Zulkarnain Harun LWN PP (2018) 1 LNS 319

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 14

[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series

DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI TEMERLOH


DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR
[RAYUAN JENAYAH NO. CB-42S-11-08/2017]

ANTARA

ZULKARNAIN HARUN ... PERAYU

DAN

PENDAKWA RAYA ... RESPONDEN

[Dalam Perkara Mahkamah Sesyen Temerloh


Kes No. 62JS-25-12/2005

Pendakwa Raya

Lawan

Zulkarnain Harun]

UNDANG-UNDANG JENAYAH: Kanun Keseksaan - Seksyen 376(2) -


Pertuduhan rogol statutori - Mangsa berumur 19 tahun ketika
memberikan keterangan - Bayi yang dilahirkan dan laporan analisa DNA
mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi yang dilahirkan oleh
mangsa - Mangsa dapat mengingati fakta kes yang material dengan
terang dan jelas - Sama ada kes-kes seksual memerlukan keterangan
sokongan - Sama ada keterangan mangsa merupakan keterangan
substantif - Sama ada keterangan pakar DNA perlu diterima 'on its face
value'

PROSEDUR JENAYAH: Pembelaan - Penafian - Pertuduhan rogol -


Tertuduh mendakwa zakarnya tidak berfungsi - Mangsa telah
mengandungkan dan melahirkan anak hasil zuriat tertuduh - Laporan

1
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
DNA mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi yang dilahirkan
mangsa - Sama ada pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata

PROSEDUR JENAYAH: Rayuan - Rayuan terhadap hukuman -


Kesalahan seksual - Rogol statutori - Tertuduh diperintahkan membayar
pampasan kepada mangsa disamping hukuman penjara 20 tahun dan 10
sebatan - Mangsa terpaksa berhenti sekolah dan mencari nafkah sendiri
untuk membesarkan anak - Sama ada kekerapan kesalahan rogol dan
trauma yang terpaksa dilalui oleh mangsa perlu diambil kira - Sama ada
mangsa wajar diberi pampasan

[Rayuan perayu ditolak.]

Kes-kes yang dirujuk:

Ahmad Nazari Abd Majid v. PP [2009] 8 CLJ 417 HC (dirujuk)

Aswan Muhammad lwn. PP & Satu Lagi Rayuan [2012] 8 CLJ 72 HC


(dirujuk)

Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 (dirujuk)

DA Duncan v. PP [1980] 1 LNS 12 FC (dirujuk)

Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003] 1 CLJ 734 CA (dirujuk)

Mohd Amin Ishak v. PP & Satu lg rayuan [2013] 3 CLJ 258 HC (dirujuk)

Mohd Yusri Mangsor & Anor v. PP [2014] 7 CLJ 897 CA (dirujuk)

Mohamad Radhi Yaakob v. PP [1991] 1 CLJ Rep 311 SC (dirujuk)

Mohamed Yatin Bin Abu Bakar v. PP [1949] 1 LNS 50 HC (dirujuk)

Munusamy v. PP [1987] CLJ Rep 221 SC (dirujuk)

Peilis Sami v. PP [2014] 6 CLJ 670 CA (dirujuk)

2
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
PP v. Ismail Ali [2008] 1 LNS 309 HC (dirujuk)

PP v. Ling Tee Huah [1980] 1 LNS 212 HC (dirujuk)

PP v. Mohamad Malek Ridhzuan Che Hassan [2013] 8 CLJ 359 CA


(dirujuk)

PP v. Yuvaraj [1968] 1 LNS 116 (dirujuk)

Razali bin Hamzah v. PP [2010] 10 CLJ 462 HC (dirujuk)

Razi Amnin v. PP [2010] 7 CLJ 771 HC (dirujuk)

Sunny Ang v. PP [1965] 1 LNS 171 FC (dirujuk)

Wong Swee Chin v. PP [1980] 1 LNS 138 FC (dirujuk)

Perundangan yang dirujuk:

