Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 27

1

PENERAPAN KONSEP ULUL ALBAB DALAM PENDIDIKAN

Wan Mariana binti Wan Mohamad


Universiti Kebangsaan Malaysia
(wmariana1976@gmail.com)

Mohd Shafiee bin Hamzah


Universiti Sultan Zainal Abidin
(ustazshafiee@gmail.com)

ABSTRAK

Penulisan kertas kerja ini membincangkan tentang konsep Ulul Albab yang telah
diutarakan oleh Allah sebanyak 16 kali di dalam al-Quran al-Karim. Berdasarkan
kepada sifat-sifat golongan Ulul Albab ini, penulis telah merumuskan beberapa
pendekatan pendidikan yang perlu diambil dalam usaha melahirkan golongan
intelektual ini menerusi sistem pendidikan di Malaysia khususnya. Antara
pendekatan pendidikan tersebut ialah pendidikan yang bersifat Quranik,
Ensiklopedik dan Ijtihadik. Seterusnya dilampirkan gambaran keberhasilan
golongan Ulul Albab ini kesan daripada penyerapan ketiga-tiga pendekatan tersebut
agar generasi yang lahir ini menjadi ilmuan Islam yang mantap pegangan al-
Qurannya, menguasai kepelbagaian disiplin ilmu serta mampu menangani segala
permasalahan ummah dengan inovatif dan kreatif ke arah mengembalikan
kegemilangan tamadun Islam.

Kata kunci: Ulul Abab, Quranik, Ensiklopedik, Ijtihadik, Kegemilangan.

1
2

Pendahuluan

Perkataan Ulul Albab merupakan istilah yang dipetik daripada Allah Yang Maha

Agung melalui kitab suci-Nya, al-Quranul Karim dan telah dipelopori pengkajiannya

oleh ramai para cendekiawan Islam termasuk para sarjana Barat dari seluruh dunia.

Istilah ini semakin popular apabila ianya disebut oleh mantan Perdana Menteri

Malaysia yang kelima Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya di

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 2006 (Sabri 2009). Gagasan beliau

untuk membangunkan modal insan warganegara Malaysia yang berkualiti dan

holistik bagi menghadapi dunia global diutarakan menerusi isi ucapan yang

menjadikan satu ayat daripada ayat al-Quran sebagai asas pegangan iaitu, ayat 190

daripada surah Ali Imran ke arah melahirkan masyarakat Ulul Albab yang berupaya

menganalisis, menguasai dan memahami sains, falsafah dan teknologi untuk

membolehkan ummah mendaki puncak kejayaan. Setelah ungkapan Ulul Albab ini

diuar-uarkan oleh pemimpin negara, ramai yang menyambutnya dengan baik, namun

masih ada yang menerimanya dalam keadaan kesamaran dan kedangkalan ilmu dalam

memahami istilah ini.

Ulul Albab Di Dalam Al-Quran

Al-Quran telah memaparkan perkataan Ulul Albab sebanyak 16 kali.Pengulangan

istilah ini telah membuktikan ketinggian nilai kemuliaan, keagungan dan

kepentingannya kepada umat Islam khususnya dan manusia sejagat

umumnya.Menurut terjemahan al-Quran perkataan Ulul Albab yang terdapat di

2
3

dalamnya diertikan sebagai „orang-orang yang berakal‟ dan „orang-orang yang

mempunyai fikiran‟. Manakala di dalam Kamus Al-Marbawi dinyatakan bahawa

perkataan Ulul Albab berasal daripada dua perkataan iaitu Ulu danAl-Albab. Ulu

bermaksud „yang mempunyai atau yang memiliki‟, manakala Al-Albab ialah kalimah

berbentuk jamak, berasal daripada perkataan „lubb‟ yang membawa pengertian „pati

sesuatu‟, „akal yang bersih‟ dan „hati‟.

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya telah menafsirkan golongan Ulul Albab sebagai

golongan yang mempunyai pemikiran yang bersih lagi sempurna sehingga mampu

memahami hakikat sesuatu perkara secara yang betul. Kemuncaknya mereka akan

menemui hakikat kebenaran yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan

akhirat. Hal ini memerlukan kepada dasar dan falsafah yang membina akal yang

matang sehingga dapat membezakan antara yang benar dan salah, antara yang buruk

dan baik, antara yang berfaedah dan sia-sia seperti mana yang disifatkan oleh Allah

sebagai golongan Ulul Albab dalam surah al-Zumar yang bermaksud:

“ Oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang

berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka

menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah

petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab”.

(al-Zumar, 39: 17-18)

Allah s.w.t telah menerangkan ciri-ciri golongan Ulul Albab di dalam al-Quran

menerusi sepuluh surah seperti berikut:

1- Surah al-Baqarah: Ayat 179, 197 dan 269:

3
4

1.1: Orang yang berakal fikiran dan bertaqwa :

        

“ Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai

orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa”.

(al-Baqarah,2: 179)

1.2: Orang yang sentiasa membekalkan diri dengan taqwa :

         ...

“... Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa

dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal”

. (al-Baqarah,2: 197)

1.3: Orang yang mengambil hikmah dari firman Allah :

           

      

“Allah menganugerahkan Al hikmah (kefahaman yang dalam tentang

Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan

barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah

dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang

berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).

