Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 20

JENIS-JENIS UJIAN DAN PENILAIAN

PENGENALAN

Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan


perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab
menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai. Guru juga merancang dan
membina instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis
maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti
pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.

Ujian ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh
pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan
aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ia penting dalam
memperlihatkan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu
ia juga berfungsi untuk memilih dan menempatkan calon dalam kumpulan pelajar
tertentu serta mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar.

Dalam bab ini anda akan didedahkan dengan jenis-jenis ujian dan penilaian yang
biasanya dijalankan dalam konteks dunia pendidikan khususnya berkait dengan
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

OBJEKTIF

Setelah anda mengikuti pelajaran pada bab ini, adalah diharapkan anda akan dapat:

1. menyenaraikan jenis-jenis ujian;


2. menyenaraikan dan menghuraikan jenis-jenis penilaian;
3. mentakrifkan penilaian formatif dan penilaian sumatif;
4. membezakan penilaian formatif dan sumatif;
5. mentakrifkan ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria;
6. membezakan ujian rujukan norma dan ujian rujukan kriteria.
Jelaskan dengan ringkas ujian-ujia yang boleh dijalankan dalam konteks
pengujian dan penilaian di bilik darjah

3.1 JENIS-JENIS UJIAN

Dalam dunia pendidikan, pencapaian sesuatu objektif pengajaran boleh dilihat dari
pada beberapa sudut seperti bidang kognitif, afektif dan psikomotor. Kebanyakan ujian
yang dijalankan dalam sistem persekolahan kita menitik beret kepada aspek kognitif.
Walau bagaimanapun aspek afektif dan psikomotor juga wajar diberikan pertimbangan
bagi memastikan selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ujian
yang termasuk dalam domain kognitif yang lazim dijalankan seperti kuiz, ujian bulanan
atau penggal.

Dalam konteks domain afektif pula, kita barangkali pernah mendengar tentang
pandangan guru terhadap murid-murid seperti murid kurang personaliti yang baik,
kurang minat atau tumpuan untuk belajar serta tinak menunjukkan minat terhadap
sesuatu mata pelajaran tertentu. Ini mungkin dibuat secara tidak formal melalui
pemerhatian guru berkenaan. Serentak dengan perkembangan pendidikan kini
memperlihatkan wujudnya instrumen yang boleh digunakan oleh guru untuk menilai
aspek dalam domain afektif. Misalnya ujian personaliti yang dibentuk oleh Cattel atau
Eyenseck.

Dari aspek psikomotor pula, penekanan lebih kepada pergerakan fizikal seperti
kemampuan berlari, melompat, bertutur dan lain-lain. Ujian aspek psikomotor ini banyak
dikendalikan dalam mata pelajaran pendidikan jasmani.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, ujian atau penilaian adalah
komponen utama yang tidak boleh dikesampingkan dalam putaran proses pengajaran
dan pembelajaran. Ujian menentukan kesediaan pelajar untuk memulakan sesuatu
topik baru, mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid-murid berhubung sesuatu
topik, mengenal pasti tahap pencapaian, bakat yang dimiliki pelajar dan sebagainya.
Berdasarkan tujuan-tujuan tersebut, ujian diklasifikasikan kepada beberapa jenis seperti
yang akan dibincangkan seterusnya.
3.1.1 Ujian Pencapaian

Ujian pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana
sesuatu kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu
topik yang telah dipelajari. Ujian pencapaian boleh dijalankan dalam bentuk membuat
perbandingan dengan pelajar lain dalam sesuatu bilik darjah (rujukan norma) atau
membuat rujukan tertentu bagi sesuatu aras dalam topik (rujukan kriteria) sesebuah
dalam kurikulum. Kebanyakan pembinaan ujian pencapaian serta penskoran adalah
berteraskan ujian rujukan norma. Ujian pencapaian boleh digunakan untuk mengukur
aspek pencapaian akademik, aptitud, siasah, minat, sikap dan sebagainya. Ujian
pencapaian akademik dapat mengukur kebolehan, pengetahuan serta kemahiran pelajar
dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Ujian ini dibina oleh guru dan pada peringkat institusi seperti Lembaga Peperiksaan
Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Penggubalan pada peringkat
perseorangan dikenali ujian di bilik darjah. Manakala bagi pencapaian peringkat pusat
dikenali sebagai PMR, SPM, STPM dalam sebagainya.

1.1.2 Ujian Kecerdasan

Ujian kecerdasan dikenali juga ujian mental. Ujian ini cuba mengukur perbezaan di
antara individu. Ujian ini banyak mengalami perubahan serentak dengan perkembangan
bidang psikologi. Sejarah ujian ini bermula sejak tahun 1796. Ujian ini mula berkembang
sejak Galton pada tahun 1969 apabila beliau cuba mengukur ketajaman deria,
gambaran mental serta pencapaian intelektual di antara pelajar genius. Tokoh-tokoh lain
yang turut terlibat dalam mengukur aspek mental termasuklah Wundt, Cattell d n Binet
(Abu Bakar, 1986). Ujian kecerdasan kanak-kanak terawal ialah skala Binet-Simon.