Akta Kanak-Kanak 1950, s. 133A

Kanun Keseksaan, ss. 376(2), 375

Kanun Tatacara Jenayah, ss. 173(h),(i),(iii), 426

PENGHAKIMAN

Pengenalan

[1] Perayu dalam kes ini dituduh dengan pertuduhan pindaan di


bawah seksyen 376(2) Kanun Keseksaan [KK] kerana merogol XXX.
Di akhir perbicaraan, Perayu telah didapati bersalah, disabitkan di
atas pertuduhan dan dihukum penjara 20 tahun mulai dari tarikh jatuh
hukum, 9.8.2017 dan 10 sebatan. Perayu juga diperintahkan membayar
pampasan kepada mangsa berjumlah RM30,000.00 jika gagal 6 bulan
penjara di bawah seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah.

3
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
[2] Perayu tidak berpuas hati dan mengemukakan rayuan terhadap
sabitan dan hukuman tersebut.

Pertuduhan

[3] Perayu dituduh dengan pertuduhan pindaan seperti berikut:

“Bahawa kamu pada 6 September 2012, jam lebih kurang 3.30


petang bertempat di dalam rumah kedai jahit No. 4, FELDA Kota
Gelangi 1, dalam Daerah Jerantut, di dalam negeri Pahang Darul
Makmur, telah didapati melakukan rogol ke atas seorang
perempuan bernama XXX, KPT: XXX, berumur 15 tahun 6 bulan.
Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di
bawah seksyen 376(2) KK dan boleh dihukum di bawah seksyen
yang sama.”

Fakta kes

[4] Di akhir kes pendakwaan penemuan fakta yang dibuat oleh


Hakim Mahkamah Sesyen adalah seperti berikut. Mangsa [SP2]
mengatakan pada 6.9.2012 jam lebih kurang 3.00 petang, emak
angkatnya telah meminta beliau pergi mengambil ubat di rumah
Perayu di Kedai Jahit No. 4, FELDA Gelangi 1, Jerantut, Pahang.

[5] SP2 sampai di sana lebih kurang jam 3.30 petang. Pada masa itu
tidak ada orang lain di rumah itu kecuali Perayu. Semasa hendak balik
Perayu telah menarik tangan kanan SP2 dan mengajaknya untuk
melakukan hubungan seks. SP2 telah menendang kemaluan Perayu.
Perayu kemudiannya menarik mangsa masuk ke dalam bilik dan
menghempasnya ke atas katil. Apabila SP2 menjerit meminta tolong,
Perayu telah menutup mulutnya sehingga pengsan.

[6] Selepas sedar, mangsa merasa sakit di bahagian kemaluannya.


Mangsa telah balik ke rumahnya dan tidak menceritakan kejadian ini
kepada sesiapa kerana Perayu telah mengugut dan memberi amaran

4
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
kepadanya supaya tidak menceritakan kejadian tersebut kepada orang
lain.

[7] Pada 16.5.2013, mangsa merasa sakit di perut. Mangsa telah


dihantar oleh ibunya [SP1] untuk mendapatkan rawatan di Klinik
Kesihatan Jengka 8, Jerantut, Pahang dan doktor mengesahkan beliau
mengandung dan telah tiba masa untuk bersalin. Pada masa itu barulah
mangsa memberitahu ibunya, Perayu telah merogolnya.

[8] Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah,


Temerloh dan beliau telah melahirkan seorang bayi perempuan. Pada
19.5.2013 mangsa telah membuat laporan polis berkaitan dengan
kejadian rogol tersebut dan Perayu telah ditangkap. Pihak polis telah
mengambil sampel darah mangsa, bayi dan Perayu bagi tujuan
profiling DNA. Hasil analisa profiling DNA [P25] mengesahkan
Perayu merupakan 99.999% bapa kandung kepada bayi tersebut.

Elemen Pertuduhan

[9] Hakim Mahkamah Sesyen mengatakan pihak pendakwaan perlu


membuktikan segala initipati di bawah seksyen 375 KK dipenuhi
iaitu:

(i) Perayu telah melakukan hubungan seks dengan mangsa pada masa
dan tarikh yang dinyatakan seperti di dalam pertuduhan;

(ii) Adanya kemasukan kemaluan perayu ke dalam kemaluan mangsa;


dan

(iii) Mangsa berumur di bawah 16 tahun semasa kejadian.

Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) Di Akhir Kes


Pendakwaan

[10] Berkaitan dengan elemen (i) Hakim Mahkamah Sesyen


memutuskan selain daripada keterangan mangsa berkaitan dengan

5
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
kejadian rogol tersebut keterangan beliau disokong oleh hasil analisa
DNA yang mengesahkan bayi itu adalah anak kandung Perayu dengan
kebarangkalian paternity 99.999%.

[11] Berkaitan dengan elemen (ii) HMS memutuskan keterangan Ahli


Kimia [SP9], laporan kimia DNA [P25] dan kelahiran bayi itu hasil
zuriat Perayu merupakan keterangan sokongan yang membuktikan
secara prima facie Perayu telah memasukkan zakar ke dalam
kemaluan mangsa. Beliau juga merujuk kepada kes PP v. Ismail Ali
[2008] 1 LNS 309; [2009] 8 CLJ 46 yang memutuskan mengenai isu
kemasukan zakar dalam keadaan di mana mangsa tidak sedarkan diri
semasa kejadian. Dalam kes tersebut YA Ahmadi HJ Asnawi
memutuskan:

“[17] Adalah tidak munasabah bagi mana-mana pihak untuk menuntut


dari mangsa satu keterangan langsung [direct evidence] bahawa terdapat
kemasukan zakar Tertuduh/Responden ke dalam kemaluan mangsa,
kerana keterangan adalah mantap dan tidak tercabar bahawa di
sepanjang masa yang material mangsa berada dalam keadaan tidak
sedarkan diri atau tidak tahu apa yang berlaku... Walau bagaimanapun
isu kemasukan zakar ini boleh ditunjukkan atau dibuktikan melalui
keterangan sokongan.”

[12] Berkaitan dengan elemen (iii) mangsa telah mengemukakan sijil


kelahiran [P7] yang mengesahkan beliau berumur di bawah 16 tahun
ketika kejadian.

[13] Oleh kerana kesemua initipati pertuduhan telah dibuktikan, HMS


telah memanggil Perayu membela diri di atas pertuduhan. HMS telah
membuat penilaian maksima ke atas keterangan saksi-saksi dan
memutuskan pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang
kredibel, s. 173 (h) (i), (iii) KTJ, Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003]
1 CLJ 734, Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85 di mana jika tidak

6
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
disangkal atau tidak dijelaskan, Perayu boleh disabitkan di atas
pertuduhan.

Kes Pembelaan

[14] Di peringkat pembelaan, dalam keterangan bersumpahnya


Perayu menafikan beliau telah merogol mangsa. Perayu mengatakan
mangsa tidak datang ke kedainya pada hari kejadian. Pada pukul 4.00
petang, dia telah pergi ke Peringkat 3, Kota Gelangi 3 untuk
mengambil kayu pulai. Perayu mengatakan dia telah mati pucuk dan
tidak boleh lagi melakukan hubungan seks. Dia tidak bersetuju dengan
keputusan DNA.

Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Di Akhir Kes Pembelaan

[15] Di akhir kes pembelaan berkaitan dengan beban pembuktian,


HMS merujuk kes Mohamad Yatin Abu Bakar v. PP [1950] MLJ 57,
PP v. Yuvaraj [1969] 2 MLJ 89, Mohamad Radhi bin Yaakob v. PP
[1991] 3 CLJ 2073 dan mengatakan tugas Mahkamah adalah untuk
menentukan sama ada pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan
sebarang keraguan yang munasabah atau tidak terhadap kebenaran kes
pihak pendakwaan.

[16] HMS telah meneliti keseluruhan keterangan kes pihak


pendakwaan dan pihak pembelaan dan memutuskan seperti berikut:

(i) Pembelaan Perayu hanya bersifat ‘bare denial’ dan ‘afterthought’.

(ii) Keterangan Perayu bahawa mangsa tidak datang ke kedainya pada


tarikh kejadian dan dia tidak melakukan hubungan seks dengan
mangsa tidak disokong oleh keterangan bebas yang lain dan sukar
dipercayai.