(al-Baqarah,2: 269)

4
5

2- Surah Ali Imran: Ayat 7 dan 190:

2.1 Orang yang bersungguh-sungguh mencari ilmu :

            

   

“Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman

kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan

kami," dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan

orang-orang yang berakal. (Ali Imran,3: 7)

2.2 Orang yang sentiasa merenung tentang kejadian langit dan bumi

serta mengingati Allah :

         

 

“ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih

bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang

yang berakal”. (Ali Imran,3: 190)

3- Surah al-Maidah: Ayat 100: Orang yang sentiasa memilih kebaikan dan

tidak tertarik kepada keburukan :

5
6

           

     

“Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun

banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Maka bertakwalah kepada

Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.

(Al-Maaidah,5: 100)

4- Surah Yusuf: Ayat 111: Orang yang mengambil pengajaran dari sejarah

umat terdahulu :

       


“ Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran

bagi orang-orang yang mempunyai akal. (Yusuf,12: 111)

5- Surah ar-Ra‟d: Ayat 19: Orang yang menginsafi dan beriman dengan

kebenaran al-Quran :

             

   

“ Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan

kepadamu dari Tuhanmu itu benar sama dengan orang yang buta?

Hanyalah orang-orang yang berakal saja yang dapat mengambil

pelajaran”. (ar-Ra‟d,13: 19)

6
7

6- Surah Ibrahim: Ayat 52: Orang yang menjadikan al-Quran sebagai

peringatan dan pengetahuan tentang kebesaran Allah :

          

  


“ (Al Quran) Ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan

supaya mereka diberi peringatan dengan-Nya, dan supaya mereka

mengetahui bahwasanya Dia adalah Tuhan yang Maha Esa dan agar

orang-orang yang berakal mengambil pelajaran”. (Ibrahim,14: 52)

7- Surah Shaad: Ayat 29 dan 43:

7.1 Orang yang mengambil pengajaran daripada kitab yang diwahyukan:

         

“ Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh

dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan

supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran”.

(Shaad,38: 29)

7.2 Orang yang bersabar jika diberi peringatan dan diberi rahmat :

          

“ Dan kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali)

keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak mereka

pula sebagai rahmat dari kami dan pelajaran bagi orang-orang yang

mempunyai fikiran. (Shaad,38: 43)

7
8

8- Surah az-Zumar: Ayat 9,18 dan 21:

8.1 Orang yang berqiamullail dan mengharap rahmat Allah s.w.t :

          

            

  

“ (Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah

orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan

berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan

rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang

mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?"

Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima

pelajaran” .(az-Zumar,39: 9)

8.2 Orang yang kritis mendengar dan memilih yang terbaik :

          

    

“ Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik

di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah

petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal”.

(az-Zumar,39: 18)

8
9

8.3 Orang yang memerhati dan mengambil iktibar daripada fenomena

kejadian alam :

            

          

        

“ Apakah kamu tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Allah

menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi sumber-sumber

air di bumi, kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanam-tanaman

yang bermacam-macam warnanya, lalu menjadi kering lalu kamu

melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur

berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar

terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal”.

(az-Zumar,39: 21)

9- Surah Ghaafir: Ayat 54: Orang yang dikurnia hidayah dan peringatan :

    

“ Untuk menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang


berfikir”. (Ghaafir,40: 54)

10- Surah at-Thalaq: Ayat 10: Orang yang beriman dan takut dengan azab
Allah :

             

    

9
10

“ Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras, Maka bertakwalah

kepada Allah hai orang-orang yang mempunyai akal; (iaitu) orang-

orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan

peringatan kepadamu”. (at-Thalaaq,65: 10)

Kesimpulannya, kesemua 16 kriteria Ulul Albab yang disebutkan di dalam al-Quran

ini, seharusnya dimiliki oleh setiap umat Islam sepanjang zaman, agar kegemilangan

dan kecemerlangan umat Islam sentiasa terserlah di persada dunia. Generasi Ulul

Albab inilah yang sewajarnya dilahirkan sebagai generasi harapan negara, yang

menjadikan al-Quran sebagai panduan utama kehidupan, memiliki ilmu yang luas dan

berdaya juang tinggi dalam keupayaannya memakmurkan sekalian alam sesuai

dengan tugas yang diamanahkan sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Konsep Ulul Albab

Perkataan Ulul Albab telah banyak dikupas pengertiannya oleh ramai cendikiawan,

khususnya cendikiawan Islam apabila ia didatangkan oleh Allah s.w.t. sebagai satu

istilah yang unik, yang memerlukan kupasan yang mendalam bagi memahami

maksudnya. Gerakan mengupas istilah ini adalah sebahagian daripada budaya

menghayati al-Quran untuk diambil pelbagai pengajaran daripadanya.

Secara umumnya, perkataan Ulul Albab ini disandarkan kepada satu golongan yang

mempunyai ciri-ciri Ulul Albab, seperti yang disebutkan di dalam al-Quran sebanyak

16 kali di atas. Justeru, terdapat pelbagai definisi berkaitan golongan Ulul Albab ini,

yang diutarakan oleh pelbagai pihak berdasarkan dari sudut pandangan keilmuan

masing-masing. Antaranya ialah pengertian yang diberikan oleh Idris (2006)

10
11

berkenaan golongan Ulul Albab, iaitu satu golongan yang mempunyai asas kukuh

dalam ilmu pengetahuan, memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu

berfikir dan memerhati kejadian Tuhan melalui mata hati dan akal yang tajam serta

mengambil iktibar daripadanya.

