Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Contoh Karangan faedah bersukan

Setiap pelajar diwajibkan menyertai aktiviti sukan di sekolah. Kerajaan telah menetapkan 10 peratus
markah kokurikulum sebagai syarat kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi awam atau swasta
untuk menunjukkan bahawa aktiviti kokurikulum khususnya aktiviti sukan sangat penting untuk diceburi
oleh pelajar sekolah. Sebagai membuktikan lagi keseriusan kerajaan, Kementerian Pendidikan telah
melancarkan dasar 1Murid 1Sukan, iaitu setiap pelajar diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu
sukan di sekolah amat tepat kerana aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah kepada pelajar. Menteri
Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berucap melancarkan dasar 1Murid 1Sukan melahirkan
keyakinan bahawa dasar ini mampu membina generasi yang sihat dan pada masa yang sama berupaya
melahirkan modal insan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Jadi, pelajar harus sedar
bahawa terdapat faedah-faedah yang akan diperoleh dan kepentingan sukan kepada negara.

Badan sihat, minda cerdas

Faedah utama yang akan diperoleh apabila pelajar menyertai aktiviti sukan adalah mampu melahirkan
masyarakat yang sihat tubuh badan dan minda yang cerdas. Kegiatan sukan yang diceburi oleh pelajar
sekolah mampu menjadikan badan mereka sihat, sekali gus dapat mengelakkan diri mereka daripada
menghidap sebarang penyakit berbahaya. Apabila mereka bersukan, badan mereka akan berpeluh sekali
gus mengeluarkan toksin yang tidak diperlukan oleh badan melalui liang-liang roma. Perjalanan darah ke
seluruh tubuh menjadi lancar menjadikan diri mereka sentiasa sihat sekali gus minda mereka turut
cerdas

Peribahasa badan sihat otak cerdas sangat bertepatan dalam hal ini kerana pelajar yang sihat dapat
memberikan fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan baik. Mereka
berupaya menjadi pelajar yang cemerlang kerana tumpuan pelajar di dalam kelas adalah prasyarat
utama untuk menjadi cemerlang. Dr. Ismail Zain, pakar kaunseling pendidikan menyatakan bahawa
pelajar yang fokus ketika guru mengajar di dalam kelas sudah sebelah kaki menuju kecemerlangan. Kata-
kata ini membuktikan bahawa pelajar mampu fokus di dalam kelas jika badan mereka sihat kerana
badan yang tidak sihat akan menyebabkan mereka berasa letih dan mengantuk.

Kegiatan sukan dapat mengelakkan penyakit berbahaya

Selain itu, pelajar yang sihat juga mampu mengelakkan diri mereka daripada sebarang penyakit
berbahaya. Hal ini demikian kerana toksin yang dikeluarkan melalui peluh telah menyebabkan lemak
dalam badan terbakar ekoran daripada aktiviti sukan yang dilakukan. Penyakit-penyakit berbahaya
seperti obesiti, serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis dapat dihindari oleh pelajar yang sihat.
Menurut kajian oleh Univesiti Sains Malaysia, 30 peratus kes obesiti atau kegemukan dalam kalangan
pelajar sekolah rendah di Malaysia telah direkodkan sepanjang tahun lalu. Perangkaan ini amat
membimbangkan kerana obesiti menjadi faktor utama yang menyebabkan penyakit-penyakit berbahaya
seperti serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis. Oleh hal yang demikian, penglibatan dalam
aktiviti sukan dalam kalangan pelajar perlu dititikberatkan kerana kita tidak mahu pelajar yang menjadi
aset negara ini nanti menderita akibat penyakit berbahaya. Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti sukan
mampu melahirkan pelajar yang sihat sekali gus memiliki minda yang cerdas.
Kegiatan sukan memupuk sahsiah yang terpuji

Selain itu, aktiviti sukan juga dapat memupuk sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar. Sahsiah yang
terpuji dalam kalangan pelajar merupakan aspek yang menjadi fokus kerajaan masa ini kerana mereka
merupakan modal insan yang akan menerajui tampuk kepimpinan negara kelak, sekali gus mampu
merealisasikan Wawasan 2020 yang menjadi agenda utama negara kini. Dalam hal ini, aktiviti sukan
mampu membina sahsiah terpuji seperti membentuk nilai kerjasama dalam diri pelajar di Malaysia.

Melalui aktiviti sukan, setiap pelajar akan bekerjasama untuk memastikan sukan yang dipertandingkan
akan meraih kemenangan. Tanpa nilai kerjasama semangat kesukanan dalam diri pelajar akan menjadi
luntur kerana mereka mementingkan diri sendiri dan akhirnya akan merugikan pasukan. Sebagai contoh,
aktiviti sukan yang melibatkan kumpulan seperti bola sepak dan hoki tidak akan menempa kejayaan jika
tiada kerjasama antara pemain. Pemain penyerang yang bermain sendirian tidak akan dapat
menjaringkan gol jika tidak melorongkan bola kepada penyerang lain yang memiliki ruang untuk
menjaringkan gol. Sikap mementingkan diri ini akan menyebabkan pasukan tersebut akan kecundang
kerana tanpa kerjasama dan semangat berpasukan kejayaan tidak akan dapat digapai.

Kepentingan sukan: memupuk semangat perpaduan

Di samping itu, semangat perpaduan juga akan wujud dalam diri jika pelajar melibatkan diri dalam
aktiviti sukan yang membabitkan pelajar pelbagai kaum. Perpaduan antara kaum akan menjadi subur
jika pelajar bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain dalam aktiviti sukan yang
diwakili oleh pelajar berlainan bangsa. Mereka perlu menganggap bahawa setiap orang mempunyai
peranan masing-masing dalam pasukan dan anggapan ini secara tidak langsung dapat mewujudkan
semangat perpaduan. Jadi, kegiatan sukan di sekolah mampu memupuk sahsiah yang terpuji kerana
pelajar dapat berkomunikasi dan berhubung sesama mereka tanpa apa-apa sekatan. Hal ini akan
menyebabkan semangat perpaduan dapat dikukuhkan apabila semua pelajar bersatu dalam pasukan
sekali gus berupaya meraih kemenangan, bak kata peribahasa bersatu teguh bercerai roboh. Oleh itu,
jelas menunjukkan bahawa sahsiah yang terpuji dalam diri pelajar dapat diwujudkan apabila mereka
melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

You might also like