(iii) Keterangan mangsa yang menceritakan secara terperinci peristiwa


yang berlaku lebih meyakinkan dan lebih boleh dipercayai.

7
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
(iv) Keterangan mangsa disokong oleh bukti-bukti perubatan iaitu
dalam tempoh 9 bulan lepas kejadian mangsa telah melahirkan
anak.

(v) Hasil ujian DNA mengesahkan Perayu bapa kandung anak tersebut.

(vi) Tidak ada keterangan daripada Perayu untuk menyangkal penemuan


saksi pakar DNA pihak pendakwaan.

(vii) Perayu mengakui anak tersebut anak kandungnya.

[17] Di akhir kes pembelaan HMS telah memutuskan Perayu telah


gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes
pihak pendakwaan dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan
kesnya melampaui keraguan yang munasabah sehingga ke akhir kes
pembelaan.

[18] Setelah mendengar rayuan ringan hukuman Perayu dan


Penghujahan TPR, HMS telah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun
penjara berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukuman 9.8.2017 dan 10 kali
sebatan. Perayu juga diperintah membayar pampasan RM30,000 jika
gagal 6 bulan penjara.

Keputusan Mahkamah

[19] Tugas Mahkamah yang mendengar rayuan telah dinyatakan


dengan jelas dalam kes Mohd Yusri bin Mangsor v. PP & Ano. Appeal
[2014] 7 CLJ 897 CA; [2014] 4 MLJ 875; [2014] MLRAU 284, di
mana Mahkamah Rayuan mengatakan:

“[4] We have also scrutinized the records available before us. We are
mindful that this is a factual based appeal. It is trite that an appellate
court will be slow to interfere with the findings of facts and judicial
appreciation of the facts by the trial court to which that law entrusts the

8
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
primary task of evaluation of the evidence. However there are
exceptions. Where:

(a) the judgment is based upon a wrong premise of fact or of


law;

(b) there was insufficient judicial appreciation by the trial judge


of the evidence of circumstances placed before him;

(c) the trial judge has completely overlooked the inherent


probabilities of the case;

(d) that the course of events affirmed by the trial judge could
not have occurred;

(e) the trial judge had made an unwarranted deduction based on


faulty judicial reasoning from admitted or established facts;
or

(f) the trial judge had so fundamentally misdirected himself that


one may safely say that no reasonable court which had
properly directed itself and asked the correct questions
would have arrived at the same conclusion,

(g) then the appellate court will intervene to rectify that error
so that injustice is not occasioned, (see: Perembun (M) Sdn
Bhd v. Conlay Construction Sdn Bhd [2012] 4 MLJ 149 CA;
Sivalingam a/l Periasamy v. Periasamy & Anor [1995] 3
MLJ 395; [1996] 4 CLJ 545 CA.”

[20] Setelah meneliti rekod rayuan Mahkamah berpuas hati HMS


tidak gagal untuk mempertimbangkan secara kehakiman keterangan
yang ada di hadapannya apabila beliau mensabitkan Perayu di atas
pertuduhan. Justeru itu tidak ada sebab untuk Mahkamah campur
tangan dan mengubah keputusan HMS.

9
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
[21] Dalam kes ini HMS telah melihat CRT dan meneliti keterangan
mangsa semasa beliau memberikan keterangan di Mahkamah. HMS
berpuas hati mangsa telah memberi keterangan dengan jujur dan
ikhlas. HMS juga mendapati mangsa mempunyai ingatan yang kuat
dan dapat mengingati fakta kes yang material dengan terang dan jelas.
Justeru itu kredibiliti SP2 adalah intact dan tidak boleh dipertikaikan.

[22] Memandangkan ketika memberikan keterangan mangsa telah


berumur 19 tahun keterangannya boleh diterima secara sendiri dan
tidak tertakluk kepada s. 133A AK di mana keterangan seorang kanak-
kanak memerlukan sokongan.