Menurut Shahran (2006) pula, Ulul Albab adalah kelompok manusia tertentu yang

diberi keistimewaan oleh Allah s.w.t, iaitu mereka yang diberikan hikmah,

kebijaksanaan dan pengetahuan di samping pengetahuan yang diperolehi secara

empirikal dalam sesuatu perkara. Manakala Osman (2006) dalam mengistilahkan

pengertian Ulul Albab ini berpendapat, golongan Ulul Albab ialah ulamak

ensiklopedik yang merupakan kelompok terpenting dalam kalangan umat Islam yang

berperanan meniupkan roh agama dan mencorakkan keperibadian tamadun Islam

berdasarkan keupayaan mereka menguasai pelbagai bidang ilmu.

Dr. Sabri Mohd Shariff (2009) dalam bukunya yang bertajuk Generasi Ulul Albab

Segunung Harapan Seteguh Gagasan telah mengupas beberapa catatan tokoh-tokoh

ilmuan berkait dengan istilah Ulul Albab ini. Antaranya ialah tulisan mantan mufti

negeri Perlis, iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang telah mendefinisikan golongan

Ulul Albab sebagai golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang

sehingga mampu membuat penilaian yang tepat. Pengertian ini disokong oleh

Abdullah (2006) yang menyatakan bahawa Ulul Albab ialah golongan yang berakal

fikiran yang mantap dan sempurna serta memiliki ilmu fardhu ain dan menguasai ilmu

fardhu kifayah. Manakala menurut Dr. Danial Zainal Abidin, istilah Ulul

Albabmerupakan golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji

sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektif yang betul. Golongan ini

11
12

mengamalkan konsep zikir dan fikir, iaitu sentiasa berzikir dan mengagungkan Allah

melalui pengamatan dan tafakur pada alam kejadian Allah bagi mengungkap rahsia

setiap fenomena alam.

Daripada penghuraian ini, dapatlah disimpulkan bahawa konsep Ulul Albab ini ialah

satu gagasan pemikiran yang menjadikan 16 ciri utama Ulul Albab yang terdapat di

dalam al-Quran sebagai model rujukan terpenting dalam setiap tindakan berdasarkan

penguasaan ilmu yang mendalam, yang mampu diaplikasikan dalam sebarang situasi

dan cabaran yang melanda umat Islam khususnya dan umat dunia amnya. Oleh yang

demikian, menjadi satu keperluan agar konsep Ulul Albab ini dapat diterapkan dalam

sistem pendidikan di Malaysia sebagai wadah terpenting dalam pembentukan ummah

cemerlang.

Penerapan Konsep Ulul Albab Dalam Pendidikan

Pendidikan merupakan asas kepada kemajuan sesebuah negara yang berfungsi

menyalurkan budaya, nilai, pemikiran dan warisan sesuatu masyarakat dari satu

generasi kepada generasi seterusnya dengan beberapa pengubahsuaian mengikut

keadaan waktu dan zaman. Peranan ini dipikul oleh tenaga pendidik yang seharusnya

sentiasa memahami cabaran sezaman dan perubahan-perubahan yang berlaku ke arah

pemantapan dan penyesuaian keperluan pelajar, kurikulum, metodologi pengajaran

dan pembelajaran yang bersifat dinamik. Walau bagaimanapun, dalam tradisi Islam,

pendidikan tetap memberikan fokus terhadap „memperadabkan insan‟ (Sideq 2006)

bersesuaian dengan konsep tarbiyah Allah terhadap Rasulullah s.a.w.

Oleh kerana itulah, pendidikan dari sudut Islam memperlihatkan suatu paradigma

yang bersifat holistik, sepadu dan seimbang. Pendidikan ini bersifat holistik atau

12
13

menyeluruh kerana ia meliputi perkembangan manusia dari aspek jasmani, rohani,

intelek dan emosi secara bersepadu yang dapat digunakan potensinya untuk

meningkatkan kualiti kehidupan manusia. Melalui keseimbangan pendidikan inilah

yang dapat menghasilkan individu yang berkualiti dalam segenap aspek kehidupan,

termasuklah kehidupan dunia dan akhirat, khususnya melalui Pendidikan Islam.

Menurut Asmawati (2007) seimbangnya Pendidikan Islam kerana ia menekankan

kemajuan dan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat. Hal demikian ini

boleh dihasilkan melalui penerapan konsep Ulul Albab dalam sistem pendidikan

negara yang berteraskan kepada tiga konsep yang dapat disimpulkan seperti berikut:

Pendidikan Yang Bersifat Quranik

Pendidikan bertemakan al-Quran adalah asas dalam melahirkan golongan Ulul Albab.

Pendidikan dalam konteks al-Quran sentiasa menjadikan Rab atau ALLAH sebagai

sumber pedoman kerana Allah lebih mengetahui apa yang diciptakan-Nya. Al-Quran

merakamkan penceritaan bagaimana Allah memaklumkan kepada manusia tentang

apa yang diciptakan-Nya supaya manusia berfikir, merenung dan mengkaji supaya

umat Islam menjadi pemikir yang taat dan memiliki kualiti Ulul Albab yang berhemah

(Sideq 2006).

