Memorandum Bantahan Dan Cadangan

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 6

MEMORANDUM RANCANGAN HIBURAN di

TELEVISYEN

BMCO 1106 SEKSYEN 2


KOMUNIKASI PENULISAN 1

Pensyarah:

DR. JULAINA BINTI NOPIAH

Daripada:

AINUL IZZAH AZREEN


BINTI ABU BAKAR
1

MEMORANDUM

Kepada : YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

Daripada : Pengerusi Persatuan Seni Warisan, Daerah Kota Tinggi

Memorandum tentang Rancangan Hiburan

yang Disiarkan melalui Televisyen

1.0 Pendahuluan

Lambakan rancangan televisyen yang berkiblatkan hiburan tanpa sempadan kini sudah memenuhi
seluruh aspek kehidupan masyarakat di Malaysia akibat kepantasan teknologi maklumat dan
komunikasi. Dunia hiburan meliputi aspek media, sama ada media cetak mahupun elektronik. Dua
gugusan media ini mampu mempengaruhi penonton berdasarkan impak daripada sasaran
sebarannya. Televisyen merupakan salah satu media elektronik yang banyak menyajikan program-
program yang berbentuk hiburan kepada penonton disebabkan sambutan dan keuntungan yang
pihak penyiaran peroleh. Lihat sahaja di setiap siaran, pasti ada sahaja sogokan rancangan hiburan
tidak kira ia bersifat realiti atau tidak pada setiap masa. Misalnya, Lawak Muzikal Superstar,
Kampung People, Maharaja Lawak Mega, Trek Selebriti dan lain-lain. Rancangan-rancangan
sedemikian bukan sahaja diminati oleh anak muda tetapi juga orang yang lanjut usia. Tidak dapat
dinafikan bahawa rancangan tersebut mendatangkan kepuasan kepada mereka, namun kesan
negatifnya akan menjejaskan masa depan masyarakat khususnya generasi muda yang akan menjadi
pelapis tampuk pemerintahan negara. Menyedari hal itu, tujuan Pengerusi Persatuan Seni Warisan
menghantar memorandum ini untuk mengemukakan bantahan dan kesan negatif rancangan
tersebut serta usul untuk menangani bantahan yang dimaksudkan.

2.0 Pernyataan Kekesalan

Pihak Persatuan Seni Warisan Daerah Kota Tinggi berasa kesal tentang isu berkenaan kerana
penyiaran rancangan hiburan boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada penonton,
khususnya golongan remaja.
2

2.1 Pencemaran Bahasa Kebangsaan

Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa rojak atau “Manglish” iaitu
pencampuran bahasa Melayu dan Inggeris sering digunakan oleh pihak penyiaran untuk
dimasukkan ke dalam rancangan hiburan di Malaysia sehingga mencemarkan bahasa
Kebangsaan. Secara tidak langsung, ia juga memberi impak yang negatif ke atas bahasa
komunikasi masyarakat kerana terikut-ikut dengan rancangan yang mereka tonton. Status
dan korpus bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu
tinggi akan dipinggirkan dan tidak digunakan lagi dalam perbualan seharian.
Berkemungkinan, perkataan-perkataan bahasa Melayu lama kelamaan akan pupus jika
perkara ini berlaku secara berterusan. Misalnya, rancangan hiburan Kampung People.
Rancangan tersebut jelas menunjukkan penggunaan bahasa rojak apabila tajuk
rancangannya sahaja sudah mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.
Secara tidak langsung, ia telah mengakibatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang tidak
bermutu tersebar dan penggunaan tatabahasa yang betul diketepikan. Selain itu, dialog
di dalam program hiburan Kampung People oleh Laila lakonan Riena Diana seperti “Lets
makans”, “Why you lambarts” atau “You ni kenapa?” Mungkin pada mulanya ia dijadikan
sebagai hiburan sahaja, tetapi lama-kelamaaan ia menjadi fenomena dan dijadikan sebagai
bahasa komunikasi harian. Lebih membimbangkan, apabila rancangan tersebut ditonton
oleh generasi muda kerana secara tidak langsung ia akan melahirkan generasi muda yang
tidak mampu menguasai bahasa Melayu standard. Hal ini dikatakan sebagai suatu
kebimbangan kerana generasi muda merupakan aset negara yang sepatutnya mendapat
didikan yang betul terutamanya dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan.