[23] Oleh kerana Mahkamah telah berpendapat SP2 adalah saksi yang
boleh dipercayai dan telah memberikan keterangan yang kredibel,
maka Perayu boleh disabitkan dengan kesalahan tersebut walaupun
tanpa keterangan sokongan. Dalam kes PP v. Mohamad Malek
Ridhzuan Che Hassan [2013] 8 CLJ 359 Mahkamah memutuskan:

“Walau apapun jua pada pandangan kami, sekiranya keterangan pengadu


adalah ‘unusually convincing’, sabitan dalam kes-kes seksual boleh
dibuat tanpa keterangan sokongan.”

[24] Nas-nas memutuskan kes-kes seksual tidak memerlukan


keterangan sokongan. Mahkamah hanya melihat kepada keterangan
sokongan atas amalan dan pruden sahaja dan ianya bukan merupakan
suatu tuntutan undang-undang. Keterangan substantif berkaitan
dengan kejadian rogol itu datang dari mangsa sendiri. Keterangan
mangsa rogol bahawa dia telah dirogol boleh diterima oleh Mahkamah
tanpa bantuan daripada keterangan doktor jika Mahkamah mendapati
mangsa bercakap benar dan keterangan mangsa adalah kredibel dan
boleh diterima masuk sebagai keterangan dengan bantuan keterangan-
keterangan sokongan lain, Razali bin Hamzah v. PP [2010] 1 LNS
143.

10
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
[25] Walaupun sabitan itu sah hanya berasaskan kepada keterangan
mangsa sahaja, HMS dalam kes ini telah bertindak dengan betul
apabila ia juga melihat kepada keterangan sokongan yang lain iaitu
keterangan bayi yang dilahirkan dan laporan analisis DNA yang
mengesahkan bahawa Perayu adalah bapa kandung bayi yang
dilahirkan tersebut. Mahkamah berpendapat tidak ada keraguan
berkaitan dengan keterangan DNA ini kerana ketepatan penemuannya
ialah 99.9999%.

[26] Keterangan pakar DNA perlu diterima ‘on its face value’ kecuali
ianya sangat tidak berkemungkinan atau pihak pembelaan telah
memanggil saksi pakarnya untuk mengakas penemuan tersebut,
Munusamy v. PP [1987] 1 MLJ 492.

Dalam kes ini keterangan pakar DNA bukanlah ‘inherently incredible’


kerana keterangannya disokong oleh keterangan mangsa yang
mengatakan Perayu pernah merogolnya.

[27] Keterangan mangsa juga disokong oleh keterangan perubatan di


mana dalam tempoh 9 bulan selepas kejadian mangsa telah melahirkan
anak.

[28] Justeru itu, Mahkamah berpendapat tidak ada kekhilafan oleh


HMS apabila beliau memutuskan pihak pendakwaan telah berjaya
membuktikan satu kes prima facie ke atas Perayu. Terdapat
keterangan ikut keadaan di mana jika keterangan-keterangan ini
dinilai secara bersekali kesan keseluruhan keterangan-keterangan di
atas pada akhirnya membawa kepada satu kesimpulan sahaja iaitu
Perayu telah melakukan hubungan seksual dengan mangsa, Sunny Ang
v. PP [1965] 1 LNS 171.

[29] Mahkamah berpendapat HMS betul apabila mengatakan


pembelaan Perayu hanya bersifat penafian semata-mata dan
“afterthought”. Perayu hanya menafikan dia merogol mangsa tetapi

11
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
tidak ada penjelasan diberikan bagaimana mangsa telah
mengandungkan dan melahirkan anak hasil zuriatnya.

[30] Penafian sahaja tanpa bukti tidak cukup untuk mematahkan kes
pihak pendakwaan, Razi Amin v. PP [2010] 7 CLJ 771 yang merujuk
kes DA Duncan v. PP [1980] 1 LNS 12; PP v. Ling Tee Huah [1980] 1
LNS 212.

[31] Keterangan Perayu bahawa beliau tidak ada di rumah pada masa
kejadian pula tidak pernah diletakkan kepada mana-mana saksi
pendakwaan terutama mangsa. Ianya bermakna segala pernyataan
mangsa bahawa Perayu berada di rumahya semasa beliau pergi ke
rumah Perayu telah diakui olehnya, Wong Swee Chin v. PP [1981] 1
MLJ 212 FC. Justeru itu pembelaan ini hanya merupakan satu
pemikiran semula Perayu sahaja.