Tujuan pendidikan al-Quran adalah untuk menanamkan rasa cinta, memahami,

mengamalkan ajarannya dan sikap menghargai al-Quran sebagai kalam Illahi

(Rosadah et al. 2006). Hal ini bersesuaian dengan matlamat Pendidikan Islam sebagai

satu usaha berterusan dalam menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam

berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah ke arah kebaikan di dunia dan kesejahteraan

abadi di akhirat.Sebagai contohnya generasi para sahabat yang dididik oleh

13
14

Rasulullah dengan al-Quran terbukti kehebatan dan ketokohannya terserlah dalam

membangunkan tamadun umat Islam. Syed Qutb telah menyifatkan generasi al-Quran

yang lahir hasil kepimpinan Rasulullah s.a.w. ini adalah generasi al-Quran yang unik

(Sabri 2009).Generasi ini dibimbing oleh al-Quran dan dididik dengan nilai

kemuliaan dan budi pekerti luhur yang terkandung dalam ajaran Islam.

Generasi al-Quran ini boleh dibentuk melalui didikan melalui konsep 5‟M‟ iaitu:

1- Membaca al-Quran setiap masa.

2- Menghafaz al-Quran.

3- Memahami isi kandungan al-Quran

4- Menghayati ajarannya.

5- Mempelajari keindahan dan ketinggiannya.

Oleh kerana itulah dalam menghasilkan generasi Ulul Albab yang berkualiti, Idris

(2006) telah mencadangkan pendekatan pendidikan yang bersifat Quranik ini dengan

menjadikan Program Ulul Albab sebagai platform dalam membentuk generasi Al-

Quran yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak mulia, berketrampilan,

bertanggungjawab dan dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Program

Ulul Albab ini merupakan satu program pendidikan integrasi antara program

pendidikan sedia ada dengan program aliran agama termasuk tahfiz Al-Quran. Para

pelajar bukan sahaja diajar membaca Al Qur‟an malah menghafaz 30 juzuk Al-Quran

serta memahaminya berdasarkan konsep baca, ingat, faham, fikir, amal dan sebar.

Di konteks sistem pendidikan di Malaysia kini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh

kerajaan, mahupun badan-badan swasta dalam gerakan melahirkan generasi Ulul

14
15

Albab yang quranik ini. Kerjasama dan penglibatan kerajaan dalam memberi

sumbangan kepada pendidikan rakyat amat diperlukan, sebagaimana yang diakui oleh

Abdul Ghafar et al. (2009) menerusi penulisannya yang menyatakan bahawa kerajaan

turut memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan rakyat dengan

memberi seberapa banyak sokongan dalam pelbagai bentuk seperti memperkasakan

fungsi institusi sekolah dan universiti, menyediakan bantuan kewangan, memberikan

sokongan moral dan sebagainya.

Antara program yang telah diwujudkan bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang

mendapat pendidikan bersifat Quranik ini ialah dengan menyediakan Program Pintar

al-Quran ketika di peringkat pra persekolahan lagi atau pun dikenali sebagai tadika.

Seterusnya di peringkat sekolah rendah, kerajaan negeri turut membantu dengan

mengadakan kelas KAFA (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) bagi setiap negeri agar

penguasaan ilmu al-Quran dari segenap segi dapat dipelajari dan termasuk juga

pelaksanaan Program j-QAF oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Di peringkat

menengah pula, penguasaan ilmu al-Quran adalah melalui mata pelajaran Pendidikan

Islam sama ada yang melibatkan aktiviti kurikulum mahupun kokurikulum yang

berdasarkan kepada Kurikulum Pendidikan Kebangsaan. Peranan ini turut dimainkan

oleh institusi yang lain selain kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),

sekolah-sekolah IMTIAZ, Maahad-maahad Tahfiz dan Institut Quran yang lain.

Kesinambungan pendidikan bersifat Quranik ini diteruskan lagi melalui Program

Pensijilan Tahfiz al-Quran antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di samping penawaran program

Double Major khususnya di UIAM, yang menekankan penintegratifan ilmu wahyu

dan ilmu professional ke arah melahirkan lebih ramai saintis, teknologis, usahawan,

15
16

pemimpin dan teknokrat yang quranik, yang akan memimpin, menjulang dan memacu

perkembangan serta pertumbuhan negara serta masyarakat dunia amnya dan Malaysia

khususnya setanding negara maju lain di dunia.

Pembentukan generasi Ulul Albab yang menyepadukan unsur-unsur ketuhanan dan

nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran ini jugalah yang pernah meletakkan

umat Islam dalam lembaran sejarah sebagai pelopor kemajuan sains dan pelbagai

cabang ilmu selama beratus-ratus tahun lamanya.

Pendidikan Yang Bersifat Ensiklopedik

Situasi peluang pendidikan di Malaysia memberi peluang kepada rakyatnya untuk

mendalami ilmu secara bersepadu, yang menggabungkan di antara ilmu fardu ain dan

ilmu fardu kifayah (Rosni et al. 2006).Hal demikian ini telah membuka ruang

seluasnya kepada rakyat untuk mendalami segala khazanah lautan ilmu sehingga

dapat menghasilkan generasi Ulul Albab yang bersifat ensiklopedik,iaitu mereka yang

menguasai pelbagai disiplin ilmu (multidisciplinary) dan pelbagai jenis bahasa

(multilingual) (Idris 2006) serta berkemahiran tinggi dan menjadi sumber rujukan

utama masyarakat.

Sistem pendidikan yang mewajibkan kanak-kanak berumur tujuh tahun bersekolah

adalah asas dalam menjamin kualiti ilmu mereka di samping penguasaan ilmu fardu

ain yang mencukupi bagi para pelajar sekolah rendah melalui program KAFA.