2.2 Pengaruh Negatif

Cara berpakaian, pergaulan, ataupun perlakuan artis yang kadangkala bertentangan dengan
nilai yang sepatutnya mendatangkan pengaruh negatif kepada penonton yang menyaksikan
rancangan hiburan yang berunsur sedemikian. Misalnya, cara berpakaian artis yang tidak
sopan, sendat dan menjolok mata atau pergaulan bebas antara artis lelaki dan perempuan.
Perkara ini mampu mempengaruhi tingkah laku penonton terutamanya golongan remaja
kerana remaja adalah golongan yang suka mencuba benda baru dan mengikut isu semasa
apatah lagi jika remaja yang obses dengan artis atau hiburan luar seperti k-pop, artis Barat
3

dan sebagainya. Lebih menyedihkan, kedua-dua artis tersebut adalah beragama Islam.
Amalan seperti ini mampu menjatuhkan imej diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Tambahan pula, gejala yang paling membimbangkan kini ialah pengaruh hedonisme
yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat. Hedonisme merupakan
fahaman atau pegangan yang mementingkan keseronokan dan hiburan dalam
kehidupan. Budaya ini turut disuburkan dengan program hiburan yang telah
mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Keseronokan dan sikap fanatik
menghayati dunia hiburan telah mengatasi segala-galanya. Lantas, sajian rancangan
hiburan telah menyuburkan kembali sifat hedonisme dalam kalangan masyarakat
terutamanya remaja. Oleh itu, jelaslah rancangan hiburan mampu memberi pengaruh
negatif dari segi pakaian, perlakuan dan sifat terhadap penonton.

3.0 Usul

Yang berikut merupakan usul bagi menangani masalah tersebut.

3.1 Penekanan kepada Skrip


Pihak kerajaan harus mengingatkan pengarah atau penerbit untuk memeriksa dan menapis
skrip terlebih dahulu sebelum memberi naskah tersebut kepada artis untuk melontarkan
dialognya dan beraksi di set penggambaran. Hal ini kerana, setiap karya yang
dipertontonkan kepada khalayak bermula daripada cerita yang dikarang oleh penulis skrip.
Ini menunjukkan skrip memainkan peranan yang utama dan penting dalam sesebuah karya.
Banyak kekurangan dapat kita lihat dari aspek pelakon, dialog yang diucapkan oleh
pelakon dan plot penceritaan gagal kerana faktor skrip yang longgar. Begitu juga dengan
masalah pencemaran bahasa kebangsaan kerana faktor skrip yang terlalu banyak
mencampuradukkan bahasa rojak. Justeru, penekanan pada ilmu penulisan skrip perlu
dititikberatkan dalam menghasilkan karya terbaik. Oleh itu, penerbit atau pengarah perlu
diberi kursus awal sebelum melakukan penyiaran atau mencipta sebuah karya terutamanya
rancangan hiburan agar mengikut garis panduan yang ditetapkan. Bahasa yang digunakan
harus memberikan teladan dan kesan yang baik kepada masyarakat. Penggunaan bahasa
kesat, bahasa pasar, bahasa lucah dan bahasa yang memberikan interpretasi yang negatif
perlu dielakkan. Selain itu, berpandukan Dewan Bahasa dan Pustaka. Seboleh-bolehnya
menggunakan bahasa Melayu standard. Rancangan berbahasa Melayu perlu diberi sarikata
4

sekiranya ada dialog yang mengandungi bahasa rojak, temu ramah, suara latar selain
bahasa Melayu supaya penonton sedar bahawa dialog tersebut bukan penggunaan bahasa
Melayu yang betul. Oleh itu, pengarah atau penerbit perlu memberi perhatian kepada
penulisan skrip agar kita masih boleh memperkasakan bahasa Melayu standard walaupun
melalui rancangan hiburan.

