
persekitarannya sendiri. Keadaan ini berlaku melalui pelbagai proses penerokaan,
manipulasi dan menilai persekitaran fizikalnya.

Watak di dalam filem “Aku Tak Bodoh” yang boleh dihubungkaitkan dengan teori ini
ialah watak Jefri. Di dalam teori ini, pada Peringkat Operasi Konkrit iaitu ketika kanak-
kanak berumur 7 hingga 11 tahun, kanak-kanak tidak begitu egosentrik, pemikiran
yang bersifat pemusatan semakin berkurangan dan kanak-kanak sudah boleh
mengambil kira sesuatu perkara dari pelbagai segi yang munasabah. Kanak-kanak
juga dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan peristiwa atau objek yang konkrit.
Sebagai contoh, Jefri bijak dalam menyelesaikan masalah apabila kawan-kawannya
menyatakan bahawa Fatin telah mengandungkan anaknya. Jadi, Jefri berfikir
sekiranya dia mahu bayi tersebut keluar, Fatin harus memakan nanas. Oleh itu, dia
telah mengambil keputusan untuk membeli nanas dengan banyak menggunakan duit
simpanannya sendiri. Jefri juga bertindak dengan bijak membawa Fatin ke klinik
apabila Fatin memberitahunya yang perutnya sangat sakit. Dari babak tersebut, dapat
kita simpulkan bahawa Jefri yang berumur 8 tahun, mampu menyelesaikan masalah
sejajar dengan Teori Perkembangan Jean Piaget.

5.2 Teori Perkembangan Erik Erikson


Erik Erikson menjelaskan bahawa manusia mempunyai keperluan asas yang sama
dan perkembangan mereka bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan
tersebut. Perkembangan kanak-kanak berlaku mengikut tahap dan peringkat tertentu.
Erikson percaya bahawa setiap peringkat mempunyai konflik tertentu yang perlu
diatasi supaya tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak tersebut.

Watak dalam filem “Aku Tak Bodoh” yang boleh dihubungkaitkan dengan teori ini ialah
watak Roy dan Sudin, yang mana ia boleh dikaitkan dengan salah satu peringkat di
dalam teori ini iaitu Peringkat Identiti lawan Kekeliruan Identiti, yang berlaku kepada
remaja yang berusia 12 hingga 18 tahun. Pada peringkat ini, Erik Erikson menyatakan

7
bahawa peringkat ini merupakan peringkat remaja, di mana mereka cuba untuk
mewujudkan identiti dan persepsi sendiri terhadap dunia mereka. Mereka cuba
mendapatkan kestabilan diri dalam masyarakat. Sekiranya gagal, mereka akan
meragui peranan mereka dalam masyarakat. Sebagai contoh, Roy dan Sudin yang
merasa dirinya sudah tiada harapan dan tidak berguna kepada keluarga, masyarakat
dan negara, sehingga sanggup menyertai dan bergaul dengan kumpulan gangster.
Jadi, dari babak tersebut dapat disimpulkan bahawa Roy dan Sudin sedang berada
dalam peringkat perkembangan emosi iaitu Peringkat Identiti lawan Kekeliruan Identiti
seperti yang dinyatakan di dalam Teori Perkembangan Erik Erikson ini.

5.3 Teori Perkembangan Lawrence Kohlberg


Teori Perkembangan Lawrence Kohlberg berfokus kepada peringkat-peringkat
perkembangan moral dalam setiap individu. Lawrence Kohlberg menekankan bahawa
individu berbeza membuat penaakulan tentang pendedahan dan perkembangan
moral masing-masing.

Watak di dalam filem “Aku Tak Bodoh” yang boleh dihubungkaitkan dengan teori ini
ialah watak Jefri. Pada peringkat kedua di dalam teori ini iaitu peringkat Orientasi
Ganjaran Peribadi, yang menumpukan kepada kehendak dan perasaan kanak-kanak,
sangat bertetapan dengan watak Jefri di dalam filem “Aku Tak Bodoh” ini. Pada
peringkat ini, Kohlberg menyatakan bahawa sesuatu perkara itu dinilai baik atau buruk
oleh kanak-kanak tersebut berdasarkan penilaian terhadap kesan ke atas mereka. Hal
ini bermaksud, apa yang dapat memuaskan hati atau menggembirakan mereka itulah
yang dianggap baik oleh mereka dan sebaliknya. Jadi, ianya dapat dibuktikan dengan
watak Jefri yang mencuri duit di kantin supaya dapat membeli masa bapanya untuk
melihat persembahannya di sekolah nanti. Jefri merasakan bahawa apa yang dia
lakukan itu merupakan perkara yang betul kerana sekiranya bapanya dapat melihat
persembahannya di sekolah nanti, sudah pasti dia akan merasa gembira. Jadi, babak
ini sangat bertetapan dengan perkembangan moral dalam Teori Perkembangan
Lawrence Kohlberg ini.