Bagi kanak-kanak ujian kecerdasan tidak menekankan aspek kebahasaan. Ujian ini
mencerminkan pengalaman pada peringkat kanak-kanak. Ujian kecerdasan
memberikan bukti secara tidak langsung tentang potensi yang ditunjukkan murid-murid
berdasarkan prestasinya. Ujian ini kerap kali digunakan untuk membuat telahan
pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan lain
seperti Ujian IQ, Skala Stanford-Binet, Weschler, Ujian Lorge-Thorndike dan lain-lain.

3.1.3 Ujian Prestasi

Ujian prestasi memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai
tambahan kepada menjawab soalan. Penekanan yang diberikan tertumpu kepada
kebolehan murid-murid melakukan sesuatu tugasan yang diberi berbanding hanya
menjawab soalan sahaja. Hal ini kerana maklumat personaliti seseorang tidak bernilai
jika dia menyedari bahawa dia sedang dinilai. Dengan itu dia akan melakukan dengan
sebaik yang mungkin. Dalam konteks ujian prestasi, tidak ada gerak balas boleh
dianggap sebagai `baik’. Misalnya tidak ada ukuran baik atau buruknya minat seseorang
itu pada dunia perladangan. Individu yang berminat boleh meneruskan ladang dan
sebaliknya boleh memilih bidang lain yang bersesuaian dengan minatnya.

Pada umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja
kaedah seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat pelajar.
Pemerhatian boleh dilaksanakan semasa murid melaksanakan tugas yang diberikan,
misalnya perbincangan kumpulan, peranan murid dalam aktiviti. Manakala melalui
laporan kendiri pelajar sendiri menilai diri sendiri melalui soal selidik tertentu yang
menilai peribadi diri.

3.1.4 Ujian Diagnostik

Ujian ini mengenal pasti sesuatu perkara atau masalah yang berlaku dalam pengajaran
dan pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah
berkenaan berlaku. Pentadbiran ujian ini bertujuan untuk menentukan kedudukan murid
dalam pelajarannya dan mengenal pasti sebab-sebab berlakunya kelemahan murid
dalam pembelajarannya. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti maka tindakan
selanjutnya dalam merancang dan memulihkan keadaan yang berlaku dapat
dilaksanakan.

Ciri-ciri ujian diagnostik termasuklah ujian tidak memberikan skor atau gred kepada
murid. Disebabkan ujian ini untuk memperbaiki kelemahan tertentu, maka ujian ini
dilaksanakan pada masa pengajaran dan pembelajaran masih berjalan bukan pada
akhir proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat daripada ujian dalam ujian ini
diterjemahkan dalam bentuk profil individu berasaskan skor tentang aspek-aspek
pembelajaran. Profil yang dibuat dapat memperlihatkan kepada guru tentang aspek
yang belum dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid. Contoh ujian diagnostik seperti ujian
menilai bacaan murid yang bertujuan mengenal pasti kemahiran murid untuk mengenal
huruf dan menyebut huruf.

Ujian ini penting kerana ia dapat mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan
peluang kepada guru untuk menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid
berkenaan. Di samping mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas,
ujian ini juga boleh dijalankan secara soal jawab, inventory, pemerhatian dan tugasan
dari semasa ke semasa.
3.1.5 Ujian Kecekapan

Ujian kecekapan ialah ujian yang digunakan oleh seseorang guru untuk menguji
kebolehan atau kecekapan seseorang murid atau calon dalam melaksanakan sesuatu
tugas atau aktiviti yang diberikan. Lazimnya ujian ini melibatkan penggunaan instrumen
yang konkrit seperti penggunaan gambar dan radas serta tidak semata-mata tertumpu
kepada aspek bahasa dan pensel-kertas melainkan sewaktu mendapatkan arahan.
Contoh ujian kecekapan seperti ujian pada peringkat pra-persekolahan dengan
meminta murid mencantum-cantumkan perkataan dengan gambar yang diberikan atau
membina semula gambar dengan lengkap daripada potongan-potongan gambar yang
diberi atau menjalankan uji kaji menggunakan radas tertentu.

3.1.6 Ujian Bakat

Ujian yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon. Suatu waktu
dahulu bakat dikenal sebagai kebolehan istimewa semulajadi yang dimiliki oleh
seseorang individu. Pada umumnya ujian bakat dapat dibahagikan kepada dua
kumpulan, iaitu: (i) ujian bakat yang berasaskan kajian secara besar-besaran. Misalnya
pada tahun 1930, kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota tentang bakat
mekanikal; dan (ii) ujian bakat yang berasaskan kepada tujuan sesuatu ujian itu
dijalankan bagi keperluan tertentu.

Pada umumnya, ujian ini memberikan maklumat asas dalam membuat telahan prestasi
masa depan calon. Ujian ini lazimnya digunakan untuk pemilihan calon melakukan
pekerjaan tertentu, kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan
sebagainya. Contoh ujian bakat seperti ujian kemasukan ke maktab perguruan
(UKELP). Ujian ini juga digunakan bagi tujuan mengelompokkan individu dalam
kumpulan tertentu mengikut kebolehan calon atau individu.

3.1.7 Ujian Personaliti

Ujian personaliti ialah ujian yang disediakan untuk mengenal pasti potensi diri,
personaliti, tahap kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang yang diukur
melalui alat-alat (instrumen psikologi) yang berbentuk ujian, inventori, indikator dan
indeks. Contoh ujian personaliti seperti Ujian Keirsey Temperament.

