Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 9

KESEPADUAN NASIONAL

Kesepaduan nasional termasuk dalam perkara kedaulatan dan keselamatan negara.

Warganegara yang hidup aman, tenteram dalam sebuah negara berdaulat adalah aset kukuh yang boleh
membawa negara terbang jauh.

Demi pentingnya perkara ini, sistem pendidikan negara-negara moden kebanyakannya diarahkan untuk
melahirkan produk warganegara yang baik.

Warga diindoktrinasikan untuk berfikir dan bertindak menurut fahaman sebuah negara.

Di Malaysia, Rukun Negara telah dijadikan ideologi rentas biologi dan nilai sebagai titik persamaan,
menjadi tempat tegak pelbagai warga menukikkan pandangan.

Hasratnya satu, perpaduan nasional berhasil dijelmakan.

Tidak hanya institusi pendidikan, malahan dasar-dasar utama negara daripada Rangka Rancangan Jangka
Panjang I, II dan yang terbaru Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 justeru memasukkan hasrat
ini.

Peristiwa hitam 13 Mei 1969 menjadi tamparan berguna kepada negara. Parlimen digantung, Mageran
mengambil alih pentadbiran negara.

Siasatan mendapati kecurigaan kaum sehingga membawa sengketa dan pertumpahan darah bertolak
daripada ketidakseimbangan ekonomi.

Justeru, setiap dasar negara digubal untuk memastikan pengagihan ekonomi dapat diserakkan secara
adil dan objektif.
Ia bagi memastikan bumiputera sebagai kaum dominan di tanah air secara demografik tetapi paling
minoriti daripada sudut ekonomi dapat dibela sementara memastikan pengagihan saksama terhadap
kaum-kaum lain tidak dikompromi.

Pendekatannya – menghanguskan prejudis, curiga dan rasa tidak sama rata.

Pengenalan ekonomi menurut kaum yang diwarisi daripada penjajah mendesak dihapuskan.

Masyarakat maju memacu ekonomi tanpa pengenalan warna dan identiti ras. Tumpuan mengangkat
harakat kaum tertinggal ke tempat yang layak menjadi perhatian.

Awal tahun 1990-an bermula satu frasa baharu diarusperdanakan bagi mewarnai lagi debat perpaduan
nasional yang berat temanya ini – negara bangsa.

Gagasan ini menjadi perbahasan meluas apabila perdana menteri ketika itu pada tahun 1991
mengemukakan isu pembinaan negara bangsa dalam sebuah program nasional.

Khalayak akademik mengambil bahagian memberikan ajuan mereka terhadap gagasan ini.

Berlayar dan berlabuh dalam WKB 2030

Perdebatan terbuka belum memberikan rumusan cukup kepada pemegang taruh kerajaan yang
bertanggungjawab untuk memuktamadkan kesimpulan.

Sebaliknya, terma negara bangsa terus belayar dalam ruang wacana universiti, NGO, budayawan,
intelektual rakyat sehingga berlabuh juga dalam dokumen utama negara – WKB 2030.

Komitmen kerajaan untuk merealisasikan tema negara bangsa ini menampakkan isyarat keseriusan
dalam gagasan ini.
Petikan mengenainya dapat dirujuk:

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama
dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

“Iltizam ini akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran
negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa
dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa.”

Secara teknikal elemen pembinaan negara bangsa untuk pertama kalinya tersurat dalam dokumen
semasa utama negara.

Tidak lain dapat ditafsirkan bahawa keutamaannya telah mendapat layanan hak waktu perdana (prime
time) ketika ini.

Sebelumnya, dasar-dasar pembangunan nasional seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga kepada
Transformasi Nasional 2050 memang teguh dengan hasrat perpaduan nasional ini.

Cuma, penzahirannya tertuang secara ekspilisit.

Namun, untuk pertama kalinya frasa ‘negara bangsa’ secara khusus disuratkan dalam dokumen mega
negara dalam WKB 2030.

Ia penting kerana banyak tindakan akomodatif akan mengisi hampir keseluruhan tindakan-tindakan
kerajaan sepanjang tahun pelaksanaan.
Soal negara bangsa bukanlah baru. Ia produk modenisme yang sentiasa terus berkembang terus
menerus menurut faham pembangunan tajaan Barat.

Penjenamaan negara bangsa sebagai produk nasionalisme telah lama muncul dan menyusup masuk
dalam perbendaharaan kita.