8
5.4 Teori Perkembangan Arnold Gessell
Menurut Arnold Gesell, perkembangan manusia dipengaruhi oleh faktor kematangan.
Arnold Gesell menyatakan bahawa perkembangan individu adalah mengikut jadual
waktu yang telah ditetapkan, urutan atau pola tertentu. Selain itu, mengikut teori
perkembangan Arnold Gesell, setiap individu juga menghadapi perkembangan yang
berbeza antara satu sama lain, ia bergantung kepada individu itu sendiri.

Watak dalam filem “Aku Tak Bodoh” yang boleh dihubungkaitkan dengan teori ini ialah
watak Jefri. Pada peringkat lima di dalam teori ini, yang mana berlaku kepada kanak-
kanak berusia 4 tahun ke atas, kanak-kanak akan suka bersosialisasi dan berkawan.
Mereka juga akan suka bertanya tentang perkara-perkara atau benda-benda yang
mereka tempuhi dan lihat di sekeliling mereka. Hal ini bertetapan dengan watak Jefri
yang bertanya kepada semua orang yang berada di rumahnya iaitu nenek, Kak Yati
dan ibunya tentang dari mana dia datang. Jadi, babak ini menunjukkan bahawa Jefri
sedang mengalami perkembangan kognitif sejajar dengan Teori Perkembangan
Arnold Gessell ini.

5.5 Teori Perkembangan Naom Chomsky


Naom Chomsky berpendapat bahawa setiap individu telah diprogramkan secara
genetik untuk belajar bahasa. Beliau turut menyatakan bahawa kanak-kanak telah
dilahirkan dengan alat penguasaan bahasa atau LAD (Language Acquisition Device)
iaitu satu mekanisma yang membolehkan kanak-kanak mengesan ciri-ciri dan
peraturan dalam menggunakan bahasa yang digunakan di persekitaran mereka.

Salah satu peringkat di dalam teori ini yang terhubung kait dengan watak dalam filem
“Aku Tak Bodoh” ialah peringkat yang terakhir yang mana ianya berlaku selepas fasa
kanak-kanak iaitu fasa remaja dan dewasa. Peringkat ini menerangkan bahawa
individu yang telah sampai ke peringkat ini mampu untuk merangka, menyemak
tulisan, menulis karangan dan sebagainya. Hal ini sangat bertetapan dengan watak
Roy yang sangat mahir dalam bidang penulisan sehingga dia dinobatkan sebagai
“Best Blogger”. Jadi, perkembangan bahasa telah berlaku kepada Roy bersesuaian
dengan Teori Perkembangan Naom Chomsky.

9
6.0 RUMUSAN
Kesimpulannya, perkembangan kanak-kanak ini sangat penting kerana dengan
perkembangan inilah, pembangunan kognitif, pembangunan sosial dan emosi, pembangunan
ucapan dan bahasa, pembangunan kemahiran motor halus dan motor kasar akan berlaku.
Ibu bapa dan guru-guru perlulah mengambil berat akan perkembangan kanak-kanak ini
kerana pengetahuan mengenai teori pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak akan
memberi faedah kepada guru, ibu bapa dan golongan profesional yang lain untuk membuat
keputusan mengenai pembelajaran dan sebagainya. Jika kita ingin mendidik anak bangsa
kita menjadi seorang insan yang berketrampilan dan berakhlak mulia, maka kita mestilah
memahami teori perkembangan mereka terlebih dahulu. Sekiranya anak-anak bangsa kita
dapat melepasi segala peringkat-peringkat dalam perkembangan ini dengan lancar tanpa
terbabas ke jalan yang tidak benar, nescaya masa depan negara kita akan lebih terjamin
kerana anak-anak bangsa inilah yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang.

10

You might also like