[32] Berkaitan dengan pembelaan Perayu bahawa zakarnya tidak


berfungsi Mahkamah berpendapat ia juga hanya satu penafian semata-
mata dan satu pemikiran semula kerana jika zakarnya tidak berfungsi
bagaimana mangsa boleh mengandungkan dan melahirkan anak Perayu
dan dia sendiri mengakui anak tersebut anaknya.

[33] Berdasarkan alasan-alasan di atas Mahkamah berpendapat


keterangan adalah jelas bahawa Perayu telah merogol mangsa. Justeru
itu HMS tidak khilaf apabila mendapati Perayu bersalah dan
disabitkan di atas pertuduhan.

Hukuman

[34] Berkaitan dengan hukuman HMS telah merujuk kepada


peruntukan hukuman di bawah s. 376(2) (d) iaitu dengan tiada
kerelaan itu, apabila perempuan itu di bawah umur 16 tahun;

12
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
“Hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari
lima tahun dan tidak lebih dari tiga puluh tahun dan bolehlah juga
dikenakan sebat.”

[35] HMS telah menimbangkan rayuan ringan hukuman Perayu dan


penghujahan TPR sebelum menjatuhkan hukuman. HMS tidak khilaf
apabila memberikan pertimbangan utama kepada prinsip kepentingan
awam berasaskan kes Aswan Muhammad lwn. PP & Satu Lg Rayuan
[2012] 8 CLJ 72. HMS juga merujuk kepada kes Peilis Sami v. PP
[2014] 6 CLJ 670 yang memberi panduan untuk menjatuhkan hukuman
bagi kesalahan rogol di mana mangsa masih di bawah umur.

[36] HMS juga telah membuat perbandingan hukuman dengan kes-kes


rogol yang pernah dijatuhkan oleh mahkamah yang melibatkan
mangsa bawah umur seperti Peilis Sami v. PP [supra], Mohd Amin
Ishak v. PP & Satu lg rayuan [2013] 3 CLJ 258. HMS telah
mengambil kira hukuman-hukuman untuk kes-kes ini dijatuhkan
sebelum pindaan kepada tempoh hukuman maksima kepada 30 tahun.

[37] Selain itu HMS juga telah mengambil kira kekerapan kesalahan
rogol, Ahmad Nazari Abd Majid v. PP [2009] 8 CLJ 411 dan trauma
yang terpaksa dilalui oleh mangsa.

[38] Berkaitan dengan pampasan, HMS mengatakan ianya wajar


diberikan kerana mangsa terpaksa berhenti sekolah dan terpaksa
mencari nafkah sendiri untuk membesarkan anak tersebut yang telah
berusia 4 tahun 3 bulan semasa hukuman dijatuhkan.

[39] Fakta kes jelas membuktikan kejadian rogol itu telah berlaku
tanpa kerelaan mangsa. Mahkamah memutuskan memandangkan
kejadian rogol itu berlaku tanpa kerelaan mangsa, maka HMS tidak
khilaf mengenai peruntukan hukuman yang terpakai. Mahkamah telah
meneliti penghakiman mahkamah sesyen berkaitan dengan hukuman,
Mahkamah dapati HMS telah menimbangkan prinsip penghukuman

13
[2018] 1 LNS 319 Legal Network Series
dengan betul. Mahkamah bersetuju mangsa wajar dipampas
memandangkan mangsa terpaksa bekerja sendiri untuk menyara diri
dan anaknya.

Konklusi

[40] Berasaskan alasan-alasan di atas Mahkamah telah menolak


rayuan Perayu di atas sabitan dan hukuman. Mahkamah mengesahkan
sabitan dan hukuman ke atas Perayu.

(HASSAN ABDUL GHANI)


Pesuruhjaya Kehakiman
Mahkamah Tinggi Temerloh

Bertarikh: 15 MAC 2018

Kaunsel:

Bagi pihak perayu/tertuduh - Hadir Sendiri

Bagi pihak responden/TPR - Siti Hajar Mustafa

14

You might also like