Keadaan ini bertepatan dengan beberapa definisi istilah yang telah diberikan, seperti

pendidikan yang dirujuk sebagai, “penitisan ilmu ke dalam diri insan” yang

melambangkan kesan pendidikan secara berterusan bermula dari kecil lagi, yang

peranannya dimainkan oleh institusi awal terpenting iaitu institusi keluarga.

Seterusnya peranan ini diambil alih atau digembeleng bersama tugas guru yang
16
17

dimaksudkan dalam bahasa Sanskrit sebagai “pemimpin jiwa manusia”. Oleh kerana

itulah pendidikan perlu menekankan dua aspek yang penting pada diri manusia, iaitu

kekuatan ilmu dan penjernihan jiwa.

Oleh kerana itulah, pendidikan yang bersifat ensiklopedik menekankan penguasaan

ilmu sebagai teras pembinaan tamadun. Peranan ilmu dan pendidikan bukan hanya

dari segi melahirkan pakar-pakar dalam kepelbagaian bidang tertentu seperti

perubatan, sains, astronomi, kejuruteraan, rekabentuk, matematik dan bioteknologi

sahaja, bahkan mereka turut pakar dalam bidang keagamaan melalui penghayatan

nilai-nilai keilmuan berteraskan ajaran Islam. Sebagai contohnya, Ibn Sina, Ibn

Khaldun, al- Khawarizmi, al-Haytham dan Ibn Rushd adalah tokoh cendekiawan

Islam yang mendapat pengiktirafan masing-masing sebagai pakar perubatan, ahli

falsafah, Kimia, Matematik, Sosiologi dan Optometrik, namun dalam masa yang sama

mereka juga terkenal sebagai tokoh agama terbilang. Inilah yang dikatakan

„multidisciplinary‟, iaitu mahir dalam kepelbagaian bidang kesan daripada pendidikan

yang bersifat ensiklopedik.

Dalam usaha menyemarakkan lagi pendidikan bersifat ensiklopedik ini, budaya ilmu

melalui pembacaan perlu diwujudkan. Ini adalah kerana membaca adalah prasyarat

kepada pembinaan tamadun dan budaya ilmu adalah budaya yang diwarnai oleh

kebijaksanaan dalam berfikir dan bertindak (Khalif 2009). Pembudayaan konsep

belajar sepanjang hayat (life long learning) perlu diterapkan ke atas segenap lapisan

masyarakat melalui proses pembacaan yang berterusan terhadap bahan-bahan yang

berbentuk ilmiah kerana melalui pembacaan inilah, proses pengilmuan akan berlaku.

Proses pengilmuan tidak menyamai proses pengajaran. Proses pengajaran hanyalah

proses pemindahan maklumat, data dan fakta untuk dihafaz dan diingati oleh pelajar.

17
18

Namun proses pengilmuan memberi fokus terhadap nilai dan manfaat yang terdapat

pada ilmu bagi mengukuhkan nilai-nilai positif yang terdapat pada pelajar (Sideq

2009)

Di samping itu juga, pendidikan bersifat ensiklopedik ini dapat dihasilkan melalui

pendidikan yang bersepadu (integratif) antara ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah.

Usaha-usaha untuk mempertingkatkan penguasaan ilmu secara meluas, berterusan

dan bersepadu antara ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah perlu dipergiatkan

(Abdullah 2006). Hal ini adalah kerana menurut pendapat Sideq (2009), tunjang

kepada pembangunan modal insan ialah melalui penguasaan ilmu yang integratif.

Keperluan kepada pengintegrasian ilmu ini dapat digambarkan dengan suasana ilmu

dunia diwarnai oleh nilai-nilai dan norma-norma agama Islam, iaitu proses islamisasi

ilmu dunia dan juga proses relevanisasi ilmu pengetahuan agama dengan ilmu dunia.

Melalui kedua-dua proses ini akan terserlahlah kehebatan para intelektual Islam dalam

mendepani arus keilmuan yang sebenar berteraskan ajaran Islam.

Proses pengintegrasian ilmu ini sebenarnya perlu bermula di peringkat awal

pendidikan lagi, iaitu dengan memperkasakan institusi-institusi pendidikan

bermula daripada institusi keluarga melalui pendidikan ilmu al-Quran. Seterusnya

diteruskan di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan juga

institusi pengajian tinggi melalui pengintegrasian ilmu al-Quran dengan ilmu sains.

Malah kewujudan insitusi khusus berdasarkan kesepaduan antara ilmu agama dan

ilmu dunia juga diperlukan oleh negara dalam usaha mewujudkan pendidikan yang

bersifat ensiklopedik. Oleh sebab itu, proses ini memerlukan kepada reformasi

kurikulum dan sukatan pelajaran pendidikan berdasarkan visi integrasi ilmu, di

18
19

samping memperbanyakkan guru-guru, pensyarah dan ilmuwan yang berwawasan

integrasi dalam menjayakan agenda pendidikan negara. Malah pada pendapat Mohd

Kamal (2006) juga, perluasan jaringan kerjasama antara institusi-institusi yang

memiliki misi yang serupa, iaitu visi integrasi ilmu perlu diwujudkan dalam rangka

jalinan rangkaian di seluruh dunia agar ianya dapat berkembang secara global dan

menyumbang manfaat kepada umat manusia serta umat Islam khususnya.