3.2 FORMAT UJIAN GERAK BALAS

Dalam membina item penilaian, seseorang guru boleh membina sama ada item objektif
atau item subjektif atau gabungan item objektif dan item subjektif. Berikut akan
dibincangkan format secara ringkat tentang pembentukan jenis soalan berkenaan. Item
objektif terdiri daripada beberapa bentuk atau format seperti soalan betul-salah, soalan
padanan, soalan aneka pilihan dan soalan berbentuk melengkapkan ayat atau
kenyataan. Manakala item berbentuk subjektif boleh berbentuk soalan esei atau struktur.

3.2.4 Betul-salah
Soalan bentuk ini sesuai digunakan dalam bilik darjah untuk mendapatkan maklum
balas murid tentang sesuatu topik pengajaran. Item ini mudah dan pantas dibina. Walau
bagaimanapun soalan yang berkualiti dan baik memerlukan kemahiran dan tidaklah
semudah yang disangka. Item berbentuk ini mengandungi pokok soalan berbentuk
kenyataan sama ada betul atau salah. Murid dikehendaki memastikan kenyataan
berkenaan sama ada betul atau salah.

Contoh:

1. Sungai Petani ibu negeri Kedah. Betul / Salah


2. Terengganu terletak di Malaysia Timur Betul / Salah
3. Manusia ialah haiwan berdarah panas Betul / Salah

3.2.5 Padanan

Soalan padanan terdiri daripada dua kumpulan objek atau perkara yang berkaitan.
Calon atau murid dikehendaki menjawab soalan bentuk begini dengan cara menggaris
atau menanda kedua-dua perkara yang berkaitan.

Contoh:

Padankan suku kata di bawah sehingga menjadi satu perkataan.

pen kin

sto sel

be ri

lo tut

lu rus

3.2.6 Aneka pilihan


Soalan berbentuk aneka pilihan pula sering digunakan dalam peperiksaan. Soalan jenis
ini kerap digunakan kerana ia lebih berkesan dari aspek pengujian kualiti pemikiran,
kefahaman, penguasaan kemahiran dan prestasi murid. Bentuk soalan ini mengandungi
satu pokok soalan (stem) yang berfungsi sebagai soalan diikuti dengan beberapa gerak
balas (pilihan jawapan). Pokok persoalan boleh berbentuk ayat tanya, ayat tidak
lengkap, petikan atau kenyataan asalkan jelas dan tepat. Di antara pilihan jawapan
berkenaan hanya satu sahaja jawapan yang tepat. Manakala pilihan lain dianggap
sebagai pengganggu. Pengganggu hendaklah hampir sama dari segi isi, bilangan
perkataan dan mirip dengan jawapan betul.

Contoh:

Harimau bintang itu berlari sangat_______________.

A. deras
B. cepat
C. kuat
D. pantas

3.2.7 Pelengkap

Bentuk soalan memerlukan calon membekalkan jawapan dalam bentuk satu perkataan
atau rangkai kata untuk memberikan maklum balas kepada soalan yang berbentuk e
melengkapkan penyataan atau ayat yang tidak lengkap. Pada kebiasaannya, soalan
berbentuk begini menghendaki murid melengkapkan ayat dengan satu perkataan atau
satu rangkai kata yang pendek. Soalan bentuk ini sesuai untuk mengukur hasil
pembelajaran yang mudah, iaitu pada peringkat pengetahuan taksonomi Bloom.

Contoh:

1. Nama ibu negeri Perlis Indera Kayangan ialah……………..


2. Kereta pertama buatan Malaysia ialah Proton………………

3.2.8 Esei

Soalan bentuk esei amat digemari oleh kebanyakan guru disebabkan pembinaannya
lebih mudah berbanding dengan soalan berbentuk lain. Soalan esei memerlukan pelajar
mempunyai pengetahuan yang cukup bagi membolehkan mereka menghubungkan
fakta serta prinsip tertentu untuk disusun bagi membentuk satu idea, saranan atau
perbincangan yang menyeluruh dan mantap. Soalan bentuk ini memberikan kebebasan
sepenuhnya kepada murid untuk memilih, menyusun, menghubungkan serta
membentangkan idea dengan menggunakan perkataan sendiri. Menurut Gronlund
(1981) soalan jenis esei ini tidak sesuai untuk menguji soalan berbentuk fakta. Soalan
esei sesuai untuk mengukur hasil pembelajaran yang tidak dapat diukur dengan
menggunakan soalan objektif yang biasanya memerlukan aras kemahiran pada
peringkat tinggi seperti mengukur kemahiran memilih, menyusun, mengorganisasi, dan
menilai idea. Walaupun soalan esei lebih mudah untuk digubal, pemarkahannya adalah
agak rumit dan seringkali mudah menimbulkan bias.

