Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 22

PENGENALAN WTP 8023

UNIT 3

Di akhir unit ini pelajar dapat memahami jenis-jenis ujian


penyiasatan tapak dan kaedah pengambilan sampel tanah
dijalankan.

Di akhir unit ini, pelajar akan dapat :

1. menerangkan dua daripada lima kaedah untuk


menghasilkan lubang jara dengan jelas.

2. menerangkan dua kaedah Ujian Galas Plet yang dijalankan


di atas tapak bina dengan jelas.

3. membezakan di antara sampel tanah terganggu dan sample


tak terganggu denggan tepat.

4. menerangkan dua daripada empat kaedah mengambil


sample tanah dengan jelas.
PENGENALAN WTP 8023

2.0 Pengenalan

Penyiasatan tapak merupakan sebahagian daripada kerja pemeriksaan tanah yang


amat penting dalam bidang kejuruteraan geoteknik. Kerja-kerja penyiasatan tapak
ini merangkumi peninjauan, pemerhatian, pengujian in-situ, pengambilan sampel
dan penentuan profil tanah. Kerja-kerja ini amat perlu bagi tujuan rekabentuk
asas dan kerja pembinaan kerana tanah mempunyai sifat tidak homogen, elastik
atau isotropik dan jenis tanah juga berubah dengan ketara pada lapisan kedalaman
50 m hingga 30 m dari permukaan tanah. Dalam BS 5930 telah menyenaraikan
tujuan penyiasatan tapak; di antaranya adalah seperti berikut :

(a) Untuk mengenal pasti sama ada tapak itu sesuai bagi kerja yang
dicadangkan.
(b) Untuk membolehkan satu rekabentuk yang selamat dan ekonomi.
(c) Untuk meramal dan mengambil langkah yang sesuai bagi
mengatasi sebarang kerumitan yang mungkin timbul semasa
pembinaan yang disebabkan oleh keadaan tanah dan keadaan
tempatan yang lain.
(d) Untuk menyiasat kejadian atau sebab berlakunya perubahan
keadaan sama ada secara semula jadi atau disebabkan oleh perkara
lain.

Dalam modul ini perbincangan hanya ditumpukan kepada bahagian ujian-ujian


penyiasatan tapak, jenis sampel tanah dan kaedah pengambilan sampel tanah.
PENGENALAN WTP 8023

2.1 Ujian-Ujian Penyiasatan Tapak

Terdapat beberapa kaedah ujian bagi tujuan penyiasatan di tapak. Di antaranya


adalah lubang jara, lubang ujian, ujian penusukan piawai, ujian penusukan kon
dan ujian galas plet.

2.1.1 Lubang Jara

Lubang jara adalah lubang yang dikorek untuk penyiasatan tapak. Kedalaman
lubang jara bergantung kepada keadaan jenis-jenis tanah, jenis-jenis ujian tanah
dan kaedah-kaedah penjaraan. Terdapat beberapa kaedah untuk menghasilkan
lubang jara iaitu gerimit tangan, penjaraan tukula, gerimit mekanik, penjaraan
hasil-hakis, penggerudian putar.

(a) Gerimit Tangan

Gerimit tangan boleh digunakan untuk mengorek lubang jara sedalam 5 m dengan
bantuan satu set rod tambahan. Gerimit diputar dan ditekan ke dalam tanah
dengan menggunakan gagang –T di bahagian atas rod. Terdapat dua jenis gerimit
tangan iaitu gerimit Iwan (rajah 2.1) dan gerimit heliks (rajah 2.2). Gerimit Iwan
mempunyai diameter 200 mm dan manakala gerimit heliks mempunyai diameter
lebih kurang 50 mm. Gerimit tangan biasanya digunakan sekiranya tebing lubang
tidak memerlukan sokongan dan juga tidak terdapat butiran tanah bersaiz lebih
besar daripada kerikil. Gerimit mesti selalu ditarik keluar untuk mengeluarkan
tanah. Sampel tak terganggu boleh diperolehi dengan memacu tiub berdiameter
kecil di bawah dasar lubang jara.
PENGENALAN WTP 8023

Rajah 2.1 : Gerimit Iwan Rajah 2.2 : Gerimit Heliks

(b) Penjaraan Tukulan

Penjaraan tukulan boleh digunakan untuk menghasilkan lubang jara bagi


kebanyakan tanah termasuklah tanah yang mengandungi batu bundar dan batu
tongkol. Biasanya julat diameter lubang jara adalah di antara 150 mm hingga 300
mm. Kedalaman maksimumnya pula adalah di antara 50 mm hingga 60 mm.