Konsep bangsa cita

Buku Negara Bangsa: Proses dan perbahasan yang ditulis pada tahun 2000 karangan Prof Emeritus Dr
Abdul Rahman Embong menemui perbincangan tuntas konsep bangsa cita (nation of intent)
berdasarkan pengalaman sosiologikal Malaysia yang menjadi idaman para negarawan.

Gagasan “Bangsa Malaysia” iaitu anggota semua kaum harus mempunyai perasaan sebangsa, berkongsi
wilayah, ekonomi, budaya dan nasib masa depan bersama menimbulkan polemik yang masih tidak
berhujung.

Apakah takrif ‘bangsa’ (race) itu tepat daripada sudut biologikal?

Dalam Bahasa Melayu, bangsa merujuk kepada suatu kelompok yang berkongsi ciri fizikal, ras dan
keturunan. Ia juga boleh merujuk sesuatu kaum.

Apakah yang menjadi pentakrif kepada bangsa Malaysia yang dicitakan itu?

Jika mengambil kira semangat perlembagaan dan kontrak sosial, bangsa Melayu adalah jawapannya.

Bersediakah kaum-kaum lain melebur masuk menyertai pembinaan bangsa itu?


Justeru demikian rumitnya persoalan ini beberapa sarjana memajukan konsep nasion yang bermaksud
suatu komuniti politik yang terdiri daripada bangsa-bangsa yang menghuni wilayah politik tertentu
sebagai jawapan.

Penulis bersetuju dengan konsep nasion ini untuk memandu perbincangan secara rasional terhadap isu
negara bangsa dan perpaduan kaum di Malaysia yang sering disebut oleh Prof Ulung Dr Shamsul Amri
Baharuddin sebagai stabil-tegang (stable-tension).

Apa pun reaksinya, sehingga kini gagasan negara bangsa masih menjadi cita-cita idaman.

Keunikan Malaysia terletak pada keragaman komposisi etnik yang membentuk pengalaman
sosiopolitiknya.

Walaupun tidak terbentuk sebagai bangsa yang satu, tetapi nasion ini tetap menjunjung tinggi semangat
cintakan tanah air yang tinggi.

Indeks Keamanan Global 2019 memberi petunjuk tentang betapa mahalnya negara ini.

Berada pada kedudukan ke-16 negara paling aman di dunia dan ketiga di Asia, Malaysia dengan
penduduk berbilang bangsa yang mewakili blok kebudayaan besar meletakkan kedudukannya dalam
kelas tersendiri.

Sebagai sampel kes keadaan rukun damai masih dapat dijelmakan.

Serangan ‘tentera bawang’

Semangat kesetiaan kepada negara tidak dikompromi.


Contohnya, “tentera bawang” Malaysia secara berjemaah melakukan serangan terang-terangan
terhadap ahli politik daripada Taiwan yang memberikan kenyataan salah terhadap Malaysia berhubung
pengurusan Covid-19.

Mereka merasa tanggungjawab nasional sebagai warganegara untuk meluruskan salah faham dan
persepsi serong orang luar walaupun sedarah secara biologi dengan mereka.

Selagi tonggak-tonggak rukun negara dipegang, perpaduan nasion ini akan dapat terus dipertahankan.

WKB2030 secara zahir menyebutkan pembinaan negara bangsa sebagai matlamat akhirnya (end
product).

Di sini kita bentangkan beberapa peranan anak muda sebagai advokator bagi merealisasikan hasrat ini.

Melalui pertubuhan belia, anak muda boleh menjadi penggerak teras strategik ketiga (modal insan),
kelima (kesejahteraan sosial) dan ketujuh (modal sosial).

Peranan persatuan belia sebagai mewakili kelompok penengah dalam strata sosial yang
menghimpunkan kekuatan tenaga dan idea patut digembleng.

Sebagai contoh di bawah Majlis Belia Malaysia terdapat 104 pertubuhan belia daerah yang aktif di
seluruh Malaysia.

Organisasi ini telah berakar puluhan tahun mencipta jasa.

Tugas mereka boleh diluaskan lagi sebagai duta-duta kecil untuk menyampaikan hasrat WKB2030 ini
kepada kelompok massa.
Anggota persatuan belia boleh menjadi mediator dalam ehwal keharmonian antara agama, menjadi
‘mata-mata’ terhadap jenayah, meningkatkan keselamatan kejiranan dan beberapa indeks lain yang
disenaraikan dalam teras strategik di atas.