Contoh:

1. Ceritakan pengalaman yang kamu tidak dapat lupakan.


2. Tuliskan satu ceritakan tentang keluarga kamu.

3.3 JENIS-JENIS PENILAIAN

Penilaian ialah proses yang digunakan untuk membuat keputusan atau pertimbangan
nilai daripada beberapa pemerhatian. Oleh itu tujuan menilai dalam konteks
persekolahan atau di bilik darjah adalah berkait rapat dengan pengajaran dan
pembelajaran. Dari segi pengajaran, maklumat yang diperolehi hasil penilaian yang
dijalankan akan dapat membantu guru memperbaiki pengajaran. Sekiranya
penyampaian kurang berkesan, maka guru boleh membuat keputusan untuk
menggunakan kaedah atau pendekatan lain yang difikirkan lebih bersesuaian.

Dalam konteks pembelajaran pula, maklumat daripada penilaian tersebut, guru boleh
mendiagnos kelemahan dan kekuatan pelajar tentang sesuatu topik pembelajaran.
Daripada maklumat tersebut juga, guru boleh memberi gred atau markah serta
menempatkan pelajar mengikut aliran pengajian tertentu. Penilaian yang dijalankan oleh
guru boleh diklasifikasikan kepada beberapa bentuk seperti penilaian rujukan norma,
rujukan kriteria, penilaian formatif dan penilaian sumatif.

Mengapa guru menguji murid-muridnya?

Apakah maklumat yang diperlukan oleh guru apabila memberikan ujian?

Apakah yang harus guru lakukan dengan maklumat yang diperolehi daripada
ujian atau penilaian yang dijalankan?

3.3.4 Penilaian Rujukan Norma

Keputusan yang diperolehi oleh murid-murid memberikan beberapa maklumat kepada


guru. Pertama, keputusan yang diperolehi oleh murid-murid itu dibandingkan dengan
keputusan murid yang lain yang mengambil ujian yang sama atau kedudukan seseorang
murid boleh dibandingkan dengan murid lain boleh dalam bilik darjah yang sama atau
dalam sesebuah negara. Pendekatan ini dikenali sebagai ujian atau penilaian rujukan
norma.

Ujian atau penilaian yang dibina adalah bertujuan untuk mendapatkan perbezaan yang
maksimum antara murid-murid berkenaan. Bagi memastikan tercapai tujuan berkenaan,
tahap kesukaran item dikawal agar tidak terlalu sukar dan terlalu mudah. Lazimnya
kesukaran soalan adalah berdasarkan nisbah 25% mudah, 50% sederhana dan 25%
sukar. Keputusan daripada penilaian atau ujian akan mencerminkan siapa lebih pandai
atau di mana kedudukan seseorang pelajar dalam sesuatu bilik darjah atau sekolahnya.

Ujian rujukan norma ini tidaklah memberikan maklumat secara terperinci tentang
kemahiran seseorang murid. Sebaliknya apa yang diberikan penekanan ialah tentang
siapa lebih baik daripada siapa. Keadaan ini memerlukan item penilaian benar-benar
dapat memastikan perbezaan (mendiskriminasikan) antara pelajar.
Menurut Popham (1981), ujian rujukan norma digunakan bagi menentukan status
seseorang murid berpandukan prestasi murid yang lain dalam sesuatu ujian
berkenaan. Misalnya, seorang murid dapat menjawab 50 item dengan betul daripada 60
butiran ujian. Skor mentah murid ini ialah 50. Kedudukan murid ini dibandingkan dengan
calon lain dengan menggunakan satu jadual norma. Jadual berkenaan akan
menunjukkan kedudukan calon dalam bentuk pangkat peratusan berbanding dengan
satu kumpulan norma yang ditetapkan. Andaikan skor mentah tadi memberikan bacaan
pangkat peratusan ke-83 mengikut jadual norma, maknanya muri tersebut berprestasi
melebihi atau menyamai 82 peratus daripada murid-murid lain dalam kumpulan norma.

Dalam konteks penilaian ini, jika ramai murid yang mendapat skor yang rendah, markah
lulus lazimnya cenderung akan rendah. Begitu juga sebaliknya. Dengan itu, ada
kemungkinan murid yang lemah akan lulus kerana terdapat murid-murid lain yang lebih
lemah.

3.3.5 Penilaian Rujukan Kriteria

Ujian atau penilaian rujukan kriteria memberikan penekanan yang berbeza daripada
ujian rujukan norma. Matlamat ujian ini bukan untuk membandingkan prestasi antara
murid. Tetapi lebih menumpukan kepada perbandingan kepada kriteria yang sama yang
telah ditetapkan sama ada tercapai atau tidak. Pendekatan ini dipelopori oleh Glaser
pada tahun 1963 (dipetik daripada Popham, 1971). Menurut Glaser (1973) kriteria yang
digunakan tidak bermaksud akhiran sesuatu kemahiran, tetapi kriteria itu bergantung
kepada penetapan oleh guru, yakni pada aras mana yang ingin guru tetapkan kriteria
yang harus dicapai oleh murid-murid.

Menurut Popham (1981) ujian rujukan kriteria digunakan untuk menentukan status
individu berhubung domain tingkah laku yang didefinisikan. Ujian rujukan kriteria
merujuk kepada satu set tingkah laku kriteria yang telah ditetapkan.
Bagaimanakah penilaian formatif dan penilaian sumatif dijalankan?