Satu rig penjaraan terdiri daripada satu derik, unit kuasa dan win yang membawa
kabel keluli yang ringan melalui satu takal di atas derik seperti rajah 2.3. Untuk
tanah keras, lubang jara dikorek dengan menggunakan pahat yang dipasang pada
rod penjaraan dan mempunyai keratan segi empat sama. Peralatan dan rod
diangkat dan dijatuhkan berselang seli oleh kabel yang dihubungkan kepada win
untuk memecahkan tanah. Pahat dan rod dikeluarkan daripada lubang jara dan
buburan (tanah bercampur dengan air bumi) disingkir menggunakan kelompang
atau bandela. Kelompang digerakkan ke atas dan ke bawah untuk mengumpul
PENGENALAN WTP 8023

buburan dan apabila penuh, ianya diangkat ke permukaan untuk dikosongkan.


Bagi pasir dan kerikil yang berada di bawah aras bumi, kelompang beserta bar
ajuk digunakan sebagai alat penjaraan dan pahat tidak diperlukan.

Peralatan lain yang boleh digunakan terus dengan rig penukulan ialah pemotong
tanah liat dan gerimit. Pemotong ini terdiri daripada tiub keluli dengan kekasut
pemotong dan gelang bendungan di hujungnya yang digunakan untuk penjaraan
tanah liat. Pemotong diangkat dan dijatuhkan berselang seli dengan bantuan win
dan bar ajuk yang dipasang di atas perkakas. Gerimit juga digunakan untuk tanah
liat dan beroperasi secara memutar rod penjara di permukaan menggunakan bar
celaga. Gerimit juga digunakan untuk membersihkan lubang jara sebelum
pensampelan dilakukan.

Rajah 2.3 : (a) Rig Penjaraan, (b) Rod Penjaraan dan Pahat, (c) Kelompang,
PENGENALAN WTP 8023

(d) Pemotong Tanah Liat


(c) Gerimit Mekanik

Gerimit digunakan bagi tanah yang lubang jaranya tidak memerlukan penyokong
dan sentiasa kering seperti tanah liat. Kuasa yang diperlukan untuk memutar
gerimit bergantung kepada jenis dan saiz gerimit itu sendiri dan jenis tanah yang
akan ditusuk. Tekanan ke bawah pada gerimit boleh dikenakan secara hidraulik,
mekanik atau menggunakan beban mati. Jenis alat yang biasa digunakan ialah
gerimit larian dan gerimit timba.

Gerimit larian-pendek terdiri daripada satu heliks dengan panjang terhad beserta
alat pemotong di bawahnya. Gerimit disambung kepada batang keluli yang
dikenali sebagai bar Kelly, yang melalui kepala rig yang berputar. Gerimit dipacu
sehingga penuh dengan tanah, dinaikkan keatas permukaan dan tanah dikeluarkan
dengan memutar gerimit kearah yang berlawanan.

Gerimit larian–terus pula terdiri daripada rod-rod dengan satu heliks yang
merangkumi keseluruhan panjangnya. Tanah dinaikkan sepanjang-panjang heliks
ke permukaan tanpa perlu dikeluarkan gerimit kepermukaan tanah.

Gerimit timba terdiri daripada suatu selinder keluli, terbuka dibahagian atas tetapi
dipasang plet asas yang mempunyai pemotong, bersebelahan dengan lubang alur
plet : bar dipasang pada bar Kelly. Apabila gerimit diputar dan ditekan ke bawah,
tanah yang tersingkir oleh pemotong akan melepasi lubang alur dan memasuki
timba. Timba yang penuh akan naik kepermukaan untuk dikosongkan dengan
melepaskan plet asas yang terengsel itu. Lubang korekan gerimit bergaris pusat
melebihi 1 m boleh digunakan untuk memeriksa strata tanah disitu.

(d) Penjaraan Hasil–Hakis

Di dalam kaedah ini, air dipam melalui satu rangkaian rod penjaraan dan
dilepaskan di bawah tekanan melalui lubang-lubang sempit di dalam pemahat
PENGENALAN WTP 8023

yang terpasang di hujung rod seperti rajah 2.4. Tanah akan dilerai dan dipecahkan
oleh jet air dan pergerakan pemahat yang turun naik. Zarah tanah dihakis ke
permukaan melalui ruang di antara rod dan tebing lubang jara dan dibiarkan
endap di dalam takungan.