Selain itu, tenaga muda belia di negara ini boleh menggantikan guna tenaga buruh asing yang berleluasa
khususnya dalam sektor 3D.

Perbincangan peserta siri pertama Pemacu Bootcamp anjuran Institut Masa tentang mengapa pekerjaan
pengawal keselamatan tidak mendapat perhatian orang muda telah menarik perhatian.

Keperluan mewujudkan laluan kerjaya, tawaran gaji yang kompetitif, penampilan kemas dan ‘cool’ dapat
dipertimbangkan untuk menarik anak muda masuk dalam sektor kurang popular seperti ini.

Penguncupan luar bandar

Pada akhirnya, pengurangan pergantungan terhadap buruh asing berimplikasi juga mengurangnya
jenayah yang melibatkan warga asing yang didorong faktor tekanan emosi dan sosial.

Penguncupan luar bandar dan pembesaran kawasan bandar menjadi metropolitan hanya akan
mendatangkan masalah baru.

Kesenjangan ekonomi juga tingkat pendedahan teknologi moden antara komuniti bandar besar dan luar
bandar akan menjejaskan emosi dan yakin diri.

Belia dapat berperanan sebagai penjambatan.

Kecelikan terhadap teknologi digital, industri 4.0 akan membuka lebih ruang kepada komuniti luar
bandar berinteraksi masuk ke dalam pasaran dan persaingan ekonomi bandar.
Kemunculan ekonomi lejang dan permintaan transaksi atas talian tidak mensyaratkan topografi fizikal
sebagai alasan.

Di luar bandar sekalipun para pekerja ekonomi lejang boleh membina karier dan memperoleh
pendapatan lumayan.

Ia akan meningkatkan cairan tunai, kuasa beli sekaligus meningkatkan ekonomi.

Nantinya akan mendorong usaha keterangkuman wilayah dituntut secara lunak.

Keinginan warga kota untuk pulang ke kampung memakmur ekonomi secara atas talian memberi isyarat
tidak langsung kepada kerajaan untuk meningkatkan pemindahan kemudahan, jalan raya, alat teknologi
moden ke luar bandar.

Untuk mendapatkan data mentah yang tulen, pihak pemegang taruh perlu mempunyai kumpulan
berkepakaran yang memiliki kemahiran cukup untuk mengerjakannya.

Justeru, disarankan agar anak-anak muda terpelajar (memiliki ijazah, sarjana muda, sarjana, Phd) yang
memilih bermukim di luar bandar dikumpulkan dan membentuk kumpulan pemikir – pelaksana (think-
do-tank) yang memberikan khidmat kepada agensi berkepentingan.

Ini akan memastikan sifar ketirisan bakat dapat dicipta.

Kumpulan pakar ini dapat mengambil tanggungjawab moral untuk memberikan khidmat mereka
terhadap setiap daerah yang mereka duduki.

Mereka boleh bekerja rapat dengan Pejabat Daerah masing-masing untuk membekalkan maklumat
bersasar bagi memandu sebarang kebijakan pembangunan.
Perkara ini sangat penting.

Pemikir daerah

Dengan data konkrit, kerajaan dapat memastikan projek pembangunan yang dijalankan dapat dielakkan
daripada menjadi projek terbengkalai.

Telah terdapat usaha-usaha untuk mewujudkan kumpulan pemikir daerah ini di kalangan gerakan anak
muda.

Antaranya melalui platform Wacana Intelektual Daerah yang ditubuhkan pada tahun 2016.

Setidaknya, memiliki kumpulan anak muda yang telah menerima latihan di universiti, mereka hanya
perlukan sedikit induksi dan bimbingan khas untuk boleh berperanan sebagai agent of change dalam erti
kata yang sebenarnya.

Sedikit saranan ini diharapkan dapat memberikan input kepada pihak kerajaan khususnya Pejabat
Perdana Menteri untuk menyambut saranan yang diberikan.

Anak muda jika dimanfaatkan gelojak semangat mereka akan menjadi propagandis positif yang
diharapkan sederap dalam langkah merayakan kemakmuran bersama.

Berhasilnya hasrat ini serentak bersama makbulnya negara bangsa dan bangsa idaman yang selama ini
dicita-cita.

You might also like