Sebagai langkah merealisasikan pendidikan yang bersifat ensiklopedik ini juga,

penguasaan kepelbagaian bahasa adalah penting. Ini adalah kerana medan untuk

menguasai disiplin ilmu adalah melalui penguasaan bahasa. Sebagaimana yang

diamalkan oleh tokoh-tokoh Islam pada zaman kegemilangan Islam menggambarkan

kehebatan mereka dalam menguasai lebih daripada satu bahasa sehingga

membolehkan ilmuwan Islam tersebut menghimpunkan ilmu-ilmu dari segenap sudut

dunia dan khazanah ilmu yang ada itu, yang boleh digunakan oleh manusia untuk

meningkatkan tamadun dari perspektif Islam (Ibrahim 2002). Dalam sistem

pendidikan Malaysia, aspek multilingual ini boleh diutamakan dengan menjadikan

Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebagai teras dan bahasa-bahasa

antarabangsa seperti Bahasa Jepun, Bahasa Mandarin dan lain-lain juga ditawarkan

sebagai subjek pilihan. Melalui langkah-langkah ini, akan lahirlah generasi Al-Quran

yang menguasai pelbagai bahasa utama dunia di samping penguasaan ilmu yang

meluas dalam pelbagai aspek.

Oleh kerana itulah, pada pandangan Osman (2006) sistem pendidikan umat Islam dan

kedudukan institusi-institusi ilmu di Malaysia perlu dikaji semula dan dimantapkan

agar lebih ramai golongan intelektual Islam yang bersifat ensiklopedik ini dapat

19
20

dibentuk ke arah memajukan Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang

beracuan unik dan tersendiri sebagai sebuah negara Islam. Justeru semua pihak

memainkan peranan penting ke arah merealisasikan wawasan ini agar ianya seiring

dengan hasrat dan visi pucuk pimpinan negara ke arah pencapaian matlamat negara

maju yang sebenar .

Pendidikan Yang Bersifat Ijtihadik

Pendidikan yang bersifat ijtihadik bermaksud satu proses pendidikan yang dapat

melahirkan golongan ilmuwan dan intelektual Islam yang mempunyai kreativiti dan

daya cipta yang tinggi, yang mempunyai iltizam untuk berani mencuba perkara baru

dan menghasilkan idea-idea baru untuk kebaikan umat manusia, seperti mana yang

diutarakan oleh Idris (2006), iaitu golongan Ulul Albab yang bersifat ijtihadik adalah

mampu dan berkeupayaan memberikan pandangan mereka dalam penyelesaian

ummah, memaksimakan keupayaan berfikir, berfikiran kreatif dan inovatif serta

berteknologi tinggi.

Para ulamak Usul telah bersepakat dalam pembahagian orang-orang mukallaf kepada

tiga golongan, iaitu golongan yang tertinggi tahapnya ialah umat Islam yang mencapai

tahap sebagai mujtahid. Keistimewaan golongan ini adalah berdasarkan kebebasan

mereka menetapkan sesuatu prinsip hukum berdasarkan ijtihad mereka sendiri kerana

lazimnya golongan ini mempunyai kemampuan untuk memahami dengan terperinci

serta berpegang kepada dalil-dalil yang kuat berdasarkan kajian, penelitian mendalam

serta zann yang kuat terhadap sumber-sumber hukum yang mereka fahami. Bahkan

mereka juga menguasai seluruh ilmu-ilmu Islam, merangkumi sumber-sumber hukum

syarak yang utama seperti al-Quran dan al-Sunnah di samping penguasaan mereka

terhadap sumber-sumber hukum yang kedua seperti Ijmak dan Qiyas serta ilmu-ilmu

yang bersifat membantu dalam memahami dalil-dalil tersebut agar mereka dapat
20
21

menetapkan sesuatu hukum bertepatan dengan kehendak syariat itu sendiri (

Mahyuddin & Azman 2005). Inilah antara kriteria mujtahid yang menepati ciri-ciri

generasi Ulul Albab yang ingin dilahirkan.

Hal demikian ini adalah kerana ijtihad merupakan satu usaha yang iltizam dan

memerlukan komitmen yang tinggi bagi menemu dan menetapkan sesuatu hukum.

Usaha ini mampu digerakkan oleh generasi Ulul Albab yang digelar para mujtahidin

sebagai penggerak utama. Mereka ini menguasai kepelbagaian ilmu sebagai alat bagi

menentukan sesuatu hukum. Ijtihad ini boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu, apabila

terdapatnya hukum-hukum syarak yang bersifat zanni dan peristiwa-peristiwa yang

hukumnya tidak terdapat dalam nas daripada al-Quran dan hadis. Oleh itu ijtihad tidak

boleh dilakukan dalam hukum-hukum yang dalilnya bersifat qat‟i, atau apabila

sesuatu nas itu telah diyakini sumbernya dari al-Quran atau Sunnah (Yusuf 1987).

Keperluan kepada ijtihad wujud sepanjang zaman kerana kehidupan manusia sentiasa

berubah dan syariat Islam sesuai sepanjang zaman dan tempat. Dakwaan pintu ijtihad

telah tertutup adalah tidak berasas. Malah pada zaman ini, keperluan ijtihad lebih

ketara kerana perubahan yang besar telah berlaku dalam kehidupan masyarakat

manusia. Perkembangan teknologi yang melanda dunia secara global ini menjadikan

dunia yang besar begitu sempit. Walaupun ijtihad pada dasarnya dihasilkan oleh akal

manusia yang relatif sifatnya, tetapi ia dianggap satu unsur yang tidak dapat dielakkan

di dalam sistem perundangan Islam kerana penggunaan al-Quran dan al-Sunnah

adalah sumber asas untuk sistem fiqh Islam, manakala selebihnya ialah penggunaan

intelektual umat manusia terhadap kedua sumber tersebut.