Penjaraan hasil-hakis boleh digunakan untuk kebanyakan jenis tanah tetapi kerja
penjaraan boleh menjadi lambat sekiranya terdapat zarah yang bersaiz kelikir
kasar. Kaedah ini tidak boleh digunakan untuk memperolehi sampel tanah. Ia
hanya digunakan untuk mendalamkan lubang jara supaya sampel tiub dapat
diambil atau ujian di situ dapat dilakukan di bawah dasar lubang. Satu kebaikan
daripada kaedah ini ialah tanah di dasar lubang, kekal di dalam keadaan tak
terganggu.

Rajah 2.4 : Penjaraan Hasil-Hakis


PENGENALAN WTP 8023

(e) Penggerudian Putar.

Merupakan alat penggerudian yang dipasang di hujung rangkaian rod-rod


penggerudi geronggang ( seperti rajah 2.5 ) yang berbentuk bit pemotong atau bit
peneras ( bit penuras dipasang di hujung tong teras yang disambung ke rod
penggerudi ). Air atau lumpur penggerudi dipam melalui rod geronggang dan
mengalir dibawah tekanan melalui lubang-lubang sempit dalam bit atau tong.

Rajah 2.5 : Penggerudian Putar


Terdapat dua bentuk penggerudian putar, iaitu :
PENGENALAN WTP 8023

(i) penggerudian lubang terbuka – Biasanya digunakan untuk tanah dan


batuan yang lemah, menggunakan bit pemotong untuk memecahkan
semua bahan yang berada di dalam lingkungan garis pusat lubang.
(ii) penggerudian teras – Digunakan untuk batuan dan tanah liat keras, yang
menggunakan bit memotong lubang anulus di dalam bahan dan teras yang
tak terusik masuk ke dalam tong sebagai sampel.

Antara kebaikan penggerudian putar ialah prosesnya yang lebih cepat


dibandingkan dengan kaedah penyiasatan yang lain dan gangguan terhadap tanah
di bawah lubang jara hanyalah sedikit.

2.1.2 Lubang Ujian

Lubang ujian adalah lubang yang digali di dalam tanah sekadar untuk
memasukkan tangga. Biasanya kedalaman maksimum dihadkan kepada 4m.
Tepian lubang hendaklah diperiksa dengan teliti. Melalui kaedah ini keadaan air
tanah dapat ditetapkan dengan tepat dan sampel tanah tak terganggu diperolehi
dengan mudah. Di bawah kedalaman 4 m, penjermangan perlu dilakukan dan ini
menyebabkan kos pengorekan adalah tinggi.

2.1.3 Ujian Penusukan Piawai (SPT)

Ujian penusukan piawai merupakan ujian dinamik yang digunakan untuk


menentukan keupayaan galas bagi pasir dan kerikil. Satu tiub pemisah sampel
(split barrel sampler) berdiameter 50 mm dimasuk ke dalam tanah pada paras
tapak lubang jara dan kemudian ia diketuk masuk sedalam 450 mm ke dalam
tanah dengan menggunakan tukul seberat 65 kg dan tinggi jatuhan 0.76 m.
Bilangan hentaman dicatat untuk tusukan sedalam 300mm. Bilangan hentaman
ini dikenali sebagai nilai N. Dengan menggunakan carta Terzaghi dan Peck nilai
N yang diperolehi boleh ditukarkan kepada nilai tekanan galas yang dibenarkan.
PENGENALAN WTP 8023

2.1.4 Ujian Penusukan Kun (CPT)

Ujian penusukan kon merupakan ujian statik yang digunakan untuk menentukan
keupayaan galas dan juga enapan. Ia terdiri daripada satu proba kun 60o dan
ditekan masuk ke dalam tanah oleh jek pada kadar 20 mm/s dan daya yang
diperlukan untuk menekan kun (qc) tersebut diukur. Geseran ‘sleeve’ memberi
satu nilai ukuran lekatan tanah. Nilai rintangan total QT diukur bila tip kun dan
geseran ‘sleeve’ dimajukan bersama dan nilai rintangan kun QC kemudiannya
diukur sebagai nilai tip kun sendiri dimajukan. Oleh itu, nilai rintangan geseran
tepi QS diperolehi seperti berikut :-

QS = QT - QC ( 2.1 )