3.3.6 Penilaian Formatif

Bagi mencapai matlamat dan objektif yang dirancangkan, aktiviti penilaian seringkali
memberikan maklumat penting kepada guru untuk melaksanakan tindakan seterusnya.
Penilaian yang dijalankan bagi tujuan memperoleh maklumat bagi memperbaiki
kurikulum dikenali penilaian formatif. Penilaian ini dijalankan sepanjang masa dan
maklumat yang diperolehi daripada penilaian ini digunakan secara terus menerus.
Penilaian lazimnya mendatangkan kesan negatif sama ada kepada murid, guru atau ibu
bapa sendiri. Hal ini demikian kerana penilaian sering kali menimbulkan ketegangan
kepada golongan berkenaan. Dengan itu, penilaian formatif cuba mengurangkan
ketegangan tersebut tanpa membandingkan pencapaian antara pelajar.

Pendidik yang beramanah seharusnya memberikan penerangan dan bimbingan kepada


murid dan kepada ibu bapa murid akan kegunaan serta tujuan penilaian formatif. Ujian
yang dibentuk dalam penilaian ini seharusnya bercorak ujian diagnostik yakni yang
dapat memberikan input akan masalah yang dihadapi murid dalam mengikuti
pembelajaran. Ujian dijalankan sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Manakala maklumat yang diperolehi hendaklah digunakan serta merta
dalam memperbaiki pengajaran dan pembelajaran agar pelajar dan guru sama-sama
memperolehi manfaat daripadanya. Misalnya, guru dapat mengenal pasti kelemahan
penyampaian pengajarannya, manakala murid dapat mengetahui kelemahan aspek
tertentu dalam pembelajaran. Dengan itu penilaian ini bukan sekali-kali bertujuan
membandingkan pelajar sebaliknya ingin membantu murid. Dengan itu, tidak ada gred
diberikan kepada penilaian atau ujian yang dijalankan. Contoh penilaian formatif seperti
sesi soal jawab, latihan yang diberikan guru dan ujian di bilik darjah yang tidak
ditentukan gred.

Bagi memastikan pelaksanaan penilaian yang berkesan, beberapa langkah atau


prosedur perlu diberikan tumpuan atau perhatian oleh guru, iaitu:

i. Menentukan topik pembelajaran. Dalam sesuatu sukatan pelajaran,


mengandungi beberapa topik yang seharusnya dihabiskan sepanjang sesi
persekolahan untuk satu tahun. Pengajaran topik-topik berkenaan memerlukan
masa yang lama untuk menghabiskan semua sukatan berkenaan. Langkah
terbaik ialah menyusun topik berkenaan mengikut peringkat kesukaran.
Seandainya topik tersebut mempunyai cakupan yang luas, maka penekanan
harus diberikan dan mungkin diperlukan dikecilkan kepada sub-topik tertentu.
Dengan cara ini guru akan dapat memastikan murid-murid menguasai sesuatu
sub-topik tertentu terlebih dahulu sebelum meneruskan kepada topik-topik
seterusnya. Sebelum beralih kepada topik lain, guru akan mengadakan ujian
formatif untuk melihat tahap penguasaan sesuatu topik.

ii. Menyatakan aspek dan tahap pencapaian bagi sesuatu topik pembelajaran.
Guru harus mengenal pasti aspek-aspek tertentu setiap topik yang perlu dikuasai
oleh pelajar. Misalnya pelajar dapat mengenal warna, simbol, membaca dan lain-
lain mengikut keperluan topik berkenaan. Setelah aspek berkenaan ditentukan,
maka guru boleh menentu tahap penguasaan murid-murid dalam bilik darjah
terhadap satu-satu topik berkenaan. Dalam hal ini apabila keputusan
menunjukkan 80% hingga 90% pelajar telah menunjukkan penguasaan terhadap
sesuatu topik, memperlihatkan bahawa kebanyakan pelajar sudah menguasai
topik berkenaan.
iii. Menghubungkaitkan elemen-elemen yang terdapat dalam setiap topik. Guru
perlu menyusun elemen-elemen yang terdapat dalam topik-topik pembelajaran
pada peringkat perlakuan tertentu dengan berdasarkan taksonomi pendidikan.
Setelah pemeringkatan mengikut tahap perlakuan selesai, gurus seterusnya
mengaitkan semua elemen berkenaan yang terdapat dalam satu-satu topik agar
saling bertautan dan tidak terpisah.

iv. Membentuk soalan ujian. Selepas penentuan elemen-elemen berkenaan,


misalnya ada sepuluh elemen dalam sesuatu topik, maka setiap elemen
berkenaan seharusnya diuji kepada pelajar sekurang-kurangnya satu soalan.

v. Mencadangkan langkah susulan. Tujuan penilaian formatif dijalankan ialah


antara lain untuk mengetahui tahap penguasaan sesuatu topik pembelajaran di
samping kesukaran yang dihadapi oleh murid-murid. Dengan itu tindakan
susulan harus dilaksanakan berdasarkan keputusan ujian yang diperolehi.
Misalnya, murid-murid masih menunjukkan kelemahan ketara dalam sesuatu
topik, maka tindakan selanjutnya yang harus diambil oleh guru ialah mengulang
semula topik berkenaan atau mengubah suai pendekatan penyampaian agar
murid-murid boleh menguasai topik tersebut.