21
22

Di samping itu, teks kandungan al-Quran dan al-Sunnah yang berkaitan dengan

hukum amat terbatas dari segi jumlahnya, sedangkan persoalan dan permasalahan

yang sentiasa timbul dalam kehidupan manusia tidak terbatas (Ibn Qayyim 1996).

Atas sebab inilah, keperluan kepada ijtihad oleh generasi Ulul Albab ini mampu untuk

menyelesaikan masalah ini. Bahkan kedudukan fiqh Islam yang lengkap dan sesuai

untuk sebarang tempat, keadaan dan zaman, walaupun berhadapan dengan perubahan

tempat, keadaan dan zaman tersebut di dalam kehidupan manusia yang sentiasa

berkembang. Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa syarak hanya memperincikan

konsep dan matlamat asas, namun pemilihan kaedah pencapaian konsep tersebut

diserahkan kepada budi bicara (ijtihad) manusia, yang memberi ruang kepada mereka

untuk memilih kaedah yang sesuai dan munasabah dengan situasi dan realiti

masyarakat yang wujud. Inilah peranan yang seharusnya dimainkan oleh generasi

Ulul Albab yang ingin dilahirkan.

Jika disoroti kisah para sahabat Rasulullah s.a.w dalam bab ijtihad, Ibn Khaldun

(1995) menjelaskan, bukan semua sahabat berautoriti dalam memberi fatwa atau

ijtihad, tetapi kelayakan khusus itu adalah kepada mereka yang arif tentang al-Quran

dari segi nasakh dan mansuhnya, mutasyabih dan muhkam, dan sebagainya seperti

mana mereka menerimanya daripada Rasulullah s.a.w. dan mereka ini dikenali

sebagai gelaran al-Qurra‟. Oleh sebab itulah, para ulamak telah bersepakat

menetapkan beberapa syarat yang perlu ada pada seseorang mujtahid iaitu mengetahui

al-Quran al-Karim, mengetahui al-Sunnah, menguasai ilmu Bahasa Arab, mengetahui

tempat-tempat ijmak, menguasai ilmu Usul Fiqh, mengetahui maksud-maksud

syariah, mengenal manusia dan kehidupan sekitarnya serta bersifat adil dan taqwa

(Yusuf 1987).

22
23

Sifat-sifat inilah yang perlu dimantapkan dalam sistem pendidikan Malaysia, agar

terhasillah generasi Ulul Albab yang menguasai ilmu al-Quran, ilmuwan dalam

segenap bidang disiplin ilmu serta mampu untuk menangani permasalahan dan

cabaran umat Islam terkini. Oleh kerana itu, keperluan kepada satu badan berautoriti

bagi membahaskan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh melalui penyelidikan

yang mendalam amat mendesak. Penyertaan oleh para cendikiawan ini dari pelbagai

bidang disiplin ilmu diperlukan untuk mencurahkan tenaga dan fikiran secara

kerjasama dalam mengistinbatkan hukum baru yang tidak pernah diterokai sebelum

ini berpandukan kepada dalil-dalil syarak.

Hal demikian ini memerlukan kepada pendidikan yang bersifat ijtihadik, iaitu

pendidikan yang menyeluruh berdasarkan al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w. serta

kepelbagaian disiplin ilmu yang lain, agar setiap permasalahan umat dapat ditangani

dengan bijaksana. Malah menurut pendapat Mohd Fadzhil (2009) pun, dalam

menangani isu-isu yang melibatkan nilai dan profesionalisme sama ada dalam

pekerjaan, muamalat harian atau penyelesaian masalah ummah juga, harapan dan

amanah haruslah digalas oleh generasi Ulul Albab yang pintar dan prihatin kepada

warisan dahulu berpandukan perjalanan hidup para salafus-soleh. Inilah jalan yang

terbaik perlu dirintis oleh golongan Ulul Albab dalam menyelesaikan masalah melalui

ijtihad secara jama‟i. Di sinilah letaknya peranan dan tugas mereka sebagai mujtahid

dalam merungkai permasalahan baru yang timbul, yang memerlukan kepada

penyelesaian segera berdasarkan isu-isu dan hal-hal semasa.

23
24

Kesimpulan

Penerapan konsep Ulul Albab di dalam pendidikan memerlukan perancangan yang

rapi untuk menghala kepada pembangunan sebuah negara Islam yang terbilang.

Proses-proses pendidikan yang bersifat Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik

memerlukan kepada penilaian semula ke arah penambahbaikan penggubalan

kandungan dan kaedah yang membolehkan para pelajar menguasai kepelbagaian

disiplin ilmu serta mengukuhkan pegangan nilai-nilai murni yang sejati berasaskan al-

Quran al-Karim. Masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama dari

segi mutu, produktiviti dan keberhasilan sistem pendidikan negara. Usaha ke arah

melakukan penambahbaikan sistem pendidikan negara hendaklah terus dilakukan

supaya generasi muda Ulul Albab yang terhasil dapat menjadi agenda penggerak

kemajuan negara yang sebenar.