2.1.5 Ujian Galas Plet

Ujian galas plet adalah untuk menentukan kekuatan beban galas tanah dan juga
enapan yang berlaku pada tanah . Ia adalah lebih sesuai untuk tanah tak jelekit
berbanding tanah jelekit kerana tanah jelekit memerlukan masa yang lama untuk
pengukuhan sepenuhnya. Biasanya 2 ujian dilakukan. Plet dengan saiz yang
berbeza tetapi bentuk yang sama digunakan pada tanah berbutiran supaya enapan
asas yang dicadangkan boleh diterbitkan daripada hubungan kedua-dua plet.
Beban dikenakan mengikut tambahan (biasanya 1/5 daripada tekanan galas yang
dicadangkan) dan dinaikan sehingga 2 atau 3 kali ganda beban yang dicadangkan.
Tambahan selanjutnya hanya dibuat apabila enapan tidak dikesan dalam masa 24
jam yang berikutnya. Ukuran biasanya diambil kepada 0.01 mm dan apabila tidak
terdapat titik kegagalan yang nyata, keupayaan galas muktamat diandaikan
sebagai tekanan yang menyebabkan enapan bersamaan dengan 20% daripada
lebar plet.
PENGENALAN WTP 8023

Ujikan kefahaman anda sebelum meneruskan input seterusnya...!!!

Sila semak jawapan anda pada makluman dihalaman berikutnya.

Soalan 1

Terangkan kaedah gerimit tangan dan gerimit mekanik untuk menghasilkan


lubang jara.

Soalan 2

Terangkan dengan jelas dua ujian yang biasa dilakukan dalam ujian galas plet.
PENGENALAN WTP 8023

Jawapan 1

Rujuk kepada bahagian 2.1.1 (a) dan 2.1.1 (c)

Jawapan 2

Rujuk kepada bahagian 2.1.5


PENGENALAN WTP 8023

2.2 Jenis-Jenis Sampel Tanah dan Kaedah-Kaedah Pensampelan

Terdapat dua (2) sampel tanah yang boleh diperolehi dari tapak binaan iaitu
sampel terganggu dan sampel tak terganggu. Sampel tanah boleh diperolehi dari
beberapa kaedah pensampelan. Kaedah pensampelan tersebut adalah pensampel
tiub terbuka, sudu pisah piawai, tiub dinding nipis, dan pensampel piston.

2.2.1 Sampel Terganggu

Tanah terganggu merupakan tanah yang diambil tanpa mengira keadaan sebenar
tanah itu di tapak binaan. Biasanya tanah ini digunakan untuk tujuan pengkelasan
dan ketumpatan tanah. Ianya disimpan di dalam bekas yang kedap udara untuk
mengelakkan dari berlakunya pemeluwapan dan perubahan warna.

2.2.2 Sampel Tak Terganggu

Sampel tak terganggu merupakan sampel tanah yang diambil dengan keadaan
gangguan yang paling minimum bagi mengekalkan keadaan sebenar tapak
tersebut. Ia perlu simpan dalam bekas kedap udara dan penjagaan yang lebih
rapi. Biasanya sampel tanah ini digunakan untuk ujian ricih, ujian ketelapan dan
ujian pengukuhan.

2.3 Kaedah-Kaedah Pensampelan


PENGENALAN WTP 8023

2.3.1 Pensampel Tiub Terbuka

Ianya terdiri daripada sebatang tiub keluli yang mempunyai bebenang skru di
kedua hujungnya seperti rajah 2.6. Di satu hujung tiub dipasangkan kekasut
pemotong sementara di satu hujung lagi dipasangkan kepala pensampel yang
bersambung kepada rod penjara. Injap sehala di kepala pensampel digunakan
untuk membenarkan udara dan air keluar apabila tanah memenuhi tiub dan
menolong menahan sampel apabila tiub ditarik keluar. Pensampel boleh dipacu
secara dinamik (menggunakan beban jatuh), atau secara statik (menggunakan bicu
hiraulik atau mekanik yang dipasangkan pada rig penjaraan).

Rajah 2.6 : Pensampel tiub terbuka

2.3.2 Sudu Pisah Piawai


PENGENALAN WTP 8023

Sudu pisah piawai terdiri daripada satu alat pasak kekasut keluli di bahagian
bawah, tiub keluli di bahagian tengah dan alat pendua di bahagian atas. Tiub
keluli mempunyai diameter dalam dan luaran masing-masing ialah 34.93 mm dan
50.8 mm seperti rajah 2.7.