Penilaian formatif atau ujian formatif dianggap sebagai suatu strategi pengajaran dan
pembelajaran yang dapat membantu guru dan murid dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Guru dan murid-murid masing-masing saling memperolehi maklumat
akan kelemahan-kelemahan yang wujud semasa pengajaran pembelajaran berlangsung
berdasarkan keputusan ujian yang ditunjukkan. Ini memberikan motivasi kepada guru
dan murid untuk membaiki prestasi masing-masing. Guru memperbaiki prestasi
penyampaian manakala murid memperbaiki strategi pembelajaran.

3.3.6.1 Tujuan Penilaian Formatif

Pada asasnya, penilaian formatif bertujuan untuk memperbaiki pengajaran


pembelajaran. Di samping memperbaiki pengajaran dan pembelajaran, secara langsung
penilaian yang dijalankan dapat meningkatkan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu
pelajaran. Hal ini dapat direalisasikan melalui ujian-ujian yang dikendalikan dapat
memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang wujud sama ada pada penyampaian guru
atau penguasaan murid dan seterusnya guru akan memperbaiki agar murid dapat
menguasai dengan lebih baik. Situasi ini akan menolong murid-murid menguasai
sesuatu unit atau topik pembelajaran dan ini memungkinkan mereka memperolehi
pencapaian yang lebih baik pada akhir penggal atau semester persekolahan.

Penilaian formatif juga dapat memperbaiki kualiti serta dapat meramal pencapaian
pelajar. Menjadi satu kepuasan kepada seseorang guru apabila beliau dapat
meningkatkan pencapaian murid-murid dari semasa ke semasa. Dengan mengadakan
ujian formatif, guru dapat meninggi pencapaian dan mengekalkan pencapaian yang
memuaskan. Hal ini melalui perbandingan yang boleh dibuat antara pencapaian murid
sekarang dengan pencapaian murid-murid lalu melalui rekod ujian formatif yang telah
dikendalikan dan mencatatkan masalah yang dihadapi oleh murid-murid dahulu serta
langkah penyelesaian yang telah diambil. Dengan cara ini, guru dapat mengekalkan
prestasi pelajar dan meramal pencapaian pada akhir penggal persekolahan.

Di samping itu, kegunaan penilaian formatif juga bertujuan mengubah suai pengajaran
seseorang guru. Hal ini kerana pencapaian yang rendah di kalangan murid-murid
barangkali disebabkan oleh kelemahan pengajaran guru itu sendiri. Pendekatan yang
diambil oleh guru berkenaan tidak semestinya sama dalam semua sesi pembelajaran
yang dikendalikan. Begitu juga murid-murid yang dihadapinya terdiri daripada pelbagai
peringkat kebolehan. Ada yang sederhana, lemah dan cemerlang. Keadaan ini
memerlukan pengubahsuaian dalam penyampaian guru agar pembelajaran lebih
berkesan. Berasaskan penilaian yang dijalankan guru dapat mengenal pasti aspek atau
topik yang menunjukkan kecenderungan murid-murid masih lemah dan topik yang telah
dikuasai oleh murid. Selain mengatasi kelemahan dalam pengajaran, guru juga dapat
menentukan pendekatan yang lebih baik dalam penyampaian. Misalnya, guru
menggunakan pendekatan syarahan dalam menyampaikan pengajaran. Pada akhir
topik berkenaan, satu ujian formatif dilakukan dan mendapati kebanyakan murid kurang
memahami topik yang diperkatakan. Dengan itu guru dapat memahami bahawa
pendekatan berkenaan tidak sesuai dan beliau boleh mengubah dengan menggunakan
pendekatan lain seperti perbincangan dan sebagainya.

Penilaian formatif juga bertujuan untuk memberikan bimbingan pembelajaran kepada


murid-murid. Maklumat yang diperolehi daripada siri ujian yang dijalankan dapat
digunakan oleh murid-murid untuk mengatasi kelemahan mereka. Mereka boleh
berbincang dan mendapat bimbingan serta khidmat nasihat daripada guru mereka.
Dengan cara itu, murid-murid berkenaan dapat mengatasi masalah mereka dan
seterusnya meningkatkan penguasaan pembelajaran. Mereka juga akan menjadi
sentiasa bersedia untuk menduduki siri ujian yang dijalankan dan dengan itu
memerlukan ketekunan dan tumpuan kepada topik-topik pembelajaran.

Kesimpulannya, penilaian atau ujian formatif adalah suatu strategi dalam proses
pengajaran dan pembelajaran yang bermanfaat dalam membantu pelajar dan guru.
Maklum balas yang diperolehi dapat digunakan oleh guru dan murid-murid serta merta
dalam memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud. Ia memberikan motivasi kepada
guru untuk terus berusaha dengan gigih bagi memastikan kecemerlangan pelajar.
Manakala pada pihak murid-murid pula, ia memberikan harapan tinggi mereka untuk
mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

3.3.7 Penilaian Sumatif

Berbeza dengan penilaian formatif yang lebih menumpukan menilai tahap penguasaan
pelajar dalam satu-satu topik pembelajaran, penilaian sumatif bertujuan untuk
menentukan pencapaian pelajar pada akhir sesuatu penggal persekolahan dan
digunakan untuk menentukan keberkesanan sesuatu kurikulum secara keseluruhan.