3.2 Menyediakan Garis Panduan

Pihak kerajaan mestilah menetapkan garis panduan terhadap rancangan hiburan sebelum
disiarkan untuk tontonan umum. Garis panduan yang disediakan haruslah mengutamakan
nilai-nilai ketimuran dan mereka yang terlibat dalam penerbitan dan penyiaran perlu
mengambil tindakan. Antara garis panduan yang perlu ditetapkan oleh kementerian
dalam siaran hiburan adalah dari aspek pakaian artis. Pakaian artis lelaki mestilah kemas,
lengkap, sopan, seluar yang tidak terlalu ketat dan tidak memakai subang pada bahagian
hidung dan telinga. Bagi artis perempuan pula, pakaian mereka mestilah tidak
mendedahkan sebahagian besar dada, perut serta pakaian mestilah lengkap, kemas dan
sopan. Dari aspek perilaku pula, artis tersebut mestilah tidak melakukan perbuatan dan
pengucapan yang menggalakkan ke arah keruntuhan akhlak, kemungkaran dan
menyentuh sensitiviti agama atau kaum melalui skrip komedi atau drama. Manakala,
penerbit dan pengarah juga boleh disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman
sekiranya mereka juga terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral. Selain itu, untuk
mengelakkan pengaruh negatif diserap dalam diri penonton, pihak kerajaan perlu melarang
kandungan yang lucah seperti mengandungi unsur-unsur seks kerana penggambaran
adegen sedemikian akan menyinggung tatatusila dan kesopanan masyarakat. Unsur
tersebut juga tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak yang berusia 18 tahun dan
kebawah. Tambahan pula, garis panduan penyiaran Islam juga boleh digunakan bertujuan
untuk menguatkan akidah umat Islam, melahirkan rasa cinta kepada Allah dan Rasul serta
memupuk umat Islam supaya kuat berusaha, lebih-lebih lagi bagi membendung sikap
hedonisme. Penubuhan media penyiaran yang berkonsepkan Islam merupakan sebuah
platform baharu untuk mengembangkan dan menyampaikan dakwah kepada
masyarakat dengan mendalam dan mudah melalui televisyen kepada penonton. Media
penyiaran Islam pula dilihat semakin mendapat perhatian dan mencetuskan kesan positif
5

dalam kalangan masyarakat. Contohnya, Pencetus Ummah, Imam Muda dan


sebagainya. Oleh itu, kerajaan haruslah menyediakan garis panduan yang jelas dan
stesen televisyen harus memikul tanggungjawab sosial untuk menyiarkan rancangan-
rancangan yang lebih bersifat moral dan mendidik masyarakat.

4.0 Kesimpulan

Rancangan hiburan banyak mendatangkan kesan negatif kepada orang ramai terutamanya
golongan remaja seperti mencemarkan bahasa kebangsaan dan memberi pengaruh negatif.
Memorandum ini bukan untuk menuntut agar rancangan sedemikian dihentikan tetapi
mengemukakan beberapa usul yang difikirkan wajar dipertimbangkan untuk kebaikan semua
pihak. Sekiranya usul di atas dilaksanakan, persatuan ini yakin bahawa bantahan dan kesan negatif
yang dimaksudkan itu akan berkurangan. Natijahnya, jelaslah bahawa rancangan hiburan di kaca
televisyen telah meninggalkan impak yang negatif dalam kalangan masyarakat khususnya remaja.
Oleh hal yang demikian, semua pihak sama ada pihak penganjur, penyiar atau pihak ibu bapa harus
berganding bahu bagi mengekang gejala tersebut daripada terus menjadi virus.

Disediakan oleh : 4 April 2021

Azreen

(AINUL IZZAH AZREEN BINTI ABU BAKAR)

Pergerusi

Persatuan Seni Warisan, Daerah Kota Tinggi

https://youtu.be/pgHarKVnpQk

You might also like