Justeru dalam era globalisasi yang mendedahkan masyarakat kepada pelbagai

pengaruh budaya luar kini, usaha bersepadu harus disasarkan ke arah penjanaan

modal insan berorientasi Ulul Albab. Tanpa ciri-ciri Ulul Albab, negara tidak akan

mampu menjelmakan sebuah bangsa berdaya juang dan berdaya saing bagi

mendepani cabaran semasa. Umat Islam harus bijakdalam merancang inisiatif ke arah

persiapan untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang bersifat Quranik, Eksiklopedik

dan Ijtihadik seperti Ibnu Rush, Al-Farabi, Ibnu Khaldun dan lain-lain yang

membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berilmu, inovatif dan kreatif

yang merupakan komponen utama barisan warga berfikiran kritis, terbuka dan minda

kelas pertama. Umat Islam perlu bangkit semula daripada krisis kemalapan dan

kembali menjuarai tradisi keilmuan dan jaguh intelektual sejagat

Tidak mustahil suatu hari nanti negara Malaysia berjaya melahirkan golongan Ulul

24
25

Albab ini, kerana umat Islam adalah generasi „khaira ummah‟ atau „ummah

terbilang‟ sebagaimana ternukil dalam surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia,

menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan

beriman kepada Allah”(Ali Imran,3 :110).

MODEL KEBERHASILAN

GENERASI ULUL ALBAB HASIL DARIPADA

PENDIDIKAN YANG BERSIFAT QURANIK,

ENSIKLOPEDIK DAN IJTIHADIK

ENSIKLOPEDIK

QURANIK

IJTIHADIK

25
26

RUJUKAN

Abdul Ghafar Hj Don dan Jaffary Awang. 2009. Knowledge Management and Its
Impact On Islamic Dakwah: A Historical Perspective. Journal of Islamic and
Arabic Education 1(2): 61-68.
Abdullah Md. Zin. 2006. Ulul Albab: Pendekatan Islam Hadhari ke Arah Melahirkan
Modal Insan Terbilang. Kertas Kerja Seminar Ulul Albab. Anjuran Bersama
Kerajaan Negeri Terengganu dan Terengganu Development Institute. Kuala
Terengganu, 21 September.
Asmawati Suhid. 2007. Pengajaran Adab dan Akhlak Islam Dalam Membangunkan
Modal Insan.Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara: 167-178.
Ibn Khaldun, „Abd Rahman 1415 H / 1995. Muqaddimah Ibn Khaldun. Beirut:
Maktabah al-„Asariah.
Ibrahim Ahmad Bajunid. 2002. Ke arah Memupuk Budaya Pembelajaran Cemerlang:
Memperluaskan Disiplin Bahan Bacaan Pelajar. Dlm. Shaikh Mohd
Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh dan Suzalie Mohamad (pnyt.). Anjakan
Minda Belia Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Idris Jusoh. 2006. Satu Pemikiran Praktis Dalam Merealisasikan Konsep Ulul Albab.
Kertas Kerja Seminar Ulul Albab. Anjuran Bersama Kerajaan Negeri
Terengganu dan Terengganu Development Institute. Kuala Terengganu, 21
September.
Khalif Muammar. 2009. Faktor Kegemilangan Tamadun Islam: Pengajaran Dari
Masa Lalu. Jurnal Hadhari 2:15-31.
Mahyuddin Abu Bakar dan Azman Md Zain. 2005. Konsep Bertaklid Dalam Islam.
Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara (6): 71-94.
Mohd Fadzhil Mustafa, Mohamad Sabri Haron dan Hasnan Kasan. 2009. Nilai Dan
Profesionalisme Menurut Imam Al-Juwayni: Fokus Terhadap Isu-Isu
Kepimpinan, Aqidah Dan Perselisihan Ummah. Jurnal Pengajian Umum Asia
Tenggara: 107-122.
Mohd Kamal Hassan. 2006. Konsep Ilmu dan Pembentukan Generasi Ulul Albab
Dalam Konteks Dunia Global. Kertas Kerja Seminar Ulul Albab. Anjuran
Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan Terengganu Development Institute.
Kuala Terengganu, 21 September.

26
27

Rosadah Abdul Majid dan Nofrizal. 2006. Minat Kebolehan Membaca al-Quran di
Kalangan Pelajar Madrasah di Sebuah Daerah di Indonesia. Prosiding Wacana
Pendidikan Islam Siri ke-5 Pendidikan Islam dan Bahasa Arab Pemangkin
Peradaban Ummah, hlm. 336-313. Bangi: Fakulti Pendidikan Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Rosni bin Samah, Nurdiana bt Azizan & Zainur Rijal b Abdul Razak. 2006. Islam
Hadhari Penguasaan Ilmu Pengetahuan. Negeri Sembilan: Kolej Universiti
Islam Malaysia.

Sabri Mohamad Sharif. 2009. Generasi Ulul Albab Segunung Harapan Seteguh
Gagasan. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Sideq Baba. 2006. Pendidikan Rabbani Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia.
Selangor: Karya Bestari Sdn. Bhd.
Sideq Baba. 2009. Acuan Minda. Selangor: Alaf 21 Sendirian. Berhad.
Yusuf al-Qardhawi.1987. Ijtihad Dalam Syariat Islam. Beberapa Pandangan Analitis
Tentang Ijtihad Kontemporer. Terj. Drs. H. Achmad Syathori. Malaysia:
Thinker‟s Library Sdn. Bhd.

27

You might also like