Tujuan penilaian sumatif bukanlah untuk membantu murid-murid secara individu dalam
meningkatkan pencapaian. Tujuan penilaian sumatif ialah untuk menentukan sejauh
mana objektif-objektif sesuatu bidang mata pelajaran yang telah disampaikan oleh guru
semasa pengajaran pembelajaran berlangsung di bilik darjah telah dicapai oleh murid-
murid. Dengan berdasarkan objektif yang telah ditetapkan melalui pembinaan jadual
penentuan ujian, peratusan objektif yang dapat dicapai oleh pelajar dapat diketahui.

Kedua, penilaian sumatif bertujuan memberikan gred kepada murid-murid berdasarkan


pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diadakan. Dengan adanya gred
yang diberikan, akan memudahkan guru untuk membuat perbandingan antara individu
dalam satu-satu bilik darjah atau membuat perbandingan mengikut tingkatan atau
kumpulan pelajar. Dengan cara ini guru boleh membuat kesimpulan peringkat
pencapaian pelajar mengikut kumpulan tertentu misalnya kumpulan pelajar lemah,
sederhana dan cemerlang. Contoh penilaian sumatif seperti penilaian pada akhir
penggal, peperiksaan percubaan, UPSR, PMR dan sebagainya.

Bagi memastikan keberkesanan dalam pentadbiran penilaian sumatif, langkah-langkah


berikut harus diberikan penekanan:

i. Membentuk jadual penentuan ujian yang mengandungi maklumat yang lengkap


berkaitan objektif, bentuk item, jumlah item, tempoh penilaian, kandungan dan
sebagainya. Ini bagi memastikan kesahan ujian yang bakal dilaksanakan dan
kebolehpercayaan keputusan yang diperolehi.

ii. Menggubal soalan-soalan yang berkaitan dengan isi dan perlakuan yang ingin
diuji. Setiap item haruslah menguji objektif pelajaran yang telah ditetapkan.

iii. Mengumpul item secara sistematik. Misalnya mengelompokkan item mengikut


bentuk yang sama. Item objektif diasingkan dengan item mengisi tempat kosong,
esei dan sebagainya. Item juga boleh disusun mengikut susunan topik atau
mengikut aras kemahiran kognitif. Misalnya menyusun soalan bermula aras
rendah diikuti aras lebih tinggi.

iv. Menyiapkan skema pemarkahan bagi tujuan penyemakan kertas ujian. Ini dapat
mengelakkan berlakunya bias dalam pemberian markah murid-murid.

v. Menyediakan arahan yang jelas tentang apa yang seharusnya murid lakukan
dalam menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

vi. Menguji item tersebut terlebih dahulu melalui ujian rintis kepada sampel pelajar
bagi memastikan ujian yang bakal dijalankan itu benar-benar sah dan boleh
dipercayai serta dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang wujud pada item
berkenaan.

vii. Menganalisis item yang telah ditadbir secara rintis bagi mengetahui aras
kesukaran item, daya diskriminasi item, ketunggalan item, kesahan dan
kebolehpercayaan berkenaan serta memastikan pilihan jawapan yang
disediakan (distraktor) dapat berperanan dengan baik.
Tujuan Penilaian Sumatif

Pada umumnya, penilaian sumatif untuk menentukan pencapaian murid sebagai satu
kumpulan dengan membezakan antara pencapaian pelajar berdasarkan gred yang telah
ditentukan. Selain itu, penilaian sumatif juga bertujuan untuk mengiktiraf kebolehan dan
kemahiran yang dimiliki oleh pelajar. Ini berdasarkan skor yang diperolehi oleh pelajar
dalam penilaian yang dijalankan.

Guru atau pendidik juga dapat membuat ramalan akan kejayaan murid dalam sesuatu
mata pelajaran. Pencapaian pada peringkat awal biasanya mempunyai perhubungan
yang tinggi dengan peringkat pencapaian yang seterusnya. Misalnya, kemahiran
mengenal huruf murid akan menjadi ramalan kepada kemahiran untuk menyusun huruf-
huruf dalam membentuk perkataan pada masa depan.

Penilaian sumatif juga dapat dijadikan petunjuk dalam memulakan sesuatu kursus baru
yang berkaitan. Sebelum memulakan sesuatu kursus baru murid-murid dikehendaki
terlebih dahulu menduduki ujian yang menentukan peringkat pencapaian mereka agar
dapat memastikan murid-murid berkenaan telah menguasai kemahiran asas yang
diperlukan dalam sesuatu kursus baru berkenaan. Sekiranya murid-murid berkenaan
sudah mencapai peringkat tertentu, barulah mereka dibenarkan untuk mengambil kursus
tersebut.

Selain itu, keputusan penilaian sumatif juga dapat memperlihatkan peringkat


pencapaian yang berbeza mengikut kumpulan. Item yang sama ditadbir kepada
beberapa kumpulan bagi tujuan membuat perbandingan pencapaian yang diperolehi.
Dengan cara itu, perbandingan pencapaian dapat dibuat dalam menentukan kelompok
pelajar lemah, sederhana dan cemerlang serta kelas (bilik darjah) yang lemah dan
cemerlang.