Apabila penjaraan dibuat pada kedalaman yang dikehendaki, alat pengorek atau
gerudi dikeluarkan, pensampel Sudu Pisah disambungkan pada rod penggerudi
dan kemudian diturunkan semula sehingga ke paras penjaraan. Pensampel
dipasak masuk ke dalam tanah oleh hentaman tukul yang dibuat pada sebelah atas
rod penggerudi.

Rajah 2.7 : Sudu Pisah Piawai

Berat tukul adalah 64.4 kg, dan ketinggian kejatuhan tukul tersebut adalah 0.762
m. Bilangan hentaman dicatat pada 3 sela dengan setiap sela pada kedalaman
PENGENALAN WTP 8023

152.4mm. Selepas pasakan dibuat dengan lengkap, pensampel dikeluarkan dari


lubang penjaraan dan kemudian kekasut keluli dan alat pendua ditanggalkan.

Sampel tanah di dalam tiub pisah dikeluarkan dan di bawa ke makmal untuk
dianalisis.

.3.3 Pensampel Berdinding Nipis

Digunakan untuk tanah yang peka kepada gangguan, misalnya tanah liat lembut
dan kelodak plastik. Pensampel tidak mempunyai kekasut pemotong yang
berasingan, sebaliknya hujung bawah tiub itu sendiri merupakan pinggir
pemotong seperti rajah 2.8. Tiub biasanya boleh dipacu dengan tangan.

Rajah 2.8 : Pensampel Berdinding Nipis


2.3.4 Pensampel Tong Pisah
PENGENALAN WTP 8023

Terdiri daripada satu tiub yang dipisahkan secara membujur kepada dua
bahagian, iaitu kekasut dan kepala pensampel yang mempunyai liang pelepas
udara di bahagian hujungnya seperti rajah 2.9. Kedua-dua bahagian tiub boleh
dipisahkan apabila kekasut dan kepala ditanggal untuk mengeluarkan sampel.

Rajah 2.9 : Pensampel Tong Pisah

2.3.5 Pensampel Piston

Pensampel ini terdiri daripada satu tiub berdinding nipis dengan piston yang
dihubungkan ke rod. Rod ini berada di dalam rod penjara geronggang yang
melintasi kepala pensampel seperti rajah 2.10. Semasa pensampel diturunkan ke
dalam lubang jara, piston yang terletak di hujung bawah tiub akan terkunci dengan
tiub oleh satu alat pengunci di hujung atas rod. Piston akan menghalang air atau
tanah yang longgar daripada memasuki tiub. Sampel diperolehi dengan menolak
masuk pensampel ke bawah dasar lubang jara, melepasi sebarang tanah terganggu.
Piston akan menahan tanah dan tiub ditolak melepasi piston ( sehingga kepala
pensampel mencapai atas piston ). Pensampel kemudiannya ditarik keluar
PENGENALAN WTP 8023

sementara alat pengunci di dalam kepala sampel akan menahan piston di sebelah
atas tiub. Ruang vakum di antara piston dengan sampel menolong menyekat tanah
didalam vakum. Kaedah ini sesuai juga digunakan untuk tanah liat lembut,
kelodak dan pasir berkelodak .

Rajah 2.10 : Pensampel Piston

Ujikan kefahaman anda sebelum sebelum meneruskan unit baru.


PENGENALAN WTP 8023

Soalan 1

Bezakan antara sampel tanah terganggu dan sampel tanah tidak terganggu.

Soalan 2

Terangkan dengan ringkas kaedah pensampelan tiub terbuka dan sudu pisah
piawai.

Jawapan 1
PENGENALAN WTP 8023

Sampel tanah terganggu ialah sampel tanah yang diambil tanpa mengira
keadaan sebenar tanah di tapak bina.

Sampel tanah tak terganggu ialah sampel tanah yanng diambil dengan keadaan
gangguann yang palinng minimum bagi mengekalkan keadaan sebenar tapak
tersebut.

Jawapan 2

Rujuk 2.3.1 dan 2.3.2


PENGENALAN WTP 8023

Ujikan kefahaman anda berkenaan dengan pelajaran dalam unit ini dengan
menjawab soalan-soalan berikut.

Soalan 1
Senaraikan 4 (empat) kepentingan dalam kerja penyelidikan tapak.

Soalan 2
Terangkan 5 (lima) kaedah yang digunakan untuk membuat penyelidikan tapak.

Jawapan 1
PENGENALAN WTP 8023

Rujuk bahagian 2.0

Jawapan 2

Rujuk bahagian 2.1

You might also like