Kesimpulannya, penilaian sumatif ialah penilaian yang dijalankan telah lama


dilaksanakan dalam dunia pendidikan dengan tujuan utama ialah untuk memberikan
gred kepada pencapaian murid. Di samping itu, penilaian ini juga dapat digunakan
secara menyeluruh dalam memperbaiki sesuatu kurikulum kerana keputusan yang
diperolehi lebih menyeluruh.

 
3.3.9 Perbezaan Penilaian Formatif Dan Penilaian Sumatif

Aspek Penilaian Formatif Penilaian Sumatif

Konsep Ujian yang boleh dibentuk dan ditadbir Ujian yang dijalankan
secara formal atau tidak formal bagi secara formal bagi
mengesan kemajuan atau mengesan pencapaian
penguasaan murid terhadap sesuatu murid dalam tempoh
pembelajaran tertentu persekolahan.

Tujuan Mengenal pasti tahap penguasaan Mengenal pasti


dan kemajuan murid dan seterusnya pencapaian pelajar untuk
mengambil langkah susulan bagi beberapa topik
membaiki kelemahan yang wujud. pembelajaran dan
seterusnya memberikan
skor dan gred
pencapaian pelajar.

Waktu Sepanjang pengajaran dan Selepas beberapa topik


penilaian pembelajaran berlangsung pembelajaran atau pada
pertengahan atau akhir
penggal persekolahan.

Kaedah Formal : pensel-kertas Dibuat secara formal –


Tidak formal : pemerhatian, soal ujian pensel-kertas,
jawab, tugasan, latihan lisan.

Dibuat secara individu atau dalam Dijalankan secara


kumpulan berkumpulan

Selepas Membaiki kelemahan murid serta Menempatkan murid


penilaian merta dengan mengulang semula mengikut kumpulan
dijalankan topik pembelajaran – pemulihan pencapaian yang sesuai.

Menjalankan aktiviti pengukuhan – Memberikan


pengayaan pengiktirafan – sijil,
hadiah dsb.

Membaiki kurikulum /
mata pelajaran

RUMUSAN

Dalam menyediakan ujian yang baik dan berkesan, guru merupakan penggerak utama.
Hal ini demikian kerana guru yang lebih arif tentang bidang yang telah diliputi sepanjang
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ujian yang dilaksanakan oleh guru dapat
memberikan tentang kesan pembelajaran untuk tempoh yang pendek mahupun jangka
waktu yang lebih panjang. Ujian yang dilakukan dalam tempoh pengajaran
pembelajaran yang berlangsung membolehkan guru mengetahui tahap penguasaan
pelajar tentang topik-topik yang telah dibincangkan di samping mengetahui masalah
yang dihadapi pelajar dan seterusnya menjalankan aktiviti yang bersesuaian seperti
aktiviti pemulihan. Sementara ujian yang dijalankan pada akhir sesuatu penggal aman
memberikan maklumat berkenaan pencapaian pelajar secara umum setelah pengajaran
pembelajaran berlangsung dalam tempoh tertentu. Dengan itu juga guru-guru dapat
membandingkan serta menggredkan pelajar mengikut pencapaian yang diperolehi sama
ada dalam kumpulan pelajar yang lemah sederhana atau cemerlang
Latihan:

1. Mengapakahkah aktiviti penilaian dijalankan dalam pengajaran dan


pembelajaran di bilik darjah?

2. Apakah yang dimaksudkan dengan ujian rujukan norma

3. Nyatakan maklumat yang boleh diperolehi daripada ujian di bawah:


a. Penilaian formatif
b. Penilaian sumatif
Ringkasan:

Ujian pencapaian - ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana
sesuatu kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah
menguasai sesuatu topik yang telah dipelajar.

Ujian kecerdasan – disebut juga ujian mental - mengukur perbezaan di antara


individu.

Ujian prestasi - memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain


sebagai tambahan. Penekanan yang diberikan kepada kebolehan
murid-murid melakukan sesuatu tugasan.

Ujian diagnostik - mengenal pasti masalah yang berlaku dalam pengajaran dan
pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan
masalah.

Ujian kecekapan - digunakan oleh seseorang guru untuk menguji kebolehan


atau kecekapan seseorang murid melaksanakan sesuatu tugas atau
aktiviti.

Ujian bakat - Ujian yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas
calon tentang bakat atau keistimewaan yang dimiliki.

Ujian personaliti - untuk mengenal pasti potensi diri, personaliti, tahap


kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang murid.

Ujian rujukan Norma – keputusan ujian seseorang calon dibandingkan dengan


dengan keputusan pelajar yang lain yang mengambil ujian yang sama
sama ada dalam kelas yang sama atau berlainan.

Ujian rujukan kriteria – maklumat atau prestasi pelajar dibandingkan dengan


kriteria yang telah ditetapkan tanpa melibatkan perbandingan antara
pelajar.

Penilaian formatif – penilaian berterusan dalam proses pengajaran dan


pembelajaran. Memberikan maklumat sejauhmana pembelajaran telah
dikuasai.

Penilaian sumatif – dikaitkan penilaian pada akhir penggal atau semester.


Memberikan nilai yang membezakan antara peringkat pencapaian
pelajar.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

You might also like